Pages

24 April 2012

Dia, Cinta Hati Saya 10

Dia, Cinta Hati Saya menjejaki carta hati saya! Hehehe. Eceh! Alhamdulillah, sudah bab 10 dan perkembangan Zain semakin baik nampaknya. Hahaha. Mari, kita susuri kisah Majdina dan Zain pula hari ini! Semoga semua suka!


iwnews01


Bukan pertama kali saya menyarung baju kurung seperti hari ini. Tetapi seperti bab-bab yang lalu ketika kalian membaca kisah saya ini, baju kurung, secara rasminya saya sarung dan kurungkan membalut tubuh ini ketika pagi aidilfitri. Selalu sahaja saya menyebut kolot jika saya memakainya dan panas akan betul terasa. Bibir juga akan cepat berkata, saya tidak cantik dengan berbaju kurung.

Ajaib bukan kerja Tuhan?

Sekelip mata persepsi itu berubah untuk hari ini dan bila mata saya melihat Husna memakai baju kurung, saya rasa Husna adalah wanita paling cantik di mata ini. Entah saya tidak tahu kenapa dan apa yang merasuk fikiran saya ini. Dan saya cemburu melihat kecantikan Husna. Saya cemburu melihat Zain melayani Husna dengan baik sekali. Saya cemburu mendengar setiap lontaran kata-kata yang Zain keluarkan dari bibirnya untuk Husna.

Hati..kenapa dengan hati ini?

Baju kurung latarnya serba putih dan ada bunga ros kecil-kecil berwarna merah sudah tersarung cantik. Bunga ros yang bertaburan menyerlahkan lagi wajah putih saya ini. Saya tarik nafas dan pandang tudung yang dibeli semalam. Itupun, secara serang hendap saya membawa bibik J  keluar dan kami sama-sama mencari buku, sepasang baju kurung di butik Maya dan dua helai tudung.

Buku pertama yang saya beli adalah buku mengenai solat. Kata bibik J, “Beli dahulu buku ni. Nanti lama-lama kamu beli pula buku lain ! Dina kata nak belajar solat, bukan ?”

“ Perlahan-lahan ! Kelak kamu pasti boleh !” Bibik J tersenyum lagi. Saya terkebil-kebil rasa syahdu !

Ah, apa daya saya selain penuh keharuan memeluk buku berkenaan di dalam bilik. Sambil mengesat-ngesat air mata, saya pandang buku berkenaan. Mampukah saya menghafal setiap ayat-ayat yang terkandung di dalam buku ini? Mahu menyebutnya pun saya rasa payah! Perlukah saya belajar kembali mengaji? Perlukah saya melembutkan lidah saya ini kembali? Saya mahu terang menyebutnya dan sempurna solat saya. Baju kurung juga saya gantung dan gosok baik-baik seperti esok, saya akan menyambut kemeriahan aidilfitri. Saya berdiri juga di hadapan cermin selama satu jam mencuba tudung yang dipilih oleh bibik J.

Dan pagi ini, selepas solat subuh dengan bacaan yang merangkak-rangkak, saya sudah melafazkan janji kepada diri untuk berbaju kurung.

Dan sekarang, di hadapan cermin. Saya cukup rasa saya adalah wanita paling cantik di dalam dunia kerana baju kurung ini. Juga saya sudah kembang kempis tersenyum dan merasakan yang saya lebih cantik dari ‘Dik Husna’. Nanti, adakah Zain akan suka dengan perubahan saya ini? Betulkah nanti saya ini, cantik dan  akan tersusun indahnya di mata Zain?

Zain.

Dan sekiranya betul, saya jatuh cinta dengan dia, saya tidak mahu Zain menjadi perantara dan sebab  perubahan saya ini. Cukuplah saya mahu berubah kerana hati dan rasa syahdu yang membuak-buak itu. Tetapi saya tahu, Zain juga faktor terpenting saya menjadi Majdina seperti sekarang ini. 

Umi juga insan yang sebetulnya berdiri di belakang saya.

‘Dik Husna’ juga yang membuatkan mata ini sejuk memandangnya.

Saya senyum penuh puas. Membetulkan lagi baju kurung dan memerhati diri yang sudah bertudung! Ajaibnya saya rasa tenang! Tidak ada perasaan takut! Adakah proses perubahan saya ini, terus drastik dan membuta tuli? Atau, adakah saya akan tewas dengan pujuk rayu syaitan untuk kembali dengan sikap-sikap lama saya itu?

Saya pandang cermin dan entah kenapa, ada air mata sayu menitis-nitis. Rasa kerdil memandang kesempurnaan sendiri hari ini. Rasa sungguh hiba dan bergunung-gunung dosa menghimpit diri. Saya masih belum sesempurna orang lain! Saya masih belajar dan akan terus belajar.

Ya, saya sudah nekad. Saya mahu belajar bersolat. Saya mahu menghafal kembali ayat-ayat dalam solat yang lama saya tinggalkan. Saya harus mengaji. Saya harus membaca banyak buku ilmu mengenai Islam dan sejarah Nabi Muhamad s.a.w. Sungguh saya banyak ketinggalan dalam banyak perkara!

Sayu menjentik naluri! Adakah Allah swt mengampunkan dosa-dosa saya? Adakah Allah swt menerima perubahan saya ini sekiranya di tengah-tengah perubahan  ini, jambatannya adalah Zain? Adakah Zain bersalah kerana perubahan saya ini?  Saya tarik nafas dan kesa air mata.

Cuba bertenang dan bila bibik J masuk ke dalam bilik, matanya memerhati saya yang bertudung litup. Dia perlahan-lahan mendekati saya.

“Dina, puan panggil sama kamu. Mari kita sarapan!” dan bibik J berdiri di hadapan saya dengan rasa hiba.

Saat bibik J berkata, “Kamu kelihatan cantik sekali, Dina! Dan cantik kamu hari ni kerana Allah swt!”

Saya terus memeluk kuat bibik J dan menangis teresak-esak! Saya terus mengucup pipi bibik J biarpun bau bawang melekat di pipinya! Saya terus menarik tangan bibik J dan menyalaminya. Saya menghormati bibik J seperti ibu kandung saya sendiri. Saya menyayangi bibik J kerana bantuannya juga saya sudah sampai sebegini.

Keharuan dan pagi itu, kami kesedihan dalam kegembiraan! Alhamdulillah, ucap bibik J berkali-kali!

“Kamu turun cepat ya Dina! Minum pagi!” bibik J mengingatkan saya. Episod air mata, terhenti bila bibik J mengingatkan. Saya kesat air mata dan kembali menarik nafas! Sudah beberapa hari saya asyik menangis dan menangis! Berendam air mata yang mendinginkan sanubari. Dan saya tahu, air mata ini penawar.

Saya capai beg tangan dan terus turun untuk bersarapan. Sudah beberapa hari bercuti sakit dan semestinya kerja-kerja di pejabat tertunda.. Kata bibik J ketika kami berdua memilih tudung semalam, “Perlahan-lahan! Istiqamah!”

“Istiqamah tu, apa?” saya tersengih memandang bibik J yang turut sama tersenyum.

“Ia bermaksud berterusan. Sikit-sikit berubah dan berterusan dengan apa yang Dina mahukan ! Dina pasti boleh!”

Saya angguk dan mengingati pesan-pesanan bibik J. Saya pandang bibik J. “Jika Dina mahu ketemu Zain, bibik J rasa bagaimana?”

Bibik J pula tersenyum sipu. Saya sudah menceritakan perihal Zain. A sampailah ke Z kepada bibik J.  Bibik J memandang saya penuh nakal. “Pasti Zain terharu! Gembira dan akan memeluk kamu!”

“Ops!!!!” dan kami berdua tertawa bahagia. Dan rupa-rupanya layanan baik saya terhadap bibik J dibalas sebegini oleh Allah swt. Dan saya mahu juga berkata, ajaib sungguh perancangan Tuhan.

Saya ambil beg dan nama Zain bergema di dalam kotak kepala. Sihatkah kamu, Zain? Tidakkah kamu rindukan saya seperti saya merindui kamu? Saya terus melangkah. Membuka pintu dan menuruni tangga. Saya tarik nafas apabila mendengar suara papa, abang Mukhlis dan abang Muzayyan. Dan sekali lagi saya atur langkah apabila mendengar suara ibu menjerit,  “Majdina, turun breakfast sayang !”

Dan suasana menjadi sunyi sepi.  Saya berdiri di meja makan. Memandang papa dan ibu. Mata memandang abang Mukhlis dan abang Muzayyan.

Abang Muzayyan, rotinya melekap di bibir.

Abang Mukhlis, cawannya terjatuh sehingga menumpahkan air kopinya. Papa, dengan akhbar terhenti bacaannya. Mama pula ternganga tanpa berkata apa-apa.

Crazy! Mimpi apa malam tadi? Kiamat ?” Abang Mukhlis memandang saya. Penuh sinis soalannya. Saya tarik kerusi dan papa memandang saya penuh minat. Saya tuang air milo kegemaran saya sendiri.

“Dina?” ibu melopong. Mata ibu tak lepas menjamah wajah saya.

“Mimpi mati ke malam tadi?” abang Mukhlis masih tidak senang duduk. Saya diam. Menarik nafas dan setidak-tidaknya papa tidak berbunyi apa-apa. Mama berdiri tiba-tiba dan cepat-cepat mampir ke arah saya. Kepala saya diusap.

“Tak cantiklah sayang pakai tudung. Nanti semua tak nampak rambut Dina yang cantik tu. Kenapa dengan Dina ni, sayang?” ibu memeluk leher saya. Dan roti yang mahu saya capai, ditarik keras oleh abang Mukhlis. Dia memang suka mencari masalah.

“Jangan nak tunjuk alim tiba-tiba. Kau kenapa ni, Dina? Syaitan apa yang merasuk sampai jadi begini ni? Bukan kalau wearing baju kurung akan kolot dan panas ke ?” suara abang Mukhlis melekat lagi. Roti sengaja dijauhkan dari piring saya. Ah – sampainya hati abang Mukhlis membuat dia sebegini.

Ya, susah sebenarnya berubah. Betul kata bibik J. Kamu akan digoda syaitan! Manusia mana yang suka kita membuat kebaikan, Dina! Apa lagi, kawan-kawan dan orang yang rapat dengan kamu!

“Tak panas ke sayang?” ibu memujuk lagi.

Saya gelengkan kepala. “Tak bu. Dina suka dengan keadaan diri Dina sekarang. Apa yang abang Mukh nak  cakap, nak kutuk atau apa sahaja kata orang lain, Dina tak akan peduli.”

“Heiii...ustazah mana yang dah sesatkan kau ni, Dina?” Abang Mukhlis menambah panas di hati. Ah, sayu terasa benar pagi ini. Kekuatan hampir hilang. Doa kudus di dalam hati terus bersemi.

Zain, mahukah Zain tahu bahawa dalam detik sebegini, kamu menjadi kekuatan. Alunan syahdu bacaan Al-Quran kamu itu menjadi nadi Dina untuk terus bernafas. Dan umi, tahukah umi bahawa senyuman umi itu memberikan ketabahan untuk Dina di sini.

“Mukh, stop! Pleaselah, jangan kacau hal peribadi orang lain. Dina nak pakai baju kurung ke, wearing tudung ke, apa masalah kau sebenarnya ni?” Abang Muzayyan membidas.

Ibu masih memeluk bahu saya. Dan dalam keadaan terpinga-pinga melihat saya sebegini ibu berjalan dan duduk lesu. Ibu menelan air liur. Bibir terus terkunci dan seolah-olah tertampar dengan jawapan dari bibir merah ini.

Ibu terketar-ketar menuangkan kopi untuk papa. Agaknya ibu perasan, mata papa yang menyuruh ibu segera duduk. Kenapa ibu tidak memeluk saya dan mengucapkan syukur untuk perubahan baik saya ini? Kenapa bibir ibu terkunci mati?

“Mukh okey. Tapi peliklah kan, adik kita yang selalu terkinja-kinja dan kaki kelab ni sekarang dah berubah. Nasib baik tak pengsan! Huh!” Abang Mukhlis menuang sendiri air kopi. Bibik J tergopoh-gapah mengelap meja kerana airnya tumpah tadi.

Papa berdehem perlahan. Pantas melipat surat khabar dan memandang saya. Papa hirup kopi.

“Alhamdulillah!” sebut papa perlahan-lahan. Suara papa bergetar bersama angina! Angin dingin dengan pantas menyelimuti tubuh ini. Saya rasa terharu dan sungguh sebak. Saya pandang papa dengan penuh rasa kasih sayang. Ya, sebelum ini, papa membenci saya kerana tindakan luar kawal diri yang melampau-lampau! Papa pernah memukul saya kerana saya meneguk air syaitan dan papa pernah mengurung saya kerana saya selalu berpeleseran.

Saya tahu papa sibuk dengan urusan kerjanya. Saya tahu papa sibuk ke sana dan ke mari mengumpul harta. Tetapi saya tahu, papa selalu risaukan saya dan keselamatan saya. Tetapi kesibukan papa selalu menghambat diri dan saya selalu berkata, papa tidak sayangkan saya lagi!

Papa tersenyum dan membuat ibu terdiam. Abang Mukhlis terlopong lagi!

Abang Muzayyan yang selalu tidak ambil peduli hal diri saya, terkedu seribu bahasa!

“Papa setuju, Dina! Papa setuju anak papa berubah kerana kebaikan! Subhanallah!” dan untuk pertama kali, saya bangun dari duduk. Mara ke arah papa dan memeluk bahu papa. Papa terus berdiri dan akhirnya saya bertangisan disaksikan ibu, abang Mukhlis dan abang Muzayyan.  Saya memeluk papa erat-erat. Seperti kali pertama memeluk papa dan seolah-olah saya memperolehi semangat baru dan seperti baru dilahirkan ke dunia ini.

Ya Allah! Dan hari ini, kalimah Allahuakbar, Alhamdullilah dan Subhanallah mula terbit dari bibir papa!

***

Saya mengambil cuti separuh hari. Selepas mengemas meja, menyerahkan sijil sakit dan berjumpa Penolong Pengarah untuk meluluskan cuti, saya terus membawa kereta. Membawa kereta terus ke rumah umi. Membawa diri mencari Zain, cinta hati saya itu! Juga bertemu Husna yang pastinya terkejut dengan penampilan baru saya ini.

Tenang.

Ya, saya rasa tenang dan tidak pernah rasa sebegini. Sampai sahaja di pejabat, dan menolak pintu, teman-teman memerhati saya dengan penuh rasa takjub! Raihana membisu dan memerhatikan saya dari atas ke bawah. Dia terkejut dan pipinya merah!

Juwita memandang saya! Menarik saya masuk ke dalam pantry! “Dina…” dan dia memeluk tubuh ini bersama kehangatan.

“Lama kau bercuti, Dina! Dan hari ni kau datang sebegini! Ya, Allah! Cantiknya kau, Dina!” Juwita tersenyum memandang saya. Ah, Juwita meski masih tidak bertudung seperti saya sekarang ini, tetap menyatakan rasa kagum dan hormatnya kepada saya. Dan akhirnya, saya kembali memeluk Juwita dan menangis kegembiraan.

“Kita masih kawan, kan?” tanya saya ikhlas dari hati.

Dan Juwita mengangguk sambil mengesat air mata saya! Pokoknya suasana pejabat pagi tadi, hening! Penuh bisu dan kejutan melanda bagaikan tsunami baru sahaja berlaku. Dan kerana tidak mahu pejabat terus dilanda pertanyaan, saya terus memohon cuti! Dan kini kereta menyusuri jalan raya!
Saya mahu bertemu umi dan Husna.

Juga semestinya saya mahu bertemu dengan Zain.

Dan bila umi membuka pintu. Mata kami bertentangan. Saya tersenyum menawan. Bibir umi terketar-ketar! Mata umi berlaga beberapa saat dengan bola mata saya. “Dina! Alhamdulillah!” Dan umi merangkul saya dengan penuh rasa kesyukuran. Bibir umi terus sahut bersahutan. “Allahuakbar!”

Gema tasbih berlawanan kini! Umi menitiskan air mata! Begitu juga saya! “Dina cantik macam dik Husna kan, umi?” sayu soalan keluar dari bibir ini.

Umi menutup mulut mengawal rasa hibanya dan membawa saya masuk. Umi mengangguk-angguk! “Ya, Dina cantik macam dik Husna. Lebih cantik dari dik Husna!” sekali lagi jemari saya digenggam dan tubuh saya dipeluk erat. Rumah papan ini menyejukkan. Sambungan rumah batu di bahagian dapur turut sama menghangatkan. Dan bau bubur pulut hitam di atas dapur membuat selera saya bertambah-tambah.

Umi terus menarik saya masuk ke dapur. Menuruni enam anak tangga dan perlahan-lahan umi menarik kerusi. “Dina duduk dulu. Umi buatkan air.”

Saya gelengkan kepala. Sepantas kilat saya tarik jemari umi. Menarik kerusi dan saya mahu umi duduk bersebelahan dengan saya.  “Dina boleh ambil sendiri. Umi jangan risaukan Dina.”

“Eh, tetamu!” pintas umi.

“Dina nak berbual dengan umi! Ala, bukan senang nak jumpa umi. Hari ni kebetulan sempat.”

Dan akhirnya umi duduk mengamati wajah saya. Umi tersenyum lebar. “Dina sihat?” suara umi perlahan dan saya mengangguk.

“Dina sihat. Umi?”

“Umi sihat Alhamdulillah. Rindu dengan Dina!” tambah umi.  Saya tarik nafas. Seketika ruang dapur sunyi dan saya memandang umi lama-lama. Tenang betul memandang wajah umi. Rasa rindu dengan ibu terubat bila melihat wajah umi.

Saya tarik jemari umi dan genggamnya dengan erat. “Susah nak jadi baik ya, umi!”

“Mana ada dalam dunia ni yang menyenangkan, Dina! Makan pun susah, kan?” Umi tersenyum dan mengusap pipi saya. Tambah umi, “Memang bila kita buat kebaikan, kita akan diduga. Lagi-lagi bila kita mula nak berubah jadi baik! Allah akan uji, Dina!”

“Dina boleh ke umi? Jadi anak yang baik macam dik Husna? Jadi solehah macam dik Husna dan lemah lembut selalu macam dik Husna?”  Ah- dik Husna sentiasa saya sebut sebagai wanita contoh. Entah kenapa saya jadi terpikat dengan penampilan Husna.

Umi angguk penuh semangat. “Ya, Dina boleh! Selagi Dina ada Allah swt dan yakin!”

Pantas saya memeluk umi. Rasa terharu dan kekuatan bertambah-tambah untuk diri. “Umi suapkan Dina bubur pulut hitam, boleh?” pintas saya dan umi tersenyum.

“Umi memang buatkan bubur pulut hitam lebih ni. Rupa-rupanya ada tetamu istimewa nak datang. Zain suka makan bubur pulut hitam. Eh, Dina tak nak makan nasi?”  sapa umi ramah tamah. Bila sahaja umi menyebut nama Zain, saya rasa indah sekali. Saya rasa tenang sekali.

Saya gelengkan kepala. “Tak nak makan nasi. Dina nak makan bubur pulut hitam yang umi buatkan. Kalau Zain suka makan bubur ni, Dina pun suka!”

Dan sepantas kilat, seperti selalunya. Umi bangun dengan penuh kasih sayang. Menyendukkan bubur ke dalam mangkuk. Panas-panas lagi! Pastinya umi siapkan awal sementara menanti Zain pulang dari bekerja.

“Husna pergi kelas. Petang nanti dia balik dan mesti terkejut tengok Dina hari ni! Hari-hari dia menyebut nama Dina sahaja. Sampai abang Zain tersipu-sipu dibuatnya!”sambil ibu mencenduk bubur, bibir umi tidak lekang bercerita mengenai Zain dan Husna.

Saya menanti penuh sabar. Sehingga umi kembali duduk di sebelah saya, menyuapkan saya bubur pulut hitam.

Suapan pertama sambil umi menyenduk-nyenduk bubur panas itu, saya berkata, “Dina rindu betul makan suap-suap begini dengan ibu. Masa kecil-kecil dulu selalulah! Sekarang, dah jarang umi!” air mata menitis lagi.

Suapan kedua sambil umi menahan esak tangisnya, saya berkata, “Dina rindu betul berbual-bual mesra dengan ibu seperti berbual dengan umi sekarang ni!” air mata tumpah dan bubur disuap penuh kasih sayang. Kenapa saya tidak mampu meluahkan rasa hati seperti ini kepada ibu? Kenapa?

Suapan ketiga memencilkan rasa hati. Saya terus memandang umi yang perlahan-lahan mengawal sudu. Saya terus berbicara, “Dan Dina rindu memeluk ibu seperti Dina memeluk umi!” lantas mangkuk bubur diletakkan perlahan di atas meja. Umi terus memeluk saya kuat-kuat dan umi menangis tersedu-sedu bersama saya.

Air mata saya tumpah lagi dan lagi. Antara benar, saya mahu sekali memanggil ibu perlahan-lahan dan memeluk ibu sebegini. Tetapi saya takut dan saya takut tidak dibalas oleh ibu.

Dan di bawah langitmu hari ini, Ya Allah! Saya solat berjemaah Zohor dan Asar bersama umi di ruang tengah rumah. Sempat umi membetulkan bacaan Al-Fatihah dan surah An-Nas saya.

Menitipkan lagi ingatan untuk saya! Memberikan saya kekuatan dan detik berlalu indah bersama umi hari ini. Sehingga pintu rumah diketuk perlahan. Suara Zain memberi salam kedengaran. Saya telan air liur. Proses membasuh dua tiga biji mangkuk dan beberapa sudu di dapur seakan terus melekat mahu dicuci lebih lama. Suara umi menjawab salam dan derap tapak kaki Zain semakin mendekati.

Saya tidak tahu apa yang boleh saya lakukan saat ini. Mahu melihat cermin, cermin tiada. Saya takut wajah saya comot. Saya perhati baju kurung cantik yang melekap. Masih elok terletak dan cuma saya berbau sedikit masam kerana berpeluh. Ah! Teruknya saya! Saat begini pun saya boleh memikirkan mengenai masam dan wangi diri.

Eh, Zain akan datang ke dapur. Semestinya saya harus kelihatan cantik dan wangi!

Tetapi saya terus membasuh pinggan mangkuk. Meredakan debaran kerana rindu berhari-hari itu menyesakkan dada. Kerana nama Zain sentiasa melekat di jiwa!

“Assalammualaikum…” suara garaunya melekat di hujung jantung!

Dan debaran itu terus berganda bila saya menoleh. Dia tersenyum menawan. Memandang saya dan seketika kemudian dia menundukkan pandangan. Jemari saya penuh dengan sabun dan saya terus lupa mahu menjawab salam yang diberikan oleh Zain.

“Umi kata ada bubur pulut hitam! Mana?” tanyanya sehingga saya terkaku!

Sumpah saya terkedu! Dan saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan saat ini. Kenapa dengan saya? Mana umi? Mana Husna? Saya terdiam lagi.

“Majdina….” Panggilnya perlahan. Suaranya terus tembus ke dalam jantung!

Dan kali ini saya betul-betul hilang pedoman!

12 ulasan:

  1. Tanpa Nama25/4/12 00:27

    hehehehehe,,xsbar nk smbung eps0d sterusnye,,pe jd pd dina dan zain ?n ske sgt,,dina dh pkai tdung,,!

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama25/4/12 00:37

    sweetnye zain n dina..luv it..x sbr nk baca lggg

    BalasPadam
  3. Tanpa Nama25/4/12 09:46

    Ohhhh....sukanya saya baca kisah dina dan zain ni, dihah!bagaimana awak mengatur perjalanan seorang gadis yang mahu berubah kerana lelaki. sedih ada dan bila dina bertemu zain, saya cukup rasa bahagia.

    mizz nina.

    BalasPadam
  4. sekali lagi saya menitiskan air mata...melihatkan kasih sayang umi pada Majdina...mengingatkan saya pada mama yang ada di kampung,walaupun tak rapat,tak dekat...mendengar leteran mama setiap kali telefon dah cukup untuk mengubat rindu dalam hati ini...

    BalasPadam
  5. Tanpa nama (2 orang sekali)

    Terima kasih. Tunggu sambungannya ya! hehehe.

    Mizz Nina...hehehe....saya pun bahagia awak membacanya.

    Nur Ati Za, ehh.jangan menangis dik! semoga menjadi kekuatan untuk awak ya! amin-amin

    BalasPadam
  6. Tanpa Nama25/4/12 11:41

    Saya suka dengan jalan cerita ni..cerita cinta yg bertemakan keagamaan..amat bagus sekali..tahniah Cik Penulis..

    BalasPadam
  7. ye saya...ehhh..zain bukan panggil sy ke...hahahahah...*toing3x...maaf puan author..lambat baca...saya menjaga si dia cinta hati saya di spital...kihkihkih

    BalasPadam
  8. @Tanpa Nama Terima kasih banyak-banyak! Lebiuuu...

    BalasPadam
  9. @greenHihihi..perasan Zain panggil dia. Incik abang dekat hospital tu yang kena didahulukan. Tak apa lambat baca puan green. :)

    BalasPadam
  10. ainulrida26/4/12 16:58

    Sekali lagi, Mardihah berjaya membuat saya menitiskan airmata. Teringat pada Mama saya walaupun garang tetapi saya tahu dia sangat sayangkan anak-anaknya yang 5 org ini dan juga semua 5 menantunya. Setiap kelahiran 5 anak saya, Mama yang jaga makan minum & pantang saya. Adik ipar saya akan bersalin bulan depan dan Mama dah siap jadual bila nak KL lagi.

    BalasPadam
  11. Sweet sgt smpai mengalir air mata. terasa insaf kerana diri ini juga serba kekurang daif dalam islam. saya nantikan sambungannya.

    BalasPadam
  12. Assalamualaikum kak....akak punya story yg nie mmg mmbuatkan saya rasa sebak dan nak menangis....hahahah...thanks b'coz menulis cerita ini...

    BalasPadam