Pages

29 Julai 2010

PELANCARAN PROGRAM GERAKAN SUBUH




Tarikh : 1 Ogos 2010 / 20 Syaaban 1431H (Ahad)
Masa : 5.00 Pagi
Tempat : Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta KL.
Anjuran : Sekretariat Gerakan Subuh


Acara :
• Qiyamullaill / Iktikaf di Masjid
• Solat Subuh Berjemaah
• Zikir Munajat
• Kuliah Khas Subuh ”Keajaiban Solat Subuh Berjemaah”
Oleh Y.Bhg Us Wan Sohor Bani Leman (UIA)
• Taklimat Khas Gerakan Subuh
Oleh Y.Bhg Tuan Hj Mohd Azmi Abd Hamid (Presiden TERAS)
• Perasmian Pelancaran Gerakan Subuh
Oleh Y.Bhg Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abd Aziz (KP JAKIM)
• Sarapan Pagi

MUSLIMIN & MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR
”MARI KITA BINA UMMAH MELALUI SOLAT SUBUH BERJEMAAH”

28 Julai 2010

Ulasan Travelog Cinta Abadi



Menarik!.
Bahkan membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak walau
saya tidak pernah mengenali apa itu lampu gasolin. Walau saya tidak pernah tahu
bahawa satu waktu dahulu amat indah apabila dikenangkan dan dibukukan. Kisah epal hijau,kutu yang memberi makna, erti hati, rindu, kulit rambai, mengkudu dan segalanya diadun dengan begitu baik.

Syabas dan tahniah untuk PTS Islamika. Juga kulit bukunya iaitu bunga ros berkembang mekar dengan warna merah yang memberikan kesegaran ketika saya menyentuhnya untuk pertama kali.

Maka, inilah hasilnya. 90 bab yang menawarkan keindahan dan kisah-kisah kenangan.
Ini mungkin kenangan yang apabila dibukukan akhirnya berbalik kepada diri kita. Perkembangan dari proses menjadi anak kecil sehingga meningkat dewasa. Puan Roza Roslan memberikan saya sendu beberapa kali. Mujur juga saya tidak menangis di dalam LRT.

Namun, ada beberapa kesilapan ejaan yang perlu dipandang serius oleh
editor. Kerana leka dengan sentuhan dan gaya bahasa yang mudah dihadami
oleh penulis buku ini, maka kita tidak akan perasan dengan kesilapan kecil ini.Ia boleh diperbaiki kelak.

Ini ulasan biasa dari saya seorang penulis untuk buku yang bernilai ini.
Betul kata Puan Nisah Haron di dalam ruangan khas buku ini bahawa remaja hari ini seharusnya memiliki buku ini untuk ditatap dan difahami kerana remaja hari ini terlalu beruntung dan bertuah kerana dipenuhi dengan kemewahan berganda-ganda.
Sekali lagi, berganda-ganda tahniah untuk PTS Islamika dan penulis buku ini, Puan Roza Roslan.

Paling utama, saya tidak sabar membaca sambungan kedua buku ini.

23 Julai 2010

Keow Teow Goreng Sotong

Kata orang, tambatlah hati suami dengan masakan. Maka hari ini saya layarkan
resipi keow teow goreng sotong yang berjaya saya hasilkan. Maaflah hari ini entry saya tentang masakan pula. Saya memang minat memasak. Pantang ada bahan. Jangan tidak tahu, selain dari menulis, saya juga amat pandai memasak dan melukis! Cuma belum lagi diasah bakat ini. Cheh!

Untuk makluman kawan-kawan, 1 bungkus keow teow pada malam itu habis! Tidak percaya? ha ha ha. Memang saya dan suami lapar dan oleh kerana kesedapannya maka akhirnya habis masuk ke dalam perut.
Erk!, Alhamdullillah.

"Memang sedaplah isteri abang masak. Siapa ajar?"

"Emak mertua!"

Suami menjeling dan ketawa.

Okey kawan-kawan, mari layan resipi ini. Selamat mencuba!

Keow Teow Goreng Sotong

1 bungkus Keow Teow
Cili yang dimesin (2 sudu atau 3 sudu)
Bawang putih 3 ulas - ditumbuk/dicincang halus
Bawang besar 2 biji - ditumbuk/dicincang halus
2 biji telur

Sotong (dipotong mengikut kesukaan)
Daun kucai
Sedikit sayur kubis
Setengah mangkuk air
Kicap manis

Garam
Serbuk perasa

Telur digoreng seperti telur cincang. Gunakan minyak yang sedikit sahaja.



Tumiskan bawang putih & besar sehingga kekuningan. Kemudian masukkan cili dan goreng garing. Masukkan sotong dan goreng bersama. Masukkan kicap, garam dan serbuk perasa.
Air dimasukkan(jangan terlalu banyak) dan tunggu mendidih.



Kemudian masukkan sayur kubis.
Gaul bersama dan masukkan keow teow tersebut.
Paling akhir, masukkan daun kucai dan gaulkan telur yang telah dimasak tadi.





Goreng perlahan sehingga sebati. Jika mahu hitam, masukkan kicap lagi!

Yeah, siap dihidang!



Kak Aisha dan Sa'adiah, amacam? Bolehlah mencuba nanti!

20 Julai 2010

Khabarnya - Novel Kedua


Alhamdulillah
Segala puji bagi Allah SWT yang memberikan nikmat ini.
Nikmat pancaindera dan segala kekuatan ilham yang datang dari lubuk hati. Terdetik di hati bahawa segala perkara yang diaturkan oleh Ilahi ini adalah bertujuan memberikan manusia kekuatan kepada cabaran dan rintangan.

Gembira.
Saya menjadi seorang hamba Allah yang paling gembira dan penuh kesyukuran kerana novel kedua bakal diterbitkan bulan Ogos ini. Bukan pada bulan September seperti yang diura-urakan. Tunggukan naskah ini dan semestinya saya sedang berfikir-fikir bagaimana kaver novel tersebut. Semestinya ia cantik, tenang dan mengujakan saya nanti. Apa sahaja bentuk dan warna, saya akan terima ia dengan tangan terbuka.

Tajuknya masih menjadi rahsia dan InsyaAllah akan saya warkan setelah diterbitkan. 10 bulan selepas kelahiran pertama Lukisan Jiwa, akhirnya novel ini berjaya saya angkat dengan buah tangan yang sungguh saya kagumi sendiri.

Barangkali kerana novel kedua ini saya alirkan dengan konsep tawakal, keimanan dan kecekalan seorang wanita. Menjatikan diri seorang muslimah dengan ketenangan sebuah perkampungan dan daerah terpencil yang memberikannya kekuatan. Seolah saya tidak sabar ia terletak sebaris dengan novel-novel karya penulis PTS. Promosi habis-habisan. Itu agenda pertama saya untuk novel kedua ini.

Semasa ini, saya sedang rancak menyambung kisah novel ini. Dwilogi yang lebih kemas plotnya dengan perkembangan watak-watak yang mencabar diri ini. Bukan mudah untuk menulis sebenarnya apabila dihimpit kemalasan, kepenatan dan beberapa agenda peribadi. Ya, saya berkahwin dan memerlukan masa yang rapi untuk memastikan jadual menulis itu sentiasa teratur. Walau kini masih belum teratur sebenarnya. Banyak yang sedang saya dan suami fikirkan untuk perkembangan rumahtangga kami yang menginjak 7 bulan. Alhamdullilah kerana kami mendaki sebuah kematangan kehidupan apabila berdua. Rupanya banyak yang perlu saya belajar mengenai lelaki. Ops! cukup sahaja sampai di sini, tidak mahu cerita panjang-panjang. Kawan-kawan semua, jangan lupa nantikan novel kedua saya. Dapatkan yang tulen di pasaran. Jangan pinjam-pinjam ya!

Serba sedikit tip Bahasa Sastera : Dialog yang menggunakan ayat lengkap adalah lebih indah dibaca. Kawan-kawan bolehlah
membaca di universitipts. Klik di sini.

Gambar ikan keli yang ceritanya dimuatkan di dalam novel kedua ini dicuplik dari sheikh google.

13 Julai 2010

Terima kasih




Bulan Julai. Rahmat dan paling penting banyak hadiah bermakna kepada diri sempena ulangtahun kelahiran ke 27. Tahun ini saya tidak paparkan gambar kek yang dicuplik dari pakcik google. Tetapi kek hadiah dari suami tersayang. Terima kasih kerana sambutan yang penuh doa dan sederhana. Sesungguhnya tiada yang saya minta selain kasih sayang berkekalan dan doa untuk hubungan ini sehingga ke syurga.

Pertama : Almari dan meja baharu.

Apa yang saya idamkan tercapai dengan sekelip mata. Bukan beg berjenama dan kasut cantik yang sering menjadi impian si gadis atau mana-mana wanita. Ya, saya tidak pernah sekali meminta barangan ini. Cukuplah sekadar sebuah almari buku baharu untuk menempatkan timbunan buku-buku yang sudah memenuhi almari kecil dan juga sebuah meja kecil untuk saya menulis dengan baik dan tempat ilham ini diturunkan.Terima kasih kepada suami yang memasang segala keperluan ini. Terharu. Proses mengemas bilik sederhana kami mengambil masa selama 1 minggu kerana saya memerlukan masa yang cukup untuk mengubah segala isi di dalam bilik agar nampak kemas dan teratur. Kemas dan bersih, itu kemahuan saya supaya saya dan suami selesa apabila pulang ke rumah. Kerana rumah ibarat syurga kecil untuk kita berehat selepas penat pulang dari bekerja.

Kedua : Baucer MPH 150 dan Majlis Pengiktirafan Berita Kijang 2009.




Ini adalah hadiah yang paling saya suka sekali!. Baucer yang membolehkan saya membeli belah buku di mana-mana MPH terpilih.

"Abang mahu majalah kereta, boleh?"

"Eh, boleh-boleh."

"Tiga ya!" kata suami dengan tersenyum sambil memandang baucer.

Majlis Pengiktirafan Berita Kijang 2009 diadakan sehari selepas tarikh hari jadi saya iaitu 5 Julai 2010. Tetapi sedikit kecewa kerana tidak dapat duduk bersama Gabenor Bank Negara iaitu Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. Sesiapa juga pasti berkenan dengan aliran baju kurung yang sentiasa mendominasi pakaian beliau sehari-hari. Walau duduk di meja utama bersama Penolong Gabenor Puan Shamsiah Mohd Noor dan beberapa pengarah berkaliber dan rakan baharu, terasa juga diri ini kekok.

Saya mahu cepat makan dan cepat menghilangkan diri. Saya mahu lekas balik. Arghhh! Kerana saya tidak suka makan dengan penuh protokol. Tolong! Tolong! Dan petang itu saya balik dengan perut yang maha lapar. Kerana saya ingatkan saya akan duduk di meja lain, tetapi akhirnya duduk di meja utama! Gelakkan diri sendiri wahai Mardihah!

Tidak mahu menulis panjang lebar menulis kerana saya sertakan gambar yang diperolehi dari pihak sekretarait. Saya bertudung ungu!.




Ketiga : Kek dan hadiah di bawah tudung saji.




Kek dan sebuah bungkusan menarik hati saya. Terharu kerana saya tidak pernah membayangkan menerima hadiah ini. Terima kasih wahai pujaan hatiku. Tidak mahu menulis banyak lagi kerana ini lebih kepada perihal peribadi, maka saya layarkan gambar-gambar ini untuk tatapan pembaca semua.



Terima kasih juga kepada semua rakan-rakan pembaca, penulis, rakan editor PTS yang mengucapkan selamat hari jadi di ruangan facebook saya. Semoga ikatan ukhwah terus bersemi, InsyaAllah.

02 Julai 2010

Bila?



Ayah bertanya, “Bila cerita ayah akan keluar?”

Saya tersenyum bersahaja sambil memandang awan-awan yang setia menemani. Telefon saya genggam kemas.

Satu hari nanti, kisah ayah akan mengalir tenang. Akan mengalir dalam diri karya lengkap abadi seorang yang bernama ayah. Lengkap namun akan ada air mata mengalir-ngalir saat jemari mengisahkannya. Itu janji saya.

Gambar ini ketika kami sekeluarga berjalan-jalan sekitar Bandaraya Melaka. Bersama suami dan adik-adik tersayang. Gambar yang tidak penuh dengan latar hitam namun ada wajah ayah dan lihat matanya itu. Macam sayakah?

p/s : Di sisi lain, kelihatan tangan emak sedang menunjuk sebuah kapal UFO yang lalu. Kami nyaris-nyaris masuk ke dalam kapal berkenaan tetapi ayah enggan kerana lembunya 'Si Merah' tiada penjaga nanti. Lembu kesayangan ayah juga sudah ada 3 ekor sekarang. Pulang ke kampung, saya akan ambil gambar kamu Si Merah, buah hati ayah!