Oh, terima kasih semua yang sudi membaca! Sudi menanti buah tangan tak seberapa saya. Harap-harap semua suka!
Fifi seronok bermain dengan air. Sekejap-sekejap dia berlari menerjah ombak dan kemudian berlari ke kaki pantai. Ditemani Nor yang akrab melayani anak comelku Fifi. Ketawa dengan gembiranya. Aku pandang laut yang membiru. Cantik dan bersinar-sinar! Laut kini sedang disimbahi cahaya pagi yang menyamankan mata. Sesekali aku mengawal nafas ini. Dada terasa sesak! Jantung terasa berdebar-debar!
Aku dan Aizul duduk di sebatang pohon kelapa yang telah rebah. Pohonnya kini hampir kering. Sesuai untuk ia dijadikan sebagai sebagai tempat letak punggung dan bersantai. Sedikit selesa dan sesekali posisi punggung harus diubah. Kami pandang Fifi yang masih ketawa keriangan masih bermain dengan air laut. Beberapa minit diacah-acah oleh Nor, akhirnya Fifi menjerit kesukaan kerana dia dipaksa merendamkan tubuhnya.
“Mama! Marilah mandi sekali! Seronok!”
Aku gelengkan kepala sambil tersenyum. Nor terus memerhati Fifi. Ekor matanya kadang-kadang memerhatikan kami berdua. Beg di rumah Aizul telah aku kemas seawal pagi lagi. Aku mahu pulang segera ke rumah. Ibu mertuaku, Datin Suriani beberapa kali telefon dan memberi SMS mahu kami pulang segera. Kebetulan, Adib juga akan sampai ke Malaysia petang ini. Mahu atau tidak, aku harus pulang segera. Aizul nampak agak kecewa kerana fikirnya kami akan pulang sebelah petang. Aku pula harus memikirkan segala kerja sekolah Fifi yang masih belum disiapkan dan lukisan tempahan yang juga belum aku teliti. Kerja-kerja terakhir lukisanku perlu diteliti agar memenuhi selera dan cantiknya di mataku akan memberi kepuasan kepada pelanggan.
Puas aku memberikan alasan kepada Aizul. Akhirnya muka masamnya juga yang kelihatan.
Bohong sekiranya aku katakan yang aku tidak merindui lelaki itu. Aku rindukan ketenangan lelaki itu! Entah – aku tidak tahu kenapa aku jadi senang dan tenang bila memandang Adib. Dia yang berbeza sekali dengan Aizul. Gerak laku, senyuman, tutur kata dan bahasa yang sentiasa menyenangkan dan membahagiakan.
Salahkah kiranya hati yang kosong selama 8 tahun ini, terisi kembali?Marahkah Aizul kerana aku akhirnya membuka hati ini untuk lelaki berkenaan?
Adib. Di mana-mana kini Adib. Segalanya adalah Adib kini! Fikiranku, jiwaku dan setiap nafasku kini berdiri dengan menyebut nama lelaki itu. Malah, kalaupun Adib tersenyum, ia sudah menghamparkan rasa penuh cinta ini kepadanya. Benarkah aku telah jatuh cinta kali kedua dengan seorang lelaki? Adibkah lelaki itu?
“Siapa Adib?” pertanyaan pertama Aizul menyahkan segala khayalanku terhadap Adib. Barulah aku sedar kewujudan Aizul di sebelahku. Aizul nampak tenang. Matanya masih menangkap tubuh Fifi yang masih berendam di dalam air laut. Aizul menoleh mahukan penjelasan dariku.
“Kawan.” Jawabku sepatah dan dengan rasa penuh serba salah.
“Kawan istimewa?” tanya Aizul.
Aizul tersenyum sinis. Pantas dia menyambung, “Lapan tahun Cah. Lapan tahun kita berkawan dan rapat. Sampaikan semua kawan-kawan kita sentiasa kata kita akan bersama satu hari nanti. Tapi I tak sangka yang you dengan tiba-tiba telah berubah hati hanya kerana Adib. Apa kurangnya I sampai you sanggup kecilkan hati umi?”
Kecil hati? Umi kecil hatikah dengan tindakan Fifi dan aku? Aku menarik nafas.
“Kita tak pernah bercinta, Adib. Jauh sekali untuk Cah rasa kita akan ada hubungan istimewa sehingga diikat menjadi suami isteri. Soal kecil hati dengan umi, biar Cah sendiri terangkan. Biar Cah berhadapan dengan umi. Tapi Cah tak pernah diberitahu yang you mahu kita bertunang. Bila masa pula Cah setuju? Bila kita bercakap mengenai hati dan rasa ini, Aizul? You pun tahu yang Cah tak pernah kata ya untuk apa juga hubungan istimewa antara kita. Kita hanya kawan sahaja. Titik!” aku berikan kata putus.
Aizul tersenyum sinis lagi. Menyakitkan hati. “You akan cakap dengan umi yang you akan kahwin dengan Adib dan Adib lelaki pilihan you. You berani?” matanya membulat besar. Ekor mata Aizul menjeling!
Aku toleh mengejut dan memandang Aizul yang masih tersenyum. Aizul pantas menyambung ketidakpuasan hatinya, “Selama lapan tahun I berkawan dengan you. Ke hulur ke hilir jaga anak you dan berkawan dengan you. Kalau Fifi sakit, siapa yang tolong? I bukan? Kalau you susah dan semasa you sakit di New York, siapa yang bantu? Aizul yang bantu, bukan? Jadinya I ni pak pacak dan orang gajilah selama ni?” suaranya sedikit tinggi.
Oh, dia mengungkit! Dia mahukan balasan. Balasan untuk bantuan dan segala pengorbanannya harus dibayar.
Aku gelengkan kepala. “You ungkit semua yang berlaku, Aizul?”
Aizul tarik nafas. Begitu juga dengan aku. Hati berdegup terus kencang!
Aku bangun memeluk tubuh. Angin terus berhembus lembut. Tapi ia membuatkan hati ini terus kencang. “I berani, Aizul! I akan kata, you bukan lelaki pilihan hati I dengan umi dan semua. You puas hati? Dan sebenarnya setiap apa yang you bantu dan tolong kami selama ini, bukanlah ikhlas semata-mata, tetapi mahukan I sebagai ganti. I tak sangka you begini, Aizul!”
Aizul mendekatkan dirinya dengan aku. “Okey! Sekarang juga I nak you mengaku! Di hadapan umi dan semua. Biar semua orang tahu yang you perempuan tak kenang budi dan selalu menyusahkan orang lain. Come!” lengan aku pantas ditarik Aizul. Direntap dengan kasar dan dengan langkahnya yang seribu! Fifi dan Nor yang menyaksikan kami bergaduh turut sama terjerit-jerit memanggil kami berdua.
“Sakit Aizul! Sakit! Berani you pegang I Aizul?” aku menjerit. Sekejapan Aizul berubah wataknya dan pantas aku turut sama ditarik dengan kuat oleh tangannya yang kasar dan tegap.
“Mengaku dengan umi yang you akan kahwin dengan Adib dan bukan dengan I. Hari ini, waktu ini dan di hadapan semua!” Aizul separuh gila. Sakitnya bukan kepalang lagi lengan ini ditarik olehnya.
“Lepaslah!” jeritku.
Aizul masih terus menarik aku berjalan. Angin pantas bersatu.
“I tak akan lepaskan you. Dan jangan harap sesiapa yang akan dapatkan you! Adib atau mana-mana lelaki. I tak akan lepaskan. Jangan mimpi. Sampai I mati!” sumpahnya. Dan lenganku terus ditarik.
“Cah hanya akan kahwin dengan Adib. Hanya Adib!” laungku. Dalam keadaan itu, Fifi terus mengejar kami. Jeritannya sama membuatkan aku terus dilanda sebak, “Mama, mama!”
“Jangan harap, Cahaya! I dah bersumpah, you tak akan jadi milik Adib dan milik sesiapa, kecuali Aizul!” tangan kasarnya memberi beban dan aku terus ditarik kuat. Hati berdegup kencang. Langkahku seribu mengikut hala tuju Aizul.
Jantung terus berdegup kuat. Bergetar maha hebat dan sungguh terperanjat dengan sikap Aizul yang berubah seratus peratus. Aku meronta-ronta minta dilepaskan, tetapi jemarinya lebih kuat menarik aku. Makin aku menarik lenganku, semakin kuat Aizul memegang lenganku. Wajahnya penuh bengis!
Sehingga aku ditolak di dalam dapur sehingga jatuh terpelosok di atas lantai marmar.
Umi terkedu. Begitu juga semua. Adik beradik Aizul memandang aku.
Malunya! Kenapa aku diperlakukan sebegini oleh Aizul? Kenapa sekelip mata sahaja di menjadi begini.
“Okey, say it! Cakaplah apa yang kau nak cakap depan semua!” Aizul menjerit dan Fifi termengah-mengah masuk. Masih basah kerana bekas air laut yang melekap di tubuh Fifi. Fifi pantas berlari mendapatkan aku yang membetulkan diri. Aina yang turut berada di dapur segera mengangkat aku.
“Abang dah gila ya? Ingat orang perempuan ni macam ikan?” Aina menyuarakana rasa hatinya. Pantas Aina mendekati aku.
“Mama, kenapa uncle Aizul buat mama macam ni?”
“Dia yang gila. Tergilakan sangat Adib, kan? Okey, cakaplah dengan semua! Cakap yang you akan kahwin dengan Adib!” pintanya dengan kuat. Umi mendiamkan diri. Masih duduk dengan pandangan yang sukar aku mengertikan. Ada air jernih menitis perlahan-lahan. Aku kesat air mata.
Saat ini, betapa hancurnya hati, tiada siapa yang tahu. Betapa aku diperlakukan semudah ini di hadapan keluarga Aizul. Malah, umi mendiamkan diri dan membiarkan Aizul memperlakukan aku mengikut rasa hatinya.
Aku mahu Adib saat ini. Aku mahu menghamburkan rasa sedih dan hiba ini. Namun tiada sesiapa di sebelahku. Kecuali Fifi yang mara ke arahku dan dengan pantas aku memeluk Fifi. Aina mara ke arahku dan membangunkan kami berdua. Lengan aku hari ini, telah pun disakiti! Hati aku juga hari ini telah dilukai! Kalau kelak, aku telah berkahwin dengannya, apa lagi yang akan dia lakukan kepada aku?
Air mata mengalir lagi. Tika ini juga, aku rindukan arwah suamiku itu. Aku rindu meluahkan rasa hiba dan sedih hati ini. Dulu, arwah suamiku yang selamatkan aku dari didera Makcik Anida. Turut sama aku dibantu sehingga dia memperisterikan aku. Di mana abang Shafi’e sekarang? Dengan siapa harus aku mencurah rasa hati lara ini?
Aku pantas berdiri tegak. Mengesat-ngesat air mata dan memegang jemari Fifi. “Saya nak balik. Mari Fifi!” dan dengan perlahan aku menarik Fifi. Suasana terus dingin.
Bungkam. Keluarganya memerhati aku yang berjalan dengan perlahan. Begitu juga dengan Aizul.
“Kalau macam nilah perangai abang kan, sampai ke tua abang tak kahwin-kahwin lagi. Kak Cah tu tetamu kita tahu tak? Soal hati dan perasaan orang perempuan ni, jangan dipaksa-paksa!” Suara Aina memecah kedinginan. Tetapi kami terus berjalan naik ke atas.
Aku malas berfikir apa-apa saat ini. Hanya mahu pulang! Jiwa aku semakin sesak dengan sikap biadap Aizul!
Suara Aina terus sayup kedengaran. Aku tidak tahu apa lagi yang mereka bualkan di dapur. Seperti Aina dan Aizul sedang bertelagah antara satu sama lain. Turut sama kedengaran suara umi meminta anak-anak mereka jangan bertengkar lagi.
Kami masuk ke dalam bilik. Aku duduk diam di atas katil. Menarik nafas dan memandang Fifi yang memerhatikan aku tanpa jemu. Aku kawal pernafasanku dan dada yang dari tadi berombak-ombak.
Air mataku dikesat perlahan-lahan. “Mama, kita balik ya! Mama janganlah menangis lagi Fifi tukar baju dulu ya?” Fifi memujuk. Matanya yang bulat menjamah wajahku.
Aku angguk perlahan-lahan. Seperti aku pula anak kecil yang memerlukan kekuatan. Kejutan perlakuan Aizul hari ini benar-benar menghangatkan hati.
“Mama tunggu Fifi ya. Kita balik lekas dan jumpa uncle Adib! Okey?” Fifi tersenyum dan pantas aku menarik dan memeluk Fifi. Ada air mata mengalir lagi. Bila Fifi menyebut nama uncle Adib, aku jadi benar terharu dan rasa sesuatu. Hilang rasa hiba dan tekanan ini.
Kami tersenyum dan berpandangan. Bola mata Fifi mengiyakan segalanya dan aku mengangguk.
Apa yang akan berlaku, biarlah. Tetapi aku mahu balik dengan segera. Aku mahu memecutkan kereta sampai ke rumah. Mahu melapangkan masa dengan Fifi dan mahu bertemu lagi! Ya – aku rindu! Merinduinya dan sumpah aku mahu segera mendengar suara lelaki itu.
Juga senyumannya.
***
“Cahaya!” serunya perlahan. Lelaki ini sedang berdiri dengan senyuman. Fifi apatah lagi, apabila nampak sahaja tubuh tegapnya berjalan ke arah kami, terus berlari dan Adib pantas mendukungnya. Dari jauh aku melihat sahaja perlakuan mereka berdua. Sungguh Fifi merindui lelaki ini.
Kini, dia di hadapanku. Aku turut sama membalas senyumannya.
“Ya!” mataku memandang Fifi yang tersenyum.
“Haih, saya betul-betul rindu dengan awak berdua. Sampai asyik bermimpi-mimpi tahu tak?” Adib mengenyit mata. Eh, dia sudah pandai mengenyitkan matalah! Fifi ketawa seronok.
“Betul ke uncle rindu dengan Fifi?” Fifi memeluk leher Adib.
Adib angguk lagi dan matanya memandang aku. “Lagi rindu dengan mama Fifi!”
Kami ketawa senang. Aku menunduk memandang lantai. Ah, memang hati berdebar-debar kala ini. Dia sudah pandai mengusik. Menambah rencah dengan perhubungan kami ini. Benarkah kami sekarang sedang di fasa mengenali hati dan budi masing-masing? “Ala, uncle kena rindu juga dengan Fifi. Mesti dan mesti!”
“Okey-okey! Uncle akan rindu Fifi lebih sikit dari mama! Setuju?” lelaki itu pantas berjalan membawa kami. Aku mengikut sahaja rentak kakinya.
Fifi mengangguk-angguk lagi, “Setuju dan Fifi suka! Yeayyyyyy!”
“Okey. Kalau setuju kita pergi makan sama-sama. Cah okey tak? Pilihan tempat?” tanyanya senang dan meminta aku memegang beg sandang coklatnya. Perilakunya yang menyenangkan. Senyumannya yang sentiasa menghidupkan hati ini. Pantas aku mengambil begnya dan memegang. Haruman minyak wangi menusuk ke dalam hidung. Beg pun bau wangi!
“Cah tak kisah. Mana-mana pun okey!” jawabku seadanya.
Adib mengangguk dan tersenyum lagi. Suasana sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur terus sesak dan padat. Langkah Adib sederhana dan mahu mengajak kami keluar dari kesesakan yang nyata ini. Akhirnya kami bertiga di dalam kereta Adib.
“Dalam 20km dari sini ada restoren di sebuah hotel. Kita makan di sana ya. Sesekali, tak salah kan? Saya belanja dan uncle Adib nak belanja Fifi yang uncle rindu sangat-sangat ni. Setuju semua?”
Fifi ketawa riang! Dia awal-awal lagi sudah masuk ke tempat duduk belakang. “Mestilah Fifi suka. Lagi-lagi makan dengan uncle Adib. Seminggu rasa macam satu tahun tau!”
"Satu tahun?” Adib pura-pura.
Fifi mengeluh. Menepuk dahinya. Comel sahaja tingkah Fifi. “Laaaa…Fifi dan mama rasa rindu macam setahun tak jumpa. Seminggu uncle pergi jalan-jalan rasa macam setahunla!” penerangan Fifi membuatkan aku tersenyum senang dan Adib ketawa besar.
“Kalau dua minggu, dua tahunlah ya?” Adib bertanya lagi dan Fifi mengangguk penuh ceria.
Pantas, enjin keretanya dihidupkan. Perjalanan terasa mendamaikan dengan soalan-soalan manja Fifi. Aku pula, lebih banyak mendiamkan diri. Rasa segan itu memang masih ada namun aku buang ia jauh-jauh.
Dengan sendirinya, aku senang dan memerhati cara lelaki ini melayani Fifi. Aku sedang membenarkan rasa cinta ini untuk lelaki lain. Aku sekarang sedang mencuba melupakan bayangan silam kenangan antara aku dan abang Shafi’e. Apa juga kelak yang berlaku, adakah aku mampu mengawal rasa ini.
Dan tahukah juga lelaki ini bahawa sesak dada ini sesekali akan menyinggah apabila kenangan antara aku dan abang Shafi’e bertamu. Ia cukup kuat di hati dan sesungguhnya ia amat sukar untuk aku melupakan dan meluputkan nama Shafi’e.
Mampukah Adib mengerah masa dan detik supaya aku menyematkan namanya seperti nama abang Shafi’e? Mampukah juga dia menunggu aku untuk betul-betul bersedia namanya di dalam hati ini?
Kali kedua kami menikmati makanan melazatkan bertiga. Berbual bersama-sama dan Fifi lebih banyak mengawal aku supaya jangan menyamakan lelaki ini dengan abang Shafi’e. Anak daraku yang lebih banyak memahami. Fifi yang dari mataku kelihatan matang dalam serba serbi.
“Uncle ada belikan hadiah untuk Fifi tau!” suara Adib kedengaran lagi.
“Mana uncle? Tak ada pun!”
“Nanti uncle beri okey! Ada dalam kereta.”
“Untuk mama?”
Adib tersenyum lagi. “Ada juga!”
“Awak belikan saya apa?” tanyaku senang.
“Beli hati!” dia ketawa. Mudah sekali jawapannya. Fifi yang ‘nampak’ faham pun turut sama ketawa. Amboi Fifi!
Aku menyedut minuman. Air tembikai laici yang sungguh sedap. Ramuan dicampur dengan kadar gula yang minimum. Hilang dahagaku.
“Beli hati saya yang amat mahal!” jawabku dan membuatkan Adib tersenyum.
“Insya-Allah. Yang mahallah saya nak sambar tapi belum temu jawapan dari mulutnya! Kan? Tapi bagi saya kan, saya dah nampak jalannya. Senang sahaja saya membelinya nanti! Duit pun banyak dalam bank ni!” ulasnya jujur.
“50 ribu!” gurauku!
“ Dan Fifi perlu 25 ribu!”
Dan Adib terus berhambur ketawa. Jual diri namanyakah, Cahaya? Aku bertanya diri sendiri. Turut sama aku ketawa. “ Eh tak, saya gurau!” aku batuk tiba-tiba. Adib pantas melayani Fifi yang terjatuh makanannya. Sup lantas didekatkan dengan Fifi dan disuap penuh kasih sayang.
Dalam keadaan itu, aku perhatikan lagi sikap prihatinnya dengan Fifi. Penuh minat!
Adib pula dengan pantas memandang aku. Gurauanku akhirnya terpadam tiba-tiba. “Hujung minggu ni, kita jalan-jalan nak?”
“Pergi mana uncle?” Fifi pula terlebih minat. Pantas Adib memandang pula Fifi dan membersihkan mulut Fifi yang comot dengan tisu yang diambil di hadapanku. Memang bila kami bertiga, Fifi akan duduk di sebelah Adib. Tidak mahu duduk lagi bersebelahan denganku dan cukup benar manjanya dengan Adib!
“Kita minum petang! Fifi nak?”
Fifi angguk melebih-lebih. Matanya memandang aku. Cepat dan tepat! “ Mama nak tak? Mama setuju ya?”
Mataku terus melekat, melihat wajah kacak Adib! “Dengan siapa?”
“Umi, abah dan Haryati! Awak masaklah apa-apa. Bihun goreng ke. Kita berpot luck! Duduk bawah pokok, tengok alam sekeliling. Itu kesukaan saya! Jom!” ajaknya lagi penuh ceria.
Aku suka melihat dia tersenyum. Ada lesung pipit yang menyamankan. Ah, hati ini! “Awak masak! Saya nak rasa!” tanyaku lagi.
Dia angguk memandang Fifi yang tersenyum-senyum. “Mama dah setujulah tu uncle. Tapi uncle Adib janji yang uncle akan masak. Sedap-sedap tau! Dan bolehlah Fifi jumpa lagi dengan aunty Haryati dan nenek ya!”
Adib angguk. Bola matanya menyinar lagi dan lagi! “Mama memang dah setuju! Uncle tengok muka mama pun, uncle tahu dah!”
Fifi menjeling aku dan mengangkat ibu jarinya tanda suka. “Macam tulah mama! Sayang mama!”
Aku ketawa gembira. Pelawaan Adib yang mencorakkan hati dan mewarnakan rasa ini. Fifi dan aku. Kini dengannya pula! Rasa bahagia dan ketika ini, kami sedang mengenali dan sedang bersama-sama mengeratkan cinta. Ada Fifi yang menambahkan kehangatan rasa ini.
Paling tidak, aku sedang mencuba menyematkan namanya di hati. Aku cuba sedaya upaya. Rasa sayang ini, aku bawa perlahan-lahan. Angin terus membalut waktu! Aku, Fifi dan Adib kini sama-sama membawa rasa hati.
Aku bawa keyakinan dan aku berjanji mahu cepat-cepat mengatakan ya dengan lamarannya. Istikharah itu penyambungnya dan Haryati aku tahu sedang menanti jawapan ini dengan penuh kesyukuran. Dan aku tahu, Adib sedang merancang memperkenalkan aku dengan ayahnya. Wajah tenang umi juga memanggil aku.
Sungguh, saat melihat Fifi dan Adib berdua di hadapan mata, aku rasakan ketenangan ini. Mudah dan aku jelas maksud yang Allah swt hantarkan ini.
Aku tersenyum memandang Adib dan Fifi.
Tetapi aku sebak kerana lelaki ini hadir dalam hidupku dan menawarkan hidupnya untuk bersama denganku. Mampukah lelaki ini, menjaga dan melayani aku?
Cah, saya tahu sukar awak memberikan jawapan, tapi saya ikhlas. SMSnya menjadi pengubat rindu! Dan kini dia dihadapan mata sedang tersenyum dan terus tersenyum. “Semua perempuan yang jumpa saya akan kata mata saya sangat menggoda! Walau sedikit sepet!” Adib memandang aku. Kenangan pertama berjumpanya di dalam perut kapal terbang terus menghambat. Dialog yang sama! Aku ketawa. Juga dia dan sisanya membunuh lagi saluran darah ini. Jantung berdegup laju!
“Eiiiii…uncle gatal!” Fifi memandang Adib dan aku.
Kami ketawa dan menyambung lagi suasana ini dengan penuh bahagia.
Ya, mata dia memang menggoda!

5 Toing Toing!:
alahai uncle adib, sye pung tguder taw
Seronoknya akak baca cerita ni... Diiringi pulak music romantik ohh... Hihi :-)
best n sronok baca en3 nie, tsenyum2 ..ehheh..x suke ngan aizul..writer chaiyok chaiyok..hehhe
Arrrgghhh.. bila baca part Aizul, rasa cam nak lempang2 jerrr. Cahaya ni lembut sangat! Kalo ahkak laa... ish ish ish... mau terkedu plak adik badik Aizul tu terkezut! hahaha
akhirnya khatam juga akak membaca Yang Terindah dari bab 1 - 11, boleh jatuh cinta daaa...
Catat Ulasan