Pages

29 November 2012

Nama Dia Joe 19


Eriana. Dia cari kau Mawar. Macam orang gila dah dia kat dalam kelas. 


Suri peluk tubuh. Sudah jam enam petang. Bayang Joe langsung tidak nampak. Motorsikal Joe segak dan elok saja diparkir. Kereta mewahnya pun ada tersadai di kotak parkir. Mana pulak perginya ni. Kaki dah lenguh. Sekejap dia duduk mencangkung, sandarkan diri. Tekan loceng sudah sampai tahap paling malas. Suri dah berkali-kali pandang telefon. Puas telefon Joe tapi telefonnya dioffkan. Sudah 25 kali dia mencuba. Hampa! Antara segan dan tak segan Suri pandang kembali telefon pintarnya. Cari nama ‘Mummy Joe’.

Akhirnya berkring kring kring lagu Ahmad Jais. Suri setia menanti.

Mummy Lisa renung telefon bimbitnya. Nama Suri X terpampang. Pandang baba, “Haaa…Suri telefon. Tanya Joe lah tu. Eeee, tak boleh tengok orang senang!” Mummy Lisa membebel-bebel. Angkat telefon dan mula fokus melayan perbualan dengan wanita bukan pilihannya.

“Assalammualaikum mummy.”

“Waalaikumsalam. Ya Suri.” Nada suara jatuh perlahan. Lembut sahaja mummy Lisa menjawab.  “Ermmm…Suri nak tanya Joe kat mana ke?” Dia berterus terang. Mummy Lisa merenung suaminya yang sedang duduk sambil membaca sebuah majalah. Pohon orkid menjadi teman. Kolam ikan buatan Joe anak lelakinya menjadi perhatian mata.

Suri angguk. Ada getar melanda jiwa. “Ya mummy. Dah banyak kali Suri call, tapi telefon Joe off. Takut pulak Joe tak sihat. Demam ke…pitam ke. Sebab motorsikalnya ada, kereta pun ada.”

Dahi Mummy Lisa berkerut-kerut. “Sekejap ya…” Mummy Lisa turunkan ganggang telefon. Tekup dengan blouse merah jambunya. Pandang baba di sebelah. “Eh, babanya. Mana pulak Joe bawak Mawar. Motorsikalnya dan kereta ada. Suri dah tunggu lama agaknya depan apartmen tu. Risau pulak saya.”

Haji Khairudin masih setia baca majalah. Bibir sahaja membalas. Jeling isterinya. “Laaa..dah awak kata Joe dan Mawar pergi padang hijau. Siap sekali awak masak sambil menyanyi-nyanyi kat dapur tu. Jawab ajelah.”

Mummy Lisa angkat telefon. Jeling suaminya. Eh, geram betul. Bukan boleh bawa kurang masalah. Tambah masalah adalah. Sengih. Terus jawab kembali telefon. Otak geliga berputar-putar cari jawapan. Mahu bantu Joe. Mahu Suri tahu yang Joe sekarang sedang makan-makan dan bergembira dengan Mawar di padang hijau. “Haaaaa….Joe ada dalam bilik air tu. Sakit perut makan bihun. Mummy rasa dah enam kali dia masuk bilik air. Asyik tidur dan bangun saja dia. Kesian…” Mummy Lisa mula pancing Suri.

Suri terkedu. Joe tak sihat dan kata mummy pula dia sakit perut. Enam kali masuk bilik air? Suri tarik nafas. “Hmm..okeylah mummy. Terima kasih banyak-banyak dan minta maaf mengganggu masa mummy. Sampaikan salam saya pada Joe ya. Kalau tak kebah juga suruh Joe pergi klinik ya.”

Mummy Lisa senyum. Ikhlas dengan tak ikhlas aje. Dia dah berkali-kali cakap dengan Joe. Dia tak suka Joe berkawan dengan Suri. Sebabnya mudah. Dia ingat waktu pertama kali anak kesayangannya itu berterus terang.  “Kalau Joe serius dengan Suri, mummy okey tak?”

Mummy Lisa jegilkan anak mata. Apa gila anaknya ini mahu berkawan rapat dengan doktor Suri. Bukankah umur wanita itu berbeza dengan anaknya. Langsung tak padan dengan anaknya yang muda ini. Walau dia tahu doktor itu sudah banyak membantu mereka. Adakah Joe terkena santau? Joe lupa daratankah kerana cinta doktor itu? Joe lupakah yang dia masih muda dan perlu belajar lebih gigih lagi. “Joe ni kenapa? Dah tak ada perempuan lain ke? Umur dia beza betul dengan Joe. Sepuluh tahun Joe tau tak. Mummy tak suka. Mummy kata tak suka tetap tak suka. No way!”

Mummy…” Suara Joe perlahan. Dia ingat semasa Joe memujuk rayu supaya dirinya menerima Suri.  “Joe tetap akan study. Tetap akan utamakan mummy dan keluarga. Lagipun cinta tu tak kenal siapa. Joe dah sayang kat Suri. Benda-benda macam ni tak boleh nak elak, mummy.”

“Tangan tak akan berbunyi kalau tak sama-sama ditepuk seiringan Joe. Dua-dua dah gatal. Joe tahu tak Suri tu doktor. Doktor dan tak akan ada masa untuk Joe nanti. Dia kat hospital dan Joe di rumah. Mummy nak Joe kahwin dengan perempuan yang ada masa untuk Joe. Untuk anak-anak Joe. Untuk mummy dan baba. Bukan sepenuh masa kerja macam tu. Hei budak ni!”

Joe diam. Anak lelakinya ketika itu mendengar sahaja bebelannya. “Mummy pun tak suka dia. Mummy tak suka sebab banyak perkara. Air muka dan hati dia. Ni…dengar sini baik-baik…” Mummy Lisa letakkan jari di dadanya. “Hati mummy ni rasa tak sedap sejak dia mula baik dengan Joe. Sejak dia mula pandang Joe, mummy dah rasa tak suka dan mummy tak boleh nak terima dia. Gerak hati mummy dah berkali-kali kata dia tak sesuai untuk Joe. Joe faham kan? Tak sesuai!”

Dia tarik nafas. Kenangan berlayar-layar depan mata. Datang dan pergi begitu sahaja. Mummy Lisa cuba untuk tanamkan kasih sayangnya kepada Suri. Menerima Suri seperti mana Joe menyayangi Suri. Dia mencuba meski sakitnya di dada ini dihitung setiap hari. Lama-lama dia menerima juga Suri meski tidak pernah redha. Joe -  dia tahu anaknya masih muda. Mencari kasih sayang dan terperangkap dengan cinta seorang kakak. Seorang kakak yang hadirkan bantuan dan kasih sayang hanya di hospital selepas kemalangan kecil mereka sekeluarga.

Mummy!” Panggil Suri. Suri keluarkan suara dan berkali-kali memanggil mummy Joe. Berkhayal agaknya sampai dua tiga kali seru dan mummy Lisa diam sahaja.

Haaaaa..oh ya. Ya! Nanti mummy pesankan dengan Joe. Bagi dia rehat dulu ya. Okeylah, mummy pun tengah layan baba minum petang ni. Nanti kita borak-borak lagi.” Dia cuba kembali memesrai Suri walau suaranya tersekat-sekat kerana kenangan lama itu. Suri senyum. Angguk. Hatinya rasa sesuatu. Layanan mummy dari dulu sentiasa dingin dan beku. Itu yang merunsingkan fikirannya. Belum sempat dia mahu sambung bercakap, mummy dah letak telefon. Bunyi bip mendatar sahaja menjadi teman.

Suri pandang telefon. Telan air liur dan rasa hiba. Sampai bila cintanya akan berterusan begini. Sampai bila dia harus menanti Joe habis belajar dan menunggu pula Joe menyunting dirinya menjadi isteri. Joe masih fokus dengan pelajarannya. Joe sekarang selalu tidak ada dengan dia. Masa mereka terlalu jauh. Dia sibuk dengan kerjaya. Sibuk dengan pesakit-pesakitnya di hospital. Kadang-kadang lupa dengan Joe yang sentiasa menanti dan setia menunggunya. Sampai Joe lelah dan penat. Berbual sudah jarang. Makan juga sudah lama tidak semeja. Bergurau seperti selalu pun tidak pernah ada.

Hubungan mereka macam patung dan batu sahaja. Hanya angin dan alam menjadi teman. Mencukupi dan diteruskan meski masing-masing melayani perasaan sendiri. Mana Joe? Lupakah Joe dengan janjinya untuk menyambut hari jadi? Suri gigit bibir bawah.

Dia terus melangkah dan pergi. Menuruni anak tangga meski lif sudah tersedia untuknya. Suri tidak pasti kenapa dia terasa sunyi. Suri tidak pasti kenapa rasa hatinya begitu sepi. Sampailah kakinya jejak ke bawah. Menuruni tangga baginya satu proses menghilangkan kekusutan dengan perhubungannya bersama Joe. Ibu di rumah sudah menangis-nangis mengenangkan dia yang belum berkahwin. Umur sudah angka 30. Sibuk dengan kerja dan pulak tu berkawan dan bercinta dengan lelaki bezanya sepuluh tahun. Sampai tidak diterima ayah dan abang-abangnya. Apakah agaknya dosa bercinta dengan lelaki muda seperti Joe itu?

Suri memandang kereta dan motorsikal Joe. Terletak cantik dan mula terfikir. Eh, Joe ke rumah mummy naik apa? Joe paling tidak pun akan bawa Volkswagen Scirocconya ini ke rumah mummy.  Suri pandang sekeliling. Kawasan bawah apartmen sudah dipenuhi kanak-kanak bermain. Padang permainan semakin dipenuhi emak dan ayah si anak-anak. Dia mula musykil. Terus berjalan sambil berteka teki. Sehingga dia berjalan keluar dan melalui pondok pengawal. Terus ke keretanya yang diparkir di sebelah pondok pengawal. Pulangkan pas pelawat dan kaki terus terhenti melihat Joe yang turun dari sebuah bas. Membawa beg galas. Memegang sebuah bakul anyaman berwarna coklat. Joe naik bas? Sejak bila Joe mula naik bas? Dia belum pernah naik bas bersama-sama Joe. Tidak pernah terdetik di hati Joe untuk menaiki pengangkutan awam tersebut.

Angin menyerbu wajahnya. Jantung berdegup hebat. Matanya pasti dan yakin. Itu Joe. Dan Joe menunggu siapa yang turun dari dalam bas itu? Oh…Suri buka langkah. Otaknya ligat berputar. Peluh entah kenapa menjadi teman belakang badannya. Suri cepat-cepat ambil kunci dari dalam poket seluar. Meluru laju ke arah kereta dan dia mahu duduk diam di dalam kereta. Matanya mahu memerhatikan Joe.

Joe hanya memerhatikan bas pergi. Melambai Mawar yang gembira di dalam bas. Letak bakul anyaman mummy dan keluarkan telefon dari kocek seluar jeans. Muncungkan bibir sambil memandang miss call dari Suri dan puluhan SMS Suri. Dia biarkan sahaja. Terus hantar satu SMS untuk Mawar yang telah pergi bersama bas. Budak comel, hati-hati. Jangan nakal-nakal. Jaga emak awak elok-elok. Tq temankan saya study dan jadi model dalam kamera saya. Appreciate it!

Senyum sampai telinga. Bahagia rasa hati dan jiwa. Joe terus melangkah sambil terbayang-bayangkan Mawar yang pucat lesi sambil tak sempat jawab soalan cepu emasnya. “Apa errrr…errrr.. cakap! Awak suka saya ya?”

Mawar geleng kepala…ehhh..kemudian angguk…ehhh..geleng kepala sekali lagi sampai melatah-latah Mawar bila telefon berbunyi kring kring kring kring.

Ah! Tuah memang mengganggu. Masa itulah dia telefon kakaknya dan suruh datang ke hospital. Mahu sahaja dia rampas telefon Mawar dan tak mahu Mawar pergi ke hospital. Masa sedang berdua dengan Mawar, ada sahaja orang mengganggu. Bikin rosak program! Cet!

Suri gigit bibir. Memerhati langkah Joe melalui cermin pandang belakangnya. Wajah Joe penuh bunga-bunga. Masih kelihatan kacak walau memegang sebuah bakul anyaman. Suri tarik nafas. Rasa diperbodohkan oleh mummy Lisa dan Joe sendiri. Mummy telah menipu dia. Joe bukan sakit perut dan bukan berada di rumah mummy dan baba.

Yang peliknya, Joe turun dari sebuah bas. Yang peliknya Joe selama ini cukup anti dengan bas telah menaiki bas. Joe? Dia dari mana dan sebelum ini dia kemana. Joe lupa janjinya hanya kerana bas dan dia pasti ada sebab lain kenapa Joe melupakannya.

Dia terus merenung Joe yang menyeluk poket seluar jeansnya. Joe keluarkan telefon pintar dan membaca sesuatu dengan senyum panjang. Terukir kacak sampai Suri terus jadi sangsi.

Saya memang comel. Bluwekk.

Joe gelengkan kepala. Sengig lagi. Dia sebelum sampai ke lif mendongak memandang langit biru. Dia tidak tahu kenapa tiba-tiba rasa cinta kepada Mawar melebihi Suri. Dia tidak pasti kenapa degup jantungnya selalu menjadi luar biasa bila memandang Mawar yang sederhana itu. Kalau ada jerawat di pipi dan sambil Mawar pecahkan jerawat sebijinya itu pun dia boleh jadi suka dan terbayang-bayangkan keletah luar biasa gadis itu. Mawar sudah jadikan hidupnya ceria. Mawar sudah jadikan jadual hidupnya serba serbi sempurna. Dia juga tidak pasti kenapa rasa cintanya terhadap Suri pergi begitu sahaja. Dia sendiri sekarang sedang mengakui bahawa Mawar semakin dekat di hati. Mawar juga semakin hari menjadi bayangan di mata dan jiwa.

Di mana-mana hanya Mawar sahaja. Bibir dan hatinya menyebut nama Mawar. Itu sahaja yang dia tahu. Perkara lain dia sedang tolak ke tepi. Suri juga semakin hari semakin sepi dari lautan hatinya.  

Dan kini, Suri dari jauh memandangnya dengan rasa sedih. Air matanya mengalir-ngalir kerana simpati dengan diri sendiri. Dia penat menanti. Rasa sepi bertemankan angin dan dinding. Berjam-jam lamanya berdiri dan Joe tidak langsung menghubunginya.

Walhal dengan mata kepala sendiri – Joe sudah onnkan telefon pintarnya. Ke mana sebenarnya Joe dan dengan siapa Joe keluar. Siapa di dalam bas berkenaan dan Joe melambai siapa agaknya? Siapa Joe…siapa?

Hatinya menjerit-jerit. Meronta-ronta ingin tahu. Tubir matanya terus digenangi dengan air mata. “Joe tu budak muda. Belajar lagi. Mana sesuai dengan kau. Lagi-lagi budak muka boleh jual. Majalah Jejaka kalau ambik dia jadi model pun sanggup tau. Bayar tinggi pun mereka rela. Hei, kau dengar sini Suri…aku tak suka kau bercinta dengan dia. Aku dan abang ngah tak suka. Dia dan kita tak sama. Aku kata tak suka tetap tak suka.” Suara abang long menghantar pilu di hati.

Bayang Joe terus hilang dari matanya. Dan setia menanti di situ sehingga terus terlena. Membawa kesepian dan memenjarakan perasaan sendiri lagi. Suri, bukankah Joe itu dahulu hanya seorang budak lelaki yang mengisi kesepian di hati. Bukankah dahulu dia itu budak lelaki yang mengetuk naluri cintanya. Dan kini dia bukan budak lelaki lagi. Dia lelaki dewasa yang sedang menanti hatinya untuk terus jiwanya diisi cinta sesiapa.

Suri rasa mampukah sekeping hati milik Joe itu terisi untuk Suri? Mampukah?

:::Press like itu comel:::

Mr Pai Epal [Memori Kelat Yaya]


Saja. Bagi semua panas je. Tepeklah kejap plot pilihan Mr Pai Epal ke dalam blog. Saya pun panas dan tak senang duduk dengan Mr Pai Epal. Tapi harap sabar tau semua. Untuk makluman, sesebuah manuskrip akan diterbitkan makan masa juga. Penilaian tiga bulan, kemudian perlu beratur dengan manuskrip rakan-rakan penulis lain. Ironinya makan masa selama tujuh bulan atau lapan bulan. Malahan setahun pun boleh. Sama juga ketika saya menanti manuskrip terdahulu. Okey semua? Jangan risau-risau ya. (ceh, sebenarnya diri sendiri yang risau..cet!) Ni saya kongsikan salah satu plot dalam blog ini juga tetapi telah diedit dengan lebih baik. Ekk? Hehehe.

Okey, jom layan! Sambil saya siapkan Nama Dia Joe ni, mari senyum comel-comel ya.


Kini kami sedang berdiri di depan sebuah kedai aiskrim. Entah apa nama kedai berwarna hijau ini, aku tidak tahu. Mahu menyebutnya pun payah. Tergeliat rasa lidah. Selepas menikmati buah jambu batu sambil rasa feeling-feeling cintan, aku segera berpaling. Cepat-cepat membawa kaki ke depan dan Izz Amir yang ketinggalan di belakang terus mengejar aku.

Aku memandang ke atas. Langit terbentang luas. Tetapi kali ini tidak ada salji dan bunga sakura menemani. Sudah dibawa pergi oleh angin segala khayalanku.

+Haihlah Yaya, bunga sakuralah, saljilah, Optimus Primelah, transformerslah.
-Yaya tak tahulah kenapa dengan Yaya ni. Asyik berangan saja kan?
+Eh eh, bukan ke kau sendiri yang berkata, bahawa angan-angan itu percuma.
-Hehehehe.                                                                                                                             

“Kita makan aiskrim ya? Saya teringin pula makan aiskrim.” Sapanya. Aku pandang jam di tangan. Memang betul perut lelaki ini perut ular sawa. Eh, perut gajah pun sekali. Kuat makan. Aku ikut sahaja langkah kaki ini. Kami masuk ke dalam kedai berhawa dingin ini. Cantik. Dekorasi memikat.

Aku pandang jam di lengan. Geleng kepala dan tepat pandang dia yang kacak.

Alah, awak ambil half day saja hari ni ya? Teman saya makan aiskrim ni pulak. Aiskrim paling terbaik. Sedap tau, cik Yaya sayang. Dari tak lapar terus akan jadi lapar balik. Serius!” Izz Amir tersenyum sambil mengambil dua mangkuk cawan kertas yang besar.

Aku gigit bibir. Suka hati emak dan ayah dia sahaja menyuruh aku untuk half day. Sudahlah dia meminjam aku dari bos. Kemudian bibirnya itu masih lagi kekal memanggil aku dengan nama, cik Yaya sayang, cik Yaya sayang. Aku lantas duduk memerhatikan kedai yang ringkas dan menarik pandangan mata ini. Kemudian susuk tubuhnya terus beralih ke hadapan.

Aku perhatikan sahaja tingkahnya. Bersahaja. Memilih perisa aiskrim. Kemudian Izz Amir ke sebuah kaunter untuk mengisi pilihan topping yang tersedia. Ada biskut, buah-buahan dan entahlah macam-macam ada. Susah nak sebut. Iyalahkan, sebab mana pernah aku menikmati aiskrim yogurt yang mungkin sedap ini. Izz Amir yang kata sedap dan sesiapa yang tak lapar pasti akan lapar. Itu menurut kata Izz Amir.

Perlahan-lahan aku bangun mengikutnya. Mata macam orang gila memerhati bekas-bekas teratur yang penuh dengan berbagai-bagai pilihan. Warna-warni. Eh, ada kacang gajus dan badamlah. Eh, ada buah kiwi. Eh, ada biksut rokoklah. Eh, ada buah strawberry. Buah nanas, pisang, beri biru pun adalah. Wah, seronoknya. Hilang penat aku berjalan sampai keluar peluh tadi melihat aiskrim dan pilihan topping yang ada di kedai ini.

“Eh awak,  ada coklatlah. Biskut oreo pun ada. Buah strawberry pun ada.” Aku macam orang gayat.Sumpah aku gayat.

Dia tersengih. “Inilah tutti frutti cik Yaya sayang oi! Frozen yogurt.” Ceh – dia memperkenalkan nama yang aku katakan susah untuk aku sebut. Macam buat iklan percuma saja dia memperkenalkan produk ini kepadaku. Bolehlah lelaki kacak ini menjadi promoter atau artis Tutti Frutti. Kalaulah dia jadi artis memperkenalkan produk aiskrim ini kan? Ada pula gambarnya depan kedai aiskrim ini, aku pasti terpacak melihat gambarnya sampai malam. Malam balik ke pagi dan kemudian sambung ke malam pun boleh.

“Susahlah nak sebut nama kedai ni. Saya pandai makan saja. Tuan belanja saya ya?” Ah – aku memang tidak tahu malu. Sudah tahu lelaki ini pasti belanja, mahu bertanya pula. Hik hik hik.

Dia pandang aku dengan senyuman menawannya. “Iyalah, saya belanja awak, cik Yaya sayang. Pilihlah nak topping yang mana?” dia memegang cawan besar yang penuh dengan aiskrim dan dihulurkan kepada aku. “Nah.” Dia hulurkan mangkuk besar yang penuh dengan aiskrim yogurt.

Wah, perasa coklat dan vanilla. Erm…awak kan tahu saya suka warna merah jambu, kenapa tak ambil perasa strawberry? Mahu merajuklah kalau macam ni.

+Yaya!!!
-Apa?
+Amboi-amboi. Izz Amir dah beri betis, awak nak peha pula ya.
-Saya kan suka warna merah jambu. Tak kan dia tak tahu lagi?
+Dah, ambil sahaja cawan tu. Memilih. Tak pandai bersyukur betul.
-Alhamdulillah. Amin-amin. Sibuklah awak ni. Asyik kacau saya sahaja.
+Tahu pun sebut syukur. Sebab tu saya datang kacau awak. Tarik telinga nanti.

“Tunjuk saja dengan pelayan kedai ni awak nak topping yang mana. Kita duduk di sana.” Bibirnya dimuncungkan ke arah sebuah meja kosong. Pelayan wanita itu memandang wajah Izz Amir lama-lama. Iyalah kan, seperti semua sedia maklum – Izz Amir handsome . Izz Amir ada lesung pipit. Izz Amir memiliki hidung terletak dan terpacak. Kulit putih dan bersih pula. Badan tinggi lampai. Kalau senyum, aku juga jadi cair. Haih, tidak terkata nikmat dan anugerah kekacakan yang Allah swt berikan kepada dia.

Aku pandang pelayan itu dan bila dia tersedar aku memerhatikannya, terus dia memberikan aku senyuman malu. Ceh – mesti dia cemburukan aku kan? Wah-wah. Perasan sendiri si Yaya ni.

Serentak itu juga dia melayani permintaan aku. Seperti yang selalu aku sebut, ‘Rezeki jangan ditolak, iya tak?’ Berpinar-pinar biji mata ini memilih. Sampai terkulat-kulat aku menunjuk topping pilihan. Sekejap mahu itu. Sekejap mahu ini. Izz Amir hanya angguk dan mengangguk sahaja. Mengiayakan semua pilihanku. Tapi entah kenapa, dia asyik tersenyum memerhatikan aku.

Kami ke kaunter pembayaran. Harga Tutti Frutti, frozen yogurt aku sahaja bernilai RM45.70. Pengsan! Seperti mahu pitam dibuatnya. Kenapa mahal sangat harga aiskrim ini? Aku pandang Izz Amir yang tersengih geli hati. Dia meninjau-ninjau bekasku. Pantas aku menutupnya dengan jemari halusku.

Eh eh. Jangan tengok. Jangan, jangan. Malulah saya, tuan. Banyak saya pilih. Ingatkan harga aiskrim ni murah. Tapi mahal.” Aku mencebik. Malunya. Rasa mahu lari laju-laju keluar dari kedai ini. Izz Amir terkekek-kekek ketawa. Dan dia terus berjalan perlahan ke meja yang ditunjuknya tadi. Kepalanya menggeleng-geleng dengan ketawa yang masih bersisa.

Aku bagaikan orang lurus. Memerhati kawasan sekeliling dengan rasa keajaiban. Makan aiskrim yogurt mahal macam ini? Sudahlah malu tahab gaban dengan Izz Amir. Manalah mahu aku letakkan muka yang makin menebal ini?

Aku duduk di hadapannya. Jemari menutup-nutup bekas Tutti Frutti yang penuh bagaikan mahu tertumpah. Dia perhatikan aku dengan senyuman. Aku pula buat-buat jual mahal. Ceh – hari ini aku sudah langgar arahan ibu. Aku juga sudah lupa kesedihan yang berlaku malam tadi. Aku lupa kesebakan lelaki ini dan langsung lupa mahu bertanya kisahnya. Ada tiga perkara menarik berlaku dalam hidupku hari ini. Hanya dengan dia, tuan Izz Amir atau lebih tepat dengan gelarannya, Mr Pai Epal.

Satu.
Aku tidak pernah cuti half day. Hari ini adalah hari dalam sejarah kerana aku memonteng kerja. Hanya untuk menikmati makan tengahari dengannya. Izz Amir belanja minum air batu campur. Ada aiskrim lagi. Seronoknya.

Dua.
Berjalan-jalan dengannya. Berdua sahaja. Ada angin dingin menemani kami. Ada rasa cinta entah kenapa hadir di jiwa ini.

Tiga.
Aku menikmati Tutti Frutti dengan Mr Pai Epal. Sedap dan mahal gila. Sekarang, kami berdua sedang duduk dengan nyaman di sini. Ini juga kali pertama aku makan yogurt yang dikatakan terbaik oleh Izz Amir dan duduk di dalam kedai cantik ini. Selalu Kak Mahani sebut-sebut sampai meleleh-leleh air liur aku.

Hari ini – dan sekarang kami berdua sedang menikmati aiskrim yogurt ini. Sedap ya rabbi. Tanpa sepatah perkataan dan kami masing-masing menyuap masuk ke dalam mulut. Sesekali dia menjeling-jeling aku. Kedai aiskrim ini dipenuhi ramai pelanggan. Sesekali dia mencuri aiskrim aku dan masuk kali ketiga ketika dia sengaja mahu mencedok aiskrimku, dengan pantas aku mengetuk jarinya dengan sudu dijariku.

“Tak boleh ambik. Ni aiskrim saya. Tuan yang belanja, lepas tu nak main minta-minta pula. Buruk siku.” Bibirku terherot ke kanan. Dia tersenyum lagi dan matanya menangkap wajahku. Terbantut aktiviti mencuri aiskrimku. Tangannya cepat-cepat mengundur ke belakang.

Iyalahkan, orang kesayangan dia belanja.” Ceh – dia mula jiwang karat. Jantungku kembali berdebar-debar. Urat rasa mahu putus.

Dia merenung aku. “Pipi cik Yaya sayang saya ni dah bertukar menjadi warna pink-pinklah...” Dia senyum kacak.

Dia sengih lagi. Suaranya gemersik. “Bila boleh saya cium pipi awak yang comel tu? ” Bibirnya muncung ke depan. Pandang aku dengan rasa tidak bersalah.

Serentak itu juga, bersama dengan aiskrim yogurtku yang berbaki setengah, buah strawberry sebanyak 4 ketul, biskut rokok coklat dan segala macam mak nenek topping berwarna warni terpelosok jatuh ke bawah bersama denganku. Kerusiku sekali lagi hilang kawalan. Aku terus ke belakang dan gedebub sekali lagi. Bagaimana ya kerusi cantik ini boleh menggelongsorkan aku? Huwaaaaaa….

Tudung bersama wajahku dipenuhi aiskrim tutti frutti.  Lekit wajah dan separuh badanku. Ditambah dengan bau masam berjalan ke sana sini dan bau tutti frutti ini. Jenama minyak wangi baru menyusup terus ke hidungku. Jemariku juga dipenuhi aiskrim. Aiskrim perisa coklat dan vanilla merayap dari dahi ke bibirku.

Aku terkebil-kebil. Hari malang sedunia muncul sekali lagi hari ini. Bersama dengannya juga. Dia ketawa tak ingat dunia. Inilah balasannya menderhaka dengan larangan ibu? Kenapa Bumblebee  yang comel itu tidak datang menyelamatkan aku dari terjatuh tadi?  

:::Press like itu comel:::