Pages

21 September 2010

Suasana Hari Raya II

Hanya gambar sahaja menceritakan detik-detik syahdu di aidilfitri. Cuma saya seorang sahaja yang tiada di rumah bonda ayahanda.
Sebak memang sebak apabila bercakap dengan bonda dan ayahanda melalui telefon.

Petang hari raya pertama, saya sudah muncul di hadapan rumah. Irfan tanpa diajar sesiapa dan dengan jeritannya, "Mak lang, nenek asyik menangis sahaja!"

Ya, saya di dalam mood yang terbatas untuk menulis di blog. Kerana itu saya lebih paparkan gambar-gambar peribadi sahaja sekarang di dalam blog ini. Mengubat hati agaknya. Mungkin kerana episod menanti penerbitan novel saya. Mungkin dianjak atau ada
kejutan untuk diri. Yang baik-baik untuk saya, InsyaAllah.

Gambar bonda dan ayahanda yang syahdu, bermaafan di pagi aidilfitri.

Gambar kedua, along yang disayangi.

Gambar ketiga angah yang disayangi juga.










15 September 2010

Cabaran Pengarang Muda



MENURUT Carlos Fuentes, cabaran besar seorang pengarang, baik ia muda atau sudah berusia barangkali ialah bagaimana ‘meletakkan kekuatan imaginasi dan kemampuan komunikasi bahasanya’. Sebagai seniman besar dari Amerika Latin, beliau berpendapat dua hal tersebut adalah cabaran yang akan menentukan kekuatan seseorang pengarang. Jika pengarang dapat menguasai dua hal tersebut di usia muda, ia akan menjadi pengarang yang luarbiasa apabila meningkat usia pengkaryaannya.

Lain daripada Fuentes, Czeslaw Milosz meletakkan kekangan sebenar seorang pengarang ialah ‘mempertahankan kebenaran’ dalam karyanya. Dalam hal ini Milosz sedang bercakap bagi pihak kelas murbawan, kerana pada beliau itulah puncanya Boris Pasternak, Solzhenitsyn dan Sakharov berdepan dengan kekejaman tirani dan kuasa.

Edward Said, sarjana tersohor dalam membicarakan kerja-kerja Naguib Mahfodz mendapati cabaran utama Mahfodz ketika muda ialah bagaimana ‘sukarnya Mahfodz menempatkan sejarah’ dalam karya-karyanya dan mengingatkan masyarakat tentang kekejaman sejarah tersebut. Tentu, jika kita menilai sejarah Mesir yang panjang itu, kita sendiri akan sesat di dalamnya.

Saya tentu boleh menyenaraikan sekian banyak lagi pandangan daripada Gao Xingjian, Jean Paul Sartre, Jose Saramago, Julio Cartazar, Nadine Gordimer, Paulo Freire dan senarainya akan sangat panjang.

Akan tetapi semua di atas itu, kecil ertinya. Kerana faktor-faktor dalaman yang dihujahkan oleh mereka hanyalah permukaan semata-mata. Kita tidak dapat menyalahkan mereka yang berlainan epistemologi dan ontologi dengan kita. Dan mereka juga tentu tidak dapat memaksakan kita menerima mereka dengan cara kekuatan.

Bukankah seorang pengarang itu baik ia muda atau tua adalah seorang pemikir? Ia adalah seorang penyumbang kepada tamadun, malah ia adalah seorang saintis dan pakar penyelesai segala masalah masyarakat. Ketahuilah pengarang muda, orang tidak merujuk karya sastera semata-mata untuk menghilangkan dahaga sebentar. Kita merujuk karya sastera untuk mencicip dan meneguk kepuasan sebenar. Karya sastera mesti menjadi penawar penyelesaian masalah masyarakat.

Justeru, cabaran untuk pengarang muda ialah bagaimana ia harus merenung ke dalam dirinya, dan ke dalam masyarakatnya demi mencari ubat untuk sekian macam penyakit yang menimpa ummah. Pengarang muda tidak boleh sekadar selesa bercerita. Ini kerana cerita tidak ada apa-apa. Ia hanyalah hiasan. Ia adalah salut. Sekadar kertas pembalut untuk kuih yang lebih lazat kerana intinya adalah khasiat yang ingin dihadami. Oleh kerana itu pengarang muda yang lemah dan malas berfikir, meminjam ungkapan pemikir terkenal Algeria – Malek Ben Nabi – sebagai al-da’fwa al-kasal fi al-tafkir akan mengakibatkan kemurungan untuk masyarakat kita.

Sesungguhnya pembaca sastera kita sedang meratap dan sakit merana kerana karya yang terhidang buat mereka hanyalah sekadar air sejuk untuk melampias haus sementara. Tiada gizi dan daya ketahanan untuk melawan kejahatan virus dari luar. Dan lawan bagi ‘lemah dan malas berfikir’ itu tentunya quwwat al-ruh wa al-‘aql. Yakni, cabaran paling besar ialah cabaran dalaman untuk mempersiapkan diri sebagai seorang pemikir yang berani melawan al-irhab al-fikry atau keganasan pemikiran di mana hari ini kita dipaksa mengikut satu sahaja gaya atau aliran tajaan.

Pengarang muda harus menerjemahkan apa yang difirmankan Allah sebagai Fa’tabiru Ya Ulil Absar, di mana tugas kitalah sebagai pengarang untuk melihat, memikir dan menulis lalu mengisi kebijaksanaan dalam karya sastera yang ingin kita gubah. Saya teringat pada tahun 2002 lalu, di Dewan Bahasa dan Pustaka; saya mendengar ucapan Surin Pitsuwan yang menyeru ‘I want to challenge you all to thinking critically, to see things from different perspectives, to appreciate phenomena from different points of view’.

Hari ini sarjana muda kita, atau pengarang muda kita tiada kekuatan untuk memikir secara kritis, tiada keberanian merubah perspektif dan tiada keinginan sama sekali untuk menghargai gejala-gejala lain yang dapat menyuburkan kotak fikir mereka.

Akibatnya karya sastera pengarang muda, dan apabila mereka menjadi tua akan melalui satu lingkaran yang sama. Lingkaran batil. Sekadar meminjam ungkapan al-Marhum Syed Hussein al-Attas, lingkaran ‘the captive mind’ Lingkaran minda yang tertawan. Lalu ekoran dari itu karya sastrera kita masih seperti dulu. Kaku. Masih menghidangkan kisah yang sama berulang kali, masih ketandusan pemikiran, masih kekontangan ilmu pengetahuan dan masih membanggakan episod emosi dan drama yang sensasi.

Maka, pengarang muda dan tua mesti menyedari kerja sastera bukanlah kerja bercerita. Kerja kita sebagai sasterawan adalah pertamanya, kerja sebagai pengawal masyarakat; keduanya, kerja menjadi tukang cakap aspirasi ummah; ketiganya kerja sebagai rujukan bangsa di saat mereka menghadapi persoalan yang menekan; keempatnya, kerja sebagai tali pengikat atau integrator supaya dapat membangunkan potensi masyarakat. Apakah ada kemungkinan untuk pengarang muda menjadi semua itu jika ia masih bergelut dengan cerita-cerita palsu, imaginasi yang merupakan perkara pinggiran, tetek-bengek tiada keyakinan, atau ketinggalan rasa motivasi untuk mengarang.

Tidakkah remeh benar jika pengarang muda berhimpun di satu majlis untuk membincangkan kenapa karya kita tidak tersangkut memenangi hadiah tertentu. Ini kerana pengarang muda terlupa kerja perdana menulis bukan pada hadiah atau mengisi saku. Kerja perdana yang akan memberikan kita hadiah perdana yang sejati ialah untuk memenuhi lingkaran pembebasan, lingkaran kemerdekaan yang kita ucapkan tatkala kita melakukan tawaf di keliling kaabah. Lingkaran yang tidak putus ini adalah lingkaran Rabbana atina fiddunya hasanah, wa fil Akhirati Hasanah, Waqina Azab annar. Jika pengarang muda masih berkeluh kesah dengan lingkaran batil, maka harapan untuk membangkitkan sebuah karya sastera bertaraf dunia dan bertaraf akhirat dengan mencetuskan renaissance keilmuan dan pemikiran akan terkambus selama-lamanya.

Pengarang muda tidak boleh perasan bahawa tugas mereka selesai dengan menulis sebuah dua cerpen atau novel pop agama yang dipenuhi ayat-ayat dan perenggan-perenggan cinta. Mengapakah masalah masyarakat misalnya, masih tidak selesai setelah berpuluh tahun gagasan Sastera Islam dikemukakan (termasuklah kelahiran gagasan Persuratan Baru yang kontroversial itu). Adakah ini bermakna karya sastera Islam kita tidak cukup Islam? Atau Islam yang disadurkan dalam karya ialah Islam berpunca salah? Saya menyebutkan hal di atas kerana sudah menjadi kegilaan pengarang muda menulis karya pop Islami (dan ia menjadi kurang pop apabila dihantar satu dua ayat atau ungkapan yang dirasakan falsafah). Tidakkah kita memikirkan bahawa karya sastera Islam ini tidak meninggalkan kesan pada masyarakat kerana ubat yang salah tidak dapat sama sekali menyembuhkan penyakit yang menuntut ubat yang tepat.

Mungkinkah, kerana karya yang lahir ialah ‘karya pseudo-religion’ yang disangkakan panacea kepada persoalan akan tetapi sebetulnya masih terperangkap dalam lingkaran minda tertawan.

Maka adalah satu kerja buat pengarang muda untuk keluar dari lingkaran yang memabukkan ini demi membawa tekad baru. Tekad untuk memastikan karya sastera kita adalah karya sastera yang salih li kull zaman wa makan, iaitu serasi dengan segala waktu dan ruang. Memang kerja pengarang muda untuk mengupayakan sebuah karya yang mengandungi seruan ‘afala tatafakkarun, afala ta’qilun’ iaitu ‘mengapa kamu tidak berfikir atau tidak berakal’.

Pengarang muda mempunyai cabaran untuk menggali ilmu dan memuatkannya dalam karya. Kerana karya yang sarat ilmu ialah karya yang tidak akan mati sama sekali. Ini kerana, meminjam pandangan Saidina Ali Abi Thalib, ‘ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu menjaga kita, sedangkan harta kita yang menjaganya, ilmu menghukum, sedangkan harta kita yang menghukumnya, ilmu bertambah apabila digunakan, sedangkan harta berkurangan apabila digunakan.’ Karya dengan ilmu ialah karya yang hidup lama, kerana ilmu yang benar ialah ilmu yang menyelesaikan masalah masyarakat.

Sudahnya, untuk tujuan tersebut, pengarang muda dan tua mesti merenung kembali ayat al-Quran pada surah al-Maidah, ayat ketiga yang berbunyi: ‘Pada hari ini telah Aku sempurnakan agama engkau untuk engkau dan telah Aku cukupkan nikmatku untuk engkau dan Aku telah reda Islam selaku agama engkau.’ Adalah menjadi tanggungjawab setiap kita untuk mencari kesempurnaan agama yang telah dipateri oleh Allah. Adalah menjadi keperluan untuk kita mengkaji, memikir dan menganalisis sebab musabab ayat ini turun dan pemerihalan mengenainya supaya kita mengenal lingkaran merdeka. Dan bukan terus terkurung dalam lingkaran minda tertawan.

Faktor-faktor kekangan lain buat pengarang amatlah kecil jika dibandingkan apa yang telah disebutkan sebelum ini. Urusan kekurangan dana, kesukaran menerbitkan, kekurangan kreativiti (dalam hal ini yang dimaksudkan ialah imaginasi) atau kelembapan karya diterjemahkan adalah hal-hal ranting yang akan selesai mengikut peredaran zaman dan keadaan.

Inilah faktor dalaman sebenar yang mencegah kemajuan pengarang muda, mahupun tua di negara kita; malah di dunia Islam seluruhnya.

* Tersiar di Tunas Cipta September 2010.

Dipetik dari laman sifu Tuan Faisal Tehrani

13 September 2010

Suasana Hari Raya I



Tertera di gambar adalah adik lelaki kesayangan saya, Mohd Fared. Juga anak-anak buah Irfan dan Aiman.



Raidah, Zirah, Raihan, Zimah dan saya ketika malam perjumpaan tersebut. Gambar sedikit kabur akibat gangguan teknikal. Tetapi
tidak mengapa, ada kenangan kami berlima adik beradik perempuan bersama-sama.




Suami menjadi juara pakaian paling kemas ketika Majlis Perjumpaan Keluarga Ayahanda sempena Aidilfitri di Sri Tanjung, Masjid Tanah (Malam hari raya kedua). Pulanglah kami dengan hamper hari raya. Irfan sempat menjerit, yeay, pak lang Irfan menang!

InsyaAllah, saya akan kemaskini gambar-gambar kenangan aidilfitri yang sempat dirakamkan.

07 September 2010

Selamat Hari Raya



Salam Aidilfitri untuk semua yang sudi membaca laman sederhana ini.
Mohon maaf zahir dan batin dari saya dan suami.

Berhati-hati di jalan raya, Kurangkan pengambilan kolesterol di hari raya ini.

06 September 2010

Iklan Raya Melampau!

Iklan yang diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos RM200 ribu. Hangus!

Yang hairannya, antara orang yang bertanggungjawab meluluskan iklan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Adakah dia begitu jahil tentang agama sehingga tidak dapat melihat elemen pluralisme dan unsur agama lain dalam iklan tersebut. Walhal elemen tersebut bukannya diselitkan secara tersirat tetapi secara tersurat. Jelas dan terang. Malangnya, apabila iklan itu dibantai oleh pelbagai pihak, alasan yang diberikan untuk meluluskan tayangan iklan itu adalah kerana melihat daya kreativiti pengarahnya.

Sebagai orang yang bertanggungjawab, dia memohon maaf atas kesilapan yang telah dilakukan. Baguslah, kerana dia meminta maaf selepas melakukan kesilapan. Cuma, sesuaikah dia menggunakan frasa "tidak disengajakan"? Adakah dia benar-benar faham maksud "tidak disengajakan"? Apabila iklan itu dibuat dan ditapis dab dinilai oleh orang tertentu, maka penggunaan "tidak disengajakan" tidak wajar digunakan. Oleh itu, perkara ini terjadi bukan kerana "tidak disengajakan", tetapi berlaku kerana kejahilan tentang soal agama.


[UM] KUALA LUMPUR 5 Sept. - Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) hari ini memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam kerana penyiaran iklan yang dikatakan mempunyai unsur-unsur yang boleh memesong akidah terutama kanak-kanak.

Sehubungan itu, iklan tersebut yang ditayangkan sejak Khamis lalu telah pun dihentikan penyiarannya semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan ketika dihubungi hari ini berkata, bagi pihak TV3 beliau meminta maaf kepada masyarakat Islam terutama penonton TV3 di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

"Sebagai orang yang bertanggungjawab meluluskan iklan itu, tidak terlintas di fikiran saya untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak sebaliknya hanya melihat itu sebagai daya kreativiti pengarahnya.

"Dalam iklan selama seminit itu, ia menggambarkan impian seorang kanak-kanak dengan beca ajaibnya sesuai dengan tema TV3 tahun ini iaitu Sinari Lebaran,'' katanya.

Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan sempena hari raya yang menggambarkan seorang 'Pak Haji' mengajak kanak-kanak menaiki beca ajaib sehingga melintasi bulan.

Ia seolah-olah menyamai watak Santa Claus menaiki kereta salju yang dipacu oleh sekawan rusa kutub membawa hadiah Hari Natal untuk kanak-kanak.

Iklan tersebut juga menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman agama Buddha.

Iklan tersebut diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).

Menurut Farid, dengan mengambil kira rungutan dan rasa tidak senang penonton, iklan tersebut telah pun dihentikan pada pukul 9 malam tadi selepas lima kali disiarkan.

''Walaupun iklan itu baru lima kali ditayangkan, kami telah pun menarik penyiarannya demi memelihara keharmonian dan menghargai pandangan penonton.

"Sebagai sebuah stesen televisyen yang sentiasa cuba memberikan yang terbaik kepada penonton, komen-komen begini sedikit sebanyak membantu kami untuk tidak melakukan kesilapan lagi," katanya.

Farid berkata, disebabkan kesuntukan masa, mulai esok sebagai menggantikan iklan tersebut, TV3 akan menyiarkan iklan raya tahun lalu iaitu 'Ikan di laut, asam di darat' arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.

Sementara itu, Douglas ketika dihubungi mengenai iklan daripada idea kreatifnya itu akur dengan apa juga keputusan pihak TV3.

Katanya, sebagai Pengarah Kreatif TV3 beliau cuba melahirkan sesuatu yang menarik sesuai dengan tema kali ini iaitu Sinari Lebaran dengan menggambarkan keriangan kanak-kanak.

"Semasa membuat iklan ini, apa yang saya fikir hanyalah untuk melahirkan Melayu milenium dan tidak pernah terlintas untuk menyinggung perasaan orang Islam.

"Saya cuma mahu gambarkan impian dan keriangan kanak-kanak itu dengan beca ajaibnya untuk mencapai apa yang difikirkan kerana saya rasa ia cantik dan sesuai.

"Saya benar-benar menyesal atas apa yang berlaku dan saya memohon maaf kepada masyarakat Islam di atas kesilapan yang tidak disengajakan,'' katanya.

Beliau berkata, komen dan pandangan pelbagai pihak akan dijadikan panduan dalam menghasilkan sesuatu karya pada masa depan.

Iklan Sinari Lebaran yang menelan kos sebanyak RM200,000 menjalani penggambaran tiga minggu lalu di Bukit Broga, Semenyih, Negeri Sembilan.

Penggambaran selama seminggu itu mengabadikan babak beca ajaib dari Pulau Pinang, Perak dan Bukit Broga dengan menggunakan CGI dengan lagu latar hari raya ciptaan komposer Jerry dan Bijay dan dinyanyikan oleh Atilia.

Dipetik dari blog ini.