Pages

21 Mei 2012

Oh, Mama Mia.

Selamat membaca Oh, Mama Mia! Sebuah cerpen pendek sahaja.

page2

Merahsiakan perjalanan musim sejuk tahun ini daripada semua. Bukan seperti selalu. Tika dua tiga tahun yang lalu, kembaranya mencari ilham, melagukan puisi dan menulis manuskrip akan dipukul dan dicanang seantero dunia. Dia sudah mengembara ke seluruh dunia. Ceruk rantau menyelidiki ragam manusia. Sudah berbakul-bakul ilham menyinggah mindanya. Tetapi entah kenapa tahun ini, dia tidak mampu menulis sehangat biasa. Tawar sahaja ramuannya meski garam sudah dibubuh hampir setengah periuk. Editor pening kepala. Dia sekadar angguk dan tersengih menayangkan gigi bila editor memberi jawapan. “Hilang taring. Pergi bercutilah, Napi. Bercuti dan cari pasangan hidup. Agak-agaknya kan, berkahwin akan menambahkan rencah manuskrip awak yang dah lama hilang ni. Saya pulangkan balik dan awak betulkan semula ya.”

Buku-buku catatannya sudah habis diteliti kembali. Dia sudah memerah tenaga dan keringat untuk menulis kembali. Tetapi tiada ilham menarik mengecurkan jiwa pembacanya. Editor tetap gelengkan kepala sambil menjuihkan bibir. Maka – dia berdiam diri hampir dua bulan dalam kancah penulisan. Saranan Ungku Mariah agar dia berehat ditimbang-timbangkan juga. Editornya itu asyik menggelengkan kepala. Emel berbalas supaya manuskripnya diubah itu dan ini. Sehingga dia mahu muntah dan pening kepala dengan kemahuan editornya yang satu itu.

Mata dia bergerak membaca status-status lama sendiri di dalam facebook. Kenangan di muka buku ini selalu juga memberi dia ilham. Sepotong dua ayat juga boleh diambil melalui status kawan-kawannya. “Dia mahu cari momentum baru. Barangkali seorang penulis sastera seperti Hanafi mahu ilham lebih istimewa dalam setiap karyanya.” Kata seorang teman di dalam facebook. Statusnya berbalas dengan penuh cemburu. Aku mahu menawan Belgium pula. Selepas itu mahu ke Palestin. Menulis kisah anak-anak yang sentiasa kepinginkan syahid. Allahukbar.

Dia membaca komen dari kawan-kawannya. Timeline tahun lepas diteliti. Ipadnya dipandang penuh minat. Salji semakin turun nipis-nipis. Tubuhnya sudah dibalut dua lapis baju sejuk. Lehernya dililit muffler berwarna biru gelap. Hadiah daripada peminat misterinya. “Tulis mengenai dunia. Tulis mengenai pemberontakan dan mengarang yang meruntunkan jiwa pembaca. Memberi kesedaran dan kemudian jangan menjahanamkan minda pembaca dengan karya semberono.”

Dia geleng kepala. Menutup mata dan tersenyum melihat komen seorang peminat setianya. Namanya ringkas sahaja. ‘Mama Mia’. Entah siapa pula gerangan dia. Entah wanita atau pemuda. Kerap juga memberi komen. Komennya bukan berbaur manis-manis, tetapi penuh kritikan berjela. Komennya yang satu ini pula penuh dengan amarah dan dihiasi dengan petir berdentum-dentum kuat. ‘Mama Mia’ - profile picturenya dengan gambar seorang kanak-kanak kecil yang tersenyum. Senyumnya cantik menawan dan sedang berdiri di bawah sekaki payung berwarna merah. Ada salji melatari membuatkan matanya melekat memerhati gambar nan satu ini. Gambar yang cantik dan sungguh memikat hatinya.

Dia turut sama membalas komen dari ‘Mama Mia’, Penulis itu ada seni dan bunganya tersendiri. Biarkan mereka dengan jalur-jalur yang mengisi minda. Asalkan dibatasi dengan syariat Islam dan memadai mengajari pembaca seperti yang terdapat dalam kitab-kitab Allah. Islam itu memudahkan. Mahu melawan arus ini, harus ada penulis yang menegakkan kalamnya dengan menulis mengikut manhaj dan alirannya. Nah – barangkali kita selalu naik angin dengan para pembaca yang mahukan manuskrip klise sama dengan penerbit lain. Tetapi penulis itu harus bijak sendiri meletakkan dirinya dimana. Lima manuskrip yang ditulisnya : takkanlah semua cerita, plot, nama dan wataknya sama. Muallah nanti pembaca. Sepuluh tahun akan datang, jangan disampahkan naskah berkenaan sudah! Jangan dibedah oleh anak-anak akan datang nanti. Mudah sahaja kitaran hidup yang Allah janjikan. Dunia ini bagaikan roda, wahai Mama Mia. Saya menyokong semua penulis dengan berbagai genrenya. Tulislah apa sahaja asalkan ada seni dan ada bunganya. Cuma jangan mendabik dada dan nanti jangan terkejut dengan dunia penulisan penuh warna ini. tetapi saya sentiasa ingat, tujuan saya menulis ini kerana janji saya dengan Allah swt.

Bola matanya bergerak lagi. Bersinar-sinar seperti cahaya. Kereta api sedang ditakluki bersama keindahan yang menggiurkan. Begnya disusun kemas supaya penumpang lain boleh duduk selesa bersama dengannya. Kereta api akan melintasi bukit bukau dengan dipenuhi salji cantik dan akan menjejaki Gunung Matterhon. Malah, matahari juga tidak akan bersinar kerana malu dengan salji.

“Hanafi, nanti melancong ke mana-mana jangan lupa ole-ole ya.” ulas seorang temannya di ruang komen.

Dia tersenyum lagi dengan gelagat peminatnya. Mata beralih lagi memandang komen ‘Mama Mia’. Minda membaca laju. Jika mahu ke negara tercantik di dunia ini. saya akan sentiasa ada. Di mana-mana dan boleh sahaja membantu.

Dia ukir senyum. Mata memerhati tempat duduk yang masih kosong. Jemari Hanafi pantas menutup ipadnya. Semua negara yang diciptakan oleh Allah itu cantik pada pandangannya. Ada sebab musabab kenapa Allah menjadikan Indonesia itu sebuah negara yang selalu dikejutkan dengan tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi. Ada sebab juga kenapa sesebuah negara itu dijadikan miskin semiskinnya. Hanafi segera bangun dari duduknya. Perjalanan panjang dengan keretapi di negara yang juga dikatakan tercantik oleh ramai pelancong bakal ditakluki.

Musim sejuk ini, dia mahu menyaksikan salji turun sepuas-puasnya. Dia mahu meramas salji juga tanpa segan silu seperti selalu. Dia tidak lagi memaklumkan kepada sesiapa yang sekarang kakinya sedang berdiri di bumi tercantik ciptaan Ilahi. Matanya tekun memerhati salji turun. Salji seperti hujan yang nipis-nipis menitis memberi bahagia. Pohon-pohon rendang juga ditutupi salji. Maha Berkuasa Allah yang menjadikan segala-galanya. Hanafi membuka tingkap keretapi. Mata memerhati salji dengan penuh puas. Jemari keluar dengan sendirinya dan perlahan-lahan menyentuh salji.

Sejuk. Roda keretapi akan berputar sebentar lagi. Bunyi siren dari balai pengawal jadi mendamaikan dengan suasana sejuk sampai menggigit tulang. Menyendiri. Lebih tepat berkhalwat. Menjamu mata dengan pemandangan indah di sini.

Telinganya menangkap perbualan seorang gadis kecil. “Cepatlah mama. Cari tempat duduk kita. Mia tak sabar nak duduk. Penatlah mama.”

“Mia, sabar ya sayang. Kita cari perlahan-lahan. Banyak kerusi ni, sayang.” Suara seorang wanita pula masuk ke dalam telinga Hanafi. Lembut sahaja suaranya memujuk si anak gadis.

Dia panggungkan kepala bila si kecil bercekak pinggang dan memberi senyum cantiknya. “Sini mama. Sini kosong dan rasanya ini tempat duduk kita. Betulkan mama?”

“Ya sayang. Okey, Mia boleh duduk.” Wanita itu sibuk pula mencari sesuatu di dalam begnya. Hanafi memerhati penuh minat. Wajah cantik wanita itu memberi debar berganda.

“Mia duduk sebelah uncle. Boleh?” Mia tersengih. Bersahaja membawa punggungnya dan duduk di sebelah Hanafi. Hanafi cepat-cepat mengangkat beg dan membawa begnya naik ke atas. Dia menjeling Mia. Gadis kecil penuh dengan senyum manis. Ada sekaki payung berwarna merah bersama dengannya. Wanita itu terus duduk berhadapan dengannya.

Hanafi cepat-cepat angguk. “Ya Mia. Boleh. Duduklah sebelah uncle. Teman uncle berbual-bual.”

Mia nampak seronok. Dia pandang mamanya yang sedang menggigit bibir. “Mia jangan nakal-nakal. Jangan pergi sampai ke belakang. Ingat pesan mama.”

“Okey mama. Mia ingat semua pesan mama. Jangan nakal-nakal dan jangan berjalan sampai ke belakang. Nanti Mia akan hilang. Mama akan menangis.” Mia menjeling mamanya. Kakinya disilangkan dan Hanafi mendengar penuh minat. Dia pandang wajah wanita yang sedang tekun memerhati anaknya ini.

Dia tidak menyangka yang duduknya hari ini dengan seorang wanita yang sama negara dengannya. Wanita itu memandang Hanafi dan memberi senyum. Matanya memerhati muffler yang melilit leher Hanafi. Senyumnya terus menjadi teragak-agak. Tiba-tiba wanita itu membuka beg galasnya. Jemari runcingnya mencari sesuatu dan dengan pantas mengeluarkan sebuah buku dan terus diangkat buku berkenaan. Buku itu terus sahaja menutup wajah cantiknya dari direnung oleh Hanafi.

Hanafi gelengkan kepala dan tersenyum. Dia menjeling Mia dan memeluk bahu Mia.

Eeee. Mama baca buku terbalik. Malulah mama ni.” Mia tergelak sambil menutup bibir dengan jemari halusnya.

“Mama Mia malu tu.” Hanafi cepat membalas dan membuatkan Mia mengekek-ngekek ketawa. Pantas mindanya berputar. Ligat mengingati komen-komen dari ‘Mama Mia’. Dia terus terkedu dan menelan air liur. Jantung terus berdegup kencang bila wanita di hadapannya itu meletakkan buku di atas riba. Memandang Hanafi dan Mia dengan satu pandangan yang sukar dia tafsirkan.

Roda kereta api bergerak. Bunyi siren membingitkan. Riuh-rendah suasana di dalam kereta api. Perjalanan telah bermula. Pemandangan cantik akan menjadi jamuan mata. Salji akan melatari suasana indah hari ini. Mata Hanafi menjeling wanita berwajah cantik di hadapannya. Selepas dimalukan kerana membaca sebuah buku terbalik, wanita itu banyak mendiamkan diri. Dia ada sebuah kamera Canon. Digantung cermat bersama tali dan sesekali dibuka kameranya tanpa memandang wajah tampannya. Mia pula sibuk membaca.

Ipadnya dimasukkan ke dalam beg. Hanafi memandang wanita di hadapannya. Dia mahu beramah mesra.

“Hanafi.” Suaranya terbit dari kerongkong. Terasa sukar tetapi tidak salah jika dia menghulurkan perkenalan.

Dia senyum lagi. Cantik. Sehingga jantungnya berdebar entah kenapa. Mia menjeling dan tersengih. “Nama saya Mia. Uncle pun dari Malaysia kan?” Jemari kasar Hanafi akhirnya bersalaman dengan si kecil yang cantik. Si kecil yang sukakan sekaki payung berwarna merah. Dia juga sudah tahu bahawa di hadapannya ini ialah ‘Mama Mia’. Kecil sungguh bumi Allah. Masakan dia boleh menolak untuk berkenalan dengan peminatnya sendiri?

“Nama mama siapa?” Hanafi mencuit bahu Mia. Mia menutup bukunya. Persis anak genius yang suka membaca.

Mia memandang mamanya. “Mama, jawablah mama. Mama kan ada mulut.”

Bola mata bertembung lagi. Jantungnya berdebar beberapa kali kerana memandang bola mata wanita berkenaan yang berwarna coklat itu. Hanafi memandang salji. Kereta api terus bergerak dengan pemandangan maha indah. Dia gigit bibir bawah dan menjerit di dalam hati. Marah diri sendiri kerana tidak mengawal hati. Entah-entah wanita ini bini orang! Hanafi, cuba bertenang dan kawal rasa hati. Dia tarik nafas.

“Maisara. Nama saya Maisara.” Wanita itu menjawab perlahan dan sekali lagi Hanafi menoleh memerhati wajah putih Maisara. Jemari wanita itu lincah menggerakkan kameranya. Fokus dengan pemandangan indah di luar. Mencari sudut pandang terbaik. Badannya bergerak mencari gambar tercantik.

Klik!

“Awak, seorang jurukamera ya?” Hanafi lincah menyoal. Mia senyum menawan memerhati mamanya dan kemudian kepala menoleh melihat Hanafi.

Maisara gelengkan kepala. Ukir senyum menawan. Giginya putih berbaris cantik. “Hobi. Kebetulan bercuti dengan Mia. Saya suka ambil gambar.”

Hanafi angguk mengerti. “Berdua?” lancang sungguh soalan kamu, Hanafi. Dia tersengih dengan rasa bersalah kerana soalan yang terpacul dari bibirnya.

Maisara gelengkan kepala. “Kami berdua sahaja.”

“Oh.” Hanafi malu sendiri. Jantung berdegup terus kencang. Mia diperhati. Mata beralih pula menjamah pemandangan indah di luar. Sesekali Maisara menjeling Mia.

“Awak ‘Mama Mia’ ya?” Hanafi terus bertanya. Tanpa berlapik dan tanpa insuran. Gasaklah Hanafi. Jangan ditamparnya bibir aku, sudah!

Maisara tersengih malu. Jemari yang ligat mengambil gambar terberhenti dengan sendirinya. Dia pandang Hanafi. Bulu romanya menegak bila terpandangkan penulis pujaannya berada di dalam kereta api yang sedang dinaiki. Ah – sudahlah duduknya di gerabak yang sama. Bagaimana mahu dia melarikan diri dari Hanafi ? Lelaki ini seniornya ketika di universiti dahulu.

Sejarah terbuka. Dahulu dia jatuh cinta pandang pertama dengan Hanafi. Lima belas novel Hanafi Darus dibeli. Setiap kali buku penulis di hadapannya ini terbit, dia akan meredah kedai buku untuk membeli. Dia sanggup beratur panjang untuk memiliki naskah penulis pujaannya ini. Bahkan rasa cintanya dengan karya penulis ini menebal dengan kemunculan puisi ‘Irama Cinta’.

Maisara angguk. “Ya, ‘Mama Mia’. Bibir oles senyum. Cintanya kepada Hanafi terus luput apabila perkahwinan diatur oleh keluarga. Maisara terima seadanya. Redha dengan jodoh dan menerima lelaki berhati mulia bernama suami itu. Lantas penulis di hadapannya ini diintai dalam diam. Hanya dunia internet menjadi penghubung. Status penulis dihadapannya ini dibalas selepas dia menanggung rindu teramat dahsyat. Tidak salah memuja di dalam diam. Rindunya juga mahu diisi kembali kerana suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dia sepi. Kontang kasih sayang dari teman berbicara dan kawan bergelak ketawa. Membalas komen Hanafi Darus itu tidak salah bukan ? Kerana dia memberi komen berlapik. Penuh serius membincangkan dunia sastera Malaysia hari ini.

Maisara telan air liur. Tahukah dia mengenai rasa cinta yang bertahun-tahun lama itu? Tidakkah dia ketahui bahawa aku gadis yang sentiasa memerhatikannya dari jauh di universiti itu? Ah – cinta itu akan membutakan hati dan minda. Akal akan bergerak dengan tidak waras, Maisara.

“Oh. Betullah agakan saya. Saya suka dengan ‘Mama Mia’. Suka dengan komen bernasnya dan berani. Nanti komen banyak-banyak lagi ya! Oh, dunia ni kecil rupanya.”

Maisara terkejut. Hanafi juga. Lelaki itu geleng kepala. Dia sama sekali tidak memaksudkan ‘sesuatu’ yang lain. “Oh, saya suka dengan semua komen awak di muka buku. Menarik. Penuh ilmiah. Tidak salah bertukar pandangan, kan ?”

Maisara tersenyum lagi. Dia gelengkan kepala. “Nanti saya akan komen lagi. Harap tak mengecilkan hati. Saya peminat dari jauh saja.”

“Silakan.” Hanafi senyum menawan. Perkenalan dibalas dengan perbualan panjang. Penuh cerita dan kisah menarik. Masa bergerak penuh cinta. Minit juga berdetik penuh rasa. Mia, si kecil berdiri tenang. Berjalan ke arah mamanya dan mengambil beg galas Maisara. Mengeluarkan semua bekas makanan di atas tempat duduk. Mata kecilnya memerhati Hanafi dan Maisara.

“Mia asyik dengar uncle berbual dengan mama Mia sahaja. Sampai perut Mia berbunyi krok, krok, krok. Marilah kita bertiga makan. Mama masak sedap. Uncle jangan malu-malu ya.”

Hanafi memerhati penuh minat. Sesekali bola matanya bergerak menjeling Maisara. Sandwic, makaroni bakar, air kotak, ketupat, dan sambal goreng Malaysia. Sedapnya membuatkan perut lelakinya berkeroncong. Dia jadi lapar. Kereta api terus meluncur sederhana. Salji nipis-nipis menghangatkan suasana. Pertemuan pertama memang indah.

Mereka bertiga di dalam keretapi.

Mereka bertiga bersama pemandangan indah yang menemani.

Mereka bertiga menikmati makaroni bakar dan sandwic dengan begitu berselera sekali.

Mereka bertiga berbual mesra dengan penuh ketawa.

Klik! Gambar turut sama menjadi bukti pertemuan mereka.

Hari ini kedua mereka berbual-bual dan berkenalan seadanya. Ada bahagia tiba-tiba menyelinap masuk ke dalam hati lelakinya. Dia tidak pernah merasa bahagia kerana berbual dengan seorang wanita jelita. Perkenalan singkat yang membuahkan harapan seperti setinggi gunung dan bukit yang mewah dengan pemandangan indah itu. Nampaknya masin betul mulut Ungku Mariah. Balik sahaja ke Malaysia, dia akan peroleh ilham setinggi cinta barunya ini.

Keretapi terus meluncur sederhana. Asap dari keretapi terus berkepul-kepul. Pohon menghijau melatari perjalanan. Bunga-bunga berkembang mekar. Kawasan menghijau dan salji menutupi gunung mencantikkan mata. Kambing biri-biri turut sama menghiasi perjalanan. Kekaguman dia kepada keindahan yang diciptakan oleh Ilahi terus bertambah dengan menikmati bola mata berwarna coklat yang dimiliki wanita di depan matanya ini.

Mereka berbalas senyum. “Saya harap sangat, kita akan bertemu sekali lagi di Malaysia.” Hanafi mengunyah sandwic dengan bersahaja dan memandang Maisara. Senyuman cantik bersama gigi yang tersusun rapi itu memberikan dia harapan lagi. Hanafi memandang Mia yang tersengih malu. Oh, Mama Mia! Hanafi sudah jatuh cinta.

5 ulasan:

  1. Sememangnya hasil tangan seorang penulis yg sudah ada novel lain auranya.

    Saya tak pasti kenapa, tapi bila baca perenggan pertama terasa bulu roma meremang. Tapi ini bukan cerpen misteri.. :D

    Saya dapat membayangkan membaca cerpen ini di dalam sebuah majalah.

    Komen saya: "Mamma Mia!" ;)

    BalasPadam
  2. Betul kata saudara Salleh. Hasil tangan penulis yang sudah ada novel memang lain auranya.

    Oh, Mama Mia!

    BalasPadam
  3. memang ngam habislah bila baca cerpen nie dgn background lagu kiss the rain lagi... suka gila kot! ;)

    rasa macam saya pun sama ada dekat dalam train tu perhatikan 'kemesraan' mereka bertiga. sweet family. :)

    jatuh hati dgn mama mia... huhu

    BalasPadam
  4. Tanpa Nama12/7/13 10:01

    Menarik.. :) mamma mia!

    BalasPadam