Pages

25 Mei 2010

Menjadi amatur

Waktu saya yang amat kritikal. Bahkan sekarang, saya semakin kurang menulis dan tidak selaju dahulu.

Rumahtangga bukan penyebabnya walau seringkali suami memerli saya,

"Bila mahu mula menulis semula?Sudah lama rasanya isteri abang tinggalkan komputer riba"

Saya tersenyum. Kemudian sehari-hari ilham makin hilang sehingga suatu hari saya membuka komputer riba dan hanya sempat menulis 2 muka surat sahaja. Tidak mengapa. Itu pujukan hati saya. Cuba lagi ya, Mardihah!
Tugas seorang isteri yang bagi saya bukan mudah. Ya, baharu saya tahu, kepenatan ini akan dibayar kelak dengan ganjaran oleh Allah. Memasak, mengemas juga sesekali kami akan menjamu selera sahaja di luar.

Akhirnya, saya menulis status saya di mukabuku (facebook) dengan begini. Semoga menjadi motivasi kepada diri untuk menulis dengan lebih banyak dan baik.

"Menanti yang kedua. Mungkin bukan juga yang terbaik. Tetapi yang kedua adalah belajar dari kesilapan yang pertama. Menjadi amatur, perlu belajar dan menulis lagi. Mungkin ketiga, keempat, kelima, keenam dan ketujuh sehingga ke sepuluh. Berusahalah wahai diri!"

07 Mei 2010

Paparan Eksklusif II



Gambar kumpulan saya. Tidak berapa serius dan formal sangat. Kerana kami malu-malu belaka. Hijau atau mereka kategorikan kami sebagai 'Sense Of Urgency'.



Kuning! 'Open & Honest Communication'.Paling kanan, berseluar biru adalah apei. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak gadis berumur 1 tahun 9 bulan. Bila mahu tambah? he he he



Ini kumpulan merah.'Drive For Excellence'. Awas! ini bukan kumpulan berbaju merah di Thailand! Tetapi mereka kelihatan amat garang sekali!Seorang jejaka yang sedang duduk dengan santai berbaju biru itu adalah saudara haris.



Kumpulan Biru. Di dalam Bahasa Inggeris Kumpulan 'Continuous Improvement'. Saya sempat menyebut 'Okey, gambar tidak formal...' Klik! maka jadilah gambar ini!Puan Pengarah amat sporting sekali.


Gembira. Juga kenyang bila berada di sini. Makanan yang telah saya katakan sebelum ini, amat sedap sehingga tidak larat mulut ini mengunyahnya. Alhamdulilah.

06 Mei 2010

Paparan Eksklusif I



Ini gambar kandid yang berjaya saya ambil. Kak Lin dan Ms Gan. Ala-ala comel bergaya. Kak Lin merupakan sifu saya dalam bekerja. Ms Gan pula teliti dalam kerja-kerjanya. Mereka sudah bekerja hampir dua puluh tahun di sini. Banyak kenangan dengan mereka.Sesungguhnya pengalaman dikutip dari mereka yang lama bekerja.



Ini Kak Azwa. Kecil-kecil dan comel orangnya. Seorang Eksekutif Kanan di Seksyen Pemerosesan Perbendaharaan Ringgit, Jabatan Kewangan di tempat kerja saya.



Ini pula Encik Zul. Beliau seorang Pengurus di Unit Pentadbiran dan Latihan.Beliaulah yang menemuduga saya dengan wajah garang dan seriusnya. Sehingga saya takut dan gabra ala-ala baharu masuk darjah satu. Terima kasih Encik Zul, kerana menerima saya. Walhal sekarang, beliau amat bersahaja dan sederhana sahaja orangnya. Isterinya penulis buku juga. Kamsiah Abu...

Nantikan gambar-gambar menarik yang saya tangkap lagi sekitar Team Building di Klana Resort Seremban.

*gambar-gambar ini hak peribadi saya. Tidak dibenarkan mencuplik ke mana-mana laman lain. Terima kasih.

03 Mei 2010

Ayah dan Si Merah


Pagi-pagi ayah akan keluar dari rumah. Membuat kerja baharunya. Yang pasti memberikan peluh dan kesegaran kepada susuk tubuh yang masih tegap. Selepas pencen, tanpa ada pendapatan tetap, rutin hariannya adalah memberi ikan keli makan. Sekarang, kata emak lagi ; ayah membela seekor anak lembu baharu. Oh ya, namanya Si Merah. Ayah sekarang, adalah seorang penternak kecil-kecilan. Jika ada jualan ikan keli yang dijual sebanyak RM5 sekilo, sudah cukup memadai. Juga saya pasti, Si Merah akan mempunyai kawan-kawan juga. Paling tidak, tiga ekor atau pasangan untuk menambah keluarga Si Merah. Pastinya menambah pendapatan ayah.

"Abang mahu beri Si Merah makan. Mahu ikut kah, achik ?" ayah menjawab soalan emak selepas melihat ayah sedang bersiap-siap dan berada di dapur. Entah apa yang ayah cari. Saya tidak tahu. Malahan, selepas pencen ini wajah redup ayah menjadi kekuatan kepada diri ini.

"Bila ayah mula membela anak lembu, emak?" tanya saya.

"Baru saja..." ucap emak.

"Tidak beritahu pun" saya memandang emak

"Alah, takut nanti tidak menjadi. Duit membeli anak lembu, hasil jualan tanah arwah woo. Ayah belikan seekor anak lembu. Biarkanlah.." emak bersuara perlahan. Malah, menyokong pekerjaan baharu suaminya.

Saya teringatkan perbualan itu yang memberikan sesuatu ilham lagi. Ya. Ilham saya dengan manuskrip yang semakin berlegar-legar lagi. Juga dengan kekuatan kudrat ayah yang tidak mengharapkan wang ringgit anak-anaknya untuk sesuap nasi atau belanja diri.

Si Merah
Pastinya Si Merah menjadi teman bicara ayah, atau teman merawat segala sepi ayah selepas berpencen. Menjiwai sifat dan sikap tenang ayah amat saya inginkan. Berkali-kali juga saya tidak memaafkan diri kerana emak dan ayah masih lagi mencari rezeki untuk kami adik beradik. Hatta sudah mempunyai anak yang terkadang mereka lupa memberi wang ringgit. Pesan Ustaz Farid Ravi Abdullah ketika menyampaikan ceramah perdana di Bank sedikit sebanyak memberikan kesan kepada diri.

"Memberi wang ringgit setiap bulan kepada ibu dan ayah, tidak akan membuat kita papa malah, akan memberikan BERKAT dalam hidup kita sebagai seorang anak. Ingat, emak dan ayah akan mendoakan setiap kebaikan anak-anaknya.."

Kalimah itu saya pegang. Membawa kepada doa yang berpanjangan. Saya tidak akan lupa kepada janji kepada diri.

Si Merah itu pastinya seperti tulisan saya di atas - menjadi teman bicara dan merawat segala sepi ayah. Tiada siapa tahu,tiada anak-anak tahu, gerak geri laku ayah ketika sedang bermanja dengan ikan-ikan kelinya. Juga memberi si merah makan dengan senyumannya yang bersisa. Juga emak yang setiap pagi masih lagi ditemani dengan tepung-tepung. Diuli dan kemudian menjadi berbagai-bagai jenis kuih muih untuk dijual.
Ya..sampai bila, harus saya melihat semua itu. Melihat situasi itu dengan kaca mata seorang yang bernama anak.

Petang itu, ketika suami membawa kereta. Saya menghamburkan kesedihan. Menangis sehingga pertengahan perjalanan. Mata membengkak. Merah. Suami diam membisu. Membiarkan seorang perempuan yang tewas dengan air mata. Sedih kerana saya risau, khuatir dan takut. Adakah saya tidak memberikan dan menjaga hati dan perasaan seorang ibu dan ayah. Takut juga andai pengorbanan mereka selama ini, belum mampu saya bayar.

Remang senja kemudian tiba. Sisa kesedihan saya simpan di dalam jiwa. Semoga Allah membalas segala kebaikan kedua ibu bapa saya. Saya akan cuba, selagi bernafas, saya akan cuba membahagiakan kedua ibu bapa. Walau saya tidak cukup apa-apa. Walau kemahuan saya tidak lagi saya perolehi. Cuma, setakat ini, saya bahagia, kehadiran seorang suami, ibu dan ayah juga adik beradik yang memberi rasa berbeza. Itu dinamakan bahagia. Tempuhi segala dengan senyuman dan andai dalam kesedihan, saya akan rebahkan dan sandarkan kepada suami. Air mata itu tetap peneman setia. Pada seorang yang bergelar wanita.

Si Merah, semoga menjadi teman ayah yang paling akrab. Namun, sesekali jangan ambil kasih sayang kami dengan berlebih-lebihan. Menjadi teman ayah, jangan juga nakal-nakal. Saya akan mengambil gambar antara kamu, Si Merah juga bersama ayah. Merakamnya sebagai kenangan yang terindah. Mana tahu, saya juga boleh berkawan dengan Si Merah.

:::Gambar dicuplik dari pakcik google:::