You Follow, I Follow

Sabtu, 17 Disember 2011

Yang Terindah 8

Yang Terindah 8! Satu hari saya menaip, asyik berfikir-fikir plot untuk seterusnya. Sekejap saya mahu buat A, sekejap B. Sekejap C. Haaa...nanti lihat perkembangan seterusnya plot Cahaya, Fifi dan Uncle Adib! Saya pula berdebar-debar nak menulis sambungan seterusnya. Okey alls, selamat membaca dan yang menyampaikan salam untuk Uncle Adib, Cah dan Fifi tu saya dah sampaikan. Ngeee..Mereka sampaikan salam semula. Ceh!


Okey, senyum comel-comel!

Won Bin photo 03


Fifi sedang berdiri bersama dengan Adib! Bagaimana boleh Adib berada di luar kawasan sekolah Fifi? Hati berdetik lagi! Dengan pantas aku berjalan. Angin berhembus mesra, mengulit tubuhku. Awan-gemawan sedang membiru dan cuaca tengahari yang panas terik memberi kehangatan. Tubuh rasa melekit sedikit dan peluh mengalir-ngalir di belakang badanku. Ah, janganlah keluar bau yang kurang enak pula! Mata memandang Fifi dan Adib yang setia memerhati. Wajah Fifi nampak terkejut dengan kehadiranku. Pohon rendang yang menjadi tempat mereka berdua bertemu memberi sedikit keselesaan untukku.

Adib bersandar selesa di pintu keretanya dan jemari Fifi digenggam erat. Fifi dengan beg sekolah dan baju kurungnya tersengih memandangku. Entah kenapa, degupan jantung semakin laju! Senyumannya berpanjangan. Ah-kacaknya dia!

“Saya ingat awak tak ambil Fifi petang ni. Jadinya saya datanglah ke sini!” suaranya keluar dengan tiba-tiba. Nampak seolah-olah Adib takut aku akan memarahi Fifi dan dia mahu aku tahu bahawa kedatangannya ke sekolah Fifi adalah atas kehendaknya.

Aku memandang Fifi sambil bercekak pinggang. Pasti ada sesuatu yang aku tidak tahu. Fifi ini, bukan boleh dipercayai bulat-bulat!

“Eh, bukankah mama kata mama yang akan ambil Fifi hari ni?” aku gigit bibir. Selepas pemandu van menelefon aku mengatakan tidak dapat mengambil Fifi aku terus mengambil cuti. Kelam-kabut juga aku menguruskan penyata kewangan syarikat dan menyerahkan kepada setiausaha pengarah. Mujur Encik Lokman ke mesyuarat dan cutiku diluluskan oleh Puan Juita, Penolong Pengarah syarikat aku bekerja.

Fifi ketawa sambil terus memeluk tubuh Adib. Matanya terkelip-kelip memandangku. “Err, Fifi yang telefon uncle Adib tadilah mama! Mama macam sibuk saja. Dua hari lepas pun mama lambat, kan?” matanya membulat memandangku.

Kakiku melangkah dekat lagi dengan mereka. Persekitaran luar sekolah semakin lengang. Namun ada beberapa lagi kanak-kanak sedang menanti ibu bapa masing-masing. Aku buat-buat tidak nampak lelaki ini yang masih setia menantikan aku. Juga masih setia dia memberikan senyuman kacaknya!

Aku di hadapan mereka berdua kini. Fifi dan Adib.

Mataku tepat memandang Fifi. Walau tubuh Fifi dipegang erat oleh Adib. Lelaki itu memegang bahu Fifi dengan penuh setia bagi memastikan Fifi tidak berganjak jauh darinya. “Bila Fifi call uncle Adib? Guna handphone siapa, Fifi? Bukankah mengganggu masa uncle Adib? Mama akan ambil kalau pakcik van ada hal! Kan mama dah janji.”

Mata aku dan Fifi bertemu. Bibirku mengulum tanda sedikit tidak puas hati! Tengoklah Fifi yang asyik saja memeluk Adib! Geram betul melihat perangainya. Sudahlah ditelefonnya Adib. Ah- malunya aku!

Fifi tersengih dan meleraikan beg sekolah dari bahunya. Beg tersebut dengan pantas dicapai Adib yang masih mendiamkan diri. Adib tidak berbunyi langsung ketika aku bersoal jawab dengan anakku.

Pantas Fifi mengomel, “Ala, pinjam sekejap telefon cikgu Sabrina. Fifi dah hafal nombor telefon uncle Adib. Fifi call sajalah! Tak apa kan mama?”

Aku mengeluh dan memandang Adib. Dia menghantar senyuman lagi. “Ala, tak apa Cahaya! Saya senang dan masa memang free waktu ni. Terlanjur tu, apa kata kita keluar makan bersama. Bertiga? Okey?” pintanya tiba-tiba. Dari tadi, dia mendiamkan diri memerhatikan aku dan Fifi. Bila dia bersuara, ah rasa segan pula bertimpa-timpa. Fifi tersengih dan pantas mencapai jemariku.

“Tapi saya seganlah! Asyik sahaja dia menelefon awak suruh itu ini!” jawabku tegas.

Haih, tak ada apa-apa pun! Saya okeylah! Lagi-lagi Fifi yang telefon. Hanya ambil dia dari sekolah dan kebetulan memang saya nak keluar tadi.” Jelasnya dengan senyuman.

Jemariku ditarik Fifi, “Jomlah mama!”

“Jom! Awak bawa kereta. Saya bawakan tempatnya! Saya pun sedang lapar ni!” Adib menggosok-gosok perutnya. Aku memberikan senyuman.

Pantas suaranya bergema lagi, “Tapi kalau nanti dapat rasa masakan Cah, mesti lagilah perut saya bergendang suka hati!” Adib memandang aku dan menyeluk poket seluarnya. Kunci keretanya pantas diambil. Dia terus membuka pintu keretanya. Fifi memandang aku. Mataku terkebil-kebil dan jiwa bergemuruh dengan usikannya.

Dia pantas memandang aku dan Fifi. “Saya serius, Cah!”

“Awak nak saya masak apa?” usikku. Pantas Adib mara ke arah kami dan dia mendukung Fifi. Dia tersenyum lagi! Rambutnya yang menutup dahi ditolak ke belakang. Fifi mengusik-ngusik rambutnya dan lelaki itu pantas mencium pipi Fifi.

Dia menghela nafas, “Mee kari! Lagi satu saya suka asam pedas Melaka! Jangan letak daun kesum. Kesedapannya bagi saya akan terbantut!” matanya bercahaya!

Kemudian lelaki itu memandang Fifi dan bibirnya berbicara lagi, “ Fifi naik kereta dengan uncle ya? Hari ni uncle Adib belanja Fifi dan mama makan! Kita enjoy!” dan tudung Fifi dibetul-betulkan agar nampak lebih selesa. Bibirnya sedikit tersenyum. Adakah dia tersenyum kerana aku mahu tahu makanan kegemarannya? Aku sembunyikan senyumanku. Beg sekolah Fifi lantas dipegang dan sekejapan Adib berdiri di hadapanku.

“Mana kunci kereta awak?” tanyanya tiba-tiba.

“Eh, untuk apa?”

“Bagi pada saya! Kita naik kereta bersamalah! Malam nanti saya hantarkan kereta awak ke rumah. Saya suruh Haryati bawakan nanti.” Dia menukar pula rancangan. Tadi disuruh aku membawa kereta sendiri.

“Iyalah mama. Lagi best kalau mama duduk sekali dengan Fifi dalam kereta! Kita bertiga!” Fifi menampakkan giginya yang putih bersih. Menyengih lagi!

Rasa malu menebal. Aku menggelengkan kepala. “Eh, tak apa. Saya drive sendiri. Menyusahkan pula!” aku raba-raba kunci di dalam beg tanganku.

Adib memandang lagi. “Esok saya akan ke Italy. Nanti seminggu saya tak dapat jumpa awak dan Fifi. Hanya separuh hari untuk hari ni sahaja saya nak meminjam ‘awak’ dan Fifi. Apalah salahnya awak naik kereta dengan saya, Cahaya? Dengan cuaca panas ni, saya pun tengah lapar sangat-sangat! Marilah ya!” pujuknya dengan nada perlahan. Seminggu? Lamanya dia akan ke sana. Lamanya rasa, bukan? Ah – Aku tiba-tiba jadi risau dengan kepergiannya ke sana. Rasa begitu diri ini dihargai kerana dia mahu ‘meminjam’ aku dan Fifi. Kata-katanya penuh ‘rasa’ mendalam! Adakah dia akan merindui aku dan Fifi bila berada di Italy nanti?

Adib mencebik tiba-tiba! Mahu tergelak pun ada melihat wajah simpatinya itu. Mahu meminjam aku dan Fifi? Amboi-amboi, ayat memang jiwang! Sudah pandai dia mengubah ayatnya untuk memerangkap jiwaku!

“Fifi ada dengan kita sekarang, bukan? Janganlah segan dengan saya, Cah! Mari! Saya pun bukannya nak menculik awak hari ni! Walau hati saya sebenarnya dah diculik awak, Cahaya!” dia selamba sahaja! Mulutnya memang terkadang melebihi burung murai yang berkicau-kicauan. Ada-ada sahaja usikannya.

Pantas, jemari Fifi diajukan ke tanganku. Jari runcingku akhirnya ditarik oleh Fifi atas arahannya dan aku kini sama-sama melangkah ke keretanya. Kereta jenis Honda. Aku tidak pasti ini kereta siapa. Kerana ketika di lapangan terbang, dia membawa kereta jenis pacuan empat roda.

Kali kedua menaiki kereta bersama Adib! Duduk betul-betul dan bukan hanya beberapa minit seperti pertemuan kami di lapangan terbang tempoh hari. Dan Fifi sedang duduk selesa di belakang sambil tersengih-sengih memandang kami berdua di hadapannya. Bau haruman kereta lelaki ini yang mendamaikan perasaan. Entah kenapa jantungku berproses sungguh laju kala ini.

“Semenjak bila Cah suka melukis?” tanyanya. Pantas keretanya meluncur sederhana. Radio dibuka perlahan dan aircond menjadi teman. Beg di riba aku betulkan.

“Dari sekolah memang dah minat!” aku menjawab. Adib mengangguk-angguk.

Iya uncle! Mama memang pandai melukis. Ada pokok, sungai, sampan, gununglah, mataharilah! Kadang-kadang makan pun tak! Uncle marah mama, uncle! Sebab mama jarang makan! Kadang-kadang Fifi pun lapar, mama biarkan saja. Sampai tertidur!” Fifi mengomel tiba-tiba!

“Dua kali saja Fifi. Itupun sebab mama terlupa!” Wah – Fifi sudah pandai mengadu. Adib yang bertanya, dia pula bercerita. Fifi ini memang harus dikawal cara percakapannya.

“Apa yang dia cakapkan tu betul, Cah! Janganlah sampai awak lupa bagi Fifi makan. Awak pun janganlah terlalu jaga makan! Nanti sakit, siapa yang susah?” suaranya tegas!

Aku menggigit bibir. “Saya diet! Tak ada sesiapa yang susah pun!” bibir menjawab. Selamba sahaja aku menjawab!

Adib ketawa dan menggelengkan kepalanya. “Fifi pun janganlah disuruh diet juga! Lepas ni lain kali saya tak mahu dengar Fifi lapar sampai tertidur! Dia akan report pada saya kalau awak lupa lagi!” Adib tenang sambil memegang stereng. Matanya menjeling! Perjalanan kini membelah sedikit kesesakan jalan raya.

Adib menoleh. Stereng dipegang kemas. “Kalau awak sakit, saya yang susah nanti!”

Titik. Arahannya bagaikan menjadi nadi yang teratur dengan nafas dan jiwaku. Meski tegas tapi penuh kelembutan. Entah kenapa aku senang dengan arahannya. Jika aku sakit, dia yang akan susah? Hati berdetik indah.

Fifi memandang aku. “Tulah mama! Fifi tercakap saja! Fifi tak tahulah pula yang uncle Adib risau sebab Fifi tak makan! Nanti mama kena ingat tau!” Fifi pantas menciumi pipiku. Amboi-amboi, sudahlah dia mengadu macam-macam sampai ‘ditazkirahkan’ oleh uncle kesayangannya. Kini, aku dipujuk dengan ciuman ke pipiku.

“ Jangan ambil hati ya Cah! Saya bergurau saja.” Adib tersengih lagi.

“Eh, saya tak ambil hati! Tapi saya makan jantung!” balasku segera. Adib membawa jemarinya ke pipi Fifi. Mengusap lembut pipi Fifi. Dia ketawa besar. Bersisa sehingga Fifi memandang kami berdua. Fifi berdiri di tengah-tengah kami berdua. Memandang jalan raya yang dari tadi belum selesai sesaknya.

“Mama Fifi dah merajuk!” usiknya lagi bersama memek muka dan buat Fifi memandang aku dengan matanya yang membesar.

“Mama sendiri yang cakap, siapa-siapa yang merajuk, nanti muka tak cantik! Tak ada siapa nak kat kita. Kan?” kepala Fifi berpusing ke arahku. Aku mengenyitkan mata. Aduhai Fifi ini! Semua yang aku cakap, dengan pantas keluar dari bibirnya. Mama balik nanti, mama gigit lengan Fifi!

Eh, tak adalah Fifi. Kalau mama Fifi merajuk, uncle kan ada? Uncle akan pujuk!” suaranya melantunkan rasa bahagia ke dalam jiwaku. Keadaan perbualan begini, menghantar juga rasa jiwa yang menyebakkan. Adakah ini perbualan bahagia antara papa, mama dan Fifi kelak? Adakah ini yang Fifi mahukan dalam erti kata, bertiga?

Uncle suka dengan mama Fifi yaaaaa? Pakwe makwe ya?” Fifi memandang Adib. Jemarinya memegang bahu Adib. Aku kaku mendiamkan diri.

“Ya! Tapi nanti uncle bukan jadi pakwe mama Fifi, tapi jadi papa Fifi! ” jawabnya tegas tanpa berselindung! Sehingga Fifi memandang aku dengan seluruh senyuman bahagianya. Aku terkedu. Adib bersahaja memandu. Penuh tenang dan senyumannya kepada Fifi memberikan jawapan hatinya. Benarkah lelaki ini? Bukankah juga dia telah melamar aku? Dan aku baru teringat yang aku belum memberikan apa-apa jawapan.

Aku terkedu.

Ada angin dingin sekali lagi menyelubungi diriku. Kereta yang bergerak ini seolah-olah terberhenti dengan sendirinya.

“Mama?” mata Fifi terbeliak!

Fifi memandang Adib dan kemudian ke arah aku. Bibirnya pantas terbuka lagi, “Jadinya mama dan uncle Adib kahwinlah ya? Macam yang kita borak-borak tu kan mama? Mama dah bincang dengan uncle Adib ya? Uncle Adib pun dah bersetujulah ya, mama? Fifi boleh panggil uncle papa lah ya?”

Bertubi-tubi soalan dari bibir comel Fifi keluar.

Ia lantas menjadikan ruang dalam kereta ini terus sepi. Aku terdiam dan Adib juga terus membisu. Mata Fifi mengawasi kami berdua. Bagaikan seorang pengawas sekolah dan akhirnya dia duduk di kerusi belakang dengan bercekak pinggang.

In love! Tak nak mengaku ya? Fifi dah ada mama dan papa! Seronoknya!” Suaranya kedengaran lagi. Walau mata masih mengawasi kami yang berada di hadapannya.

Hari indah kami bertiga. Meski kami berdua membisu, meski tiada jawapan apa-apa dari mulutku, tetapi hati berkata ‘ya’. Hanya senyuman dan debaran ini bukti segala-galanya. Hati menjadi tenang dan setiap kali melihat layanan Adib kepada Fifi, aku rasa senang. Sikap, tingkah, percakapan, perbualan dan segala-galanya!

Menikmati makan tengahari bersamanya. Ditemani sekali lagi Fifi anakku yang ceria dan bersinar-sinar matanya. Adib masih bersahaja tingkahnya. Sesekali dia menghantar rasa kasih dan sayang yang selama ini hanya aku berikan kepada arwah suamiku, Shafi’e. Aku harus mengakui bahawa lelaki di hadapanku ini adalah bukan Shafi’e. Lelaki ini bukan suamiku yang dahulu. Dia, Adib dan suamiku itu sudah lama meninggal dunia. Hatiku berbicara lagi.

Mereka berdua adalah lelaki yang berbeza. Wajah dan iras yang sama itu mungkin adalah satu kebetulan sahaja. Gerak tubuh lelaki ini juga berlainan. Sikap juga langsung tidak sama. Namun, mampukah aku membahagiakan lelaki ini walau dalam hatiku sebenarnya masih kekal dengan cinta pertamaku, iaitu Shafi’e? Alangkah bahagianya aku sekiranya lelaki dihadapanku ini adalah Shafi’e yang dekat namanya di hatiku.

Aku terawang-awangan. Segala gerak tubuhnya melayani Fifi, memberikan Fifi straw untuk Fifi menyedut air di gelasnya bagaikan skrin layar besar di mataku. Usapan jemarinya di kepala Fifi pantas menjadi tontotan mata ini. Senyumannya, matanya dan rambutnya.

“Shafi’e!” seruku bila mata kami bertentangan. Dan mata Adib terus terpaku sehingga aku sedar bahawa matanya penuh dengan seribu persoalan.

Aku amati lagi gerak lakunya. Layanannya dan senyumannya untuk Fifi.

“Shafi’e!” sapaku untuk kali yang kedua. Jemariku bergerak-gerak. Serta merta aku menggigil!

Mata bertemu lagi. Lelaki di hadapanku menarik nafasnya dengan perlahan-lahan, “Saya bukan Shafi’e. Saya Adib! Saya Adib, Nur Cahaya!”

Fifi terkedu dan pantas memanggilku, “Mama!”

1 Toing Toing!:

arasnieryie@1995 berkata...

suka Adib,sgt brterus terang...