Pages

22 Disember 2010

Ini dia!


Ini gambar suasana bekerja di pejabat. Dan laluan pekerja-pekerja yang berdedikasi di belakang saya! Dan pembuka pintunya adalah saya! Arghhhhhh....memang sudah 4 tahun saya bertahan duduk di hadapan dan selama 4 tahun itu juga saya berperang sakan dengan banyak karenah. Kakitangan ataupun panggilan telefon yang tidak sewajarnya di hantar ke Jabatan Kewangan.

Sabar. Paling penting adalah sabar.

Bendera yang berkibar itu adalah kerana semangat dan kerana menyahut seruan PM Jib -1Malaysia. Ohh!
Apa yang menarik agaknya tentang gambar ini ya? Patung berwarna kuning itu milik apei!

20 Disember 2010

Hatinya yang sukar dicari ganti lagi.

Kawan.

Hari ini, saya belajar satu perkara penuh dengan jiwa.

Kawan. Iaitu boleh sahaja ertinya menjadi teman, dan sahabat. Perjalanan yang semakin saya lalui, semakin membawa kepada kematangan diri. Saya akan berkawan dengan sesiapa sahaja. Namun kawan-kawan tidak ada yang rapat atau lebih tepat berkawan dengan saya 'seerat-eratnya'.

Tiada perkongsian yang sedalamnya antara saya dan seorang kawan. Dahulu saya diisitilahkan 'kakak usrah yang garang'. Maka mungkin itu antara faktor saya seorang yang sukar didekati. Namun, Hanes seorang yang memahami dan kini istilah itu tiada lagi dalam kamus hidup saya. Perlahan-lahan saya menukar definisi itu kepada seorang kakak usrah yang memahami. Mengambil masa yang lama untuk merubah diri kepada corak ketegasan dalam kepimpinan dan membawa corak berlainan pula!

Namun, kegarangan saya melekat dengan ramai kawan-kawan yang mungkin tidak berani dekati lagi. Beransur-ansur masa membawa saya kepada kenangan yang lalu. Mungkin faktor masa, jarak, hubungan, alam sekitar, hati dan segala-galanya menjadi jurang perbezaan antara saya dan kawan-kawan.

Adakala saya juga anti sosial. Jarang bergosip-gosip dan senang dengan dunia saya. Dunia yang kini sebati dengan saya. Kawan terbaharu saya pastinya komputer riba dan buku-buku yang menjadi teman. Bahagia. Saya akan menulis sehingga rasa kepuasan yang tidak terhingga. Adakala melewati malam dan membawa kepada pagi.

Namun sesekali melihat gelak ketawa dan keakraban teman-teman bersama memunculkan satu rasa iri hati dalam diri. Boleh bersama keluarganya, boleh mendekati dan akhirnya saya melihat dari jauh betapa saya kekurangan sahabat yang sebegitu. Kekurangankah saya? Saat itu, terasa saya mahu lari dari berhadapan dengan kenyataan kehidupan. Mahu saja saya menjadi seperti si kumbang yang boleh sahaja menghisap madu-madu manis dari setiap kelopak bunga kesukaannya.

Pantas saya mendongak melihat langit yang terbentang luas. Hadiah dari langit lantas turun dan gerimis menjadi teman lagi! Aduh, indah sungguh suasana dan pelangi petang lantas memunculkan dirinya. Masih sudi menjadi teman dan kawan.

Masa menginjak mendewasakan diri. Hari ini saya sebenarnya sudah mempunyai kawan istimewa. Paling tidak, menjadi tempat menyandarkan segala kesedihan, gembira dan segala-galanya.

Oh, sungguh saya tidak menduga sekali. Saya sudah punya seorang kawan. Iaitu hatinya yang sukar dicari ganti lagi.

Dia teman, rakan, kawan dan sahabat kini. Sehingga penat dan bibir ini bercerita apa sahaja. Dia akan tetap tersenyum dan mendengar dengan setia. Meski saya akan melontarkan marah, sedih, gembira dan suka! Dia masih seperti yang saya khabarkan, akan tetap tersenyum dan mendengar sehingga membawa tidur yang lena.

Tuhan - dengarkan suara hati ini, untuk setiap kebaikan dan kejayaan kepada dirinya. Membawa senyumannya untuk seluruh kehidupan saya. Seluruh jiwa dan seluruh rasa untuk lekat dalam episod setiap karya-karya yang akan bercerita.

Suami - kini dia kawan!

17 Disember 2010

Penuh Jalan Cerita!

Alhamdulillah, kerana saya telah memenangi anugerah perak - Pertandingan Mengarang Sajak Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Bank Negara Malaysia 2010. Hasilnya, pemenang kategori Perak menerima wang tunai bernilai RM200 setiap seorang.

Sajak bertajuk 'Ku dakap keajaibanmu, Bank Negara dinilai dan diadili oleh pegawai bahasa berkaliber dari Bahagian Pembinaan Bakat dan kepakaran, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP. Bila nama saya tertera di Enterprise Portal, Bank Negara Malaysia, sungguh pula saya tidak sangka. Namun yang penting sajak yang dikarang 'last minute' dan dalam keadaan tergesa-gesa itu pula yang tampil memberikan saya peluang. Sungguh saya tidak menyangka sama sekali!

Bulan Disember semakin dekat ke penghujungnya.

Januari pula menginjak perlahan.

Banyak perkara perlu disusun rapi.

Banyak perkara perlu diterapi kembali.

Banyak juga sekadar berhalusinasi.

Dan perlu diteliti ketika bulan Muharam bermula. Senarai manuskrip yang ingin saya siapkan tahun hadapan adalah sebanyak 10! Banyak sungguh namun angan-angan semakin meninggi.
Andai Gerimis Berhenti - (dwilogi kedua dan terakhir) sedang saya perbaiki plotnya. Meminta kebenaran dari editor untuk saya menyunting kembali agar mulus hasilnya. Insya-Allah. Manuskrip novel kembara fantasi dan tauhid islami yang saya war-warkan turut sama mahu saya siapkan. Paling utama, ia bakal diterbitkan tahun hadapan. 3 novel sekaligus dalam perancangan saya.

Tiada yang membenarkan semuanya kecuali Dia, Allah Yang Esa. Semoga perancangan tahun 1432 Hijrah menyinar-nyinar untuk kerjaya.Paling penting saya mahu fokus menulis dan mencuba membawa cerpen kecil saya ke khalayak juga. Mana tahu, menjanjikan kegembiraan untuk saya.

Bercuti dan menenangkan diri juga! Saya akui mengalami sedikit kemurungan dan entah kenapa sedikit emosi lantaran setahun perkahwinan dengan kehidupan berdua. Adakala saya mahu berkata, 'Janganlah bertanya lagi! Jiwa saya sesak dan sebak!

Berhalusinasi lagi! Tuhan pasti tahu dan ada jalan ceritanya untuk saya!

13 Disember 2010

Mendakapi Andai Gerimis Berhenti



Ada beberapa komen yang saya terima mengenai novel kedua saya iaitu : Andai Gerimis Berhenti. Terasa bersemangat saya untuk meneruskan kembali jari jemari ini menulis. Terima kasih menerima dan membacanya. Untuk teman-teman yang tidak putus-putus memberikan sms mengatakan sedang membeli dan akan membacanya juga yang masih menantikan saya untuk mengepos novel berkenaan. Maaflah - Puan Dihah sibuk, almaklumlah dengan dunia fantasi kembaranya dan kembara tauhid islami yang masih-masih belum disiapkan lagi. Agak-agaknya, bilalah boleh sampai ke tangan editor dua manuskrip ini ya?

Baiklah, mari kita jengah beberapa komentar pembaca (selepas saya sunting ayat-ayatnya)
Kata Puan Normalawati Bahari, seorang pegawai di Jabatan Antarabangsa, Bank Negara Malaysia mengenai novel ini :

"Saya sudah habis membaca novel Andai Gerimis Berhenti. Sedihnya sehingga bergenang air mata saya. Emosi betul saya ini! tapi terubat bila membaca plot Najmi berjumpa Aisya. Mereka berdua yang ada keserasian, suka bergurau dan gembira sahaja bila berjumpa. Suami saya kata - laa...sekejap menangis, sekejap gelak pula, kasihan!. - hehe... itula namanya menjiwai cerita kan? hiks! nasib baik pengakhir cerita yang gembira. jadinya, saya rasa puas! "

Juga komentar dari seorang pembaca di laman facebook saya, iaitu Rozy Asra Waldo

AGB telah habis saya baca. Mengalir-ngalir air mata saya membaca novel berkenaan. Teringin saya menjadi seperti Aisya , cekal dan tabah. Terima kasih untuk novel yang hebat itu!

Kata Suriani, teman saya ketika kami berbual-bual semasa menemaninya membeli-belah di Jaya Jusco Maluri:

"Karya yang matang dari Lukisan Jiwa. Err, ada kena mengenakah dengan kak dihah?" tanyanya.

Saya tertawa.

"Ikan air tawar ilham dari ayah. Ayah saya membukanya secara kecil-kecilan dan saya besarkan di dalam novel berkenaan."

"Yang lain-lain ada kena mengena jugakah?"

Saya tersenyum bersahaja.

Jeda dan fikiran ini terus kepada Abang Najmi dan Hisham di dalam novel berkenaan. Di dalam novel ini tiada cinta berpegangan tangan, tiada cinta yang dilarang Tuhan. Namun ia cinta perasaan yang membenam-benamkan diri kepada Tuhan.

Jika cinta kenangan menjadi taruhan - saya percaya, setiap di antara kita pasti ada zaman kanak-kanak yang meriangkan. Berlari-lari dan menangis bersama-sama. Layang-layang turut sama menjadi permainan kecil. Emak pastinya akan terjerit-jerit ketika kenakalan bermain dahulu.

Lain-lain di dalam naskah ini - Mereka yang pernah mendekati dan mengenali saya pasti tahu dan mengerti!

Andai Gerimis Berhenti sering saya dakap. Saya puas menulisnya dan saya syukur kerana ia novel memberikan kalian kesyukuran, erti tawakal dan kasih sayang kepada Allah, keluarga - emak dan ayah amnya. Pendek kata dan kesimpulannya , apabila merenung novel Andai Gerimis Berhenti saya akan tersenyum penuh kepuasan! Saya mahu mendakapinya sehingga manuskrip-manuskrip saya seterusnya berpaksikan kepada tawakal dan janji kepada Tuhan.

Nota kaki : Gambar hiasan adalah emak bersama Fared, iaitu adik lelaki bongsu saya. Adakala emak dan ayah itu benar-benar betul kata dan nasihatnya. Maka, ikutlah pesanan dan carilah petunjuk dengan jalan kepada Tuhan.

08 Disember 2010

Kekasih Hati

1 tahun kini,
Pada tanggal 1 Muharam,
Diakadkan,
Kerana Ilahi.

Hijrah,
Membawa erti,
Pada diri.
Pada kekasih hati,
Membawa erti,
Menjadi sepasang suami isteri.

Semoga kekal abadi,
Bahagia bagai merpati sejoli,
Sehingga di syurga setia menanti.
Nota kaki : Selamat menyambut Maal Hijrah.

06 Disember 2010

Gua & minyak & tol

Saya sedang membikin dan menukang sebuah novel fantasi. Kemudian novel tauhid islami yang perlu dan mempunyai banyak bahan terpaksa saya ketepikan buat sementara waktu. Target saya penghujung Disember ini novel fantasi mendebarkan ini siap! Kemudian akan menyambung masa dengan novel tauhid Islami ini.

Doakan saya ya, kawan-kawan!

Blog ini juga adakala saya singgah dan adakala saya sapu-sapu agar ia menjadi bersih. Maaf kerana tiada cerita sensasi meski isu minyak, air dan gula mendadak naik.

Saya mendapat satu reaksi seorang teman ketika berbual-bual dengannya.

"Tol juga semakin lama semakin banyak. LEKAS, KESAS, NKVE, PLUS, FEDERAL, LAKSA, DUKE, SKVE, BESRAYA, LDP. Omak ai! Jalan sikit tol, jalan sikit tol. Gua kadang-kadang merungut juga dengan tukang tol tu!

Gua sendiri tak tahu mahu cakap bagaimana. Sebab orang-orang Malaysia semakin hari semakin kaya.

Gua bengang sungguh!

Minyak naik, tol sana sini, gula naik, adakah mereka kisah? Gua rasa macam tertipu sungguh."

29 November 2010

Disember menjejaki - Eksklusif!


Tiba-tiba saya terkenangkan kembali kisah-kisah sebelum perkahwinan antara dirinya. Tersenyum malu pula saya. Mari ketawa tersenyum sipu! Ngeee~~~ Yalah, kerana beberapa hari lagi bulan Disember akan tiba. Bulan perkahwinan paling meriah seluruh Malaysia, amnya!

Di kesempatan ini, untuk sahabiah-sahabiah tersayang, saya dan suami mahu mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru.' Beberapa keping kad sudah tiba dan terasa seronok pula sebab kami berdua akan makan nasi minyak lagi! Yeah! Doa Dihah semoga bahagia dan kekal cinta kalian sampai syurga! Berkeluarga sama ertinya menerima hati, diri, jiwa dan keluarga. Belajarlah untuk saling mengenali, menghormati dan paling utama kepercayaan dalam rumah tangga.
Sesekali pasti akan terbit rasa cemburu kepada suami sendiri. Terbit rasa tidak percaya kerana wanita amnya mempunyai perasaan halus untuk meragui setia suaminya. Contohnya, melihat-lihat smsnya secara curi-curi sambil suami sudah berdehem-dehem dan menyambung dengan berkata, "Siapalah mahu sms abang sekarang."

Saya tersengih geli hati lantas menjawab, "Eh, mana ada. Ada habuk di telefon abang. Tolong lapkan. Sekali lagi saya berbohong sunat.

Kami berdua ketawa. Hei, cemburu kena ada ya! Itu pesan saya dalam erti kata lain mesti berjaga-jaga. Paling utama mesti percaya.

Namun suami menyentapkan rasa hati, "Kena percaya pada suami. Sayang kena percaya dan abang juga kena percaya pada sayang!"

Dan sehingga kini, saya sudah jarang memeriksa apatahlagi bertanya soalan-soalan cepu emas seperti, "Berapa orang perempuan dalam kilang abang ya?" Naya sahaja soalan ini akan keluar. Itu cemburu buta namanya. Tidaklah sampai mahu suamiku membilang setiap orang perempuan di dalam kilang tersebut ya. Mari gelak beramai-ramai. Ngee~~~

Paling utama : DOA. Dan sehingga kini, doa selepas solat jemaah yang diaminkan bersama-sama itu paling indah terasa. Paling menjiwai perasaan dan kasih sayang kami. Bersalaman, berciuman pipi dan dahi kemudian memeluk antara satu sama lain (haip, belum kahwin tidak dibolehkan. Ia haram dan sah untuk pasangan yang sudah berkahwin sahaja!)

Dahulu, sebelum mengenali suami - sebenarnya kami belajar bersama-sama di Politeknik tetapi tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Peliknya, sahabat-sahabat muslimin suami semuanya saya kenali! Ya Tuhan, memang sudah jodoh kami agaknya.

Penyatuan keluarga dengan singkat dan kata putus diambil. Pantas sungguh masa berlalu. Perkenalan melalui orang tengah itu akhirnya memutuskan kami bertunang dan seterusnya mengikat tali pertunangan.

Perasaan itu dibukakan oleh DIA sebenarnya. Malahan DIA menetapkan hati saya tenang apabila menerima lamaran dari suami. Paling utama, suami sederhana sahaja sikapnya. Tuturnya, senyumnya dan dari pandangan mata ini, suami amat pendiam berbanding saya yang suka bercakap dan membebel-bebel. Namun ia bahagia, dengan ketawa dan air mata.
Itulah pro dan kontranya. Itulah namanya perkahwinan yang memberi erti menerima dan memberi bahagia.

Menjengah satu tahun perkahwinan yang banyak manis dan pahitnya. Mencukupi, suami yang sederhana, memimpin saya sebaiknya dan dia suami yang banyak bersabar dengan karenah seorang 'wanita' seperti saya.

Sungguh, kematangan dalam perhubungan banyak memberikan saya pelajaran. Saya lantas terfikir, sekiranya takut ada kekurangan sepanjang layanan kepada suami.

Oh, ada perasaan halus menjentik naluri ini.

Setahun akan melengkapi dan kini menjejaki.

Nota kaki : Tahniah Suriani dan pasangan, Harith Amlus juga Adik Sara Mashitoh dan pasangannya. Semoga bahagia ke akhir hayat. Kami semua mahu serbu, makan nasi minyak!

25 November 2010

Pesona Cinta Aisya

Tahajud cinta yang suci,

Pada pesona,

Kisah cinta terlarang,

Kerana kasih,

Kerana sayang,

Maka senyuman,

Sewaktu kecil dahulu,

Adalah penawar segala,

Engkau yang tahu,

Engkau yang satu,

Tuhan membenarkan cinta zaman kecil itu..

Sebuah puisi indah pemberiannya, ditulis kemas,lengkap dengan tandatangannya yang cukup cantik. Aisya membuka tingkap, melihat hujan sudah mulai menggila. Liuk-lintuk pohon-pohon yang rendang seolah meraikan puisi cinta ini. Hujan yang turun ini juga tanda kemeriahan jiwanya di kala ini. Hujan itu hujan rahmat dan hujan yang memberikan rezeki kepada alam. Turunlah lagi, bernyanyilah wahai hujan!

*Ini adalah puisi yang sempat saya ilhamkan ketika menulis novel Andai Gerimis Berhenti. Puisi dan sebahagian fragmen novel AGB terdapat di dalam muka surat 356.

Ayuh, bernyanyilah bersama puisi indah ini!

24 November 2010

Jangan malas macam saya!


Sudah dua minggu manuskrip terbengkalai. Manuskrip tauhid islami yang memang benar-benar menyuruh saya membuat rujukan dalam banyak perkara(dan ia belum lagi saya selesaikan) Writer's block telah melanda diri. Sekejap-kejap Dihah merenung komputer kemudian melihat celcom broadband yang macam siput, lambat! Bahan-bahan rujukan sudah siap disimpan di dalam komputer. Ada juga bahan yang masih belum dijumpai.

Beberapa kali Dihah memberi 'hint' kepada suami supaya merubah talian wi-fi kepada streamyx. Harap-harap berbaloi kali ini. Juga sebenarnya saya tidak mengharapkan kepada internet kerana apabila berinternet di rumah, maka saya menjadi seorang yang pemalas menulis.

Ada beberapa petua apabila writer's block melanda. Mungkin ada masanya sesuai untuk berjalan-jalan menjengah blog rakan-rakan dan penulis lain untuk mencari ilham. Juga membaca beberapa status rakan-rakan penulis di dalam facebook.

Terfikir juga saya bahawa saya tiada jadual yang tetap untuk menulis. Maka perlunya mempunyai jadual kerana kekangan masa bagi saya yang bekerja dan menulis hanya separuh masa.

Untuk menulis yang lebih mulus, semestinya penulis itu perlu banyak membaca. Sesebuah manuskrip yang baik seharusnya mempunyai plot yang baik, pengembangan watak yang sempurna dan jalinan yang memberikan kekuatan. Sungguh, Dihah tidak pernah berbengkel secara serius dalam bidang penulisan novel. Cuma saya menyelidiki semua novel yang telah dibeli dan dihadami untuk dijadikan bahan rujukan.

Bagi seorang yang berjiwa seni kemudian dicambah dengan melukis, menganyam, menulis puisi dan sajak boleh juga memberi ilham berganda apabila writer's block muncul. Ilham-ilham adakala datang tanpa diduga, adakala ketika di dalam tren, di dalam bilik mandi, juga ketika memasak. Panduannya pasti menulis di atas kertas, menulis di dalam blackberry misalnya dan menyalinnya semula agar setiap plot yang bercambah itu akan berkembang kelak.

Kekangan masa, jadual bagi mereka yang berjiwa seni yang melingkari dan beberapa agenda peribadi pastinya perlu dipenuhi. Malahan, saya semakin dihimpit dengan kekangan yang meresahkan. Apabila membuka semua manuskrip yang tergendala maka saya akan membaca semula dari bab ke bab dan membuka plot-plot yang telah dicambah di dalam nota peribadi. Masakan kalian tidak tahu, bahawa menulis itu perlukan kekentalan dan masa yang begitu mencemburui.

Menulis itu bukan mudah sebenarnya. Writer's block memang akan menyerbu minda penulis maka persiapkan diri dengan beberapa tips mudah ini. Melukiskan, berjalanlah, mengembaralah, membuat jadual penulisan, berbual-buallah dan membaca kembali.

Dan seorang penulis itu sepatutnya tidak malas seperti saya! Adus!

23 November 2010

Cantik! Dihah suka.



Comel!

Itu frasa pertama yang lahir dari bibir saya bila berkenan sangat dengan dolly kak emila yusof. Lantas terus sahaja saya tempah. Terima kasih Kak Emila kerana membikin, mencantik dan menukang blog ini menjadi sedap mata memandang. Cantik!

Kata Kak Emila "I am truly honoured that the clean look attracts other bloggers."
Berbalik pada blog lama yang berwarna hitam, sekejap biru dan merah jambu, maka terus terang saya katakan blog ini lebih sesuai untuk saya menulis dengan lebih lancar lagi. Insya-Allah. Ia berwarna putih dan semacam suci pula ya!
Mari tersenyum mesra. Yeah!

Saya akan menulis perlahan-lahan, ditambah dengan penulisan yang semakin malas menjadi-jadi! Jadinya, blog cantik dan baharu ini adalah penawar segala duka lara meskipun celcom broadband di rumah, alahai! Macam siput! Lambat!

Okey kawan-kawan, pembaca sekalian jangan cemburu lihat dolly comel itu. Ada macam Dihah tak?

Terima kasih Kak Emila kerana melayani karenah Dihah, nak itu nak ini, bagi cantik itu, bagi cantik ini.

Sehinggakan profile picture di dalam facebook turut ditukar. Mata terkebil-kebil di pejabat melihat blog baharu. Wah! Blog baharu dan yang penting jemari wajib menulis, wahai Dihah!

Tadaaaaaa

09 November 2010

Perlu Dengan Hati

Menulis.

Ia perlu dengan hati. Lama sudah saya biarkan blog ini tanpa apa-apa luahan hati saya. Ledakan perasaan saya: keriangan, keindahan dan kegembiraan sudah berlalu begitu sahaja selepas Lukisan Jiwa hadir. Kini ditambah pula dengan kehadiran yang kedua iaitu Andai Gerimis Berhenti. Benar sungguh seperti tidak sangka. Ia benar-benar buat saya penuh kesyukuran. Menulis secara berdikit-dikit adakala berikan ketenangan untuk diri.

Entah mengapa lewat malam ini, terasa sunyi dan sepi menyelubungi. Memang benar saya akui, kehidupan kini tambah tertekan untuk meneruskan kerjaya yang begitu memberikan tekanan. Oh, Tuhan adakala saya terasa mahu lari jauh-jauh dan berhenti sahaja bekerja dan meneruskan langkah penulisan ini dengan baik. Tetapi bekerja itu perlu kerana saya bukannya penulis yang boleh menulis dengan baik untuk cerpen di mana-mana akhbar, menghantar puisi atau membuat kerja-kerja penulisan yang hebat seperti Puan Nisah Haron. Saya menulis ala kadar dan dengan keringat sedikit ini sahaja. Ya, tidak harus cepat putus asa dan berusaha memperbaiki mutu penulisan. Insya-Allah.

Adakala saya tertekan juga kerana saya adalah seorang penulis separuh masa. Ya, saya bekerja di siang hari dan kemudian terpaksa menulis di malam hari dan di hujung minggu. Perkataan terpaksa itu memang saya tekankan sekali lagi. Sekiranya saya tidak memaksa diri menulis maka saya akan terus tidak menulis sehingga dua minggu lamanya. Kemudian seminggu selepas itu, saya akan bayar dengan ‘keterpaksaan’. Kerana saya juga sudah berkahwin dan semestinya urusan rumahtangga yang mencecah angka 1 tahun perlu saya titikberatkan.

Mencelah dari kedinginan malam ini terasa benar terasing tiba-tiba. Penulis separuh masa yang adakala terasa kerdil dari kebanyakan penulis lain. Malahan bertitik tolak dari banyak pelajaran yang saya belajar selepas dua buku diterbitkan. Saya harus menggandakan usaha untuk menulis yang terbaik dan sentiasa mulus dalam penulisan. Banyak kekurangan apabila saya membandingkan diri dengan penulis lain yang lebih hebat, yang lebih indah kata-katanya, yang lebih murni rencahnya dan penulis yang disayangi pembacanya.

Cita-cita semakin terbang melangit. Seperti tingginya awan dan seperti burung-burung yang bebas berterbangan. Semoga Allah SWT sentiasa dekat, sentiasa tidak rapuh dari diri ini. Semoga segala urusan kerjaya, penulisan, rumahtangga, cita-cita peribadi akan terus terbang dan bukan angan-angan sahaja.

Saya sedang mencuba menulis novel Islamik Tauhid kemudian kembara saya berterusan dengan konsep Kembara Fantasi. Masih sedang menyiapkannya dan semoga ia dapat saya segerakan sebelum hujung tahun ini. Mudah-mudahan.

Nota kaki : Terima kasih untuk teman-teman yang telah menempah dan membeli novel Andai Gerimis Berhenti dari tangan saya sendiri. Oh, terharunya! 100 naskah yang diambil dari PTS berbaki sedikit sahaja lagi.

05 November 2010

Oh, Karambunai!



Tiba-tiba menjadi rindu pada Karambunai, Sabah. Sememangnya saya terkesan dengan tempatnya yang cantik, tenang, mendamaikan untuk kalian bercuti sambil menenangkan fikiran masing-masing.

Dihah pernah ke sana bersama suami. Awal Januari 2010 yang memberikan banyak kenangan manis dan pahit. Manisnya apabila Dihah dan suami menerima sekeping kad cantik mengucapkan 'Selamat Berbulan Madu'. Aiceh..(Ops, terlebih pulak ya). Perjalanan selama dua jam dengan kos menaiki kapal terbang yang murah. Yelah, sekarang Air Asia menjadi keutamaan kepada semua yang mahu berjalan ke serata dunia.
Namun apabila sampai ke Sabah, kos pengangkutan yang tinggi dan cuaca yang panas akan membuatkan anda akan menjadi hitam nanti. He he he.

Makanan memang menyelerakan terutamanya apabila anda pandai memilih untuk ke Pasar malam di Kota Kinabalu. Ikan segar, udang segar yang kesemuanya dipanggang dengan kuah cicah asamnya yang lazat.

Kami duduk di dalam sebuah bilik besar menghadap laut yang ombaknya kuat menghempas pantai. Memang kedengaran dan dengan angin yang memang betul-betul terasa menampar pipi! Adus – Kalau boleh memang kami mahu berlari-lari di atas rumput hijau itu. Bilik kami terus menghadap rumput hijau dengan pokok-pokok tinggi dan laut di hadapannya. Bolehlah keluar berjalan-jalan dan tidak berhadapan dengan bilik orang lain sudah menjadi kredit kepada kami.

Kami berjalan, berlari dan paling penting bergambar bersama. Menikmati sarapan dan pemandangan yang sungguh luar biasa. Subhanallah. Memang cantik dan memang saya suka dengan keadaan di sini. Alhamdulillah, kerana ketika kedatangan kami di sana, tidak banyak pelancong asing kecuali dari Taiwan, Jepun dan beberapa pasangan yang memang sedang berbulan madu. Pelancong dari Negara Barat juga memang ada tetapi tidak memenuhi suasana seperti yang rakan-rakan lain ceritakan. Mungkin ketika itu musim mereka berehat di Negara lain. Ya, mungkin!

Waktu solat di Sabah awal dari Semenanjung. Solat subuh kami jam 5 pagi. Ngeee ~ sudahlah sejuk. Asarnya jam 3 petang dan Maghribnya di sana lebih kurang jam 6 petang. Maka bolehlah bayangkan perubahan waktu solat di sana ya.
Kami sempat juga ke beberapa pulau di Sabah. Seperti Manukan dan Sapi. Kemudian, menjelajah Bandar Kota Kinabalu dan berjalan mencari makanan Islam. Mujur juga kami bertanya kepada penduduk di sana.




Percutian itu memang perlu lebih-lebih lagi untuk merehatkan fikiran, menangkan diri dan selebihnya untuk mendapat ilham baru. Memang saya akui, sekarang sudah lama tidak bercuti dan memang sudah banyak tekanan yang perlu dilemparkan jauh-jauh. Aduh – streessssss. Kerja! Penulisan! Kawasan sekeliling dan berbagai lagi.

Sambil tengok gambar yang dihidangkan di dalam blog ini sambil itu bolehlah mengharap ke sana kali kedua. Ngeee~~

29 Oktober 2010

Catatan Mardihah Adam

Hari ini, Andai Gerimis Berhenti sudah terbit. Namun saya lewat memberikan catatan ini kepada editor untuk dimuatkan di atas kepingan kertas di dalam novel berkenaan. Jadinya, saya mampirkan catatan ini di blog untuk semua yang sudi membaca.

Terima kasih untuk semua.


Ilham ternakan ikan air tawar yang saya garap di dalam novel Andai Gerimis Berhenti ini, bermula dan bermain di minda saya selepas ayah yang tersayang membuka kolam ternakan ikan keli secara kecil-kecilan di Kampung Sri Tanjung, Masjid Tanah Melaka. Bahkan saya kagum walaupun selepas berpencen dari membawa lori, ayah masih mampu mencari rezeki untuk kami adik beradik. Naskah ini juga khas dan teristimewa untuk emak yang paling saya kasihi. Saya membawa kekaguman kepada emak yang sehingga sekarang masih membuat kuih muih untuk jualan setiap pagi di gerai yang banyak memberi kenangan kepada diri. Ya, kerana kenangan dan bersandarkan pengalaman sendiri maka saya titipkan di dalam Andai Gerimis Berhenti. Kisah di dalam karya ini adalah tanda kasih sayang untuk ayahanda dan bonda untuk segala pengorbanan yang tidak ternilai dan tidak mampu saya balas.

Permulaan dan penerimaan editor PTS terhadap novel pertama saya, Lukisan Jiwa memberikan sesuatu yang istimewa dalam perjalanan karier saya sebagai penulis separuh masa. Saya belajar memperharui kesilapan dan sentiasa membaca bagi mencari panduan menulis yang baik untuk menghasilkan manuskrip ini.
Semoga kalian tenang menatap novel ini. Cita-cita ini tidak akan termakbul tanpa izin dari Allah SWT yang memberikan ilham berpanjangan. Doakan untuk saya agar ilham berterusan dan dipanjangkan untuk kebaikan diri saya dan kalian. Saya juga amat percaya untuk berjaya saya dan kita semua perlu banyak belajar dan menerima kesalahan diri serta memperbaikinya.

Terima kasih kepada PTS, editor yang banyak memberikan masa dan tunjuk ajar, bonda, ayahanda & keluarga. Juga teman yang banyak memberikan sokongan. Suami, Mohd Rustham Bin Abdul Rahman yang sentiasa memahami tentang diri. Terima kasih kerana mencintai diri yang sederhana ini.

Selamat membaca dan menyelami Andai Gerimis Berhenti. Nantikan juga sambungan kisah ini kelak. Teruja? Nantikan ya!

Mardihah Adam.

28 Oktober 2010

20102010 @ 20:10


Gambar kami ketika sama-sama menuntut di Jitra. Ini kami, DAHULU.


Ini kami sekarang. Dari kiri, Nawal, As, Kak Fid, Dihah dan Inda. Gambar ini tanpa Laily kesayangan diri.


5 tahun dahulu, kami pernah berjanji untuk berjumpa semula pada 20102010 tepat jam 20:10. Ya, kami berenam. Sahabat semasa di dalam kuliah, semasa duduk bersama di asrama, ketika pengajian di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra Kedah.

Dihah, Kak Fid, Inda, As, Nawal dan Laily.

Ya, saya senang berdampingan dan duduk rapat dengan mereka. Saya dekat di hati
mereka walau ketika di zaman kuliah dahulu boleh dikategorikan saya pimpinan asrama yang garang dan berbeza sedikit dari segi fesyennya.Ia sama sekali tidak menjurangkan persahabatan kami. Saya tidak memilih kawan. Malahan, apabila berkawan saya boleh sahaja menjadikan mereka yang paling intim dengan saya. Faktor pemakaian langsung tidak menjadikan tema 'aku dengan caraku'. Yakah? Kerana dalam berkawan, ketika itu kita boleh sama memperingatkan sesama antara kita. Kita boleh berdakwah dalam apa juga cara. Itu simboliknya.

Pertemuan kami tidak banyak yang berubah. Dari segi bentuk badan, As sudah kurus teramat sangat. Dihah pula, sudah ada gelaran istimewa iaitu : Puan. Cuma Tuhan belum katakan ya untuk Dihah menimang cahaya mata. Mungkin Allah itu Maha Mengetahui segala-galanya. Inda dan As, tidak lama lagi bergelar isteri. Kami masih menanti rentak Nawal, Kak Fid dan Laily. Dihah juga tak sabar mahu makan nasi minyak kawan-kawan.

Cuma sedikit kecewa kerana malam istimewa itu, Laily tidak turut serta kerana terlibat dengan acara rasmi Melaka Maju 2010. (Cis, hang menjadi kesayangan Ali Rustam rupanya, ya!)

Gembira, kerana faktor pertama suami membenarkan saya untuk bersama dengan mereka. Janji yang harus saya tepati, maka saya mengkhabarkan perkara gembira ini kepada semua teman.

Kami akhirnya bertemu. Terima kasih Inda kerana mengambil kami semua. Dari Bandar Tun Razak : Dihah, As dan Inda terus ke Bandar Tasek Selatan bertemu Nawal kemudian ke Shah Alam mengambil Kak Fid pula. Bau ayam goreng di dalam kereta dari haruman rumah Kak Fid membuatkan perut bertambahlah lapar. Ohh, terbayangkan ikan siakap tiga rasa pula.

Kami bertolak ke Pelabuhan Barat. Punyalah jauh sampai sesat entah ke mana-mana. Bertemu dengan beberapa orang bertanyakan di manakah Tanjung Harapan. Khabarnya, Tanjung Harapan itu tersangatlah jauh dengan hidangan mata kami bersama lori-lori dan kontena yang besar-besar gajahnya. Bak kata orang putih, so scary.

Pusing beberapa kali, akhirnya kami tidak ke Tanjung Harapan. Ia hanya tinggal harapan dan harapan sahaja. Akhirnya menapak kami di Restoren De' Selat. Makanan? Memang sedap dan menyelerakan. Tak rugilah kami meninggalkan impian ke Tanjung Harapan.

Ngee~~~

Okey, kita cerita sikit menu yang kami pilih. Ketam masak cili. Siakap 3 rasa, tom yam seafood, Telur dadar, Sotong goreng tepung, dan sayur kailan. Juga sejug fresh orange. Menghadap makanan yang sungguh sedap sekali sambil bercerita tentang kisah-kisah lama. Kawan-kawan juga sempat melihat album kahwin Dihah dan suami. Dihah malam itu, makan tidak ingat diet. Sotong goreng tepung memang
menyelerakan. Kami pula bercerita apa sahaja. Kemudian bergambar kenangan.


Lauk pauk yang sudah terhidang. Mari serang!

Sesi pertukaran hadiah berlaku secara rasmi kerana kami berjanji untuk saling bertukar hadiah. Nawal dan Laily..kami tuntut ya!

Gambar yang dipaparkan memberi makna kepada diri. Paling utama, kenangan dan erti persahabatan. Dihah akan ingat kenangan kita bersama. Entah kenapa Dihah rasa dihargai apabila menjadi sahabat kalian semua.



Habis daaaaaaa......sedapnya..

Nota kaki : Namun perlu kita ingat, kawan ketawa mudah kita cari. Kawan kesedihan dan duka mungkin tiada sesiapa. Paling utama,kawan ada berbagai jenis kawan. Mungkin akan bertukar menjadi lawan.

Gambar? InsyaAllah,nanti Dihah akan 'upload'kan .

27 Oktober 2010

Masuk gudang

Dicuplik dari universitipts.

Senarai Judul Dijangka Masuk Gudang PTS Minggu Ini

Berikut adalah judul buku yang dijadualkan masuk gudang PTS minggu ini:

JUDUL BARU
1. Dear Yayah: The Comics 2 (8000 unit)
2. Koleksi Nama Anak Terindah (8000)
3. Kamilah Kembar Diraja (5000)
4. Andai Gerimis Berhenti (3000)

JUDUL ULANG CETAK
1. Aisyah: Keanggunan Sejati (1500)
2. Abu Bakar: Sahabat Sejati (3000)
3. Hidup Kaya Tanpa Riba (2000)
4. Buat Duit Dengan MLM (2000)
5. Berubat Dengan Solat (3000)
6. Mengurus Acara Rasmi Sekolah (1000)
7. Kaedah Mengajar & Kemahiran Interpersonal Guru (1000)

NOTA: Senarai ini disediakan oleh Puan Miliza Mohd. Ghazali, eksekutif produksi di jabatan editorial PTS.

22 Oktober 2010

Blog Baharu

Salam semua.

Maaflah, sekarang memang saya sedang uruskan blog yang berwajah baharu ini. Mudah untuk saya muatkan senarai buku tulisan sendiri di sebelah kanan atau kiri blog ini.

Warna biru dan merah jambu!Waaa

Tak pernah sekali saya membayangkan blog bertukar kepada warna ini, tapi nampak ceria juga untuk memberikan semangat kepada saya menulis laju-laju di dalam blog sendiri. Itulah, nanti saya mahu pujuk suami untuk kami dapatkan wireless broadband untuk peribadi. Bukan tak mahu beli, tapi jika ada saya takut tidak menulis dan asyik sahaja dengan internet. Takpun asyik berfacebook sahaja agaknya.
Ngeee~~. Blog akan lebih santai. Memasuki era baru cerita-cerita peribadi, kisah-kisah penulisan lebih utama juga saya akan menulis apa sahaja yang saya suka.

Nota kaki : 5 tahun yang lepas, Dihah dan kawan-kawan pernah berjanji untuk berjumpa semula pada tarikh keramat 20102010 jam 2010. Haaaa..mahu tahu aktiviti kami? Nanti Dihah akan layarkan kepingan-kepingan gambar kami semua.

Dihah tak sabar tunggu 29 Oktober ini. Buku kedua akan terbit. Yeay!

05 Oktober 2010

Jalur Warna Andai Gerimis Berhenti



Terima kasih atas kata-kata indah untuk Andai Gerimis Berhenti.Komentar dari beberapa penulis mengenai novel ini.

"Seperti pelangi, karyanya ada warna-warninya! Disebalik warna lembut seorang
gadis Muslim dengan akhlak serlah, ada warna kental dan perjuangan
ekonomis. Saya lantas menyimpul Nur Aisya adalah Khadijah Khuwalid dunia
moden; seorang muslimah ideal!"
Ilham Hamdani - Penulis Bara Cinta Canberra.

“Senang sekali dapat membaca buah tangan terkini Mardihah Adam. Alir fikirnya terkawal, lantunan ideanya tenang dan garapan bahasanya lancar. Perincian kekuatan wanita dari kaca mata pengarang wanita mungkin sesuatu yang biasa, namun hakikatnya hanya wanita yang mengenali wanita. Kekuatan mental wanita yang bersendikan iman dan amal akan menjadikan karya yang berteraskan karakter Muslimah lebih menyerlah. Demikianlah Nur Aisya dalam Andai Gerimis Berhenti mengangkat citra Muslimahnya sebagai wanita yang tahan diuji kerana sandarannya semata-mata kerana Allah”
Salina Ibrahim – Penulis Novel Bukan Yang Pertama.

“Gerimis pasti berhenti. Namun pembacaan terhadap novel ini sukar untuk berhenti. Menanti gerimis berhenti barangkali satu penyiksaan, sebaliknya membaca novel ini adalah satu pengalaman mendamaikan. Andai Gerimis Berhenti tidak sesekali membiarkan sukma pembacanya sekadar terbuai dengan indahnya mahabbah, tetapi membangun sebagai insan yang lebih kental jiwanya mendepani hari-hari mendatang” Tuan Zaid Akhtar, Penulis Novel Bestseller, Salju Sakinah

"Dari jalur-jalur warna pelangi sebuah Lukisan Jiwa. Kini tumbuh pula benih magis cita-cita dan cinta yang sarat rimbun dengan buah emas perjuangan. Andai Gerimis Berhenti akan membawa anda ke sebuah daerah semangat yang tiada tara.”
Haris Hauzah, Penulis blog tegar http://harishauzah.blogspot.com

01 Oktober 2010

Andai Gerimis Berhenti, Lahir Sudah!



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdullilah.

Itu ungkapan pertama kali di bibir ini apabila akhirnya novel kedua saya akan terbit pada 26 Oktober 2010. Ya, inilah dia kaver novel Andai Gerimis Berhenti I. Ia novel pertama dwilogi kerana sambungannya sudah saya siapkan dan kini di tangan editor. Khas untuk semua yang membaca blog ini, menyinggah atau memang selalu membaca dan mengikuti perkembangan saya. Ini hadiah selepas Aidilfitri sebenarnya. Memang jangkaan saya ia terbit di bulan Oktober kerana memahami tugasan editor dan penyusunan banyak lagi manuskrip penulis lain. Namun, saya tetap mengharapkan ia terbit dengan baik, diedit dengan ketenangan dan hasilnya memuaskan. Biarpun novel ini terbit lewat dari jangkaan saya iaitu pada bulan Ogos 2010. Namun ia tetap akan terbit dengan penuh jiwa dan gembira.

Saya terasa semua udara nyaman menyelubungi dan semangat semakin membara. Terasa bayangan watak utama di dalam novel ini iaitu Nur Aisya Binti Mohd Jamil dan Najmi Bin Dato’ Ismail berlari-lari tenang sambil mengejar burung camar yang akhirnya terbang tinggi. Terpandangkan segala senyum watak-watak yang saya dalami di dalam novel ini.

Selepas ini, saya akan lebih berusaha dan mendalami malah menekuni bidang penulisan dengan lebih tekun. Mahu yakin dan berusaha menghasilkan manuskrip yang terbaik untuk menjadi bahan bacaan kepada semua. Pastinya saya mahukan novel yang kalian baca adalah novel yang memurnikan masyarakat dan fikiran.

Baiklah, berbalik semula kepada kaver ini? Puas hati. Semestinya saya suka! Cantik dan menarik sekali. Buat saya mahu pandang ia lama-lama dan bawa ia tidur sekali. Ya, kerana sang lelaki itu seperti Andrea Hirata, penulis yang menulis Laskar Pelangi dengan begitu baik. Ya, Andrea adalah seorang penulis yang berjaya mengangkat novelnya ke filem yang berjaya di Indonesia. Novelnya yang begitu saya sayangai dan antara koleksi novel kesayangan saya kini. Tidak sangka pula, saya teringatkan dirinya apabila terpandangkan kaver lelaki di dalam novel ini. Ha ha ha.

Selendang di lehernya, ada gaya-gaya Faisal Tehranikah? Atau itu hanya pandangan sisi saya sahaja. Mungkin kerana sifu FT adalah penulis kegemaran saya maka adakah patut saya menyamakan gambaran dan ilham pencipta itu sama dengan gambaran saya? Sekali lagi saya mahu ketawa. Ha ha ha. Semestinya lain, bukan? Dan pembaca ada penilaian masing-masing, bukan?

Tahniah saya ucapkan kepada pelukis grafik dan pereka kulit PTS. Saya bagi empat bintang untuk kaver menarik ini. Gambaran watak heroin saya, Nur Aisya juga dipamerkan dengan sungguh santun. Namun Aisya sebenarnya wanita cekal yang mengharungi perjalanan kolam ternakan ikan kelinya. Pendek kata, saya sukalah!
Juga terima kasih kepada editor perolehan dan pengurusan PTS yang bertungkus lumus. Saya menantikan ia berada di dalam tangan dan mahu membawa ia tidur sekali. Terasa jerit perih saya menulis, mencari bahan dan seterusnya membuat pruf sebelum menyerahkan kepada editor berbayar dengan begitu bernilai sekali. Kepuasan dan memang jelas dalam mata saya, kini. Sehingga saya tidak sabar menanti pula novel dwilogi sambungan AGB ini diterbitkan.

Akhir kalam dari saya, semoga kalian tenang menatap novel ini. Cita-cita ini tidak akan termakbul tanpa izin dari Allah SWT yang memberikan ilham berpanjangan. Doakan untuk saya agar ilham berterusan dan dipanjangkan untuk kebaikan diri saya dan kalian. Saya juga amat percaya untuk berjaya saya dan kita semua perlu banyak belajar dan menerima kesalahan diri serta memperbaikinya.

Nantikan catatan saya seterusnya bagaimana manuskrip ini terhasil. Selamat membaca dan menyelami Andai Gerimis Berhenti.

21 September 2010

Suasana Hari Raya II

Hanya gambar sahaja menceritakan detik-detik syahdu di aidilfitri. Cuma saya seorang sahaja yang tiada di rumah bonda ayahanda.
Sebak memang sebak apabila bercakap dengan bonda dan ayahanda melalui telefon.

Petang hari raya pertama, saya sudah muncul di hadapan rumah. Irfan tanpa diajar sesiapa dan dengan jeritannya, "Mak lang, nenek asyik menangis sahaja!"

Ya, saya di dalam mood yang terbatas untuk menulis di blog. Kerana itu saya lebih paparkan gambar-gambar peribadi sahaja sekarang di dalam blog ini. Mengubat hati agaknya. Mungkin kerana episod menanti penerbitan novel saya. Mungkin dianjak atau ada
kejutan untuk diri. Yang baik-baik untuk saya, InsyaAllah.

Gambar bonda dan ayahanda yang syahdu, bermaafan di pagi aidilfitri.

Gambar kedua, along yang disayangi.

Gambar ketiga angah yang disayangi juga.










15 September 2010

Cabaran Pengarang Muda



MENURUT Carlos Fuentes, cabaran besar seorang pengarang, baik ia muda atau sudah berusia barangkali ialah bagaimana ‘meletakkan kekuatan imaginasi dan kemampuan komunikasi bahasanya’. Sebagai seniman besar dari Amerika Latin, beliau berpendapat dua hal tersebut adalah cabaran yang akan menentukan kekuatan seseorang pengarang. Jika pengarang dapat menguasai dua hal tersebut di usia muda, ia akan menjadi pengarang yang luarbiasa apabila meningkat usia pengkaryaannya.

Lain daripada Fuentes, Czeslaw Milosz meletakkan kekangan sebenar seorang pengarang ialah ‘mempertahankan kebenaran’ dalam karyanya. Dalam hal ini Milosz sedang bercakap bagi pihak kelas murbawan, kerana pada beliau itulah puncanya Boris Pasternak, Solzhenitsyn dan Sakharov berdepan dengan kekejaman tirani dan kuasa.

Edward Said, sarjana tersohor dalam membicarakan kerja-kerja Naguib Mahfodz mendapati cabaran utama Mahfodz ketika muda ialah bagaimana ‘sukarnya Mahfodz menempatkan sejarah’ dalam karya-karyanya dan mengingatkan masyarakat tentang kekejaman sejarah tersebut. Tentu, jika kita menilai sejarah Mesir yang panjang itu, kita sendiri akan sesat di dalamnya.

Saya tentu boleh menyenaraikan sekian banyak lagi pandangan daripada Gao Xingjian, Jean Paul Sartre, Jose Saramago, Julio Cartazar, Nadine Gordimer, Paulo Freire dan senarainya akan sangat panjang.

Akan tetapi semua di atas itu, kecil ertinya. Kerana faktor-faktor dalaman yang dihujahkan oleh mereka hanyalah permukaan semata-mata. Kita tidak dapat menyalahkan mereka yang berlainan epistemologi dan ontologi dengan kita. Dan mereka juga tentu tidak dapat memaksakan kita menerima mereka dengan cara kekuatan.

Bukankah seorang pengarang itu baik ia muda atau tua adalah seorang pemikir? Ia adalah seorang penyumbang kepada tamadun, malah ia adalah seorang saintis dan pakar penyelesai segala masalah masyarakat. Ketahuilah pengarang muda, orang tidak merujuk karya sastera semata-mata untuk menghilangkan dahaga sebentar. Kita merujuk karya sastera untuk mencicip dan meneguk kepuasan sebenar. Karya sastera mesti menjadi penawar penyelesaian masalah masyarakat.

Justeru, cabaran untuk pengarang muda ialah bagaimana ia harus merenung ke dalam dirinya, dan ke dalam masyarakatnya demi mencari ubat untuk sekian macam penyakit yang menimpa ummah. Pengarang muda tidak boleh sekadar selesa bercerita. Ini kerana cerita tidak ada apa-apa. Ia hanyalah hiasan. Ia adalah salut. Sekadar kertas pembalut untuk kuih yang lebih lazat kerana intinya adalah khasiat yang ingin dihadami. Oleh kerana itu pengarang muda yang lemah dan malas berfikir, meminjam ungkapan pemikir terkenal Algeria – Malek Ben Nabi – sebagai al-da’fwa al-kasal fi al-tafkir akan mengakibatkan kemurungan untuk masyarakat kita.

Sesungguhnya pembaca sastera kita sedang meratap dan sakit merana kerana karya yang terhidang buat mereka hanyalah sekadar air sejuk untuk melampias haus sementara. Tiada gizi dan daya ketahanan untuk melawan kejahatan virus dari luar. Dan lawan bagi ‘lemah dan malas berfikir’ itu tentunya quwwat al-ruh wa al-‘aql. Yakni, cabaran paling besar ialah cabaran dalaman untuk mempersiapkan diri sebagai seorang pemikir yang berani melawan al-irhab al-fikry atau keganasan pemikiran di mana hari ini kita dipaksa mengikut satu sahaja gaya atau aliran tajaan.

Pengarang muda harus menerjemahkan apa yang difirmankan Allah sebagai Fa’tabiru Ya Ulil Absar, di mana tugas kitalah sebagai pengarang untuk melihat, memikir dan menulis lalu mengisi kebijaksanaan dalam karya sastera yang ingin kita gubah. Saya teringat pada tahun 2002 lalu, di Dewan Bahasa dan Pustaka; saya mendengar ucapan Surin Pitsuwan yang menyeru ‘I want to challenge you all to thinking critically, to see things from different perspectives, to appreciate phenomena from different points of view’.

Hari ini sarjana muda kita, atau pengarang muda kita tiada kekuatan untuk memikir secara kritis, tiada keberanian merubah perspektif dan tiada keinginan sama sekali untuk menghargai gejala-gejala lain yang dapat menyuburkan kotak fikir mereka.

Akibatnya karya sastera pengarang muda, dan apabila mereka menjadi tua akan melalui satu lingkaran yang sama. Lingkaran batil. Sekadar meminjam ungkapan al-Marhum Syed Hussein al-Attas, lingkaran ‘the captive mind’ Lingkaran minda yang tertawan. Lalu ekoran dari itu karya sastrera kita masih seperti dulu. Kaku. Masih menghidangkan kisah yang sama berulang kali, masih ketandusan pemikiran, masih kekontangan ilmu pengetahuan dan masih membanggakan episod emosi dan drama yang sensasi.

Maka, pengarang muda dan tua mesti menyedari kerja sastera bukanlah kerja bercerita. Kerja kita sebagai sasterawan adalah pertamanya, kerja sebagai pengawal masyarakat; keduanya, kerja menjadi tukang cakap aspirasi ummah; ketiganya kerja sebagai rujukan bangsa di saat mereka menghadapi persoalan yang menekan; keempatnya, kerja sebagai tali pengikat atau integrator supaya dapat membangunkan potensi masyarakat. Apakah ada kemungkinan untuk pengarang muda menjadi semua itu jika ia masih bergelut dengan cerita-cerita palsu, imaginasi yang merupakan perkara pinggiran, tetek-bengek tiada keyakinan, atau ketinggalan rasa motivasi untuk mengarang.

Tidakkah remeh benar jika pengarang muda berhimpun di satu majlis untuk membincangkan kenapa karya kita tidak tersangkut memenangi hadiah tertentu. Ini kerana pengarang muda terlupa kerja perdana menulis bukan pada hadiah atau mengisi saku. Kerja perdana yang akan memberikan kita hadiah perdana yang sejati ialah untuk memenuhi lingkaran pembebasan, lingkaran kemerdekaan yang kita ucapkan tatkala kita melakukan tawaf di keliling kaabah. Lingkaran yang tidak putus ini adalah lingkaran Rabbana atina fiddunya hasanah, wa fil Akhirati Hasanah, Waqina Azab annar. Jika pengarang muda masih berkeluh kesah dengan lingkaran batil, maka harapan untuk membangkitkan sebuah karya sastera bertaraf dunia dan bertaraf akhirat dengan mencetuskan renaissance keilmuan dan pemikiran akan terkambus selama-lamanya.

Pengarang muda tidak boleh perasan bahawa tugas mereka selesai dengan menulis sebuah dua cerpen atau novel pop agama yang dipenuhi ayat-ayat dan perenggan-perenggan cinta. Mengapakah masalah masyarakat misalnya, masih tidak selesai setelah berpuluh tahun gagasan Sastera Islam dikemukakan (termasuklah kelahiran gagasan Persuratan Baru yang kontroversial itu). Adakah ini bermakna karya sastera Islam kita tidak cukup Islam? Atau Islam yang disadurkan dalam karya ialah Islam berpunca salah? Saya menyebutkan hal di atas kerana sudah menjadi kegilaan pengarang muda menulis karya pop Islami (dan ia menjadi kurang pop apabila dihantar satu dua ayat atau ungkapan yang dirasakan falsafah). Tidakkah kita memikirkan bahawa karya sastera Islam ini tidak meninggalkan kesan pada masyarakat kerana ubat yang salah tidak dapat sama sekali menyembuhkan penyakit yang menuntut ubat yang tepat.

Mungkinkah, kerana karya yang lahir ialah ‘karya pseudo-religion’ yang disangkakan panacea kepada persoalan akan tetapi sebetulnya masih terperangkap dalam lingkaran minda tertawan.

Maka adalah satu kerja buat pengarang muda untuk keluar dari lingkaran yang memabukkan ini demi membawa tekad baru. Tekad untuk memastikan karya sastera kita adalah karya sastera yang salih li kull zaman wa makan, iaitu serasi dengan segala waktu dan ruang. Memang kerja pengarang muda untuk mengupayakan sebuah karya yang mengandungi seruan ‘afala tatafakkarun, afala ta’qilun’ iaitu ‘mengapa kamu tidak berfikir atau tidak berakal’.

Pengarang muda mempunyai cabaran untuk menggali ilmu dan memuatkannya dalam karya. Kerana karya yang sarat ilmu ialah karya yang tidak akan mati sama sekali. Ini kerana, meminjam pandangan Saidina Ali Abi Thalib, ‘ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu menjaga kita, sedangkan harta kita yang menjaganya, ilmu menghukum, sedangkan harta kita yang menghukumnya, ilmu bertambah apabila digunakan, sedangkan harta berkurangan apabila digunakan.’ Karya dengan ilmu ialah karya yang hidup lama, kerana ilmu yang benar ialah ilmu yang menyelesaikan masalah masyarakat.

Sudahnya, untuk tujuan tersebut, pengarang muda dan tua mesti merenung kembali ayat al-Quran pada surah al-Maidah, ayat ketiga yang berbunyi: ‘Pada hari ini telah Aku sempurnakan agama engkau untuk engkau dan telah Aku cukupkan nikmatku untuk engkau dan Aku telah reda Islam selaku agama engkau.’ Adalah menjadi tanggungjawab setiap kita untuk mencari kesempurnaan agama yang telah dipateri oleh Allah. Adalah menjadi keperluan untuk kita mengkaji, memikir dan menganalisis sebab musabab ayat ini turun dan pemerihalan mengenainya supaya kita mengenal lingkaran merdeka. Dan bukan terus terkurung dalam lingkaran minda tertawan.

Faktor-faktor kekangan lain buat pengarang amatlah kecil jika dibandingkan apa yang telah disebutkan sebelum ini. Urusan kekurangan dana, kesukaran menerbitkan, kekurangan kreativiti (dalam hal ini yang dimaksudkan ialah imaginasi) atau kelembapan karya diterjemahkan adalah hal-hal ranting yang akan selesai mengikut peredaran zaman dan keadaan.

Inilah faktor dalaman sebenar yang mencegah kemajuan pengarang muda, mahupun tua di negara kita; malah di dunia Islam seluruhnya.

* Tersiar di Tunas Cipta September 2010.

Dipetik dari laman sifu Tuan Faisal Tehrani

13 September 2010

Suasana Hari Raya I



Tertera di gambar adalah adik lelaki kesayangan saya, Mohd Fared. Juga anak-anak buah Irfan dan Aiman.



Raidah, Zirah, Raihan, Zimah dan saya ketika malam perjumpaan tersebut. Gambar sedikit kabur akibat gangguan teknikal. Tetapi
tidak mengapa, ada kenangan kami berlima adik beradik perempuan bersama-sama.




Suami menjadi juara pakaian paling kemas ketika Majlis Perjumpaan Keluarga Ayahanda sempena Aidilfitri di Sri Tanjung, Masjid Tanah (Malam hari raya kedua). Pulanglah kami dengan hamper hari raya. Irfan sempat menjerit, yeay, pak lang Irfan menang!

InsyaAllah, saya akan kemaskini gambar-gambar kenangan aidilfitri yang sempat dirakamkan.

07 September 2010

Selamat Hari Raya



Salam Aidilfitri untuk semua yang sudi membaca laman sederhana ini.
Mohon maaf zahir dan batin dari saya dan suami.

Berhati-hati di jalan raya, Kurangkan pengambilan kolesterol di hari raya ini.

06 September 2010

Iklan Raya Melampau!

Iklan yang diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos RM200 ribu. Hangus!

Yang hairannya, antara orang yang bertanggungjawab meluluskan iklan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Adakah dia begitu jahil tentang agama sehingga tidak dapat melihat elemen pluralisme dan unsur agama lain dalam iklan tersebut. Walhal elemen tersebut bukannya diselitkan secara tersirat tetapi secara tersurat. Jelas dan terang. Malangnya, apabila iklan itu dibantai oleh pelbagai pihak, alasan yang diberikan untuk meluluskan tayangan iklan itu adalah kerana melihat daya kreativiti pengarahnya.

Sebagai orang yang bertanggungjawab, dia memohon maaf atas kesilapan yang telah dilakukan. Baguslah, kerana dia meminta maaf selepas melakukan kesilapan. Cuma, sesuaikah dia menggunakan frasa "tidak disengajakan"? Adakah dia benar-benar faham maksud "tidak disengajakan"? Apabila iklan itu dibuat dan ditapis dab dinilai oleh orang tertentu, maka penggunaan "tidak disengajakan" tidak wajar digunakan. Oleh itu, perkara ini terjadi bukan kerana "tidak disengajakan", tetapi berlaku kerana kejahilan tentang soal agama.


[UM] KUALA LUMPUR 5 Sept. - Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) hari ini memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam kerana penyiaran iklan yang dikatakan mempunyai unsur-unsur yang boleh memesong akidah terutama kanak-kanak.

Sehubungan itu, iklan tersebut yang ditayangkan sejak Khamis lalu telah pun dihentikan penyiarannya semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan ketika dihubungi hari ini berkata, bagi pihak TV3 beliau meminta maaf kepada masyarakat Islam terutama penonton TV3 di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

"Sebagai orang yang bertanggungjawab meluluskan iklan itu, tidak terlintas di fikiran saya untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak sebaliknya hanya melihat itu sebagai daya kreativiti pengarahnya.

"Dalam iklan selama seminit itu, ia menggambarkan impian seorang kanak-kanak dengan beca ajaibnya sesuai dengan tema TV3 tahun ini iaitu Sinari Lebaran,'' katanya.

Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan sempena hari raya yang menggambarkan seorang 'Pak Haji' mengajak kanak-kanak menaiki beca ajaib sehingga melintasi bulan.

Ia seolah-olah menyamai watak Santa Claus menaiki kereta salju yang dipacu oleh sekawan rusa kutub membawa hadiah Hari Natal untuk kanak-kanak.

Iklan tersebut juga menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman agama Buddha.

Iklan tersebut diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).

Menurut Farid, dengan mengambil kira rungutan dan rasa tidak senang penonton, iklan tersebut telah pun dihentikan pada pukul 9 malam tadi selepas lima kali disiarkan.

''Walaupun iklan itu baru lima kali ditayangkan, kami telah pun menarik penyiarannya demi memelihara keharmonian dan menghargai pandangan penonton.

"Sebagai sebuah stesen televisyen yang sentiasa cuba memberikan yang terbaik kepada penonton, komen-komen begini sedikit sebanyak membantu kami untuk tidak melakukan kesilapan lagi," katanya.

Farid berkata, disebabkan kesuntukan masa, mulai esok sebagai menggantikan iklan tersebut, TV3 akan menyiarkan iklan raya tahun lalu iaitu 'Ikan di laut, asam di darat' arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.

Sementara itu, Douglas ketika dihubungi mengenai iklan daripada idea kreatifnya itu akur dengan apa juga keputusan pihak TV3.

Katanya, sebagai Pengarah Kreatif TV3 beliau cuba melahirkan sesuatu yang menarik sesuai dengan tema kali ini iaitu Sinari Lebaran dengan menggambarkan keriangan kanak-kanak.

"Semasa membuat iklan ini, apa yang saya fikir hanyalah untuk melahirkan Melayu milenium dan tidak pernah terlintas untuk menyinggung perasaan orang Islam.

"Saya cuma mahu gambarkan impian dan keriangan kanak-kanak itu dengan beca ajaibnya untuk mencapai apa yang difikirkan kerana saya rasa ia cantik dan sesuai.

"Saya benar-benar menyesal atas apa yang berlaku dan saya memohon maaf kepada masyarakat Islam di atas kesilapan yang tidak disengajakan,'' katanya.

Beliau berkata, komen dan pandangan pelbagai pihak akan dijadikan panduan dalam menghasilkan sesuatu karya pada masa depan.

Iklan Sinari Lebaran yang menelan kos sebanyak RM200,000 menjalani penggambaran tiga minggu lalu di Bukit Broga, Semenyih, Negeri Sembilan.

Penggambaran selama seminggu itu mengabadikan babak beca ajaib dari Pulau Pinang, Perak dan Bukit Broga dengan menggunakan CGI dengan lagu latar hari raya ciptaan komposer Jerry dan Bijay dan dinyanyikan oleh Atilia.

Dipetik dari blog ini.

24 Ogos 2010

Beraya Bersama Buku Kedua!

Alhamdulillah.

Novel kedua siap diprufkan oleh saya. Seminggu berperang sakan.
Waktu rehat tengahari di pejabat juga dihabiskan untuk membuat pruf. Sebelum masuk waktu berbuka juga saya sempat membetulkannya.

Malam, menyambung lagi pruf sehingga terkebil-kebil, sembab dan pening kepala ini.
Ramadhan yang menguji masa saya. Suami tersenyum-senyum malah katanya, "Sudah tak mahu pandang wajah abang lagi semenjak mengadap manuskrip!"

Saya terkekek-kekek ketawa. Memandang wajahnya dan kami ketawa lagi.

"Bukan selalu, kena hantar sebelum minggu depan. 7 hari sahaja kena siapkan. Lepas sahaja siap, ayang pandang muka abang lama-lama"

Ada sahaja jawapan dari mulut becok ini. Kami ketawa lagi.

Hari ini, manuskrip yang telah siap dipruf akan selamat sampai ke meja editor PTS. InsyaAllah. Saya mula berfikir mengenai tarikh terbit dan berkemungkinan dianjak juga pada jadual sebenar iaitu pada bulan September 2010. Tidak mengapa, asalkan ia berkualiti dan tidak tergesa-gesa editor mengejar tarikhnya.

Kaver novel? Semestinya saya tidak sabar untuk melihat designer yang mengkaver kulit novel kedua saya. Oh, sungguh saya tidak sabar!
Semestinya kerana kulit PTS setakat yang saya lihat adalah yang terbaik sekali. Saya suka! Terutamanya bagi novel-novel chiclit mereka. Memang boombastic!

Ironinya, saya sekarang sedang menyudahkan beberapa bab lagi untuk novel ketiga. Novel ketiga sambungan kisah novel kedua ini. Ada ala-ala Lagenda Budak Setan kah? Tegur Haris Hauzah. Saya tertawa. Tidak pernah pula saya fikir ke situ. Sambungan ini
saya terfikirkan ketika sedang menulis di pertengahan novel kedua.

Beberapa hari lagi novel ketiga akan siap!Dan saya akan memasuki projek terbaru pula. Ura-ura mempelbagaikan penerbit juga bakal dipertimbangkan diri sendiri. Saya senang sekarang berurusan dengan PTS. InsyaAllah, jika ada kelapangan, saya mungkin akan menghantar manuskrip kepada penerbit-penerbit lain. Siapa tahu, rezeki bukan?

Bermakna akan terbitkah karya yang ketiga juga pada tahun ini?

Saya tidak mahu berfikir panjang-panjang. Tetapi angan-angan tetap tinggi!

Dimana sahaja saya berada, setiap masa, saat dan detik saya hanya terfikirkan manuskrip, idea dan segala-galanya tentang dunia penulisan. Oh, adakah saya sudah gila menulis! Sehingga saya malas dan adakala saya hanya ke pejabat untuk mengisi ruang masa sebagai pekerja yang menantikan gaji sahaja. Sungguh saya tidak adil kepada diri sendiri. Ya Allah, betapa kesyukuran ini harus terus menerus
ke dalam diri kerana bukan senang bekerja dan duduk di sini. Tetapi kenapa saya menjadi tahap malas berganda-ganda dan asyik terfikirkan dunia penulisan ini?

Ramadhan tinggal beberapa hari sahaja lagi. Masing-masing sedang berfikir tentang raya. Biskut raya, baju raya, dodol raya, lemang raya dan segala perkara tentang raya.

Apa yang saya fikir adalah, Tahun ini beraya dengan buku kedua!

Yeah!

Moral untuk menjadi penulis yang baik: Memperbaiki mutu manuskrip, menulis dengan kata nama ketiga, dan sentiasa memudahkan tugasan editor. Apabila membuat pruf, kita akan mengetahui kesukaran seorang editor menjalankan tugasnya. Tidak salah kita menulis dengan baik, memperbaiki ejaan dan tatabahasa untuk memudahkan editor.

06 Ogos 2010

Ramadhan & Berdua

Tahun ini, Ramadhan pertama bersama suami. Masih 'berdua', kerana Allah yakin dengan berdua nikmat itu mesti dihargai sebaiknya.

Alhamdulillah.

Kerana banyak nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Rumahtangga dan serba serbi perkenalan selepas perkahwinan ini memang amat membahagiakan. Tambahan sekali, ini adalah tahun pertama juga tahun menyiapkan menu berbuka puasa dan nanti menu untuk bersahur pula. Mampukah saya nanti? InsyaAllah.

Ketika ini, saya sedang sibuk dengan urusan manuskrip ketiga. Manuskrip yang mencabar kerana sambungan novel kedua yang sedang dibikin dan diproses oleh editor sekarang ini. Minggu ini juga saya amat berperang dengan tekak
yang amat perit sekali. Mungkin ini dugaan kerana selalu sahaja diingatkan suami agar minum air kosong/suam/jarang dengan banyak. Saya memang degil dan payah juga untuk minum air yang senang didapati itu. Suamiku, nanti Puan Dihah akan minum banyak-banyak ya!.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua pembaca blog ini. Tidak kira anda tetap, menjengah-jengah, ter'klik' dari blog orang lain atau peminat setia. (Terima kasih kerana sudi bertandang blog sederhana ini. Terima kasih berkali-kali!)

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.

Semoga tahun ini Ramadhan yang lebih bermakna. Untuk saya, suami, keluarga, rakan-rakan dan semua sekali!Bulan Ramadhan, bulan penuh dengan barakah dan pahala. Mari kita muhasabah diri bersama. InsyaAllah, kita perbaiki segala kekurangan dan istiqamah dengan amalan yang berganda-ganda pahalanya.

Doakan saya sentiasa menulis yang murni-murni dan manis untuk kalian membacanya. Saya akan mencuba menulis yang terbaik dan sentiasa menjadikan ia sesuatu yang penuh bermanfaat untuk semua pembaca.

Salam manis,
Mardihah Adam.

03 Ogos 2010

"Saya suka menjengah ke blog erinhakim kerana....."



1) Sebab saya suka membaca.
2) Sebab saya suka warna oren
3) Sebab saya suka tengok anak Kak Erin yang comel
4) Sebab saya kenal Kak Erin
5) Sebab Kak Erin rajin menulis blognya
6) Sebab Kak Erin suka berkongsi ceritanya
7) Sebab bila saya tiada kerja, saya akan jengah blog Kak Erin
8) Sebab apa lagi ya!
9) Sebab ada cerita tentang makan-makan!
10) Sebab ada cerita mengenai x-boss kami yang jelita (betullah, bukan?)
11) Sebab paling penting sekali adalah kerana PERSAHABATAN!

Ohh, sudah ada 11 sebab, jadi saya rasa saya layak terima hadiah itu.

Yeay!

Entry akan berpanjangan selama dua hari sahaja kerana itu adalah syarat pertandingan. Oooo..Tidak mengapa, asalkan dapat hadiah. :)

02 Ogos 2010

Yeay!



Bulan Ogos sudah tiba,
Hatiku riang tidak terkira,
Menyambut Ramadhan bersama yang tercinta,
Juga menanti lahirnya novel kedua.

Jangan lupa, nantikan novel kedua saya, Andai Gerimis Berhenti akan meletup-letup di kedai buku nanti!

Siap berpantun-pantun pula saya. Gembira, dan sesekali ada gerimis yang menghujani hati ini, gerimis tanda bahagia bersama. Oh Tuhan,...

Gambar yang diambil oleh suami saya, Mohd Rustham Bin Abdul Rahman ketika menghadiri Majlis Makan Malam Bank Negara Malaysia 2010, di One Utama
Hotel pada 01/08/2010.Kali pertama pergi bersama suami. Kali pertama menikmati Western Food. Kali pertama juga balik ke rumah makan Maggi!.

Huwaaaa...

29 Julai 2010

PELANCARAN PROGRAM GERAKAN SUBUH




Tarikh : 1 Ogos 2010 / 20 Syaaban 1431H (Ahad)
Masa : 5.00 Pagi
Tempat : Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta KL.
Anjuran : Sekretariat Gerakan Subuh


Acara :
• Qiyamullaill / Iktikaf di Masjid
• Solat Subuh Berjemaah
• Zikir Munajat
• Kuliah Khas Subuh ”Keajaiban Solat Subuh Berjemaah”
Oleh Y.Bhg Us Wan Sohor Bani Leman (UIA)
• Taklimat Khas Gerakan Subuh
Oleh Y.Bhg Tuan Hj Mohd Azmi Abd Hamid (Presiden TERAS)
• Perasmian Pelancaran Gerakan Subuh
Oleh Y.Bhg Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abd Aziz (KP JAKIM)
• Sarapan Pagi

MUSLIMIN & MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR
”MARI KITA BINA UMMAH MELALUI SOLAT SUBUH BERJEMAAH”

28 Julai 2010

Ulasan Travelog Cinta Abadi



Menarik!.
Bahkan membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak walau
saya tidak pernah mengenali apa itu lampu gasolin. Walau saya tidak pernah tahu
bahawa satu waktu dahulu amat indah apabila dikenangkan dan dibukukan. Kisah epal hijau,kutu yang memberi makna, erti hati, rindu, kulit rambai, mengkudu dan segalanya diadun dengan begitu baik.

Syabas dan tahniah untuk PTS Islamika. Juga kulit bukunya iaitu bunga ros berkembang mekar dengan warna merah yang memberikan kesegaran ketika saya menyentuhnya untuk pertama kali.

Maka, inilah hasilnya. 90 bab yang menawarkan keindahan dan kisah-kisah kenangan.
Ini mungkin kenangan yang apabila dibukukan akhirnya berbalik kepada diri kita. Perkembangan dari proses menjadi anak kecil sehingga meningkat dewasa. Puan Roza Roslan memberikan saya sendu beberapa kali. Mujur juga saya tidak menangis di dalam LRT.

Namun, ada beberapa kesilapan ejaan yang perlu dipandang serius oleh
editor. Kerana leka dengan sentuhan dan gaya bahasa yang mudah dihadami
oleh penulis buku ini, maka kita tidak akan perasan dengan kesilapan kecil ini.Ia boleh diperbaiki kelak.

Ini ulasan biasa dari saya seorang penulis untuk buku yang bernilai ini.
Betul kata Puan Nisah Haron di dalam ruangan khas buku ini bahawa remaja hari ini seharusnya memiliki buku ini untuk ditatap dan difahami kerana remaja hari ini terlalu beruntung dan bertuah kerana dipenuhi dengan kemewahan berganda-ganda.
Sekali lagi, berganda-ganda tahniah untuk PTS Islamika dan penulis buku ini, Puan Roza Roslan.

Paling utama, saya tidak sabar membaca sambungan kedua buku ini.

23 Julai 2010

Keow Teow Goreng Sotong

Kata orang, tambatlah hati suami dengan masakan. Maka hari ini saya layarkan
resipi keow teow goreng sotong yang berjaya saya hasilkan. Maaflah hari ini entry saya tentang masakan pula. Saya memang minat memasak. Pantang ada bahan. Jangan tidak tahu, selain dari menulis, saya juga amat pandai memasak dan melukis! Cuma belum lagi diasah bakat ini. Cheh!

Untuk makluman kawan-kawan, 1 bungkus keow teow pada malam itu habis! Tidak percaya? ha ha ha. Memang saya dan suami lapar dan oleh kerana kesedapannya maka akhirnya habis masuk ke dalam perut.
Erk!, Alhamdullillah.

"Memang sedaplah isteri abang masak. Siapa ajar?"

"Emak mertua!"

Suami menjeling dan ketawa.

Okey kawan-kawan, mari layan resipi ini. Selamat mencuba!

Keow Teow Goreng Sotong

1 bungkus Keow Teow
Cili yang dimesin (2 sudu atau 3 sudu)
Bawang putih 3 ulas - ditumbuk/dicincang halus
Bawang besar 2 biji - ditumbuk/dicincang halus
2 biji telur

Sotong (dipotong mengikut kesukaan)
Daun kucai
Sedikit sayur kubis
Setengah mangkuk air
Kicap manis

Garam
Serbuk perasa

Telur digoreng seperti telur cincang. Gunakan minyak yang sedikit sahaja.



Tumiskan bawang putih & besar sehingga kekuningan. Kemudian masukkan cili dan goreng garing. Masukkan sotong dan goreng bersama. Masukkan kicap, garam dan serbuk perasa.
Air dimasukkan(jangan terlalu banyak) dan tunggu mendidih.



Kemudian masukkan sayur kubis.
Gaul bersama dan masukkan keow teow tersebut.
Paling akhir, masukkan daun kucai dan gaulkan telur yang telah dimasak tadi.





Goreng perlahan sehingga sebati. Jika mahu hitam, masukkan kicap lagi!

Yeah, siap dihidang!



Kak Aisha dan Sa'adiah, amacam? Bolehlah mencuba nanti!

20 Julai 2010

Khabarnya - Novel Kedua


Alhamdulillah
Segala puji bagi Allah SWT yang memberikan nikmat ini.
Nikmat pancaindera dan segala kekuatan ilham yang datang dari lubuk hati. Terdetik di hati bahawa segala perkara yang diaturkan oleh Ilahi ini adalah bertujuan memberikan manusia kekuatan kepada cabaran dan rintangan.

Gembira.
Saya menjadi seorang hamba Allah yang paling gembira dan penuh kesyukuran kerana novel kedua bakal diterbitkan bulan Ogos ini. Bukan pada bulan September seperti yang diura-urakan. Tunggukan naskah ini dan semestinya saya sedang berfikir-fikir bagaimana kaver novel tersebut. Semestinya ia cantik, tenang dan mengujakan saya nanti. Apa sahaja bentuk dan warna, saya akan terima ia dengan tangan terbuka.

Tajuknya masih menjadi rahsia dan InsyaAllah akan saya warkan setelah diterbitkan. 10 bulan selepas kelahiran pertama Lukisan Jiwa, akhirnya novel ini berjaya saya angkat dengan buah tangan yang sungguh saya kagumi sendiri.

Barangkali kerana novel kedua ini saya alirkan dengan konsep tawakal, keimanan dan kecekalan seorang wanita. Menjatikan diri seorang muslimah dengan ketenangan sebuah perkampungan dan daerah terpencil yang memberikannya kekuatan. Seolah saya tidak sabar ia terletak sebaris dengan novel-novel karya penulis PTS. Promosi habis-habisan. Itu agenda pertama saya untuk novel kedua ini.

Semasa ini, saya sedang rancak menyambung kisah novel ini. Dwilogi yang lebih kemas plotnya dengan perkembangan watak-watak yang mencabar diri ini. Bukan mudah untuk menulis sebenarnya apabila dihimpit kemalasan, kepenatan dan beberapa agenda peribadi. Ya, saya berkahwin dan memerlukan masa yang rapi untuk memastikan jadual menulis itu sentiasa teratur. Walau kini masih belum teratur sebenarnya. Banyak yang sedang saya dan suami fikirkan untuk perkembangan rumahtangga kami yang menginjak 7 bulan. Alhamdullilah kerana kami mendaki sebuah kematangan kehidupan apabila berdua. Rupanya banyak yang perlu saya belajar mengenai lelaki. Ops! cukup sahaja sampai di sini, tidak mahu cerita panjang-panjang. Kawan-kawan semua, jangan lupa nantikan novel kedua saya. Dapatkan yang tulen di pasaran. Jangan pinjam-pinjam ya!

Serba sedikit tip Bahasa Sastera : Dialog yang menggunakan ayat lengkap adalah lebih indah dibaca. Kawan-kawan bolehlah
membaca di universitipts. Klik di sini.

Gambar ikan keli yang ceritanya dimuatkan di dalam novel kedua ini dicuplik dari sheikh google.

13 Julai 2010

Terima kasih




Bulan Julai. Rahmat dan paling penting banyak hadiah bermakna kepada diri sempena ulangtahun kelahiran ke 27. Tahun ini saya tidak paparkan gambar kek yang dicuplik dari pakcik google. Tetapi kek hadiah dari suami tersayang. Terima kasih kerana sambutan yang penuh doa dan sederhana. Sesungguhnya tiada yang saya minta selain kasih sayang berkekalan dan doa untuk hubungan ini sehingga ke syurga.

Pertama : Almari dan meja baharu.

Apa yang saya idamkan tercapai dengan sekelip mata. Bukan beg berjenama dan kasut cantik yang sering menjadi impian si gadis atau mana-mana wanita. Ya, saya tidak pernah sekali meminta barangan ini. Cukuplah sekadar sebuah almari buku baharu untuk menempatkan timbunan buku-buku yang sudah memenuhi almari kecil dan juga sebuah meja kecil untuk saya menulis dengan baik dan tempat ilham ini diturunkan.Terima kasih kepada suami yang memasang segala keperluan ini. Terharu. Proses mengemas bilik sederhana kami mengambil masa selama 1 minggu kerana saya memerlukan masa yang cukup untuk mengubah segala isi di dalam bilik agar nampak kemas dan teratur. Kemas dan bersih, itu kemahuan saya supaya saya dan suami selesa apabila pulang ke rumah. Kerana rumah ibarat syurga kecil untuk kita berehat selepas penat pulang dari bekerja.

Kedua : Baucer MPH 150 dan Majlis Pengiktirafan Berita Kijang 2009.




Ini adalah hadiah yang paling saya suka sekali!. Baucer yang membolehkan saya membeli belah buku di mana-mana MPH terpilih.

"Abang mahu majalah kereta, boleh?"

"Eh, boleh-boleh."

"Tiga ya!" kata suami dengan tersenyum sambil memandang baucer.

Majlis Pengiktirafan Berita Kijang 2009 diadakan sehari selepas tarikh hari jadi saya iaitu 5 Julai 2010. Tetapi sedikit kecewa kerana tidak dapat duduk bersama Gabenor Bank Negara iaitu Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. Sesiapa juga pasti berkenan dengan aliran baju kurung yang sentiasa mendominasi pakaian beliau sehari-hari. Walau duduk di meja utama bersama Penolong Gabenor Puan Shamsiah Mohd Noor dan beberapa pengarah berkaliber dan rakan baharu, terasa juga diri ini kekok.

Saya mahu cepat makan dan cepat menghilangkan diri. Saya mahu lekas balik. Arghhh! Kerana saya tidak suka makan dengan penuh protokol. Tolong! Tolong! Dan petang itu saya balik dengan perut yang maha lapar. Kerana saya ingatkan saya akan duduk di meja lain, tetapi akhirnya duduk di meja utama! Gelakkan diri sendiri wahai Mardihah!

Tidak mahu menulis panjang lebar menulis kerana saya sertakan gambar yang diperolehi dari pihak sekretarait. Saya bertudung ungu!.




Ketiga : Kek dan hadiah di bawah tudung saji.




Kek dan sebuah bungkusan menarik hati saya. Terharu kerana saya tidak pernah membayangkan menerima hadiah ini. Terima kasih wahai pujaan hatiku. Tidak mahu menulis banyak lagi kerana ini lebih kepada perihal peribadi, maka saya layarkan gambar-gambar ini untuk tatapan pembaca semua.



Terima kasih juga kepada semua rakan-rakan pembaca, penulis, rakan editor PTS yang mengucapkan selamat hari jadi di ruangan facebook saya. Semoga ikatan ukhwah terus bersemi, InsyaAllah.

02 Julai 2010

Bila?



Ayah bertanya, “Bila cerita ayah akan keluar?”

Saya tersenyum bersahaja sambil memandang awan-awan yang setia menemani. Telefon saya genggam kemas.

Satu hari nanti, kisah ayah akan mengalir tenang. Akan mengalir dalam diri karya lengkap abadi seorang yang bernama ayah. Lengkap namun akan ada air mata mengalir-ngalir saat jemari mengisahkannya. Itu janji saya.

Gambar ini ketika kami sekeluarga berjalan-jalan sekitar Bandaraya Melaka. Bersama suami dan adik-adik tersayang. Gambar yang tidak penuh dengan latar hitam namun ada wajah ayah dan lihat matanya itu. Macam sayakah?

p/s : Di sisi lain, kelihatan tangan emak sedang menunjuk sebuah kapal UFO yang lalu. Kami nyaris-nyaris masuk ke dalam kapal berkenaan tetapi ayah enggan kerana lembunya 'Si Merah' tiada penjaga nanti. Lembu kesayangan ayah juga sudah ada 3 ekor sekarang. Pulang ke kampung, saya akan ambil gambar kamu Si Merah, buah hati ayah!

25 Jun 2010

Surat Misteri

Abang Sod memberikan sekeping surat dengan setem. Setem yang dicopkan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.Itu tidak berapa penting bagi saya, kerana saya mahu lihat siapakah yang memberi surat ini. Setem 50 sen dengan seekor burung bertenggek di atas dahan juga sipi-sipi saya lihat. Bagi penggemar setem, saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan sampul ini kerana ini sampul kenang-kenangan saya!.

Mahu tahu dari siapa? Tentunya PTS Litera Sdn Bhd. Saya tidak memikirkan apa-apa melainkan perkara pertama mungkin hebahan mengenai menuskrip kedua. Terfikir juga, prosuder penerbit sudah berubahkah?

Kawan-kawan yang lalu lalang saya biarkan. Bagai angin lalu. Mungkin surat pengesahan manuskrip atau mungkin lain. Serba serbi mungkin.
Perlahan saya membukanya. Mengoyakkan kepala muka surat. Mata saya berkelip-kelip . Hidung terus menyedut udara yang dingin.

Sejuk.

Kerana sistem pendingin udara, 'IBU'nya adalah di sini. Adakala petugas-petugas dengan tangga akan datang membetulkan, mengetuk dan melancarkan sehingga kami tidak perasan bahawa kami berada di London. Kita di Malaysia ya!

Saya pandang sampul ini. Sudah saya koyak. Perlahan saya buka suratnya. Abang Sod sudah berada di tempatnya. Seorang dua pekerja datang untuk berurusan dengan Jabatan kami menekan punat yang akan berbunyi 'Ting Tong'. Maka saya akan segera membuka pintu dengan rasa sudah jemu dan malas. Muka-muka dan wajah-wajah yang sama, yang adakala mahu saya membuat segala pembayaran dengan cepat dan diistilahkan sebagai 'URGENT'. Ini juga salah satu perkara yang akan membuat saya sakit cepat, tapi apa boleh buat!. Sudah amanah dan kerja.

"Masuk!" lantang saya bersuara. Saya adalah penjaga pintu rasmi! Kalaulah ada elaun pintu, mesti saya akan mendapat elaun yang banyak melebihi royalti sebagai penulis dan menjadi calon pekerja paling alergik dengan bunyi 'Ting Tong'.

Eh, berbalik kepada surat misteri ini. Saya lihat dengan penuh emosi, berdebar-debar dan penuh rasa berkecamuk. Manuskrip kedua sayakah akan dipercepatkan penerbitannya? Sama sekali tidak, kerana saya harus fahami tugas editor yang banyak dengan menghadapi manuskrip yang memeningkan kepala dengan tiada tanda koma, tiada tanda titik dan bermacam kesalahan tatabahasa.

Debaran saya memuncak!. Memandang kepingan surat yang menjernihkan hati saya. Mulut saya ternganga. Sungguh saya tidak sangka. Ini kepingan yang memberikan rasa bahagia berganda-ganda. Tuhan, Alhamdullilah. Seolah melihat keputusan SPM dengan 25 A1, mengalahkan adik Nur Amalina dan Nik Nur Madihah.Oh, Tuhan!

Saya membeliakkan biji mata. Benar sama sekali.

Petang itu di dalam kereta suami tersenyum simpul.

"Belanja abang makan, ya!" matanya bersinar-sinar sekali. Saya tersenyum. Seolah senyum sehingga ke telinga.

" InsyaAllah." lantas fikiran saya melayang-layang kepada janji yang akan saya tunaikan nanti. Teringatkan emak, ayah dan adik-beradik yang lain.

"Terima kasih menyokong penulisan anakanda,"

Saya memandang suami dan berkata, "Menulis itu cinta. Bukan mengharapkan apa-apa. Ini pemberian Tuhan kerana menulis perlu dengan rasa hati dan jiwa,"

"Kalau tidak dapat banyak itu, rasa-rasa mahu menulis lagi?" tanyanya lagi.

" Perlu menulis. Kerana setiap kebaikan dalam penulisan itu akan sentiasa dibaca dan bukan kita minta yang istimewa atau apa-apa ganjarannya. Jangan meminta diri popular kerana menulis tetapi menulis yang memberikan pelajaran dan pengajaran kepada semua!"
saya tersenyum bahagia.

Penuh bahagia dan udara terasa menyaluti diri sesempurnya. Tuhan itu maha kaya. Selepas ini, saya akan menulis dengan murni, dengan penuh kebaikan dan dakwah. Itu impian saya. Biar saya menulis setahun dengan 1 buah buku, tetapi ia penuh pelajaran dan bermakna.

22 Jun 2010

Emak & Ayah



Tiba-tiba ada rindu kepada emak dan ayah.
Rindu yang menyesakkan dada
Berkali-kali sehingga menatap sebening dan seraut wajah ini
Tuhan, jangan deritakan mereka
Bahagiakan
Ketawakan dunia dan akhirat

14 Jun 2010

Watcha!!



Ini kedua kakak ipar (Puan Junisa Abdullah & Norasyidah) yang melahirkan anak-anak buah. Generasi Atuk Tamin & Nenek Tipah. Terima kasih memeriahkan keluarga. Juga anak-anak buah yang comel-comel dan pandai bergaya di depan kamera.

07 Jun 2010

Menanti Kelahiran Yang KeDUA!

Saya memberi keyakinan kepada diri. Agar bersikap sabar untuk menanti kelahiran manuskrip kedua. InsyaAllah, menurut editor, manuskrip saya jadual penerbitannya adalah pada bulan September. Atau lebih kurang dilahirkan lewat untuk Bulan Oktober, kerana saya memahami kemungkinan kelewatan untuk cetakan: beratur di kilang, pruf oleh editor dan banyak lagi kemungkinan. Lebih kurang. Saya mengagak. Semoga dipermudahkan dan menjadi yang baik-baik sahaja.

Manuskrip kedua. Pada saya banyak lagi salah dan kesilapan saya. Namun saya akui, penerimaan editor memberikan suntikan kepada saya untuk memanjangkan manuskrip ketiga. Manuskrip ketiga adalah sambungan manuskrip kedua yang saya kembangkan plotnya dengan baik. Teguran editor kerana plot saya tidak dikembangkan dan beberapa kesalahan elipsi(tidak salah saya, kesilapan adalah selepas petikan suara terlalu banyak tanda titik yang tidak saya perasan langsung!) hahahahaha. Kasihan saya pada editor. Maafkan saya kerana kesilapan itu. Saya cuba perbaiki pada manuskrip akan datang.

Semoga kebaikan watak Nur Aisya di dalamnya, seorang wanita cekal dan tekal menghadapi cabaran dunia ternakan ikan air tawar memberi impak kepada khalayak yang membacanya. Saya merasakan kali ini, manuskrip ketiga saya tulis dengan sepenuh jiwa. Seolah-olah saya berada dan berdiri bersama setiap watak. Pada saya menulis itu perlu dengan hati dan jangan memaksa untuk menulis jika ilham itu tiada.

Kisah tawakal, menyemai cinta kepada ternakan dan cinta kepada tanah terbiar yang diusahakan, memberikan saya keyakinan untuk meneruskan penulisan dan menyambung kisahnya yang tergantung untuk manuskrip ketiga. Saya mahu memurnikan kelompok pengusaha yang giat dengan usaha sendiri. Bahkan bagi saya, menternak ikan air tawar, berusaha membuka pasaran ternakan dan usaha mereka ini, tidak boleh
dianggap kecil. Usaha murni ini saya angkat di dalam novel selaras dengan cita-cita seorang insan kecil. Semoga ia ada kebaikan untuk semua. InsyaAllah.

Saya juga mempunyai imaginasi tinggi. Saya mahu terbang dengan pepatung seolah saya sedang mengembara. InsyaAllah, dalam masa sedikit lagi, manuskrip kisah khayalan ini akan saya siapkan. Saya mengambil ilham dari cita-cita saya yang ingin membuka cafe buku sendiri. Kisah fantasi ini amat menarik sehingga pembaca mungkin akan menanti sambungannya. (berangan sahaja, saya!) Tetapi sebagai penulis, saya wajib
mempunyai angan-angan sendiri.

Mengambil masa juga kerana dalam tempoh yang sama saya sedang berkejar menyiapkan sambungan kedua Nur Aisya( Tajuknya belum diputuskan lagi) juga novel fantasi ini. Saya juga sedang menimbang-nimbang untuk menghantar manuskrip fantasi ini. Kepada siapa? Tunggu dan lihat sahaja.

Saya juga memutuskan beberapa lagi manuskrip yang semakin berlegar dalam fikiran saya. Bagai dicas-cas selalu dan sentiasa saya catat jika ilham itu mendatangi. Berbual dengan rakan lama yang belajar sebagai seorang guru juga memberi ilham lagi kepada saya. Kisahnya rahsia dan ianya akan saya adaptasi. InsyaAllah. Adakala apabila ternampak sahaja objek, sekelip mata ia boleh sahaja dijadikan kisah menarik. Asalkan berjaya dikembangkan plot dan jalan kisah cerita yang menarik. Saya mahu lari dari kisah dan bumbu-bumbu cinta dalam novel.

Kerana khalayak adakala bosan dengan remeh temeh cinta ini. Meski ia cinta islami. Setuju atau tidak, ia adalah dari pemikiran seseorang penulis itu sendiri. Mungkin kali ini, saya mahu keluar dari kepompong menulis kisah-kisah cinta islami. Kewajaran untuk mengangkat nilai manusia, bahkan novel tauhid, isu palestin, isu moral dan ummah boleh saya ketengahkan. Ya, saya mencari-cari bahan lagi untuk setiap manuskrip. Bahkan, saya percaya, kesemua plot sedang ditunggu mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan. Kerja tuhan bukan? InsyaAllah.

Doakan saya berjaya dalam lapangan dan cita-cita ini. Pastinya, kesabaran saya adalah di tingkat paling tinggi sekali. Tajuk yang sesuai juga sebenarnya memberikan reaksi berbeza untuk sambungan Nur Aisya. Minggu ini minggu menyiapkan sambungan 'Nur Aisya'. Saya sendiri tidak sabar bermain dengan plot dan menceritakan kisah ini.

Semoga ada jalan. Peluang dan rezeki untuk saya dan keluarga. Menulis itu cita-cita.