Pages

10 Julai 2014

Udin & Jen 5

Udin. Inilah Shahbudin. Entah sape-sape aje aku rembat jadi hero. Asal sedap mata memandang. Hahaha






Shahbudin & Sofea Jameela

“Eh, Udin!” Jen bulatkan mata. Bibirnya tersengih-sengih macam entah nampak apa.

Udin berpusing. Mata menikam terus wajah yang semalam muncul di dalam mimpi. Allah, rezeki sungguh kau. Boleh pulak aku jumpa dia kat mesin atm ni. Saari oi, kan aku cakap, muka aku ni muka ala-ala playboy. Kehkeh. “Nak keluarkan duit jugak ke?” soalan cepu emas terus terpacul dari bibir sang jejaka. Mata dia terkebil-kebil turut sama bibir menghadiahkan senyum untuk Jen. Hidungnya terus terbaukan aroma minyak wangi memikat dari tubuh Jen. Mak haih, wanginya! Tubuhnya terus berdiri di depan Jen. Haih, Udin…dah memang sah-sah kalau sesiapa yang beratur panjang di mesin bank kepala harimau ini untuk keluarkan duit.

“Heh Udin ni. Takkan lah I nak keluarkan shampoo Rejoice dari mesin atm tu. Mestilah keluarkan duit.” Jen gigit bibir bawah.

Dia garu-garukan kepala. Tersengih lagi sebab malu. Udin kembali beratur sambil membiarkan sahaja Jen di belakangnya. Tinggal lagi dua orang sahaja, maka dia akan segera menyucuk kad atmnya ini.

Suara Jen dari belakang yang sekarang sedang beratur bersamanya menggetarkan si jantung hati. “Eh Udin, beberapa hari lagi nak puasa kan? Marilah kita keluar makan sebelum Ramadhan ni. Boleh kenal-kenal dengan anak I. Nak?”

Makan? Kenal-kenal dengan anak you? Ini tawaran double triple untuk kau wahai Udin. Tapi bibir Udin menjawab selamba aje, “Eh, tak mahulah. Siapalah saya ni kan.” Dah tertukar ‘saya’ pulak si Udin ni. Hihi.  Iyalah, saya tu kan kata ganti diri untuk merendah diri. Udin telan air liur. Tubuh si jejaka sekejap-kejap ke depan. Kemudian dia akan memusingkan bahu 180 darjah untuk menikmati wajah nan ayu Jen. Nanti Jen akan kata dia sombong. Ialah, dah berjumpa beberapa kali pun, biarlah beramah mesra kan?

“Ala….kita kan kawan. Mama I nanti mesti suka kalau ada kawan-kawan datang makan kat rumah.” Jen sekali lagi menabur permintaan.

Udin memusingkan kembali bahu. Pandang tepat mesin atm yang kini tersedia untuk dia pula. “Eh, saya nak masuk dalam dulu. Nanti jap lagi kita borak.”

Jen memerhati saja tubuh tinggi lampai si jejaka ke ruang mesin atm. Ketika si jejaka turut sama menekan-nekan kata laluan, ketika itulah telefon Udin menjerit menyanyi minta diangkat.

Sambil menekan-nekan dengan laju suara Udin mengusik gegendang telinganya. Biar perlahan, tapi dia dengar.

“Iya, kau tengok ni. Aku ada singgit lapan kupang aje ni. Apedehal kau nak halau aku balik kampung?”

“……”

“Ah, mengadalah kau kak long. Nanti lah. Gaji Udin kan lagi seminggu. Lepas dah gaji, Udin tolonglah bayar duit sewa tu. Kata nak dahulukan.”

“……..”

“Iyalah, aku tahu nak Ramadhan ni. Kita sama-samalah beli. Takat nak berbuka, Udin boleh pergi masjidlah.”

“………”

“Ialah….ialah. Nanti aku bayar!”

Walau Udin memperlahan suaranya, dia cukup jelas boleh menikmati suara parau si lelaki. Ala, kasihannya dia. Dia pura-pura tidak dengar. Dia pura-pura membelek beg tangannya. Jen pura-pura juga membetulkan rambutnya.

“Saya dah!” Udin tiba-tiba berdiri sambil memasukkan telefon bimbitnya.

Jen memerhati rambut si Udin. Kemas sahaja penampilan lelaki ini. “Eh, you tunggu kejap ya. Ada benda I nak cakap dengan you. Kejap tau!”          

Udin gumam bibir. Sesekali mata tidak lepas dari memerhatikan pipi gebu Jen. Dia angguk lemah. Perbualan dengan kak longnya tadi mengundang keperitan. Berkira sungguh kau, kak long! Setakat nak bayar duit sewa rumah, dahulukanlah gaji kau tu dulu. Barang-barang rumah nanti aku belikanlah. Setakat kau suka kicap manis cap Kipas Udang tu, aku boleh beli dua puluh lapan botol tau tak? 

Sambil menunggu Jen di luar bank, Udin memerhati alam sekeliling. Amboi, drama sungguh hati kau, Udin. Tragis berlagu pilu bertambah-tambah bila memikirkan gertakan si kak longnya tadi. “Kau balik kampunglah. Tolong ayah bela lembu ayam, lagi berfaedah dari kau duduk dengan aku kat sini. Dahlah semua aku yang nak kena tanggung.”

Gerimis. Rasa terasing sungguh bila kak long babitkan dia sampai begitu sekali. “Kak long kau tu, mulut dia memang macam tu, Udin. Duduk ajelah dengan dia. Habis dia bebel sehari, esok lusa dia okey balik.” Suara emak melantun-lantun masuk dalam minda.

Tapi emak, kak long tu bukan setakat bebel sehari dua. Dia dah caci maki tau tak. Kalau lama-lama boleh jadi perang aje. Nasib baiklah Udin ni insan paling bersabar dalam dunia. Kalau tak, kak long tu dah memang makan penampar sulung Udin ni. Bila mahu pindah, kak long akan mengadu dengan ayah dan emak. Mana tahan, kalau hari-hari dengar mulut puaka kak long tu.

Bahunya terasa dicuit.

Jen senyum lagi.

“Amboi, mengelamun nampak.”        

“Eh, Jen. Taklah. I tengah memikirkan masalah Negara ni.” He he. Udin tayangkan giginya.

“Dah keluarkan duit?”

Jen angguk. “Dah. Jom ke sana.” Bibir Jen muncung ke arah gerai di bawah pokok.

“Eh, you tak bukak kedai ke?” Sambil mengikut ayunan si Jen, bibir Udin rancak bertanya.

Gelengkan kepala. “Kedai mana boleh tutup. Pekerja I ada. So hari ni I ada urusan perbankan. Sekejap lagi, I nak ke Ambank pulak. Kita minum dulu. Yok!”

Sehingga akhirnya punggung sudah duduk selesa. Meja di depan Udin, dengan tiba-tiba tersedia bihun tomyam. Air sirap limau pun sudah menanti. Ajaib sungguh kau Udin. Dalam mengorak langkah mengikuti ayunan si Jen. Dalam juga hujung mata dapat menikmati sisi keayuan si Jen, dia sudah duduk berdua pula di gerai yang sedang dipenuhi ramai pelanggan.

“Makanlah. I belanja.”

“Errrr….”

“You tak kerja?”

Gelengkan lagi kepala. Udin sudah tak mampu nak kata apa-apa. Sekadar menarik mangkuk berisi bihun tomyam dan membawa keluar sudu garfu dari dalam bekasnya.

“Syift malam.”

“Ohhh…”

“Terlanjur jumpa you ni, jom makan dulu. Lepas ni, I ada banyak urusan. Tadi pun terfikir, dengan siapalah I nak makan. Akhirnya nampak you. Tak sangka kan?” Jen sengih.

“Kita berjodoh!” Udin selamba sahaja menuturkan ayat sebegitu.

Jen angkat kening. Dia angguk. Mengiyakan. “Iya, berjodoh. Tepat cakap you tu. I pun suka kalau dapat makan dengan you ni.”

“You tak kisah kan kalau asyik muka I aje you asyik terserempak ni? Manalah tahu tak suka ke. Cakap tau!” Udin mula menabur kata-kata manis.

Heshhh.. ada pulak cakap gitu. I okeylah. Dah namanya nak ‘terjumpa’.” Jen mendekatkan pula nescafe aisnya. Bihun gorengnya baru sahaja panas-panas diletakkan oleh pekerja gerai.

Makan.

Minum.

Berbual. Apa sahaja.

Sampai akhirnya kepada matlamat utama Jen. Dia tarik begnya ke riba. Dikeluarkan wang secukup mana yang dia rasa. Entah berapa ratus.

“Ambiklah.” Jen senyum

Eh, apa ni? Apa ni Jen? Ni duit tau. Ni DUIT. Sekali lagi aku tekankan, ini duit dan bukan kertas kosong.

“I tahu you ada singgit lapan kupang aje dalam bank tu.”

Ahh – malunya! Udin rasa nak sorok muka bawah meja. Suara Jen terus bersambung-sambung masuk mencecah gegendang telinga, “Macamlah I tak dengar you borak dengan kakak you. Ambiklah." Jemari halus masih memegang kepingan wang kertas berkenaan. Jen masih setia berdiri. Duit juga tetap setia untuk diberikan kepada Udin. "I ikhlas ni.”

Dahi Udin berkerut-kerut. Malunya Ya Allah.

“Ikhlas hek?” Udin garu kepala.

“Habis?...you ingat I bagi ni ada sebab musabab lain? Ambik ajelah ada orang baik hati nak bagi ni. Ishhhh...malu-malu pulak.” Jen sedaya upaya menghulur. “Janganlah tak ambik duit ni Udin, ambiklah. Jangan kecikkan hati I ni ya.”

Hehe. Udin sengih lagi. Serba salah. Malu pun ada. “Musuh jangan dicari iya dak?

Zapp. Duit terus diambil. Jen hadiahkan senyum menawannya. Udin terangguk -angguk sambil memasukkan duit ke dalam kocek seluar jeansnya. Hatinya kini bergumpal dengan rasa malu yang amat. Jiwanya kini rasa kerdil libang libu.

Dan kini, terharu singgah di hujung hati. Ahhh Udin....Jen ni selalu sangat hadir ketika dia dalam keadaan susah. Udin panggung kepala. Segaris senyuman sudah dia singgahkan untuk ditatapi retina mata Jen.
Udin tunduk. Ah – lelaki jenis apakah aku ini? “Terima kasih banyak banyak Jen. Baki ni nanti I sedekahkan kat masjid.” Udin gumam bibir. “Malu I.”

“Takpe Udin. I tahu you memerlukan. Sebab I dah terdengar. Kalau ada duit, I tolong. Kalau takde, I diam. Sebab tu I ajak you minum dengan I ni. Harapnya you sudi terima ya?”

“Selamat menyambut Ramadan Udin.” Jen terus melayangkan ucapannya. Dia tahu, hati Udin sekarang sebu entah bergabung dengan apa-apa rasa. Jadinya, dia patut menoktahkan perasaan Udin itu.

“Kalau tak dapat ganti dalam masa terdekat ni, I akan balik kampung.” Serius sahaja suara Udin.

“Balik kampung?” Jen terkebil-kebil.

Angguk. “Ha..a”

“Nak buat apa kat kampung?”
“Tolonglah ayah bela ayam organik ke. Lembu pun ada lima enam ekor tu.” Udin renyih.

Jen gigit bibir.  Jen tiba-tiba rasa sesuatu. “Kalau you balik kampung, I dah takde kawan nanti.”

Udin terharu. Ceh. Kawan ya? “Ala, you boleh aje kawan dengan sesiapa. Selamat menyambut bulan Ramadan juga Jen. Terima kasih banyak-banyak. I janji, ada aje duitnya I akan ganti.”

Udin masih rasa bersalah. Dia masih rasa dia lelaki paling malu dalam dunia.

“Sama-sama kasih.” Jen menekur mata memandang meja.

“Kasihmu aku terima.” Udin tiba-tiba ketawa. Sisa ketawanya kini menjadi perkara ‘nan indah’ untuk si Jen.

Pipi Jen dah merah tu Udin. Janganlah ketawa lagi.

Ish. Hidung Jen kembang kempis sudah tu menahan malu. 

Udin ni!