Pages

24 Ogos 2010

Beraya Bersama Buku Kedua!

Alhamdulillah.

Novel kedua siap diprufkan oleh saya. Seminggu berperang sakan.
Waktu rehat tengahari di pejabat juga dihabiskan untuk membuat pruf. Sebelum masuk waktu berbuka juga saya sempat membetulkannya.

Malam, menyambung lagi pruf sehingga terkebil-kebil, sembab dan pening kepala ini.
Ramadhan yang menguji masa saya. Suami tersenyum-senyum malah katanya, "Sudah tak mahu pandang wajah abang lagi semenjak mengadap manuskrip!"

Saya terkekek-kekek ketawa. Memandang wajahnya dan kami ketawa lagi.

"Bukan selalu, kena hantar sebelum minggu depan. 7 hari sahaja kena siapkan. Lepas sahaja siap, ayang pandang muka abang lama-lama"

Ada sahaja jawapan dari mulut becok ini. Kami ketawa lagi.

Hari ini, manuskrip yang telah siap dipruf akan selamat sampai ke meja editor PTS. InsyaAllah. Saya mula berfikir mengenai tarikh terbit dan berkemungkinan dianjak juga pada jadual sebenar iaitu pada bulan September 2010. Tidak mengapa, asalkan ia berkualiti dan tidak tergesa-gesa editor mengejar tarikhnya.

Kaver novel? Semestinya saya tidak sabar untuk melihat designer yang mengkaver kulit novel kedua saya. Oh, sungguh saya tidak sabar!
Semestinya kerana kulit PTS setakat yang saya lihat adalah yang terbaik sekali. Saya suka! Terutamanya bagi novel-novel chiclit mereka. Memang boombastic!

Ironinya, saya sekarang sedang menyudahkan beberapa bab lagi untuk novel ketiga. Novel ketiga sambungan kisah novel kedua ini. Ada ala-ala Lagenda Budak Setan kah? Tegur Haris Hauzah. Saya tertawa. Tidak pernah pula saya fikir ke situ. Sambungan ini
saya terfikirkan ketika sedang menulis di pertengahan novel kedua.

Beberapa hari lagi novel ketiga akan siap!Dan saya akan memasuki projek terbaru pula. Ura-ura mempelbagaikan penerbit juga bakal dipertimbangkan diri sendiri. Saya senang sekarang berurusan dengan PTS. InsyaAllah, jika ada kelapangan, saya mungkin akan menghantar manuskrip kepada penerbit-penerbit lain. Siapa tahu, rezeki bukan?

Bermakna akan terbitkah karya yang ketiga juga pada tahun ini?

Saya tidak mahu berfikir panjang-panjang. Tetapi angan-angan tetap tinggi!

Dimana sahaja saya berada, setiap masa, saat dan detik saya hanya terfikirkan manuskrip, idea dan segala-galanya tentang dunia penulisan. Oh, adakah saya sudah gila menulis! Sehingga saya malas dan adakala saya hanya ke pejabat untuk mengisi ruang masa sebagai pekerja yang menantikan gaji sahaja. Sungguh saya tidak adil kepada diri sendiri. Ya Allah, betapa kesyukuran ini harus terus menerus
ke dalam diri kerana bukan senang bekerja dan duduk di sini. Tetapi kenapa saya menjadi tahap malas berganda-ganda dan asyik terfikirkan dunia penulisan ini?

Ramadhan tinggal beberapa hari sahaja lagi. Masing-masing sedang berfikir tentang raya. Biskut raya, baju raya, dodol raya, lemang raya dan segala perkara tentang raya.

Apa yang saya fikir adalah, Tahun ini beraya dengan buku kedua!

Yeah!

Moral untuk menjadi penulis yang baik: Memperbaiki mutu manuskrip, menulis dengan kata nama ketiga, dan sentiasa memudahkan tugasan editor. Apabila membuat pruf, kita akan mengetahui kesukaran seorang editor menjalankan tugasnya. Tidak salah kita menulis dengan baik, memperbaiki ejaan dan tatabahasa untuk memudahkan editor.

2 ulasan:

  1. selamat berjaya :)

    tq dgn perkongsian maklumat itu :)

    BalasPadam
  2. Budak-budak setan jangan di lagendakan...

    BalasPadam