Pages

30 Oktober 2011

Mr Pai Epal 6

Sambungan Mr Pai Epal Bab 6 hari ini. Semoga terhibur dan senyum-senyum sampai telinga, okey! Mari kita bermimpi indah-indah dan moga menjadi nyata! ^___^





Tepat jam 5.30 petang. Aku bergegas membawa skuterku menuju ke stesen minyak berdekatan. Beginilah rutin harianku, setiap hari Isnin sehingga Jumaat aku akan bekerja bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang sebagai kerani di syarikat ini. Jam 6.00 petang pula aku akan bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak. Kerjaku akan tamat lebih kurang jam 10.00 malam. Sekiranya kilang percetakan memerlukan pekerja pembersihan, maka aku akan segera ke sana selepas jam 10.00 malam. Kilang percetakan tersebut akan memanggil aku dan Melati untuk melakukan pembersihan tiga kali dalam seminggu.

Sabtu dan Ahad yang membolehkan aku berehat, tetapi aku menyambung kerja pula di sebuah pasaraya. Sehingga menjejaki jam 10.00 malam dan selepas itu aku semestinya akan berehat di rumah. Ibu akan menanti aku pulang di atas sofa – kami akan duduk berdua-duaan, bercerita apa sahaja sehingga ibu akan terlelap sebelum aku dan Fatin memimpin ibu masuk ke dalam bilik tidurnya. Jadual semingguku yang sungguh padat. Sungguh memenatkan tetapi aku seronok kerana dapat membantu ibu dan Fatin. Biar dengan apa cara sekalipun, aku akan bergadai nyawa dan harta sehingga ke akhir nyawaku.

Aku berfikir lagi. Mencukupi setakat ini untuk membayar wang ansuran kepada Chef Daud. Dia yang telah memiliki seluruh hotel Marjan di bandar ini dengan sewenang-wenangnya. Walhal, aku akui Hotel Marjan adalah hasil titik peluh arwah ayah. Pelik kerana selepas pemergian arwah ayah, seluruh pemilikan Hotel Marjan menjadi miliknya dan harta kami sekeluarga dirampas olehnya. Aku masih ingat gertakan Chef Daud terhadapku bahawa dia akan membocorkan rahsia bahawa arwah ayah mempunyai isteri kedua.

“Ingat Yaya, sekiranya awak tak lunasi hutang arwah ayah awak kepada saya sebanyak tiga ribu lima ratus ringgit sebulan, saya akan pecahkan rahsia arwah ayah kamu kepada ibu kamu. Jangan ingat awak semua boleh terlepas dari membayar hutang arwah ayah kamu!”

Semudah itu.

Aku tergamam mendengar rahsia berkenaan selepas Chef Daud satu persatu membongkar rahsia itu. Benarkah ayah mempunyai isteri kedua dan aku sanggup bersumpah bahawa kami tidak pernah tahu mengenai berita ini. Malah, arwah ayah tidak sesekali akan melakukan perkara berkenaan tanpa persetujuan ibu. Jika ibu tahu pun, aku yakin yang ibu akan membenarkan. Dan sehingga kini, aku berdiam diri dan menyembunyikan rahsia itu. Ya – antara aku dan Chef Daud berdua. Akan remukkah hati ibu jika berita ini diketahuinya? Bagaimana dengan Fatin sekiranya dia turut sama tahu aku merahsiakan perkara ini daripada dia?

Sepanjang hidupku, adakah akan dipenuhi dengan gertakan seseorang? Adakah aku harus mengaku kalah dengan Chef Daud tanpa membuat apa-apa tindakan terhadapnya? Bukankah Hotel Marjan adalah kepunyaan kami sekeluarga? Mencukupikah juga wangku pada bulan ini kerana tambahan pembayaran pasu itu? Mengapa pasu pula harus menjadi topik utama dalam hidupku seminggu ini? Otakku ligat berfikir. Seperti kalkulator sedang mengira-ngira. Kelihatan angka-angka berjalan berpusing-pusing di dalam otakku. Perlukah aku menyerah kalah dengan Mr Pai Epal itu juga? Dahiku berkerut-kerut mengingatkan lelaki itu.

Sudahkah dia membuka facebooknya? Hatiku cukup puas! Puas- kerana melayangkan beberapa ayat di dalam facebooknya. Mahu sahaja aku tergelak besar kerana membayangkan rakan-rakannya membaca posting berkenaan.

Sampai di satu simpang empat, aku lantas memberhentikan skuterku. Aku fokus memandang jalan raya. Kemudian sebuah kereta turut sama berhenti di sebelah kananku. Bunyi hon bergema tiba-tiba. Aku tidak peduli dengan bunyi hon tersebut dan masih terfikir-fikirkan Mr Pai Epal dan statusku pagi tadi. Wajarkah aku bertindak sedemikian kepadanya ?

“Cik Yaya!” satu suara yang cukup aku kenali memanggil. Aku buat tidak peduli lagi. Siapakah yang sedang memanggil aku ?

“Cik Yaya!” nama samaranku bergema lagi. Aku toleh ke kanan. Aku amati wajahnya. Giginya ditayangkan tiba-tiba.

Erk !

Mr Pai Epal ?! Mengapa dia panjang umur ? Mengapa saat aku menyebut namanya di dalam hati dan saat memikirkan wajahnya di dalam fikiran, dia betul-betul ada di hadapan mataku ? The six sense betul!

Dia tersenyum memandang aku. Seperti kerang busuk! Kereta volkswagen beetle yang comel berwarna ungu muda itu tersergam di atas jalan raya. Ahh, kenapa keretanya ini perlu berwarna ungu? Kenapa dia menggunakan sebuah kereta yang cukup comel ‘cute-cute’ ini? Nampak sepasang pula warnanya dengan skuterku ini. Haish! Aku menelan air liur. Gulp!

Kemudian dengan sepantas kilat aku membetulkan kepalaku. Aku tidak ambil peduli dengan panggilannya. Buat-buat tidak nampak, Yaya! Buat-buat jual mahal!

+Sila fokus, Yaya! Fokus!
+Jangan bertindak terburu-buru di atas jalan raya. Kalau sekalipun engkau mahu menghempuk dia seperti yang engkau idam-idamkan selama ini, cari masa yang sesuai, okey?

“Terima kasih approve saya jadi kawan awak dalam facebook ! Saya suka!” Izz Amir menjerit kuat. Aku dengan helmet separuh bulat buat-buat tidak dengar. Lelaki ini memang gila! Selalu menggangu hidup aku. Kenapa dia perlu berperanan merubah jadual hidup aku? Kenapa? Mengapa? Beberapa penunggang motorsikal yang lain memandang kami dan tersengih-sengih.

+Ahh, dia memang lelaki sengal!
+Tapi dia kacaklah Yaya!
+Kacak menurut Kak Mahani, okey?
+Sungguh, cuba tengok senyuman dia, ouch…menawan hati, menggegarkan jiwa dan mendebarkan jantung. Memikat!
+Yaya! Fokus Yaya! Fokus! Jangan termakan hasutan syaitan kerana seorang lelaki.

Aku menoleh kembali ke arahnya. Aku amati betul-betul lelaki di dalam kereta volkswagen beetle itu. Iya, betul! Memang Izz Amir.

+Iyalah Kak Mahani, dia memang handsome!

Aku terkebil-kebil saat ini. Suara hati menjerit-jerit lagi. Ya Tuhan, selamatkan hambamu ini. Jangan kau pesongkan hati ini, Ya Allah. Jangan perangkapkan aku dengan mata lelaki ini, Ya Allah. Aku berdoa lagi. Terkumat-kamit mulutku.

Izz Amir memberikan senyumannya kepada aku. Err – benarkah telahan Kak Mahani itu? Akhirnya bibirku menjawab kepadanya, “Sibuk!”

Izz Amir tertawa tiba-tiba dan menayangkan wallet berwarna ungu milikku. Aku mengetap bibit kegeraman. Mahu sahaja aku turun dari skuter dan menghempuknya dengan helmet ini.

“Pencuri!” aku menjerit kembali. Kemudian aku menjelingnya. Hati memang sakit dan sudah menanah-nanah! Bagaikan gunung berapi yang menanti larvanya keluar meletup-letup. Wallet aku telah diambilnya dalam diam. Juga menjadi bahan dia memaksa aku menerimanya sebagai rakan di facebook.

“ Saya bukan pencurilah cik Yaya ! Nanti awak datang ke café saya okey? Awak nak kan beg ni ? ” Izz Amir tersengih suka hati.

Ah – sudahlah aku meminjam duit daripada Kak Mahani untuk mengisi minyak skuterku. Kad pengenalan, lesen memandu, kad perbankan dan segala macam benda aku juga ada di dalam wallet berkenaan. Lelaki ini memang sengaja mencari nahas! Jangan aku ditahan polis, sudah! Jangan juga aku dicop sebagai pendatang tanpa izin.

“Saya akan reject awak dalam senarai kawan saya di facebook! Apa? Apa?” aku mencebik. Sekadar mahukan tiga ribu ringgit dan usahasamanya dengan Lily, pirah!

Izz Amir memerhati lagi diriku. “Ala Yaya! Saya ikhlas sangat-sangat. Saya mahu berkawan dengan awak. Kalau awak reject, saya datang rumah awak, jumpa ibu bapa awak dan saya akan terus pinang awak! Boleh?”

Kami berpandangan sesama sendiri. Mataku terbeliak dengan tiba-tiba. Aku tiba-tiba menjadi tidak fokus dengan suasana persekitaran. Lantas, bunga-bunga sakura tiba-tiba berguguran. Aku melihat diriku sedang berpimpinan tangan dengannya. Awan menjadi biru melindungi kami berdua. Kami berbual-bual mesra dan dia mengucupi dahiku. Chup! Aku menggelengkan kepala. Tidak-tidak! Itu sama sekali tidak akan terjadi kepadaku! Manakan boleh seorang lelaki bukan mahram menciumi dahiku ini. Oh, tidak! Itu mimpi dan khayalan semata-mata.

Lampu isyarat pantas bertukar warna kepada hijau!

Dup dap dup dap! Apa pula yang telah terjadi dengan jantungku kala ini ? Kenapa darah aku tiba-tiba rasa menyerbu naik ke muka. Mengapa pula seluruh bulu romaku meremang-remang? Izz Amir pantas mengenyitkan matanya dan membunyikan hon keretanya. Volkswagen beetlenya berlalu pergi.

Aku terkedu tiba-tiba! Mengapa aku kala ini? Kenapa dia mengganggu jiwa, emosi dan perasaan ini. Kenapa hati ini dan mata ini terbayangkan senyuman mengejeknya itu? Kenapa pula dia harus mengenyitkan matanya kepadaku ? Argh…

Pantas aku menggelengkan kepala lagi. Menampar pipi kiriku sendiri berkali-kali dan memulas minyak. Skuterku pula tidak bernyawa tiba-tiba ! Rosakkah? Semua kenderaan sudah menderu laju. Aku terkapai-kapai keseorangan dengan skuterku yang tiba-tiba buat hal dan merajuk. Alahai, Miss MJ Ungu, mengapakah kamu bermuram durja sebegini?

Aku turun dari skuterku. Membaca doa di dalam hati supaya aku selamat dari apa-apa bencana yang tidak diingini. Aku cuba melihat-lihat apakah penyebab skuter ini terdiam tiba-tiba walhal aku sepatah haram pun tidak mengetahui bagaimana untuk membetulkan skuter ini. Perempuan? Isi minyak dan terus vrooomm…vrooommm. Bukannya tahu memeriksa motokar mereka. Betulkah? Aku tersengih sendiri. Memujuk hati supaya bertenang selalu.

Aku mengeluh. Sudah! Wang aku tidak mencukupi kerana wallet masih belum aku perolehi dari lelaki durjana itu! Aku memandang jalan raya yang lurus. Kereta berdesap desup membelah kesibukan jalan raya. Dan adakah aku perlu menolak skuter ini sejauh 3 km sendiri? Aku tongkatkan skuterku, mencari telefon bimbit dan nama Melati segera menjadi pilihan.

“Assalammualaikum Melati,” aku bercekak pinggang. Kemudian mataku segera menangkap kereta volkswagen beetle berwarna ungu yang datang dari arah hadapan dan membelok segera ke arah aku. Bukankah itu Izz Amir? Mengapa dia kembali ke sini ? Apa lagi yang dia mahukan daripada aku ?

“Waalaikumsalam. Yaya lambat ya?” Melati terus memberikan soalan cepu emasnya kepada aku. Aku tersengih geli hati.

“Yalah! Miss MJ Ungu buat hal hari ni. Merajuk entah kenapa!” jawabku jujur.

Melati terdiam seketika.

Aku pantas menambah, “1 jam lewat dan sampaikan pesan pada Abang Haikal, okey?”

Hmm, okey! Hati-hati ya. Eh, Yaya tolak skuter seorang dirikah? Perlukan bantuan? Abang Haikal ke sana, boleh?” Melati memberikan cadangan dengan segera.

Eh, tak perlu. Yaya boleh tolak sendiri. Sekejap lagi sampailah bengkel. Tak jauh mana pun.”aku menipu Melati.

Sekejapan, Izz Amir sudah tercongok di hadapan mataku. Dia turut sama bercekak pinggang sambil melihat-lihat skuterku. Pantas aku mematikan talian telefon.

“Err…err…”Izz Amir tiba-tiba terdiam. Aku perhatikan dia yang memandang diriku dengan simpati. Jemarinya bertautan antara satu sama lain.

“Apa err…errr?” pantas aku bertanya dan perlahan-lahan menolak skuterku. Aku biarkan dia di belakangku. Aku toleh dan melihat dia kembali ke kereta mewahnya. Entah apa yang dia ambil, aku tidak peduli. Sekejapan dia berlari-lari anak mengejarku dan kami beriringan kembali.

“Saya dah agak ada sesuatu berlaku pada awak. Emm…saya tolong tolakkan skuter awak, boleh ? ” Izz Amir serius wajahnya.

Aku pantas menjawab, “Tak apa, saya boleh tolak sendiri. Lagipun saya ada kudrat sendiri. Sibuklah awak ni!”

Izz Amir mengeluh tetapi mulutnya masih mahu mencuba memujuk gadis di sebelahnya itu. “Naik kereta dengan saya. Saya hantarkan awak, okey? Saya beri sekali wallet awak!”

“Saya tak suka naik kereta. Saya suka jalan kaki!” jawabku ringkas dan aku pantas menolak skuterku. Aku buat-buat bodoh dengannya. Haruskah dalam saat begini, aku jual mahal dengan permintaannya? Atau sememangnya dia ada niat jahat terhadapku. Ah – gerun pula aku memikirkannya.

“Tadi saya perlahankan kereta, tengok awak. Simpang lampu isyarat kedua di sana awak tak muncul-muncul juga. Saya risau pula apa-apa berlaku pada awak, Yaya! Saya tolong tolakkan ya!” pintanya sekali lagi. Dahiku berkerut tiba-tiba. Mengapa perlu dia menantikan aku di simpang kedua itu? Banyak lagi kerja lain yang dia boleh lakukan dari mengintip aku.

Izz Amir dengan kudrat lelakinya, menarik skuterku dan sekejapan dia telah menolak skuterku. Aku memandang Izz Amir yang berkerut-kerut wajahnya seperti memikirkan sesuatu.

“Jangan buat baik dengan sayalah! Saya tak suka!” jawabku memperlihatkan kemarahanku terhadapnya. Aku pantas menarik semula skuterku, tetapi apa dayaku kerana genggaman jemarinya lebih kuat menggenggam pemegang. Dia bersahaja menarik semula genggaman dan semahu-mahunya menolak skuterku.

Wajah lelaki itu mengundang seribu pertanyaan. Kami baru dua kali bertemu dan kenapa dia menunjukkan sikapnya sebegini terhadapku. Lelaki ini siapa sebenarnya? Atau, adakah kerana aku yang telah menggangu hidupnya? Kerana pai epal? Kerana pasu yang pecah? Kerana bajunya yang menjadi kain pengelap itukah? Fikiranku menjadi kusut!

Izz Amir memberhentikan tolakannya. Tangan kirinya menggenggam pemegang dan tangan kanan pula mengambil telefon bimbit di dalam kocek seluarnya.

Pantas, suara Izz Amir memecah gegendang telinga ini, “Adnan, datang ke sini. Jalan Jujur 14. Bawa motorsikal kamu. Oh ya, dengan Shidie sekali. Kamu ambil kereta saya teman kami di sini dan iringi kami, Kemudian bawa ke café, okey?”

Volkswagen beetlenya yang cantik itu akan mengiringi kami? Gila apa lelaki ini! Wajah Izz Amir tekun memberi arahan seterusnya kepada Adnan.

“Saya ada hal sekejap. Skuter cik Yaya rosak! Kami akan ke bengkel motor! Awak bawa elok-elok kereta saya ya! Jaga café juga!” pesannya kedengaran lagi. Baru juga aku perasan, bahawa dia memanggil aku dengan memulakan gelaran ‘cik’! Oh, so sweet! So cute! Macam gula-gula pula aku rasa! Jantungku pula ini entah kenapa, berdegup kencang! Bulu romaku bila memandang dia, terasa tegak sentiasa! Aduhai!

Aku terdiam menantikan dia. Entah kenapa aku rasa begitu terharu kerana sikap tulusnya terhadapku. Tuluskah dia? Mengapa pula dengan tiba-tiba aku katakan dia begitu baik saat ini? Bukankah dia selalu membuatkan aku marah.

Izz Amir memandang aku. “ Bahaya berjalan seorang diri di sini cik Yaya! Awak tahu tak, minggu lepas ada satu kes rogol di kawasan sini. Saya bantu awak hari ini, okey? Jangan risau ya cik Yaya. Saya serius ni sebab kata Ustaz Muhyidin, membantu sesiapa di dalam kesusahan, kita akan dapat pahala!” panjang lebar penjelasan Izz Amir. Nampak seolah-olah aku ini kawan rapat pula dengannya.

Ustaz Muhyidin? Pahala? Gulp – ada kes rogol di sini? Aku terdiam. Kenapa perlu ada nama Ustaz Muhyidin dalam ayat-ayatnya. Ohh, ayat memikat ustazah rock nampak? Hik hik hik, aku ketawa di dalam hati! Mahu sahaja aku ketawa sambil menghentak-hentakkan kaki. Berguling-guling di tengah jalan raya kerana lawaknya. Ustaz Muhyidin konon! Pirah!

Suaranya lantas bergema lagi, “ Kami akan teman awak sampai ke bengkel dan sampai skuter awak boleh bergerak! Adnan akan pandu kereta saya dan akan mengikut kita berdua dari belakang. Awak setuju sahajalah ya. Lima minit lagi, Adnan dan kawannya akan datang. Kita tolak perlahan-lahan skuter awak dulu, okey?” pintanya lagi. Suara lembutnya terus menusuk ke lubuk hatiku yang paling dalam. Jantungku kini berdegup-degup tanda isyarat ia berproses bersama bunga-bunga yang kembang setaman. Dalam hati, seolah-olah ada lautan bunga-bungaan! Izz Amir memandang aku mahukan persetujuan. Aku terdiam dan terus mati akal!

Wallet aku dengan pantas diseluknya dari kocek seluar. Dihulurkan kepadaku dengan senyuman. “Saya minta maaf ya cik Yaya!” suaranya kedengaran lagi. Aku menggigit bibir. Perlahan-lahan aku mengambilnya dan terus memasukkan ke dalam beg galasku. Kami berjalan perlahan lagi. Mujur petang ini, cuaca tidak sebegitu panas dan kawasan tepi jalan raya ini dipenuhi dengan pohon-pohon menghijau. Sekurang-kurangnya membantu meneduhi perjalanan kami. Tapi tahukah dikau wahai lelaki -Mr Pai Epal, bahawa jantungku harus diperbaiki, harus dikawal selia nampaknya. Mengapa jantung ini berdenyut-denyut hebat?

“Tapi saya suka status awak di facebook dan apa yang awak tag! Kawan-kawan siap bertanya, siapa Miss MJ Ungu?” tanyanya tiba-tiba. Izz Amir tersenyum bersahaja. Lekuk lesung pipitnya kelihatan. Barulah aku sedari bahawa dia memiliki sepasang lesung pipit yang cukup dalam.

“Saya jawab apa awak nak tahu?” dia tersengih tiba-tiba. Aku terkebil-kebil. Debaran makin dahsyat! Dalam menolak skuterku ini, rupa-rupanya aku dan dia sedang berbual-bual! Meski aku tidak membalas sedikitpun dia tetap rancak menghangatkan suasana bisu dan ketegangan ini. Dia tidak marahkah dengan apa telah aku buat di dalam wall facebooknya itu?

Semakin pantas jantungku berdegup! Lebih hebat dari tadi.

Mengapa dia nampak bersahaja, boleh tersenyum-senyum dan ritma tubuhnya juga sederhana sahaja. Tidak gelisah, tidak lagi marah seperti kemarahannya gara-gara aku mengotorkan baju berwarna putih itu. Dia lupakah yang aku telah mengotorkan baju putih itu dan memarahinya? Lupakah dia mengenai hutang pasu pecah yang perlu aku jelaskan kepadanya?

Pantas aku memandangnya dan bibir ini terbuka, “Awak jawab apa?”

Izz Amir memberhentikan tolakan skuter aku. Hanya skuter kesayanganku yang memisahkan kami berdua kala ini. Bibir Izz Amir tersenyum lagi, dan pantas dia berkata, “Kekasih saya!”

Aku terkebil-kebil. Menelan air liur berkali-kali. Entah apa ajaibnya, pipi ini terasa merah! Meski aku tidak nampak tetapi aku yakin pipi ini sudah mengeluarkan warna merah jambu itu! Adakah pipiku juga telah bertukar menjadi warna ungu ? Ahh, malunya ! Bulu romaku yang tadi reda kembali tegak kembali. Jantungku kembali berdegup kencang bagaikan mahu terkeluar. Bagaikan seekor kuda sedang berlari laju!

“Gila!” mulutku menjawab dan aku menggelengkan kepala. Aku mengucapkan astaghfirullah berkali-kali. Pantas, wajah ibu tersenyum bermain di layar mataku. Aku pantas berjalan laju ke hadapan bersama degupan yang sungguh tidak pernah aku rasai selama ini. Izz Amir aku tinggalkan di belakang yang masih setia memegang skuterku.

Izz Amir ketawa dan menjerit kuat,“Ya, memang saya tergilakan awak. Gilakan awak, cik Yaya!”

Ouch! Daun-daun sakura lantas berguguran kala ini. Adnan yang entah bila ada di belakang menuruti perjalanan kami ini. Volkswagen beetle mengiringi! Indahnya saat ini dan awan gemawan sekali lagi menjadi teduhan hari ini. Angin terasa menyerbu-nyerbu dengan kedinginan. Jalan raya tiba-tiba lengang dan kosong. Hanya kami berdua saat ini. Hatiku rasa berbunga tiba-tiba! Rasa kembang-kembang semuanya. Lagu Dealova, nyanyian kumpulan Dewa lantas kedengaran mengiringi perjalanan ini. Aku bermimpikah?

“Awak bukan bermimpi, cik Yaya! Saya serius ni!” suaranya bergema lagi.

Dan aku mahu pengsan!



p/s: bersambung lagi okey... ^___^

25 Oktober 2011

Mr Pai Epal 5




Aku bawa skuterku dengan perlahan. Angin menyerbu-nyerbu melanggar tubuh badanku. Skuterku ‘Miss MJ Ungu’, tayarnya sedang berputar tanpa perasaan. Skuterku bagaikan tidak bertenaga dan mulutku terherot kiri dan kanan membebel menyalahkan diri sendiri. Rasa mahu sahaja aku menampar pipi ini atas episod yang sungguh memalukan seluruh hidupku. Sungguh aku marah benar dengan Mr pai epal itu! Sudahlah berlagak kemudian menggertak aku. Hei, siapakah kau yang mahu membuli Yaya haaa? Hidungku kembang kempis lagi. Hati ini juga telah menjerit berkali-kali sebanyak lapan puluh juta kali.

+‘Yaya, kau memang sengal!’,
+‘Yaya, cubalah bertenang sedikit. Jangan kelam kabut! Sudahlah tersembur air tepat wajahnya, ah, malunya!,
+‘Ah- adakah mulut aku berbau busuk dan hamis! Tidak!Tidak!’
+‘Yaya, kau memang selalu memalukan diri sendiri tanpa memikirkan apa-apa mengenai maruah sendiri!’.

Maruah? Ahh, mataku terkebil-kebil.
Ibu – Yaya rasa mahu menangis! Huwaaaa!
Ibu- Yaya rasa mahu peluk ibu kuat-kuat!

Dan ketika tragedi hari malu sedunia itu berlaku, mataku terkelip-kelip. Dia tersengih-sengih memandangku dan mengesat air yang berhamburan di wajah dengan jemarinya. Bajunya sedikit basah akibat semburan memalukan dariku. Baru sahaja mulutku mahu terbuka untuk meminta maaf, pintu kayu Pai Epal Cafe diketuk bertalu-talu. Dia aku lihat bangun perlahan dan tersenyum-senyum seorang diri. Jam di tangannya diperhatikan. Lenggok badannya kelihatan sederhana. Tidak menunjukkan riak cemas. Ya, fizikalnya sedikit memikat hatiku.

Dia aku lihat membuka pintu. “Masuk Adnan. Oh, Kartina dan Salmi juga ada. Awal kamu semua datang ya.” Suara lelaki berkenaan memecah gegendang telingaku. Lantas aku memandang sehelai baju terletak cantik di sebuah kerusi. Cepat-cepat aku bangun dan mencapai baju berkenaan. Aku mengelap meja yang basah kerana semburan air dari mulutku sendiri. Sekelip mata aku mengelap meja berkenaan. Bajuku yang sedikit basah juga aku kesat-kesat dengan baju yang kuanggap kain pengelap itu.

“Eh, siapa ni bos?” Adnan berjalan gaya-gaya penyiasat persendirian. Mulut dimuncung-muncungkan dan memandang aku. Aku terhenti dan memandang Adnan. Dua orang wanita yang aku tahu namanya Kartina dan Salmi turut sama berjalan menuju ke arah aku.

“Pekerja barukah bos?” Adnan bertanya lagi. Izz Amir lantas menutup pintu gril cafenya. Pintu kayu lantas dibiarkan terbuka.

“Bukanlah. Dia kawan saya. Cik Yaya!” Izz Amir memandang aku. Aku letak kain pengelap berkenaan. Izz Amir dengan segera berjalan ke arah baju berkenaan. Dia mengangkat baju berwarna putih itu dan ternganga tiba-tiba. Aku terkelip-kelip lagi. Wajahnya masih basah kerana semburan percuma dari mulutku sebentar tadi.

“Eh, awak ni yang datang beli pai epal tiga hari lepas, bukan? Budak pasu pecah! Aku ingat. Ingat dah!” dia tersengih lagi.

Aku angguk berkali-kali. Cis, dia pun memberikan aku dengan gelaran budak pasu pecah! Bedebah punya budak! Kurang asam punya budak!

Adnan memandang bosnya. Menghadiahkan senyuman dan melirik ke arah kawan-kawannya. Tetapi mata aku menangkap tubuh lelaki berkenaan dan tangannya yang masih memegang kain pengelap berkenaan. Dia terkebil-kebil memandangku.

Wajah Izz Amir berubah tiba-tiba dan mulutnya lancar memberikan kejutan, “Yaya, ni adalah baju saya, okey. Baju ini mama saya juga yang belikan. Ya Allah, kemeja saya dah kotor! Ini bukan kain pengelap mejalah. Arghh!” Izz Amir menghempas baju berkenaan di atas meja.

Gedebuk! Aku rasa macam terjatuh dari pokok nangka. Aku rasa macam bumi berputar tiga ratus enam puluh darjah. Mahu sahaja aku berlari lagi. Atau menyorokkan wajah ini ke bawah meja.

Aku tersengih-sengih lagi. Mukaku sudah kelat seribu. Aku mahu memohon maaf atas kesilapanku. Tetapi, suara Izz Amir dengan terlalu laju menghalang aku dari bersuara dan jelas tinggi intonasi suaranya di cuping telingaku, “Adnan, suruh dia keluar sekarang dan katakan pada dia bahawa dia berhutang membayar wang pasu berbaki tiga ribu ringgit lagi. Bulan depan harus datang ke sini dan jelaskan tanpa ansuran! Wajib!”

Mata bertentang mata. Aku harus melawan. Aku harus membuktikan bahawa aku tidak bersalah. Aku rasa dia dengan tiba-tiba bersikap biadab denganku hanya kerana sehelai baju berwarna putih itu.

“Hei, mana saya tahu tu baju awak! Lain kali lekatkan papan tanda besar pada baju tu. Ini baju Mr Pai Epal. Sila jangan sentuh! Baju ini adalah baju pemberian mama kesayangan saya, okey?” aku merengus dan mengambil beg galasku. Tekakku rasa kering tiba-tiba ! Sempat aku menuang air dan ke dalam gelas dan meneguknya dengan laju.

Izz Amir memeluk tubuhnya. Matanya terjegil besar. Hanya kerana baju itu, dia tiba-tiba naik marah kepadaku. Ada aku kisah? Setakat baju sehelai hanya berharga Ringgit Malaysia dua puluh ringgit, sudah berlagak!

“Tiga ribu ringgit, okey? Bulan depan harus selesaikan di sini. Dan awak boleh keluar sekarang dan sila basuh baju ini sampai bersih. Jika tak, saya buat sesuatu pada Lily!” dia tiba-tiba menggertakku dengan jumlah tiga ribu ringgit dan menyebut nama Lily. Dia kenalkah dengan Lily? Apa yang dia mahu lakukan terhadap Lily? Aku memandang dia yang tersengih-sengih. Huh! Dia membuatkan aku panas hati dengan pantasnya. Muka sudahlah macam cekodok basi!

Aku pantas mengambil baju berkenaan dan membuka beg. Menghempuk-hempuk baju berkenaan dengan perasaan geram. Ingin sahaja aku menyumbat dia sebegini di dalam beg ini. Menyumbat dia seperti sardin! Dan kemudian aku rasa mahu lenyek-lenyek sardin berkenaan dan makan bersama dengan roti. Lelaki itu memerhatikan aku dengan bersahaja. Aku merengus kasar.

“Bukan saya yang terhegeh-hegeh nak masuk sangat dalam café buruk awak ni! Perasan! Apa? Apa? Awak ingat tiga ribu ringgit tu saya tak mampukah? Hei, ini Yayalah! Dia yang terhegeh-hegeh tarik kita masuk dalam café ni! Perasan bagus. Hei, tepilah!” aku mengangkat beg, berjalan menghala ke arah lelaki berkenaan dan menolak begku dengan sengaja dan terus terkena perutnya. Izz Amir tersentak. Mukanya mengenyit menahan sakit. Rasakan! Peduli dengan dia! Sudahlah dengan perintahnya aku perlu membayar harga pasu itu. Kini dia mahu mengertak pula untuk mengapa-apakan Lily! Dasar lelaki dayus!

Izz Amir bercekak pinggang dan mulutnya termuncung-muncung kegeraman. Adnan pula terkebil-kebil mengambil kunci dari atas meja dan membuka gril besi. Aku melangkah laju dan berpusing melihat wajah bos paling sengal di café ini.

“Cik Yaya, awak janganlah ambil hati dengan bos saya tu. Dia memang suka mengusik.” Adnan ketika membuka gril besi sempat meredakan tekanan diriku. Aku diam menanti Adnan membuka gril berkenaan.

“Kirim salam maut dengan dia! Huh!” aku menjeling Adnan. Kemudian sempat aku berpusing memandang Izz Amir, Kartina dan Salmi. Suaraku pantas bergema, “Hari ini café awak tak akan dikunjungi pelanggan! Doa orang-orang teraniaya macam saya ni selalunya Allah kabulkan. Pirah!”

Aku tersengih puas hati dan pantas mengalih pandangan. Izz Amir aku lihat melangkah kakinya mara ke arah aku. Secepat kilat, aku berlari menyelinap keluar dari deretan kedai-kedai yang tersusun. Tubuh lelaki berkenaan yang sedang berdiri di muka pintu semakin mengecil. Lily entah ke mana perginya. Skuterku di hujung bangunan kedai masih tercongok tegak! Mindaku lantas teringatkan tangga yang masih berbaring tidur di hadapan café berkenaan. Sudahlah Yaya, biarkan sahaja tangga itu. Nanti Lily tahulah mengambilnya sendiri. Hatiku berbisik lagi.

Aku tersentak dari lamunan. Lampu isyarat berwarna merah. Mujur aku sempat menekan brek, jika tidak memang aku akan tersembam jatuh lagi bagai nangka busuk. Kenangan beberapa minit tadi akhirnya terpadam begitu sahaja. Telefon bimbit dari dalam beg galasku berbunyi-bunyi riang. Lagu dari Ahmad Jais berdendang-dendang. Aku terikut-ikutkan lagu berkenaan, kepala terangguk-angguk dan bibir mengikut liriknya dengan lancar. Aku biarkan lagu berkenaan dan apabila lampu isyarat sudah bertukar warna kepada hijau, skuterku kembali gagah bergerak. Semestinya panggilan itu dari Fatin yang mahu aku segera pulang ke rumah.

*****

Kerja sebagai kerani di sebuah syarikat guaman, ini akhirnya pilihan yang aku ada selepas pengajianku untuk menjadi chef kulinari pastri & bakeri aku batalkan di saat-saat akhir. Bukankah arwah ayah mahu aku menyambung cita-citanya ? Dan kerana pemergian arwah ayah, aku menyepikan hasrat arwah ayah kerana aku mahu membantu Fatin melanjutkan Ijazahnya di UITM. Diploma Pemasaran yang aku pegang ini sebenarnya atas alasan untuk aku merubah hasrat ayah. Aku mahu mencuba bidang yang aku minati. Aku mahu buktikan kepada arwah ayah ketika itu bahawa aku boleh berjaya dengan pilihan pengajian sendiri. Sekarang ? Aku rasa berdosa. Berdosa kerana mengingkari pesanan arwah ayah dan degil dengan sikapku ini.

Namun selepas pemergian arwah ayah, aku terasa kekosongan dan terasa sesuatu yang perlu aku capai. Perlukah aku menerima cabaran arwah ayah untuk aku beralih bidang? Aku pandang lama komputerku. Jemariku pantas melayang membuka folder yang Kak Zabedah mahukan. Perlu dicetak segera semua surat-surat pemilikan tanah kepada pelanggan. Wajah arwah ayah, ibu, Fatin dan aku di dalam sekeping gambar yang dibingkaikan cantik di atas meja, aku tatap lama. Kenang-kenangan dengan arwah ayah semakin membuatkan aku sebak. Sungguh, setiap hari aku akan merinduinya. Setiap hari aku akan bermimpikan arwah ayah. Mengapakah ?

Telefon berdering-dering. Teman-teman sepejabat lain duduk di meja sendiri. Tugasan akhir harus kami semua lunasi sebelum jam 3.00 petang. Punggungku pula tiba-tiba rasa sakit. Adakah kerana terjatuh pagi tadi ? Pantas aku mengangkat ganggang.

“Yaya!” suara Lily nyaring di cuping telingaku. Terus menusuk masuk ke dalam gegendangku.

“Ah, putus kawan seminggu! Kau tinggalkan aku sendiri dekat café tu! Sampai hati kau, Lily ! Sampai hati !”

Ala Yaya! Aku bukan sengaja. Memang aku sakit perut !Sumpah !”

“Apa ala-ala? Siap mahu sumpah-sumpah!” aku menyengih sendiri.

Lily pantas menyambung bicaranya, “Aku sebenarnya memang kenal dengan Izz Amir, mr pai epal yang selalu kau sebutkan tu!”

Aku tersentap. Mataku rasa mahu terjojol keluar, “Apa ? kau kenal dengan dia ? Habis tu, kenapa kau lari pagi tadi ? Kau sanggup tinggalkan aku berdua dengan dia, Lily ? Berdosa besar tahu tak membohohongi aku.” Aku sudah membebel setaraf ustazah yang solehah. Sesekali Lily memang wajar diberikan nasihat. Dia adakala selalu membuat keputusan sendiri tanpa memaklumkan kepada aku.

Lily diam. Desah nafasnya yang kedengaran perlahan. Jantungku rasa berdegup-degup kencang. Tanganku pantas membuka folder dan fail-fail yang telah disenaraikan Kak Zabedah. Tetapi fikiranku teringatkan yang lelaki berkenaan menggertak mahu mengapa-apakan Lily. Ah – serabut sudah fikiranku !

“Bukankah pejabat aku sebaris dengan cafenya, Yaya ? Makan pun selalu di sana ! Kedai dia sekarang bukankah yang paling popular ? Lagi pula Izz Amir tu kacak orangnya. Kawan-kawan sepejabat aku semua tergila-gilakan dia ! ” Lily tersengih di hujung talian.

Pantas aku bertanya, “Popularkah? Kau selalu makan di sana?” mukaku berkerut lagi.

“Ya,memang selalu! Eh, kau tak tahukah yang cafenya memang popular ?” Lily mengetap bibirnya. Yaya memang tak akan tahu sebab dia bukan jenis gadis yang suka makan dan mencuba berbagai makanan di semua restoren di sini.

Aku terlongo pula. “Kenapa tak beritahu aku awal-awal, Lily? Hmm, manalah aku tahu, Lily. Aku jarang ke sana dan tak tahulah pula kedai buruk tu popular!”

“Kalau aku beritahu awal-awal pun kau bukan boleh buat apa-apa. Kau tetap mahu gantung origami kapal terbang tu bukan ? Eh, kau kata buruk ? Memang tak ada perasaanlah kau ni Yaya ! Cafe dia tu cantiklah !”

“Setakat popular dan cantik. Aku tak pandang pun. Sudahlah dia tu lelaki tak ada perasaan ! Aku doakan kedai dia bankrup cepat! ”

Aku terdiam lagi. Teringkatkan pergaduhan aku dengan Izz Amir gara-gara sehelai baju kemejanya. Kemudian dia mahukan RM3000.00 untuk bayaran pasunya yang pecah itu.

Lily akhirnya membuka rahsia antara dia dan Izz Amir, “ Okeylah, aku tak kisah kau nak kata kedai tu bankrup ke, tak cantik ke. Tapi aku mahu kau tahu bahawa dia yang suruh aku balik. Dia isyaratkan aku supaya tinggalkan kau dengan dia, Yaya ! ”

Tinggalkan aku dengan dia berdua? Di situ? Aku terkebil-kebil lagi. Aku gigit bibir.

“Gila ! dia memang gila! ” aku tukarkan ganggang telefon ke telinga kanan. Suara Lily ketawa lantas kedengaran. Otak kini ligat berfikir apakah sebenarnya rancangan jahat lelaki berkenaan?

Lily pantas menyambung bicaranya, “Nanti kau approvekan dia dalam facebook kau ya, Yaya? Izz Amir sampaikan pesan ini juga untuk kau.”

Aku terkesima lagi. Bagaimana dia tahu nama facebook aku adalah Miss MJ Ungu?



“Kau beritahu dia ya?”

“Kalau aku tak beritahu pada Izz Amir, tauke Pai Epal Café tu nama facebook kau, dia nak bocorkan rahsia aku keluar dengan Zamani kepada Syamsul. Tolonglah Yaya, selamatkan aku. Engkaulah sahabat aku dunia akhirat! ”Lily merayu-rayu. Aku tiba-tiba rasa mahu menempeleng kepala Lily. Apakah kerana rahsianya keluar dengan Zamani akan mengakibatkan Syamsul marah dan mereka akan berpisah? Sudahlah asyik keluar berdua-duaan tanpa muhrim dengan Zamani. Kemudian dalam masa yang sama, berkawan rapat dengan Syamsul. Bala! Bala!

Suara Lily mendayu-dayu lagi, “Tolonglah Yaya! Izz Amir juga kata jika kau tak approve, dia naikkan harga pasu berkenaan dan minta bayaran sebenar pasu dari Italy tu. Dan dan…”

Darahku rasa meningkat naik ke atas kepala. Lelaki ini memang sengaja cari nahas. Menggertak aku kerana pasunya yang pecah itu. Dan pasu itu pula menjadi alasan dia untuk mendapatkan keuntungan. Lily pula menjadi orang tengah dan bahan gertakan hubungannya dengan lelaki lain. Dasar lelaki!

“Dan apa?” aku menyergah Lily. Mataku memerhatikan kawasan pejabat yang sunyi sepi.

Wallet kau. Ada pada dia! Jika tak approve, dia akan simpan buat pekasam, katanya tadi!”

Serentak itu juga, dari meja Kak Mahani lagu dari Najwa Latiff, ‘Cinta Muka Buku’ kedengaran perlahan. Aku terdiam tanpa kata. Wajah ketawa lelaki durjana itu terbayang-bayang di mindaku. Aku menggelengkan kepala. Huh! Pantas aku meletakkan telefon walau terdengar suara Lily menjerit-jerit memanggil aku. Secepat kilat, aku membuka laci. Mencari beg galasku.
Aku berdiri dan menonggengkan beg galas tersebut. Selepas pulang ke rumah, memang aku tidak memeriksa beg ini. Aku lekas-lekas menyiapkan diri dan membantu ibu menyiapkan sarapan di dapur. Kak Hamidah pula sedikit lewat pagi tadi.

Kunci skuterku, segugus kunci rumah, beg make-upku, sikat, kertas-kertas dari pengeluaran mesin atm bertaburan, coklat Cadbury kegemaranku turut sama ada. Tetapi kenapa coklat ini ada 5 bungkus? Sedangkan semalam, aku telah menikmati sebanyak 2 bungkus dan sepatutnya berbaki 1 bungkus sahaja lagi. Aku terkebil-kebil. Aku hilang ingatankah?

Telefon bimbit aku cari di dalam poket kecil beg berkenaan. Oh, ada! Aku selongkar lagi. Sehingga Kak Mahani datang memandangku dengan wajahnya yang penuh dengan tanda tanya.

“Cari apa ni, Yaya? Macam ada barang yang hilang saja. Habis berterabur semua.” Beberapa keping kertas lantas diletakkan perlahan di atas meja aku.

Aku rasa mahu menangis. Aku mencebik dan pantas duduk tanpa perasaan. Aku rasa mahu menghempuk Mr pai epal tak berguna itu dengan beg ini. “Wallet Yaya! Hilanglah kak!” aku mengetap bibir.

“Tak guna punya lelaki! Pencuri! Penggertak ! Kaki tipu ! ” aku pandang Kak Mahani yang tersengih-sengih. Aku mengetap bibir lagi.

Kak Mahani lantas menunjukkan minatnya dengan kemarahan aku, “Siapa yang kaki tipu ? Pencuri ? Penggertak tu Yaya ? Lelaki ? Siapa ? Siapa ? ”

“Kak, pinjam komputer sekejap ya ! ” aku bangun dengan pantas. Kak Mahani mengalih perhatiannya kepada aku dan segera menemani aku ke mejanya. Aku pantas membuka internet. Facebook sekejapan menjadi tatapan kami. Aku memasukkan emel dengan segera,
missmjungu@yahoo.com berserta kata kuncinya sekali. 5 request friend. Aku klik perlahan-lahan. Mencari dan terus menghalakan mata ini mencari nama Izz Amir. Tiada.

“Eh, Yaya ! Nama Mr Pai Epallah ! Handsomenya gambar profile picture dia!” Kak Mahani pula tiba-tiba yang teruja. Biji mataku rasa mahu terkeluar. Bagaimana aku boleh tidak perasan dengan gelaran yang diberikan oleh Fatin itu? Dengan pantas aku terus approve. Kemarahanku kemudian meledak dengan tiba-tiba. Aku alihkan tetikus dan segera ke wall facebooknya.

Handsome sangatlah kau ya!

Lantas jemariku dengan ajaibnya menulis, ‘Lelaki penipu! Lelaki penggertak ! Lelaki pencuri ! Kau bajet handsome sangatlah gambar profile ni ya ? Lelaki perasan !

Aku pantas menekan butang share. Dan statusku juga sama dengan apa yang aku tulis di wallnya dan dia sebagai mangsa tag aku. Aku tersenyum puas ! Popularkan ? Kedai kau cantikkan ?

Rasakan kau, lelaki durjana !

p/s : bersambung ! hehehehe….

24 Oktober 2011

'Miss MJ Ungu', Skuter Cik Yaya



Jika Mr Pai Epal dengan Volkswagen beetlenya, kini saya memperkenalkan watak kedua ‘Miss MJ Ungu’ iaitu skuter comel cik Yaya dalam e-novel ‘Mr Pai Epal’. Terus terang saya katakan, setiap watak-watak seperti kereta, skuter, rumah, bahagian dalam Pai Epal Café akan turut saya terjemahkan untuk projek e-novel di dalam blog ini. Pembaca pasti mahu tahu bagaimana bentuknya skuter comel cik Yaya bukan? Skuter ini adalah pemberian arwah ayah Yaya yang disayanginya. Skuter berwarna merah jambu dan ungu - Lence Charming 50 - juga saya berikan gelaran untuknya iaitu - ‘Miss MJ Ungu’. Eceh!

Satu hari kelak, saya akan hasilkan pula manuskrip ‘Miss MJ Ungu’! Yeah! Wah! Berblink-blink pula idea datang!

Bab 5 akan menjengah minggu ini. Saya seperti biasalah, tak menyabo-nyabo kan? Hwa Hwa Hwa.. Mari baca sedikit sedutan cik Yaya dengan Miss Mj Ungunya di bawah!

Bab 5.


Aku bawa skuterku dengan perlahan. Angin menyerbu-nyerbu melanggar tubuh badanku. Skuterku ‘Miss MJ Ungu’, tayarnya sedang berputar tanpa perasaan. Skuterku bagaikan tidak bertenaga dan mulutku terherot kiri dan kanan membebel menyalahkan diri sendiri. Rasa mahu sahaja aku menampar pipi ini atas episod yang sungguh memalukan seluruh hidupku. Sungguh aku marah benar dengan Mr Pai Epal itu! Sudahlah berlagak kemudian menggertak aku. Hei, siapakah kau yang mahu membuli Yaya haaa? Hidungku kembang kempis lagi. Hati ini juga telah menjerit berkali-kali sebanyak lapan puluh juta kali.

+‘Yaya, kau memang sengal!’,
+‘Yaya, cubalah bertenang sedikit. Jangan kelam kabut! Sudahlah tersembur air tepat wajahnya, ah, malunya!,
+‘Ah- adakah mulut aku berbau busuk dan hamis! Tidak!Tidak!’
+‘Yaya, kau memang selalu memalukan diri sendiri tanpa memikirkan apa-apa mengenai maruah sendiri!’


p/s: Salam comel-comel semua. ^___^

21 Oktober 2011

Volkswagen Beetle Mr Pai Epal

Oh, saya masukkan beberapa babak di dalam Bab 6 yang sudah siap. Belum dipublish di penulisan2u. Bab 5 menanti minggu hadapan. Tuan punya pula yang tak menyabo-nyabo. Hiks hiks..

Amacam, comel tak volkswagen beetle ni? Siapa kaya raya, mari hadiahkan saya kereta ini. ^______^







Ouch! Daun-daun sakura lantas berguguran kala ini. Adnan yang entah bila ada di belakang menuruti perjalanan kami ini. Volkswagen beetle mengiringi! Indahnya saat ini dan awan gemawan sekali lagi menjadi teduhan hari ini. Angin terasa menyerbu-nyerbu dengan kedinginan. Jalan raya tiba-tiba lengang dan kosong. Hanya kami berdua saat ini. Hatiku rasa berbunga tiba-tiba! Rasa kembang-kembang semuanya. Lagu Dealova lantas kedengaran mengiringi perjalanan ini. Aku bermimpikah?

“Awak bukan bermimpi, cik Yaya! Saya serius ni!” suaranya bergema lagi.

Dan aku mahu pengsan!

18 Oktober 2011

Mr Pai Epal 4




Aku pandang wajah lelaki berkenaan dengan serius. Mata kami bertentangan. Aku terlongo tiba-tiba. Adakah dia ‘Mr Pai Epal?’Bagaimana dia boleh berada betul-betul tepat dengan wajahku? Hidungnya kembang kempis dan mukanya merah menahan marah. Angin dingin terasa menampar-nampar pipiku. Mataku terkelip-kelip lagi. Kemudian aku pandang Lily yang tersengih-sengih seperti kerang busuk. Aku baru bangun dari tidurkah? Kepalaku seolah-olah beralas bantal yang cukup selesa.

Aku pandang lagi matanya. Kemudian aku melihat kedudukan diriku.Ya Allah! Secara automatiknya jantungku terus berdegup kencang. Sederas kuda berlari kerana takutkan hantu! Lantas aku teringatkan pesan ibu ketika zaman kanak-kanak dahulu, “Jangan bagi sesiapa pegang tangan Yaya. Yaya, jangan berani mengurat-ngurat, tersengih-sengih dengan lelaki yang tak dikenali. Ingat pesan ibu!”

“Ibu – tolong!” aku menjerit kuat dan menutup mukaku dengan sepuluh jemariku. Secara automatiknya untuk kali kedua aku meloncatkan tubuhku yang sempat diselamatkan oleh lelaki berkenaan. Wajahnya terperanjat kerana bernasib baik tidak berlaga kepalanya dengan aku. Aku terguling dan kemudian terbaring kaku!

Lily menjadi pemerhati dan dia seolah-olah patung tidak bernyawa di hadapanku. Lelaki bermata redup itu terkebil-kebil dan mulutnya terherot kiri dan kanan. Dia aku lihat pantas bangun dan menepuk-nepuk bahagian belakang seluarnya. Dia pandang aku dengan wajah terkejutnya. Terkejutkah dia dengan tindakan berani mati aku untuk meloloskan diri dari pegangannya beberapa minit tadi? Bulu romaku meremang-remang tiba-tiba. Ya Allah, bersalahkah aku? Haish – bukankah aku tidak sengaja terpegang kuat lengannya tadi. Aroma minyak wanginya terasa melekat-lekat di kerongkongku.

Gulp! Aku telan air liur. Lily dengan pantas mendapatkan aku dan menarik aku segera untuk bangun.

“Kau okey kan, Yaya?” tanya Lily. Aku terangguk-angguk seolah bersetuju dengan soalan Lily. Okeykah aku? Sedangkan pada hakikatnya jantung aku terkejut kerana pandangan matanya yang menusuk-nusuk ke hati dan jiwa ragaku. Aku tidak ‘okey’ kerana aku telah memautnya! Oh –tidak!

Lily, aku rasa mahu pengsan dan adakah kau yakin yang aku mampu berdiri dengan tenang di kala ini? Aku mengomel sendiri di dalam hati.

Aku menarik nafas dan berdiri tegak. Lantas membetulkan tudungku yang sedikit herot dan kami berdiri seperti kayu dan memandang dia yang bercekak pinggang. Memang ada api di telinga dan hidungnya. Ia keluar bagaikan naga yang sedang marah seolah-olah kami baru saja selesai mengacau anak-anaknya.

Dia memandang aku dengan penuh luar biasa! Kakinya melangkah ke hadapan. Aku dan Lily melangkahkan kaki setapak ke belakang. Dia pantas mendongak melihat origami kapal terbang tergantung dan sampul surat yang melekat dengannya. Betul-betul di atas kepalanya. Dia menunjukkan wajah hairannya. Lantas origami kapal terbang dipegang dan dia melihat riben-riben dan benang yang bergantungan.

Jantungku berdegup lagi.

“Awak yang tak bayar duit pai epal dan pecahkan pasu epal saya tiga hari lepas, kan?” Mata Izz Amir membutang besar. Dia mara selangkah lagi. Kami pula seperti biasa, melangkahkan kaki setapak ke belakang lagi. Aku pegang erat jemari Lily. Peluh jantan terasa turun mencurah-curah. Ingatannya memang superb tajamlah !

Aku menelan air liur. Wajahnya penuh persoalan dan memandangku seolah-olah inginkan kepastian.

“Betulkan?”tanyanya lagi. Aku rasa mahu lari lagi, tapi kerana janji terhadap ibu yang aku harus membayar wang pai epal dan pasu yang pecah itu aku harus sabar menanti.

“Eh - ya. Eh –bukan! Eh – ya!” sekejap aku angguk dan sekejap pula aku menggeleng.

Lily dengan pantas menekup mulutku. “Memang dia. Ya, dia tuan! Tapi Yaya gantikan duitnya hari ini. Sebab tu kami datang menggantung origami tu. Untuk awak!Itu!” Jemari Lily lantas menunjukkan origami yang bergantungan. Adakah aku harus pasrah dengan pengakuan jujur Lily hari ini? Pasrahkah aku ?

Aku tolak jemari Lily yang menekup mulutku sampai aku tidak bernafas dengan baik. Aku menarik nafas cuba berlagak tenang walhal jantungku rasa mahu tercabut lagi!

“Ya. Ya!” aku terangguk-angguk ketakutan. Jemari Lily aku bawa ke bawah dan bersatu bersama jemariku. Sempat aku berbisik dengannya, “Kau kata dia akan datang ke kedainya jam 9.00 pagi. Sekarang jam 6.30 pagi. Lily, kau bohong aku ya ? ”aku pandang jam tangan yang melekat di tangan kiriku.


Lily lantas membalas bisikanku. Kami rapat-rapat berdiri. “Manalah aku tahu dia pun nak berjogging selepas subuh hari ni ! ”

“Gilalah aku hari ni, Lily ! ”

“Gila tak gila. Sila berikan jawapan yang tepat dan bernas ya ! ” Lily tersengih-sengih memandang aku.

Kemudian lelaki bermata redup dan separuh nyawa sanggup menyelamatkan aku tadi, mengangkat tangga dan meletakkannya ke tepi. Baru aku teringat aksi akrobatik aku dan sesi menjatuhkan diri sendiri dari terjunan tangga telah diselamatkan olehnya. Oh-malunya aku.

Auww! – aku terkebil-kebil sendiri melihat dia memandang aku dan terasa mahu pula aku sorokkan wajah ini ke dalam baju Lily. Aku tergelak kecil. Kelakar pula rasa! Eh – hati aku terasa kembang berbunga-bunga pula dengan sendirinya. Seperti bunga apa ya? Haa..Bunga roskah? Bunga mataharikah? Ah- seronoknya! Apakah? Mengapakah?

Dengan tenang, lelaki berkenaan mendapatkan origami yang telah bersusah payah aku gantungkan tadi. Perlahan-lahan dia membuka ikatan origami kapal terbang dan sampul surat yang terisi not lima puluh ringgit berkenaan.

Aku dan Lily berpandangan.

“Siaran langsung ya, Yaya! Siaran langsung upacara merasmikan surat cinta. Tak ada sesi terhendap-hendap untuk melihat dia tersenyum, terkejut atau memasamkan muka. Mari kita saksikan bersama-sama. Ingat, apa-apa yang terjadi dekat aku lepas ni, kau siap!”

Aku pandang Lily dengan mengetap bibir, “Diamlah. Jangan bising-bising dan jangan risau. Aku akan cover line kau. Kau yang kata, aku sahabat dunia akhirat! Baru tolong sikit aku hari ni, kau nak bebel-bebel. Allah baru uji kita sebegini, kau dah patah semangat, janganlah macam ni, Lily. Kata nak pergi berperang ke Afghanistan. Jadi muslimah sejati, angkat senjata !”Aku buat muka sepuluh sen.

“Banyaklah perang kau tu, Yaya! Konon!” Lily mencuka. Kami pantas memandang lelaki berkenaan.Aku berdoa di dalam hati. Mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku saat ini. Saat-saat begini, Lily memang hatinya sipi-sipi ikhlas membantu aku. Dasar kawan! Huh!

Izz Amir memandang not lima puluh ringgit berkenaan. Bibir merahnya mengeluarkan suara, “Jangan lari ya budak pasu pecah! Kalau awak lari saya kejar awak sampai dapat!”

Erk – aku terpaku!

Mataku membulat besar. Dia panggil aku dengan gelaran ‘budak pasu pecah’? Ya Rabbi! Berilah gelaran untukku si gadis comelkah, gadis cutekah, gadis berbaju merah jambukah atau gadis ayukah. Main sedap mulut saja! Haish!

Not lima puluh ringgit dilipat cermat dan dimasukkan ke dalam sampulnya kembali. Kami berpandangan dan aku masih setia memegang jemari Lily. Seperti kami berada di dalam balai polis untuk edisi soal siasat kes kecurian. Sampul berkenaan lantas dimasukkan ke dalam kocek seluarnya.

Origami kapal terbang dipandang lama. Izz Amir meneliti dengan penuh minat. Matanya menangkap wajahku. Lagi – aku rasa macam hatiku berbunga-bunga. Kali ini seperti bunga ros berkembang mekar.
- Yaya – jangan pandang lelaki yang bukan muhrim! Suara ibu terngiang-ngiang jelas di cuping telingaku.

+ Eh, bukan Yaya yang pandang dia,bu. Dia yang pandang Yaya! Dia yang suka pandang Yaya. Betul ibu. Dia pandang Yaya sudah 4 kali! Sumpah, Yaya tak tipu ibu!
Origami kapal terbang lantas dibuka. Masa seolah-olah berjalan begitu perlahan. Dia pandang kertas berwarna jambu yang telah aku tuliskan semalam. Keningnya terangkat-angkat. Wajahnya serius sekali-sekala. Kemudian kami berpandangan lagi. Ah – kali ini aku betul-betul mahu menyorokkan mukaku ke dalam baju Lily. Malunya!

Matanya menangkap wajahku lagi. Senyumannya berpanjangan untuk diriku. Jantung aku terasa berhenti tiba-tiba. Oh, tuhan! Sungguh aku tidak sengaja untuk merasai degupan seperti ini.
- Jangan perasan Yaya!
+ Ouch.. betul-betul rosak hati aku! Betul-betul aku dipanah senyuman si teruna! Ya Allah, kuatkan imanku, kuatkanlah hatiku!
Izz Amir membaca nota ringkas yang dikhaskan untuknya, “Mr Pai Epal - ni duit pai epal dan bakinya untuk harga pasu epal yang pecah tempoh hari. Memaafkan saya akan membuatkan hari-hari terindah menjelma untuk Mr Pai Epal! Maafkan saya menolak Mr Pai Epal sehingga jatuh tersembam macam nangka busuk tempoh hari. Maaf ya! Saya suka tengok awak terjatuh seperti nangka busuk! Kelakarlah! Ha ha ha!”

No – no! ayat terakhir itu bukan aku yang tulis. Bukan, argh – tidak! Dia pembohong di hadapan Lily. Aku malu. Aku malu lagi!

Lily ternganga tiba-tiba. Dia memandang aku. “Yaya! Kau tulis begitukah? Serius?”

“Eh, tak! Taklah! Dia penipu!” aku menjerit kuat.

Izz Amir membelek-belek nota berkenaan dan tersenyum lagi. Wajah marahnya sudah kembali reda dan dia tertawa kecil sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. Lawakkah baginya kerana mempermainkan aku? Aku ketap bibir memandangnya yang kelihatan bersahaja. Nota dengan kertas berwarna merah jambu itu lantas dilipat kemas-kemas. Sama seperti tadi, dimasukkan ke dalam kocek seluarnya.

“Mari kemaskan segala benang, riben dan gunting yang berterabur. Comotlah kedai saya!” Izz Amir memberi arahan. Beg galasku diambil. Benang, riben dan gunting lantas satu persatu dikutipnya.

“Awak dengan sengaja dan telah sengaja menambah ayat dalam nota saya, bukan? Penipu!” aku melangkahkan kaki untuk rapat dengan dia. Wajahku masih merona merah kerana malu dan Lily masih tersengih-sengih.

Dia memusingkan badannya. Tepat memandang wajahku. Beg galasku lantas dipeluk erat. “Memang awak yang tulis semua. Saya bacalah apa yang awak tulis. Buat apa saya nak menambah-nambah cerita yang memang hakikat terjadi. Tapi awak memang comel! Cute!” suara Izz Amir tenggelam timbul, sengaja dia perlahankan intonasinya ketika mengeluarkan perkataan comel dan cute.

Aku terkesima. Terkebil-kebil mataku. Dia kata aku cute? Eh - Telinga aku rosakkah? Adakah aku salah mendengar setiap inci butiran dari mulutnya.

“Comel?”

Suara Izz Amir mendatar tiba-tiba, “Karikatur yang awak lukis tu, comel. Saya suka karikatur tu. Saya tak kata pun awak yang comel. Jangan perasan ya!” Tegasnya dengan senyuman. Izz Amir menggelengkan kepalanya. Dia tersenyum melihat telatah gadis berkenaan. Teringatkan karikatur itu membuatkan dia tersenyum sendiri. Amat kreatif dan menarik hatinya.

Wajah Izz Amir bersahaja lagi. Lily pantas membantu Izz Amir mengutip segala barangan beg aku yang berterabur. Aku memerhati dengan mengetap bibir.

Aku ketap bibir. Isk – geramnya aku! Dia kata aku perasan?

“Tapi saya nak awak tunggu di sini. Tunggu di dalam kedai saya sehingga jam 9.00 pagi. Sebab baki pai epal tu tak mencukupi untuk membayar semua harga pasu epal saya. Ngerti?” Izz Amir memberi arahan. Tombol pintu kayu di bahagian kiri kami dimasukkan kunci dan pintu dibuka perlahan.


Aku bercekak pinggang. Ewah-ewah, banyak cantik muka dia!

“Semua? Apa maksud awak semua? Pasu awak yang pecah hanya sebiji sahaja okey?” Belumpun habis hati aku yang sakit kerana dia mempermainkan nota aku di hadapan Lily, kini dia mengaku pula yang aku telah memecahkan pasunya dengan jumlah yang banyak.

“Sebiji?” Izz Amir membutangkan matanya lagi. Kepalanya ligat berfikir untuk mengusik gadis berkenaan.

Aku pantas menjawab, “Iyalah, sebiji sahaja okey!Jangan menipu saya. Saya nampak dengan biji mata saya sendiri!” aku mengambil beg galasku yang berada di tangannya. Pantas aku menjelirkan lidah mengejeknya.

Izz Amir tersenyum geli hati. Menggelengkan kepala dan memandang gadis dihadapannya kini.

Aku memusingkan badanku. Malas melayan gertakan dari dia. Apa yang akan terjadi, maka terjadilah. Asalkan aku sudah menjelaskan duit pai epal berkenaan. Memang sah dan jelas pasu yang pecah hanya sebuah sahaja. Jangan memandai-mandai menambah. Huh! Hatiku sedikit panas.

“Hello, awak pecahkan tiga biji okey! Semua tu mama saya beli dari luar negara dan hadiahkan untuk saya!Jadinya awak kena ganti!” Izz Amir membuka gril kedua pintu kayu.

Aku pantas menarik tangan Lily. “Jom balik. Kita angkat tangga naik semula ke atas! Malas layan tauke kedai ni! Sengaja cari pasal! Penipu besar! Mr Pai Epal konon, Mr Penipu Besar lebih layak gelarannya!”

Lily tiba-tiba keras berdiri tegak macam batu. Dia memandang pemilik café berkenaan yang berada di belakangku. Aku terkebil-kebil melihat Lily.

“Kau kenapa, Lily? Jom balik. Jangan layan penipu besar ni! Dasar lelaki!”marahku tiba-tiba pula. Emosikah aku?

“Err…err… err… Aku sakit perutlah Yaya. Aku naik pejabat sekejap ya. Betul Yaya, perut aku memulas-mulas ni.!” Lily berkerut-kerut memegang perutnya. Lily lantas mengangkat kakinya segera. Ah- sudah! Lily memang sengaja akan membuatkan kami putus persahabatan selama satu minggu. Aku pandang tangga yang bersandar di depan pintu besar bergril Pai Epal Café. Tangga begini, masakan mudah untuk aku mengangkatnya seorang diri. Alahai, Lily!

Aku memusingkan badan segera. Lelaki ini mesti gagah membantu aku, bukan? Aku tersengih lagi. Izz Amir mengangkat keningnya. Pantas, otaknya ligat berfikir.

Ah- sudahlah dia penipu besar dan telah memalukan aku di hadapan Lily. Genggam bara api biar sampai jadi bara, Yaya! Bisik hatiku segera. Aku boleh angkat tangga ini, yok!

Aku mencebik ke arahnya dan berpusing kembali mengadap tangga berkenaan. Sepantas kilat tanpa aku sedari, dia telah memegang lenganku yang beralas t-shirt lengan panjang ini dengan kuat! Dia menarik aku terus masuk ke dalam Pai Epal Café yang sudah terbuka pintunya.

Badanku yang ringan bagai angin lantas terus terperosok masuk ke bahagian tengah café berkenaan. Aku terkesima tiba-tiba! Kami berdiri berhadapan bersama-sama. Dengan cepat, aku menarik kembali lenganku yang dipegang olehnya.

Aku menjerit sekuat hati, “Hei! Berani awak pegang lengan saya ya? Belum ada lelaki yang berani memegang lengan saya tahu tak! Eh- kita berdua dalam café ni? Saya nak keluar sekarang juga!”

Izz Amir pantas berjalan menuju ke pintu. Merengus marah dan mengunci kedua-dua pintu. Apa nak jadi, maka jadilah ! Jeritan gadis berkenaan membuatkan dia mati akal tiba-tiba. Geram pula dia dengan sikapnya yang tidak mahu mengaku kalah dan mengejek-ngejeknya. Izz Amir pantas mencari suis. Suasana gelap harus diterangkan segera.

Dia pantas memasukkan tangannya ke dalam kocek seluar dan meletakkan kunci kereta di atas meja. Izz Amir memandang gadis yang masih berdiri kaku di tengah-tengah cafenya.

Aku berdiri memandang lelaki berkenaan. Ah- Mr Pai Epal ini memang memberikan masalah dalam hidupku. Lepas satu dan satu mendatangi.

“Lengan awak tu beralas, cik Yaya!Awak ingat saya sengaja sangat ke nak pegang awak?” Izz Amir tersengih nakal. Kenangan gadis itu masuk ke dalam cafenya beberapa hari lalu menggamit hatinya. Sungguh dia tidak menyangka yang gadis ini akan datang kembali ke kedainya untuk memulangkan wang pai epal dan pasunya yang pecah itu.

Aku mengetap bibir. Tidak menjawab sepatah perkataan darinya.

Izz Amir lancar memulakan niat nakalnya mengusik gadis itu, “Bukankah saya katakan tadi, awak mesti duduk di dalam kedai saya sehingga jam 9.00 pagi. Sebab baki pai epal yang awak makan tu tak mencukupi untuk membayar semua harga pasu epal saya yang pecah! Saya mahu kira kos sebenarnya!”

Aku terdiam lagi. Benarkah 3 pasunya pecah ? Atau lelaki ini sengaja mempermainkan aku? Berapakah kos pasu yang telah pecah itu ? Mahalkah ? Aku berfikir berkali-kali. Wangnya ada pasti tidak mencukupi untuk membayarnya.

Izz Amir memandang gadis berkenaan. Sanggup gadis ini datang - menaiki tangga dan menggantung origami berkenaan untuk memberikan wang pai epal dan nota menarik itu untuknya. Siapa dia? Kenapa dia sanggup bersusah payah demi aku? Bisik hati Izz Amir.

Aku memandang seluruh kawasan Pai Epal Café. Jari telunjuk dan tengah lantas tegak berdiri. Aku tarik nafas dan mengatur percakapanku. Aku amat berharap dia sedikit simpati dengan apa yang bakal aku luahkan ini, “Awak, adakah kita berdua akan duduk di sini selama dua jam ? Awak tahu bukan, apabila kita berdua akan ada orang ketiga iaitu syaitan ? Ustazah saya selalu berpesan pada kami supaya menjauhi zina. Kawan-kawan di facebook juga selalu tag tazkirah dengan tajuk, ‘Duduk berdua, ada yang ketiga’. Saya nak balik cepat juga, sebab akan bekerja. Nanti saya lewat dan akan dimarahi bos saya. Awak baik kan? Kan? Kan?” kepalaku terangguk-angguk.Tajuk tazkirah itu sebenarnya tidak pernah wujud! Hentam sahaja, Yaya!

Izz Amir menundukkan wajahnya. Senyumannya disembunyikan. Kelakar betul gadis ini. Tengoklah matanya yang merayu-rayu itu. Dia pandang lagi gadis di hadapannya. Jarak mereka agak jauh kerana dia berada di hadapan pintu dan suis.

“Awak ada Facebook ya?”


“Kenapa?”

“Saya nak add awak, boleh?”

“Merepek!” tegasku.

“Apa pula merepeknya. Saya seriuslah cik Yaya!”

Ah- dia sudah mengenali namaku. Dengan mudah pula dia menunjukkan budi bahasanya terhadapku. Kenapa dia mahu tahu nama Facebook aku? Sibuk!

“Saya tak mahu berkawan dengan lelaki yang saya tak kenal. Saya nak balik!”

Izz Amir ketawa. Dia berjalan menyeluruhi ruangan café. Entah apa yang sedang dibuatnya di meja cashier. Aku amati perlakuannya yang sekejap-sekejap memandang aku. Matanya nakal dan seakan-akan mengejek aku yang berdiri kaku. Lantas aku menarik sebuah kerusi. Punggungku pantas duduk meredakan lenguh! Geram sungguh aku dengan perangainya! Aku mahu keluar dari sinilah!



Izz Amir membuka peti sejuk yang terdapat di sebelahku. Muka aku sudah monyok macam nasi basi! Sebotol air dan dua biji gelas dikeluarkan. Meja bulat kecil ditarik dengan kakinya. Sekejapan semua benda yang dikeluarkan dari peti sejuk sudah berada di atas meja berkenaan. Sebuah kerusi turut sama ditarik Izz Amir dan akhirnya kami berdua duduk bersama-sama dengan sebotol air dan dua biji gelas berwarna merah jambu itu.

“Saya terima duit awak ni!” Izz Amir mengeluarkan sampul surat yang berisi not lima puluh ringgit berkenaan. Dia memandang wajah redup gadis yang tiba-tiba merubah jadualnya hari ini. Gelas lantas diisikan dengan air.

Aku tiba-tiba gembira dan mahu meloncat-loncat. Hilang rasa marahku terhadapnya yang memalukan aku di hadapan Lily sebentar tadi. Penat lelahku berhasil juga akhirnya. Aku tersenyum seorang diri.

“Minumlah! Jangan risau, saya orang baik-baik!” sapanya penuh hormat dan dihadiahkan senyuman kepada gadis yang digelarnya, Yaya.


Aku terkedu. Udara nyaman di dalam Pai Epal Café ini meredakan gemuruh jiwaku. Sedikit sebanyak, meredakan malu kerana aku sebenarnya tidak pernah duduk berdua-duaan sebegini dengan seorang lelaki.

“Saya nak balik!” ucapku dengan sendu. Pantas aku mengambil segelas air yang dipelawanya.
Izz Amir mengangguk mengerti. “Selepas jam 9 pagi, okey? Sekejap lagi pekerja saya sampai. Hari ni ada gotong royong membersihkan kawasan café. Sebab tu saya datang awal!”

Air yang dituang tauke Pai Epal Café ini lantas membasahkan tekakku. Nyamannya rasa! Tetapi hatiku menyumpah seranah kerana dia hanya membenarkan aku pulang selepas jam 9pagi. Apa – ingat aku saudara mara diakah? Adik diakah? Kakak diakah? Emak diakah? Oh, patutlah dia datang awal hari ini. Tetapi kenapa perlu hari ini? Hari lain tiadakah? Aku menggigit bibir.

Izz Amir lantas meneguk air yang dituangnya. “ Dahaga sungguh saya. Berat juga awak ya! Nasib baik tak patah pinggang saya!”

Dan air yang kali kedua diteguk olehku dan baru sahaja sampai di kerongkong menyembur keluar secara tiba-tiba. Laju dan tersembur kuat juga tepat mengenai wajahnya.

Izz Amir mengetap bibirnya. Aku terkedu seribu bahasa. Sungguh memalukan dan dimalukan. Malah aku sanggup bersumpah yang aku telah malu, semalu-malunya hari ini. Aku mahu menangis, mahu segera balik ke rumah dan memeluk ibu!

Dihadapannya kini, aku menutup bibirku dan kami terkesima. Hari ini adalah hari malu sedunia untuk aku.

17 Oktober 2011

Cinta ke syurga

Gambar cuplikan abang google. ^___^



Ya, terkadang kita boleh terluka. Terluka kerana sedikit perkara. Ini satu kisah benarlah, lebih kurang berlaku dua tiga hari lepas.

Si suami balik lambat ke rumah dan si isteri yang sedang rajin memasak, siap memanaskan lauk pauk, memasak nasi kerana suami akan pulang tepat jam 5.30 petang. Riang gembira sebab si isteri hari ini telah merajinkan diri memasak asam pedas ikan yang paling sedap dalam dunia.

Tepat jam 6.15, encik abang telefon,

“Sayang, abang balik lambat…sekejap lagi abang balik, okey?” suara tersekat-sekat dalam telefon.

Si isteri pandang telefon, hati dah remuk dendam. Sedih teramat sangat tiba-tiba. Apakah ?

“Okey!”

Dalam hati ada hujan. Sob sob….

Si isteri dengan pantas, siap-siapkan lauk pauk. Tutup elok-elok periuk. Pantas ambil samsung galaxy tab, main angry bird. Mulut dah muncung sedepa. Kalau sangkut penyangkut baju pun, “pun boleh sebenarnya”.

Telefon berbunyi lagi.

“Jem kayalah sayang! Lambatlah lagi sampai ke rumah rasanya.”

“Haaa..lainkali bawalah tilam, bantal dan katil tidur sana. Jangan balik-balik!” hati isteri dah sentap.

“Ala sayang.”

“Main angry bird lagi best! Kata balik 5.30. Pentipu!Pentipu!” laung si isteri emosi.

“Abang kan kerja..”

“Kerja, kerja..kerja!Main game angry bird lagi best!” si isteri ulang-ulangkali menyedapkan hati sendiri dan marah-marah si suami.

Suami baik hati. Diamkan diri dan meletakkan telefon. Si isteri terus off telefonnya. Tapi lima minit kemudian di onnkan semula. Hwa Hwa

Balik dari kerja, makan tetap makan. Suami buat ‘derk’, dia menambah-nambah nasi. Mulut tak henti-henti berkata, “Sedapnya asam pedas ni sayang! Abang tambah ni, dah lapan puluh kali dah ni!”

Hati si isteri pula , sunyi sepi satu dunia. Rasa syahdu melanda.

Tapi, tapi tapi….

Bila si isteri menghulurkan salam selepas solat maghrib berjemaah, memohon maaf atas keterlanjuran dan kesilapannya. Si suami terkebil-kebil dan senyum-senyum manja.

Kesimpulannya, sedangkan lidah lagi tergigit bukan? Gaduh hal kecik manyak juga! Memohon maaf itu sebenarnya menghilangkan rasa ego kita, meruntuhkan keriangan syaitan yang sedang berlawan-lawan dengan nafsu amarah si suami dan isteri.

Kadang-kadang kitalah sebenarnya sebagai isteri kena kurangkan ego, kena berlembut dengan suami yang memang dah redup-redup wajahnya. Yang selalu mengalah dengan si isteri yang asyik bebel-bebel kerana isu itu dan ini. *Hwa Hwa…sudah macam ayat novel jadinya!

Rumahtangga itu sebenarnya kasih dan sayang. Juga pertemuan dua orang insan yang berlainan sikap dan sifatnya. Jika seorang lemah lembut sikapnya, yang seorang lagi mesti kasar sedikit tindakannya. Allah itu bukankah Maha Pencipta?

Terkadang, merajuk lelaki yang baik dan mahu meredakan tekanan pergaduhan antara si isteri - adalah dengan pergi ke masjid untuk bersolat jemaah, “Abang nak pergi masjid ni!”

Si isteri terkedu-kedu pandang si suami yang siap berkopiah dan kacak berbaju melayu.

Balik dari masjid, si suami cepat-cepat berkata, “Abang baru balik masjid ni. Salam lekas. Berkat ! berkat ni ! ”

Si isteri tersenyum panjang.

Siapa pun dia yang telah tercipta menjadi suami kita. Bagaimana sikapnya yang telah dijodohkan untuk kita. Juga wajah rupanya yang telah Allah rapatkan dengan hati kita, Sayangilah suami kamu seadanya. Hormatilah dia sehingga ke akhir nyawa. Biar cinta kita sampai ke syurga. Biar bahagia di damba sehingga ke dalam jiwa.

Tidurlah dengan lena dan sesekali jangan lupa mengucapkan yang kamu benar-benar bahagia dipilih menjadi isteri sang lelaki itu.

Salam comel-comel semua!

14 Oktober 2011

Kenapa saya perlu emosi?

Gambar ehsan pakcik google, anak angkat saya. Amacam, comel tak? comel tak? ^____^

Seminggu dua bab harus saya lunasi. Rasa pening-pening sudah kepala saya! Dua malam sudah saya berhempas pulas menyiapkan bab ke dua Yang Terindah dan bab ke empat Mr Pai Epal. Ayo! Rasa macam tamak haloba menulis pula kala ini! Apakah? Ini, sudah bergelas-gelas air saya minum. Kepala rasa berpusing-pusing pula di pejabat. Saya darah tinggikah? Haaaaaduyai nyer pun!

Kadang-kadang plot bermain-main semasa membawa kereta! Bercampur aduk untuk dua buah manuskrip ini. Memang tidaklah saya mengharapkan e-novel ini dijadikan novel kelak. Tetapi rasa puas hati mengisi masa lapang. Rasa macam blog dah kembali meriah dengan adanya dua e-novel saya ini.

Pinta saya, semoga pembaca terhibur, suka hati, senang hati dan ternanti-nanti semua sambungan e-novel ini setiap minggu. Ha ha ha. Perasan! Yang baik-baik sentiasa saya iringkan untuk bacaan semua. Sambil saya tetap menantikan proposal novel fantasi saya dengan PTS Pro diluluskan. Entah apa khabarnya ya. Mahu emel bertanya dengan editor, saya segan!

Juga saya sedang memikirkan satu lagi proposal saya yang ditolak dan harus saya ubah corak/plot dan kemasannnya serta mungkinkah bakal saya layangkan manuskrip berkenaan kepada penerbit lain? Mungkinkah?

Tetapi saya tidak menjanjikan e-novel saya yang terbaik untuk semua. Sebab saya yang tulis dan saya juga editornya sekali. Haa..hambik! Sedikit kekurangan atau terbanyak kelemahan saya mohon maaf sekali lagi. Kerana saya dengan tiba-tiba meloncatkan diri ke arena e-novel dan menulis bersama penulisan2u. Harapan pastinya besar. Menulis itu sebenarnya peluang dan jika Tuhan menjanjikan rezeki, maka saya sambar rezeki itu. Kerana saya menulis separuh masa. Dan masa juga memang mencemburui!

Rezeki saya mungkin dengan penulisan saya kira. Untuk sekarang saya mahu tumpukan sepenuh rasa, jiwa dan raga*cheh kepada penulisan. Maka, jangan…jangan… jangan… tanya macam-macam perihal peribadi saya okey!

Hal peribadi itu termasuklah saya kira soalannya seperti ini – maksud ayat saya kira sama, okey!

1) Dah ada isi ke?
2) Eh, awak sihat? Dah ada belum?
3) Bila lagi ni? sambil tengok-tengok perut gua..eh, saya !
4) Dah nak masuk dua tahun kan kahwin, pergilah makan ubat ini.
Saya ada ubat bla bla bla bla…
5) Ni, bila nak ada baby ?

Okeylah..fine!fine!fine! (gaya Shuib Sepah), sekali tanya okey lorrrr...sekali gurau-gurau okey maaaa...tapi masuk 4 kali, sentap! sentap hati!

Hati mak sentap sangat-sangat nak! Sentap sampai terkapai-kapai nak bagi jawapan. So apabila mendapat jawapan saya sebegini, anak-anak sila jangan tersentap-sentap okey ? sebab sekarang mak sudah pandai menjawab!

1) Eh, ada dah ni. Anak ikan, anak ayam semua ada. Nak yang mana? Anak kucing pun banyak!
2) Sihat sangat-sangat! Ni sihat, makin bahagia, makin tembam. Makan pun banyak.
3) Bila apa kak? Perut saya memang buncit kak, minum air banyak!
4) Saya terus tak jawab soalan &*(^%$ itu!
5) Tahun depan kak! Saya memang merancang pun!

Eh eh, teremosi pula ya! Ini blog saya, okey? Hwa hwa….

Jadinya, kesimpulan dari cerita hari ini adalah, sabar itu separuh dari iman dan menjawablah soalan-soalan berkenaan dengan jawapan bernas dan tip top! Usahalah lagi kerana usaha itu tangga kejayaan. Hehehe, gelak nakal sekejap! Maaflah ya, tiba-tiba jemari ini tersentap pula dan menulis perihal peribadi.

Tetapi serius…sambil saya pandang PC ini. Saya bukan tuhan untuk menentukan takdir saya. Saya juga berharap… ya! Bohonglah kalau saya kata saya tak cemburu tengok kawan-kawan saya dah ada dua, tiga orang anak! Juga baru kahwin, terus melekat! Kadang kala saya malas ambil pusing, lebih baik duduk rumah menulis dari menyertai aktiviti kawan-kawan. Siapa mengandung dulu, siapa yang bersalin, anaknya sihatkah, bila waktu bersalin, nama anaknya apa, eh kulit anak gelapkah, putihkah macam cina? sepetkah? Semua saya tak ambil tahu. Saya kadang-kadang dengan dunia saya sendiri. Tapi, saya bukanlah sekejam itu. Saya tetap like, saya tetap ucap tahniah, tetap berikan ucapan Alhamdulillah kepada sesiapa sahaja. Cuma ni, hati ni tau...hati ni sentap! sentap nak! sentapppp!

Tapi saya manusia yang punya hati dan perasaan. Maka saya memahami sesiapa sahaja isteri, wanita yang masih belum dikurniakan rezeki mereka iaitu anak. Juga saya mengerti mereka yang masih belum berkahwin, belum ada jodoh, belum ada anak, belum tambah anak, belum dapat cucu, belum lah segala-galanya kan? Kan? Usaha tetap berusaha. Meski adakala manusia itu sebenarnya akan ada perasaan putus asa dan kecewa. Berdoalah dan kemudian tawakal juga. La Tahzan! Jangan bersedih wahai hati, kerana...

Tuhan itu ada janjinya, bukan?

Sob sob…

Kenapa saya perlu beremosi ni..haish!?*&^%$#@!)(*_+}{][';/.,>&lt

13 Oktober 2011

Mr Pai Epal 3







Menurut Lily, Pai Epal Café akan beroperasi tepat pada jam 10.00 pagi. ‘Mr Pai Epal’ menurut gelaran adikku, Fatin akan berada di hadapan kedainya pada jam 9.00 pagi. Pekerja Pai Epal Café pula pastinya akan datang bekerja lebih kurang dari jam 9.00 pagi hingga ke 10.00 pagi. Misi menggantung origami kapal terbang dan menyerahkan duit di dalam sampul ini perlu aku lakukan tanpa ada orang lain nampak. Maka aku perlu berada di hadapan pintu Pai Epal Café selepas subuh dan sebelum kedai-kedai bersebelahannya beroperasi. Jika ada orang lain nampak, maka rosaklah misi ini.

Okey, mari aku ceritakan detik-detik mencemaskan yang membuatkan peluh aku turun menitik-nitik seperti air hujan. Lily menjadi mangsa aku pada hari kejadian. Kerana dia kawan aku yang bekerja berhampiran Pai Epal Cafe, paling mengenali selok-belok keadaan di sana, dan tahu serba sedikit susun atur kedai di sana. Tepat jam 5.30 pagi aku menghubungi Lily. Panggilan ke supuluh barulah berangkat. Tidur matikah ?

“Apa ni, Yaya? Baru jam 5.30 pagi. Nak apa?”

“Teman aku. Misi menggantung origami kapal terbang dan nota ni untuk bos pai epal café tu! Pinjam tangga sekali ya!”

Lily menguap-nguap lagi, matanya terbeliak,“Gantung diri?”

Aku menggaru kepala, “Isk, kita orang Islam, bunuh diri tu berdosa besar. Gantung origami di pai epal cafélah!”

“Tak habis-habis buat origami. Dari sekolah sampailah sekarang. Okey-okey. Pukul berapa ya, Yaya?”Lily malas mahu tahu mengapa sahabatnya itu mahu dia menemani ke Pai Epal Café.

“Okey, terima kasih Lily. Yaya datang lagi 15 minit. Kemudian kita merempit ke pejabat pula!”

“15 minit lagi?” Lily terus bangun dari tidurnya. Matanya terkebil-kebil. Dia terbayang bakal menaiki skuter berwarna merah jambu dan ungu Alya yang comel itu.

Aku angguk, “Ya, 15 minit lagi. Jangan lupa bawa telekung sekali!”

Lily termati kata. Panggilan telefon terus dimatikan sahabatnya, Alya. Lily menggosok-gosok matanya. Gila betul si Yaya ini! Memang selalu buat cerita tergempar. Lily dengan lemah longlai melangkahkan kakinya ke bilik air.

Kami bersolat subuh secara berjemaah di surau kecil yang terletak bersebelahan dengan pejabat Lily. Ibu banyak kali berpesan sebelum aku menghidupkan enjin skuterku, ‘Jangan lupa solat, kak long ! Solat tiang agama !’

Kemudian Lily bertanyakan soalan cepu emasnya kepada aku, “ Engkau biar betul, Yaya! Sudahlah kita menipu emak masing-masing pergi berjogging di tasik. Konon!” Lily memuncungkan bibir dan lantas telekungnya dilipat dan dimasukkan ke dalam beg.

“Kau jangan risaulah Lily. Lepas habis misi kita, aku akan hantar kau pulang segera. Ini Yaya lah! Siapa tak kenal dengan Nur Alya Bte Mohd Wafiy yang berani ni!”aku tersengih-sengih dan pantas melihat Lily yang sedang berbedak dan bergincu. Aduhai, dalam keadaan begini pun dia masih mahu berbedak dan memberi kelembapan kepada bibirnya.

Beberapa minit kemudian, kami tinggalkan surau. Beg galas yang setia, aku kendong. Aku terbayang-bayangkan origami kapal terbang dan sampul berisi not lima puluh ringgit berkenaan bakal diterima oleh Mr Pai Epal dengan senyuman. Muka aku pula mengenyit-ngenyit kerana tangga yang aku angkat bersama Lily rupa-rupanya amat berat. Peluh mulai turun. Bermakna betullah aku dan Lily sedang berjogging bersama.

“Ini kerja gila, tau tak?” Lily mengomel lagi. Kami turun tangga dengan perlahan-lahan. Tangan masih mengangkat tangga berkenaan. Suasana subuh masih gelap dan pekat.
“Kau nak teman atau tak?”

Lily terdiam.

“Kalau tak, di rumah aku sedang tidur! Sedang bermimpi pergi London ! ”

Aku pandang Lily yang berada di atas. “Lily, banyak pahala akan kau perolehi bila membantu insan-insan yang memerlukan seperti aku ni tau! Waktu macam ni, kau masih tidur lagi ? ”
Kami mengangkat lagi tangga berkenaan dengan perlahan. Desah nafas Lily semakin ketara bunyinya. Lily tidak menjawab.

Aku memberhentikan aktiviti mengangkat tangga berkenaan. Aku pandang Lily. “Kalau di rumah, ibu pagi-pagi lagi akan kejutkan aku. Kami akan solat jemaah bersama-sama. Kami akan baca surah Al-Waqiah dan baca Al-Mathurat.”

“Ohh…” ‘Oh’ Lily pula yang panjang dan dia terangguk-angguk. Adakah dia faham apa yang aku cuba sampaikan kepadanya kali ini?

Lantas aku panjangkan lagi beberapa perkara yang ibu selalu pesankan, “Ibu kata, tak elok anak dara bangun lewat-lewat. Rezeki lambat masuk dan jodoh akan datang lambat! Umur 40 tahun baru berkahwin!”

Mata Lily lantas tepat memandang aku. Mulutnya lancar menyambung, “Eh, iyakah? Biar betul?”
Aku ketawa dan kami sama-sama mengangkat tangga berkenaan lagi. Muka kembali ‘gagah’ mengangkat tangga. Wajah Lily masih kelihatan terkejut dengan kenyataan tidak berapa rasmi dariku.

“Kalau begitu, aku kenalah bangun pagi-pagi kan? ” Lily mengomel lagi.

“Iya, memang ya ! Cik Lily, awak kena bangun pagi-pagi, nanti dapat jadi menantu pak menteri ! ”aku ketawa melihat muka Lily. Mengusiknya memang menyeronokkan kerana Lily ‘lurus bendul’ orangnya.

Beberapa minit kemudian, kami telah sampai di depan pintu Pai Epal Cafe. Aku mengesat peluh yang turun. Lily termengah-mengah. Dalam keadaan begitupun, dia sempat lagi membuka mulut comelnya, “Nanti aku kahwin dengan anak pak menteri, kaulah jadi pengapit aku! Jadinya lepas ni, sebelum subuh aku akan bangun. Kau rasa siapa ya akan kahwin dengan aku? Menteri mana ya?”

Aku ketawa perlahan. Kemudian secara senyap-senyap, tangga itu sudah berdiri tegak tanda operasi akan bermula. Beg galas dengan segera aku buka. Pintu Pai Epal Café berada di depan mataku kini. Digril dengan pintu besi berwarna coklat. Aku rasa puas hati kerana akhirnya misi ini sudah berada di peringat yang kedua.

Aku sudah mendaki anak tangga pertama. Beg aku peluk di bahagian hadapan. Aku mahu menggantung origami ini agar Mr Pai Epal nampak dan boleh terus menyambar kapal terbang ini. Benang, riben dan gunting sudah tersedia.

“Lily, jaga line. Clear atau tak, roger-roger tau!” aku memberi arahan.

Lily bercekak pinggang. “Siapa yang akan kahwin dengan aku ya, Yaya?”

Aku ketawa lagi. Lily masih mahu aku menjawab soalannya. Aku terkekek ketawa. Pantas aku sudah berada di atas. Tangan sudah mengeluarkan stapler untuk menggantung riben dan benang bagi mengikat origami berkenaan. Sampul surat sudah aku lekatkan sekali. Kerja aku memang mudah kali ini. Kepala aku ligat berfikir.

“Anak menteri pertahanan!” aku menjerit dari atas. Lily memuncungkan bibirnya lagi. Aku ketawa melihat telatah Lily.
“Kenapa kau nak penatkan badan buat kerja-kerja macam ni, Yaya ? Siap angkat-angkat tangga bagai! Buat origami kapal terbang, siap memo ringkas pula! Bagi sahajalah duit tu pada Adnan pekerja dia atau serahkan sendiri pada bos kedai ni! Senang cerita.”

Aku masih setia menggantung.

Mata aku alihkan memandang Lily yang masih menjadi bodyguard di bawah.

“Supaya Mr Pai Epal rasa dihargai dan terharu. Dan aku harap dia akan memaafkan aku sebab aku telah memecahkan pasu cantik dalam café dia. Bukan senang dia nak dapat memo siap dengan kapal terbang comel ni. Yaya pula tu yang buat. Terhad tahu tak!”
Lily ketawa tiba-tiba.

“Kenapa kau ketawa? Kelakar ya?”

“Terharu! Konon!”

“Kau tak percaya, Lily?”

“ Aku tak percaya!”

“Okey, jam 8.30 nanti kita pergi kerja sama-sama. Aku akan hantarkan kau ke sini semula dan kita hendap sama-sama. Kita tengok Mr pai epal tu senyum atau tak! Okey?”
Lily diam. Kepalanya mendongak ke atas.

“Hmmm…okey!”

Tugas aku hampir selesai. Aku tersenyum selepas misi hari ini berjaya. Lantas aku tutup beg dengan perlahan-lahan. Tangga rasa bergegar tiba-tiba. Peluh dingin mengalir perlahan-lahan. Terasa perut kembali selesa dan hidup akan kembali rasa selamat. Ahh – bahagianya terasa.

Lily menggegarkan lagi tangga. Aku memegang cepat-cepat. Nasib baik aku tak terjatuh. Pantas aku turun dengan pelahan-lahan.

“Janganlah goyangkan tangga ni Lily!” aku menjerit sambil membetulkan beg yang hampir terjatuh dari pelukanku.

“Yaya!” suara Lily nyaring tiba-tiba.

Aku turun lagi. Perut rasa senang hati.

“Yaya!” suaranya bergema kuat lagi. Pantas aku memandang ke bawah. Kaki tiba-tiba rasa tergantung. Sebelah kaki kiriku di atas tangga dan kaki kananku di atas angin. Aku membeliakkan biji mata. Beg aku peluk seearat-eratnya. Betulkah apa yang sedang aku lihat sekarang ini?

“Yaya!” Lily memanggil lagi aku dengan suaranya yang sudahpun tenggelam timbul.

Jantung rasa bergedup. Kemudian rasa ia terberhenti dengan sendirinya. Darah pula rasa tidak mengalir lagi. Kalaulah tudung yang aku pakai ini, dibuka, mahu rasanya mereka melihat rambutku yang mencanak tegak ! Bulu roma pula rasa meremang-remang. Peluh di belakang badanku terasa turun mencurah-curah bagaikan air hujan. Aku mahu pengsan.

Dia bercekak pinggang. Ya, aku nampak dengan jelas sekali.

Dia juga sedang memandang aku dengan matanya yang berkelip-kelip. Ya, aku nampak dengan mata, dan dengan bola mata ini sendiri.

Dan dia sedang mengetap bibirnya dan bola matanya membesar bagaikan sebiji guli. Ya, semakin jelas dan aku nampak dengan jelas mukanya yang merah bagaikan seekor naga mengeluarkan api dari dalam mulutnya sendiri. Telinga dan hidungnya seperti mengeluarkan api marak yang menyala-nyala. Dia berjalan perlahan dan berpusing sekeliling tangga seperti sedang membuat tawaf. Aku pula tiba-tiba terasa pening.

Ah, tidak!

“Apa yang awak buat di atas tu? Mahu mencuri di pagi hari ya ? Pencuri biasanya mencuri tengah malam ! Awak buat apa di depan kedai saya ni ? Tangga ni untuk apa ?”

Dia bercekak pinggang. Badannya berdiri tegak dan kepalanya mendongak ke atas.

Dan kini kedua-dua kakiku sudah berada di atas udara. Aku terkejut beruk. Malah boleh aku katakan beruk pun tidak akan terkejut seperti ini. Degupan jantung rasa terhenti. Darah juga dengan ajaibnya berhenti sendiri. Perut aku kembali bergelodak. Bagaikan ombak yang datang menderu-deru. Tsunami bagaikan bakal melanda hari ini. Siaran langsung perlawanan gusti sedang berada di hadapan mataku. Aku lelap mata. Apa yang berlaku, maka berlakulah. Aku rela jatuh maka kakiku mungkin akan patah atau tanganku yang akan patah. Aku rela.

“Budak pasu pecah ! ”

Jeritannya kali ini mungkinkah yang terakhir bakal aku dengari ? Aku lelapkan mataku lagi. Terasa badan melayang-layang di udara. Apa akan jadi, maka jadilah ! Bukankah aku sudah katakan dari tadi bahawa aku rela. Ya, aku rela. Aku rela untuk jatuh.

Lily menekup telinganya. Aku bagaikan beraksi untuk pasukan akrobatik dari negara China. Mengapa aku tidak terfikir sebelum aku merelakan diri untuk menjatuhkan diri? Eh – bukankah aku terkejut dan tubuhku sendiri yang terasa melayang-layang dengan sendirinya? Bukankah aku yang berpesan kepada Lily bahawa membunuh diri itu adalah berdosa besar. Eh – apa yang berlaku sebenarnya? Aku tidak membunuh diri – Tidak, sama sekali tidak ! Kerana ibu dan Fatin memerlukan aku. Bukankah tubuhku sendiri yang sedang melayang-layang terbang ? Ya, adakah dengan keajaiban dari Tuhan? Eh – aku ada kuasa Harry Potterkah?

Jeritan Lily memecah keheningan pagi pada hari ini yang baru bermula, “Yaya!”

Mata aku lantas terbeliak dengan tiba-tiba! Eh – eh – eh! Oh, tidak!

Dan…

12 Oktober 2011

Wahai bulan




Bulan.

Dahulu, bila saya duduk di dalam kereta dan ayah tenang memandunya saya akan melihat bulan perlahan-lahan mengikut saya berjalan-jalan. Cantiknya kamu wahai, bulan!

“Bulan ikut kita berjalan. Ke mana sahaja!” Saya pandang bulan. Deruan angin terus menyusup masuk ke dalam kereta. Ahh – angin malam yang nyaman dan saya melihat bulan tetap setia menunggu saya di hadapan rumah.

Pantas, banyak perkara yang mendewasakan. Dari kenangan-kenangan yang jatuh ke lubuk hati sehinggalah kenangan yang sukar dicari ganti. Emak bahkan selalu menceritakan dan mencorakkan kehidupan saya sehingga sekarang. Bagi seorang anak gadis, duduk di dapur itu satu kewajipan. Dari hal memasak, mengemas, membasuh pinggan mangkuk dan menjaga adik-adik yang masih kecil. Ah – semua itu memang banyak mengajar saya menjadi manusia berguna. Mengajar saya erti berdikari dan rajin membuat kerja.

Bulan lantas menceritakan bahawa cinta itu monyet! Juga cinta itu buta. Lantas kepingan hati yang ketika itu masih kecil terhendap-hendap melihat dia di balik tingkap. Jika suamiku membaca coretan kisah ini pasti dia tersenyum geli hati. Nama dia Mustaqim. Kira-kira cinta monyet sudah memanjat hati saya ketika darjah 5 lagi. Kelas tuisyen yang berhadapan dengan rumah menjadi tempat jelingan manja kami. Aduh – tersengih sudah di depan PC ! surat-surat bersilih ganti dan gambarnya tersorok di celah susunan baju. Jika emak tahu, sudah pasti kes naya !

Zaman kecil.

Lantas entah kenapa saya rasakan ia bukan menjadi realiti bila saya dewasa nanti. Entah apa angin, ribut dan taufan, saya pulangkan kembali gambarnya. Saya koyak surat-suratnya. Dan peralihan zaman kecil sedikit sedikit kemudian meniti dewasa.

Barangkali hati saya macam batu. Apabila dia bersekolah tingkatan 2 di sekolah yang berlainan dengan saya dan saya menginjak di Tingkatan 1. Hanya pertemuan menampakkan dia berjalan dengan seorang kawan perempuannya. Harus cemburu ? Adakah ? Dia buat-buat tidak nampak dan sengaja-sengaja berjalan rapat-rapat dengan kawannya sehingga satu hari baru saya tahu memang benar gadis itu kekasih hatinya. Jadinya keputusan saya, biarlah. Saya merasakan ia bukan keperluan untuk saya menjadi ‘makwenya’ ketika itu.

Gadis comot macam saya manakan pula ramai peminatnya ! Berkawan-kawan dan zaman remaja dahulu penuh dengan batas-batas susila yang dihadkan. Tidak ada berpeleseran selepas sekolah, tidak ada teman lelaki yang perlu berjalan bersama-sama. Tidak ada istilah hujung minggu berjalan ke Mahkota Parade. Juga tiada Facebook dan blog ! Oh, yeah ! Oh, semuanya di rumah membatasi ruang masa dan waktu bersama-sama emak dan adik-adik tersayang saya ! Membuat kuih, membantu emak membuat inti kuih karipap dan inti kelapa. Harus juga menjaga adik-adik. Sehingga malam menjelma dan bulan masih setia terang menemani diri di dalam bilik mengadap buku dan tersengguk-sengguk kerana mengantuk !

Zaman kecil yang paling padat dalam kehidupan !

Zaman kecil yang masih memberikan kesan dalam jiwa!

Zaman kecil yang sentiasa berlagu dan memberi kematangan kepada hati!

Lantas, bulan dan bintang silih berganti menjadi teman.

:::Eh, jangan lupa membaca sambungan Mr Epal bab 3 di SINI ya. Nanti saya siarkan di blog. Komenlah ya, memberi sokongan pada saya..eceh!^_____^:::

10 Oktober 2011

Jauh di sudut hati.





Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt.

Terima kasih teman-teman yang sudi berkongsi rasa, yang sudi menjadi sebahagian
diri di kala susah dan senang. Yang sudi membaca blog sederhana ini dan paling saya terharu yang menghulurkan sokongan dan bantuan kepada saya, “Ouch, touching-touching!”

Semoga Allah swt yang membalas setiap kebaikan kalian semua. Saya mendoakan kalian : sahabat dan teman-teman juga tenang dengan setiap yang Allah uji. Jangan emosi macam saya, kadang-kadang malu pula. Bila membaca kembali entry "Ude", alamak : rasa nak delete semula entry berkenaan. Tapi ia kenangan bukan? Kenangan untuk kami semua sekeluarga. Ujian ini membuatkan kita akan rasa apa itu menghargai, persahabatan, kasih sayang ibu dan ayah, kasih sayang antara ikatan adik beradik dan kemudian bertawakal kepada Ilahi.

Kami bawa ude ke Hospital Putra Specialist akhirnya. Alhamdulillah, beransur sihat dan sekarang ude sedang berehat-rehat di rumah. Mak ayah tak perlu risau-risau lagi ya! ^____^ Doc beri suntikan beberapa kali kemudian CT Scan semula dan cyst akhirnya mengecil. Subhanallah, betul-betul rasa ajaib. Sebab dulu di HUKM saya tengok sendiri cyst ude. Kata doc berkenaan tak perlu operation dan dia berikan ubat hormon, suntikan berhentikan pendarahan dan beberapa ubat lain. Ude berehat selama 2 hari di hospital dan nampak sihat sudah dia. Saya tak mahu bercerita panjang mengenai doc yang mengubat ude selama dua minggu sebelum ini. Yang pasti, banyak saya belajar untuk dugaan 'kecil' ini. Semoga ude sihat-sihat! Kembali ke sekolah dan bertemu rakan sekolah kembali! Bertemu buku dan peperiksaan dengan tenang.

Seorang teman blogger, kawan lah juga ya : Tuan Haris Hauzah memberikan saya beberapa ayat al-quran yang boleh dijadikan sedikit bacaan kepada mereka yang alami pendarahan, cyst, fibroid dll.

Kita mencuba dan bertawakal. Usaha berjumpa doktor juga perlu di samping kita dekat dengan Al-Quran, InsyaAllah.

Okey semua, saya dah tak tahu mahu mengarang apa. Buntu sekejap rasa saya selepas beberapa minggu ini ulang-alik dari rumah ke KL. Tapi bila jemari duduk sahaja di papan keyboard ni, tak mahu pula dia berhenti ya! Hiks

Terima kasih suami. Banyak membantu, banyak hulurkan bantuan semualah : kewangan, kaki sebab bawa kereta ke sana dan ke mari sampai tertidur-tidur lama! Sampai demam-demam selsema. Sob sob…. Semoga Allah swt menjadikan dugaan ini satu ujian untuk kita saling dekat, untuk kita saling mengenali lagi. Untuk kita lebih tabah mengharungi cabaran sebagai suami isteri. Terima kasih untuk sentiasa tabah dengan karenah isterimu yang nakal ini. Saya tahu, saya bukan manusia istimewa untuk sempurna segalanya sebagai seorang isteri. Tetapi apabila mata redup itu sentiasa tabah dan memahami juga sentiasa memberikan nasihat, saya terkesima selalu! Saya lantas terus menganyam cinta jauh ke sudut hati ini. Terima kasih..terima kasih..terima kasih..

06 Oktober 2011

Ude II

258230_226501197361076_100000035914605_1041425_1892231_o


Maaflah, kak lang letak gambar adik-adik kak lang yang cun dalam blog ni! Bila lagi nak glamerkan?




Masa yang semakin menyesakkan. Emosi yang berbayar dengan air mata. Sungguh, sehingga saya merasakan blog inilah teman saya berbicara. Saya teringatkan teman-teman saya. Terima kasih banyak-banyak membantu saya dan memberi kekuatan. Saya tahu, ‘kamu’ semua sedang membacanya. Saya sedang tersenyum dan kemudian seolah-olah ada gerimis sedang jatuh di hati saya. Tahukah kalian bagaimana gerimis itu jatuh di hati? Ia bagaikan air mata yang tiada siapa lihat, seperti ada air mata bergerak perlahan di hati. Saya tersenyum tapi gerimis terasa semakin laju mengalir di hati! Seolah-olah kamu sekarang sedang berdiri di lautan manusia yang beribu-ribu jumlahnya dan kamu akan berdiri seorang diri memerhatikan gerakan manusia yang sedang berjalan tanpa siapa mempedulikan kamu. Atau melihat dedaunan hijau yang gugur di muka bumi dengan satu perasaan halus. Begitukah?

Seminggu berlalu, amat pantas dan sekelip mata! Ude pantas menjadi tema hati, jiwa, fikiran dan perbualan semua kalangan teman-teman rapat saya ! Terharu..

30/09/2011
Ude keluar dari hospital selepas CT Scan dan pendarahan berhenti. Tiadalah kata nak operate atau memberikan jalan penyelesaian. Ok fine. Tapi surat discharge dan report tak berbagi ! Argh..maka menyukarkan kami membawa ude ke mana-mana. Jawapan ringkas sebab doc tiada ketika hari berkenaan. Maka report akan diberikan pada hari Isnin 03/10/2011. Pelik...

1/10/2011
Fikiran saya HUKM memberikan jawapan lain, tapi ubatnya tetap sama, caranya sama dan saya malah tak pula tahu HUKM ada yang berbayar dan tak berbayar. Saya fikir yang saya pergi itu berbayar, tapi bukan rupanya, ahh, bodoh sungguh saya rasa. Tak bertanya, memang sesat jalanlah nampak gayanya ! Akhirnya emak, ayah, ude, kembar & abang chik datang ke rumah. Darah ude masih keluar tak henti-henti. Wad emergency tak terima ude sebab tekanan darah normal. Memang seperti yang saya lakarkan dalam entry ‘Ude’, dia kelihatan sihat, normal dan boleh berjalan. Tapi hatinya siapa yang tahu bukan? Darah memang still keluar sehingga sekarang.

Scan dibuat sekali lagi. Ada cyst, 5.5cm. Pantas selepas doc yang buat lagi ujikaji dalam biliknya. Entah ada dua orang doktor pelatih bagai, saya rasa dalam 1 jam duduknya ude di dalam bilik bernombor x(dirahsiakan). Sabarjelah ! Ditanya macam-macam, soalan-soalan seperti biasa selepas ude bercerita, dan ulangan-ulangan pertanyaan lagi oleh dua orang doktor cantik jelita. Iya, saya hormati apa juga keputusan doktor. Tapi doktor itu bukannya tuhan. Dia juga bekerja mencari makan. Ubat yang sama, katanya datang dua minggu lagi. Hai..saya tak fahamlah! Darah dah 3 bulan masuk 4 bulan tak berhenti maaaaa!!!! Operation pun katanya kena tunggu. Saya terkelip-kelip tahan hiba. Kalaulah saya kaya….

Kenangan jari manis gua.

Pantas gua teringatkan doc yang memeriksa jari manis gua ketika dihimpit kaki lipat van(bangku duduk van). Jari gua patah, dia kata "ala, sikit sahaja. I balutkan ya, tak adalah orang terpijak ke, terlanggar ke jari awak ni." Gua terkedu-kedu depan doc itu! Ada ke sesiapa berani pijak jari manis gua yang runcing bagai ni?

Akhirnya gua half day petang, suami bawa ke klinik di Sri Permaisuri. Doc baik hati yang memeriksa gua sebelah petang melakukan scan dan benar-benar jari manis gua patah di depannya! Sampai sekarang beb, jari manis ni tak boleh tekan keyboard. Kira-kira gua cacatla sikit. Tapi menulis tetap laju o! Disebabkan kelalaian doc itulah gua tak dapat mc dan claim perkeso gua tidak dilayan kerana kategori tak ada mc. Gua menderita sakit jari lebam-lebam, berdenyut-denyut sakit, berdarah-darah, bayar perkeso bulan-bulan, isi borang bagai nak gila, minta sain sana sini, akhirnya bagaikan teratai layu di tasik madu aje! Sedih gua rasa sebab jari inilah yang bikin gua cari makan separuh masa menulis. Gua rasa nak libas muka doc itu, tapi gua muslimah sejati…maka gua halalkan perkhidmatan sucinya sebagai seorang doktor. Sekarang, gua dah tak tahu mana doc tu pergi. Sebab kerana gua report dan beberapa kawan gua report mengenai ‘ketidakarifannya tentang dunia kedoktoran’ maka dia direject perkhidmatannya di sini! Gua rasa gua tak bersalah! Sob sob…

Eh, terlari topik pula. Bergua-gua pulak ya! (BMR disengajakan) Mari gelak beramai-ramai. Hwa hwa hwaa…

03/10/2011
Sekarang, ude di Hospital selepas pendarahannya makin teruk. Tahad wad dan doktor nak tunggu setahun sampai darah dia berhenti baru boleh operation.(ayat dah tunggang langgang, ahh…biarkan) Ubat hari-hari ubat yang sama. Katanya tak boleh operate sebab cyst tak besar dan kena tunggu darah berhenti. Saya tension! Saya bukan budak medic dan bukan juga doc maka haruskah saya bersabar dengan beberapa ayat mereka untuk menyedapkan hati, usus dan jiwa yang memang dah parah!?

Saat ini, kalau mahu dibilang detik dan masa yang berlalu, ketabahan itu pastinya ubat paling mujarab. Ude, saya bagi kekuatan kepadanya. Ayat-ayat Al-Quran, ayat-ayat penawar, yang saya berikan, saya suruh ude jadikan terapi kepada dirinya. SMS bersilih ganti bertanya khabar. Ketegangan jelas dari suara ayah ketika saya mahu membawa ude ke sebuah hospital lain. Soal duit bukan masalah bagi saya. Saya usahakan, ya! Insya-Allah.

Hari ini dan esok, saya amat berharap ada sesuatu keajaiban dari mulut ayah membenarkan ude keluar dan melakukan pembedahan secepat mungkin. Saya berusaha, berdoa dan bertawakal. Kadang-kadang memang kita buntu cari jalan penyelesaian. Saya lantas terfikir, begini agaknya perasaan ayah, ibu dan mereka insan-insan lain yang berhadapan dengan kenyataan mengenai dugaan ‘sakit dan kewangan’. Saya tahu hati emak dan ayah. Saya juga tahu tahu hati ude bagaimana, kerisauan dirinya. Saya juga tahu kerisauan along, angah, abang chik, kak teh dan kak chik. Dalam keadaan sekarang, saya tahu Tuhan menguji sejauh mana hati dan akal bertindak. Sejauh mana nafsu juga berperanan. Ketabahan, doa dan kekuatan itu perlu ada.

Saya bawa air mata jauh-jauh lagi.

Melihat susuk tubuh emak yang semakin susut…
Melihat juga wajah hening ayah yang membuatkan saya sayu dan hiba…

Maka, nikmat yang sedang dikecapi ini seharusnya kita syukuri. Semoga ada jalan penyelesaian dengan dugaan kecil ini. Terima kasih teman-teman yang sudi membantu, menelefon bertanya khabar dan tak putus-putus bertanya di fb. Saya terharu lantas gerimis di hati mendatangi lagi. Ukhwah bertahun-tahun itu terbukti kini.




326469_284340651579034_100000093034666_1178718_1657974348_o


Dah macam iklan baju sukan kak lang rasa. Hahaha!







Hari ini.

Salah satu perkara yang saya belajar kini adalah, di saat kita susah, kita akan melihat wajah sebenar mereka yang berada di sekeliling kita. Teman, saudara mara hatta jiran tetangga. Kita akan belajar menghargai adik-beradik yang sedarah dan sedaging. Kasih sayang lantas bertaut hebat!

Kami miskin harta, tapi kaya kasih sayang yang berjiwa!


Terima kasih semua.