Pages

12 November 2009

Gagasan Diri - Ayuh, transformasi diri!

Saya keluarkan ulasan saya berikutan soalan harishauzah berkenaan dengan artikel yang boleh dibaca di sini.

Saya juga berpendapat, pembaca mempunyai kelompok tersendiri yang mahukan genre bagaimana mereka mahu. Namun penulis yang baik sebenarnya memberikan penulisan yang mendidik kepada pembacanya. Saya percaya bahawa pembaca sekarang agak muak dengan lambakan novel pop dan beralih kepada novel pop islami selepas kejayaan besar Ayat-ayat Cinta .Namun apabila kita melihat kejayaan Ayat-ayat Cinta adalah kerana promosi yang agak baik dan perubahan media kepada novel berkenaan dan disebabkan novel tersebut dijadikan filem di Indonesia.

Ada pembaca yang tidak boleh menerima karya sastera tinggi dan mahu yang biasa-biasa sahaja. Karya tinggi selalunya bagi penulis dan pembaca yang mempunyai nilai tersendiri. Ada penulis karya sastera tidak diminati ramai dan pembaca di kalangan wanita adakala terjurus kepada novel santai, pop dan akhirnya memilih pop islami untuk bertukar selera.

Saya boleh bersetuju dengan andaian bahawa lambakan novel pop ini adalah mengikut pendekatan, namun penulis mesti berani mencuba memberikan novel yang membina masyarakat dan pembaca amnya. Sekurangnya artikel ini memberi suntikan dan semangat kepada saya untuk tidak tergopoh gopoh menulis. Malahan menulis kisah cinta biar berpada-pada.

Novel Tunggu Teduh Dulu adalah sebuah karya yang paling saya minati. Ayat-Ayat Cinta juga memberi persepsi menarik dalam jiwa saya.
Tulisan BeckyIlham yang turut sama mengulas lambakan novel pop islami juga memberikan kebernasan di sebalik agenda penulis yang memberikan banyak persepsi :

Masih terlalu banyak persoalan ummah yang membelenggui umat Islam yang perlu digali, diangkat, dipolemikkan dan diselesaikan. Mengapa harus disempitkan tema karya berunsur Islami itu dengan bumbu cinta? Iya, kehadiran cebisan wacana di sana-sini itu ada, tetapi perlu diingat - yang dikenang sepanjang dan selepas pembacaan itu apa? Kalau hebatnya Fahri sebagai lelaki rebutan ramai gadis (contoh) sehingga tenggelam discourse bersama Alicia di dalam gerabak Metro, maka rasanya gagasan wacana perbandingan agama (yang sudah jadi tema klise pun pada pendapat saya) belum berjaya.

Sebagai contoh lagi, saya melihat Tawassul karya Isa Kamari sebagai definisi karya sastera Islami yang sangat hebat. Gagasan pemikiran yang diketengahkan bergarda depan (avant garde) dan sangat membanggakan untuk dibawa ke peringkat antarabangsa serta diperkenalkan sebagai karya yang mencerminkan intelektualiti penulis beragama Islam yang bukan sahaja beramal dengan anutannya, tetapi peka terhadap permasalahan ummah
.

Namun bagi saya, tujuan penulisan sebenarnya mendidik dan berdakwah. Tugas penulis itu maha berat sekaligus menjadi orang kedua selepas media. Peribadi saya lebih banyak terjurus kepada genre seseorang penulis juga. Saya menerima gaya penulisan Faisal Tehrani, Isa Kamari, Salina Ibrahim dan beberapa kelompok yang belum saya dedahi. Kemunculan saya mungkin agak sedikit kerana saya baharu sahaja menulis novel pertama, Lukisan Jiwa. Saya mahu mededahkan diri lagi kepada bahan bacaan dan kajian sebelum menulis.

Saya suka kajian guru saya, FT dengan betiknya dalam Tunggu Teduh Dulu.

Juga kajian tentang baju kurung dalam Manikam Kalbu.

Serta bagaimana makanan tercipta dalam Ketupat Cinta.

Adakah saya terlalu mengangkat beliau di sini? Barangkali kalian merasakan saya mengkaguminya, dan biarkan sahaja saya.

Penulis memberikan gagasan kepada diri sendiri. Barangkali, saya memerlukan gagasan baharu untuk memperbaharui manuskrip sendiri. Saya sendiri perlu rajin mengkaji dan menilai penulisan sendiri.

Ini sahaja komen saya.

04 November 2009

Angin, sila khabarkan




Ukhwah
Mengiringi kenangan yang hadir ke tubir hati dan naluri sememangnya menjadi satu perkara yang paling saya halusi setiap masa. Saya percaya kepada kenangan yang banyak memberikan saya pengalaman. Pengalaman ketika menjadi pimpinan di zaman kampus dan mengingati jalinan ukhwah yang menerbitkan satu perasaan luar biasa kepada diri.

Pertama kali
Untuk pertama kali saya menjejakkan kaki di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Ia benar-benar memberikan saya suasana baharu. Kakak-kakak bertudung labuh itu saya pandang sinis. Ketika itu saya sedar, saya berada di satu bumi asing yang menempatkan saya dengan banyak perkara di luar dugaan. Paling istimewa sebenarnya. Istimewa kerana hati ini di buka seluasnya dengan nama 'Nur Hidayah'.
Paling saya ingat, ketika sibuk membeli t-shirt, saya hanya membeli 3 helai t-shirt berlengan panjang. Hatta, ia sebenarnya memberikan gambaran bahawa saya dilingkungi dengan keadaan agama yang agak sederhana, malahan menjawab isu aurat itu sebenarnya tiada dalam kotak fikiran saya. Saya asing ketika itu. Asing dengan nama 'agama'.

Usrah
Pendedahan pertama ketika di sana, adalah Program Kursus Pembentukan Insan Mulia. Saya mula mengenali solat dengan jamaah, alunan zikir-zikir munajat, ceramah-ceramah yang membasuh jiwa dan memberikan satu impak kepada hati saya. Entah mengapa, saya terasa dilingkungi dengan keadaan yang selamat dan suasana yang begitu datang dengan rahmat. Usrah dengan pendekatan naqib dan naqibah menjadi satu transformasi dalam kehidupan saya. Ya. Saya mula berubah. Kerana saya sedar, hidayah Allah itu hanya sekali sahaja.

Semester Satu
Penghujung semester satu, saya mengalami demam. Juga tidak dapat tidur malam. Saya lantas mengambil keputusan untuk menjalani Hidayah Allah. Saya menyuarakan hasrat hati saya kepada Naqibah pertama: Hasmiza Suid.

Sebak. Ada air mata mengalir.

Saya nekad merubah kehidupan saya. Sejarah tercipta, saya membeli sepasang kain. Belajar menjahit sendiri dari seorang kawan, dan akhirnya, saya mengemaskan tudung separuh bulat itu ke kepala saya. Nyata ia memberikan saya kepuasan sehingga akhirnya dengan perlahan-lahan saya merawat hati. Juga dengan istiqamah melawan nafsu hati. Itu tekad saya.

Persahabatan
Saya mula mengenali nama perjuangan. Perjuangan islam di kampus yang membawa kepada beberapa perubahan anak-anak usrah saya sendiri. Itu paling saya pelajari, bahawa memberikan ruang kepada adik-adik tentang erti Hidayah Ilahi itu terlalu meluas ertinya. Umar Al-Khattab sendiri menerima hidayah Ilahi setelah beliau membunuh anak perempuannya di zaman Jahiliyah. Momentum kepimpinan kemudian datang dan banyak yang dipelajari. Warna warni persahabatan, kesedihan, ketawa, air mata dan bahagia. Mengenali Lizawati, Laily Idayu, Syahariah, Ismahanes, Umi Kalsom dan Rafahah memberi saya satu pendekatan jiwa. Entah kenapa, saya seringkali dihambat dengan rasa sepi sejak kebelakangan ini. Mungkin kerana rindu dan kerana saya berperang dengan diri untuk Istiqamah. Namun saya percaya, doa kesemua mereka menjadikan jarak kami yang jauh, tetap menjadi nadi dan makin kuat. Saya menjadi kuat mencipta kenangan dan Doa Rabitah itu meyakinkan saya, mata jemari ini akan bercerita untuk setiap kenangan. Semoga ia menjadi ruang untuk kita menjadi semakin rapat. InsyaAllah.

Titik
Kerana rindu, saya mencoret kisah ini. Rindu pada kenangan bermesyuarat bersama kalian. Nilai air mata saya makin murah. Juga rindu dengan perbualan-perbualan kita tentang perjuangan islam. Rindu untuk bersama dalam halaqah usrah dan bersama mencipta ketawa juga air mata. Paling saya ingati, memarahi adik-adik AJK tentang sebuah meja yang akhirnya menjadi catatan sejarah. Ia masih terpahat sekali. Rindu juga saya pada alunan zikir-zikir yang mencuci jiwa. Kalian pasti yakin, ia sebenarnya sebuah pengalaman paling berharga pemberian dari Ilahi. Ia amat berharga sehingga adakala saya mahu lari ke surau yang banyak memberikan nostalgia. Saya pernah menangis di situ. Hamparan hijau lantainya menjadi peneman seketika merawat hati yang rawan. Kerana saya takut, andai saya tidak Istiqamah bersama kalian. Dan saya pernah menjadi patung berdiri di perantara surau yang memberikan saya kekuatan. Tiang-tiang itu menjadi saksi, kita bersama-sama dalam lingkungan Hidayah Ilahi.

Angin
Sampaikan salam saya kepada jejak-jejak kaki ini yang pernah memberikan sedikit perjuangan di sana. Juga angin, khabarkan kepada semua sahabiah saya, saya sungguh-sungguh menyayangi kalian. Angin, kisahkan kepada mereka tentang perjuangan dan anyamkan lagu rindu ini pada mereka. Ingati saya walau nanti saya hanya akan meninggalkan nama.

03 November 2009

Tauliah

Lama saya fikirkan apakah entri yang perlu saya tuliskan. Sepanjang hari, saya akan sentiasa berfikir, jemari ini memang sah menjadi kaku. Kaku kerana sepanjang tiga bulan hingga Disember ini saya akan sibuk untuk urusan peribadi. Malahan membuatkan saya sedikit janggal untuk memulakan kembali naskah manuskrip yang telah tertangguh.

Kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru untuk Normaliza Haron dan Dzulkarnain Mansor yang selamat diijabkabulkan pada 31 Oktober 2009 dan majlisnya pada 1 November 2009.

Semoga jodoh kalian kekal ke akhir hayat..InsyaAllah. Juga terima kasih kerana sepanjang dan sebelum Norma menjadi isteri, kami banyak menghabiskan masa berbual bersama. Juga beberapa perkara yang dikongsi. Paling terindah, seminggu sebelum majlis pernikahan, kami berjalan di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Norma belanja Dihah makan di Stesen Kopitiam yang sungguh berselera sekali! Terima kasih banyak-banyak. Sedih pula saya kerana terkenangkan keakraban kami. Saya pohon maaf pada beliau kerana tidak hadir pada majlis pernikahannya. Saya cuma berkesempatan ke majlis kendurinya.

Norma dan Nain akan ke Karambunai, Sabah untuk bulan madu mereka. Tahniah Norm. Jangan lupa bawa ole-ole untuk Cik Dihah di sini ya!

Kisah penangkapan Dr Asri, mantan Mufti Perlis menjadi tajuk hangat minggu ini. Kawan-kawan di facebook memberikan ulasan agar menukar status diri. Takut kena tahan dengan JAIS. Alahai. Artis-artis separuh bogel, maksiat sana sini, adakah menjadi kawalan terbaik mereka.Kasihan sungguh. Dr Asri kini menjadi popular dalam sekelip mata.

Sekarang, setiap perkara yang dibuat, perlu tauliah ya. Ingat itu! TAULIAH. Atau, adakah Dr Asri diperangkap? Tuhan lebih tahu. Media makin rancak di samping situasi ini dilihat akan menjadi rebutan beberapa pihak yang diakhirnya akan mencapai kemenangan. Atau Dr Asri menjadi satu 'antagonis' yang menjadi rebutan antara UMNO dan PAS? Pokoknya, Dr Asri dilihat cenderung mengkritik kerajaan sekular dalam setiap penulisannya, dan beliau juga pernah di atas pentas PAS.

“Saya tidak seronok dengan apa yang menimpa Dr. Asri hari ini”, ulasan Faisal Tehrani dalam blognya. Meskipun, terdapat pertentangan idea bersama Dr Asri, Faisal Tehrani meluahkan gugusan hatinya dan menegaskan membantah sebarang usaha mengharamkan satu-satu aliran yang tidak terkeluar dari al-Quran dan sunnah. Baik ia Wahabi, Salafi, Syiah ataupun tarekat yang benar. Setiap aliran tersebut adalah gagasan. Ia adalah teori.

Saya masih cetek ilmu tentang beberapa propaganda yang mengatakan Dr Asri dengan fahaman Wahabinya. Isunya, intelektual dan kebiadaban JAIS menjadi pelaku moral paling teruk bagi saya. Paling jelas, apakah kesalahannya sehingga hadir ke mahkamah dengan membuang masa dan tenaga beliau tanpa ada apa-apa hujahan dan kesalahan. Saya hormat pada setiap ulasan, kritikan dan hasil penulisan Dr Asri yang cukup lantang dan berani. Adakah kerana hasil-hasil kelantangannya maka ada tangan-tangan nakal di belakang tabir yang tidak berpuas hati.

Tulisan Ustaz Halim mengulas isu antara ijazah dan tauliah cukup memberi makna kepada saya. Kalian boleh rujuk di sini. Semoga ia serba sedikit memberi ilmu baharu dan bacaan di samping kita terus-terusan memperbaiki diri. InsyaAllah.


Hanya jauhari yang menikam kalbu!