Pages

22 Jun 2012

Gemulah Papa


'Gemulah Papa'

Sebuah cerpen cabaran Geng Urban untuk bulan Jun dengan bertemakan 'Papa'. 
Papa bersama Palestin dan semoga hati-hati kita dekat dengan Palestin.
Al-Fatihah kepada semua pejuang Palestin dan terbaru dua remaja ini terbunuh :
Mohamed Bassam, 16 dan Yousuf Al-Telbani, 16 dari kawasan yang dibom di timur Deir Al-Balah.
Sumber : amanpalestin.net

2012-06-19_PIC_01_Six Palestinians killed in Israeli air raids on Gaza in 24 hours

I.

Ketika itu hujan turun renyai-renyai. Bau hujan lantas meresap masuk ke dalam hidung. Wangi baunya. Sedap juga bila sesekali bau hujan bersatu dengan angin. Karipap yang mama hidangkan di atas meja ini masih panas lagi. Piringnya cantik dicetakkan dengan bunga ros merah. Petang yang dingin. Papa duduk memerhati kebun orkid mama. Sejuk sahaja dan sesekali halaman rumah disimbahi zikir-zikir dari bibir papa.

Tetapi kedinginan itu disentap dengan pengakuan papa. Papa memandang Abu Bakar. Papa tarik nafas. Merenung hujan yang masih menitik-nitik. “Abu Bakar, minggu depan papa akan ke Palestin. Sekali lagi akan ke sana. Nanti jagalah mama kamu seperti mana papa menjaga hatinya. Hormati mama kamu.”

Abu Bakar tunduk memandang secangkir kopi yang masih berasap. Dia gigit bibir bawah. Dia renung wajah papa yang berjambang itu. Itu permintaan papa. Cita-cita papa semenjak dahulu lagi. Jika mama bersetuju, maka dia sebagai anak harus melepaskan pemergian papa tersayangnya. Hatinya sayu, pergilah papa. Demi bumi Palestin. Demi menghapuskan zionis Yahudi Laknatullah itu.

“Ingat segala pesan papa. Bersolat, membaca Al-Quran, bersedekah, menjaga nama baik keluarga dan sentiasa menjaga amal ibadat kamu dengan Allah.” Papa merenung pula mama. Mahu mama mengerti bahawa kepergiannya ini untuk cita-cita yang lama tersimpan.  Wajah mama tenang. Wajah mama bercahaya dengan senyuman cantiknya. Meski hati mama kali ini risaukan papa. Selepas papa sekali lagi mahu ke tanah suci itu, mimpinya menakutkan. Mimpinya setiap hari membenamkan bisik syaitan durjana. Seboleh-bolehnya dia mahu menghalang kepergian papa. Tetapi dia isteri yang seharusnya menyokong hasrat mulia suami.

Mama yang masih duduk pantas mencambahkan kekuatan nurani anaknya. Sebagai mama dia mahu anak lelakinya ini mengerti mengenai tugas papa sebagai doktor. Jika mama kuat berhadapan dengan kenyataan ini, anak mama juga harus sama-sama mengharungi kenyataan ini. Mama mahu buang segala mimpi dan mainan syaitan itu. Papa sukarelawan yang sentiasa Palestin nantikan. Nama papa sentiasa disebut-sebut dan diperlukan. Papa mahu merawat kaki anak-anak Palestin yang telah hilang. Papa mahu merawat tangan anak-anak Palestin yang kudung. Papa katanya lagi mahu memberi kasih sayang kepada anak-anak Palestin yang hilang emak dan ayah. Al-Quds itu adalah ibu Negara umat Arab dan Islam untuk selama-lamanya. Tafsir ayat dari surah Al-Isra bergema. Bibir mama pantas berbicara. “Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya yakni Muhammad pada malam hari dari Masjid Al-Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Bisikan mama membuatkan Abu Bakar tersedar dari lamunan. Dia dihenyak kepiluan selepas menonton kisah anak-anak Palestin yang papa tayangkan di ruang tamu. Abu Bakar terus berdiri, menolak kerusi dan memeluk papa. “Abu Bakar mahu jejaki Palestin. Abu Bakar mahu ikut papa. Abu Bakar mahu bantu papa menjadi doktor. Abu Bakar mahu membantu papa membalut tangan anak-anak yang kudung itu. Abu Bakar mahu memeluk anak-anak lelaki Palestin dan berikan mereka kekuatan. Abu Bakar mahu syahid juga, papa!”

“Izinkan Abu Bakar juga. Izinkan Abu Bakar ke sana. Izinkan.”

II

Papa aku seorang pejuang Palestin. Ketika kisah ini dikarang, mayat papa masih belum ditemui dan khabarnya ditembak oleh tentera Yahudi. Mama tenang mendengar berita dari Kedutaan Malaysia. Mama merenung kaca berkenaan dengan tasbih, tahmid dan takbir. Suara mama perlahan mendayu-dayu. Televisyen menayangkan bagaimana papa ditembak. Bagaimana tubuh papa diseret oleh tentera Yahudi. Bumi Palestin bergolak. Bumi Palestin sedang menumpahkan darah para syuhada.

Video ditayang. Sekali lagi menjadi bukti. Papa mengangkat tubuh kecil seorang anak Palestin yang telah ditembak di dadanya. Darah membuak-buak merah. Bunyi tembakan mengejutkan. Bom menggegarkan tayangan berkenaan. Hiruk pikuk. Tegang! Melalui video yang menjadi bukti itu, aku dapat melihat papa berlari menyelamatkan Iman. Papa mendukung Iman dan papa mengasak pertempuran. Aku kenal. Aku pasti dan aku semestinya yakin yang tubuh itu adalah tubuh papa. Suasana kem pelarian terus gegak gempita.

Papa melarikan Iman. Papa berlari dengan laju dan seorang tentera Yahudi lantas berdiri tegak. Mengacukan senapang dan tidak sampai seminit bunyi dentuman menyesakkan dada. Darah memercik. Kamera dirampas oleh tentera Yahudi dan siaran tamat dengan ulasan seorang menteri.

Aku terkedu. Mama membisu. Bibir bergetar dan telinga mendengar mama menyebut, ‘Allahuakbar. Allahuakbar.’

Papa! Papa! Itu papa! Aku menjerit tetapi suaraku tidak kedengaran. Kerongkong terasa pecah. Tersekat-sekat dan mulut ini ternganga. Air mata mengalir laju.

Abu Bakar : papa mengenali seorang anak kecil bernama Iman. Iman duduk di kem pelarian Al-Shirta. Berumur 12 tahun dan bila papa merenung Iman, papa akan terkenangkan Abu Bakar di sana. Bila Iman tersenyum, papa akan nampak senyuman Abu Bakar. Iman yang bersemangat kental dan Iman di sini hanya tahu bermain dengan Al-Quran. Hari-harinya membaca, menghafaz ayat Al-Quran dan hadis. Anak-anak kecil di sini hiburannya ialah dengan mengulit Al-Quran, Abu Bakar. Anak-anak kecil di sini tidak ada permainan playstation. Tidak ada facebook dan tidak ada televisyen yang menayangkan kartun. Iman itu berani seperti Umar Al-khattab.

Dia cekal dan sentiasa mahu mempertahankan Negara Palestinnya. Iman, seorang anak yang kehilangan ayah. Ibunya hilang kaki kanan akibat terkena bom fosforus. Ia sejenis bom yang tidak meletup. Api dan kepanasan bom ini tidak boleh dipadamkan dengan air atau pasir. Jalan selamat yang papa lakukan adalah dengan memotong kaki ibu Iman.

Iman ketika di kem pelarian dan saat dia menyaksikan kaki ibunya dipotong telah berdoa dengan penuh sungguh-sungguh. Memilukan dan papa sungguh tidak sanggup membedah dan memotong kaki ibunya. Doanya sayu dan ia menitiskan air mata papa dan kami semua di sini. “Ya Allah, kaki kanan ibuku sudah syahid. Kaki ibuku telah kau ambil ke syurgamu. Mengapa tidak kau ambil sahaja nyawa ibuku agar ibu boleh bertemu dengan ayahku di syurgamu itu. Ya Allah, bunuhlah tentera Yahudi di bumi kami ini Ya Allah. Ya Allah, kasihani kami anak-anak kecil yang rindukan ayah dan ibu kami Ya Allah. Iman mahu bahagia dan Iman mahu menjadi seperti kanak-kanak lain. Iman mahu membesar dengan redhamu. Tetapi Ya Allah, sekiranya ini jalanmu, Iman yakin dan Iman berani bersumpah untuk terus mempertahankan Negara kami ini. Iman mahu syahid jika itu sudah pilihanMu.”

Saat menulis kisah ini, papa menangis dan terus memeluk Iman. Katanya, “Kenapa doktor menangis? Ketawalah. Kami semua di sini sentiasa ketawa. Janganlah bersedih. Kerana jika doktor bersedih, siapa yang akan merawat kami semua di sini?”

Abu Bakar : Meski mereka sengsara dan derita tetapi hari-hari mereka di sini dipenuhi dengan gelak ketawa. Bergurau mesra dan hidup mereka penuh dengan warna. Mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan cekal dan bertawakal kepada Allah SWT. Masakan anak papa boleh lupa bahawa papa sentiasa mahu Abu Bakar mengambil iktibar kisah mereka ini.

Iman. Papa tersenyum dengan keletahnya. Rindu papa pada kamu terubat dengan hadirnya Iman di sisi. Ingat Abu Bakar bahawa papa kamu adalah seorang doktor di Palestin. Sukarelawan yang menabur janji untuk memerdekakan sebuah Negara yang semakin kerdil di dalam peta dunia.

 Itulah papa, bukan?

III

“Di sini doktor. Kakinya perlu dipotong.”seorang petugas memanggil papa.

Papa angguk. Berlari-lari mendapatkan pesakit dan kemudian para petugas berlumba-lumba menyelamatkan pesakit berkenaan. Seorang wanita terburai isi kakinya kerana terkena bom. Bibirnya mengucapkan, “Allahuakbar. Alhamdulilah. Syahid. Syahid. Syahid ya Allah.”

Papa merenungnya. Darah membuak-buak keluar. Kakinya hancur. Wanita ini masih tekal menyebut syahid. Masih mahu syahid meski sekarang diizinkan oleh Allah swt untuk hidup. Papa telan air liur. Meneruskan tugasnya dengan cekal. Keringatnya tidak dilap sesiapa. Keringatnya untuk Palestin. Jika boleh dan dizinkan Ilahi juga dia mahu syahid di bumi bergolak ini.

Proses memotong, menjahit dan tugasnya sebagai doktor dipermudahkan Allah swt. Dia terasa damai apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran yang dibaca oleh para penduduk Palestin di kem ini. Kanak-kanak, wanita dan lelaki. Semuanya sama. Mereka menghafaz Al-Quran dan hadis. Mereka kuat dan berkeyakinan. Allah SWT mencampakkan kasih sayang di hati mereka. Allah SWT menzahirkan rasa berani itu dengan wajah yang bersinar-sinar. Hati papa entah kenapa menjadi bulat dan satu dengan mimpinya malam tadi. Papa telah menyebut perkatan syahid. Syahid dan syahid. Setiap masa. Sama seperti wanita yang berjaya dipotong kakinya itu. Wanita yang berjaya dibedahnya tadi dipandang penuh teliti. Tersenyum memandang papa dan menggamit papa.

“Aku ingin syahid. Mengapa kamu menyelamatkan aku? Biarkan sahaja. Biarkan sahaja.” Getarnya penuh amarah. Papa senyum meleret. Wanita itu tarik nafas dan kembali tersenyum. Papa tahu, wanita ini sengaja memarahinya. Seorang doktor harus tahu ragam pesakitnya. Malah, pesakit di kem pelarian ini berlainan dari hospital yang pernah dirinya berkhidmat.  Bibir sahaja membebel tetapi hatinya baik.

“Kaki kamu sudah syahid dan kini terbang ke syurga. Itu lebih baik dari aku yang tidak tentu pintu syurganya. Mana pilihanmu?” papa tersengih. Masakan dia tidak kenal dengan wanita berani ini. Dia pernah membaling batu ke arah tentera Yahudi. Wanita ini pernah bersama dengan anaknya, Iman membuat serang hendap. Nyaris-nyaris mereka berdua terbunuh kerana tembakan tentera Yahudi. Papa yang berada berhampiran dengan tempat kejadian, memohon maaf dan melutut-lutut agar kedua mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan. Terselamat.

“Syahid. Syahid!” wanita itu tegar lagi. Mengucapkan kalimah berkenaan dan suara Iman membaca Al-Quran bergema bersama tafsir Al-Quran yang menggetarkan. Iman berdoa dan terus mengangkat tangannya.

Air mata papa luruh lagi dan jiwa bergetar mengakui kebesaran Ilahi.

***

20 Jun 2012. Selasa.

Dier Al-Balah bergolak. Berdentum. Serangan udara semakin dahsyat. Semakin menyeramkan. Bom pertama kedengaran. Papa berdiri menanti seorang temannya. Dia perlu segera mencari Iman. Puas mereka mencari Iman dan kawannya. Ibunya sudah menangis-nangis di kem pelarian. Iman hilang entah ke mana. Semua kawan-kawan Iman mendesak papa mencari Iman. Semua kawan-kawan Iman di kem pelarian Al-Shirta memaksanya mencari Iman di sini. Kereta pacuan empat roda milik kawannya membelah Gaza. Terus ke Dier Al-Balah.

Jika Iman mati pun, di mana mayatnya? Jantung papa berdegup kencang. Peluh mengalir laju. Mimpinya terasa semakin benar dan malaikat maut seperti sedang menemani perjalannya ini. Dingin. Subuh yang hening mencucuk nurani kecilnya. Subuh paling damai dan papa merasai sesuatu yang bahagia. Kedinginan subuh hari ini lantas terus membalut jiwa dan tubuh papa.

Iman? Kemanakah kamu wahai anakku?

Iman itu sudah biasa mendengar bunyi bom. Iman itu sudah biasa berbicara mengenai jihad. Susuk tubuh Iman sudah membesar gagah dan dia pernah berkata kepada papa bahawa dia ingin menjadi perisai negaranya ini.

Iman itu tidak bersekolah.

“Sekolahku hanya Al-Quran ini sahaja. Berpaksikan hadis dan kekuatanku adalah Palestin.”

Iman itu selalu menyaksikan tentera Yahudi menembak rakan-rakan baiknya. Iman akan mengecimpung tubuh rakannya dan akan membawa tubuh tidak bernyawa ke kem pelarian. Iman akan mengangkat tangan dan terus berdoa. Iman sedikitpun tidak mengalirkan air mata. Iman itu tentera dan kekuatan kem pelarian ini. Doanya sampai menitiskan air mata sesiapa. Iman anak yang cekal sekali. Keras hatinya bagaikan batu. Jiwanya seperti besi. Kasih sayangnya bersemi kepada semua di sini. Iman itu selalu tersenyum member kekuatan kepada sesiapa sahaja di kem pelarian ini.

“Kawan-kawanku semuanya mati di hadapan mata ini. Darah itu sudah menjadi permainan paling bahagia. Kematian yang menjemput kami seperti di hujung kepala. Bila-bila sahaja Yahudi itu boleh mengebom kem ini. Aku bersedia wahai papa.”

Papa terkebil-kebil penuh resah. Iman? Di manakah kamu, anakku Iman?

“Masaku, ruang waktu hidupku hanya untuk Allah swt. Jihad itu teman paling akrabku. Kalau nanti aku mati, kamu akan menjaga ibu aku, papa. Papa harus menjaga kawan-kawan baikku itu. Terima kasih papa. Terima kasih untuk kasih sayangmu kepada aku, papa.”

Suara Iman membaca Al-Quran melekat masuk ke dalam cepu mindanya. Beralun penuh getar dan membisikkan kesyahduan. Papa memandang bumi yang sedang bergolak. Jet pejuang tentera Yahudi membelah awan. Subuh terus diasak dengan kepiluan. Bumi Palestin bakal bermandi darah.

Bom terus digugurkan.

“Allahuakbar.” Jeritan Iman bergema.

Papa kaget menyaksikan Iman berlari di balik kepulan asap. Iman berlari sekuat-kuat hati. Iman muncul dan doa papa untuk menemui Iman akhirnya dimakbulkan Ilahi. Iman menuju ke arah tubuh papa yang mampir menghulurkan tangan. Seorang teman Iman turut sama berlari menyelamatkan diri. “Lari Iman. Lari. Selamatkan diri!

Bom ketiga dijatuhkan. Berdentum! Tubuh kawan Iman pantas melayang di udara. Terbang dan terhempas menyebam bumi. Sekelip mata berlaku. Darah berhamburan. Iman menoleh dan mahu memberhentikan lariannya. Air matanya bergenang. Iman tiba-tiba menjadi tidak kuat seperti selalu.

“Iman. Lari Iman. Lari.” Papa menjerit. Papa menghulur jemarinya. Kunci kereta pacuan empat roda diseluk dari poket. Tetapi kuncik lantas terjatuh di bawah. Subuh gelap. Hanya kaki akan menyelamatkan mereka sekarang ini.

“Papa, lari papa. Lari!” Iman menjerit.

Papa berlari laju. Serentak itu beberapa tentera Yahudi keluar dari kepulan asap. Papa segera membesarkan langkah kakinya. Papa mengejar Iman dan tanpa teragak-agak papa terus menarik jemari Iman. Jemari mereka pantas bersatu.

Iman masih sempat menoleh. Memandang sekujur tubuh kawannya yang tenang pergi. Kaki tetap berlari dan terus melangkah bersama papa. “Papa, lari lagi papa. Ya Allah.” Iman masih berdoa. Mengingati Allah.

Tentera Israel mendakwa dua orang kanak-kanak tersebut cuba menanam peranti letupan berhampiran pagar sempadan di sekitar Gaza.

Laju. Asap terus berkepul-kepul. Tentera sedang bersedia. Tembakan tentera Yahudi akhirnya mengena tepat ke dada Iman.

Zup!

Sekelip mata. Pantas bagaikan kilat. Iman tersembam ke bawah kaki papa. Wajahnya menyembah bumi. Papa terus mengangkat Iman. Iman cuba untuk membuka matanya. Dia merenung papa yang sungguh-sungguh mahu menyelamatkannya. Iman menghadiahkan senyuman kacaknya kepada papa. Darah membuak-buak. “Papa. Aku akan syahid papa. Aku akan bertemu ayahku di syurga. Aku akan bertemu kaki kanan ibuku juga. Cita-citaku tercapai papa. Syurga indah sedang menanti. Abadi.”

Air mata papa mengalir laju. Jantung berdegup kencang. “Iman. Bangun Iman. Iman anak papa yang kuat. Bangun Iman.” Papa berlari laju. Sesekali jatuh dan tubuh Iman bergolek-golek. Papa bangkit lagi dan mengangkat Iman. Tentera Yahudi menyaksikan papa dan Iman dengan senyuman sinis.

Askar Israel Mal’oun!

Masa semakin mendekati. Bom digugurkan. Berdentum dan subuh hening itu berlangsung dengan ketakutan mendadak. Papa kini bersedia untuk berhadapan dengan tentera Yahudi. Iman semakin parah. Air mata Iman mengalir dari matanya. Basah. Baju papa dipenuhi darah syahid Iman. Berbau harum. Seperti baunya syurga di atas sana. Dari arah hadapan, seorang tentera Yahudi berdiri. Senapangnya bersedia menembak sasaran. Papa terus mengecimpung tubuh Iman. Mencium-cium pipi Iman. Papa memerhati kawasan sekitarnya yang telah dikepung tentera Yahudi

Kali kedua tembakan dilepaskan. Tepat. Peluru lantas tembus ke dada papa.  Zup!

Tubuh Iman melayang ke hadapan. Tubuhnya sekali lagi jatuh menyembah bumi. Bumi terhampar indah. Bumi menerima darah para syuhada.

Papa jatuh. Darah tersembur keluar. Saat itu juga malaikat maut menjemput. Allah. Allah. Allah. Tubuh Iman di hadapan papa dipandang penuh pilu. Tubuh Iman sekarang sedang dibalut para malaikat. Tubuh papa juga sedang diuruskan malaikat. Penuh tertib dan ayat-ayat Al-Quran terus mengisi ruang udara.  Asap-asap berkepul. Ruang udara kembali aman.

Darah mengalir lesu dari bibir papa. Mata papa terus terkatup. Dahi papa disimbahi keringat.

“Cita-cita Iman apa ya?”

Iman menampakkan gigi. Tersengih suka. “Syahid.”

Papa turut tersenyum. Angguk. “Papa juga sama. Sama seperti Iman. Syahid!”

* Mal’oun (yang dilaknat)

5 ulasan:

  1. syahid yg dicari insyaallah syurga sedia menanti....

    kak dihah...

    sedih...


    :(

    BalasPadam
  2. insayALLAH , semua orang inginkan syahid...:) isu tentang palestin sentiasa dikaitkan dgn syahid sebab ramai pejuang terkorban dalam mempertahankan islam.. semoga kita juga tergolong dalam orang yg sentiasa memperjuangkan islam.. :)

    BalasPadam
  3. ingin bertanya.boleh x kalau sya nak salinan kisah ini?buat tatapan pelajar di sekolah??

    BalasPadam
  4. salam sharpie user,
    saya izinkan dengan mohon meletakkan link dan kredit ke blog ini. Semoga memberi manfaat.

    Tapi mohon bertanya, tuan mahukan salinan dalam bentuk apa ya?

    BalasPadam
  5. Tanpa Nama12/7/13 10:53

    Allahurabbi.. Allahuakhbar..

    BalasPadam