Pages

05 Disember 2012

Nama Dia Joe 20



“Arghhh…sawan dibuatnya!”


Jiha terkebil-kebil. Mata pantas memerhati ketangkasan Mawar mengendalikan perniagaan nasi ayam dan air buahnya. Kepala asyik toleh ke kiri dan kanan sahaja. Sudah dua gelas air buah mangga tahap sedap mahadewa dibelanjakan Mawar. Khas untuk dia. Jiha sengih sambil kuis-kuis baki nasi ayam dalam pinggan dengan sudu. Sedap. Memang sedap. Dalam pinggannya kini tinggal beberapa butir nasi sahaja. Salad, tomato dan timun dia dah ngap! Betul kata kawan-kawan di kolej. Nasi ayam Mawar dah memang jadi siulan sana dan sini. Sedap! Berperisa dan ada sesuatu yang istimewa. Lagi-lagi duduk di kawasan lapang, luas hijau sahaja bersama pohon-pohon rendang. Aroma bau nasi ayam Mawar memang menyelerakan. Lihat sahaja lori 1 tan comelnya itu. Dicat oleh Joe dan kawan-kawannya dengan warna kuning. Mawar berapron dan siap bertutup kepalanya dengan topi ala-ala seorang chef. Apron juga telah ditempah khas oleh Joe untuk semua pekerja nasi ayam Mawar.

Mawar hanya buka kedainya jam 11 pagi sahaja. Pukul empat petang habis licin periuk nasi dan sup. Yang tapau sepuluh dan dua puluh pun ada. Makin maju. Pekerja dah tambah seorang lagi. Haneem. Budak lepasan Diploma itu boleh tahan rajin kerjanya. Mawar dah macam lipas kudung. Dia memang berbakat berniaga. Bagus betul Joe dan keluarganya membantu Mawar dan keluarga Mawar sebegini. Dia suka sangat melihat Joe membantu sahabat baiknya ini. Bergeliga otak baba Joe dan Joe. Siapa kata berniaga nasi ayam tidak untung. Kalau tidak kena cara dan gaya memanglah akan rugi. Kalau lihat dari riak wajah Mawar, dia tahu Mawar puas hati. Dia tahu Mawar seronok dan Mawar rasanya tidak akan kembali belajar di kolej. Lebih baik hadap nasi ayam dan lori 1 tannya ini dari hadap muka tak sudah si Eriana tu. Huh!

Jiha sengih lagi. Mawar dah tarik kerusi. Duduk dan letak air buah tembikai. Straw dikacau-kacau agar gulanya sekata. Mawar terus menatap mata Jiha. Apa agaknya perkembangan kelas dan kolej. Apa juga khabar Eriana yang terus mendiamkan diri selepas beberapa episod pertemuan mereka itu.

Jiha sekali lagi telan air liur. Dia datang ke sini pun kerana arahan papa Eriana. Tuan Haji Budiman sebenarnya sudah malu bercampur segan. Disuruhnya Jiha datang dan mencari Mawar. Tuan Haji itu tahu Mawar tidak bersalah. Sudahlah dia memaki hamun Mawar dalam telefon. Marahkan Mawar kerana isu gambar separuh bogel yang dikatakan Eriana. Hujung-hujungnya dia tahu yang Eriana menipu. Kes Mawar mencuri barang-barang Eriana pun sebenarnya satu penipuan. Tuan Haji Budiman entah rasa mana mahu menyorokkan mukanya ini.

Puas dia mencari mana rumah Mawar. Pergi hospital bertanyakan Tuah mengenai kakaknya si Mawar. Tetapi Tuah geleng kepala. Dia tidak mahu kakaknya terbabit sekali lagi dalam hidup Eriana. Biarlah kakaknya bahagia dengan dunianya sekarang. Dia mahu kakaknya dengan dunia nasi ayam. Dunia lori 1 tan dan berkawan bahagia dengan Joe. Kalau kakaknya senang hati begitu, dia terima seadanya. Kalau betul abang Joe itu sukakan ‘kak Mawar’nya…dia akan sudi jadi wali. Titik.

“Mawar…”  Jiha pandang Mawar yang sedang menyedut air buahnya. Segar. Sampai ke kerongkong rasa nikmat bahagia dunia.

Mawar panggung kepala. Straw masih di bibir. “Hmmm…kau rindukan aku erk?”

Iyalah. Mana tak rindu. Kalau kau ada, bolehlah tolong tengok-tengokkan assignment aku tu. Nak tiru pun senang. Kau tu pandai. Haaaa…terlanjur orang tak ramai kat gerai nasi ayam kau ni, aku nak bagi tahu sesuatu ni.”

Mawar bulatkan bola mata. Macam guli. “Haaa…fasal apa? Kau pun nak berniaga macam aku ke?”

Jiha ketawa. Sambung dengan senyumnya yang bersisa. Geleng kepala. “Kalau aku berniaga..macam mana kau nak cari makan, Mawar. Akulah kaya dari kau nanti. Hehe.”

Eleh. Mengada. Haa..ni mesti ada cerita fasal Eriana. Sampai kau sanggup duduk sini tunggu aku. Dah dua jam tau.” Mawar juih bibir. Dia tahu apa yang akan Jiha cerita. Malam tadi, Tuah ada bercerita mengenai kedatangan Tuan Haji Budiman ke hospital. Mencari mana Mawar, kakaknya. Tuah bercerita penuh emosi. Apa cerita dan isi plot, dia tak nak ambik tahu. Tapi dia jadi pendengar setia kepada Tuah. “Ah, Tuah tak beritahu. Kalau dia nak melutut pun Tuah biarkan. Kasi ajar sikit dia dan Eriana tu. Tuduh kak Mawar macam-macam. Alih-alih datang nak minta maaf.”

Tuah tarik nafas. Sengih dan sambung bercerita. “Kalau kak Eriana marahkan abang Joe berkawan dengan kak Mawar sekalipun, Tuah apa pedulik! Kalau kak Mawar kahwin dengan abang Joe pun Tuah sudi jadi wali! Haaa..kahwin je lah kak Mawar dengan abang Joe…” Tuah mengekek ketawa sambil Mawar baling bantal terus ke muka Tuah. Bertuah punya budak.

Jiha angguk. Tepat sungguh agakan Mawar. “Iya. Fasal Eriana.”
Mawar tarik nafas. Seboleh-boleh dalam masa ini dia tidak mahu dengar dan tidak mahu langsung tahu mengenai Eriana. Sudah cukuplah tempoh persahabatan mereka. Sudah cukuplah dia digoreng sampai hangus oleh Eriana.

Joe kalau dengar nama Eriana pun dah mendidih. Entah kenapa semasa mereka makan-makan di padang hijau tu Joe warning dia. ‘Awak kalau ada sesiapa cerita fasal Eriana ke, jangan percaya dan jangan peduli! Tau!’  Kalau Joe dah buka mulut fasal Eriana dan hari ini Jiha pula bawa cerita mesti ada sesuatu yang terjadi dengan bekas sahabatnya itu. Kenapa dengan Eriana ya? “Haaa..dia kenapa? Nak mengurat siapa pula kali ni? Nak biodata siapa pulak? Ke kau dah jadi balaci dia?”

Isk, taklah sampai ke situ. Tapi kami semua dan papa Eriana betul-betul nak minta bantuan kau Mawar.” Jiha tarik jemari Mawar.

Mawar terkebil-kebil dengan rasa mahu tahu dan meronta-ronta inginkan kepastian dari Jiha. “Dia kenapa?”

Jiha gumam bibir. Betulkan tudung yang sedikit herot. “Dah seminggu dia tak masuk kelas. Minggu lepas masa kat kantin. Dia nampak seorang senior baru. Baru pindah dari Sarawak. Dia koyakkan kertas jadi kecik-kecik. Tulis sesuatu atas kertas tu, lipat-lipat dan terus bagi kat mamat kacak tu.”

Dahi Mawar berkerut-kerut. “Kertas kecik-kecik. Apa tu? Dia tulis apa?”

Haaa..ni yang aku nak story kat kau ni.” Jiha hembus nafas. Sengih sambil pandang jemari Mawar. Mawar tarik balik jemarinya. Punyalah melopong dia mendengar cerita Jiha. Jantung Mawar dup dap dup dap kali ini. Kenapa dengan Eriana ya?

Jiha kembali atur pernafasan. Mula bercerita. “Dia tulis nama dan nombor telefon dia. Hehehe.” Jiha ketawa kecil. Geleng kepala kerana teringatkan episod berkenaan. Geli hati pun ya.

“Mamat tu siap buat muka pelik dan ketawakan Eriana. Kau tahu sampai macam tu sekali dia nak carik pakwe baru. Setiap kali dia nampak mamat handsome ke, hot ke dia mesti koyak kertas, tulis nama penuh dan nombor telefon. Lipat kertas tu dan slumber badak bagi kertas tu. Tak gila namanya?” Jiha terus bercerita. Penuh perasaan.
“Lagi?” Mawar geleng kepala. Gigit bibir.

“Ada satu perkara yang tak ada kena mengena dengan kita. Tapi terkena kat Puan Ramlah. Puan Ramlah marahkan dia sebab semua assignment dia tak buat. Tutorial pun berlambak tak buat. Dia minta kad pengenalan Puan Ramlah dan patahkan depan semua student. Lepas tu dia lari masuk dalam toilet dan flush kad pengenalan Puan Ramlah dalam jamban. Kau tak rasa Eriana tu dah gila?” Jiha buntangkan biji mata.

So?” Mawar terkebil-kebil. Sukar dia percaya dengan apa yang Jiha cerita ini. Tapi ia seakan-akan pernah terjadi bila dia dan Eriana duduk serumah. Eriana pernah ambil sebaldi air dan curahkan air berkenaan di atas tilamnya sendiri. Hanya kerana dia mahu Mawar mengikut kata-katanya. Bila tengok Eriana menjerit macam orang gila dalam bilik, Mawar akhirnya setuju. Dia mahukan Tengku Khalid waktu itu. Boleh atau tidak, dia akhirnya merayu kepada Tengku Khalid untuk membawa Eriana ke mana sahaja. Shopping, tengok wayang dan juga dating. Nasib baik Tengku Khalid baik hati. Membantunya dalam menjayakan misi Eriana. Huh!

“Kami semua tak tahu apa yang jadi dengan Eriana seminggu ni. Sampaikan papa Eriana cari kau kat kolej dan minta kau datang pujuk Eriana. Apartmen dia berkunci dan tak ada siapa tahu dia buat apa kat dalam tu. Kata papa Eriana, dia tak boleh terima atas apa yang berlaku kat dia. Apa yang Joe buat kat dia dan dia kata Joe rampas kau dari dia.”

Pulak…” Mawar hembus nafas. Bahu turun perlahan-lahan.

“Ya Mawar. Pergilah kau tengokkan si Eriana tu. Papa dia makin kurus aku tengok. Pergilah sekali jenguk papa dia tu. Aku fikir dia malu nak jumpa dengan kau.” Jiha terus memujuk Mawar. Dia tahu hati budi Mawar. Dia juga tahu Mawar ini gadis baik dan pasti ikatan persahabatan yang pernah terjalin antara Mawar dan Eriana kembali terjalin. Bertaut kembali. Tetapi bila mengenangkan sifat Eriana, dia jadi risau. Takut pun ya. Benarkah Eriana itu sudah gila? Benarkah?

Dingin. Angin terus berpusing-pusing. Awan semakin hitam. Fikir Mawar, sekejap lagi hujan akan turun. Pasti lebat dan dia harus cepat mengemas kawasan perniagaannya ini.  Mawar pandang Jiha. Bola mata bertemu lagi. “Kau baliklah dulu ya. Kami nak kemas-kemas dah dan kejap lagi macam nak hujan je. Aku fikirkan nanti. Kalau ada masa aku jenguk dia. Eriana ada tu. Jangan risaulah.”
“Kau call papa Eriana ya.” Jiha menyogok lagi.

Wajah Tuan Haji Budiman menerpa masuk ke dalam kotak minda Mawar. Angguk. “Aku cuba nanti.”

Gerimis sudah mula turun. Mawar mula rasa tak sedap hati. Separuh dirinya terkenangkan kenangan antara dia dan Eriana. Pahit. Cuma dia sahaja mengerti keadaan Eriana. Walau dia sendiri terpaksa menelan dan menerima tindakan luar kawal Eriana itu. Dalam hati dia amat-amat berharap Eriana lekas bangun. Kembali buka mata dan menyedari hakikat bahawa dunia ini bukan milik diri sendiri.

***

Joe memerhati lori 1 tan milik Mawar. Selalunya Mawar akan telefon dia untuk mengangkat beberapa bekas besar ke atas. Tapi sudah dua puluh minit dia menanti di sini. Mawar tidak juga telefon-telefon. Lagu Bawa Daku Pergi tidak berbunyi langsung. Nada dering berkenaan tidak menyentuh gegendang telinga. Kosong.

Matanya terus menilik lori. Beralih ke cermin. Mana Mawar? Kaki Joe terus melangkah. Kepala terjungkit-jungkit meneropong Mawar. Ada. Dia ada. Tapi kenapa senget duduknya? Kepala terlentuk semacam aje.

Kakinya berhayun. Langkah besar dan akhirnya dia sampai ke lori milik Mawar. Enjin belum dimatikan lagi. Sekali pandang dia gelengkan kepala. “Ya Rabbi budak ni. Boleh pulak dia tidur.” Joe sengih kacak.

Joe terus pusing ke kiri. Mahu masuk ke dalam lori. Tempat duduk penumpang masih kosong. Lincah pergerakan Joe. Geleng lagi kepala kerana Mawar selalu sahaja cuai. Pintu lori pun dia tak kunci. Kalau nak tidur sekalipun, kuncilah Mawar oi. Buatnya kena culik ke apa ke. Isk isk.

Joe dah duduk diam dalam lori. Berdua dengan Mawar yang sedang berdengkur kecil. Dia geleng kepala dan senyum. Kelakar betul Mawar ni. Dalam lori pun sempat tidur dan kroh kroh kroh. Alahai comelnya. Joe teliti jemari Mawar yang memegang telefon bimbit. Jemarinya terbuka sedikit. Dicapai dan dibelek.

Joe pandang skrin. Onnkan telefon bimbit. Tepat matanya membaca sesuatu. Oh, dia nak telefon Joe sengal. Hahahaha.

Agaknya dalam nak telefon tu boleh pulak dia tertidur. Careless girl! Jari nakalnya terus menukar nama Joe sengal ke Joe sayang. Hahaha. Joe ketawa kecil. Harap-harap Mawar tak perasan. Phewww… dia toleh ke kanan. Tangan betulkan kepala Mawar yang sedikit terlentuk di kerusi lori. Joe kunci pintu lori. Telefon Mawar diletakkan atas dashboard lori.

Tup!

Serentak itu jantungnya berdebar-debar. Sungguh! Berdua dengan Mawar di dalam lori 1 tan ini mengundang rasa sesuatu di hati. Joe pandang kaki langit. Awan semakin hitam. Hujan tadi nampaknya akan bersambung kembali. Dia terkebil-kebil tak tahu buat apa-apa. Bila dia renung wajah Mawar, dia jadi nanar. Debarnya entah kenapa dahsyat. Jantungnya berdegup terlalu laju.

Suri dan Mawar.

Mawar dan Suri.

Joe lelapkan mata. Mula merancang sesuatu agar segalanya jadi sedia kala kembali. Dia mahu jiwanya untuk sekeping hati wanita bernama Mawar. Tetapi entah kenapa dia rasa sangsi dengan jawapan sendiri dan mula simpati dengan Suri. Joe renung lagi Mawar yang memang nyenyak tidurnya. Bersama dengkuran halus yang menerbitkan rasa sayangnya.

Perlahan-lahan dia ambil jemari Mawar. Genggam erat meski dia tahu dia kini bersalah. Joe sandarkan kepala ke kerusi lori. Pandang titis-titis hujan yang mula menemani. Jiwa jantannya terus ligat berdetak. Berdetak hebat bila mata nakalnya memandang bibir merah Mawar.

Jantung berdegup terus rancak. Berdegup rancak bila mata nakalnya memandang pipi gebu Mawar. Dia telan air liur bila sekali lagi bibir merah Mawar menjadi taruhan si pria. Perlahan-lahan kepalanya mula mendekati wajah Mawar. Hujan mula turun dengan lebatnya. Debar jiwa sang lelaki terus asyik dipalu sorakan syaitan. Bergema-gema meski dia tahu ini salah. Ini tidak boleh. Mawar itu sang Cinderella suci. Masakan bibir boleh menjadi penghapus dosa suci.
Ah, malam ini solat sunat taubat. Ngeh ngeh. Joe pejam mata sambil terus lupa dan alpa.

Suri berdiri betul-betul di sebelah cermin. Bersama sekaki payung warna ungu muda. Air matanya menitis laju dan payung terus terbang bersama angin yang kuat. Tubuhnya dibasahi air hujan. Saat itu dia mengetuk-ngetuk cermin lori.

Belum sempat pun Joe letak bibir prianya ke bibir merah Mawar, kepala Joe terus terhentak dengan dahi Mawar. Tujahan dahi Mawar yang tiba-tiba bangun kerana bunyi cermin dipalu mengganggu mimpi indahnya.

Adeiiii….!” Joe menjerit kecil. Gosok dahi yang sakit.

Mawar terkebil-kebil. Dia turut sama gosok dahinya yang sakit kerana terhantuk dengan dahi Joe. Mawar pandang Joe dan kemudian kepalanya menoleh ke kanan. Dia gosok mata. Akibat bangun tidur yang lena dia jadi terkebil-kebil memastikan wanita di luar lorinya ini. Siapa dia? Mawar terus kenal pasti tubuh dan wajah yang dekat dengannya ini. Suri? Kenapa Suri menangis dengan air matanya laju menderu-deru. Kenapa Suri dibasahi dengan air hujan.

Joe gosok dahi. “Sakitlah awak!” Pejam mata dan bila dia buka mata dia terus terdorong ke belakang. Mata mereka bertentangan kini. Berlawanan. Suri?

Hujan. Terus lebat. Selebat air mata Suri. Mulutnya terkumat kamit. “Sampai hati awak Joe. Sampai hati…”

Pertemuan Joe dan Suri.

Sangsi.

Pertemuan Mawar dan Suri.

Tiga hati sedang dipalu laju. Nadanya terus hey hey hey..