Pages

22 Disember 2010

Ini dia!


Ini gambar suasana bekerja di pejabat. Dan laluan pekerja-pekerja yang berdedikasi di belakang saya! Dan pembuka pintunya adalah saya! Arghhhhhh....memang sudah 4 tahun saya bertahan duduk di hadapan dan selama 4 tahun itu juga saya berperang sakan dengan banyak karenah. Kakitangan ataupun panggilan telefon yang tidak sewajarnya di hantar ke Jabatan Kewangan.

Sabar. Paling penting adalah sabar.

Bendera yang berkibar itu adalah kerana semangat dan kerana menyahut seruan PM Jib -1Malaysia. Ohh!
Apa yang menarik agaknya tentang gambar ini ya? Patung berwarna kuning itu milik apei!

20 Disember 2010

Hatinya yang sukar dicari ganti lagi.

Kawan.

Hari ini, saya belajar satu perkara penuh dengan jiwa.

Kawan. Iaitu boleh sahaja ertinya menjadi teman, dan sahabat. Perjalanan yang semakin saya lalui, semakin membawa kepada kematangan diri. Saya akan berkawan dengan sesiapa sahaja. Namun kawan-kawan tidak ada yang rapat atau lebih tepat berkawan dengan saya 'seerat-eratnya'.

Tiada perkongsian yang sedalamnya antara saya dan seorang kawan. Dahulu saya diisitilahkan 'kakak usrah yang garang'. Maka mungkin itu antara faktor saya seorang yang sukar didekati. Namun, Hanes seorang yang memahami dan kini istilah itu tiada lagi dalam kamus hidup saya. Perlahan-lahan saya menukar definisi itu kepada seorang kakak usrah yang memahami. Mengambil masa yang lama untuk merubah diri kepada corak ketegasan dalam kepimpinan dan membawa corak berlainan pula!

Namun, kegarangan saya melekat dengan ramai kawan-kawan yang mungkin tidak berani dekati lagi. Beransur-ansur masa membawa saya kepada kenangan yang lalu. Mungkin faktor masa, jarak, hubungan, alam sekitar, hati dan segala-galanya menjadi jurang perbezaan antara saya dan kawan-kawan.

Adakala saya juga anti sosial. Jarang bergosip-gosip dan senang dengan dunia saya. Dunia yang kini sebati dengan saya. Kawan terbaharu saya pastinya komputer riba dan buku-buku yang menjadi teman. Bahagia. Saya akan menulis sehingga rasa kepuasan yang tidak terhingga. Adakala melewati malam dan membawa kepada pagi.

Namun sesekali melihat gelak ketawa dan keakraban teman-teman bersama memunculkan satu rasa iri hati dalam diri. Boleh bersama keluarganya, boleh mendekati dan akhirnya saya melihat dari jauh betapa saya kekurangan sahabat yang sebegitu. Kekurangankah saya? Saat itu, terasa saya mahu lari dari berhadapan dengan kenyataan kehidupan. Mahu saja saya menjadi seperti si kumbang yang boleh sahaja menghisap madu-madu manis dari setiap kelopak bunga kesukaannya.

Pantas saya mendongak melihat langit yang terbentang luas. Hadiah dari langit lantas turun dan gerimis menjadi teman lagi! Aduh, indah sungguh suasana dan pelangi petang lantas memunculkan dirinya. Masih sudi menjadi teman dan kawan.

Masa menginjak mendewasakan diri. Hari ini saya sebenarnya sudah mempunyai kawan istimewa. Paling tidak, menjadi tempat menyandarkan segala kesedihan, gembira dan segala-galanya.

Oh, sungguh saya tidak menduga sekali. Saya sudah punya seorang kawan. Iaitu hatinya yang sukar dicari ganti lagi.

Dia teman, rakan, kawan dan sahabat kini. Sehingga penat dan bibir ini bercerita apa sahaja. Dia akan tetap tersenyum dan mendengar dengan setia. Meski saya akan melontarkan marah, sedih, gembira dan suka! Dia masih seperti yang saya khabarkan, akan tetap tersenyum dan mendengar sehingga membawa tidur yang lena.

Tuhan - dengarkan suara hati ini, untuk setiap kebaikan dan kejayaan kepada dirinya. Membawa senyumannya untuk seluruh kehidupan saya. Seluruh jiwa dan seluruh rasa untuk lekat dalam episod setiap karya-karya yang akan bercerita.

Suami - kini dia kawan!

17 Disember 2010

Penuh Jalan Cerita!

Alhamdulillah, kerana saya telah memenangi anugerah perak - Pertandingan Mengarang Sajak Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Bank Negara Malaysia 2010. Hasilnya, pemenang kategori Perak menerima wang tunai bernilai RM200 setiap seorang.

Sajak bertajuk 'Ku dakap keajaibanmu, Bank Negara dinilai dan diadili oleh pegawai bahasa berkaliber dari Bahagian Pembinaan Bakat dan kepakaran, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP. Bila nama saya tertera di Enterprise Portal, Bank Negara Malaysia, sungguh pula saya tidak sangka. Namun yang penting sajak yang dikarang 'last minute' dan dalam keadaan tergesa-gesa itu pula yang tampil memberikan saya peluang. Sungguh saya tidak menyangka sama sekali!

Bulan Disember semakin dekat ke penghujungnya.

Januari pula menginjak perlahan.

Banyak perkara perlu disusun rapi.

Banyak perkara perlu diterapi kembali.

Banyak juga sekadar berhalusinasi.

Dan perlu diteliti ketika bulan Muharam bermula. Senarai manuskrip yang ingin saya siapkan tahun hadapan adalah sebanyak 10! Banyak sungguh namun angan-angan semakin meninggi.
Andai Gerimis Berhenti - (dwilogi kedua dan terakhir) sedang saya perbaiki plotnya. Meminta kebenaran dari editor untuk saya menyunting kembali agar mulus hasilnya. Insya-Allah. Manuskrip novel kembara fantasi dan tauhid islami yang saya war-warkan turut sama mahu saya siapkan. Paling utama, ia bakal diterbitkan tahun hadapan. 3 novel sekaligus dalam perancangan saya.

Tiada yang membenarkan semuanya kecuali Dia, Allah Yang Esa. Semoga perancangan tahun 1432 Hijrah menyinar-nyinar untuk kerjaya.Paling penting saya mahu fokus menulis dan mencuba membawa cerpen kecil saya ke khalayak juga. Mana tahu, menjanjikan kegembiraan untuk saya.

Bercuti dan menenangkan diri juga! Saya akui mengalami sedikit kemurungan dan entah kenapa sedikit emosi lantaran setahun perkahwinan dengan kehidupan berdua. Adakala saya mahu berkata, 'Janganlah bertanya lagi! Jiwa saya sesak dan sebak!

Berhalusinasi lagi! Tuhan pasti tahu dan ada jalan ceritanya untuk saya!

13 Disember 2010

Mendakapi Andai Gerimis Berhenti



Ada beberapa komen yang saya terima mengenai novel kedua saya iaitu : Andai Gerimis Berhenti. Terasa bersemangat saya untuk meneruskan kembali jari jemari ini menulis. Terima kasih menerima dan membacanya. Untuk teman-teman yang tidak putus-putus memberikan sms mengatakan sedang membeli dan akan membacanya juga yang masih menantikan saya untuk mengepos novel berkenaan. Maaflah - Puan Dihah sibuk, almaklumlah dengan dunia fantasi kembaranya dan kembara tauhid islami yang masih-masih belum disiapkan lagi. Agak-agaknya, bilalah boleh sampai ke tangan editor dua manuskrip ini ya?

Baiklah, mari kita jengah beberapa komentar pembaca (selepas saya sunting ayat-ayatnya)
Kata Puan Normalawati Bahari, seorang pegawai di Jabatan Antarabangsa, Bank Negara Malaysia mengenai novel ini :

"Saya sudah habis membaca novel Andai Gerimis Berhenti. Sedihnya sehingga bergenang air mata saya. Emosi betul saya ini! tapi terubat bila membaca plot Najmi berjumpa Aisya. Mereka berdua yang ada keserasian, suka bergurau dan gembira sahaja bila berjumpa. Suami saya kata - laa...sekejap menangis, sekejap gelak pula, kasihan!. - hehe... itula namanya menjiwai cerita kan? hiks! nasib baik pengakhir cerita yang gembira. jadinya, saya rasa puas! "

Juga komentar dari seorang pembaca di laman facebook saya, iaitu Rozy Asra Waldo

AGB telah habis saya baca. Mengalir-ngalir air mata saya membaca novel berkenaan. Teringin saya menjadi seperti Aisya , cekal dan tabah. Terima kasih untuk novel yang hebat itu!

Kata Suriani, teman saya ketika kami berbual-bual semasa menemaninya membeli-belah di Jaya Jusco Maluri:

"Karya yang matang dari Lukisan Jiwa. Err, ada kena mengenakah dengan kak dihah?" tanyanya.

Saya tertawa.

"Ikan air tawar ilham dari ayah. Ayah saya membukanya secara kecil-kecilan dan saya besarkan di dalam novel berkenaan."

"Yang lain-lain ada kena mengena jugakah?"

Saya tersenyum bersahaja.

Jeda dan fikiran ini terus kepada Abang Najmi dan Hisham di dalam novel berkenaan. Di dalam novel ini tiada cinta berpegangan tangan, tiada cinta yang dilarang Tuhan. Namun ia cinta perasaan yang membenam-benamkan diri kepada Tuhan.

Jika cinta kenangan menjadi taruhan - saya percaya, setiap di antara kita pasti ada zaman kanak-kanak yang meriangkan. Berlari-lari dan menangis bersama-sama. Layang-layang turut sama menjadi permainan kecil. Emak pastinya akan terjerit-jerit ketika kenakalan bermain dahulu.

Lain-lain di dalam naskah ini - Mereka yang pernah mendekati dan mengenali saya pasti tahu dan mengerti!

Andai Gerimis Berhenti sering saya dakap. Saya puas menulisnya dan saya syukur kerana ia novel memberikan kalian kesyukuran, erti tawakal dan kasih sayang kepada Allah, keluarga - emak dan ayah amnya. Pendek kata dan kesimpulannya , apabila merenung novel Andai Gerimis Berhenti saya akan tersenyum penuh kepuasan! Saya mahu mendakapinya sehingga manuskrip-manuskrip saya seterusnya berpaksikan kepada tawakal dan janji kepada Tuhan.

Nota kaki : Gambar hiasan adalah emak bersama Fared, iaitu adik lelaki bongsu saya. Adakala emak dan ayah itu benar-benar betul kata dan nasihatnya. Maka, ikutlah pesanan dan carilah petunjuk dengan jalan kepada Tuhan.

08 Disember 2010

Kekasih Hati

1 tahun kini,
Pada tanggal 1 Muharam,
Diakadkan,
Kerana Ilahi.

Hijrah,
Membawa erti,
Pada diri.
Pada kekasih hati,
Membawa erti,
Menjadi sepasang suami isteri.

Semoga kekal abadi,
Bahagia bagai merpati sejoli,
Sehingga di syurga setia menanti.
Nota kaki : Selamat menyambut Maal Hijrah.

06 Disember 2010

Gua & minyak & tol

Saya sedang membikin dan menukang sebuah novel fantasi. Kemudian novel tauhid islami yang perlu dan mempunyai banyak bahan terpaksa saya ketepikan buat sementara waktu. Target saya penghujung Disember ini novel fantasi mendebarkan ini siap! Kemudian akan menyambung masa dengan novel tauhid Islami ini.

Doakan saya ya, kawan-kawan!

Blog ini juga adakala saya singgah dan adakala saya sapu-sapu agar ia menjadi bersih. Maaf kerana tiada cerita sensasi meski isu minyak, air dan gula mendadak naik.

Saya mendapat satu reaksi seorang teman ketika berbual-bual dengannya.

"Tol juga semakin lama semakin banyak. LEKAS, KESAS, NKVE, PLUS, FEDERAL, LAKSA, DUKE, SKVE, BESRAYA, LDP. Omak ai! Jalan sikit tol, jalan sikit tol. Gua kadang-kadang merungut juga dengan tukang tol tu!

Gua sendiri tak tahu mahu cakap bagaimana. Sebab orang-orang Malaysia semakin hari semakin kaya.

Gua bengang sungguh!

Minyak naik, tol sana sini, gula naik, adakah mereka kisah? Gua rasa macam tertipu sungguh."