Pages

29 April 2010

Hati yang memberi makna



Makna
Minggu lepas, saya berkunjung ke Klana Resort, Seremban. Haaa..mahu tahu untuk apa?
Berkursus atau dalam Bahasa Omputih adalah Team Building; Jabatan Kewangan, Bank Negara Malaysia. Memang seronok. Berbaloi-baloi kepenatannya. Seperti biasa, konsep kerjasama, Integriti, Komunikasi, dan segala emak nenek mengenai pekerjaan
disentuh oleh konsultan.

Makanan, menarik. Memang menarik. Bilik tidur berhawa dingin. Bilik air, boleh berenang. Kawasan damai dan nyaman dengan pokok-pokok menghijau yang amat memberi makna sekali. Saya suka dengan pokok-pokok yang melatari di sini.

Selama 3 hari, 2 malam. Tidur ditemani dengan Normaliza. Dia sedang berbadan dua. Jantina apa di dalam perutnya, saya tidak tahu pula.
Ada juga bertanya. Katanya "Masih belum nampak. Lelaki agaknya"

Tetapi saya banyak berbual-bual santai bersamanya. Juga saya bercerita berkisar mengenai kesedihan hati kerana sehingga kini, masih belum lagi dikurniakan teman di dalam rahim. Kerja tuhan, dan saya seakan sedar. Ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Sedih. Memang terasa sedih sekali. Lumrah bagi setiap manusia. Apabila belum berkahwin, soalan pertama akan ditanya adalah

"Bila mahu kahwin?"

Apabila sudah berkahwin.

" Ha....sudah ada isi tidak? Bila lagi?"

Apabila sudah ada anak satu.

"Ha...bila mahu tambah?"

Itu lumrah manusia. Tetapi saya cukup terasa. Malahan, memberi jiwa yang lara. Apabila, rakan-rakan berjumpa mahupun berym sahaja. Belum apa-apa, belum berym dengan panjang lebar sudah bertanya, ha...dah ada isi tidak? Oh Tuhan, saat itu, tahukah isi hati ini? Tahukah betapa pilunya hati ini?

Tafakur.

Saya tidak tahu, berapa banyak air mata yang sudah menemani. Lantaran, saya menguatkan semangat juga. Ya, kerana saya memerlukan sokongan suami yang sekarang baharu sahaja berpindah di sisi dan berkerja di Shah Alam. Ya, kerja tuhan. Akhirnya Tuhan mendengar doa untuk suami berada di sisi. Sedikit sebanyak hati saya menjadi sejuk dengan sikapnya. Rajin membantu saya. Malahan, mengemas dapur. Juga menyidai pakaian yang sudah dibasuh.

Katanya lagi."Kita kena ingat. Dahulu, emak dan ayah jaga kita, sekarang, kita pula kena jaga diri masing-masing. Kita berdua. Abang jaga sayang. Kerja-kerja di rumah, kita kena buat berdua" ucapnya buat saya tersenyum. Kemudian melihat dapur yang sudah disusun rapi. Dekorasi yang sederhana sebelum suami membeli almari untuk memasak.
"Abang guna kotak-kotak ini dahulu, untuk tinggikan dapur. Nanti, kita beli almari. Barang-barang sebelah peti sejuk, akan kita masukkan nanti"

Saya senyum yang memberi makna.

Terfikir.
Kerana perkahwinan itu adalah perkongsian hati dan jiwa. Perkahwinan itu bukan nafsu semata-mata. Tetapi perkongsian segalanya. Hatta sehingga kini, banyak yang saya belajar mengenai kelemahan diri juga kekuatan diri. Kita akan saling bergantungan bersama apabila berkahwin.

Terima kasih Tuhan kerana memberi rasa dan nikmat perkahwinan. Ia baharu empat bulan. Sesungguhnya, Allah akan memberi rasa dan cabaran untuk mengemudi bahtera rumahtangga dengan berpaksi kepada Tuhan Yang Esa. Saya sedar, semakin hari, Allah mematangkan diri dalam membuat keputusan. Doa saya untuk suami ; Kerja baharu yang akan memberi jiwa dan rezeki yang baik-baik kepada keluarga. InsyaAllah.

Kau dan aku

Waktu ini,
Hanya kau dan aku,
Membilang waktu,
Menghitung masa,
Menadah doa
Untuk bahagia

Dunia dan akhirat

22 April 2010

Yeah!!

Saya ubah lagi warna blog ini.

Entah.
Mungkin antara sebab saya menukar lagi warna juga peralihan semula ke dua bahagian di atas beberapa sebab

1) Sebab banyak ahli-ahli parlimen yang suka melompat-lompat kebelakangan ini. PKR ke UMNO. UMNO ke PKR. Satu ulasan saya 'entah apa-apa'.

2) Bosan. Disebabkan saya asyik tulis cerita untuk blog, kemudian tidak menjadi. Tulis, kemudian tidak menjadi juga. Nampak seolah saya memaksa diri menulis untuk blog. Jadi, saya pun ambil keputusan, menukar warna blog ini.

3) Sibuk. Saya amat sibuk. Biarlah orang kata saya asyik sibuk. Saya mempunyai alasan saya tersendiri. Tetapi, apabila saya menerima
teguran kerana dikatakan saya sibuk adalah kerana dunia semata-mata, maka saya ambil pendirian sendiri. 'Setiap kata-kata yang ditulis, adalah lahir dari hati. Jadi, tepuk dada tanya iman. Tidak mahu mengulas panjang, jadi lebih baik saya berdiam diri sahaja.

4) Urgent! Kerana urusan kerja di sini yang selalu dikatakan urgent. Urgent atau lebih mesra dalam bahasa melayu tinggi bermaksud SEGERA.
Segera kerana pembayaran datuk itu dan datuk ini. Juga kerana kroni-kroni juga bapak-bapak angkat dan hubungan baik sepupu-sepapat.
Kalau saya berani, ingin sekali saya maklumkan kepada mereka 'Kak/abang/puan/tuan/dato sri/datin sri, saya sudah berbulu tahap cipan melayan semua kerja yang URGENT sahaja'. Tetapi hari ini saya berjaya, membuat muka selamba, muka toya, juga muka seposen, tidak melayan malahan kelip-kelip minta dijawab same time (ala-ala ym di sini) Waktu makan, saya habiskan masa, perah idea, buka blog. Baik saya layan blog saya! he he he. Garang tidak?

Cukup setakat ini sahaja. Kalau lama menulis, takut tidak boleh berhenti. Panjang pula saya menulis nanti. Berita baik untuk kawan-kawan yang membaca blog ini, manuskrip kedua saya diterima oleh editor. Yeah!!!!!!!! Ini fragmennya :

[Nafas-nafas yang sentiasa hidup dengan cinta kepada Yang Maha Agung. Tuhan Yang Maha Mengetahui. Tiada aku rasa pilu melainkan aku mengadu hanya kepadamu, Tuhan Yang Satu]

Doakan saya untuk manuskrip ketiga ini menjadi lebih baik dan tenang kisahnya. Pastinya tenang kerana suami sudah ada di sini, menemani diri. Cheh!!

14 April 2010

Arjuna.

Seperti persis bunga-bunga yang berguguran
Seperti persis bunga-bunga kembang mekar
Seperti persis bunga-bunga layu kekeringan
Kemudian ia gugur perlahan
Ditiup sang bayu

Ia persis
Laksana cinta kita
Rumahtangga kita

Senyumlah wahai sang arjuna
Percayalah, hati ini menjadi milik
Milik kamu selama-lamanya