Pages

06 Mac 2012

Mr Pai Epal 22

Mr Pai Epal 22. Tadaaaaaa.. Selesai akhirnya bab ini dan kita akan nantikan bab seterusnya untuk minggu hadapan. Yang rindu-rindu dengan Mr Pai Epal, hamboiii! Terima kasih untuk semua ya! Yang usaha carikan gambar Yaya siap tepek-tepek di wall FB saya. Hahaha. (Terharu) Juga yang asyik bertanyakan bab 22 ni. Kalau awak-awak semua rindu…saya lagilah rindu empat belas juta kali! Ngeeee. Moga ada nilai yang boleh diambil dalam setiap naskah saya. Meski sedikit, tapi saya berharap ia akan memberi ‘sesuatu’ ingatan. Untuk saya dan kalian juga.


Senyum comel-comel dan semoga sukeeee!


user_369523_user_369523_1307926452b6-700




Mata Nek Pa terkebil-kebil. Nek Pa bukan memandang aku yang berdiri betul-betul di muka pintu. Tetapi leher Nek Pa terus panjang, memandang Izz Amir yang merah matanya menahan mengantuk. Sekarang sudah pun jam 7.30 pagi. Izz Amir hanya berhenti di Hentian Pagoh ! Ketika Melati dan Adnan tiada di di dalam keretanya! Dan aku keseorangan di dalam kereta. Kenangan beberapa jam tadi terus menyergah minda.

Bahuku terasa dicuit-cuit dengan sebatang kayu halus yang entah mana dikutip oleh Izz Amir. Mata separuh terbuka terpandangkan imbasan wajahnya yang mengganggu lenaku.

“Cik Yaya sayang! Bangunlah!” aku terdengar nama aku dipanggil indah oleh si dia. Rasa nak tertonggeng pun ada ni ! Ah, bersayang bagai pula lelaki ini. Mendengar suaranya sahaja buat aku terus tersenyum.

“Amboi, tersenyum-senyum macam tuan puteri! Bangunlah! Kita di Pagoh ni. Awak tak nak ‘membuang’, makan atau basuh muka tu sekejap ! Bangunlah !” suara seksinya kedengaran lagi. Aku tersenyum sambil mata masih tertutup-tutup manja. Aku tarik baju sejuk dan kaki mengeliat macam anak gajah !

“Ya Rabbi! Tidur punyalah ganas! Cik Yaya sayang oi, bangunlah cepat ! ” hidungku dikuis-kuis lagi. Serta merta aku membuka mata dan Izz Amir sedang tersengih-sengih memandang aku. Dia berpeluk tubuh ! Ah, mimpi aku sedang berkejaran dengan dia di tepi pantai musnah akhirnya.

Aku tolak batang kayu yang masih diusik-usiknya di batang hidungku. Aku tarik nafas dan mengeliat lagi. Izz Amir menggelengkan kepala dan tersenyum. Dia yang berada di luar berpeluk tubuh memandang aku. Jemarinya masih memegang batang kayu halus yang menjadi alat mengusik batang hidungku. Cet ! Cermin tingkap kereta yang terbuka memisahkan kami kala ini. Aku mengeliat lagi !

“Comel !” Izz Amir tersenyum lagi. Aku termamai-mamai kala ini. Penatnya terasa sungguh !

“Apa yang comel ? ”aku letakkan baju sejuk di sebelah. Mana Melati ? Aku mencari-cari Melati. Aku lihat jam di pergelangan tangan. Sudah pagi ! Lajunya Izz Amir bawa kereta.

“Apa pun yang awak buat, mesti nampak comel di mata saya. Melati dan Adnan tunggu kita di sana. Jom! Saya teman awak pergi toilet. Pergilah basuh muka tu sikit. Air liur basi meleleh-leleh. Kita alas perut sikit. Saya tahu awak lapar! Jom!” Izz Amir membuka pintu. Aku terhairan-hairan. ‘Apa pun yang awak buat, mesti nampak comel di mata saya’ Rasa nak pitam kala ini. Sudahlah aku baru saja bangun dari tidur, fikiran melayang-layang entah ke mana, boleh pula dia kata aku comel? Haish ! Suka sangat membuatkan hati ini berdebar-debar. Suka membuatkan jantung ini berdegup laju ! Kaki kala ini rasa tidak berpijak di bumi yang nyata ! Sungguh !

Dan entah apa mimpi aku kali ini, aku terus mengikut Izz Amir. Kaki sama-sama melangkah menuju ke bilik air dan dia menemani aku sehingga pintu bilik air wanita. Iyalah, gila namanya dia nak masuk sekali ke dalam bilik air wanita ? Aku tersengih di hadapan sinki. Mata masih terkebil-kebil dan memikirkan Izz Amir dan kata-katanya tadi kepada aku, ‘Comel!’. Dan selepas membasuh muka, membetulkan tudung, menunaikan hajat kecil aku segera keluar dari bilik air dengan senyuman sampai ke telinga!

Mata terkelip-kelip memandang Izz Amir yang tersenyum menawan. Bagaimana dengan Pai Epal Café? Adakah ditutup esok atau akan dikendalikan seperti biasa oleh Chef-chef yang lain? Risau pula bila aku memikirkan Pai Epal Cafenya. Aku simpan soalan-soalan cepu emas di dalam kepala. Nanti aku akan bertanya sahaja kepada Adnan. Aku pasti, Izz Amir akan terkenangkan Pai Epal Cafenya itu.

“Cik Yaya sayang!” panggilnya sekali lagi. Kami berjalan senada. Haruman minyak wanginya terus mendebarkan. Kalaulah bulu roma ni boleh bersuara atau menjerit, memang dah lama mereka menjerit dan pengsan! Aku menoleh mamandangnya sambil dia menghulurkan buah jambu batu yang berbungkus dengan plastik kepadaku.

“Ambillah! Saya belanja !” tersenyum lagi. Ada lesung pipit melekat betul-betul di bola mata ini. Lesung pipit itu, milik dia. Amboi, Yaya ! Aku tersenyum geli hati ! Dia turut sama menerbitkan matanya yang bercahaya itu.

Tidak sanggup pula untuk aku menolak pemberiannya. Rezeki jangan dipinggirkan, betul tidak? Ada juga sebotol air yang dihulurkan dengan penuh ‘kasih dan sayang’ untukku. Tengok, aku sudah terlebih gatal pula! Hik hik hik. Iyalah, sekali dengan cara dia menjeling-jeling dan lembut saja menghulurkan air berkenaan. Rasa makin sayang pula aku dengan keprihatinannya terhadap aku. Ditambah dengan lesung pipit sederhananya yang memikat. Luruh jantung dibuatnya!

+Amboi, gatal nya!
-Serius, nervous! Rasa nak pitam pun ada berjalan dengannya. Sudahlah angin pagi yang sepoi-sepoi bahasa menemani kami berdua. Syahdunya rasa. Cemburulah tu!
+Siapa yang cemburu, Yaya? Saya tak hairanlah! Pakwe saya lagi kacak dua puluh kalilah!
-Eh, eh! Izz Amir kacak empat belas juta kali, okey? Sekali lagi aku tekankan di sini, empat belas juta kali. Kau ada? Kau ada?
+Perasan!

“Cik Yaya sayang, awak rasa ibu akan terima saya ke?” soalnya tiba-tiba. Jambut batu yang baru saja masuk ke dalam mulutku tersekat di kerongkong. Dengan pantas aku membuka air mineral yang dihulurkannya. Punggungku terus duduk di sebuah kerusi kosong. Melati dan Adnan dari jauh melambai-lambai kami berdua. Hei, dia ni, suka sangat buat aku tercekik! Dulu, air suam tersembur, kemudian tutti frutti jatuh ke bawah dengan aku-aku sekali menggelongsor! Kini, aku tercekik buah jambu batu pula!

Aku teguk air mineral dengan perlahan-lahan. Soal ibu jangan dibuat main-main. Lelaki ini biar betul! Seriuskah dia? Dia turut sama duduk sambil menanti aku dengan penuh kesabaran. Aku letakkan buah jambu batu berkenaan di sebelahku. Izz Amir turut sama duduk memandang aku dengan wajah bimbangnya. Plastik berkenaan dipegangnya pula. “Saya tanya mengenai ibu pun awak nervous? Nanti awak tercekik buah jambu batu, habislah saya nak bersoal jawab dengan Nek Pa dan ibu. Matilah saya nanti, Cik Yaya sayang oi!”

Izz Amir pantas menambah, “Awak okey tak ni?” wajahnya penuh risau dan bimbang.

Aku capai kembali buah jambu batu yang dipegangnya. “Siapa suruh awak ikut saya balik Mersing? Saya boleh sahaja naik bas sendiri.”

Eh, dia yang naik kereta kita! Siapa suruh awak naik kereta saya? Kenapa awak tak jalan kaki saja?”

Eh-eh! Bukan main lagi cara dia menjawab! “Awak paksa saya balik Mersing dengan cara gila awak. Awak jawablah sendiri dengan ibu! Saya peduli apa!” aku kunyah lagi jambu batu berkenaan.

“Okey! Fine! Fine! Fine!” gaya Shuib Sepah pula dibuat lelaki berwajah empat belas juta ini. “Saya akan cakap, awak yang rela mengikut saya! Saya tak kisah, apa nak jadi, jadilah! Saya terus akan pinang awak dan terus menikah. Ibu setuju atau tak, saya tak peduli!”

Aku terngaga. Kalau lalat sebanyak lima puluh ekor masuk pun, akan berjaya dimuatkan! Aku katup kembali mulut yang terbuka. Suaranya deras lagi membuatkan aku terkejut. “Saya akan mengaku depan ibu dan Zainal! Kita tengok siapa yang berani! Saya lagi suka!” Izz Amir tersengih. Jika tadi dia serius, tetapi sekarang boleh tersenyum-senyum sumbing macam kambing.

“Suka apa?” aku memandangnya dan mengunyah lagi jambu batu dengan penuh rasa geram. Eeeee, menyusahkan! Selalu buat fikiran aku serabut dengan sikap jiwang karatnya yang terlebih-lebih dos ini. Apa lagi agaknya pengakuan gilanya jika dia berjumpa dengan Nek Pa dan ibu nanti?

“Saya cakaplah dengan ibu dan Nek Pa, saya sukakan awak dan saya akan menikah dengan awak! Habis cerita!” suaranya menjahamkan lagi proses perjalanan darahku. Astaghfirullah. Segera aku bertasbih dan mengawal pernafasan. Menelan air liur dan menepuk-nepuk pipi. Adakah aku bermimpi kala ini? Eh, tidak! Ini bukan mimpi. Ini kenyataan.

“Saya serius awak tahu tak? Apa, awak ingat saya main-main ke?” Dia tersenyum.

Aku terkaku. Ouch, tika saat ini juga seperti ada daun-daun sakura berguguran. Ditambah dengan lagu Anuar Zain, Keabadian Cinta menemani. Gila! Lelaki ini memang gila! Wayar dalam kepala Izz Amir tersumbat agaknya! Tetapi aku sembunyikan senyuman rapat-rapat. Kawal Yaya! Kawal! Jual mahal perlu saat ini!

“Gila! Awak memang tak reti bersabar! Ingat kerja-kerja menikah ni ambil masa dua tiga jam ke?”

“Eh, senang apa! Panggillah tok kadi! Kalau dua tiga tahun pun saya tetap akan tunggu!” dia menjawab lagi. Aku merengus kasar dan menyuap lagi jambu batu ke dalam mulutku. Aku diam tetapi mata menjelingnya yang memandangku dengan serius.

“Jadinya awak setujulah ya? Kahwin dengan saya?” Izz Amir terteleng-teleng kepalanya mengusik aku. Kemudian tersengih lagi. Bohonglah jika aku katakan yang aku tidak mencintainya. Penat pembaca-pembaca kesayangan membaca kisah ini. Sampai ke bab bab 22 sudah! Selalu tersenyum sumbing dengan kesengalan Yaya dan Izz Amir. Tak kan pula puan penulis mahu memisahkan mereka berdua, kan?

Mata terkebil-kebil lagi! Rasa kasih dan sayang aku memang sudah sah-sah tertumpah untuk lelaki berwajah empat belas juta ini. Tetapi aku lebih suka bersahabat dengannya. Lebih suka kami menjalinkan hubungan seperti sekarang ini. Antara majikan dan pekerja. Jika dia menjadi sudu, bolehlah aku menjadi garfunya. Juga antara irama dan lagu. Aku mahu hubungan seperti itu yang perlu dibatasi. Apa juga perkara yang aku lakukan, aku harus beringat akan Tuhan. Ibu berkali-kali berpesan. Ibu juga selalu mengingatkan.

Tetapi, mampukah aku menolak rasa cinta yang semakin hari semakin kuat untuknya?

Aku tarik nafas dan gigit bibir bawah. “Ibu…” aku tunduk memandang lantai. Fahamkan dia tentang sikap ibu dan permintaan ibu?

“Ya, saya tahu!” Izz Amir megangguk tanda faham. Ya, dia terlebih faham selepas beberapa bulan perkenalan kami ini. Dia malahan tahu apa kemahuan ibu. “Bermakna cik Yaya sayang memang sukakan saya lah ya?” senyumnya melebar. Overdos dan terus mekar sampai ke telinga. Kalaulah dia bukan di depan mata, mahu aku meloncat-loncat di atas katil! Menari-nari pop yeh-yeh dengan Fatin pun akan berlangsung agaknya.

“Suka sikitlah! Kalau seratus juta, saya letak…” aku memikir-mikir. Izz Amir memandang aku dengan penuh minat. Ah, malunya!

“Berapa?” Izz Amir tersengih dan menyumbat buah jambu batu ke dalam mulutnya. Buat-buat muka sengal. Tapi kacak menawan wajahnya sampai ke hati dan jiwa. Ah, jiwang pula aku ketika ini. Jatuh dari bangunan lapan belas tingkat pun aku rasa akan bernyawa lagi! Eh, melawan takdir nampaknya!

“Empat belas juta!” aku tersenyum. Begitu juga dia. Wajahnya bersemangat dan terus bersemangat.

“Okey. Saya akan pujuk ibu. Saya akan jadi ustaz muda di kampung awak nanti. Nek Pa pun gerenti akan suka!” Izz Amir pantas berdiri. Dia pantas memandang aku dan terus tersenyum. “Saya gerenti, awak pun akan terpikat terus ke seratus juta kali!”

Dan perjalanan kami pagi itu terus ke Mersing membawa hasrat hati dan murninya untuk bergelar ustaz muda kepada Nek Pa dan ibu. Ustaz sangatlah kan? Baik, aku akan tengok, sejauh mana dia boleh memikat hati ibu dan Nek Pa.

Melati kembali tidur nyenyak. Adnan juga. Aku sesekali menemani Izz Amir yang tekun membawa Volkswagen Beetlenya. Angin dingin terus menemani kami kini. Aku tidak pasti sejauh mana seriusnya hasrat lelaki yang kini berada di depanku. Cuma doaku, kalau lelaki ini benar-benar mahu memiliki sekeping hati ini, aku pohonkan Allah tunjukkan jalan agar dipermudahkan hubungan ini.

Ya, aku kini jatuh cinta dengan dia. Sama rasanya ketika kali pertama aku dipertemukan dengannya di dalam cafenya. Ketika aku jatuh dari tangga juga sama perasaan dan rasa seperti kala ini. Rasa yang sama juga ketika dia menemani aku menolak skuterku, Miss MJ Ungu yang rosak itu. Juga ketika pertemuan demi pertemuan kami yang memenjarakan rasa rindu! Paling aku ingati, ketika kami menikmati pizza hut di atas bukit indah itu.

Paling klasik ketika kami sama-sama mengutip buah epal yang bertaburan! Jantung terus berdebar-debar. Urat darah terus rasa mahu tersumbat bila Izz Amir menjeling aku dengan senyuman menawannya melalui cermin pandang belakang. Ah, terus sahaja aku tarik baju sejukku untuk kali kedua dan tidur bermimpikan dia. Cet! Aku tersenyum lagi dan lagi!

Eh, adakah aku kini bergelar kekasih hatinya seperti di dalam novel-novel cinta itu?

***
Bau laut semakin dekat dengan hidung ini. Ah, tak sabarnya nak bermandi manda! Aku pandang Nek Pa yang matanya memandang kami semua.

Eh, bukankah ucu Zainal bilang yang Nek Pa sakit? Ini batang tubuh Nek Pa tegap, sihat walafiat dan dengan senyumannya ini apa? Zainal ini menipukah? Aku pantas menoleh memandang Izz Amir dan Adnan yang menggalas beg masing-masing. Aku perhatikan Izz Amir betul-betul. Sejak bila pula ada kopiah putih di atas kepalanya itu? Aku terkebil-kebil dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Berlakon lebih!” Melati berbisik ke telingaku. Terkekek-kekek dia ketawa melihat Izz Amir dengan kopiah di atas kepalanya. Patutlah Nek Pa tak berkelip-kelip matanya memandang Izz Amir. Nek Pa terpikatkah? Ah, sudah!

Moleknya kawan mung ni, Yaya!” mata Nek Pa memandang lagi Izz Amir.

Aku tersengih mendengar loghat Terengganu Nek Pa yang sengaja di buat-buat. Jika sesekali Nek Pa bertemu tetamu baru, pastinya tetamu akan terhairan-hairan dengan loghat Nek Pa. Ya, ada juga penduduk Mersing yang berasal dari Terengganu dan entah di mana aku malas mahu mengambil tahu sejarah dan susur galur keluarga ibu di sini. Bumi Mersing yang juga kebanyakannya dihuni oleh generasi pelaut. Laut, sinonim dengan Mersing! Juga terdapat banyaknya perahu-perahu dan bot nelayan yang menggamit suasana di pantai. Ah, paling indah jika melihat mentari menjunam di Tanjung! Bot-bot nelayan yang keluar masuk di muara Sungai Mersing juga akan membikin jiwa rawan menjadi tenang!

Jemari ini dengan pantas menyalam Nek Pa dan diikuti Melati yang tersengih dari tadi. Mata Melati segar bugar kerana selama beberapa jam perjalanan, dialah manusia yang paling nyenyak tidur!

Molek mananya Nek Pa? Jauh ke laut wajahnya!” aku tersengih sambil mata menoleh memberi arahan Izz Amir dan Adnan segera mengikut aku masuk. Izz Amir menjeling aku! Wajahnya masam mencuka mendengar aku berbual-bual dengan Nek Pa.

“Eh, lawa budaknya, Yaya! Nek Pa suka! Masuk-masuk! Kamu memang suka menyakat tak habis-habis. Eh, siapa namanya ni?” Nek Pa mula teramah mesra. Tubuhku dipeluk erat dan pipiku dicium penuh rindu oleh Nek Pa.

“ Saya Izz Amir, Nek Pa! Kawan baik Yaya. Yaya yang saya sayang!” Lelaki berwajah empat belas juta kali yang sekejapan berada di belakangku terus memperkenalkan diri. Berdesing telinga aku mendengarnya. Nek Pa ketawa tiba-tiba! “Saya Adnan. Kawan Izz Amir.” Adnan pula memperkenalkan diri. Nek Pa terangguk-angguk dan terus tersenyum.

“Nek Pa comellah. Macam Yaya!” usik Izz Amir membuatkan Nek Pa tersenyum senang.

“ Yaya mesti cerita macam-macam dengan kamu semua ya!”

“Eh, hari-hari dia bercerita tentang Nek Pa. Rindulah, sayanglah. Inilah yang saya sanggup bawakan dia balik ke sini. Hanya semata-mata sebab Nek Pa.” Izz Amir beramah mesra. Sekejapan sahaja Nek Pa boleh rapat dengan lelaki ini.

“Cantik rumah Nek Pa!” Izz Amir memancing lagi sambil mata Nek Pa melekat memandang Izz Amir. Asyiklah tersenyum dari tadi. Seolah-olah aku tidak wujud di hadapan mata Nek Pa. Apa yang telah terjadi dengan Nek Pa saat ini? Dia pula asyik membetulkan kopiah yang diletakkan di atas kepalanya. Ustaz mudalah sangat, kan?

“Mari Nek Pa tunjukkan bilik Izz Amir dan Adnan. Baik kamu bertiga rehat-rehat dulu. Ibu dan Fatin selepas solat Subuh tadi, terus keluar ikut Mak Su dan Zainal ke pantai. Banyak ikan baru pagi-pagi begini. Mata Izz ni pun, Nek Pa tengok merah sangat sebab penat. Nanti Nek Pa masak sedap-sedap. Melati pergi rehat sekali! Yaya, jom-jom, kita ke dapur!”

Erk!

Kenapa Nek Pa tak benarkan aku berehat seperti mana disuruhnya Izz Amir, Adnan dan Melati ? Mengapa aku harus ke dapur? Tidakkah ini satu perbuatan yang tidak adil kepada diri aku? “Nek Pa, Yaya pun penat. Yaya nak baring dulu! Yaya penatlah!”

Izz Amir menjeling aku dan tersengih. “Tak baik awak ingkar arahan Nek Pa. bukan selalu pun awak balik ke kampung, Yaya! Masak untuk saya sedap-sedap ya!” Kakinya pantas mengikut Nek Pa dan mereka berdua terus berbual-bual mesra. Amboi-amboi! Dia pula yang memandai arahkan itu dan ini. Melebih-lebih Nek Pa pula.

“Iya Yaya. Ibu kata Yaya belajar jadi chef. Bolehlah tunjuk taring sekali sekala dengan Nek Pa di dapur!” Nek Pa memberi senyum manisnya. Izz Amir menjeling tanda kemenangan.

Aku dekatkan tubuh mendekati Melati yang berdiri di sebelahku. Aku berbisik, “Melati, aku rasa dia dah guna-gunakan Nek Pa lah! Eeee, geramnya aku tengok. Macam kecik saja aku tengok muka dia!”

Melati mengangguk dengan wajahnya cengkung dan tersengguk-sengguk lagi menahan mengantuknya. “Aku ngantuklah Yaya! Nanti kita sembang ya! Tak sabar nak baring atas tilam empuk dan menikmati bau laut dalam rumah Nek Pa ni. Nanti kita bual-bual ya.” Melati pantas membuka pintu. Beg aku ditarik perlahan oleh Melati dan sekejapan bunyi Melati melabuhkan tubuhnya ke tilam empuk kedengaran. Izz Amir dan Adnan terus menghilang masuk ke dalam bilik yang ditunjukkan oleh Nek Pa.

Nek Pa memandang aku. “Kita tunggu ibu kamu balik sekejap lagi! Mak Su kalau tengok Yaya balik dan bawa kawan-kawan mesti dia seronok. Jom, kita ke dapur. Kawan-kawan tu kita biarkan rehat! Kita siapkan sarapan! Jom! Jom!” arahan Nek Pa bagaikan sasau dibuatnya! Aku tersengih dan Nek Pa berjalan terus ke dapur.

“Yaya!” suara Izz Amir kedengaran tiba-tiba. Bunyi pintu bersatu bersama angin.

Aku menoleh memandang Izz Amir yang tersengih. Nek Pa pantas berjalan meninggalkan aku. Izz Amir menyelak langsir ala-ala si pengantin lelaki yang malu-malu masuk ke dalam bilik. Ah – berangan lagi aku di saat-saat begini, ya? Cet! Izz Amir sedang berdiri dengan termangu-mangu. Matanya masih merah menyala-nyala.

“Kenapa? Awak nak apa ?”

Dia garu kepala. Kopiah di tangan kirinya kini. Memang kacak! Tengoklah hidungnya yang terpacak itu. “Nanti saya nak mandi!” suaranya melekat di dalam minda.

Eh. Apa pula kena mengena perkataan ‘mandi’ dengan aku? Mandi sahajalah! Amboi, manjanya, siap beritahu nak mandi!

“Mandi sahajalah. Air banyak dalam kolam tu !”

“Awak masakkan air panas, boleh ? ” mukanya sepuluh sen kini.

Aku menyengitkan mata. “Eh..tak boleh ! Tak boleh! Nak jadi ustaz muda kena tahan diri dari segi aspek fizikal dan mental. Ala, air tu sejuk sikit saja! Ngada-ngada!”

“Ingatkan dapatlah saya bermanja sikit dengan awak di sini. Kena bulilah saya! Kesian!” Izz Amir cuba memancing. Aku menoleh meninggalkan Izz Amir yang masih berdiri di muka pintu. Suaranya sekali lagi melekat pantas, “Yaya !”

“Ya ?!” aku menoleh dan memandangnya sekali lagi.

Errr….” Dia sengih.

“Kenapa awak tersengih macam kerang busuk ni ? ” aku pandang wajah maskulinnya.

“Nanti kita jalan-jalan. Tengok matahari tenggelam! Awak tahu tempat yang paling cantik kan?” Izz Amir tersenyum menawan. Matanya bercahaya penuh rasa cinta. Rasa mahu sahaja aku memerhatikan matanya yang indah itu. Eh, tak boleh! Tak boleh!

Aku tersenyum mengada-ngada. Alahai, jiwang karatnya. “Tahu! Nanti kita pergi sama-sama. Bawa Melati dan Adnan sekali! Eh, saya nak cepat ni! Nanti Nek Pa panggil lagi!” aku pantas melangkah. Kembali berjalan semula.

“Cik Yaya sayang!” panggilnya kali kedua. Kaki aku secara automatiknya berhenti dan aku berpusing memandangnya.


“Ya, Izz!” Entah kenapa dada berdebar-debar pula. Hahahaha. Rasa suam-suam kuku pun ada bulu roma ini. Gatal sungguh rasanya ni! Aku sudah memanggilnya dengan nama ‘Izz’ pula!

“Nek Pa comel dan baik ! Macam awak !” Izz Amir berpeluk tubuh. Dia sengih lagi dan lagi. Harus aku pengsan sebab sambil tersengih dia meletakkan kembali kopiah putihnya itu. Alahai. Kacaknya dia! “Ada gaya Imam Muda Izz Amir tak?” soalnya bersahaja.

Usus dan paru-paru menggeletek ketawa! Izz Amir ketawa. Begitu juga dengan aku !

***

Ibu diam sahaja mendengar perbualan Izz Amir bersama Zainal. Sesekali aku memandang ibu yang turut sama mahu membantu mengupas bawang. Tongkat di sandarkan sahaja di meja. Adnan pula sibuk bersama Melati dan Fatin di luar rumah. Kebetulan, pohon rambutan sedang berbuah dengan lebatnya. Terjerit-jerit Melati mengarahkan Adnan itu dan ini. Panjat tinggi sikitlah, kanan sikitlah, kiri sikitlah !

Aku, Izz Amir, Mak Su dan Nek Pa. Kami kini duduk bersama di dapur ! Zainal pula menjadi pemerhati dan sesekali berbual-bual mesra dengan kami. Pantang betul ya bila ada seorang chef di dapur. Maka, dengan itu, Izz Amir dengan rasminya menawarkan diri dan membantu Nek Pa masak untuk tengahari kali ini. Ibu ? Ya, aku perasankan wajah terperanjat ibu bila dia mendengar suara Izz Amir. Merah muka ibu dengan anggukan menerima kedatangan Izz Amir. Hari yang penuh dengan kejutan untuk ibu. “ Ibu tahu kan?” Izz Amir menyoal ibu.

“Tahu apa ya Izz?” ibu bertanya kembali Izz Amir.

“Yaya kerja dengan saya di Pai Epal Café! Eh, ibu tahukan ?”

Aku terkaku! Peluh turun mencurah-curah. Pembohongan aku dengan sekali lafaz sahaja terbongkar. Aku membohongi ibu yang aku bekerja di Gemilang Café dan kini Izz Amir sendiri memberitahu perkara yang sebenar dengan ibu.

Kejutan untuk ibu. Wajah ibu terus berubah dan suasana tadi yang diliputi keceriaan ibu kini mendung sekali. Izz Amir memandang aku mahukan kepastian.

“Ibu tahu! Ibu memang tahu !” aku berbasa-basi. Aku berbohong lagi ! Debaran memuncak bila ibu meletakkan pisau dan bawang di atas meja. Wajah ibu diselaputi sesuatu yang sukar aku gambarkan. Berdosanya aku dan musnahlah segala rancangan Izz Amir.

“Ya! Ibu tahu. Yaya ni memang perahsia. Ibu tahu pun dari mulut Fatin !” ibu tersenyum. Dan aku tahu itu senyuman pahit dari ibu. Izz Amir pantas membuat kerjanya. Aku duduk bersebelahan ibu dan perlahan-lahan aku tarik jemari ibu. Nek Pa kini sibuk membuat itu dan ini. Ibu menolak jemariku. Sekali lagi, aku menarik jemari ibu dan rasa bersalah menghuni di hati.

Ibu menolak lagi dan aku memandang wajah ibu. Gerimis tiba-tiba mendatangi hati.

“Yaya takut ibu marah dan tak benarkan Yaya belajar di sana ! ” Aku mengaku akhirnya di hadapan ibu dan Izz Amir memandang aku dengan wajah penuh tanda tanya. Dia yang sedang menggoreng ikan memberhentikan aktivitinya. Secara tiba-tiba Nek Pa turut sama berhenti membasuh sayurnya. Ada rahsia lagi di antara kami yang perlu aku selesaikan.

“Izz... bawakan ibu masuk ke dalam bilik ! ” Ibu menolak kerusi dan bangun dengan perlahan-lahan. Izz Amir yang terpaku akhirnya membantu ibu dan memandang aku dengan renungan berbezanya. Dia membawa ibu ke sinki dan ibu membasuh tangan dengan penuh rasa syahdu. Tongkat ibu pantas menjadi teman.

Sumpah dan demi Allah bahawa aku telah berdosa dengan ibu. Sebak terasa dan bila ibu cuba berbual-bual mesra dengan Izz Amir, air mata ini tumpah terus menerus tanpa mahu berhenti. “Izz, ibu tak suka anak-anak ibu berbohong dengan ibu!”

“Ibu nak tidur dan tenangkan fikiran sekejap! Anak ibu dah kecilkan hati ibu.” suara ibu menghantar aku ke daerah paling sepi kala ini. Aku bangun dan menerpa ke arah ibu. Aku tarik lengan ibu dan aku biarkan Izz Amir memandang aku dengan rasa serba salahnya. Ibu menolak lagi.

Di dapur itu juga dan bersaksikan Nek Pa dan Mak Su, aku menangis tersedu sedu. Bila Zainal, Melati dan Fatin menjengah bersama buah rambutan yang masak meranum, aku bangun dan berlari ke luar.

Cukup sekali sahaja untuk kali ini. Aku tidak pernah menjangkakan yang aku telah mengecilkan hati ibu. Sama sekali tidak! Adakah aku sudah menjadi anak yang derhaka dengan ibu?

'Anak ibu dah kecilkan hati ibu'. Dan sungguh, aku tidak tahu ke mana arah lagi untuk aku berlari. Sekuat mana aku berlari, ia membawa air mata yang paling deras di hati dan mengalir-ngalir di pipi. Aku berdosa. Berdosa dengan ibu sendiri.

7 ulasan:

  1. puan author...sedih...(menangis sebanyak 3 anak sungai cetek)

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama6/3/12 16:48

    Saya pun sama. meleleh-leleh baca, Huwaaaa

    BalasPadam
  3. Dengan ibu jangan sesekali berbohong....bila ibu terasa hati...sedihhhh tak terperi....Ishh..ishh,susah laa mau crita....

    BalasPadam
  4. @green 3 anak sungai cetek? hahahaha. sabar ya kak. nanti saya sambung bagi leleh leleh lagi..

    BalasPadam
  5. @Amy ish ish....si Izz Amir ni mulut nak kena cili! hehehe

    BalasPadam