Pages

31 Mei 2007

Nescafe + Coklat

Saya masukkan se"sachet" Nescafe
Dan ditambah dengan Se"sachet"coklat....
Masukkan air hangat............
Pekat dan likat...
Dinikmati dengan penuh lazat..
Jadinya....Neslat....
Menghirup secangkir Neslat......
Keadaan 'pejabat' ...
1 tahun....dan hasilnya
Saya memikat "Neslat"

30 Mei 2007

Kisah Saya - Episod 1-

Alhamdullilah, dalam kiraan saya, 1 Jun 2007 genap setahun saya bekerja di sini. Kerja ini semoga sentiasa dilimpahi Barakah dan dalam lindunganNya.

Ketika entri ini saya karangkan, KESYUKURAN itu menguji saya. Kesyukuran itu melampaui jiwa dan batas nurani saya. Mengharungi setahun di sini, membuahkan satu perjalanan hidup baru yang dinamakan kebenaran. Saya mengenali erti kawan, persahabatan, kuasa besar, hipokrit, hipokrasi, wang ringgit, kasanova, hiburan, perang “kipas-mengipas”, perjuangan hakikat diri dan banyak lagi. Semuanya bagai terlayar-layar dalam benak saya. Inilah rutin kita dalam bekerja. Penting dalam peribadi, adalah kerja adalah satu ibadah dalam kehidupan.

Kerja yang halal, walupun sedikit ganjarannya, lebih berkat berbanding kerja yang tidak halal dan beroleh ganjaran yang banyak. Apatah lagi jika kerja itu dilaksanakan dengan hati ikhlas demi menyara diri sendiri, kaum keluarga, dan menyumbang kepada umat islam secara keseluruhannya.

Pernah satu ketika Rasulullah s.a.w duduk-duduk bersama para sahabat. Sahabat terpandang seorang lelaki gagah perkasa keluar dari rumah untuk bekerja. Sememangnya para sahabat selalu melihat lelaki itu keluar setiap pagi untuk bertugas. Sahabat mengeluh, “ Alangkah baiknya jika lelaki gagah perkasa begitu, keluar untuk berjihad ke jalan Allah”…

Rasulullah s.a.w terus mencelah dengan bersabda,

“ Jangan kamu berkata begitu. Ini kerana jika dia keluar mencari rezeki untuk anaknya yang masih kecil, maka dia telah berjuang ke jalan Allah. Jika dia keluar bekerja untuk menyara orang tuanya yang uzur, bermakna dia juga termasuk golongan yang berjuang ke Jalan Allah. Begitu juga kalau dia bekerja untuk menyara diri sendiri, dia juga tersenarai dalam berjuang ke Jalan Allah. Sebaliknya jika dia keluar berusaha kerana riak dan hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain, ibarat dia berjuang ke jalan syaitan…..”
(Riwayat Tabrani)

Pertama kali, menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur, ia membuka lembaran baru. Saya ‘berjaya’ membawa ayah menaiki STAR dan PUTRA LRT, memang pengangkutan awam ini paling popular…! Ketika itu, saya berdebar-debar..ayah cukup risau kerana saya agak takut dan mungkin agak baru di sini. Masih belum menyesuaikan diri dan masih mentah. Ayah dan mak risau anak daranya berpindah dari kampung ke Bandar besar. Sebab itu, ayah sanggup bercuti dan menemankan saya. Hanya memastikan agar saya “menjadi anak paling Berjaya”..saya kagumi ayah saat itu. Saya melihat ayah menghayunkan kakinya perlahan-lahan menemani saya. Itu satu kenangan terindah antara saya dan ayah.

Untuk tidak “merasa’ janggal, saya memerlukan peta perjalanan yang ayah dan adik saya bawakan. Kami, menjelajahi….: Dari Bandaraya, terus ke Masjid Jamek dan kemudian bertukar stesen ke PUTRA LRT untuk ke KLCC. Ke KLCC sebenarnya untuk mengambil kunci sewa rumah. Juga bertemu sahabat di sana. Berjalan-jalan sebentar. Kata orang..”sambil menyelam..minum air”. Ayah paling seronok kerana mengenali seketika dunia Kuala Lumpur. Perjalanan kami cukup menggembirakan. Terselit di wajah ayah… ‘bangga’!!! Kemudian, saya di ajar untuk membeli tiket dari KLCC ke Universiti.
Dulu, rumah sewa saya di Universiti.

Rutin harian saya telah bermula, Universiti ~ Masjid Jamek ~ Bandaraya ~

Tak sampai 2 bulan, saya berpindah atas alasan keselamatan.

Kemudian Maluri ~ Bandaraya ..kenangan sungguh. Tidak boleh saya cerita panjang-panjang, kerana ini dah nama entri peribadi pula ya. Tetapi mungkin apa yang saya kongsi di sini, ada kena mengena dengan sesiapa sahaja. Mungkin sedikit orang-orang di luar sana. Kalau banyak, ohh….mungkin secara kebetulan.

Kita berada di atas muka bumi yang sama. Kita diterjah dengan pengalaman berharga di dunia kota ini. Kisah saya ini mungkin mengambil sedikit kenangan yang meliputi banyak perkara. Paling penting adalah, mengingati tujuan hidup di muka bumi ini. Semoga kejayaan dunia dan akhirat milik kita semua.

Saya akhiri dengan sebuah senyuman ……borak-borak bersama Pengarah di Jabatan menambah keyakinan saya, bahawa muslimat seperti saya mampu merubah diri lebih bagus dan baik dari mereka-mereka yang “kadang-kadang lupa”. Saya juga lupa.

28 Mei 2007

Ke Makam Bonda


Karya penuh nostalgik : Usman Awang

Kami mengunjungi pusara bonda,
Sunyi pagi disinari suria,
Wangi berseri puspa kemboja,
Menyambut kami mewakili bonda.

Tegak kami di makam sepi,
Lalang-lalang tinggi berdiri,
Dua nisan terkapar mati,
Hanya papan dimakan bumi.

Dalam kenangan kami melihat,
Mesra kasih bonda menatap,
Sedang lena dalam rahap,
Dua tangan kaku berdakap.

Bibir bonda bersih lesu,
Pernah dulu mengucupi dahiku,
Kini kurasakan kasihnya lagi,
Meski jauh dibatasi bumi.

Nisan batu kami tegakkan,
Tiada lagi lalang memanjang,
Ada doa kami pohonkan,
Air mawar kami siramkan.

Senyum kemboja menghantar kami,
Meninggalkan makam sepi sendiri,
Damailah bonda dalam pengabdian,
Insan kerdil mengadap Tuhan.

Begitulah bakti kami berikan,
Tiada sama bonda melahirkan,
Kasih bonda tiada sempadan,
Kemuncak murni kemuliaan insan.


Balik itu, saya melambai-lambai tangan ke arah mak....lambaian ini saya pohonkan bukanlah yang terakhir..dan apa yang saya pohonkan agar kesihatan kedua mak dan ayah saya ..mereka akan bahagia dan sentiasa dalam rahmat Ilahi...Itu permohonan saya akhir-akhir ini. Jiwa saya diralat sayu dan pilu. Kesunyian saya makin terbatas...kerinduan saya makin memuncak kepada mereka...Meski dalam lewat..meski saya cuba tersenyum dan bergelak bersama mereka..namun Allah sahaja yang tahu.....Semoga Makrifah terus kepada "ayah dan bonda" yang melahir dan membesarkan saya...

Masih terpandang-pandang saya wajah mak melambai-lambai mesra....Saya mengharapkan keampunan Ilahi...

23 Mei 2007

Jiwa Yang Indah


"Jika jiwa sudah indah, ia akan melihat fajar seperti indahnya kolam, malam tampak seperti pesta besar, semua orang tampak seperti kekasih, dan pondok buruk tampak seperti istana yang terjaga rapi"

Wake Up !




“ Aku menyintai sahabatku dengan segenap jiwaku. Sahabat yang baik adalah seiring denganku dan menjaga nama baikku, ketika aku hidup atau selepas mati. Ku hulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku merasa senang. Semakin ramai sahabat, semakin aku percaya diri. Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tak luntur baiknya dalam suka dan duka. Jika aku mendapat, aku ingin setia padanya..”~AsSyafie

Bait-bait ini mengingatkan saya kepada semua sahabat-sahabat seperjuangan di zaman kampus dahulu. Saya benar-benar merinduinya. Mungkin ada yang terlupa seketika dengan perjuangan lama. Istilah futur atau mendiamkan diri selepas zaman kampus agak-agak mengantui…eh..bukan agak-agak…tetapi memang menjalari diri. Allahuakbar…semoga saya dijauhkan dengan keadaan ini dan kalian masih meneruskan bakti atas dasar nama perjuangan islam sendiri.

Futur : boleh saya kongsikan serba sedikit

.::FUTUR::.

* Apabila melakukan maksiat dan dosa berulang kali.
* Apabila merasakan kekerasan dan kebekuan hati.

* Apabila diri merasakan kesukaran untuk tekun dalam beribadah.

* Apabila timbul rasa malas melakukan amal ketaatan dan ibadah.

* Apabila perasaan cepat dilanda gelisah.

* Apabila suasana jiwa yang tak tersentuh dengan kandungan ayat suci al¬Qur'an.

* Apabila lalai atau malu mengamalkan zikir.

* Apabila berkurangnya rasa marah atau tidak terusik langsung hati untuk merasa marah tatkala melihat kemungkaran atau perlanggaran peraturan dan hukum yang diharamkan Allah SWT.

* Apabila menilai sesuatu hanya dari segi perkara tersebut itu dosa atau tidak sahaja dan tidak melihat dari sudut perbuatan yang makruh.

* Apabila kurang memberi perhatian terhadap urusan atau hal ehwal umat Islam. * Apabila terlalu memerhatikan urusan dunia berbanding urusan akhirat.

* Apabila menghindar atau memisahkan diri dari persekitaran persahabatan dengan orang-orang baik.

Saya yakin, sahabat-sahabat saya akan meneruskan langkah perjuangan mereka. Jauh bukan alasan dan ia bukan satu wadah untuk memberhentikan diri. Perjuangan saya, mungkin dalam penulisan yang begini. Membangkitkan semangat dan serba sedikit kita muhasabah diri.
5 Wasiat Saidina Abu Bakar R.A :

1. Mencintai dunia adalah satu kegelapan, Penerangnya adalah taqwa
2. Dosa itu adalah satu kegelapan, Taubat itu adalah penerangnya
3. Kubur itu adalah satu kegelapan, Penerangnya adalah "'laa ilaha illallah"
4. Akhirat itu adalah satu kegelapan, Amalan soleh itu penerangnya
5. Titian sirat itu kegelapan, keyakinan itu penerangnya

Semoga semua kalian : sahabat-sahabat saya terus bersama dalam wasilah. Jika sukar berjuang dengan jalan bersama Islam, perjuangkan harta, jika sukar perjuangkan harta, perjuangkan ilmu, jika sukar perjuangkan ilmu, perjuangkan minda anda. Ayuh kalian..selamat bersama dalam perjuangan . Untuk adik-adik yang pernah bersama saya dalam perjuangan, ribuan ampun dengan setiap kenangan…sesungguhnya mengenali diri akak, adalah yang sukar di hilangkan dalam memori.

Bukankah mesyuarat itu menggamit kenangan kita semua…lewat datang dan kalian agak marah dengan pembukaan majlis bersama umul kitab al-Fatihah dan tiba-tiba disudahi dengan tasbih kifarah……..bukankah pejuang islam itu sentiasa menepati masa dan waktu….??
Salam kasih sayang

19 Mei 2007

Berkata Yang Baik-Baik Atau Diam Sahaja


Saya membuka www.saifulislam.com..amnya, saya suka membaca lamannya. Penuh membuatkan saya berfikir sejenak. Disertai dengan pengalamannya dan penulisannya yang mudah difahami.

Berkata yang baik-baik dan diam sahaja....Itu tajuk yang saya buka dan baca. Tentang mengumpat dan sewaktu dengannya. Kalau bercerita tentang perempuan, kita fahami tentang mereka yang sebegini rupa. Baju warna apa, jenis apa...kasut apa...itu satu kejutan baru saya di dunia pekerjaan yang "high class" di sini. Akhirnya saya fahami..wanita segan sikit memakai baju yang sama. Betul bukan..? Eh...tajuk ni macam lari sahaja. Tetapi tidak apa.
Bersederhana cukup memadai. Apa yang ada, adalah rezeki Allah dan adalah ketetapan masing-masing. Kita corakkan dengan wasilah Islam.

Benar.....saya lebih banyak mendiamkan diri dengan perkara-perkara yang bukan bermanfaat dalam hidup. Terlepas kata, saya akan memohon maaf. Jika saya tidak mahu, baik diam sahaja dan duduk elok-elok di kerusi pejabat. Adakala untuk memuaskan hati dan perasaan orang lain, kita terpaksa makan hati. Saya sukar menemui rakan yang seperti saya. Berkongsi pengalaman tentang sesuatu yang baik dan bagus...ilmu dan islam. Adakala kita terpaksa pura-pura dengan orang lain demi menyedapkan hati mereka. Itu jalan terbaik ..kerana dalam bersahabat, saya tidak mahu melukakan hati mereka. Memahami dan payah untuk difahami.







Gelak ketawa, gurauan kita harus beralas....harus menjaga hati dan perasaan semua. Jika yang membaca entri ini, saya pernah terguriskan hati dan perasaan mereka, saya pohon maaf. Saya pohon keampunan. Saya juga insan serba kekurangan.

Saya tidak bijak dalam banyak perkara..tetapi saya bijak dalam menulis. Saya tidak bijak dalam beberapa subjek, tetapi saya bijak dalam subjek yang diminati...kalian juga begitu. Saya tidak pakar melukis tetapi pakar memasak. Ada yang bagus dalam seni dan tidak pandai mengemas. Tapi orang-orang seni ni pandai kemas. Saya tergelak seketika. Sebab mengemas, salah satu cara untuk saya hilangkan tekanan.
Kita tidak bijak dalam banyak perkara. Setiap hamba, ada keistimewaan mereka sendiri. Manusia dijadikan dengan berbagai fitrah. Berbagai rencah dan berbagai warna.
" Dan letaklah buku (amalan-amalan tiap manusia) maka kau lihat orang-orang yang berdosa gementar ketakutan, kerana (melihat) apa yang ada dalam bukunya" Al-Kahfi ayat 49.
Kita titipkan amalan semoga sentiasa mengingati antara satu sama lain. Jika saya terlupa, ingatkan saya, Jika terleka, cuitlah saya......ingatkan diri kita andai tiba-tiba alpa.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu berkata yang baik-baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia itu memuliakan jirannya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu memuliakan tetamunya” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penting dalam hidup ini, keutamaan akhlak yang mulia. Bila akhak terjaga, insyaAllah akan berkata yang baik-baik dan duduk diam sahaja. Kata orang duduk ontok-ontok...

Abu Darda berkata 'Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :
" Yang pertama kali diletakkan di Mizan adalah akhlak yang baik dan kemurahan hati......"

Nah....mudah untuk kita mendapat "Barakah" hanya dengan berakhlak mulia dan kemurahan hati...." Saya gariskan tip-tip dari Rasulullah s.a.w ..Cara Berinteraksi Sesama Manusia..
Semoga kali ini kita sentiasa "Berkata Yang Baik-Baik Sahaja"..

  • Mencintai muslim lain sebagaimana mencintai dirinya sendiri
  • Menyukai apa yang disukai muslim sebagaimana dirinya bagaimana apa yang dia sukai dan membenci apa yang dibenci muslim lain sebagaimana apa yang dia benci.
  • Tidak menyakiti muslim lain dengan perbuatan dan percakapan
  • Bersikap tawaduk kepada setiap muslim dan tidak sombong kepadanya
  • Tidak menyampaikan berita kepada orang lain tentang apa yang didengarnya
  • Jika marah, tidak boleh menghindari si teman lebih dari tiga hari.

16 Mei 2007

Sedikit Kisah Tentang Si Tepung……

Malam ini, saya pulang agak lewat…sedikit kerja harus disediakan terlebih dahulu. Bila pulang, saya melihat sahabat-sahabat serumah sedang duduk melihat berita utama di televisyen. Ianya buat saya terkenangkan mak di rumah. Berita tentang tepung. Tepung…?..jangan pelik pula..memang berkaitan dengan mak saya.

Selepas kerajaan menyatakan persetujuan untuk menyemak semula gaji semua pegawai-pegawai mereka, berita kenaikan tepung dan barang-barang runcit yang lain mesti dan wajib akan naik. Malahan di mana-mana, berita paling sensasi selain pembukaan lorong/terowong tercanggih di dunia ~ SMART berselang seli dan menyoal jawab tentang tepung.

Saya selitkan sedikit bahan terkini tentang tepung

Harga tepung gandum naik 15 sen
15-05-2007 04:04:20 PM

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan harga runcit tepung gandum di seluruh negara dinaikkan 15 sen sekilogram berkuatkuasa semalam selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk dari segi kenaikan kos bahan mentah dan pengangkutan.

~Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal berkata kenaikan itu hanya melibatkan tepung gandum serba guna dan bukan tepung gandum bukan serba guna yang harganya tidak dikawal.

~Beliau berkata dengan kenaikan itu, tepung dijual pada harga RM1.35 sekilo berbanding RM1.20 sekilo bagi Semenanjung dan RM1.45 sekilo berbanding RM1.30 bagi Sabah dan Sarawak.

~"Dalam tempoh hampir 10 tahun, tidak ada perubahan dari segi harga tepung dan kita tahu komponennya diimport iaitu bahan gandum bukan diperoleh dari dalam negara dan kosnya telah berubah sejak 10 tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

~Katanya kenaikan 15 sen itu adalah munasabah dan tidak membebankan pengguna.

~"Satu kilo tepung, berapa banyak roti canai dia boleh buat, saya rasa lebih daripada 20 roti canai," katanya.

~Beliau berkata mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Hari-hari mak saya akan menguli tepung..untuk buat kuih. Ahh..kasihannya saya. Di kampung, kuih masih 4 keping dengan RM 1.00. Kalau di KL, 3 keping kuih RM 1.00. Mana datang modalnya dan segala keringatnya. Tak untung langsung. Minyak lagi, gas lagi, air untuk bancuh kuih…inti lagi….penat …….mana untung….dapat balik duit modal..mak pusing-pusing beli lauk pauk harian. Itu sahaja…saya tidak mahu bercerita tentang kuih muih mak dan kisah mak di sini…mengundang satu perasaan luar biasa dalam hidup saya. Mak, saya dan tepung memang sudah sebati dalam hidup…

Bagi saya, tanpa tepung hidup saya dan adik-beradik tidak seperti ini lagi……Tepung mencorakkan kehidupan kami dari zaman kecil hingga sekarang..Tepung mempunyai nilai sentimental dalam hidup saya dan kami semua….

Lepas ni, harga roti pasti naik ..roti canai….kek di kedai…pizza hut..semua akan naik..

Jemu dan pilu saya..Jemu sebab puas memujuk mak berhenti saja membuat kuih dan pilu saya kerana mak masih membuat kuih. Mak…mak….

Agaknya orang di kampung nak ke beli kuih 3 keping dengan RM 1.00?? Saya mengerti dengan kehidupan yang berlandaskan wang..duit..money.....!!

Semoga tepung akan terus naik lagi dan memberikan kita satu kenaikan gaji yang lebih telus..Tapi saya tidak suka dengan harga baru ini..Macam ada "udang di sebalik mee ajeee"

Kalian sukakah dengan kenaikan ini...? Kalau peminat nombor satu roti canai..ghentikanlah...tukarlah menu lain bila bersarapan....Pegawai-pegawai kerajaan tak apa, sebab gaji nak naik dah.

Mak di kampung pastinya terfikir-fikir banyak kali...Mak di kampung pasti bertegang leher dengan ayah kerana harga tepung ...kerana harga sebiji kuih yang tidak berubah-ubah...Bagaimana ya ???

Kesian Si Tepung..jadi bahan umpatan saya hari ini......kasihan sungguh peminat tepung-tepung ini..........

Kepedihan Maut

Dari Hassan , bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
" Ingatlah maut,kepedihan dan sakitnya" Beliau bersabda : " Maut itu sama dengan tiga ratus pukulan pedang."
Pernah Rasulullah s.a.w ditanya tentang maut dan kedasyatannya. Beliau menjawab :
" Sesungguhnya maut yang teringan bagaikan kawat jeruji menjerat kambing. Bila kambing litu terlepas pasti ada bulu yang menyangkut padanya"
Pernah Rasulullah s.a.w melawat orang sakit dan berkata " Aku tahu, bahawa keringat yang keluar darinya adalah sakitnya ketajaman maut!"

14 Mei 2007

SUMOLAH........

Gambar ini terpaksa dikaburkan atas sebab-sebab tertentu (18sx)

Sumolah...
Karya terbaru seorang sutradara yang pernah memenangi pengarah terbaik dalam beberapa anugerah..
Saya bukak TV..Wayang Ria di Astro (ini bukan iklan)..
Saya tengok sekejap-kejap..beralih-alih ke rancangan lain....tetapi jenguk-jenguk kembali
Alamak...malunya saya....
Malu kenapa?
Saya sempat menemuramah beberapa karyawan seni selepas preview filem tersebut
*saya ~ boleh jadi..kamu, dia, aku, kau,mereka dan semua
* saya ~ mewakili semua golongan pencinta perpaduan...

Saya laporkan untuk anda semua...
*pembudayaan sesuatu filem dan estetika akan lebih bernilai
jika mutu, moral dan perhubungan di antara Allah diletakkan..saya kritik filem ini*
~ qudwah_mardihah*

*saya teruja nak lihat filem ini...macam best aje tengok perut-perut
mereka..hakak suka..lain dari yang lain..auww!!*~mama asmara

*hmm..saya nak tengok lagi 10 kali lah ...mesti lagi meletup...tapi....~Saudara Sepi

* Karya yang bermutu......nilai hubungan antara negara diwujudkan...~ AJK Penapis

* Kalau dalam filem..tak bukak perut, tak nampak betis..tak nampak pusat..tak nampak tu semua..filem tak laku ke?....tapi mereka benar-benar berjaya membuka semuanya..tabik spring..lepas ni I tak nak rempit lagi...nak sumo pulaklah!!~mat rempit 2326


Dia Kekasih Allah

Saya memperoleh kisah Rasulullah s.a.w,~ perolehnya dari bahan-bahan tazkirah/koleksi yang ada di dalam simpanan. Puas juga saya fikirkan bahan terbaik untuk hari ini. Bacaan saya terhad seketika dalam minggu ini. Minda saya dan jemari masih belum mampu untuk mengeluarkan idea.Kadang-kadang mengeluh juga kerana memikirkan cetusan idea yang belum "termuntah" dari fikiran.
Saya baru menghabiskan "Bila Tuhan Berbicara" - FT dan insyaAllah akan mengkritik/memuji/menghentam hasil karyanya yang bagi saya memang hebat dan mendalam! Tinggalkan seketika tentang BTB dan menjuruskan diri kalian kepada kehebatan "RASULULLAH SAW"

1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.

3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang."

4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi.Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar.Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalahpanggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yangbererti 'Wahai yang kemerah-merahan')Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah."Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?"Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar,"Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia.""Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s. a. w." Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

6) Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin,sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat.Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun kesatu rukun yang lain amat sukar sekali.Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,
"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."
"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.
Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar.Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.
"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?"
Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apapun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab dihadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin,menjadi beban kepada umatnya?"
"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan didunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan diAkhirat kelak."

8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikit pun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah dilehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari,terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "YaRasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?"Jawab baginda dengan lunak,
"Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

11 Mei 2007

Adilkah kita??


Di manakah keadilan kita
Keadilan kepada diri,
Keadilan kepada duniawi,
Keadilan kepada akhirat jua...........

09 Mei 2007

Payung dan Hujan


Pagi ini hujan….Lebat…
warga kota ke tempat kerja dengan kebasahan....
Bergunanya payung ketika ini. ..
Payung kecil, payung besar, bermacam saiz…
Hujan mengundang berbagai cerita...

Ini hujan rahmat…ini hujan membasuh dosa dan noda…..
Ini hujan tanda rahmat Ilahi..
Ini hujan tanda aku dan kau yang berdosa ...
Bukan barangkali..tetapi natijahnya….memang mengulit diri..
Payung dan hujan memang akrab sekali
Seakrab diri kita kepada Ilahi…….
Allahurabbi..

08 Mei 2007

Ceritera Lama "Sesuatu tentang diri dan Pesta Buku Antarabangsa"


Saya meminati buku dari dulu lagi. Mungkin kerana dulu-dulu kemampuan yang agak terhad, jadi memendamkan rasa dan banyak meminjam dari perpustakaan. Ada juga meminjam dari kawan-kawan. Menurut kata mak, nama saya adalahdari buku yang dibacanya ketika mengandung. Jadi, melekat nama saya yang dikarang oleh "Aziz Afkar" - Hartini...(tak silap saya)Novel tersebut turut di dramakan...kisah perjuangan seorang wanita. ..novel ini memang menarik.

Kata mak lagi, novel tersebut diulang baca sehingga melahirkan..
Secara tidak langsung, entah kenapa, terlalu mudah pula untuk jemari ini menulis-nulis di atas tinta. Jemari ini menari-nari segar. Saya gemarkan membaca,..(kenan kerana mak yang membaca) ......hobi saya yang terlalu gila!
Berlatih menulis di dalam buku. Jadinya buku hasil penulisan saya, habis dipinjam kawan 1 sekolah. Sehingga renyuk...sehingga hilang.
Penulisan saya digarap dengan bersahaja....puisi, sajak, cerpen dan novel..ianya menjadi teman saya (saya jarang ketengahkan bakat yang ada).

Jadi itu menuntut saya untuk mengadilkan diri dengan bakat semulajadi yang ada. Pernah saya menulis dan karya saya berjaya ditempatkan di majalah sekolah. InsyaAllah..bakat saya ini bakal menjadi kenyataan. Saya bukan pencinta sastera, tetapi saya meminati hasil penulisan sastera. Saya budak kira-kira...(selalu dengan kalkulator). Saya mengenali beberapa nama "penulis novel cinta' yang haru kan diri. Tapi ia tidak memuaskan hati saya. Kerana cerita-cerita mereka yang asyik cinta dan cinta sahaja. Bosan sebenarnya. Ia semua tidak memenuhi naluri saya.

Saya ketemu Fathi Yakan...."Apa Erti Saya Menganut Islam" penulisan dakwahnya menyentap naluri dan sekarang saya mengumpul berdikit-dikit buku-buku, kitab (bukan banyak, tapi akan banyak nanti- karya imam Al-Ghazali) syukur, kerana saya ketemu perjuangan diri........

Saya mula mengenali gaya penulisan Faisal Tehrani yang menyingkap tabir halusi saya dan karyanya penuh dengan khazanah sastera islam dan kajian yang mendalam. Lupakan sejenak tentang dirinya yang mengundang kontrovesi. Ada sahabat-sahabat saya mengatakan dirinya kontrovesi tetapi itu bukanlah satu perbezaan untuk saya memulakan langkah membaca dan mengenalinya. Dirinya juga insan biasa. Saya meminati kontrovesinya.
Mengenalinya dengan Kekasih Sam Po Bo, blognya yang menjadi sarapan dan buku terbarunya - Bila Tuhan Berbicara. Saya mula merencah-rencah untuk mendapatkan semua buku-bukunya. Karya Hamka juga menjadi salah satu list saya. Juga novel-novel sasterawan negara......A. Samad Said juga lain-lain (memang tidak tersenarai..banyak dalam kepala)
Kerana itu, saya memerlukan kewangan yang rapi dan teratur untuk memastikan saya memiliki semua novel dan karya dalam list saya.

Saya memerlukan semangat dan kekuatan diri untuk menterjemahkan diri saya ke bidang ini. Saya bukanlah pengarang sepenuh masa dan baru mula bekerja juga ingin memiliki kewangan yang kukuh dan stabil dengan kerja (kira-kira, kalkulator, komputer, supplier, payment, duit, angka berbilion, ratusan dan ribuan) tergelak seketika.

Bagi saya bercerita tentang pengalaman saya ke Pesta Buku pula. Jika FT menceritakan pengalamannya di KLIBF, saya juga teruja untuk menjejaki diri ke sana. Pertama kali saya menjejaki Pesta Buku ..Ya,,ia adalah pertama kali. Sebelum ini saya menjadi orang kampung, tetapi sekarang menjadi orang KL..(ia bukan isu sebenarnya) jadi, itu menjadi satu syarat untuk saya mengetengahkan diri di celah-celah kota. Suasana memang sesak....haru biru dan penuh manfaat......bagi pencinta buku...bagus sekali menjejakkan kaki. Bagi mereka / saya yang ingin menulis...kita perlukan bahan bacaan untuk kajian.
Satu kajian tentang diri saya, apabila membaca, automatiknya, saya menjadi "tidak pelupa". Saya akan ingat perkara-perkara yang berlaku. Ia memang menjadi perkara paling berkesan jika kita rajin membaca. Saya suka mengingati banyak perkara. Hal-hal kerja juga menjadi lebih teratur. Jadi, jangan lupa untuk membaca ya!

2 minggu sebelum itu, saya sudah emailkan kepada semua staff di jabatan saya termasuk Pengarah tentang berita "Pesta Buku Antarabangsa 2007". Saya juga emailkan kepada sahabat dan sahabiah-sahabiah saya. Mewarkan kepada semua.

Beberapa buku yang saya beli :
Bila Tuhan Berbicara - Faisal Tehrani
2 buah buku yang akan saya hadiahkan kepada *sahabat baik saya. - 1001 kisah benar sahabat-sahabat ( buku 1)
La Tahzan - Jangan Bersedih Lagi (dah lama saya inginkan buku ini) - Dr. Aidh Bin Abdullah Al-Qarni
Penenang jiwa & Hati - Imam Al-Ghazali
Atas Nama Cinta - Isa Kamari

Paling berkesan ( saya juga merujuk kata-kata FT) menemui penulis paling saya tunggu-tunggu... Faisal Tehrani. Memang saya tidak bergambar dengannya, tetapi memperoleh sesuatu lakaran kalimat di dalam buku BTB buat saya sungguh seronok. Ia satu pengalaman baru saya. Seronok saya sehingga sahabiah yang menemani dapat aiskrim "cornetto". Sehingga habis bilik saya juga dikemas.

Berjalan-jalan dan mencari bahan-bahan menarik juga turut membawakan perjalanan baru. Banyak buku-buku baru tetapi saya menghadkan seketika. Duit yang ada, sudah memadai untuk membeli 6 buah buku. Nanti saya akan pastikan memiliki buku-buku dan kitab-kitab lain. Sehingga jam 3ptg, barulah saya pulang dan menantikan adik saya yang akan berkunjung untuk menumpangkan buku dan komputernya kerana kampus yang bercuti panjang. Jadi saya dapat meminjam Jangan Tidak-tidak , buku motivasi H.M Tuah. (milik adik saya) Ini juga akan saya baca....tak sabar....

KLIBF memberikan satu inspirasi kepada saya. Memberikan satu semangat kepada saya...............

* terima kasih untuk sahabat saya, menghadiahkan 2 buah buku puisi yang cukup menyayat hati...kisah tsunami dan ketakwaan..ia memerlukan masa untuk di jelajahi...ia akan menjadi rujukan saya ...Terima kasih ya akhi!!

06 Mei 2007

Bila Hati Berbicara Tentang Cinta



Pada asasnya,
Kita memerlukan cinta...
Kau memerlukan cinta..
Dia memerlukan cinta....
Mereka memerlukan cinta...
Kami memerlukan cinta..
Aku memerlukan cinta..
Cinta kepada Ilahi
Cinta kepada Rasul..
Cinta kepada Nabi..
Cinta kepada Ibu Bapa.
Cinta kepada sebuah Persahabatan..

Adakah cinta terus ke jinjang pelamin..
Cinta meneruskan hakikat dunia..
Hakikat perasaan yang tidak berbelah bagi..

Cinta dunia..
Cinta nafsu....
Bertunjang duniawi..

Ayuh
Mencari Cinta Akhirat
Juga cinta sejati..
Pada sebuah hakikat yang bernama halal...
Pada sebuah cinta suci kerana Ilahi.........

*6/5/2007 - Maluri : Allah, berikan petunjuk itu......

04 Mei 2007

Fikirkan...."Selamat Hari Ibu dan Selamat Hari Guru"



Berfikirlah tentang dunia dan akhirat….
Dari Al- Hassan berkata (saya memerlukan bantuan semua yang dapat membantu tentang ayat ni, dari siapa sebenarnya) ‘Berfikir sesaat lebih baik daripada ibadah sepanjang malam’ ..
Jadi berfikirlah…berfikir menajamkan minda, konsentrasi juga penting….munajat…!
Al-Hassan juga mengatakan ‘ Bicara yang tak mengandungi hikmah adalah tidak berguna. Diam tak berfikir adalah kelalaian. Dan pandang yang tak membuahkan pelajaran, adalah permainan belaka’

Umar Bin Abdul Aziz berkata ‘ Merenungkan nikmat Allah swt, termasuk ibadah yang lebih afdal…..’
Renunglah pepohon rimbun yang menghijau..renunglah kelebihan diri dan kekurangan diri….renunglah kehidupan diri…aturlah diri bersama langkah dalam perjuangan ke arah Ilahi…betapa saya akui, kelemahan diri..namun, apabila berfikirkan tentang kejadian Allah, maka keagungannya menyentap diri…kerdilnya diri…..dan betapa Allah meletakkan kasih sayangnya dengan penuh harapan. Allah s.w.t sentiasa mengawasi diri. Di mana-mana, tetapi kadangkala tewas juga..Inilah kita, manusia biasa….manusia yang masih tercari-cari pengharapan dan kemaafan.

Kita sama fikir-fikirkan sejenak. Muhasabah diri…….paling berharga pada saya adalah melihat keagungan penciptaan seorang ayah dan ibu kepada diri setiap manusia. Hari ini, kita melihat pengorbanan seorang ayah dan ibu dan fikir-fikirkan bahawa kita akan menjadi seorang ayah dan ibu. Ya..kita akan menjadi seperti mereka.
Renungkan gambar mereka..penuh pengharapan, kenangan dan titik-titik air mata pasti akan mengalir. Allahuakbar…..Lindungilah kedua ibu bapa kami dari azab api neraka…Amin Ya Allah.

Jangan lupa juga bulan Mei ini, Ucapkan Selamat Hari Ibu dan Hari Guru…Saya sedang fikir-fikirkan apa hadiah yang paling sesuai untuk tahun ini. ..apa ya? Mak…… ‘terima kasih untuk setiap kenangan dan susah payah mak selama ni…….terima kasih melahirkan dan membesarkan..
Berkat doa ibu dan bapa sebenarnya adalah paling bermakna dan bermanfaat. Saya seringkali mengingatkan diri tentang pengorbanan mereka. Maka, apa yang kita lakukan, jalinkan sehari-hari adalah membawa nama mereka, nama ibu dan ayah.
Mak, mempunyai nilai sentimental dalam hidup. Mempunyai nilai tersendiri dalam diri. Nilai yang paling berharga….mahal..!! Saya tidak mampu berkata, kerana kasih sayangnya adalah sebati dalam nadi dan jiwa. Sebab jika meneruskan tulisan tentang pengorbanan seorang ibu akan buatkan air mata mengalir-ngalir. Saya tersenyum. Kalian bagaimana agaknya? Apa hadiah kedatangan Hari Ibu ini ya? Ada orang kata, hari-hari adalah hari ibu…..anda bagaimana?

Terima kasih tidak terhingga buat semua guru-guru. Guru-guru sekolah rendah di SRK Sri Laksamana, Guru-guru di SMK Ghafar Baba dan pastinya di POLIMAS, Jitra Kedah. Kerana kalian saya berdiri , mengenali diri, menjadi insan bertatih dengan perjalanan sehari-hari. Mengenal budi dan sanjungan diri. Saya bangga kerana belajar segala-galanya dari seorang guru. Hormati mereka……sanjungi mereka…Terima kasih semua!!
Oh ye…saya tidak tahu mengapa dan kenapa sekarang “ seorang murid boleh memukul gurunya? Seorang ayah boleh datang ke sekolah dan memarahi guru yang memukul anaknya…..Adakah ini satu budaya lengkap untuk mengenalikan anak mereka dengan cabaran…..?
Zaman sekolah dulu-dulu ternyata berlainan sekali. Saya tidak tahu mengapa jadinya begini. Adakah sistem di dalam pemikiran anak-anak murid sekarang di corak dengan nilai ini? Tidak boleh dipukul atau dimarah guru…..? kesannya nanti…..ouhhh..saya sudah melihat kesannya..dalam akhbar banyak kisahnya…… ‘ anak murid pukul guru’…sentimental saya melihat tajuk ini. Sungguh kasihan mereka-mereka ini.

Dari saya……

SELAMAT HARI IBU untuk semua IBU-IBU DI DUNIA DAN DI MALAYSIA
SELAMAT HARI GURU untuk semua GURU-GURU DI DUNIA DAN DI MALAYSIA”