Pages

30 Mac 2012

Mr Pai Epal 25

Mr Pai Epal 25. Saya iringi dengan air mata. Sobsss…sobssss.. sobsss…Selebat air mata Cik Yaya Sayang! Selebat hujan yang mengiringi. Sila naikkan volume mendengar latar lagu blog ini untuk turut sama memberi kesan ketika membaca bab ini! Sobbb…sobsss…

InsyaAllah, saya akan poskan ‘bab bonus’ untuk Mr Pai Epal! Akan ada untuk hilangkan rindu kalian dengan Mr Pai Epal. Mr Pai Epal terhenti di sini untuk memberi laluan saya menyiapkan manuskrip penuh ini. Jika ada berita gembira, saya panjangkan di laman ini. Jika tiada, saya tidak akan berputus asa! Dan akan terus up entry MPE sehingga ke penamat! Doakan perjuangan saya ya! Saya sedih sebab ini bab penuh terakhir untuk semua. Semoga terhibur ya dan jutaan terima kasih untuk semua peminat tegar Mr Pai Epal. Tanpa anda, siapalah saya yang kecil-kecil sahaja di sini! Juga komen-komen semangat dan 'LIKE' anda tidak kira di blog ini, facebook saya dan page Mr Pai Epal!


lee-min-ho-straight-hair-i2




“Hari jadi Izz Amir hari Rabu ni, Yaya!” Adnan memandang aku sambil jemarinya lincah memotong bahan-bahan utama masakan untuk Chef Ridzwan. Salmi nampak sibuk dengan arahan baru dari Chef Fikri. Salmi hari ini perlu membantu Chef Fikri yang pemalu lapan belas juta kali itu! Chef Ng di dapurnya menjerit-jerit memarahi para pembantunya yang melakukan kesilapan. Aku lihat wajah tegang Izz Amir hari ini. Entah kenapa hari ini, hari stress sedunia semua pekerja Pai Epal Café. Mana tidaknya, selepas sahaja balik bercuti dari Mersing, ada tempahan set buffet untuk makan tengah hari! Sudahlah sebanyak 350 pax! Gila! Chef Ridzwan siap berSMS dan aku diwajibkan datang seawal jam 5 pagi! Dengan mata merah dan wajah sugul, aku datang juga. Tengok-tengok Izz Amir sudah tercongok di depan pintu Pai Epal Cafe. Menanti aku datang dengan senyum manisnya. Matanya juga merah kerana mengantuk. Nasib baik kami semua bertolak selepas Zohor ke sini. Sempat juga berehat dan bergegas dengan rutin harian di Pai Epal Café!

“Awak rindu dengan saya tak?” tanyanya. Dia yang bersandar di pintu keretanya tersengih. Sejuk betul dan jika di negara Korea, pastinya ada asap berkepul-kepul keluar dari mulut dia.

Aku mengejek. Menjelirkan lidah dan aku parkingkan elok-elok, Miss MJ Unguku di sebelah keretanya. Aku buka helmet dan baju sejukku. Beg pantas digalas.

Aku gelengkan kepala. “Tak! Sumpah tak. Rindu dengan ibu dan Fatin saja!”

Izz Amir menjeling. Kakinya pantas melangkah. Pintu Pai Epal Café memang sudah terbuka. Pekerja-pekerja dapur sudah sampai awal dari aku. Aku membontotinya. Kami berdua sudah berada di dalam Pai Epal Café yang sudah terang benderang dengan lampu.

“Tipu! Awak tipu!” tambahnya lagi membuatkan aku tersengih.

“Okeylah, sikit bolehlah. Kalau nak rindu betul-betul, nanti tunggu saya pergi luar negara sambung belajar! Saya akan sebut nama awak banyak-banyak.”

“Betul ni?” kaki Izz Amir terhenti dan dia menoleh. Serta merta matanya galak memandang aku dengan wajah kacaknya. Aku angguk dan turut sama automatik menghentikan langkah kaki ini.

“Sukanya saya ada orang rindukan saya!” jawabnya dengan senyuman. Ah – pagi-pagi dingin ini, jantung aku sudah bergetar hebat. Usus sudah bergelodak dengan rasa cinta rindu-rinduan terhadapnya.

Tak tahu malu betul Izz Amir ni!


“Kerja elok-elok! Kalau mengantuk, tidur sekejap di surau! Hari ni jemaah sama-sama di surau!” pesannya buat aku mengangguk dan tersengih suka hati. Mahu tergolek pun ada! Sawan sasau dibuatnya. Senyumnya membunuh terus salur pernafasan aku! Alahai, Izz Amir!

Adnan mengetuk meja dengan tangannya. Sengaja dia mahu memadamkan khayalan aku dan ingatan aku kepada Izz Amir beberapa jam yang tadi! Cet! Kacau daun betul!

Aku meneruskan kerjaku dengan memori indah di Mersing! Ah – kami semua meninggalkan Mersing dengan penuh kenangan. Penuh rasa cinta dan kasih sayang kepada Nek Pa. Kalau Izz Amir, semestinya ‘Milah sidai baju’ akan rindu! Apa nak dicemburukan sebab Izz Amir sudah terang lagi bersuluh sukakan aku! Aku pula pasti akan rindukan Nek Pa dan Mak Su! Nek Pa sampai menangis-nangis memeluk aku! Bonet kereta Volkswagen beetle Izz Amir pula penuh dengan pisang. Ubi keledek, segala macam ulam-ulaman kegemaran aku dan paling penting ada buah kelapa yang memenuhi ruang duduk aku dan Melati. Izz Amir terkekek-kekek ketawa melihat bonet keretanya. Menggeleng kepala kelakar melihat telatah Nek Pa. Kalaulah ada lori, harus satu Mersing disuruhnya kami bawa pulang.

Pesan Nek Pa kepada Izz Amir, “Hei Ustaz kacak! Jaga cucu Nek Pa ni baik-baik. Cepat Yaya habis belajar, cepat-cepatlah kahwin! Nek Pa nak tengok cicit-cicit Nek Pa yang sebelas orang tu membesar depan mata!”

Erk.

Cit podah! Nek Pa pun tahu impian Izz Amir yang mahukan anak seramai sebelas itu? Muka aku merona merah. Malu aku dibuatnya! Mak Su ketawa tak ingat dunia. Ibu dan Fatin juga tersengih suka hati.

Tetapi paling membahagiakan bila ibu dan Nek Pa sudah mula sukakan lelaki berwajah empat belas juta itu. Lelaki bergelar chef yang suka membantu Nek Pa di dapur. Lelaki yang sudah pandai ke masjid dan sah-sah sudah menjadi imam ketika kami semua bersolat jemaah di ruang tamu.

Imam Muda Izz Amir! Yang sudah memikat hati ibu. Yang sudah membuatkan jantung, usus, penkreasku dan segala macam urat ini kembang-kembang semua! Aku sudah rasa mula mencintai dirinya. Biarpun aku simpan dan diam-diamkan dalam hati. Biarlah juga dia selalu berjiwang karat sehingga ada bunga-bunga sakura gugur di depan mata ini. Biarlah dia selalu membuatkan aku pitam dan bikinkan aku pengsan selalu! Tetapi, aku suka dan suka dengan sikap nakalnya itu!

Tetapi aku sudah bersumpah di dalam hati yang Izz Amir lelaki pertama yang aku cintai dan lelaki terakhir berada di dalam hati ini. Sampai bila-bila. Sehingga ke syurga. Oh, berangan betul aku!

“Rabu ni ya?” tambah aku dan Adnan mengangguk. Aku memandang pisau yang terletak di atas meja. Kenangan akhir di Mersing aku lenyapkan bila teringatkan hari lahir Izz Amir. Apa pula hadiah yang perlu aku beri kepada lelaki kesayangan hati itu?

Dapur agak ribut! Kartina juga sama sibuknya. Semua pembantu dapur tidak menang tangan! Aku juga turut sama terbabit dengan proses penyediaan makanan pada pagi ini. Chef Ridzwan juga sudah mengarahkan aku agar menghafal nama-nama rempah yang akan disoal kelak oleh Izz Amir. Nama rempah senang bagai pun! Semua aku sudah ingat. Dalam kepala sahaja, okey! Aku mengangguk mengiyakan. Hari jadi Izz Amir hari rabu ini ya?

Apalah aku ini, ya! Sampaikan tarikh hari lahir kekasih hati pun tidak pernah aku ambil peduli! Ceh! Kekasih hati sangatlahkan!

“Dia suka apa ya?” aku soal Adnan yang lincah jemarinya.

Adnan memandang aku. Aku pandang dia semula dengan sengih panjang. Kami sudah agak rapat selepas sama-sama dia menyertai Izz Amir ke Mersing. Mentelah lagi, Adnan serumah dengan Izz Amir dan bersahabat baik dengan lelaki pujaan hatiku itu.

“Yaya tak tanya dia?” Adnan ambil sebiji lagi kubis. Harus dipotong untuk proses memasaknya sebentar lagi. Tangkas dan cepat jemarinya.

Aku geleng perlahan sambil mata cuba-cuba mencari batang tubuh Izz Amir. Ohh, haruslah lelaki itu ke sana dan ke sini memeriksa dan mengawal dapur dan sebelum café ini dibuka. Jawapanku berbunyi sedih sahaja, “Tak. Mana sempat tanya!”

Adnan sengih!

“Dia suka kereta! Kereta comel-comel. Kalau dekat rumah adalah sebilik barang permainan dia. Kereta, lori, bas, basikal, kapal terbang! Eh, semua adalah. Sampaikan ke jentolak pun dia kumpul!”

“Permainan budak-budak tu! Ada minat kereta. Permainan tak adventure langsung! Minatlah kumpul setem ke, kumpul jersi ke, kumpul jam ke, kumpul kasut ke, kumpul Tupperware ke!”

“Habis, transformers tu bukan budak-budak suka jugak ke?” mata Adnan menjeling aku. Dia galak ketawa dengan cara aku menjawab.

Padan muka aku, kan? Sudahnya Adnan memerli aku.

Tupperware? Eh, tolonglah Yaya! Itu mak-mak orang dan perempuan yang dah kahwin saja suka kumpul!” Adnan gelengkan kepala dengan telatah aku.

Mulutnya menyambung lagi, “Yang asyik dengan transformers kalahkan budak-budak lelaki tu siapa? Hantu?”

Aku menyengih dengan usikan Adnan. Lantas ilham bertandang untuk meraikan hari jadi Izz Amir. Aku pandang Adnan dengan kening terangkat-angkat.

“Kenapa?” Tanya Adnan.

“Saya ada idea!” dan dengan sepantas kilat aku menyudahkan baki-baki kerja dan membantu Chef Ridzwan. Adnan turut sama di sisi. Bagaikan ada semangat baru, maka hari ini bermula idea yang aku harap-harap akan menggembiran Izz Amir.

Satu.

Aku siapkan semua kerja dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Aku bancuh kopi, nescafe, teh dan milo. Selepas selesai tugas kami semua di dapur untuk penyediaan menu kepada 350 orang, semua bersorak riang! Bagaikan pesta dan tugas penyediaan di ruang Pai Epal Café diambil alih oleh para pelayan pula. Chef-chef yang mengawal hidangan turut sama terbabit mengawal menu buffet di hadapan. Semua air yang telah siap aku bancuh, diagihkan kepada semua pembantu dapur, commis dan semua chef. Cawan kecil diagih-agihkan! Bau kopi, teh, nescafe dan milo memenuhi ruang! Asap berkepul-kepul!

Pesanan ringkas dengan kertas berwarna kuning turut terselit! Guys, buat kek berbentuk kereta untuk Chef Izz Amir. Malam esok, tepat jam 9.00 malam di sini!

Pesanan rahsia untuk semua. Dan Adnan turut bersetuju mencuri kunci Pai Epal Café dari bilik Izz Amir. Kerja gila katanya. Ah – aku tidak peduli. Jadi tak jadi, kunci itu harus ada di tangan aku untuk projek membuat kek kepada Izz Amir! Jika Adnan tidak berjaya mengambil kunci berkenaan, aku boleh pecahkan pintu belakang untuk semua pekerja masuk ke dalam café bagi menyertai projek ini. Jika Izz Amir marah, marahlah!

Chef Fikri yang pemalu lapan belas juta kali bersetuju membuat Rich Chocolate Pudding! Puding karamel kesukaan Izz Amir turut sama tercatit! Aku berpusing pula mencari Chef Ng. Chef Ng dan pembantu dapurnya mahu menyertai dengan membuat pizza!

“Oh, saya akan buat 'Pizza Comel Yaya'!” Chef Ng mengenyitkan mata! Ah, tersenyum seronok dibuatnya. Chef Rita mahu memasak nasi jagung!

Oh, dalam tidak disangka-sangka, semua bersetuju menyertai malam hebat berkenaan.

Dua.

Menu juga telah aku susun rapi secara curi-curi. Meski Izz Amir berlegar-legar di dapur. Yang pasti aku akan memasak ikan siakap tiga rasa kesukaan Izz Amir. Sup sayur yang akan diolah resipinya gaya Italy! Salmi bersetuju membuat air! Aku perlu memasak lebih kurang jam 5 pagi sebelum semua sampai ke Pai Epal Café dan meraikan hari jadinya! Itu perlu dan aku juga menyusun jadual untuk persiapan majlis hari jadi Izz Amir. Memasak untuk 30 orang pekerja dapur dan dicampur dengan semua pelayan Pai Epal Café mudah bagi aku! Maka, mungkin ini boleh membuktikan keupayaan aku memasak sendiri. Dibantu pula dengan Adnan dan Salmi yang bersetuju menyertai projek ini!

Dan malam itu, ketika berseorangan di rumah. Aku keluarkan duit tabung untuk membeli semua bahan-bahan yang perlu untuk persiapan esok malam. Kalaulah Fatin ada, bolehlah meminjam sedikit wang darinya. Saat-saat genting ini, aku mengira semua duit. Aku keluarkan wang kertas dari beg duitku. Seratus lima puluh sahaja! Aku terkebil-kebil. Wang syiling bertaburan di atas katil. Aku garu kepala yang tidak gatal sambil memerhati bahan-bahan yang perlu aku beli!

Duit ini tidak cukup! Serius!

Aku ambil telefon bimbitku. Pantas aku mendail nombor telefon Melati. Berbual lebih kurang lima minit, mengenepikan rasa malu dan hasilnya aku perolehi sebanyak seratus ringgit! Dan dengan Lily pula aku perolehi sebanyak seratus ringgit. “Yaya pinjam sahaja ya! Nanti Yaya dapat elaun, Yaya akan ganti balik!”

Sebak pula dengan bantuan kawan-kawan untuk projek kali ini! Terima kasih Melati dan Lily! Adnan menyumbang sebanyak seratus ringgit untuk majlis berkenaan. Dan malam berkenaan selepas memecut mendapatkan duit dari mereka semua, aku, Adnan dan Salmi menyusul ke pasaraya untuk membeli semua bahan-bahan berkenaan.

Mencukupi! Semua bahan akhirnya berjaya kami beli sebelum diseludup dan di bawa masuk ke dalam stor Pai Epal Café. Serahkan semuanya kepada Adnan dan dia bijak berurusan dengan Abdul Ghani penyelia stor Pai Epal Café!

***

Bagaimana untuk membuktikan rasa cinta dan sayang kepadanya? Iya, aku tiada hadiah mahal untuknya. Aku tiada wang mencukupi untuk membeli minyak wangi kesukaan Izz Amir atau baju mahal-mahal kepadanya. Rasa segan pula nanti kalau Izz Amir melihat hadiah ini.

Sebuah kereta comel Volkswagen Beetle mencukupi. Puas juga aku merayau di kedai-kedai permainan sekitar Bandar. Aku tersenyum membeleknya sebelum membalut hadiah berkenaan dengan pembalut lebihan membalut bukunya dahulu. Naïf betul aku! Kedekut sungguh! Tapi betul, duit yang ada hanya berbaki Ringgit Malaysia Lima Puluh sahaja. Cukup membeli kereta berkenaan yang berharga empat puluh sembilan ringgit, sepuluh sen tunai! Gila mahal kereta comel macam ini. Nasib baik berdiskaun! Baki sembilan puluh sen berkenaan aku masukkan ke dalam tabung derma di pasaraya berkenaan.

Aku pulang ke rumah sambil meletakkan hadiah comel berkenaan di dalam sebuah beg kertas buatan sendiri. Selepas selesai projek dengan semua pekerja Pai Epal Café, hadiah ini harus bertukar tangan kepada Izz Amir.

-Hei Mr Pai Epal! Awak harus terima hadiah ini seadanya. Ikhlas saya beri, ikhlas awak terima.
+Dia terima Yaya! Asalkan Yaya ikhlas memberi! Semoga berjaya untuk esok, Yaya! Sehabis baik dan fighting!
-Oh, terima kasih! I tacing! Sobsss sobsss…

Saat-saat genting menjelma. Kesibukan di Pai Epal Café! Malam penuh rasa cinta dan kasih sayang terhadapnya. Membuat kek berbentuk kereta dengan dibantu chef yang pakar sebenarnya. Chef Rita dan Chef Ng bersungguh-sungguh mengajar. Aku membuat aising dan ganache coklat! Mahu menutup kereta ini dengan balutan coklat lazat!

“Yaya!” pekik Chef Ng

“Awal sedia?” tanyanya lagi.

Aku mengangguk. “Sedia chef!”

“Semua sedia?” aku pula menjerit dengan muka merah menahan penat.

Angguk dan tersenyum!

“Sedia, chef Yaya!”

Bergelak ketawa dengan semua pekerja Pai Epal Café! Suka-suka memanggil aku dengan gelaran berkenaan! Sudahlah masuk ke dalam café ini secara seludup! Jika Izz Amir tahu, nayalah aku!

Semua pekerja bertungkus lumus bagaikan pesta! Seawal jam 9 malam kami sedaya upaya berusaha! Meski penat, tetapi seronok. Kartina muncul lewat dan ada juga yang terpaksa pulang lebih awal!

Menu seperti yang dirancang. Kek sedia terhidang dan disembunyikan di dalam sebuah kotak. Di masuk ke dalam peti sejuk dan kek comel berkenaan benar-benar memikat hati! Bahan-bahan untuk aku memasak seawal pagi ini nanti sudah disiap-siapkan. Pizza harus dipanaskan juga!

Jam 2 pagi, Rich Chocolate Pudding siap! Puding caramel turut sama tersedia. Nasi jagung semerbak harumannya dan di masukkan ke dalam bekas panas. Aku harus memastikan nasi berkenaan tidak basi dan diletakkan betul-betul di tempat pemanas. Semua pekerja Pai Epal Café harus balik awal juga! Mereka akan bekerja lagi esok! Momentum kerja mereka tidak boleh aku ganggu dengan projek kali ini.

Aku berlari ke sana dan ke sini! Sebagai perancang projek, aku harus memastikan semua berjalan lancar.

Menginjak jam 5 pagi! Hanya aku seorang berdiri memasak! Mata menahan mengantuk dan Adnan sudah terjelepuk lesu di dalam surau. Salmi sedang berdengkur di dalam stor. Setidak-tidaknya aku punya teman kerana yang lain sudah pulang untuk bekerja pagi ini pula.

“Ikan kerapu ni kesukaan Izz Amir!” aku tersengih pagi tadi. Salmi terkebil-kebil! Mengangguk-angguk!

“Kita makan pagi dengan hidangan berat, Yaya!” ulasnya.

“Lauk-lauk ni kalau ada lagi, kita semua boleh bedal masa makan tengahari! Entah-entah hanya tinggal tulang sebab perut orang lelaki ni macam tong!”

“Kau gerenti semua boleh habis?” mata Salmi memandang susun atur sepuluh ekor ikan kerapu yang siap digoreng. Kuahnya sahaja sedang dimasak dan akan dipanas sebelum diletakkan di atas ikan bergoreng garing ini.

Ah – penatnya terasa! Aku habiskan proses projek ini dengan menggantung belon dan riben di tengah Pai Epal Café. Aku tarik sebuah papan tulis dan lakarkan ucapan ‘Selamat Hari Lahir, Chef Izz Amir. Semoga Allah merahmati dan setiap langkahmu, diberkati!’ Aku corak-corakkan papan berkenaan dengan kapur. Melukis berbagai-bagai wajah dan mewarnakannya. Origami berbagai-bagai bentuk bergantung! Semua itu aku yang buat semalam!

Segalanya lengkap dan telah siap!

Dan aku sempat mandi di dalam bilik air di surau! Bersama Salmi tersengguk-sengguk menahan kantuk. Bersolat dan menanti saat-saat ketibaan Izz Amir dengan penuh debaran. Tetapi entah kenapa ketika matahari mula terbit, rasa tidak selesa mula wujud. Aku perhati bungkusan comel yang telah aku balut sempurna. Harap-harap Izz Amir terima kereta comel ini. Diakan pengumpul tegar koleksi kereta-kereta sebegini?

Aku tutup lokerku dan terus menyiapkan proses terakhir iaitu memanas makanan yang perlu. Salmi mengeluarkan bekas air dan menyusun cawan-cawan di hadapan! Semuanya berjalan sempurna. Adnan selepas berehat membantu pula mengeluarkan kek dan meletakkan kek berkenaan di tengah-tengah Pai Epal Café!

“Terima kasih Adnan untuk semua ni!” ucapku untuknya. Dia angguk seperti sudah kehabisan bateri.

Aku tersenyum memerhati Salmi yang arif mengenai hubungan ala-ala istimewa antara aku dan Izz Amir!

“Serius!” ucap Adnan tiba-tiba. Aku menoleh memandang Adnan

“Serius apa?” tanyaku. Adnan yang sedang menolak bekas air tersengih. Beberapa orang pekerja dapur mula masuk dan keluar. Hari Rabu bakal bermula dengan sambutan hari jadi untuk Izz Amir. Tangkas sahaja beberapa orang pembantu dapur membantu aku menyelesaikan susunan menu ini.

“Serius Izz Amir akan angau lagi!”

Serentak itu kami semua ketawa. Harap-harap plan Adnan menjadi! Plan menyuruh Izz Amir mengambil bahan mentah di sebuah pasar raya! Tepat jam 10.00 pagi, Izz Amir akan terpacul di dalam kedai!

***

“Chef Izz datang!” Adnan menghendap perlahan-lahan ke arah kami semua. Kami semua berdiri menantikannya. Semua pekerja Pai Epal Café berdiri bersama-sama! Menantikan Izz Amir. Haruman nasi jagung terus menyambar! ‘Pizza Comel Yaya’ turut sama menambat selera. Lapar sungguh perut ini!

Aku berdiri di depan kek! Mahu troli berkenaan berada betul-betul di hadapannya dan aku mahu mengucapkan selamat hari lahir untuknya!

Dan bila pintu Pai Epal Café ditolak perlahan. Troli ini juga bergerak senada ke arahnya. Izz Amir melopong ala-ala syahdu dan bergaya ala-ala drama melayu Malaysia! Serentak itu juga lagu ‘Allah selamatkan kamu’, Allah selamatkan kamu! Allah selamatkan chef Izz Amir, Allah selamatkan kamu!’

Izz Amir tersenyum dan memerhatikan aku penuh rasa cintanya! “Terima kasih Yaya! Terima kasih semua!” Belon lantas gugur bagaikan bunga-bunga sakura! Cantik suasana di Pai Epal Café dan Izz Amir memerhati ruang Pai Epal Cafenya yang dihias indah. Takjub wajahnya! Seperti tidak percaya!

Aku tersenyum puas. Penat tidak tidur terus hilang melihat senyuman kacak dan lekuk lesung pipitnya itu! Ah- rasa berbaloi projek hari ini. Khas untuknya. Aku pegang hadiah yang ingin aku beri kepadanya.

Lagu tamat dan tepukan bersama-sama jerit pekik semua pekerja kedengaran. Tetapi, bila pintu sekali lagi ditolak dan hadirnya seorang wanita cantik, mulut kami terkunci dengan sendirinya! Wanita berkenaan berdiri tegak memandang kami dengan senyuman. Dia turut sama memerhati ruang Pai Epal Café yang indah digubah!

Rambutnya panjang berkilat-kilat sehingga paras pinggang. Seluarnya berwarna hitam dan blousenya cantik berwarna ungu muda. Tingginya bagaikan seorang model. Wajahnya cantik, putih mulus! Kasut bertumit tinggi dan begnya berjenama mahal!

Sebuah hadiah bersaiz kotak kasut dipegang erat. Berbalut cantik dan menewaskan pembalut berharga Ringgit Malaysia Satu Ringgit aku ini! Aku pandang hadiah sendiri yang akan aku berikan kepada Izz Amir. Terasa tewas tiba-tiba! Rasa malu menerpa!

“Izz Amir sayang!” panggilnya senada membuatkan semua terpaku! Salmi dan Adnan serentak itu juga memandang aku.

Dan aku…

Bila Izz Amir menoleh memandang wanita tersebut, dia memberikan senyuman mahalnya. Bukan untuk aku dan bukan lagi tercipta untuk impian bila bersama dengan aku.

“Jasmin!” panggil Izz Amir lembut dan serentak itu mereka berdiri seiringan. Izz Amir memandang aku dengan wajah penuh rusuh! Wajahnya berubah bila Jasmin menarik lengan dan memeluk pinggangnya.

Perlahan-lahan kotak hadiah yang tidak semahal hadiah dari Jasmin aku simpan di dalam kocek baju chef jacketku. Entah kenapa rasa sebak mula menebal di dalam jiwa. Hati bagaikan disiat-siat nipis! Air mata rasa mahu menitis-nitis tetapi aku tahan dari mengalir. Bagaimana mungkin aku mahu menahan sebak ini, bila Jasmin terus sahaja menolak tubuh Izz Amir dan menemani lelaki itu memotong kek. Ada gerimis di hati. Mahu sahaja, aku tutup mulut ini dengan jemari dan menangis semahu-mahunya! Tetapi aku tahan dan tahankan sekuat hati!

Di hadapanku, kek berkenaan dipotong dan disuap penuh perasaan! Liuk lentuk tubuh Jasmin merimaskan seluruh jiwaku! Perlukah aku memaniskan muka? Bukankah hari ini adalah hari lahir Izz Amir dan sekarang saat gembira untuk Izz Amir? Sungguh-sungguh aku terluka dan pedihnya hanya Allah swt yang tahu. Saat ini, aku betul-betul rasa yang aku rindukan ibu dan Fatin. Aku mahu menangis dan memeluk arwah abah!

Aku tidak diendahkan dan sedikitpun Izz Amir tidak memberikan senyumannya untuk aku. Jasmin…dia jauh lebih cantik dari aku. Lebih tinggi dan lebih bergaya dari aku yang comot dengan pakaian chef ini!

Andai ada masa, aku ingin mengundurkan jarum minit dan saat itu. Aku mahu membiarkan kenangan manis itu berlalu pergi. Aku mahu kuburkan sahaja impian Izz Amir itu di dalam tanah! Sungguh, aku kecewa dan benar-benar rasa tertipu! Aku tidak mahu ada bunga sakura menemani lagi dan aku tidak mahu berangan indah-indah seperti selalu.

Aku kecewa. Pedih dan sakitnya teramat sekali!

Penat terasa. Kepala pening berputar-putar!

Aku tidak menjamah apapun makanan yang tersedia. Lapar dari malam tadi terus menghilang. Saat semua pekerja Pai Epal Café sedang bergembira, aku menyusup perlahan-lahan ke belakang. Terus sahaja aku membuka loker dengan titis-titis air mata. Tiada sesiapa menemani aku kala ini. Lemah longlai langkah kaki ini. Aku tidak bertenaga dan sungguh-sungguh aku rasa ini semua bagaikan mimpi ngeri!

Hanya angin dingin menemani dan aku melangkah keluar dari Pai Epal Café sambil menguatkan hati. Mencari Miss MJ Unguku dan aku segera membawa skuterku dengan air mata yang mencurah-curah. Aku tidak kuat menghadapi semua ini. Aku tidak tabah menyaksikan aksi-aksi manja Jasmin terhadap Izz Amir!

Aku rindu dengan ibu. Saat ini aku terasa aku mahu balik ke Mersing dan memeluk Nek Pa. Aku mahu air mata ini berderai di hadapan Fatin. Aku tiada sesiapa melainkan mereka semua untuk melepaskan sedih ini.

Di mana Melati? Di mana Lily? Aku mahu memeluk kalian berdua juga. Tersedu-sedu aku kesedihan hanya kerana seorang lelaki! Lelaki yang aku sayangi dan sumpah dia lelaki yang sentiasa memberikan aku senyuman sehingga hari ini! Skuter berjalan senada dengan aliran air mata!

Dan di atas bukit ini, air mata terus melebat! Selebat hujan yang mencurah-curah!

Katanya kepada aku ketika kami sama-sama menikmati kepingan Pizza Hut, “Kalau saya nampak matahari, saya sentiasa nampak wajah awak yang bercahaya! Kalau saya nampak bulan, saya sentiasa nampak awak yang sentiasa tersenyum dan kalau saya nampak bintang, saya sentiasa rasa awak bintang di hati saya! Entah – saya tak tahu kenapa dengan hati saya sekarang ni, Yaya!”

Aku meraung sekuat hati! Bukti indah ini bertukar menjadi pilu dan hujan mengiringi tangisan syahdu ini. Kata-katanya dahulu kembali mengusik jiwa dan minda ini. Bagaimana mungkin aku memadamkan nama Izz Amir di dalam hati ini? Hujan membasahkan aku! Hujan menemani aku!

+Yaya…..(sambil kesat air mata) Janganlah menangis begini! Yaya kan kuat! Yaya kan anak ibu dan abah yang kuat hatinya! Yaya kan kuat! Kalau Yaya menangis, saya pun menangis.
-…….
+ Yaya…hujan ni Yaya! Nanti Yaya sakit! Baliklah Yaya! Kesat air mata tu! Kalau Yaya demam, siapa susah nanti?
-Yaya sedih sangat-sangat! Yaya rasa Yaya nak peluk ibu kuat-kuat! Jangan kacau Yaya. Pergi! Pergi! Pergi!
+Yaya….(sambil kesat lagi air mata)

Hujan melebat. Air mata laju dan semakin laju. Derasnya seperti air terjun! Kenangan itu kembali menjelma! Kembali menguasai diri!

“Dan awak tak lupa kan?” matanya memandang aku.

Aku tersengih luar biasa. Apa pula jiwangnya kali ini? Ah, ada juga lelaki berjiwang sebegini dalam dunia ya! “Lupa apa?”

“Impian saya!” tegasnya.

Suara Izz Amir terus buat jantungku berdegup kencang! Salur darah laju berproses! Aku mahu pitam dan pengsan! “Awak akan teman saya makan setiap hari! Masak untuk saya sedap-sedap. Selalu buat saya tersenyum macam sekarang ni dan teman saya setiap detik dan waktu! Awak dan saya. Hanya kita berdua. Dan kita berdua akan duduk di dalam sebuah rumah mewah dengan ada anak-anak bersama! 11 orang. Mesti comel kan? Dan tambahan perlu ada ikan siakap tiga rasa dengan sup sayur yang sederhana rasanya!”

Saat itu, aku terus terduduk menangisi lagi diri. Kasihannya Yaya, hanya Yaya yang tahu. Kasihannya Yaya kerana jatuh cinta dengan lelaki yang sudah punyai seorang kekasih yang cantik jelita! Memori itu semakin kuat dan semakin menguasai diri.

“Cik Yaya sayang!” sekali lagi suaranya menerpa. Bergema di telinga ini!

Kali kedua ia mengganggu hati ini! “Cik Yaya sayang!”

Aku kesat-kesat air mata! Hujan menjadi teman dan hujan menjadi kawan. Miss MJ Ungu tersadai penuh hiba dan aku tidak terdaya untuk bangun sehingga menginjak ke petang! Aku cuba mencari gema suaranya yang memanggil aku, tetapi hampa!

Air mata itu penawar, Yaya! Aku mencuba menguatkan semangat sendiri! Tetapi, aku sekarang, menjadi gadis yang tidak tabah seperti yang arwah abah mahukan. Aku menjadi wanita bodoh yang menangis hanya kerana seorang lelaki yang bernama Izz Amir.

Dan, adakah kisah ini akan terhenti di sini? Adakah rasa cinta dan sayang kepadanya akan terus bersemi di hati?

25 Mac 2012

Dia, Cinta Hati Saya 5

Bonus minggu ini : Dia, Cinta Hati Saya 5 ! Tetapi minggu hadapan saya bercuti dan semua manuskrip akan ditangguhkan sekejap. Maaf ya semua. Mr Pai Epal dan Yang Terindah akan dijadualkan bersambung pada minggu berikutnya.

Jangan rindu-rindu okey ! Jom layan kisah selanjutnya Majdina dan Zain ! Senyum comel-comel !


jung-il-woo-07



Hujan terus melebat. Guruh berdentum bersama kilat. Sesekali tubuh saya terasa mahu melayang-layang jatuh. Tetapi, kaki ini terus terpacak kuat. Menjadi gagah hanya kerana saya menantikan Zain dan kepala batu saya ini. Ya, saya memang kepala batu seperti yang papa selalu sebut-sebutkan !

Saya terbersin berkali-kali. Wajah Zain menerpa lagi. Mampukah saya menunggu bersama malam pekat yang menakutkan ini dan ditemani hujan yang terus membasahkan tubuh saya ini. Ada beberapa motorsikal lalu lalang sambil mereka bersiul-siul nakal. Kecut perut juga lantaran teringatkan beberapa kes rogol dan bunuh yang kerap terpapar di muka akhbar. Saya telan air liur dan kepala ini entah kenapa cuba mengingati beberapa doa yang pernah nenda Mariah ajarkan sewaktu kecil dahulu. Tapi sumpah, saya lupa ! Mati-mati saya lupa. Dan dalam keadaan sejuk menggigil ini barulah saya ingat bahawa Zain itu dipanggil bilal. Ya, bilal ! Bilal Zain ? Dan dahulu nenda Mariah selalu menyebut mengenai bilal. Tugas-tugas bilal dan imam juga pernah nenda Mariah ceritakan.

Sepantas kilat, saya cuba mengingati. Bilal itu bukankah kerjanya di surau-surau dan masjid ? Ya ! Juga yang mengalunkan azan jika masuknya waktu solat. Mata terkedip-kedip sambil mulut ini ternganga. Sumpah, saya lupa ! Adakah Zain itu seorang bilal dan kerjanya juga di pejabat pos ? Apa kerja tetap Zain itu sebenarnya ? Saya terus menggigil kesejukan. Hujan mencurah-curah lebatnya.

Saat ini fikiran terus memikirkan Zain. Meski saya tahu, Zain itu langsung tidak memandang saya dan memikirkan saya. Sedihnya, bukan ? Adakah seorang bilal itu, tidak memandang langsung saya yang cantik sebegini rupa ?

Ada sendu berlagu . Saya kesat air mata yang melimpah dan bercampur-campur dengan air hujan. Saya masih tegak memandang pejabat pos besar ini dengan perasaan yang sungguh luluh. Sungguh-sungguh sayu kerana saya tidak langsung diendahkan oleh Zain. Apa kekurangan saya di mata Zain ?

Sampai hati Zain memperlakukan saya sebegini rupa.

Saya menggigil lagi. Harus saya demam panas kerana Zain. Saya tunduk diam dengan jiwa kosong yang tiba-tiba menerpa. Kenapa saya bertindak sebegini bodoh dengan lelaki yang tidak langsung mengendahkan saya ? Kenapa saya lupa pulang ke rumah dan lupa dengan janji-janji saya berama Raihana, Juwita dan Linda ? Sepatutnya kami meraikan kejayaan Juwita yang berjaya menggoda seorang duda berpangkat dato. Meraikan kemenangan manis dengan terkinja-kinja menari keseronokan di kelab malam dan balik sehingga lewat pagi. Bukankah itu yang saya suka dan selalu menjadi tujuan hidup saya ?

“Kak Dina!” suara halus seorang gadis dekat di telinga ini. saya mendongak dan melihat sekaki payung sudah menjadi teman. Saya memandangnya dan kemudian mata menerpa laju melihat Zain memegang lengan gadis berkenaan. Ada garis kecewa di hati ini. Luluh lagi dan rasa mahu meraung kerana melihat Zain memegang lengan gadis yang memayungkan saya ini. Zain memegang sebuah payung untuk meneduhkan mereka berdua dan gadis berkenaan pula meneduhkan saya. Kenapa bukan Zain yang menyapa saya? Mengapa perlu gadis ini pula?

Mata Zain bercahaya sambil tunduk memandang bumi.

“Kak Dina. Hujan lebat sangat ni! Kak Dina baliklah. Dah lewat malam! Nanti demam!” Hujan terus mencurah-curah. Saya ketap bibir bawah dan menelan air hujan yang mengenyangkan. Sehari suntuk menantikan Zain dan akhirnya Zain datang. Cuma Zain datang dengan seorang gadis yang bertutup litup. Bertudung labuh dan lengannya dipegang erat oleh Zain.

Saya cemburu.

Saya gelengkan kepala. “Tak apa. Saya tunggu sini!” dasar kepala batu sungguh saya! Saya kecewa kerana kemenangan tidak berpihak kepada saya.

“Jangan degil, Dina! Nanti awak demam. Tarik tangan dia, dik Husna. Hujan makin lebat ni!” suara Zain sayup-sayup. Ditambah dengan air hujan yang melimpah.

Lengan saya terus ditarik dan seketika gadis yang dipanggil ‘dik Husna’ membawa payung bersama kami berdua. Zain berdiri memandang ‘dik Husna’. “Malam-malam macam ni, awak duduk sini. Gila sungguh! Jom balik! Mana kereta awak?” Zain menbebel-bebel. Tapi suaranya sudah cukup membuatkan rindu saya kepadanya hilang. Zain berjalan perlahan dan kami berdua terus mengikutnya. Saya tahu, Zain mahu mencari di mana letaknya kereta saya. Zain mahu saya pulang ke rumah. Zain mahu saya membawa rindu saya kepadanya semula ke dalam jiwa. Sungguh, saya tidak mahu mematikan rasa rindu dan sayang saya kepadanya.

Saya geleng. “Dina tak nak balik rumah. Dina nak ikut Zain balik! Dina nanti kena marah dengan papa! Dina nanti kena pukul dengan papa!” tambahku dengan rasa sayu.

Husna memandangku dengan wajah penuh tanda tanya.

“Along! Kak Dina nak ikut kita balik!” tambah Husna. Along? Dik Husna? Fikiran saya ligat berputar. Bermakna Husna ini adik Zain? Oh, Tuhan..benarkah?

Entah kenapa, air mata saya menitis-nitis terharu! Air mata gembira mewarnai lagi! Turun tanpa saya pinta. Saya merenung Husna yang cantik bertutup litup. Husna tersenyum memandang saya. Jernihnya wajah gadis ini.

“Saya adik abang Zain. Husna.” Dia memperkenalkan diri. Tubuh kami dekat bersatu. Husna pantas berbicara, “Along suruh saya teman cari kak Dina di sini. Abang Anwar telefon berkali-kali dari tengahari tadi. Katanya kak Dina akan tunggu along di sini. Betul rupanya sangkaan along yang kak Dina ada di sini. Mana kereta akak?” Husna turut bertanya. Zain di hadapan kami ke hulur ke hilir mencari kereta milik saya.


Saya gelengkan kepala. “Kak Dina ikut Husna balik, boleh?”

Husna terkebil-kebil dan kami berdua berdiri sambil memandang Zain yang terus-terusan mencari kereta milik saya. Zain menjerit. Suaranya bersatu dengan hujan lebat “Mana kereta awak, Dina?”

“Along tak pernah ada kawan perempuan kak Dina. Umi bising nanti!” Husna memerhatikan saya dari atas ke bawah. Husna memandang Zain pula yang berputus asa. Kakinya melangkah semula mendapatkan kami. Zain hanya berkain pelikat sahaja. Kemudian berjubah putih separas lutus dan ada kopiah putih yang terletak kemas di atas kepalanya.

Saya tidak pasti kenapa saya sayu melihat wajah jernihnya. Saya tidak pasti kenapa. Jiwa saya seakan remuk apabila memandang wajah Zain yang redup itu. Barulah saya mengerti bahawa tidak mungkin lelaki sebaik Zain akan terpautkan saya yang sebegini rupa. Sudahlah saya memakai jeans ketat dan blouse mendedahkan dada. Saya juga tidak menutup aurat sesempurna Husna yang cantik di sebelah saya ini.

Saya insaf! Saya dijerut satu perasaan sayu yang tiba-tiba datang menghiris hati. Air mata tumpah dengan laju! Husna memerhatikan saya dengan penuh tanda tanya. Saya menggigil kesejukan dan terus memandang Zain yang membuatkan jiwa ini dilanda aneh melampau-lampau. Kenapa dengan saya kala ini?

Saya bersin lagi. “Kak Dina ikut Husna balik ya?” suara saya bergema lagi ketika Zain menghampiri dan Zain untuk kali pertamanya memandang saya. Juga dengan penuh tanda tanya.

Tahukah Zain bahawa jantung ini sedang berdebar-debar kerana renungannya itu? Tahukah Zain bahawa saya menantikannya di sini. Tahukah dia, yang saya tiba-tiba ada rasa cinta dengannya? Tetapi saya semakin rasa bahawa saya tidak secocok dengan Zain yang jernih wajahnya. Saya cukup rasa terhina dengan diri saya dan sikap saya selama ini dengan Allah swt. Saya cukup rasa yang saya berdosa berbillion-billion dengan Allah atas segala yang telah saya buat di atas muka bumi ini.

Kenapa Allah swt temukan saya dengan Zain? Dan kenapa saya rasa pilu teramat sangat ketika ini?

Dan entah kenapa, tubuh saya semakin lemah tidak berdaya. Suhu badan ini terasa tinggi mendadak. Air mata laju mengalir-ngalir. Jantung berdegup-degup kuat! Saya terjelepuk lesu! Tubuh badan saya terus basah!

Hujan terus turun dengan lebat. Guruh berdentum-dentum maha dahsyat.

Payung Husna terus terbang di bawa angin yang kuat. Saya pejam mata dan entah kenapa saya terasa tidak sedarkan diri. Saat itu, entah apa terjadi, saya tidak pasti. Cuma saya mendengar suara Zain menjerit. “Dik Husna, cepat ambilkan baju along dalam kereta!”

Pipi saya terasa disentuh-sentuh. Suara Zain memanggil-manggil nama indah saya, Majdina! Majdina! Dan ada air mata sayu mengalir di kelopak mata ini.

Genting! Dan lelaki itu membalut tubuh badan saya dengan beberapa helai baju kepunyaannya. Dalam saat ini, saya tahu, saya tidak menutup aurat. Dan seorang bilal yang menjaga pandangan matanya ini, menutup tubuh saya dengan baju-bajunya. Husna memberi arahan itu dan ini kepada Zain. Disuruh Zain mengangkat saya dengan segera.

Hujan terus membasahkan tubuh saya dan Zain. Lelaki itu terus mengangkat tubuh ini yang tidak berdaya. Dari mata kecil ini, saya melihat wajah redup Zain dan jernih Zain menyelamatkan saya. Saya terdengar degup jantungnya yang laju. Saya terasa indah apabila Zain akhirnya datang menyelamatkan saya dan membantu saya.

Tetapi, saya disayat hiba. Pilu teramat pilu kerana malu dengan lelaki itu. Saya tidak layak diselamatkan apatah lagi saya malu apabila tubuh saya telah ditutup sekali lagi dengan sehelai kain oleh Husna. Air mata berjuraian turun. Berderai-derai bersama air hujan.

Kaki Zain terus berlari membawa saya. Husna, Zain dan Majdina meredah hujan lebat sehingga kami sampai ke sebuah kereta kancil.

Saya tidak tahu apa lagi yang berlaku kerana mata saya terus tertutup dan telinga ini sayup-sayup mendengar arahan Zain kepada Husna agar Husna memangku kepala saya.

21 Mac 2012

Dia, Cinta Hati Saya 4

Nah – Dia, Cinta Hati Saya 4! Terima buah tangan terbaru saya sambil saya memikirkan manuskrip lengkap Mr Pai Epal dan Yang Terindah. Angan-angan harus tinggi, ya dak? Okeylah semua. Pencinta Zain, mari-mari membaca sambungan kisah ini. Emosi sekejap menjadi Majdina! Bolehkah kalian bayangkan kepala saya dengan sekali 4 manuskrip setiap minggu ? Hahahaha. Ini sudah ada 4 jerawat timbul ! Haiyaaaakkkk…
Jung-Il-Woo15


Saat ini dan ketika sedang berlangsung pertemuan antara saya dan Zain. Ada angin sepoi-sepoi bahasa sedang menemani kami. Kalau menonton drama, semestinya ada angin yang berhembus dan akan membuatkan rambut ini melayang-layang cantik. Sekarang, memang rambut panjang ini terbuai dengan indahnya! Saya biarkan angin menjadi sahabat baik saya. Saya melirik penuh menggoda! Dengan harapan Zain memandang wajah saya dan membalas senyuman ini.

Hampa.

Zain diam menunduk. Kemudian mengalihkan pandangannya ke arah belakang.

Mengapa Zain tidak terpaku melihat kecantikan saya? Kenapa Zain buat-buat memandang bangunan yang berdiri di belakang kami ini? Bencinya saya melihat matanya itu!

Zain tunduk lagi dan kemudian bibirnya pantas terbuka. “Saya nak cepat ni! Perlu hantar surat MC.” dia berlalu mendaki tangga dengan sungguh cepat. Saya pantas mengejarnya. “Zain! Tunggulah! Saya Dina!”

“Nanti saya masukkan duit. Saya belum gaji lagi!” jeritnya tanpa memandang dan langsung tidak menoleh ke arah saya. Saya terus mendaki dan mengejarnya sehingga saya terjatuh terpelosok.

Jeritan saya membuatkan Zain menghentikan rentak kakinya. Saya pandang kasut yang Fendi hadiahkan. Patah akhirnya! Dia menoleh memandang saya dengan penuh kasihan. Wajahnya mengenyit dan saya nampak Zain menggaru sekali lagi kepalanya yang tidak gatal.

Saya tersenyum kembali. Sakit pun sakitlah. Asalkan saya dapat ketemu Zain putera hati saya. Zain berjalan perlahan menuju ke arah saya. Dua orang wanita yang kebetulan mendaki tangga turun sama membantu saya.

“Terima kasih. Terima kasih!” saya hadiahkan senyuman sehingga Zain datang dan mengutip tas tangan saya yang jatuh.

“Awak datang sini, cari saya ke?” perlahan suaranya. Akhirnya Zain bertanya dan membuka mulutnya yang penuh dengan emas itu. Zain tunduk rapat memandang ke bawah. Pelik betul Zain ni. Kenapa dia pandang ke bawah? Selalu lelaki-lelaki yang berjumpa saya akan memandang wajah ini dengan sungguh menggoda. Zain ini butakah?

“Kita minum!” tambah saya ramah mesra. Zain garu lagi kepalanya. Dia ini ada kutukah? “Memang saya datang nak jumpa dengan awak, pun. Zain sudikan?” saya beramah mesra lagi. Cuba memancing lelaki ini. Entahlah kenapa saya suka melihat wajahnya dan sekarang pipinya sedang merona merah-merah.

Zain gelengkan kepala. “Maaf, saya ada urusan. Saya nak cepat ni. Awak dah okey, kan?”

“Kita minum sahaja sebagai tanda terima kasih dan tanda perkenalan.” Ujar saya lagi. Saya mencuba lagi menawarkan pertemuan kedua dengan Zain. Dengan harapan tinggi, lelaki ini akan bersetuju.

Saya cuba berdiri tegak. Kesan terjatuh tadi, rasa terhoyong-hayangnya melekatnya terasa lagi. Saya senyum sampai ke telinga.

“Eh-eh! Tak apa. Saya pergi dulu! Assalammualaikum.” Itu sahaja jawapannya. Mudah betul dari apa yang saya sangka. Dan pastinya saya teramat kecewa dengan sikap Zain yang satu ini. Saya pandang tubuh Zain yang berjalan laju dan sekejapan saja menghilang selepas dia masuk ke dalam pejabat pos.

Senyuman yang panjang sampai ke telinga tadi akhirnya menjadi pudar begitu sahaja. Saya gigit bibir bawah! Saya betul-betul rasa tercabar dengan sikap Zain. Zain langsung tidak melemparkan senyuman ikhlasnya. Sedikit pun tidak! Memandang saya lama-lama juga tidak.

Saya masih kekal berdiri. Angin yang menemani kami berdua tadi, terus membalut tubuh! Terasa sejuk menggigit tulang. Rasa merah muka ini menahan malu kerana sapaan saya langsung tidak diterima. Tawaran saya untuk minum-minum dengan pemuda kacak itu tidak juga berhasil. Entah kenapa? Adakah saham saya mulai jatuh? Adakah kedut-kedut mulai muncul di wajah saya ini?

Saya hentakkan kaki. Sepantas kilat saya terus berjalan untuk masuk semula ke dalam pejabat pos. Apa yang akan terjadi, jadilah! Saya mahu Zain menemani saya minum juga. Saya peduli apa! Ini Majdina, okey?

Kalau Majdina kata A, harus A juga jawapannya.

Saya meluru masuk. Melilau mata ini mencari batang tubuh Zain. Zainab yang masih duduk di kaunter memandang saya penuh minat. Meski dia sedang melayan seorang pelanggan, saya terus memaksa kaki pergi ke arahnya.

“Mana Zain?” Saya sudah tidak beradap sopan. Keras sahaja jemari saya meletakkan tas tangan berwarna kelabu di atas kaunter.

“Dia di dalam. Awak sebenarnya nak apa dengan bilal Zain tu? Rasanya awak silap orang untuk nak kenal-kenal dengan si Zain tu. Awak balik sajalah. Dia tak akan layan perempuan macam awak ni!” bidas Zainab tiba-tiba. Pelanggan yang sedang berdiri menanti Zainab memproses bil-bilnya memandang saya.

Darah terus tersirap. Mendidih-didih mendengar kata nista Zainab. Saya fikirkan Zainab baik budinya, tetapi kenapa dia melontarkan kata-kata sebegitu kepada saya? Sampainya hati dia. Zain itu bilal?

Saya telan air liur. Bilal itu apa kerjanya ya?

“Awak ingat awak pun perempuan high-class sangat ke? Muka macam cekodok basi! Eh, ni Majdinalah!” saya merengus kasar dan menarik kembali tas tangan saya. Saya pantas berjalan meluru ke arah pintu pejabat pos. Saya rasa ini pintu menghubungkan pejabat pos dengan tempat kerja Zain. Iyalah, semestinya Zain berada di dalam.

Saya tidak akan putus asa dan nekad berjalan laju!

***

“Cepatlah Zain. Ada perempuan cun nak jumpa engkau ni. Katanya selagi kau tak keluar dan tak temankan dia minum, dia akan berdiri depan pejabat pos sampai esok pagi ! ”

Wajah lelaki itu saya pandang lama-lama. Saya peluk tubuh sambil menantikan perbualan mereka berdua. Entah ke mana Zain menghilangkan diri. Saya cuba mencuri dengar perbualan mereka.

“Kau gila apa ? Tak akan nak biarkan dia tunggu kau lama-lama kat sini ? Bilal Zain oi, dia bukannya nak buat apa-apa. Cuma nak ajak kau minum saja. Lama-lama sangat dalam bilik air tu buat apa ? ”

Saya pandang lagi lelaki bernama Anwar. Saya jelingnya sepintas lalu.

“Aku yang cair kat sini, Zain. Lama-lama dia duduk sini, aku yang tergoda nanti. Cun tu ! ”

"……"

“Kau nak suruh aku yang teman ? Eh, kau nak balik. Lalu mana wei ? ”

Dan Anwar memandang telefonnya tanpa berkelip-kelip. Saya pasti Zain telah memutuskan talian telefonnya. Di mana Zain sekarang ini?

Saya pandang Anwar yang kelat wajahnya. Tersipu-sipu dia. “Cik adik manis, Zain dah balik! Lalu belakang pejabat. Esok awak datang baliklah ya ! ”

Esok ? Tidak ! Tidak ! Rasa tercabar emosi dan mental! Saya tarik nafas perlahan-lahan. Rasa kecewa bertandang tiba-tiba. Tidak pernah sekali saya dikecewakan oleh lelaki. Jika saya minta Fendi menemani saya minum pun, Fendi akan terus bersetuju tanpa apa-apa alasan. “Saya akan tunggu di depan pejabat pos sampai esok! Saya akan tunggu Zain. Kalau hujan sekalipun dan ribut, saya tetap akan tunggu Zain. ” pintas saya segera.

Anwar memandang saya dengan wajah rusuhnya. “Errr….”
“Terima kasih kerana sudi bantu saya. Tapi kalau apa-apa terjadi pada saya. Zain yang akan bertanggungjawab ! ” saya tundukkan kepala tanda hormat kepada Anwar yang sudi menelefon Zain.

Kerja gila namanya. Saya tidak akan putus asa selagi saya tidak memandang wajah Zain. Entah kenapa jadinya dengan saya ini, saya tidak mengerti. Adakah saya sudah dikalahkan dengan mainan perasaan dan jiwa.

“Saya nak bagi nombor telefon Zain pun, saya serba salah.”

“Tak apa. Saya akan tunggu Zain depan pejabat pos!” Nekad bunyinya.

Anwar terus bersama wajah kelatnya dan saya berundur diri. Lemah longlai rasa tubuh dan melayang-layang pergi roh ini.

Seperti yang saya katakan dan janji saya kepada diri. Bermula saat ini, saya berdiri di depan pejabat pos. Saya nantikan Zain tiba dan memunculkan diri meski saya tahu Zain tidak akan datang.
Menginjak tengahari dan beransur-ansur ke petang.

Angin masih sudi menemani saya kala ini. Orang rami berpusu-pusu keluar dan masuk. Saya harapkan Zain hadir menemani saya. Saya mengharapkan juga Zain membuang egonya untuk berjumpa dengan saya di depan pejabat pos ini. Sehingga hujan lebat turun mencurah-curah. Hujan yang menghamparkan seribu permintaan dalam fikiran ini! Membawa ke senja. Dan harapan tinggi saya agar Zain membawa sekaki payung untuk meneduhkan saya.

Tetapi, ia hanya angan-angan indah saya wanita yang bernama Majdina.

Basah sudah saya dan saya hampir pasti mereka yang lalu-lalang di sini akan menganggap saya gila. Wanita cantik yang gila. Ya – saya mengaku yang saya gilakan Zain dan saya tercabar kerana lelaki itu enggan menemui saya dan Zain sanggup melarikan diri melalui pintu belakang pejabatnya.

Apa kekurangan saya? Adakah wajah ini masih belum cukup memukau Zain?

Membawa ke malam dan ada air mata mendudu bila saya tidak diendahkan sesiapa di sini! Saya bagaikan patung bernyawa yang menanti Zain datang untuk menyelamatkan saya. Sedihnya saya. Hibanya saya.

Saya pasti, ibu akan risau dan bibik J akan menelefon saya! Telefon saya sudah berkali-kali menyanyi dan saya tidak peduli. Yang saya peduli sekarang ini hanyalah seorang lelaki bernama Zain. Zain yang tidak mengendahkan saya dan Zain yang langsung tidak mempunyai perasaan kepada saya.

Air mata sayu berjuraian akhirnya.

Zain. Zain. Zain.

Hanya nama itu menjelma di benak ini. Seluruh perasaan dan jiwa saya bersatu menyebut-nyebut namanya. Wajah kacaknya terus menari di tubir mata ini. Wajah redupnya yang sentiasa menunduk itu mengacau lagi emosi wanita ini.

Adakah saya jatuh cinta dengan Zain?

Dan adakah saya akan terus berdiri di sini menantikan Zain yang langsung tidak mempunyai rasa cintanya itu terhadap saya.

Hujan melebat. Selebat air mata yang mengalir.

20 Mac 2012

Mr Pai Epal 24

Cuma saya nak kata : Terharu dengan diri sendiri sebab berjaya menyiapkan bab 24. Terima kasih semua.

#cute sleep


Sambil kami semua menikmati buah rambutan di atas pangkin, Izz Amir membatukkan diri. Matanya tajam menjeling-jeling Zainal yang sedang berbual-bual mesra dengan aku. Sudah namanya - Zainal ini sepupu yang paling rapat dengan aku! Dan juga kami baru bertemu selepas bertahun-tahun tidak berjumpa, maka seharusnyalah kami berdua berbual itu dan ini sehingga aku lupa lelaki berwajah kacak empat belas juta di sebelah Mak Su. Mulutnya mencebik. Sekejap muncung sedepa dan mengejek-ejek aku yang sedang bercakap dengan Zainal. Kadang-kadang Adnan di sebelahnya menjadi mangsa untuk Izz Amir membaling kulit buah rambutan yang telah dimakan isinya.

“Amboi! Berborak tak nampak kita!” Izz Amir menyumbat sebiji rambutan ke dalam mulutnya. Melati sibuk mengetuk-ngetuk rambutan di atas pangkin bersama Adnan. Semut hitam memang bermaharajalela, mengerumuni rambutan. Tukang perabih pastilah Izz Amir yang suka sangat dengan rambutan berwarna kuning ! Kata Nek Pa, ini rambutan gading ! Manis dan sangat melekat-lekat rasa gulanya di dalam mulut !

“Awak cemburu ya?” aku menjeling manja. Gigi teratur dan kini aku tersengih di depan Mak Su yang terkekek-kekek ketawa melihat gaya aku bercakap dengan Izz Amir.

Izz Amir menyumbat sekali lagi rambutan ke dalam mulutnya. Mengunyah penuh perasaan sambil matanya menjeling aku! Kulitnya lantas dicampak ke arah aku dengan sengihan panjangnya. Zainal melirik ke arah Izz Amir. “Saya ni sepupu saja. Kalau Mak Su setuju, memang dah lama saya pinang Yaya ni untuk saya ! Tapi sebab bila hari raya nanti senang sangat nak balik ke kampung. Rumah pun rumah Nek Pa sini saja kan ? Saya pun rejectla Yaya awal-awal ! Awak cemburu ya saya rapat dengan Yaya?”

Aku tarik nafas berpuas hati dengan kenyataan dari Zainal. Ah, senang sungguh mempunyai sepupu yang faham bahasa ni. Zainal memang cukup-cukup rasa dia diketepikan oleh aku sampaikan aku menerima SMS darinya malam tadi. Katanya semenjak kehadiran Izz Amir, dia seperti sepupu yang terbiar saja! Oh, kasihannya dia ! Tersengih-sengih si Fatin membaca SMS dari Zainal.

Pantas, atas idea dari Fatin, kami terus sahaja mahu memujuk Zainal. Kami berdua membeli sehelai t-shirt yang cantik untuk Zainal. Punyalah suka Zainal, sehingga melonjak-lonjak memeluk emaknya iaitu Mak Su. Mak Su hairan bukan main ! Seperti lazimnya, aku tahu Mak Su suka sekiranya kami memberikan hadiah untuk Zainal dan Mak Su. Kami semua selalu menzahirkan rasa terima kasih kepada Mak Su yang menjaga Nek Pa dengan memberikan hadiah. Mak Su sudah bercerai dengan suaminya. Maka Mak Su lebih suka duduk di Mersing menjaga Nek Pa dan Zainal lebih suka menghabiskan masanya dengan emaknya sendiri di Mersing. Dia melebihkan Mak Su dari ayahnya sendiri. Kata Nek Pa pula, biarlah Zainal memilih. Jika dia senang dengan emaknya, baliklah ke Mersing. Jika dia rindukan ayahnya yang berada di Perlis itu, baliklah berjumpa. Malah, Mak Su tidak pernah menghalang setiap pilihan Zainal.

Zainal anak lelaki yang sudah biasa hidup merantau. Sekejap ke Mersing dan kemudian ke Perlis.

Iyalah, tak adventure orang putih kata! Hari raya balik sini. Nak lah juga berhari raya rumah suami jauh-jauh sikit! Bergaduh-gaduh berebut balik kampung. Barulah seronok, Yaya!” Mak Su menambah rencah. Aku tersengih sambil menganggukkan kepala.

“Tolong! Siapalah yang cemburukan dia sangat! Oh ya, balik berhari raya nanti harus ke rumah saya. Setiap tahun, okey? Wajib!” Izz Amir memandang Adnan sambil mengangkat keningnya. Arahannya bagaikan perlu dipatuhi!

Eh eh! Perasan! Siapa yang nak balik berhari raya ke rumah dia ya? “Siapa entah nak balik rumah dia. Please! Saya nak balik sini. Rumah Nek Pa dan mandi laut pagi-pagi raya! Siapa nak buat lemang dan rendang ! Ketupat palas Nek Pa yang sedap pun siapa yang boleh buat selain Nek Pa ?” tambahku dan tersengih sambil memerhati Nek Pa yang sedang melurut lidi untuk dibuat penyapu.

“Gila! Mandi laut pagi-pagi masa hari raya! Saya rendam saja awak dalam kolam. Habis cerita ! ” Izz Amir memandang Zainal sambil tersenyum.

Bibir merahnya membalas lagi setiap usikan aku, “Setakat buat lemang dengan rendang. Senang saja Yaya oi ! Ketupat palas pun saya pandai buat. Gerenti sama macam resipi Nek Pa. Chef Izz Amir masak, mesti semua suka ! ”

Izz Amir mengangkat keningnya dan memandang Mak Su. “Betul kan, Mak Su ? ”

Iyalah…iyalah betul ! Mak Su nak tengok betul ke Izz masak nanti ! Ke meraung sebab pagi raya duduk di sini !”

Mak Su ketawa. Seronok mengenakan Izz Amir dan aku terkedu mendengar usikan mereka yang menjadi-jadi naik lemaknya ! Nek Pa berangan dan Mak Su juga bermimpi itu dan ini. Amboi – Izz Amir dilayan bagaikan anak raja di sini.

“Cik Yaya sayang ! ”

Aku pandangnya yang hanya berjarak beberapa meter. Izz Amir sedang hebat mengunyah buah rambutan. Dia tersengih lagi.

“Apa ? ”

“Saya serius akan rendam awak nanti dalam kolam ! ”

Aku mencebik! “Beranilah awak rendam saya ! Lelaki kuat cemburu ! Berbual-bual dengan Zainal pun mata melilau risau !”

“Cemburu tu tandanya sayang, cik Yaya sayang oi!” Izz Amir membaling lagi beberapa biji rambutan ke arah aku. Bersama dengan kulit-kulitnya sekali. Zainal menggeleng kepala tanda geli hati melihat kami berdua yang asyik berperang mulut. Ada-ada sahaja Izz Amir mengusik. Jika tidak aku terjerit-jerit kerana usikan Izz Amir, suara Izz Amir akan meninggi memanggil aku. Disuruhnya aku membantunya memasak di dapur. Ada-ada sahaja menu pelik-pelik yang mahu dibuatnya untuk Nek Pa dan ibu. Mangsanya adalah aku !

Sudahlah di Pai Epal Cafe pun aku diwajibkan mengupas kulit bawang. Di rumah Nek Pa juga sama tugasku. Stress betul tengok muka selamba Izz Amir membuli aku ! Pitam dibuatnya dengan karenah gila-gila Izz Amir.

Sampaikan Nek Pa selalu sahaja menyebut, “Izz Amir tu pakwe Yaya! Nek pa suka betullah dia tu. Lawa! Lepas tu pakai kopiah pulak tu! Baik betul budaknya. Minggu depan menikah sajalah Yaya!”

Erk!

Angin pantas menjadi teman kami petang ini. Esok, aku akan pulang bersama Izz Amir, Adnan dan Melati. Ibu masih mahu duduk di sini bersama Fatin. Mahu menambah cuti selama seminggu lagi di sini! Amboi Fatin ! Mentang-mentanglah cutinya diluluskan. Senang betul, dia ! Seronoklah Fatin dapat bermandi manda sepuas-puas hatinya !

Sambil aku mengunyah rambutan dan turut sama Fatin mencicah mangga bersama kicap. Dihiris pula cili padi dan ditambah gula supaya terasa manis-manis masamnya. Sekejap-kejap mata mengenyit menahan masam buah mangga. Melati lagilah si hantu buah mangga.
Petang damai !

Ada angin sepoi-sepoi bahasa menemani keriangan kami petang ini. Percutian indah kami bersama Izz Amir si kacak empat belas juta kali. Kembang dada betul ! Semua makcik-makcik dan jiran tetangga sudah berkenan juta-juta dengan lelaki ini. Sampaikan ada yang mahu membuat Izz Amir menjadi menantu mereka. Amboi – suka-suka hati saja mahu diambil buah hati pengarang jantung aku ini. Cet !

Si Milah jiran paling dekat pun asyik keluar menyidai baju. Entah apa yang disidai pun aku hairan. Pagi keluar sidai baju. Pukul sepuluh pagi, angkat baju berkenaan yang aku rasa belumpun kering kain bajunya itu. Kemudian setengah jam berikut dia menyidai lagi. Kemudian, dia angkat lagi baju bersama kain batik berkenaan. Berlarutan kerjanya sampai ke petang ! Milah tersengih-sengih memerhati dapur dan kejap-kejap datang meminjam itu dan ini ! Amboi-amboi ! Mata menjeling-jeling Izz Amir dan Adnan. Akhirnya, Milah terus mendapat nama timangan baru - ‘Milah sidai baju’.

Ketika di dapur sempat juga Izz Amir bergurau, “Saya ni memang ramai peminat, Yaya ! Milah tu saya tengok asyik menjeling-jeling saya je. Tersengih macam kerang busuk ! Eh, tak sangka ada juga orang Mersing sukakan saya ya !”

Nak termuntah rasa ! Pitam pun ada.

Sambil menikmati rambutan dan buah mangga turut sama Izz Amir menjeling aku. Pesanannya di dalam telefon bimbit aku buat-buat tidak ingat. Izz Amir menjeling-jeling supaya aku segera mengikut arahannya.

Kita jalan-jalan tepi pantai. Petang nanti, lepas Asar.

Ni sudahpun 5.45 petang. Sempatkah ?

Izz Amir pantas turun dari pangkin besar. Mengibas-ngibas punggungnya. Matanya tajam memandang aku. Mendominasi suasana sampai Mak Su menjeling-jeling aku. “Nak ke mana Izz ? ”

“Bu….Mak Su, Izz bawa Yaya jalan-jalan tengok laut sekejap ya !” Izz Amir betul-betul jadi lelaki soleh. Konon minta izin dari ibu dan Mak Su. Fatin memandang aku sambil tersengih-sengih. Zainal memandang Melati yang asyik melayan mangga. Sambil-sambil itu Melati menjeling aku dan Izz Amir.

“Oh…patutlah asyik tersengih saja malam tadi ! Ada SMS cinta ajak berjalan-jalan ya ? Cet ! ” Fatin menyiku aku agar segera turun dari pangkin. Ditolak-tolak badan aku agar segera mengikut Izz Amir yang sudah melangkah dan membawa kakinya ke hujung sana. Sesekali dia menoleh memandang aku yang terkulat-kulat mencari selipar. Bau laut semakin menerpa dan angin semakin membalut tubuh !

“Jangan balik lambat sangat, Yaya ! ” Ibu bersuara. Suara restu dari ibu kedengaran dan membuatkan Melati terkekek-kekek ketawa. Fatin juga turut sama. Adnan pantas menghangatkan suasana. “Ibu dah bagi restu ni ! Jangan bawa anak dara orang lari sudahlah ya !”

“Sesiapa kacau daun , siap ! ” Izz Amir berpusing sambil menanti aku yang berlari-lari anak mengikutnya. Aku melambai-lambai Nek Pa dan Mak Su yang menghantar tubuh kami berdua keluar. Bibir ini hanya tersenyum dan tersenyum sahaja ! Zainal aku lihat sedang berbual-bual mesra dengan Melati !

Indahnya percutian kala ini ! indah lagi kan, berjalan berdua dengan Izz Amir di kampung halaman. Dengan bunyi motorsikal, deru ombak yang memukul pantai dan bau laut yang mendamaikan !

Macam mimpi dan semuanya sedang berlagu di depan mata.

Adakah betul aku kini sedang bercinta dengan lelaki di sebelah aku ini ? Benarkah ibu dan Nek Pa sudah meluluskan lelaki ini menjadi suami aku kelak. Aku tersengih suka hati.

+Eh eh.. ‘bakal’, okey ?
-Iyalah…bakal pun bakallah. Kira teman tapi mesra. Sahabat sejiwalah tu !
+Kononlah ! Tersangatlah sahabat sejiwa !
-Cemburulah tu. Awak cemburu kan ? kan ?
+Please ! Siapa entah nak cemburu sangat dengan Izz Amir tu ! Saya ada uncle Adiblah ! Eh, Jaga diri baik-baik ya Yaya. Jangan syok sendiri ! Izz Amir tu berwajah empat belas juta kali.
-Iyalah..iyalah !

“Awak memang suka berangan ya ?” Izz Amir memasukkan jemari ke dalam kocek seluarnya.

Aku gelengkan kepala sambil menutup bibir. “Eh, taklah ! Mana ada berangan !”

Izz Amir tersenyum. “Saya selalu perasan. Awak memang suka berangan. Entah berlawan dengan transformers agaknya. Awak memang suka lawan-lawan dengan robot transformers ya ?”

Kaki aku secara automatiknya terhenti. Aku gigit bibir bawah. Malu menguasai diri. “Eh, taklah!” aku sedaya upaya menutup malu. Habislah kalau Izz Amir tahu yang aku memang fanatik dengan siri-siri filem transformers. Sampaikan selalu aku bayangkan memiliki robot-robot transformers tersebut sebagai koleksi. Aku bukan seperti kebanyakan gadis-gadis lain. Mengumpul bear comel atau mengumpul lipstik. Juga bukan pengumpul tegar kasut tinggi dan mengumpul beg tangan berjenama! Aku hanya berangan untuk memiliki robot-robot transformers berkenaan. Dapat tengok di kedai mainan pun, okeylah ! Meski harganya mahal gila ! Juga harga robot-robot berkenaan membuatkan batang leherku pasti tercekik!

Fatin juga ada hadiahkan robot transformers comel kepada aku. Melati yang tahu dengan minatku, turut menghadiahkan kepada aku ‘Optimus Primes, Battle Mask’ yang sangat cantik. Boleh main perang-perang dengan Fatin di dalam bilik ! Izz Amir juga ada menghadiahkan dua robot transformers kepada aku. “Fatin beritahu saya awak suka dengan transformers. Sebab tu saya hadiahkan awak robot tu. Awak suka tak ?” dia tersenyum simpul.

Eh, mestilah suka ! Masakan aku boleh lupa dengan hadiahnya ketika hari pertama aku mula bekerja di Pai Epal Cafe. Aku telan air liur. Sepantas kilat aku menoleh memandang Izz Amir yang setia menanti jawapan dari bibir ini. Spontan aku mengangguk, “Suka !” dan jantung ini sekali lagi berproses hebat ! Juga terus rasa mahu pengsan melihat senyuman mahalnya itu.

“Saya akan senang hati kalau awak suka !” matanya bercahaya dan kami berjalan lagi.

Berjalan bersama ombak yang menghempas pantai. Berjalan juga berdua dengan Izz Amir. Ditambah dengan haruman dari tubuh lelakinya yang menggetarkan naluri ini. Gatal juga aku ni, ya !


“Sebab awak bagi, saya terima dan memang saya suka !” spontan aku menjawab.

Izz Amir mengangguk lagi. “Jadinya berapa sayang awak dekat saya, sekarang ?” muka memang serius berkala saja dia ni. Selalu beri soalan cepu emas sampai mencanak naik bulu roma aku ! Izz Amir memang lelaki berspesis jiwang karat ya ?

Gulp !

“Jawablah, cik Yaya sayang oi ! ” pintanya sekali lagi dan memandang aku. Matanya tajam menjeling aku dan kemudian kakinya berjalan lagi. Aku turut sama berjalan mengikut rentak kakinya.

“Empat !” wajahku pula serius. Tanpa sedar Izz Amir menjeling aku dan dia gigit bibir bawah. Izz Amir tarik nafas dan berdecit !

“Empat saja ? Awak memang tak adil ! Saya letak awak tinggi di bintang, tahu tak ? Markah untuk saya awak bagi empat saja ? Memang tak adil !”

Aku angguk. Tapi hati kembang berbunga sebab dia letakkan aku tinggi di bintang. Rasa mahu saja aku gelak guling-guling kala ini. Sampai ke bintang jiwangnya ya. Sungguh mamat berbunga betul, Izz Amir ni ! “Mana boleh bagi markah dekat awak banyak-banyak. Nanti awak naik lemak!”


Izz Amir menggelengkan kepala. Sambil itu dia menendang pasir. Lagak seperti sedang bermain bola sepak. “Penat saya bagi awak transformers tu, Yaya ! Buku-buku nota milik saya tu, siap saya balut kemas-kemas untuk dihadiahkan kepada awak. Saya siap masakkan mee goreng basah special untuk awak ketika hari pertama awak datang ke cafe saya. Empat saja markahnya untuk saya ? Habis selama saya selalu sebut cik Yaya sayang…cik Yaya sayang…cik Yaya sayang…tak tinggilah markah saya untuk awak, ya ?”

Oh – dia mahukan balasan rupanya. Hendakkan markah ya ? Wah-wah ! Aku tersenyum. Melebar sampai ke telinga rasanya.

Aku berjalan ke depan. Meninggalkan Izz Amir yang memberhentikan langkahnya. Aku berpusing sambil tersenyum. Dia seperti biasa..memandang aku dengan penuh kasih sayangnya. Entah betul atau tidak yang kami sekarang ini sedang menjalinkan sebuah ikatan indah. Kalau betul, aku berharap ini adalah ikatan yang akan kekal sampai bila-bila. Benarkah yang Yaya sedang dilamun cinta dengan lelaki berwajah kacak ini ? Benarkah, ibu ?

“Chef Izz nak markahnya berapa ? Sepuluh ?” aku naikkan kesepuluh jari jemariku.

Izz Amir menggelengkan kepala. “Tak…”

Mata aku bercahaya sambil kaki aku melangkah ke belakang. Izz Amir melangkah kakinya mengikut rentak kakiku. Pasir menemani langkah kami kala ini.

“Habis, awak nak berapa ? ” tanyaku sekali lagi.

Izz Amir tersenyum dan terus merenung aku. “Empat belas juta ! ”

Dan aku kembali berpusing berjalan kembali seperti asal. Bibir tersenyum geli hati. Ada bunga-bunga sakura menemani langkah kami kali ini. Oh, berjalan berdua dengan Izz Amir, bagaikan mimpi pula. Dengan deru ombak dan angin yang menemani rasa terbang melayang-layang dibuatnya. Adakala angin memeluk tubuh ini dan terasa damainya bila mendengar suara Izz Amir berbual-bual dengan aku.

Adakah benar juga rasa cinta yang selalu lelaki ini katakan betul-betul untuk aku ? Adakah bibirnya itu sama dengan rasa hatinya ? Kami kini duduk di sebuah batu besar. Duduk memandang laut dan angin sepoi-sepoi menemani kami berdua. Ada sebuah kapal besar di hujung laut. Ada beberapa ekor burung camar sedang terbang tinggi dan awan gemawan terus membiru. Warna langit yang meriah dan ada warnanya memutih cantik ! Bagaikan salji dan berombak dengan cukup indah !

Keindahan petang yang mendamaikan hati dan rasa cinta ini kepadanya terus hangat membara. Bolehkah aku seorang gadis biasa menyatakan cinta kepadanya ? Layakkah aku untuk duduk dan berdiri di sebelahnya itu? Benarkah Izz Amir menyayangi aku seperti yang selalu bibirnya katakan itu ?

Ada banyak perkara yang kami bualkan. Siapa sangka bukan, kami sudah menjadi sahabat dan entah kenapa ada rasa bahagia terjalin dalam diri ini. Adakala aku rasa gembira dengan perkenalan singkat bersama lelaki ini. Adakala juga aku rasa takut andai ini hanyalah ikatan yang akan longgar nanti. Persahabatan ini, rasa-rasanya sampai ke manakah nanti ?

Satu. Kata Izz Amir, “Saya jadi ustaz muda betul dekat kampung awak ni. Alhamdulillah ! berkat doa umi dan apa yang saya belajar dengan Ustaz Mahyudin, betul-betul merubah diri saya. Awak tak rasa saya ni bakal jadi Imam Muda, Astro Oasis tu ke ? Tapi serius, saya nak ucapkan terima kasih sebab awak sudi hadiahkan kepada saya buku-buku agama tu. Terang sikit hati saya membacanya sebelum tidur. Siap dengan jadual kuliah juga ya ! Kelas malam saya dengan Ustaz Mahyudin harus saya lunasi dulu. Tetapi saya akan pastikan pergi ke kuliah-kuliah agama yang sudi awak tuliskan untuk saya. Malukan jadi Izz Amir ni. Pengetahuan tentang agama pun kurang ! ”

Aku tarik nafas. Diskusi lebih menjadi dewasa dan melibatkan rasa hati lelaki ini. Aku memandang laut dan membalas lontaran kata-katanya. “Mesti orang yang paling gembira adalah umi, kan ? Apa pula yang kurangnya tentang awak ! Semua manusia pasti ada lakukan kesilapan. Tak kira kecil atau besar ! Kita memang diwajibkan mencari agama dan apa juga kekurangan tu, kita mesti tampal dengan pelajaran dan ilmu baru. Sekurang-kurangnya awak belajar mendalami agama dan berubah ke arah kebaikan. Bukankah itu lebih baik dari menyesali diri sendiri dan langsung tak membuat apa-apa !”

Izz Amir mengangguk lagi. “Dia umi saya dunia akhirat, Yaya ! Mestilah umi yang paling gembira dengan perubahan saya. Kalau dulu saya culas nak solat. Sekarang, masuk waktu saja… saya akan lekas-lekas solat dan qadakan solat-solat saya yang tertinggal dulu. Malu betul saya dengan Tuhan. Tapi serius, semenjak saya mengenali awak dan ibu saya rasa tenang sangat-sangat ! Apa pesan ibu kepada saya, selalu saya ingat dan mahu selalu mendengar nasihat yang keluar dari mulut ibu. Ibu bagaikan umi kedua saya, Yaya ! Biar ibu buta dan tak nampak wajah saya. Tetapi saya tahu, hatinya terang dan sentiasa ada doanya untuk saya ! ”

Ada sebak berganda-ganda. Lelaki ini betul-betul meluahkan rasa hatinya.

Dua. Izz Amir. Namanya terus melekat di hati. “Saya akan cuba menjadi yang baik seperti yang ibu mahukan. Saya selalu berdoa siang dan malam agar saya berterusan dengan amalam-amalan kebaikan. Saya tak putus-putus berharap agar umi dan papa saya mendoakan kebahagiaan saya dunia akhirat. Kerjaya saya turut sama diberkati dan Pai Epal Cafe berkembang dengan majunya. Saya mahu menjadi anak yang baik seperti awak, cik Yaya sayang ! Yang selalu memayungkan ibunya ketika hujan dan meneduhkan hati ibunya yang mendung itu ! Saya mahu menjadi seperti itu ! Macam awak !” Izz Amir memandang aku.

Angin lantas membalut tubuh kami berdua. Ombak menghempas batu dan percikan air laut menyegarkan. Aku tersenyum dan rasa bahagia menjelma dengan cita-citanya. Tuhan, makbulkanlah doa anak yang baik ini. Tuhan, bahagiakan juga umi seperti kehendaknya.

Sambil tersenyum Izz Amir meneruskan perbualannya, “Awak tak nak tanya apa lagi cita-cita saya ?”

Dia merenung nakal ! Sudahnya aku terkebil-kebil sambil menjungkit bahu. “Apa lagi, ya ?”

“Saya nak kenalkan awak dengan umi! Saya mahu bawa awak jumpa papa saya dan bahagiakan awak sampai bila-bila. Saya ada banyak impian gila bila saya mengenali awak, Yaya! Saya rasa kalau saya senaraikan pun panjangnya sebanyak lautan ini.”

Ceh! Dalam sebak dia bercerita, nadanya buat aku mahu ketawa sahaja.

Aku cuba untuk serius. Jangan gelojoh, Yaya! Sila kawal nervous, anda! “Saya nak lima senarai. Mencukupi untuk hari ni. Nanti awak tulislah senarai yang seterusnya dan beri kepada saya. Saya nak tahu impian awak tu. Boleh?”

Izz Amir senyum lebar. Sampai nampak giginya! “Betul awak nak tahu impian saya?” tanyanya dengan sepasang matanya itu melekat ke wajahku.

Aku terus angguk. Rona indah mula terasa. Haish…adakah ini rasa indah kala mula bercinta dan dicinta? Adakah ini rasa itu?

Izz Amir tarik nafas. Dia senyum nakal! “Satu, saya nak kahwin dengan awak!”

Erk!

“Dua…seperti yang saya kata, saya nak anak sebelas orang!” Izz Amir mengenyitkan matanya.

Gila! Kilang anak ke aku ni?

Izz Amir tersengih lagi. Bahagia. “Tiga…saya mahu bawa awak keliling dunia.”

Wahh..seronoknya. Naik kapal selam, boleh? Aku ketawa tiba-tiba. Angan-angan aku pula meninggi dari dia.

“Empat…saya nak awak masak untuk saya hari-hari. Seperti yang saya selalu kata, saya nak ikan siakap tiga rasa buatan awak! Itu paling penting ya. Dan kita akan makan bersama-sama sambil menikmati keindahan rumah mewah yang akan saya bina untuk kita dan anak-anak kita!”

Wah! Dahsyat sungguh angan-angan lelaki ini. Mat jiwang betul! Mat bunga sungguh! Aku tersengih-sengih macam kerang busuk! Bulu roma rasa tegak berdiri! Jantung terus berdegup kencang.

Kepalaku rasa teleng! Rasa nak tercabut mendengar senarai permintaan yang datang dari hasil pemprosesan kepalanya.

Tetapi bila aku mendengar senarai kelimanya. Aku terkedu seribu bahasa! Sungguh rasa mahu menangis sebanyak lautan ini. Rasa mahu berlari memeluk ibu! “Lima…saya akan mencintai awak dengan hati saya! Sampai bila-bila dan sampai ke syurga!”

Bunga-bunga sakura gugur di Malaysia. Ada salji pula melanda dan jatuh perlahan-lahan di atas air laut! Pitam dibuatnya dan Izz Amir tersengih-sengih kacak di depanku. Rasa bahagia dan ada nada cinta bahagia sedang berlagu di Mersing. Dia tersenyum dan memandang aku dengan sungguh-sungguh. Sambil mata aku terkebil-kebil seolah-olah tidak percaya.

Tetapi, jika benarlah seperti kata-katanya ini… akan aku bahagiakan lelaki ini dan menjadi isterinya. Isteri dunia akhirat dan isteri yang sentiasa mencari redha suami. Aku akan mencintainya sebanyak mana dia mencintai aku. Aku akan bahagiakannya sebanyak mana dia bahagiakan diri ini. Sungguh, aku akan kotakan segala janji ini.

Aku terkulat-kulat sebab terkujat! Aku tersengih lagi macam kerang busuk! Muka merona merah-merah pink! Lantas bibir aku terus menjerit, “Awak…saya nak pitam!”

Kaki rasa tidak berpijak bumi!

Ya Allah, selamatkanlah hambamu ini!

15 Mac 2012

Dia, Cinta Hati Saya 3

tumblr_l4wrvawcnl1qczg4eo1_500


Saya pusing ke kanan dan pusing ke kiri. Saya pantas menarik gebar menutup separuh badan dan memandang ke atas. Sudah seminggu saya menjadi begini! Mata sukar dipejamkan dan tidur dengan gangguan bersama mimpi yang menakutkan. Kenapa susah sangat mahu saya melelapkan mata? Kenapa dengan Majdina ini ya?

Akhirnya, saya melemparkan gebar ke bawah katil. Pantas saya bangun dan meneguk segelas air yang bibik J sediakan di meja kecil bersebelahan katil ini. Walaupun bilik ini sejuk dan mendinginkan, tetapi ia masih belum membuatkan jiwa ini hilang dari gelora asmara! Ah – kenapalah dengan saya ini?

Wajah Zain sudah seminggu menerpa! Sudah seminggu juga entah kenapa senyumannya menghiasi tubir mata ini. Sehingga ibu perasan akan wajah mendung saya ini.

“Muka monyok lapan belas ni kenapa? Bergaduh dengan Fendi?” Ibu bercekak pinggang dan memandang saya. Saya peluk kaki dan menghayunkan diri bersama buaian buatan papa di bawah pohon rendang di laman besar ini. Meja di hadapan kami petang itu terhidang karipap panas buatan bibik J. Bibik J seperti lazimnya tersengih-sengih sambil memuncungkan bibir. Oh, 'bibik J' nama glamour kepada pembantu rumah ibu. Ibulah kan, mana mahu dipanggilnya pembantu rumah kami itu dengan nama bibik Jamilah. Alih-alih ibu tukarkan namanya ke bibik J. Nampaklah cantik sebutannya itu. Kan? Popular dan sedap juga nama gelaran barunya. Bibik J pun suka kami memanggilnya dengan nama itu. Katanya, “Waduh, sedap sekali panggilan itu. Kalah artis saya!”

“Bergaduh dengan Fendi ke Dina?” ibu memandang saya. Tangan ibu ligat mencapai karipap yang tersedia. Panas-panas sebegini, pastinya laris.

Sebab Zain! Pintas hati saya. Tetapi tak terluah pula dengan bibir ini. Hanya hati sahaja yang tahu, ibu! Kalaulah ibu tahu anaknya angau disebabkan Zain, pasti ibu menangis tak berlagu! Pasti juga ibu pengsan kerana selalunya lelaki pilihan anak kesayangan ibu yang memiliki kereta sport, berBMW, berbanglo besar dan selalu bawa anaknya berjalan keliling dunia. Tapi Zain yang saya tahu hanya ada sebuah motorsikal EX5 Honda dan memiliki lesung pipit di pipi kanannya. Juga bekerja di pejabat pos ! Mata saya terkelip-kelip lagi memandang ibu yang rambutnya sudah bertukar warna menjadi merah-merah gitu. Amboi, ibu!

“Tak adalah ibu! Mana pulak bergaduh dengan Fendi. Dina okey-okey saja dengan Fendi.”

“Malam ni Dina tak keluar?” ibu bertanya lagi sambil mata ibu memandang kukunya yang sudah bertukar warna. Merah jambu pula. Kelmarin kuku ibu berwarna hijau. Hari ini merah jambu. Esok pastinya hitam pula! Papa sampai bising dan terjerit-jerit memarahi ibu. Abang Sulaiman pun selalu membentak melihat ibu berperangai begini. Okey, ibu saya mak datin. Datin sangatlah kan sebab papa yang dianugerahkan pangkat Datuk dalam satu upacara besar-besaran di Istana setahun yang lepas. Ibu siap kata, “Ibu ni isteri datuk, mestilah kena cantik-cantik!”

Tapi kalau lihat ibu, samalah gaya penampilannya macam saya. Ibu borek anak rintik!

Saya gelengkan kepala. Sebenarnya bosan keluar dengan Fendi. Lelaki metroseksual! Penuh citarasa tinggi dan asyik mahu ke pub sana dan sini. Saya rimaslah berkepit dengan Fendi. Eh – semenjak bila saya boleh jadi rimas-rimas dengan Fendi ni? Adakah semenjak terpautkan wajah Zain ?

Saya gigit bibir bawah. Pantas saya bangun dan kenangan dengan ibu petang tadi lenyap apabila saya membuka lampu tidur. Bilik saya sedikit terang kini. Mata masih bulat segar dan seakan ia tidak mahu lena. Fikiran masih memikirkan Zain ! Masih terpandangkan senyuman Zain.

Segala-galanya Zain. Ah- sakit dada pula kerana memikirkan Zain ini.

Saya pantas berdiri mencari almari solek. Laci dibuka dan sampul surat berisi bil-bil rumah ada di tangan. Bil elektrik, bil air dan bil astro. Bibik J petang tadi memandang saya dengan sungguh pelik. Saya tersengih lagi! Mata memandang cermin penuh pengharapan. Esok, harapnya Zain ada. Kerana seminggu ini puas saya memerhati ribuan motorsikal yang lalu lalang di jalan raya. Tetapi tiada Zain dan bayang motorsikalnya langsung tidak nampak.

Mendukacitakan, bukan?

Meletihkan kerana saya mengharapkan Zain lalu sekali lagi bersebelahan kereta mewah saya. Saya juga mengharapkan Zain berhenti di tepi tingkap ini. Mengetuk cermin tingkap dan memberikan senyuman mahalnya itu. Susah sangatkah untuk saya bertemu dengannya? Kenapa susah juga mahu mencari dia?

Dan barulah saya ingat bahawa Zain bekerja di pejabat pos besar itu. Bodoh sungguh kau, Majdina! Sah-sahlah dia bekerja di pejabat pos itu. Bukankah minggu lepas saya sendiri memberhentikannya betul-betul di hadapan pejabat pos? Lupa…lupa lagi sebab Zain!

“Kamu mahu buat apa sih dengan semua bil ni? Papa kamu pasti mencarinya !” Bibik J ternganga bila saya merampas semua bil berkenaan. Saya tersenyum.

“Bagi Dina bayarkan semua bil-bil. Bermula bulan ni! Nanti bibik J beritahu papa ya.” Mata saya melirik manja ke arah Bibik J.

Bibik J terlopong. Pasti dia tidak menyangka sama sekali yang saya bermurah hati membayar bil rumah bermula bulan ini.

“Gila apa kamu ni? Mimpi di siang hari!” Bibik J membuatkan saya ketawa. Pelat Indonesianya merayap ke minda.

Iya bibik. Dina bermimpi. Mimpikan putera raja!”

“Gatal! Kamu itu lelaki keliling pinggang. Putera raja mana?” Bibik J ketawa dan segera berjalan dengan gaya gediknya.

Saya perhatikan bil-bil berkenaan dan gigit bibir bawah. Esok pagi-pagi saya akan ke pejabat pos. Saya nekad mahu bertemu dengan Zain. Dialah putera raja yang bermukim lewat di hati Majdina, bibik J! Putera Zain! Kalau Bibik J terkejut saya merampas bil-bil ini dari tangannya, saya pasti papa juga terkejut yang bil-bil ini akan mula dibayar sendiri oleh Majdina. Saya yang langsung tidak pernah ke pejabat pos dan adakah esok saya akan bertemu Zain di situ? Pandaikah saya berurusa niaga dengan bil-bil ini di pejabat pos?

Tetapi mengapa perlu saya mencarinya sedangkan lelaki itu sedikitpun tidak membayar baki wang cermin kereta yang pecah minggu lepas. Malah, setiap hari akaun di dalam bank tidak nampak langsung penambahannya. Bukankah Zain yang telah berjanji untuk membayar lagi sejumlah wang membetulkan cermin yang pecah itu?

Zain terlupakah?

Zain itu ada duitkah?

Dan malam ini, saya bertemankan bil-bil di atas katil. Bil astro, bil elektrik dan bil air. Dengan harapan yang satu. Esok, saya mahu mencari Zain di pejabat pos dan bertemu dengannya.

Mungkin soalan pertama saya kepadanya, “Zain, awak sihat?” atau, “Zain, awak tak rindukan saya?”
Saya memang gatal!

Dan tidur saya juga dengan senyuman berbunga indah.

***

Seluar jeans ketat. Dan blouse yang cantik berwarna ungu muda. Kasut tinggi yang Fendi belikan juga turut tersarung di kaki saya. Rambut panjang saya biarkan begitu sahaja dan sepit bercorak rama-rama menjadi hiasan di sebelah depan rambut. Saya calitkan lipstik berwarna merah jambu dan membawa sekali tas tangan yang papa hadiahkan. Semburan minyak wangi tidak terkecuali. Saya harus sentiasa wangi di hadapan Zain.

Saya perhati mata bundar sendiri di cermin pandang belakang kereta. Mahu memastikan mata ini segar bugar selepas bermimpi yang indah malam tadi. Selepas memarkir kereta, saya semestinya akan berdandan terlebih dahulu. Takut ada cacat cela di mata Zain! Takut Zain terlihat yang tidak cantik di wajah ini.

Perfect! Dan kemudian, saya mengambil tas tangan yang terhimpun di dalamnya bil-bil yang perlu dibayar bersama wang yang mencukupi. Itupun, bibik J yang bantu mengiranya pagi tadi.
Saya berjalan perlahan dan memandang pejabat pos.

Gemuruh betul saya! Angin yang membalut tubuh ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan gementar di dada. Kenapa dengan Majdina, ya? Bila sebut nama Zain, Dina rasa indah sangat-sangat. Dina entah kenapa, terasa ingin berjumpa dengannya. Kenapa dengan hati, Dina ya?

Saya kawan nafas dan kini menaiki tangga masuk ke pajabat pos. Tujuan saya satu sahaja. Saya mahu bertemu Zain dan membayar bil ini.

Oh, saya harus mengambil nombor. Pejabat pos sudah ada sistem mengambil nombor seperti di bank rupa-rupanya. Ketinggalan zaman sungguh saya ni! Saya genggam nombor ini. Harap-harap ia nombor bertuah.

Mata saya memerhati dari satu kaunter ke kaunter. Mana Zain? Di mana Zain berada? Beberapa lelaki dan pakcik-pakcik yang ada di dalam pejabat pos memandang saya. Adakah mereka perasan akan wajah muram ini? Cita-cita yang menggunung tinggi untuk berjumpa Zain punah akhirnya. Zain tiada. Senyumannya pun tiada.

Bukankah ini pejabat pos tempat kerjanya? Memang saya berhentikan dia betul-betul di hadapan pejabat pos ini. Sah! Inilah pejabat pos itu. Saya tak akan lupa sampai bila-bila. Saya berpusing dan mata memandang ke luar. Adakah harapan akan berakhir pada hari ini? Zain menipukah?

“1023!” nombor saya dipanggil. Saya berjalan perlahan. Semangat hilang tiba-tiba.

Bukan Zain tetapi Zainab! Cis!

Saya hulurkan bil dan wang secukupnya tetapi bibir masih ramah bertanya. Saya harus mencuba bertanya. Papa pun selalu berkata, “Jika malu bertanya, sesatlah jalannya!”

“Errr..minta maaf kak. Boleh saya bertanya?” saya memaniskan muka. Wajah saya dipandang penuh rasa. Zainab tersenyum dan mengangguk.

“Tanyalah.” Dan jemarinya aktif bekerja. Laju sungguh menekan keyboard komputer.

“Ada pekerja nama Zain di sini?”

Zainab mengangkat wajahnya. Tepat dan seluruh wajah saya sekali lagi dijamah penuh curiga. Saya memberikan senyuman. Zainab tersengih.

“Awak siapa?” tanyanya mesra. Saya tersenyum. Seperti ada harapan dan rasanya tidak sia-sia soalan saya mengenai Zain. Wah – seperti jejak kasih pula!

“Kawan!” jawab saya spontan dengan mata bercahaya.

“Zain?” soalnya tiba-tiba. Eh eh! Kenapa pula dia seperti tidak percaya! Saya angguk mengiayakan sambil semua bil-bil diserahkan kembali. Selepas dia mengira jumlah wang yang saya berikan, dia angguk lagi.

“Ya. Zain!” saya bertegas sekali lagi. Zainab menghantar seribu pandangan kepada saya. Penuh soalan misteri betul wajahnya.

Zainab menggeleng-geleng, “Macam tak percaya!”

Pulak! Kenapa dia jawab macam tak percaya. “Kenapa?” saya cepat-cepat mahu tahu. Rasa menyirap pula melihat gaya si Zainab ini. Saya bertanya dengan baik tetapi kenapa memek wajahnya penuh curiga.

“Zain jarang ada kawan-kawan perempuan ni. Dengan saya pun susah nak bercakap!”

Saya tersenyum! Indah! Biarlah dia jarang ada kawan perempuan. Itu lebih penting kerana saya betul-betul mahu berjumpa dengannya. Itu juga tiket mudah untuk saya menggodanya! Saya nekad. Apa yang terjadi, jadilah! Saya tidak mahu minggu ini saya bermimpi akannya lagi.

Entah – adakah saya jatuh cinta pandang pertama dengannya? Ironinya, inilah yang sedang melanda hati dan jiwa ini. Saya mahu bersemuka dengannya dan menyatakan dengan tulus ikhlas yang saya mahu mengenalinya. Itu sahaja.

Pantas saya bertanya, “Mana dia?” dan mata saya mencari-cari kelibat Zain. Semua wajah petugas kaunter saya teliti satu persatu.

Zainab tersenyum. “Dia MC. Dua minggu! Tapi…” Belumpun sempat Zainab meneruskan kata-katanya, saya terus berpusing untuk pulang. Dan wajah saya kembali suram tanpa bertanya apa-apa kepada Zainab. Kecewanya hati saya. Remuk betul-betul terasa! Bermakna saya perlukan seminggu lagi untuk bertemu dengannya di sini. Saya perlu mencari bil-bil pejabat papa pula untuk dipergunakan di pejabat pos ini.

Tetapi kenapa dengan Zain? Sakitkah lelaki pujaan hati saya itu? Eh – semenjak bila pula dia menjadi lelaki pujaan hati saya? Kenapa dengan saya ini?

Kaki melangkah longlai! Bagaikan tidak berpijak di bumi. Bagaikan berjalan di atas angin sahaja! Saya perlu tabah meniti perjalanan untuk seminggu ini. Rasa hiba, sedih dan kecewa bertandang mengetuk pintu hati.

Zain. Nama itu meniti lagi di bibir ini. Saya pegang tas tangan dan mengeluh sendirian. Saya melangkah lagi dan terus melangkah. Sehingga sampai ke pintu utama dan saya terpandangkan Zain sedang memarkir motosikalnya betul-betul di hadapan pintu pejabat pos ini.

Ada angin dingin membalut tubuh ini. Terasa darah mengalir laju tanpa sekatan dan nafas bersatu dengan hangat! Adakah itu Zain? Saya berlari anak menuruni tangga.

Betul, itu Zain!

Saya tersenyum dan mengawal nafas apabila berdiri betul-betul di hadapan lelaki kacak ini. Zain bukan MC dua minggu. Atau mungkin Zain menyinggah di sini mengambil barangnya yang tertinggal. Inikan tempat kerjanya. Pejabat Pos!

“Zain!” saya panggilnya dengan satu nafas. Beralun rentak tubuh ini memandang wajah jernihnya. Dia terpana dan matanya tepat memandang saya. Seketika bibirnya terlafaz satu kalimah, “Astaghfirullah!”

Saya tersenyum dan wajahnya serius memandang bumi!

Hilang sudah rindu saya mahu melihat wajahnya. Hilang sudah gelora asmara mahu melihat lekuk lesung pipitnya. Hilang sudah kasih saya terhadap lelaki ini kerana mahu melihat hidung mancungnya.

Errrr….awak nak apa?” tanyanya terkulat-kulat buat saya terkedu seribu bahasa.

Sumpah, saya terpesona dengan alis matanya!

13 Mac 2012

Mr Pai Epal 23

Alhamdulillah. Saya siapkan bab 23 dengan kenangan demam panas! Kena cucuk punggung semalam! Hahahaha. MC dua hari. Syioknya! Jadinya ini hadiah untuk semua. Senyum comel-comel okey?


Song_Hye_Kyo_8Wallpaper




Aku kesat air mata yang berbaki. Ah, buruk sungguh menangis begini sampai hingus meleleh-leleh. Sebak dari tadi belum beransur reda. Yaya tak bermaksud begitu, ibu! Sumpah Yaya tak bermaksud mahu mengecilkan hati ibu. Aku duduk bertenggek di atas batu sambil merenung laut biru. Air mata aku kesat lagi dengan hujung lengan t-shirt ini.

Ya, ibu pernah mendiamkan diri selama seminggu juga gara-gara Fatin menipu mengenai keputusan peperiksaannya. Tidak bertegur sapa sehingga rumah jadi sunyi sepi. Sehingga Fatin meleleh-leleh air mata memujuk ibu. Puas dipujuk Fatin. Dimasak bermacam lauk kesukaan ibu. Dibelikan ibu itu dan ini.

Ya. Kami begitu akrab sekali. Bertiga di rumah dan jika apa yang berlaku kepada ibu, kami berdua akan salah menyalah, menunding jari antara satu sama lain. Bergelak ketawa dan bersedih hati juga bersama-sama. Kalau ibu menangis, maka kami berdua juga akan menangis. Jika ibu merajuk, pastinya akan ada hati kami berdua yang terguris.

Masakan boleh kami mengecilkan hati ibu? Ibu yang baik, ibu yang membesarkan kami dan melahirkan kami. Ibu yang berjuang melawan kesedihannya selepas arwah abah pergi. Ibu yang tetap redha dengan hilangnya mata dan pancaindera paling utama untuk manusia.

Dan sekali lagi, bila aku terpandangkan garisan senyuman ibu di mata ini, air mataku mengalir-ngalir penuh sendu. Aku tersengguk-sengguk lagi sambil cuba mencari idea, bagaimana harus aku memujuk hati sang ibu yang telah berkecil hati itu?

Lima belas minit aku tersedu-sedu. Ombak pantai serasi dengan halwa telinga. Deru angin yang dingin terus memberi kesebakan.

Sekotak tisu tiba-tiba muncul di sebelahku. Aku kesat air mata. Cuba mencari siapakah yang meletakkan kotak tisu ini. Pusing ke kiri dan kanan, tiada sesiapa pula. Ah- aku tidak peduli. Terus aku ambil tisu berkenaan dan kesat air mata ini. Aku hembus hingus dan mencampakkah tisu ke bawah.

Aku ulang lagi. Hembus hingus, kesat dengan tisu dan baling ke bawah.

+Buruk! Pengotor betul ko Yaya!
-Jangan kacau, tengah sedih-sedih ni.
+Saman lima ratus ringgit sebab mengotorkan kawasan pantai!
-Pergi! Pergi!
+Janganlah sedih, Yaya! Buruk benor rupanya melalak begitu. Baliklah. Pujuk ibu tu. Ibu mesti terima.
-Ibu dah kecik hati. Apa perlu Yaya buat?
+Peluk ibu kuat-kuat. Minta maaf dengan ibu. Ala Yaya…dia ibu. Ibu pasti tahu kenapa Yaya menipu sebegitu. Sebab apa dan kenapa.
-Yaya dah tipu ibu tahu tak? Menipu tu berdosa tahu tak?
+Cet! Ketuk kepala baru tahu! Oh, baru sekarang tahu menipu tu berdosa ya? Habis, siapa suruh ko tipu ibu? Siapa?

Aku tersengih macam kerang busuk! Aku angguk berkali-kali sambil tarik nafas. Aku tarik lagi tisu yang ‘diletakkan’ di sebelahku dengan penuh tidak berdaya.

“Seribu ringgit!” tiba-tiba suaranya mencelah. Dari kanan dudukku dan Izz Amir dengan selamba mendaki batu besar yang sedang aku duduk. Dia kini duduk di sebelahku dengan senyuman menawannya.

Aku tarik lagi tisu. Kemudian aku pandangnya. “Awak ya letakkan kotak tisu ni?”

Dia angguk dan memandang laut. “Seribu ringgit tu untuk apa?” pantas aku bertanya untuk menutup malu. Iyalah kan, semestinya aku malu. Izz Amir melihat aku menangis tersedu-sedu. Rasa mahu saja aku sorok muka ini di bawah meja. Nasib baik juga batu ini tidak berlubang seperti meja epal di dalam cafenya.

Muka selamba lagi. “Bayar untuk saman buang sampahlah. Eeee, hingus awak tu kalau saya buat ubat pengasih pun boleh! Jangan buat merata-rata boleh tak?”

“Saya rasa awak tak perlukan ubat pengasih tu. Saya senyum sikit pun awak dah suka. Kan?” aku sengih sambil mencampakkan tisu ke Izz Amir.

Eeeeee..Yaya!” Izz Amir menguis-nguis tisu yang melekat di seluar tracknya. Aku ketawa melihat dia yang teliti pembersih. Tisu itu tiada sekelumit hingus pun. Secebis pun tak ada! Amboi, Izz Amir!


“Sikit pun hingus tak melekatlah! Saya tipu saja!”

Izz Amir mengeluh sambil menjeling. Muka merah macam biji saga. “Awak memang nak kena dengan saya.” Tisu diangkat dan dibaling semula ke arah aku. Tapi angin menolaknya sehingga tisu berkenaan melayang-layang di udara.

Izz Amir tersenyum. “Buruk betul menangis! Macam budak-budak! Ni dah okey tak ni? Tisu ni harganya lima belas ringgit tau! Ganti balik!”

“Kedekut! Taik hidung masin betul!” aku menjelingnya. Angin pantas menemani.

Kami ketawa dan melihat tisu berkenaan jatuh perlahan-lahan di atas air laut yang membiru. Izz Amir memandang laut. Begitu juga aku. Sehingga beberapa minit melewati. Aku tidak mampu berkata apa-apa lagi. Jikalau Izz Amir mahukan jawapan kenapa aku menipu ibu, tanyalah. Aku akan jawab dengan sebetulnya. Tetapi aku malu dengan dia. Aku malu dengan semua.

“Ibu okey lepas saya pujuk ibu. Jomlah kita balik. Panas terik ni, Yaya! Dah jam 3 petang. Awak pun belum makan, kan?”Izz Amir memulakan langkah pertama memujuk aku.

Aku sedut udara nyaman dalam-dalam. “Saya tak bermaksud menipu ibu. Sumpah saya langsung tak berniat. Saya takut sekiranya ibu tahu saya bekerja di Pai Epal Café, ibu tak akan benarkan.”

“Sebab saya?” dan kami berpandangan sebelum mata aku memerhati Melati yang melambai-lambai mesra. Melati turut sama menanti aku di hujung sana. Aku ketap bibir. Rasa bersalah menghuni hati. Sejujurnya itu yang aku rasakan jika ibu tahu aku bekerja di café miliknya. Adakah Izz Amir akan berkecil hati?

“Ibu dah okey. Sebab ibu dah boleh terima saya sebagai calon menantunya.” Izz Amir mula menjiwangkan diri. Dalam keadaan aku sebegini sebak, dia boleh main-main pula. “Saya seriuslah Yaya!” sekali lagi Izz Amir buat aku tunduk memandang kaki yang melunjur ke bawah.

“Ya, saya tahu ibu memang dari mula tak benarkan kita berkawan kan?” Izz Amir pula menarik tisu dan bermain-main dengannya. Bibirnya pantas berbicara, “Biarpun saya pernah berjanji untuk kita berdua tidak ditemukan sebegini dan berkawan rapat lagi seperti ini. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang Yaya!”

Ceh. Berjiwang bahasa dia. Bahasa Melayu mesti A1. Aku kawal senyuman yang melekat di bibir. Izz Amir tarik nafas. Bibir merahnya pantas menyambung kata-kata yang berbunga indah, “Bila awak diterima masuk ke dalam Café saya. Sayalah orang pertama yang bersujud syukur sampai saya cerita pada umi tentang cik Yaya saya sayang. A to Z! Sungguh, Yaya! Sampaikan umi suruh saya pujuk dan mengurat hati ibu banyak-banyak. Saya tahu, awak takut ibu tak akan terima saya sebab saya bukan pemuda yang baik. Saya juga dulu tak pernah lengkap solat lima waktu. Puasa pun jarang-jarang sekali. Tapi tu dulu, Yaya!”

Izz Amir menambah sebak. Menambah kehangatan jiwa ini. Senyum aku tadi kini bertukar duka. “Awak menipu ibu bersebab, bukan? Sebab awak takut ibu tak terima saya? Bukan?”

“Sebab saya kan? Awak tipu ibu sebab saya kan?” soalnya bertubi-tubi.

Sehingga air mata ini perlahan-lahan mengalir. Aku sedut hingus yang berbaki dan aku kesat air mata yang menghujani pipi. “Yaya bukan bermaksud nak kecilkan hati ibu. Yaya bukan menipu.” Aku angguk mengiyakan segala soalan dari dia.

Aku tak sanggup menipu lagi. Walau dengan ibu dan dengan Izz Amir.

“Juga sebab awak sayangkan saya. Kan?” Izz Amir memandang aku dengan senyumannya. Aku kesat air mata dan memandang dia.

Aku diam. Dia hulurkan tisu. Aku betulkan duduk dan kawal nervous yang melanda di dada. Aku capai tisu dari dia. “Saya nak balik! Awak betul dah pujuk ibu?” soalku dan aku kesat air mata dengan hujung lengan t-shirtku. Aku buat-buat tak dengar dengan soalan jiwang karatnya. Izz Amir senyum lagi.

“Iya. Saya dah pujuk ibu. Saya beritahu ibu awak menipu sebab saya. Sebab awak nak kejar cita-cita. Sebab awak takut ibu tak akan benarkan awak belajar di café saya sebab saya ada. Banyaklah saya cerita. Oh, saya cerita satu perkara lagi!”

Aku bangun dan berdiri di atas batu berkenaan. Izz Amir juga begitu.

Dia menjeling aku dengan senyuman empat belas jutanya itu. Memang sengaja memberikan nervous berkali-kali. Izz Amir memang harus dicubit pipinya! “Awak cerita apa?”

“Saya mohon kebenaran ibu.”

Aaaaa?” aku berdecit.

Wajah Izz Amir memerah. Dia terkulat-kulat mahu mengaku. “Iya. Saya cakap…aaa..aaaaa..”

Aku memeluk tubuh. “Apa yang awak cakap dekat ibu?” aku tanyanya lagi. Jantung entah kenapa bergetar hebat. Izz Amir tersenyum lagi.

“Nanti awak akan kahwin dengan saya. Dan sekali dengan Zainal saya beri amaran jangan mengurat Yaya! Eh, saya serius!” Izz Amir angguk berkali-kali. Muka macam muka tak bersalah!

Saat itu juga, entah kenapa keseimbangan badan sekali lagi tidak terjangka. Kaki aku terus menggigil maha hebat. Ketika aku mahu mengambil kotak tisu dan sekali lagi membetulkan badan, angin dengan kuat menghempas tubuh ini.

Gedebushhhh!

Aku akhirnya jatuh ke dalam air laut.

Masin! Dan Izz Amir dari atas tersengih-sengih sambil mulutnya terkumat-kamit. Dia bercekak pinggang. Terdengar mulutnya membebel-bebel. “Nervous lagi lah tu! Haishhhh! Yaya! Yaya!” dia gelengkan kepala.

Dan dia turut sama terjun ke laut sambil suara Melati terjerit-jerit memanggil kami berdua.

***

Aku tolak pintu bilik ibu. Ibu sedang duduk di penjuru katil sambil memegang bingkai gambar. Aku pandang ibu dengan penuh kasih sayang. Aku tutup pintu bilik ibu. Aku tahu ibu perasankan kehadiranku sekarang ini.

Sekejapan aku sudah duduk di sebelah ibu. Selepas Izz Amir berkali-kali memberi nasihat dan akhirnya aku turuti kata-kata lelaki itu. “Dia ibu, Yaya! Tak kanlah ibu akan bermasam muka dengan anaknya yang comel macam awak ni!” Ah – boleh pula aku tersenyum mendengar pujukannya di meja makan tadi. Fatin yang mendengar pun tersedak. Mak Su tersenyum simpul lagi! Zainal menganga luar biasa kerana melihat kejiwangan Izz Amir. Punah sudah impiannya mahu mengahwini aku. Ah – Zainal hanya sepupu sahaja dan nampaknya dia sudah berkawan rapat dengan Izz Amir. Adnan dan Melati pula terkekek-kekek ketawa sambil Nek Pa tersenyum luar biasa.

“Macam mana ya wajah Yaya sekarang ni?” tanya ibu tiba-tiba.

Aku tahan sendu yang masih berlanjutan dari pagi tadi. Aku perhati lagi wajah ibu dengan air mata yang bergenang-genang. Aku tahan dan tak mahu ia keluar. Aku pegang jemari ibu.

“Cantik macam ibu!” jawabku jujur. Ibu tersenyum dan mengusap perlahan-lahan gambar di tangannya. Aku perhati ibu dengan penuh luhur. Aku pandang juga gambar yang dipegang ibu. Itu gambar aku, Fatin, ibu dan arwah abah. Gambar penuh kenangan ketika kami sekeluarga berjalan-jalan di Cameron Highland. Ketika aku di tingkatan lima. Alangkah bagus juga jika arwah abah ada menemani saat-saat indah membesar dengan ibu. Tetapi abah sudah tiada. Abah sudah pergi. Membiarkan ibu kesepian lagi.

“Sebab tulah Izz Amir suka!” ibu angguk lagi. Aku tahu ibu sembunyikan marahnya dengan aku. Aku kesat air mata yang mengalir. Puas aku pujuk diri untuk tidak menangis di hadapan ibu. Tetapi aku tewas juga akhirnya.

Aku peluk ibu kuat-kuat. “Yaya minta maaf dengan ibu!” tambahku perlahan-lahan dengan esakan.

“Yaya tahu, ibu selalu mahu tengok Yaya membesar dengan mata ibu sendiri. Tapi ibu cuma nampak dengan mata hati ibu saja.” Pintas ibu buat aku menangis teresak-esak.

“Ibu nak anak-anak ibu jadi anak yang baik. Mendengar kata, jaga solatnya, tak berbohong dengan ibu dan sentiasa jaga peribadinya. Ibu selalu pesan hari-hari dekat Yaya, kan?” tambah ibu dan aku kesat air mata. Aku angguk dan mengakuinya.

“Ya, Yaya bohong ibu. Yaya bohong dengan ibu. Memang Yaya tipu ibu. Yaya kerja dekat Pai Epal Café. Bukan Gemilang Café yang Yaya selalu sebut-sebutkan dekat ibu. Yaya ingat semua pesanan ibu. Dan Yaya tahu yang Yaya dah buat ibu kecil hati. Yaya minta maaf dekat ibu.” Aku tarik jemari ibu dan aku salam ibu. Aku kucup-kucup tangan ibu. Berkali-kali. Aku mengaku akhirnya yang aku berbohong dengan ibu.

Aku teringatkan emel sang lelaki itu. Membuatkan air mata aku mengalir-ngalir sehingga ibu meletakkan jemarinya di atas kepalaku. Diusap-usap perlahan dan ibu berbisik, “Ibu sayang Yaya. Sampai ke syurga ibu akan sayangkan Yaya!”

Awak ketika itu awak terus memimpin ibu dengan penuh kasih sayang. Bersama sekaki payung sebagai teman. Hujan turun dengan lebatnya! Payung itu awak buka dan memberi teduhan untuk ibu dari dirinya ditimpa hujan. Waktu hujan lebat itu, saya melihat awak memayungkan ibu seorang sahaja.

“Yaya, payungkan sekali Yaya ya! Cepat kita pergi perhentian bas!”

“B..baik bu!” awak angguk tapi payung itu tetap awak teduhkan hanya untuk ibu sahaja. Awak berbohong dengan ibu.

Awak tahu perasaan saya ketika itu? Sayu dan sedih. Betapa awak menghargai kasih sayang seorang ibu dan meneduhkan ibu awak dengan sekaki payung itu sahaja. Dan awak kebasahan sehingga akhirnya kamu berdua berhenti di sebuah perhentian bas. Awak basah lencun dan terbersin-bersin!

Dan diluar, ada air mata dari seorang lelaki yang aku tidak tahu berjurai-jurai turun di pipinya. Dia berdiri di hadapan pintu mendengar segala nasihat-nasihat ibu untukku. Aku mahu menjadi payung untuk ibu. Payung bahagia kala hujan, ribut dan taufan untuk ibu.

“Maafkan Yaya, ibu!”

“Maafkan Yaya!”

***
Hari mendung telah pergi! Hari kesebakan melanda berpisah dari diri ini. Bak kata Adnan, kalau cik Yaya monyok muka enam belas macam semalam, alamatnya Izz Amir pun monyoklah dalam bilik.

Aku tersenyum memerhati Izz Amir menjenguk-jengukkan kepalanya memilih kuih. Aku masih memegang erat lengan ibu. Aku, ibu, Izz Amir dan Nek Pa. Nek Pa asyik pula memperkenalkan Izz Amir kepada semua kenalannya. Habis malu! Izz Amir? Angguk sahajalah suka kerana semua kata dia lawa, kacak dan juga handsome. Cuma kacak empat belas juta kali yang tak sempat aku sebut. Habislah kembang semangkuk dia jika aku mengaku sebegitu!

Amboi! Suka betul dia!

Gerai tepi laut di Sri Lalang ini memang memikat. Berbagai-bagai jenis kuih ada. Nek Pa mahu dibungkuskan nasi dagang, ada juga kuih yang namanya paung goreng, pulok lepa dan aku turut membeli kuih kegemaran ibu iaitu tepung kapur.

“Apa susah sangat menyebut nama kuih ni, Yaya?” Izz Amir berbisik. Aku tersengih sambil menghulurkan duit kepada Pak Jeragang. Pak Jeragang memang cukup aku kenali di sini. Dia sudah menjual kuih selama bertahun-tahun di Sri Lalang.

“Sini ramai orang Terengganulah!” aku sengih sambil menarik tangan ibu ke sebuah gerai. Izz Amir mengangguk-angguk tanda faham dan berbual-bual mesra dengan Pak Jeragang. Entah dia faham atau tidak bahasa pekat Pak Jeragang itu!

Kami berjalan lagi. Izz Amir menyusul di belakang bersama Nek Pa. Dia membebel lagi. “Paung goreng tu kuih apa? Masa belajar jadi chef, saya tak tahu ada pula nama kuih sebegitu.”

“Macam kuih cucur badak. Tetapi dibuat daripada tepung beras dan intinya ialah isi ikan. Sedap! Nanti kita makan. Kena cuba!” aku menambah-nambah sambil ngap lagi sebiji kuih berkenaan.

Nek Pa menggelengkan kepala, “Eh Yaya ni! Buruk sangat makan smabil berjalan! Jom kita duduk tepi pantai. Sambil-sambil tengok pantai Mersing. Bukan selalu Izz Amir dapat tengok!”

“Ada banyak bot berlabuh waktu ni, Izz. Jom. Betul kata Nek Pa. Ibu suka tengok suasana pagi-pagi begini. Kita sarapan sini dulu. Nanti balik, Yaya buatkanlah nasi goreng untuk kawan-kawan. Ya?” Ibu mencelah. Aku terngaga dan Izz Amir tersenyum suka hati. Amboi dia, sukanya sebab semua prihatinkan dia. Izz Amir itulah, Izz Amir inilah. Izz Amir kesayangan Nek Pa lah. Izz Amir yang kacaklah. Izz Amir yang lawalah. Izz Amir intan payung Nek Pa lah.

Habis.. Yaya ni apa?

Dan kami berempat kini. Memandang laut bersama kuih muih yang aku rindui! Laut yang menghijau dan sesekali biru warnanya. Sungguh-sungguh rasa macam tak percaya yang aku akan habiskan masa sebegini dengan Izz Amir. Bersama pula dengan Nek Pa yang sporting habis dan ibu yang reda dari merajuknya.

Dia mencuri memandang aku sambil berbual-bual mesra dengan ibu dan Nek Pa. Dia memberi senyuman mahalnya yang membuatkan kunyahan kuih pulok lepa hampir tercekik di kerongkongku.

Izz Amir sekarang sedang mencuri hati ibu dan Nek Pa. Berbual-bual penuh mesra dan membuatkan aku tertawa. Ada-ada sahaja ceritanya. Ironinya, Izz Amir terus memikat hati Nek Pa dan sesekali dia mencuba berbual-bual dengan ibu. Dia agak kekok tetapi sikapnya telah mencambahkan rasa sayang aku terhadapnya. Lihatlah bagaimana dia berbual-bual dengan ibu.

Aku ingin sekali memeluk angin dan menceritakan kepada awan yang aku sedang bahagia. Aku ingin juga mendaki pelangi dan mengkhabarkan yang aku sedang ketawa suka.

Masa pantas terus berlalu ! Kami menikmati pagi indah ini bersama-sama dan ada kalanya bergurau senda. Pagi tadi juga, ustaz muda atau lebih tepatnya, Ustaz Izz Amir telah menjadi imam solat jemaah Subuh kami semua. Sejuk perut umi mengandungkan, Izz !

Aku pula yang terkesan dengan bacaan tertiba Izz Amir. Rasa hiba pula kerana selepas bersolat jemaah, ibu memeluk aku dan ibu tersenyum sampai ke telinga. Izz Amir memang telah berubah seratus peratus. Kopiahnya di atas kepala itu sudah menjadi sebati letaknya. Kacaknya bertambah-tambah dengan memakai kain pelikat dan berbaju melayu. Garis dahinya tertera menawan. Dan aku terus berdebar-debar ! Izz Amir bukan menipu aku dan menipu ibu. Dia hafal sudah membaca doa dan telah banyak yang berubah ! Benarkah kisah-kisah di dalam emelnya itu ? Bila lagi aku boleh mendengar sambungan kisah menariknya di dalam emel itu ?

Aku juga tahu, orang yang paling suka dengan perubahan Izz Amir semestinya umi ! Dan aku juga mengharapkan ibu menerima Izz Amir seadanya. Aku tarik nafas perlahan-lahan. Menyedut angin dan membiarkan ibu, Nek Pa berbual-bual dengan lelaki yang semakin kuat letaknya di hati ini.

Kenangan selepas selesai bersolat Subuh menggamit lagi :

Ketika aku membawa ibu masuk ke dalam bilik untuk berehat dan mendudukkan ibu di katilnya, lenganku ditarik. Ibu memaksa aku duduk di sebelahnya. Telekung aku letakkan bersebelahan dengan ibu. Ibu tersenyum, “Sedaya upaya dia mahu memikat hati ibu, Yaya ! ”

Apa maksud ibu ? Aku pandang wajah ibu. Bibir ibu bercantum lagi, “ Nek Pa pun suka dengan dia. Apalah doa yang Izz semburkan pada wajah Nek Pa sampai berseri-seri wajah Nek Pa sebab sukakan dia ! ”

“ Eh, mana ibu nampak ?”

“Mata hati ibu yang nampak ! ”

Aku tersenyum dan menggelengkan kepala. Rasa terharu pun ada. Rasa sebak juga. Ibu beralih angin dalam masa 2 hari sahaja. “ Chef yang berbakat memikat !”

“Yaya!” panggil Izz Amir.

Aku tersengih sambil memadamkan kenangan selepas bersolat subuh pagi tadi.

“Apa yang awak menungkan tu? Jom-jom kita balik! Awak kena masak nasi goreng untuk saya, Adnan, Fatin dan Melati. Lapar lagi ni!”

Perut tong gas betul dia ni! “Teringatkan seorang ustaz!” jawabku.

“Siapa Yaya?” Nek Pa bertanya. Sambil aku tersengih-sengih geli hati.

Wajah Izz Amir berubah tiba-tiba. Aku pandang dia sambil menguis-nguis pasir. “Ustaz muda, Izz Amir!”

Dia ketap bibir bawah. Aku ketawa dan bibirnya muncung sedepa. Dia pantas membaling surat khabar yang sempat direnyukkannya.

“Mulut memang tak ada insuran!”

Mahu saja kami berdua berlari-lari berkejaran seperti pasangan kekasih yang lain, tapi…tapi…kaki kami berdua terkujat sebenarnya. Mana mungkin sebab ada Nek Pa dan ibu di sisi. Aku pula mana pernah berlari-lari ala-ala cerita Hindustan itu. Gila namanya, kan?

Paling tidak, aku pastinya akan dibuli di dalam dapur Pai Epal Cafenya. Jelingan mautnya itu adalah salah satu tanda yang aku akan disuruh membasuh periuk belanga di dapur Pai Epal Café.

Tapi serius, aku makin menyayangi lelaki ini. Aku semakin mengenali siapa Izz Amir sebenarnya. Biar sedikit, tetapi bila dia sudah berjaya mencuri hati Nek Pa dan ibu, peratus sayangku kepadanya telah meningkat kini.

“Cik Yaya sayang!” dia memanggil aku di dalam kereta.

Erk! Bukankah Nek Pa dan ibu ada di dalam kereta comelnya ini? Gila apa lelaki ini? Ah – malunya aku!

“Cik Yaya sayang!” panggilnya kali kedua.

“Gila!” jawabku perlahan. “Jalanlah. Kita balik!” Nek Pa yang duduk bersebelahan dengannya tersengih geli hati.

“Iyalah, saya nak bawa semua baliklah ni. Tapi saya sukalah awak panggil saya Ustaz muda, Izz Amir. Sweet! Tambah-tambah lagi dengan senyuman awak tu! Lagi sweet!”

Rasa nak saja aku cabut tayar kereta Izz Amir dan baling ke laut atau patah-patahkan giginya itu! Terkena lagi aku!

Huarghhhhhhh! Sambil itu Nek Pa dan ibu tersengih geli hati. Izz Amir memang suka menyakat! Suka betul mengharu-birukan dan mentraumakan penkreas ini!

:::Terima kasih Pak Jeragang atas info dan sedikit bahan-bahan untuk "Mersing":::