Pages

29 Oktober 2013

Tan Jie Kang [Special Entry II]


Heh. Saya tak boleh bagi entry panjang-panjang. Sekadar seciput aje bolehlah ya. Rindukan Tan Jie Kang tak? Nah -entah apa saya jadi jiwang 14 karat. Jadinya karangan di bawah sudah bercantum dalam manuskrip lengkap 'Nadratul Nisa'. Yang pasti musim ketiga menyusuri sisi Tan menjernihkan hatiku. Ecewahhh!! Sayang semua 14juta. Daaa



Nadratul Nisa’. Ada kenangan yang kau tinggalkan. Dan kenangan yang berlagu di hujung mata ini telah selalu membuatkan aku sepi. Apa lagi yang mampu aku buat selain menelan sahaja pahit dan perit kenangan ini? Apa lagi yang mampu selain aku mengumpul kekuatan untuk meneruskan hidup ini.

Atas nama Allah wahai Nadratul Nisa’…aku tidak pernah berhenti menyebut namamu. Aku juga tidak pernah lupa akan kekuatan yang aku ada tika mendengar nadi ini bernyawa atas sinar wajahmu.

Berdosakah aku lagi Nadratul Nisa’?

Nad…air mata sudah kering. Kalau mahu dibilang dan bersaksi tahajud itu…ia sukar diganti dengan apa-apa melainkan Allah menciptakan seorang gadis menyerupai kau semula. Tetapi ia mustahil. Barang aku lupa agaknya, yang saat bibir basah menyebut nama Tuhan. Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar…ada air mata bercucuran membasahi pipi dan aku menyebut berkali-kali namamu.

Berdosakah aku juga Allah kerana masih menyintai dia?

Tahajud bersilih ganti dengan zikir itu adakah Kau terima wahai Tuhan? Sang mentari selalu merasakan aku menjadi temannya. Di mana-mana. Tetapi dingin angin yang membalut tubuh ini Nad, hanya terasa kau meneman di jiwa.

Bagaimana lagi harus aku menghapus bayang rindu itu, wahai Nadratul Nisa’.


24 Oktober 2013

Maleq Rafie [Special Entry I]

Untuk yang sentiasa rindukan Maleq Rafie & Nadratul Nisa'. Nah.





"Iyalah...Nad mengaku. Sebelum kenal abang Nad kenal banyak lelaki lain."

Gulp. Maleq tertelan air liur. Bola mata sudah bulat bagaikan guli.

"Iya ek?" Sengih. Buat-buat macam ok-ok. Sedangkan jantung berdegup-degup. Siapa tak cemburu oi? Maleq, ni ok-ok ke ko-ko ni?

Nadratul Nisa' sengih. Eleh! Iya ek? Iya Ek?

"Antaranya siapa?" Okey Maleq.....biarlah isteri itu bercerita. Dengarlah cerita dan kenangan lamanya itu. Rasanya tak salah pun. Nadratul Nisa' bukan sudah sayang beribu-ribu lemon ke kat dia? Ceh. Maleq ukirkan senyuman. "Mehlah beritahu siapa calon-calon yang  pernah 'mengisi' hati Nadratul Nisa a.k.a cik banyak songeh abang ni?"

Ketawa. Nadratul Nisa' terus ketawa. Hahahaha. Pipi Maleq sudah merah. "Eleh....iya ke abang okey kalau Nad cerita?"

"Iya. Abang okeylah!"

"Chaitttt!"

"Haaa...cakap. Siapa-siapa?"

"Satu. Huzairi." Tenang sahaja Nadratul Nisa'.

Angguk. "Ohh...yang putus jua pertunanganku itu hek? Kahkahkah." Maleq ketawa.

"Eeeee....Huzairi yang mintak putus ok." Nadratul Nisa' jelirkan lidah. Balingkan bantal ke atas sila Maleq.

"Kedua siapa?"

Nadratul Nisa' kuntumkan senyuman. "Yang ni special sikit....hahahaha." Dia pandang Maleq. Pipi encik ganteng merah lagi.

"Special?"

"Iya..."

:::Okey, cukup sampai di sini. Nanti sambung cerita lagi ya. Hehe::

17 Oktober 2013

Encik Abang

Siapa kata saya tak rindu menulis kisah Nad, Maleq dan Tan? Ceh. Rindu. Sumpah! InsyaAllah bulan November siap. Saya pasang impian siapkan cepat. Apapun progress kisah mereka bertiga perlahan-lahan kini disambung. Kadang-kadang nak tidur pun fikir kisah mereka. Nak ubah sentiasa aje plot kisah mereka.

“Kalau buat matikan watak heroin kan, ada tak buku kena bakar?”

“Klise tak?”

Ha ha ha

Okey. Doakan saya laju-laju siapkan ya. InsyaAllah. Oh sorry, semalam, blog ditutup. Sehari lebih aje. Ada entah apa-apa iklan masuk. Semalam menukang jadi pakar IT dan blog dikemaskan sedikit seperti hari ini.

Masih sempat lagi rasanya mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidiladha untuk semua pembaca mardihahdotcom.

Salam manis,
Mardihah.

 Duduk atas buaian kat The Dusun ni mesti banyak dapat ilham kan? #tetiba. 
Sengetkan bibir. Sengih dan angkat kening. "Encik abang, jom pergi The Dusun!" Cakap dalam hati aje. Heh. #Eh, buat tajuk novel Encik Abang pun best jugak kan? Ha ha

09 Oktober 2013

Maleq Rafie 40 Part II (Akhir di blog)


“Akhtar!”
“Haaaa..”
“Kau tak nak kahwin lagi ke?”
Geleng kepala. Jemari mengusap lembut rambut si anak dara. Permainan yang Bahtiar baru saja beli dan hadiahkan kepada anaknya sudah menjadi kawan.
“Kau nak aku carikan?” Bahtiar sengih. Isteri dia di dapur sedang memasang telinga.
“Kesian tau Nisa. Dia pun nak ada mummy kan?” Suara Nani di dapur menggamit. Menambah rencah si suami.
Akhtar senyum. Hanya senyum. Itu sahaja yang dia mampu selain menelan kenangan yang sukar dia padamkan dari ingatan.
“Kalau korang berdua boleh carikan aku mummy yang sama nama macam anak aku.” Akhtar memandang wajah sahabat baiknya. “Aku akan setuju!” Titik. Dia senyum.
Pulak dah!

“Kak ngah, baju ni salah letaklah. Bukan kat sini.” Suara Marsha memetir. Dia memerhati susunan yang bukan kebiasaan di mata. Kalau selalunya, bercuti semester dia akan datang mengemas. Dia akan sibuk menguruskan pakaian abang kesayangan. Itupun selalu dimarah oleh ibu. Kalau sudah kantoi dengan ibu, perginya pun secara sembunyi-sembunyi dari pengetahuan ibu dan abang ngah. Paling tidak, dia paksa abang ngah mengambil dia dan ibu bertandang ke rumah abangnya ini. Proses mengemas, mengambil hati maka berjalanlah seadanya.

Terkejut. Nadratul Nisa’ terus membuka pintu bilik air bila mendengar suara Marsha. Tengok-tengok Marsha sudah ada di dalam bilik kelamin dia dan Maleq. Eh? Nadratul Nisa’ yang hanya bertuala terkebil-kebil. Kaki meluru laju ke arah almari. Muka rasa berbahang kerana terkejut akan kehadiran Marsha di dalam bilik tidur dia dan Maleq. Dahi berkerut-kerut. Dalam hati sudah bertalu-talu soalan. Eh, Marsha ni kenapa masuk macam tu saja ke dalam bilik ini? Eh Marsha ni dah kenapa?

“Eh, Marsha buat apa ni?” Kaki laju ke almari. Soalan lain yang akhirnya terkeluar dari bibir. Rambut yang masih basah di tolak ke belakang. Dia ambil baju-baju Maleq yang berada di atas tangan Marsha.

“Ni salah susunlah kak.” Dia renung mata kakak iparnya.

Nadratul Nisa’ hanya mampu menelan air liur bila Marsha rancak menyusun baju-baju yang lain. Habis daya, baju-baju yang ada di jemarinya kini juga laju diambil kembali oleh Marsha. Marsha kembali mengemas.

Apakah?

“Ala, kak ngah pergilah mandi. Jangan kacau Marsha.” Dia menepis tangan Nadratul Nisa’ yang kini laju menarik baju-baju Maleq.

“Eh, takpe. Kak ngah boleh kemaskan balik. Tapi rasa macam dah okey aje ni.” Dia tidak mahu mengalah. Baru sehari, Marsha sudah melampau membuatkan dia marah. Serba serbi salah. Baju yang bergantung di bilik menggosok, sibuk Marsha yang mahu gosokkan. Baru sehari sudah tunjukkan dia apa yang salah dan betul. Eh, kau dah kenapa?

“Nad!” Suara garau Maleq mematikan pergaduhan kecil. Dia peluk tubuh sambil bersandar di daun pintu. Retina mata memerhati tubuh isteri yang masih berbalut tuala. “Eh, tak habis mandi lagi ke?”

“Itulah kan abang ngah. Marsha suruh habiskan mandi dulu. Takpelah baju ni…bagi aje Marsha yang kemas.” Mata melirik abang ngah yang dia sayangi. “Marsha dah biasa kemas baju abang ngah kan?”

“Errr..dah-dah!” Sebenarnya baru dia mandi. Tak sampai tiga minit pun. Belum habis menyegarkan tubuh yang kepenatan melayan sesi permintaan Marha yang mahukan itu dan ini. Bukan main berselera mahukan dia memasak itu dan ini. Maleq pun turut sama gembira bukan main lagi mendengar adiknya itu meminta dia memasak.

“Ala…bagi aje Marsha kemaskan. Nad pergi mandi dulu. Ada sabun atas rambut tu lagi.” Maleq membulatkan anak mata.

“Takpe kak. Marsha kemaskan. Selalu baju ni bukan kat sini pun.” Marsha senyum simpul. Mata kemudian memandang abang dikasihi.

Dia masih berdiri. Nadratul Nisa’ gigit bibir bawah. Mata tekun memandang Maleq yang merenungnya. “Dah..Nad dah sudah mandi dah. Takpe Marsha. Kak ngah buatkan.” Dia sekali lagi mengambil baju-baju di jemari Marsha.

“Nad…” Lembut sahaja bicaranya. Maleq senyum. Dari riak wajah isteri dia tahu Nadratul Nisa terkejut. Dia tidak boleh menghalang tabiat dari kecil Marsha yang satu ini. Dia tidak boleh menegah Marsha takutkan Marsha kecil hati. Marsha inilah satu-satunya adik tempat dia menumpang kasih. Beberapa tahun dia keseorang, ibu akhirnya mengandungkan Marsha. Marsha sudah jadi adik darah daging sendiri. Marsha adik yang sama berkongsi susu ibu zaman kecilnya dahulu.

Perebutan terhenti sekali lagi. Masing-masing memandang Maleq yang kini bersuara, “Ke Nad nak abang masuk bawak Nad ke dalam bilik air?” Angkat kening. Sengih macam kucing jantan mahu menerkam mangsa.

Marsha menyiku kakak iparnya. “Cepatlah kak pergi mandi. Marsha yang kemas ya?” Mata terus tajam menikam lekuk tubuh kakak iparnya yang hanya bertuala. Mengada sungguh! Jangan harap nak bermesra manja masa Marsha ada.

Serentak itu, kaki Nadratul Nisa’ perlahan-lahan berjalan menuju masuk ke dalam bilik air. Sudah buang tabiat ke mahu dia mengajak Maleq masuk ke dalam bilik air dengan adanya Marsha di depan almari? Gila apakah Maleq ini?

Dahi kembali berkerut-kerut. Sebelum menutup pintu bilik air dia sempat menjeling Marsha yang sedang tersenyum sinis. Baju-baju di dalam almari dan kesemua milik Maleq tiba-tiba dipunggahkan oleh Marsha.

Gila! Gila! Gila! Hatinya mahu menjerit-jerit. Ahh…sakit. Sakitnya jiwa entah kenapa bila terpandangkan wajah dan senyum mengejek Marsha itu. Kenapa perlu Marsha sebegitu sekali? Mengapa?

***

Hari-hari  berikut yang memendamkan seribu rasa. Nadratul Nisa’ mendiamkan diri. Sepanjang masa pun, dia hanya menjadi perhiasan. Dia menjadi si penghidang makanan. Menjadi si tukang masak yang buat-buat ketawa di depan suami sendiri. Tawa Marsha dan Maleq terus menghiasi gegendang telinga. Semuanya menari-nari di depan mata. Jadualnya minggu ini agak padat dengan kehadiran Marsha dan ibu. Ibu sesekali menjengah menikmati makan malam. Pernah dia terdengar juga perbualan ibu yang mahu mengheret Marsha pulang. Tapi hmmm…suara manja Marsha memujuk suaminya bagaikan menyiat-nyiat gegendang telinga. Kenapa dia jadi marah melihat kemesraan Maleq dan Marsha? Kenapa dia cemburu? Kenapa dengan adik Maleq pun dia rasa lain macam benar degup jantungnya?

Kalau Maleq sedang berbual-bual mesra bersama Marsha sambil bermain Sudoku, dia cepat-cepat masuk ke dalam bilik dan terus tidur. Paling memilukan bila petang tadi, Marsha menurunkan semua barang-barang keperluan di dapur. Baru mahu berbual mengenai masalah ladang. Baru mahu dia buka mulut dan berbincang, Marsha datang membawa kerusi kayu dan memanjat kabinet.

“Marsha ingat nak tolong kemas dan susun balik Tupperware dalam kabinet nil ah abang ngah. Boleh ya?”

Boleh ya? Jemari Marsha sudah ligat. Memanglah dia sudah minta kebenaran tapi boleh pula terus menggeledah tanpa ada persetujuan empunya dapur. Dia terkebil-kebil menyaksikan bekas-bekas Tupperwarenya dikeluarkan oleh Marsha. Telinga bernanah lagi mendengar, “Eeee….banyak habuklah dalam kabinet ni abang ngah. Tak kemas ya?”

Sentap. Dia renung Maleq yang terkebil-kebil. Nadratul Nisa’ terus angkat kaki. Ayunkan kaki segera masuk ke dalam bilik.

Segala Tupperware telah disusun kembali di kabinet yang berlainan. Alahai, habuknya di dalam kabinet itu biasalah wahai Marsha. Kenapa itu pun menjadi topic bebelannya? Ibu pun tidak pernah ambil tahu dan pusing pun! Kopi, teh, susu, milo, gula dan garam pun sekali dikemas tanpa persetujuan dia. Semua susun atur replika kapal terbang yang dikumpul Maleq pun turut sama diubah. Almari antik yang tidak bersalah itu pun menjadi salah satu saksi minggu menyedihkan jiwanya. Ah, Nadratul Nisa’. Dia tewas kalau berdiri di depan Marsha. Tubuh rasa dihempap dengan bumbung rumah.

Paling memedihkan, Maleq turut sama sibuk membantu menyusun. Dari susun atur di dapur sampailah ke ruang tamu. Maleq turut sama menghidangkan ketawaran dalam hatinya. Bukan tiga hari Marsha duduk dengan mereka. Tetapi seminggu yang berterusan memenjarakan jiwa Nadratul Nisa’. Dia pejamkan matanya. Cuba untuk tidur dan menanti lagi tubuh suami datang mampir tidur bersebelahan dengan dia. Dia tarik nafas. dia mengatur sendu yang tiba-tiba mengetuk pintu hati. Air mata sepi tiba-tiba mendudu. Dia entah kenapa rasa terbuang. Entah kenapa rasa tidak dipedulikan semenjak hadirnya Marsha. Maleq pun dia lihat berlainan gaya dan tingkahnya. Semuanya Marsha. Segalanya Marsha. Hanya Marsha dalam minggu ini menjadi topik perbualan dan singgah di bibir Maleq.

Inikah rasanya seperti yang Maleq rasa dahulu? Inikah rasanya tidak dipedulikan suami sendiri? Maleq itu kenapa berubah tiba-tiba. Kenapa dengan Marsha berbeza sungguh perilakunya? Rasa hibanya disampaikan angin. Rasa sebaknya kini merelung-relung membawa kesan sampai ke ruang tamu.

Maleq mendongak. Memandang tingkat atas. Lampu di tingkat atas rumah sederhananya ini masih menerangkan rumah. “Eh, kak ngah dah tidur ya?”

“Iyalah kot. Asyik tidur awal aje. Ajak main sekali UNO ni tak nak. Buku Sudoku pun ada kat sini. Mengadalah kak ngah tu. Sinilah abang ngah. Main sekali lagi ni.” Kad-kad UNO disusun. Mata melirik memandang abang kesayangannya. Itulah, siapa suruh kahwin awal? Siapa suruh pilih sendiri calon isteri. Bukankah abang ngah sudah berjanji mahu menanti dia turut sama dalam proses mencari calon kakak iparnya. Hanya janji yang tinggal janji!


“Abang ngah dah ngantuklah!” Dia cari alasan. Maleq terus bangun dari sofa. Perlahan-lahan berjalan ke anak tangga. Dia kini sudah berdiri di anak tangga pertama. “Eh…abang ngah naik atas dulu. Ibu pesan tadi suruh Marsha tidur awal. Ni dah lewat ni. Dah-dah pergi tidur!” Kaki laju berlari menjarakkan diri dari tempst duduk Marsha. Waktu malam inilah baru dia boleh larikan diri dari Marsha. Kalau tidak, entah ada saja ceritanya. Dari cerita zaman kanak-kanak sampailah ke zaman pengajian di Kedah sana. Marsha ni kalau tidak dihalang bebelannya, mulutnya tidak akan berhenti.

“Ala.. Marsha dua hari lagi nak balik dah rumah ibu. Marilah borak lagi. Tak bestlah abang ngah ni.” Monyok sedepa. Cari kak ngahlah tu. Menyampah!

Ah - Maleq pula mati kutu. Entah kenapa rasa serba salah. Mana satu hendak dia mengalah. Marsha pun hanya seminggu sahaja duduk di rumahnya ini. Maka, masanya kini lebih terarah untuk berbual dengan adik kesayangan hati. “Ishh…dah tengah malam ni Marsha. Kesian pulak kat kak ngah. Kita selalu borak sampai pagi. Esok abang ngah ada meeting. Nanti lambat. Esok lepas abang ngah balik kerja kita chit chat lagi ya.”

Kaki laju mendaki. Maleq meninggalkan Marsha yang terkebil-kebil menahan rasa geramnya. Hurm. “Huh…dahlah kemeja abang ngah pun gosok macam serupa tak gosok. Dapur pun tak berkilat macam selalu aku ada. Pemalas punya perempuan!”

Geram. Marsha ketap bibir. Kenapa awal sangat abang ngah kahwin tanpa dia carikan calon untuk abang ngah? Kenapa mesti kak Nadratul Nisa’? Kenapa mesti dia? Mata menyorot bayang tubuh abangnya yang sudah masuk ke dalam bilik. Bunyi pintu yang ditutup Maleq menggigit gegendang telinganya. Akal berputar-putar lagi.

“Nad…” Maleq jejakkan kaki ke dalam bilik. Perlahan-lahan dia letakkan kepala ke atas bantal. Maleq kini sudah membaringkan diri. Nafas sudah bersatu dengan angin. Mata masih terkebil-kebil memandang siling bilik. Maleq pantas menarik gebar menutup tubuh sendiri. Sudah dua belas tiga puluh minit dan kini malam makin pekat.

Tubuh isteri yang nyenyak tidur sedang membelakangkan dirinya. Perlahan-lahan dia mendekatkan diri dan jemari kini memegang bahu Nadratul Nisa’. “Nad dah tidur ke?”

Nadratul Nisa pejamkan mata. Buat-buat tidur. Dia mahu segera lena dan mahu segera pergi dari bayang sedih. Alahai Nadratul Nisa’, manja sungguh. Marsha itu kan adik Maleq. Marsha itu kan bukan selalu datang menjenguk dan menjadi tetamu di rumah ini. Dia pujuk sendiri hati. Biarlah Maleq mahu berbual-bual dengan Marsha. Tidak luak apa-pun kan. Tapi dia sudah merajuk. Berjauh hati dengan kelakuan Marsha yang dilebihkan Maleq. Sampaikan bilik tidur mereka pun dicerobohi tanpa permintaan. Sedangkan anak sendiri pun dia tahu harus dididik. Ketuk pintu bilik ibu bapa jika mahu masuk. Marsha tu tak sekolah ke? Ah, geram!

“Nad…selamat malam sayang.” Suara garau sang suami memenjarakan resah. Pinggangnya kini dipeluk erat. Bahunya terasa dicium hangat. Pipi pula menjadi teman bibir Maleq. Rambutnya dielus lembut. Rindunya dengan Maleq hanya Tuhan yang tahu. Rindunya mahu berbual-bual panjang sebelum melelapkan mata. Rindunya kan Nadratul Nisa’? Dia hiba sendiri.

Nadratul Nisa’ sembunyikan sedih. Dia sembunyikan marah yang dia simpan selama beberapa hari ini. Mata kini terbuka. Entahlah, dia sendiri tidak pasti. Maleq semestinya tahu yang dia sedang marah. MARAH tau tak?

Ali dan Siti yang sedang berenang-renang menjadi pemantul cahaya. Batu-batu yang disusun atur oleh Maleq di dalamnya menjadi teman mata. Dia cuba membalas. Mahu berbicara. Sekurang-kurangnya dia mahu ucapkan selamat malam juga untuk suami. Dia juga mahu bibirnya ini melekat di dahi sang suami.

Tapi bibir terkunci. Sekali lagi bibir mati tanpa kata-kata! Hati sudah menjadi kecil. Air mata kembali menjadi teman. Suara Marsha di luar buat Nadratul Nisa’ kembali menutup mata. “Abang ngah!” Pintu diketuk bertalu-talu. Suara itu lagi. Menganggu lagi dan lagi! “Bukalah pintu ni!”

Gebar terasa ditolak. Katil sebelah terasa ditinggalkan Maleq. Suara Marsha memanggil lagi. “Marsha dah buatkan kopi. Mehlah join. Best tau kopi yang Marsha buat ni. Bukan selalu dapat minum kopi yang Marsha buat.” Pintu diketuk kuat tanpa ada rasa hormat.

“Haaa…” Pintu sudah dibuka. “Marsha nak apa lagi ni? Abang ngah nak tidurlaaa.”

“Marsha bukak cerita best. Iron Man. Nak join tak?” Marsha menjeling ke dalam bilik Maleq. Retina mata mencari tubuh Nadratul Nisa’ sambil tersenyum penuh sinis. Tubuh kakak ipar sudah berbalut dengan gebar. Oh, dah tidur. “Kopi?” Dia memancing lagi. Angkat kening. “Paling best. Sesiapa pun tak boleh lawan bancuhan Marsha. Ibu atau kak ngah buat pun pun takkan sama rasanya. Kalau tolak, abang ngah rugi!”  Mug berisi kopi ditayang-tayang depan mata Maleq.

“Waaaa…sedapnya bau! Kejap. Seminit. Abang ngah pergi buat laporan dulu.” Lupa. Maleq terus lupa dengan mesyuarat keesokan harinya. Lupa juga untuk tengahari esok membawa Nadratul Nisa’ bertemu dengan pembekal baja. Kalau sudah minum kopi dan tonton DVD, haruslah waktu tengahari di pejabat dia tidur berdengkur-dengkur.

“Okey!” Dia senyum manja. “Marsha tunggu tau!”

Air mata perlahan-lahan mengalir. ‘Sesiapa pun tak boleh lawan bancuhan Marsha. Ibu atau kak ngah buat pun pun takkan sama rasanya. Kalau tolak, abang ngah rugi!’ Jemari runcing Nadratul Nisa’ terus menerkam pipi. Air mata sudah dia lap. Kesedihan diri sendiri kini dia pendam lagi.

Ali dan Siti terus berenang-renang. Perlahan-lahan berenang seperti tahu sedih si tuannya. Mata menyorot ke arah ikan. Nadratul Nisa’ membetulkan gebar. Bibir dia bergerak mengalunkan rasanya kini. “Ali, selamat malam ya!”

***
Maleq terburu-buru. Dia menyarung apa sahaja baju yang disediakan oleh isteri. Mencari tali leher dan stoking di dalam laci. Beg disambar. Kunci kereta dan apa sahaja kertas yang berlambak di atas meja comel dia gulung laju-laju. Selalunya Nadratul Nisa’ yang akan mengemas semua ini. Eh, mana Nad ya? Kaki berayun laju. Maleq keluar dari bilik. Dia menuruni anak tangga.

Pantas dia mencari dapur. Mana haruman kopi yang selalu isterinya bancuhkan ya? Sarapan apa yang Nadratul Nisa’ hidangkan untuk dia pagi ini ya? Dia sudah lapar.

Retina mata menyinggah meja. Kosong! Aik? Dia memandang tubuh genit isteri yang berdiri di sinki. “Eh, Nad tak buatkan sarapan ke?”

“Baru nak jerang air.” Perlahan sahaja suaranya. Protes! Air mengalir laju masuk ke dalam cerek. Dia pantas bergerak. Hidupkan api dan meletakkan cerek yang sudah dipenuhi air. “Nad tertidur lepas solat Subuh tadi. Penat agaknya.”

“Kopi pun tak buat ke?” Jungkitkan kening. Wajah mendung isteri dia teliti.

“Suruhlah Marsha buatkan. Dia buatkan best. Lagi sedap bancuhan kopinya. Nad malas.” Spontan bibir menjawab. Dia terburu-buru keluar dari dapur. Maleq terus mengikut. Beg kerjanya terus dia letakkan di atas kerusi makan.

Tali leher yang masih belum lengkap dibiarkan bergantung di leher dan bersatu dengan kemeja. Pulak! Kenapa perlu dikaitkan Marsha fasal membancuh kopi ni? Dia mengikut Nadratul Nisa’ mendaki anak tangga.

Dia dan Nadratul Nisa’ kini sudah di dalam bilik. Suara yang ditahan Nadratul Nisa’ bergema. “Pergilah suruh Marsha adik kesayangan abang tu buatkan kopi untuk abang. Nad malas!”

“Kenapa ni Nad? Fasal kopi aje. Abang tak minta lebih dari tu. Hanya kopi. Kalau tak sempat pun, abang boleh sarapan dengan Jiji aje kat pejabat. Abang dah lambat ni. Janganlah macam ni ya.” Memujuk. Wajah rusuh isteri dia renung lagi. “Pagi-pagi ni tak baik buat begini kat abang. Apa salah Marsha pulak ni?”

“Ohh..abang tanya apa salah Marsha?” Nadratul Nisa’ mengawal suara. Dia tidak mahu Marsha mendengar perbalahan ini. “Abang nak tahu?”

Sudah. Maleq pejamkan mata. Kelam kabut sudah corak paginya hari ini. “Nad…” Dia mendekati. Mahu memeluk tubuh isteri yang dia kasihi.

“Jangan dekat dengan Nad. Jangan!” Dia menolak. Sudah marah. Sudah beberapa hari dia pendamkan amarahnya. Kali ini dia perlu meluahkan.

“Okey-okey. Sekarang Nad cakap apa salah abang. Kita bincang okey?” Maleq berdiri di depan Nadratul Nisa’. Alamak ai, bila isterinya ini marah, dia jadi tidak tentu arah.
 
Nadratul Nisa gigit bibir bawah. Dia mula menyuarakan. “Apapun ni bilik kita. Kenapa perlu Marsha masuk dan sibuk sibuk susunkan baju abang?"
 
“Laaaa...Marsha betulkan aje. Dia dah selalu kemaskan pun dari dulu.” Maleq masih tidak menyedari akan rasa kecewa Nadratul Nisa’.
 
"Whatever!" Nadratul Nisa’ buntangkan bola mata. “Betulkan aje? Abang…ini bilik kita. Sesiapapun tak boleh masuk. Dan kenapa Marsha sibuk-sibuk betulkan dan ubah semua barang-barang kat dapur. Sibuk kemas itu dan ini. gosok baju abang semua? Kenapa?”
 
Dia pandang Maleq yang sedang menarik nafas. “Abang ada Nad tau. Nad boleh buat semua dan Nad tak perlukan tunjuk ajar dari Marsha. Siapa dia nak tentukan itu dan ini dan komen fasal apa yang Nad sudah buat? Apa yang abang lebihkan Marsha sampai abang diamkan saja apa yang dia buat? Nad ni siapa? Nad siapa?” Jemari menekan dada.
 
"Nad cemburu ya?" Sengih. Boleh pula dia melawak selepas mendengar luahan hati cik seksi.
 
Mulut ternganga. Kening sudah bercantum. Itu sahaja jawapan Maleq? Penatnya bercakap! Alahai. "Bukan masalah cemburu atau tak. Even dia adik susuan abang. Dan Nad tahu Marsha itu dah sah jadi adik abang. Tapi dia kena hormati hak Nad. Ini bilik kita dan rumah ini juga ialah kini rumah Nad. Kenapa sibuk ajar Nad tentang abang itu dan ini. Melampau tau tak?"
 
"Nad...." Hembus nafas. Aduhai masalah. "Boleh tak Nad faham? Dia adik abang. Please." Kaki melangkah mendekati lagi cik isteri.
 
Ah, mahu saja dia menjerit kuat-kuat. Nad tahu abang sayangkan Marsha itu sebab Marsha adik yang ambil berat segalanya fasal abang semasa zaman abang sekolah dan zaman abang bujang. "Haa, serba serbi semalam dan dua hari lepas Nad beralah. Kali ni....nooo!" Marah. Betul betul dia bengang dengar Marsha yang keterlaluan. Mengada!
“Jadinya Nad moody, monyok dan tak buatkan abang kopi sebab Marshalah ya?”
 
“Penat tau Nad cerita dan luah masalah Nad. Kalau malam bilanya kita nak sembang? Kalau petang abang balik sibuk terus berborak dengan Marsha sampai lupakan Nad. Nad ni siapa abang?” Dia palingkan wajah. Sampai hati Maleq. Boleh pula Maleq main-mainkan perasaannya.
 
Dia memaku kaki. Maleq seperti mendengar masalahnya dan seperti menganggap ia kecil. “Nad sedih dan kecewa bila abang pinggirkan Nad. Nad betul-betul kecewa.” Nadanya rendah. Dia akhirnya tunduk mengalah. Nadratul Nisa’ kena bertenang. Kena berzikir mengawal rasa marah dan terkilan. Nad boleh ya? Dia memujuk hati.
 
Bibir bergetar. Air mata sudah bergenang. “Nad tunggu abang pujuk Nad. Tapi abang langsung tak hiraukan Nad…” Mata kini bertemu lagi. Air mata perlahan-lahan gugur. Dia benar rasa kecewa. Bila lagi rasa terkilan bila melihat layanan Maleq serba serbi melebihkan Marsha.
 
“Nad rasa terpinggir sungguh bila tengok abang layan Marsha. Gurau abang dengan dia berbeza sungguh dengan Nad. Hati mana tak cemburu.” Dia meluahkan lagi.
 
Maleq mendengar. Dia menyeluruhi lagi wajah isterinya. Dia biarkan sahaja Nadratul Nisa’ meluah masalahnya. Ohh..maafkan abang sayang. Dia tidak pernah sedar tindak tanduknya selama Marsha ada di rumah mengecilkan hati isteri. Jemari terus memeluk tubuh Nadratul Nisa’. Pinggang isteri dia rapatkan ke tubuh. Meski Nadratul Nisa’ mencuba menolak tetapi kekuatannya terus buat cik isteri diam menangis di dada.
 
“Iya..abang minta maaf kalau kecilkan hati Nad. Sumpah abang tak sengaja.”
 
Nadratul Nisa’ masih menangis. Dia memujuk lagi. “Iya Nad. Abang minta maaf. Dahlah jangan menangis lagi. Nad baik kan?” Dia mengucup ubun-ubun isteri.
 
“Ni kan abang pujuk Nad ni. Janganlah nangis lagi. Buruk benor rupanya!” Jemari kasar mengesat air mata di pipi isteri. “Abang tahu abang salah. Iya abang mengaku abang tak sempurna mana. Nad jangan ambil hati ya?” Jemari kiri kini menanggalkan tali leher. Dia campak tali leher ke atas lantai. Baju kemejanya sudah basah dengan air mata isteri.
 
Maleq tarik nafas. Bukan senang rupanya mahu merawat hati isteri yang sedang bersedih hati. “Nak merajuk berapa hari ni?” Maleq mencium lagi ubun-ubun isteri kesayangan hati.
 
Rasa lapang dan tenang selepas meluahkan rasa terbuku. Sebenarnya banyak yang ingin dia cakapkan. Gelengkan kepala. Tapi bibir lancar bercakap. “Nad nak merajuk setahun.”
 
“Uiks..lamanya.” Dia senyum. Rambut isteri dia lurut dengan lembut. “Abang akan cuba tegur Marsha. Ambil masa sikit ya. Lepas dia balik ni, kita akan okey balik kan?”
 
Angguk. “Nad tak nak buatkan abang kopi lagi.” Dia mencebik. “Nad tak nak buatkan abang sambal ayam lagi. Baju-baju abang semua abang gosoklah sendiri.”
 
“Eh janganlah gitu. Abang dah pujuk ni.” Jemari dia perlahan-lahan membuka butang kemeja sendiri. Debar di dada semakin melanda jiwa. Haruman cik isteri ini mengacau sungguhlah.
 
Dia masih bertangisan. “Abang kena masak empat puluh hari empat puluh malam. Untuk Nad.”
 
Ketawa. Bibir mengucup lagi kening isteri. Senang saja memujuk bini yang sedang merajuk oi! “Errr…abang ingat nak datang kerja lambat sikit hari ni. Okey tak?” Kemeja dia sudah tanggalkan. Kenyit mata dan hadiahkan sengih luar biasa untuk isteri.
 
Nadratul Nisa’ terus tegak macam patung. Sisa air mata membasahi kelopak mata. “Abang ni dah kenapa? Bukan abang kerja ke? Mr Ang kan akan bebel-bebel marah abang nanti?” Mata memerhati kemeja Maleq yang sudah tercampak ke atas lantai. Encik ganteng hanya bersinglet dan seluar slack hitamnya sahaja.
 
“Hehehehe.” Sengih lagi. Kening diangkat double triple.
 
“Abang jangan buat kerja gila!” Nadratul Nisa’ sudah menjerit. Tadi menangis merajuk siap mahu mogok selama satu tahun. Sengih nakal herot bibir ke kiri encik ganteng itu dia kenal sungguh untuk apa dan tindakannya.
 
Dia ketawa. Kaki kini mengejar tubuh cik isteri banyak songeh yang berlari dari diri dia. “Whatever!” Dia mengejek perkataan yang tadi dilemparkan dari bibir Nadratul Nisa’.
 
“Ah…Nad peduli apa!” Dia menjerit lagi. Maleq terus ketawa. Encik Ali dan cik Siti berenang-renang dengan riang.

“Abang pun peduli apa. Sini-sini! Huarghhh…” Dia mengejar berlagak seperti hantu. Sambil berlari dan mengejar dia menjerit kuat-kuat. “Janganlah merajuk lama-lama. Susah abang nanti nak pujuk. Tidur tak lena, mandi pun tak basah.”

Abang…Nadratul Nisa’ sedang mengukir kenangan juga dengan abang. Kali ini kan, kenangan yang diukir itu atas nama bersaksi Tuhan dan halal di sisi agama. Cinta dan kasih abang kini mengikat relung hati. Senyum, lirik mata dan ketawa Maleq Rafie kini di hujung mata. Tuhan, terima kasih untuk cinta ini.


:::Bagaimana Maleq mengajari pula Marsha akan saya kemaskini di dalam manuskrip penuh. Dua benda belum selesai. Satu. Marsha. Dua. Tan Jie Kang. Hehehe. Terima kasih semua atas sokongan. Terus terang saya terhibur dengan semua pembaca yang sudi melayangkan komen dan like atas setiap apa yang saya lakarkan. Geng Transformers - Izan & eira, momo, mona, diebah, cikgu...(shoutbox error..hihi..tq sudi berbual2 dengan saya yg kerdil ini) Kena bawa skru betulkan shoutbox. Kalian semangat saya untuk terus menulis kisah dongeng dan nyatakan di dalam sebuah manuskrip biasa. Tak kira di page ‘Mardihah’ dan group comel saya yang sederhana.

Selepas siap manuskrip, dua bab bonus akan saya layangkan di blog. Tan Jie Kang? Rindukan dia? Sama juga seperti saya. Diri sudah lengkap dengan tiga watak. Nadratul Nisa’, Tan Jie Kang dan Maleq Rafie. Nantikan kisah ini ya. Mohon maaf andai lambat terbit. Mohon maaf kususun dahulu jika terbitnya memakan masa. Tapi kalian saya pasti akan setia menunggu kisah-kisah sederhana saya.

INI BAB AKHIR DI BLOG YA. Soalan saya ialah Tan Jie Kang atau Maleq Rafie? Heh. Senyum 14juta sentiasa semua. 

Salam ukhwah dan manis, 
Mardihah