Pages

25 Jun 2010

Surat Misteri

Abang Sod memberikan sekeping surat dengan setem. Setem yang dicopkan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.Itu tidak berapa penting bagi saya, kerana saya mahu lihat siapakah yang memberi surat ini. Setem 50 sen dengan seekor burung bertenggek di atas dahan juga sipi-sipi saya lihat. Bagi penggemar setem, saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan sampul ini kerana ini sampul kenang-kenangan saya!.

Mahu tahu dari siapa? Tentunya PTS Litera Sdn Bhd. Saya tidak memikirkan apa-apa melainkan perkara pertama mungkin hebahan mengenai menuskrip kedua. Terfikir juga, prosuder penerbit sudah berubahkah?

Kawan-kawan yang lalu lalang saya biarkan. Bagai angin lalu. Mungkin surat pengesahan manuskrip atau mungkin lain. Serba serbi mungkin.
Perlahan saya membukanya. Mengoyakkan kepala muka surat. Mata saya berkelip-kelip . Hidung terus menyedut udara yang dingin.

Sejuk.

Kerana sistem pendingin udara, 'IBU'nya adalah di sini. Adakala petugas-petugas dengan tangga akan datang membetulkan, mengetuk dan melancarkan sehingga kami tidak perasan bahawa kami berada di London. Kita di Malaysia ya!

Saya pandang sampul ini. Sudah saya koyak. Perlahan saya buka suratnya. Abang Sod sudah berada di tempatnya. Seorang dua pekerja datang untuk berurusan dengan Jabatan kami menekan punat yang akan berbunyi 'Ting Tong'. Maka saya akan segera membuka pintu dengan rasa sudah jemu dan malas. Muka-muka dan wajah-wajah yang sama, yang adakala mahu saya membuat segala pembayaran dengan cepat dan diistilahkan sebagai 'URGENT'. Ini juga salah satu perkara yang akan membuat saya sakit cepat, tapi apa boleh buat!. Sudah amanah dan kerja.

"Masuk!" lantang saya bersuara. Saya adalah penjaga pintu rasmi! Kalaulah ada elaun pintu, mesti saya akan mendapat elaun yang banyak melebihi royalti sebagai penulis dan menjadi calon pekerja paling alergik dengan bunyi 'Ting Tong'.

Eh, berbalik kepada surat misteri ini. Saya lihat dengan penuh emosi, berdebar-debar dan penuh rasa berkecamuk. Manuskrip kedua sayakah akan dipercepatkan penerbitannya? Sama sekali tidak, kerana saya harus fahami tugas editor yang banyak dengan menghadapi manuskrip yang memeningkan kepala dengan tiada tanda koma, tiada tanda titik dan bermacam kesalahan tatabahasa.

Debaran saya memuncak!. Memandang kepingan surat yang menjernihkan hati saya. Mulut saya ternganga. Sungguh saya tidak sangka. Ini kepingan yang memberikan rasa bahagia berganda-ganda. Tuhan, Alhamdullilah. Seolah melihat keputusan SPM dengan 25 A1, mengalahkan adik Nur Amalina dan Nik Nur Madihah.Oh, Tuhan!

Saya membeliakkan biji mata. Benar sama sekali.

Petang itu di dalam kereta suami tersenyum simpul.

"Belanja abang makan, ya!" matanya bersinar-sinar sekali. Saya tersenyum. Seolah senyum sehingga ke telinga.

" InsyaAllah." lantas fikiran saya melayang-layang kepada janji yang akan saya tunaikan nanti. Teringatkan emak, ayah dan adik-beradik yang lain.

"Terima kasih menyokong penulisan anakanda,"

Saya memandang suami dan berkata, "Menulis itu cinta. Bukan mengharapkan apa-apa. Ini pemberian Tuhan kerana menulis perlu dengan rasa hati dan jiwa,"

"Kalau tidak dapat banyak itu, rasa-rasa mahu menulis lagi?" tanyanya lagi.

" Perlu menulis. Kerana setiap kebaikan dalam penulisan itu akan sentiasa dibaca dan bukan kita minta yang istimewa atau apa-apa ganjarannya. Jangan meminta diri popular kerana menulis tetapi menulis yang memberikan pelajaran dan pengajaran kepada semua!"
saya tersenyum bahagia.

Penuh bahagia dan udara terasa menyaluti diri sesempurnya. Tuhan itu maha kaya. Selepas ini, saya akan menulis dengan murni, dengan penuh kebaikan dan dakwah. Itu impian saya. Biar saya menulis setahun dengan 1 buah buku, tetapi ia penuh pelajaran dan bermakna.

22 Jun 2010

Emak & Ayah



Tiba-tiba ada rindu kepada emak dan ayah.
Rindu yang menyesakkan dada
Berkali-kali sehingga menatap sebening dan seraut wajah ini
Tuhan, jangan deritakan mereka
Bahagiakan
Ketawakan dunia dan akhirat

14 Jun 2010

Watcha!!



Ini kedua kakak ipar (Puan Junisa Abdullah & Norasyidah) yang melahirkan anak-anak buah. Generasi Atuk Tamin & Nenek Tipah. Terima kasih memeriahkan keluarga. Juga anak-anak buah yang comel-comel dan pandai bergaya di depan kamera.

07 Jun 2010

Menanti Kelahiran Yang KeDUA!

Saya memberi keyakinan kepada diri. Agar bersikap sabar untuk menanti kelahiran manuskrip kedua. InsyaAllah, menurut editor, manuskrip saya jadual penerbitannya adalah pada bulan September. Atau lebih kurang dilahirkan lewat untuk Bulan Oktober, kerana saya memahami kemungkinan kelewatan untuk cetakan: beratur di kilang, pruf oleh editor dan banyak lagi kemungkinan. Lebih kurang. Saya mengagak. Semoga dipermudahkan dan menjadi yang baik-baik sahaja.

Manuskrip kedua. Pada saya banyak lagi salah dan kesilapan saya. Namun saya akui, penerimaan editor memberikan suntikan kepada saya untuk memanjangkan manuskrip ketiga. Manuskrip ketiga adalah sambungan manuskrip kedua yang saya kembangkan plotnya dengan baik. Teguran editor kerana plot saya tidak dikembangkan dan beberapa kesalahan elipsi(tidak salah saya, kesilapan adalah selepas petikan suara terlalu banyak tanda titik yang tidak saya perasan langsung!) hahahahaha. Kasihan saya pada editor. Maafkan saya kerana kesilapan itu. Saya cuba perbaiki pada manuskrip akan datang.

Semoga kebaikan watak Nur Aisya di dalamnya, seorang wanita cekal dan tekal menghadapi cabaran dunia ternakan ikan air tawar memberi impak kepada khalayak yang membacanya. Saya merasakan kali ini, manuskrip ketiga saya tulis dengan sepenuh jiwa. Seolah-olah saya berada dan berdiri bersama setiap watak. Pada saya menulis itu perlu dengan hati dan jangan memaksa untuk menulis jika ilham itu tiada.

Kisah tawakal, menyemai cinta kepada ternakan dan cinta kepada tanah terbiar yang diusahakan, memberikan saya keyakinan untuk meneruskan penulisan dan menyambung kisahnya yang tergantung untuk manuskrip ketiga. Saya mahu memurnikan kelompok pengusaha yang giat dengan usaha sendiri. Bahkan bagi saya, menternak ikan air tawar, berusaha membuka pasaran ternakan dan usaha mereka ini, tidak boleh
dianggap kecil. Usaha murni ini saya angkat di dalam novel selaras dengan cita-cita seorang insan kecil. Semoga ia ada kebaikan untuk semua. InsyaAllah.

Saya juga mempunyai imaginasi tinggi. Saya mahu terbang dengan pepatung seolah saya sedang mengembara. InsyaAllah, dalam masa sedikit lagi, manuskrip kisah khayalan ini akan saya siapkan. Saya mengambil ilham dari cita-cita saya yang ingin membuka cafe buku sendiri. Kisah fantasi ini amat menarik sehingga pembaca mungkin akan menanti sambungannya. (berangan sahaja, saya!) Tetapi sebagai penulis, saya wajib
mempunyai angan-angan sendiri.

Mengambil masa juga kerana dalam tempoh yang sama saya sedang berkejar menyiapkan sambungan kedua Nur Aisya( Tajuknya belum diputuskan lagi) juga novel fantasi ini. Saya juga sedang menimbang-nimbang untuk menghantar manuskrip fantasi ini. Kepada siapa? Tunggu dan lihat sahaja.

Saya juga memutuskan beberapa lagi manuskrip yang semakin berlegar dalam fikiran saya. Bagai dicas-cas selalu dan sentiasa saya catat jika ilham itu mendatangi. Berbual dengan rakan lama yang belajar sebagai seorang guru juga memberi ilham lagi kepada saya. Kisahnya rahsia dan ianya akan saya adaptasi. InsyaAllah. Adakala apabila ternampak sahaja objek, sekelip mata ia boleh sahaja dijadikan kisah menarik. Asalkan berjaya dikembangkan plot dan jalan kisah cerita yang menarik. Saya mahu lari dari kisah dan bumbu-bumbu cinta dalam novel.

Kerana khalayak adakala bosan dengan remeh temeh cinta ini. Meski ia cinta islami. Setuju atau tidak, ia adalah dari pemikiran seseorang penulis itu sendiri. Mungkin kali ini, saya mahu keluar dari kepompong menulis kisah-kisah cinta islami. Kewajaran untuk mengangkat nilai manusia, bahkan novel tauhid, isu palestin, isu moral dan ummah boleh saya ketengahkan. Ya, saya mencari-cari bahan lagi untuk setiap manuskrip. Bahkan, saya percaya, kesemua plot sedang ditunggu mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan. Kerja tuhan bukan? InsyaAllah.

Doakan saya berjaya dalam lapangan dan cita-cita ini. Pastinya, kesabaran saya adalah di tingkat paling tinggi sekali. Tajuk yang sesuai juga sebenarnya memberikan reaksi berbeza untuk sambungan Nur Aisya. Minggu ini minggu menyiapkan sambungan 'Nur Aisya'. Saya sendiri tidak sabar bermain dengan plot dan menceritakan kisah ini.

Semoga ada jalan. Peluang dan rezeki untuk saya dan keluarga. Menulis itu cita-cita.

03 Jun 2010

Menjadikan Penulisan Sebagai Perjuangan

"Mudah-mudahan selepas ini, setiap orang memaksa dirinya untuk menulis. Mula-mula rasa susah. Apabila sudah dipaksa, ia akan sampai ke tahap biasa, seterusnya ke tahap rasa manis. Akhirnya, sampai ke peringkat menjadikan penulisan sebagai perjuangan."

Demikian kata-kata pembakar semangat daripada Sdr Pahrol Mohd Juoi dalam Bengkel Penulisan Islam anjuran Galeri Ilmu Sdn Bhd yang beliau kendalikan pada Sabtu dan Ahad lepas. Bengkel yang diadakan di Akademi Tahfiz Darul Huffaz, Seksyen 3, Kota Damansara itu dihadiri 20 orang peserta.

Sdr Pahrol menekankan perlunya penulis menyuburkan keinginan untuk mengubah diri, mengubah keluarga dan mengubah masyarakat, atas dasar sayangkan umat. Beliau mengaitkannya dengan kata-kata asy-Syahid Hassan al-Banna: "Kemanisan beragama hanya dapat dirasai oleh orang yang memperjuangkannya."
"Kita mesti ada burning desire (keinginan yang membara) untuk selamatkan orang yang disayang. Apabila rasa sayang, kita akan berusaha menarik orang lain kepada kebenaran atau kebaikan," ujarnya.

Penulis yang benar-benar berjiwa da'i dan berwatak murabbi akan sentiasa bersemangat untuk menulis. Semangat yang membara akan mengusir ketiadaan mood.

Di sini pentingnya penulis mempunyai jiwa yang besar. Kerana, walaupun sekadar menulis sebuah artikel, dia melakukannya dengan jiwa besar - jiwa untuk mengubah orang lain kepada kebaikan melalui tulisannya. "Manakala penulis yang berjiwa kecil hanya menulis untuk royalti atau memenuhi deadline."

Antara panduan dan tip yang beliau kongsi:

1. Menulis untuk tujuan dakwah mestilah dengan gaya dan bahasa yang mudah. Gaya penyampaian mesti realistik supaya pembaca nampak dengan jelas apa yang disarankan dan mudah untuk mengamalkannya.

2. Penulis Islam mesti berjiwa da'i, berwatak murabbi dan pemimpin tak rasmi.

3. Setiap orang ada bidang yang dia mahiri. Dalam menulis, pilih subjek yang dekat dengan kita.

4. Hiasilah kebenaran dengan kata-kata yang indah, bukan menghiasi kata-kata yang indah dengan kebenaran. Utamakan kebenaran dalam menulis, bukan keindahan.

5. Tulislah dengan pendekatan yang mudah walaupun membawa mesej yang berat. Gunakan istilah yang senang difahami, bahasa yang dekat dengan sasaran dan contoh-contoh yang berlaku dalam lingkungan sasaran. "Tugas kita sebagai penulis adalah untuk menjelaskan satu-satu perkara yang susah," katanya.

6. Kita tidak tahu sama ada kita ikhlas atau tidak semasa menulis. Oleh itu, teruskan menulis, mudah-mudahan Allah campakkan keikhlasan ke dalam hati kita.

7. Penulis Islam mesti yakin dengan kebenaran, barulah dia dapat meyakinkan pembaca melalui tulisannya. Dengan kata lain, penulis Islam menulis dirinya - keyakinannya, tujuan hidupnya, pegangannya, sistem nilainya, sikap dan perjuangan hidupnya. "Be the message."

8. Penulis sebenar menulis kerana membaca. Sementara penulis palsu membaca kerana mahu menulis. Kaedah yang salah adalah apabila hendak menulis, baru membaca. Penulis mesti lebih banyak membaca daripada menulis. Apa yang ditulisnya hari ini mungkin hasil daripada bacaannya lima tahun lalu. Membaca satu keperluan, bukan satu hobi.

9. Baca secara selektif dan menjiwai apa yang dibaca, bukan secara 'fast reading'. Baca secara aktif - buat nota, tandakan bahagian yang penting.

10. Penulis mesti sentiasa bermujahadah dan tekun bermuhasabah. Tidak semestinya dia menulis apa yang sudah mampu dia amalkan, tetapi sekurang-kurangnya dia menulis apa yang dia sendiri sedang bermujahadah untuk amalkan.

Dipetik dari blog Tuan Zakaria Sungib, Editor Kanan, Galeri Ilmu