Pages

26 Mac 2013

Mr Pai Epal.. Akhirnya


Di sini nanti ada ceritanya. Aku dan dia. Cik Yaya sayang & Izz Amir. Penantian terlalu lama kan? Tapi pelajaran yang memberi makna.



Dapur comel kami. Musim yang hangat antara aku dan dia, Izz Amir. Di Paris ketika kembali menerima cinta dia. Ketika hati benar-benar terusik dengan kemunculan dan kesungguhan dia.  Mata dia, betul-betul menawankan seluruh jiwa raga.

Aku jatuh cinta untuk kali kedua. Dengan dia yang kata Zana...dulu kau tak matang..sekarang di Paris kau dah matang harungi kenangan dengan dia. Apa salahnya kau terima dia kembali Yaya.



Dan musim cinta kami akan dilakar indah di sini. Sama bahagianya dengan jawapan hati. Untuk kalian yang setia menanti dan bersabar dengan kisah kami ini. Mr Pai Epal.  Jawapannya sudah ada. Moga kalian senyum suka ya.

Mr Pai Epal bulan enam nanti.
Hadiah bererti untuk diri.
Pelajaran kepada jiwa hakiki.

Cinta Izz Amir dan cik Yaya sayang. Terbukti nanti!

25 Mac 2013

Andai Gerimis Berhenti 8


Malam yang memberi makna. Balqis dah pun kenyang menikmati makan malam di rumah. Emak tidak putus-putus melayaninya. Ayah nampak sedikit sihat dan Hakim seperti biasa menghabiskan masa dengan bukunya. Diana sudah lena dengan neneknya.

Mulut Balqis pulak tak putus-putus memuji kebaikan dan handsome Abang Najmi. Gila apa dia?
Huh…!

“Janganlah kau berangan dengan Abang Najmi. Mana dia pandang budak-budak kampung macam kita ni Qis!”

 Balqis jelirkan lidah. “Kau ni Aisya. Tak prihatin langsung, siapa kata lelaki bandar dan moden tak perhatikan kita-kita ni? Lagipun, dia tu aku tengok suka sangat perhatikan kau Aisya.”

“Dah-dah, amboi dia! Jangan sebut nama Abang Najmi, datuk itu ke, datuk ini ke. Dah-dah, I tak rela!” Saya sudah bercakap suara manja. Balqis ketawa sampai bersisa menerobos masuk ke dalam gegendang telinga.

Iri hati juga mendengar kisah Balqis yang akan menyambung pengajiannya dalam Ijazah Pendidikan dan akan bergelar guru. Cita-citanya mahu menjadi pendidik. ”Aku nak jadi cikgulah Aisya.” Mata Balqis bercahaya. Doa-doa saya titipkan dalam jiwa agar cita-cita sahabat baik saya ini termakbul.

“Mudah-mudahan Qis, aku doakan kau. Jadi cikgu yang luar biasa.”

“Haaa...lepas aku sambung study, kau mesti mencari pembantu lain jugak untuk uruskan kolam ni.” Balqis sambung membebel. “Ala, lagipun dari aku belajar kat politeknik dulu, minat aku dah memang nak jadi cikgu. Warisi bakat terpendam arwah datuk aku dulu.”

Saya sengih. Mencerunkan mata menjamah hidung mancung si Balqis. “InsyaAllah, ada rezeki untuk kau Qis. Permohonan kau tu mesti diluluskan. Aku yakin,  graduan bijak pandai dan dapat anugerah Dekan macam kau ni semestinya jadi pilihan.”

Balqis tarik nafas. Senyum manja. “6 bulan kat sini, aku nak cari pengalaman di kampung orang, cari kenalan dan menyambar mana yang ada.” Dia terkekeh-kekah ketawa. Sempat pulak dia ni bergurau-gurau memikirkan perkara lain.

“Pandai-pandai jaga diri di sini ya, Cik Balqis. Ewah-ewah, sambil menyelam sempat minum air nampaknya ya?” Berbalas jiwa akhirnya dengan Balqis.

“Aisya... kita sekarang kena mencari calon suami yang sesuai. Kena pilih yang terbaik. Setiap calon kita mesti tapis, macam kita tapis air kopi. Semestinya kita mencari calon suami yang terbaik untuk diri kita, kan?” Balqis mula menambah hujah.

“Ikan memang banyak kat sini. Kalau kau teringin sangat...haaaa pilih aje mana satu. Tak perlu tapis-tapis, ikan kat dalam kolam aku ni semua gemuk-gemuk. Pakai jala aje untuk tangkap.” Haaa....usik-mengusik menjadi teman kini.

Kami ketawa. Mengimbau kenangan lama kami berdua dan sambil menyiapkan beberapa kerja, hidangan mee goreng dari emak menjadi jamuan kami berdua. Air kopi dalam termos masih panas untuk dinikmati.

Saya kemudian menunjukkan kertas kerja bantuan kewangan Agro Bank kepada Balqis. “Hampir siap, dan lusa aku akan pergi Bank untuk tunjukkan kertas kerja ni kat Hisham. Kita doakan semoga semua urusan dipermudahkan. Amin.” Saya senyum dan duduk rapat dengan Balqis. Aroma mee goreng emak terus merancakkan perbualan kami.

“Aku akan doakan untuk kau Aisya. Semoga diluluskan. Ikan-ikan kat dalam kolam kau tu pun sedang berzikir tau, Aisya.””

Saya senyum senang dan perbualan kami berdua terus bersambung sampai membawa ke tengah malam. Balqis yang saya kenal. Gadis yang cekal jiwa dan hatinya. Kematian ayah dan ibunya ketika kami menduduki peperiksaan akhir semester. Akibat kemalangan ngeri di Lebuhraya. Dia menghabiskan ayat terakhirnya dan kemudian terus berlari keluar ketika menerima berita kematian ibu dan ayahnya. Saya menemuinya di belakang perpustakaan. Dia senyum dan kemudian tanpa saya pinta, Balqis memeluk saya dengan linangan air mata yang paling hangat pernah dirasakan.

***
Burung-burung menyambut kedatangan kami. Angin sepoi-sepoi. Pepohon saya lihat menghijau dengan tenangnya dan kemudian kolam berbisik riang. Air kolam beralun tenang dengan angin membawa ketenangan. Ikan semakin membesar dengan membawa seribu harapan kepada saya.
“ Cuba kau tengok. Alam pun pandai berzikir kepada Tuhan.” Balqis memulakan bicara.

Saya senyum dan memahami setiap katanya. Wanita ini harus saya teladani. Dia mempunyai semangat dan tawakal yang tinggi kepada Ilahi. Setiap patah katanya kadang-kadang mempunyai gurau yang tidak disangka namun kadangkala mempunyai makna mendalam sekali. Pergantungan hidup kepada Ilahi menjadi salah satu aturan yang sentiasa Balqis terangkan kepada saya ketika kami sama-sama menuntut di Politeknik dahulu.

“Ikan berzikir ni tanda mereka juga menyatakan kebesaran Ilahi ke atas penciptaan mereka.” Balqis menambah semangat saya.

“Okey ustazah Balqis, jom kita ke pondok.”

Balqis senyum kemudian memandang saya. Berikan idea bernasnya. “Pertama, aku rasa kan kau kena dan wajib menukarkan pondok kau ni. Jadikan tempat untuk beristirehat yang lengkap. Nampak tak sesuai untuk kau lah Aisya.”

“Memang tu dalam perancangan aku dan Hisham pun. Tapi kenalah kita tunggu bantuan dari Agro Bank diluluskan, kemudian kita akan dirikan. Oh ya, lagi 4 hari, kita boleh dapat hasil pertama untuk kolam yang ini. Ikan pun dah boleh dijual. Nampaknya tugasan pertama sedang menanti kau Balqis.” Angkat kening. Balqis senyum aje.

“Alhamdulilah. Aku memang tak sabar nak tangkap ikan kau kat dalam kolam tu. Manalah tahu ada putera katak ke...hehehe.” Tambahnya dengan ketawa dan kami memulakan tugas dan sebahagian kerja mengenai kolam ternakan saya terangkan secara terperinci kepada Balqis. Selok belok kolam dan beberapa tugasnya saya terangkan secara perlahan. Takut dia terkejut dengan suasana baru di sini dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Balqis memang sebati dengan suasana sebegini. Jadi, itu memberikan kredit kepada saya memilihnya menjadi pembantu untuk menguruskan kolam. Saya mahu orang kedua yang mahu bersama dengan saya. Orang kedua yang boleh berdiplomasi dan memahami setiap kemahuan saya.

Tetapi dalam tempoh enam bulan, masa akan berlalu dengan cepat sekali. Saya harus memikirkan juga siapa yang akan menggantikan Balqis enam bulan dari sekarang.

Minggu ini penglibatan penuh Balqis dan saya kepada kolam harus penuh komited. Saya mahu Balqis membantu saya mengendalikan ikan yang akan dijual kepada pemborong. Urusan jual beli saya uruskan kepadanya. Semua nama pemborong telah saya kenal pasti. Saya mahu mengalihkan perhatian kepada pembinaan kolam kedua dan kertas kerja pembiayaan kewangan.

Balqis memberi ikan makanan. Kemudian dia menarik pelepah kelapa yang memenuhi di kawasan kiri kolam. Saya sudah lama terpacak di sebelah kolam, memandang tanah yang akan memuatkan kolam kedua saya. Tapak sudah saya bersihkan sedikit. Saya percaya, permohonan akan diluluskan. Esok saya akan ke Agro Bank. Saya akan pergi tanpa Hisham. Itu nekad saya.

“Kau pergi ajelah sorang-sorang Aisya. Jangan harapkan sangat Hisham tu. Eeee, sikit-sikit minta tolong dia. Sekarang, kau kena buat sendiri. Jangan harapkan dia dan orang lain.” Balqis membebel sudah macam mak nenek.  “Mana tahu untung-untung dapat jumpa abang Najmi ke.”

Eeee...dia ni kan!

20 Mac 2013

Dia, Cinta Hati Saya ! 2






Pertemuan pertama saya dengan dia. Saya akan mengingati saat itu sampai bila-bila. Pagi itu. Ya. Saya mengenakan skirt paras lutut dan blouse kesayangan yang ibu belikan di Paris.Semangat membara-bara juga pagi-pagi begini ke tempat kerja.Berharum-haruman dan calitkan lipstik berwarna merah jambu. Bibir semestinya akan saya pastikan berkilat dan berwarna.

“Dina balik lewat sikit ya ibu. Dina keluar makan dengan Fendi.” Saya senyum lebar-lebar. Ibu angguk kerana maklum hubungan istimewa kami. Dan dengan pantas saya menyalam ibu. Menciumi pipi ibu dan melambai ibu. Hari ini kerja separuh gilalah nampaknya di pejabat dan kemudian bercanda ria bersama Fendi. Seronoknya hidup begini kan? Pergi kerja kemudian petang bersama teman-teman. Tak balik ke rumah dan terus membawa ke malam ditemani Fendi.
Saya, Majdina Binti Mahadi yang sentiasa mahu mencintai dan dicintai. Jika Fendi berubah hati dan tidak mahu berkomitmen, saya akan cari lelaki lain. Bak kata Juwita, saya ini satu yang pergi, sepuluh lelaki akan datang dan menyerah diri kepada saya.

Kata ibu lagi, saya akan nampak lebih cantik dengan melepaskan rambut separas pinggang ini. Tetapi hari ini, getah di pergelangan tangan melekat ketika saya memandu. Ah – sesekali nak jugak saya melepaskan rambut ini begitu saja. Rimas juga dengan rambut saya ini. Ibulah! Sebab ibu mahu saya bela bagi ia panjang lagi. Eee, Dina rimas okey! Dina rimas!

Puas juga ibu memujuk saya dan kerana sayangkan ibu jugalah saya membela rambut ini sampai panjang ke paras pinggang. Kereta berdentum-dentum dengan lagu rancak. Pagi-pagi begini jalan di tengah kotaraya memang sibuk betul. Sesak sana dan sini.

Tetapi kerana ditemani dengan lagu-lagu rancak ini, apa pun saya tidak hairan. Sesaklah bagaimanapun. Cadbury Blackforest pantas menjadi teman. Mulut mengunyah lagi !

Kereta berhenti. Sesak lagi. Saya toleh ke kiri. Sebuah motosikal EX5 di bawa oleh seorang lelaki. Sikit pun saya tak hairan. EX5, Honda sahaja, okey ! Kepalanya ditutup dengan helmet berwarna putih. Motosikalnya pantas bergerak ke kanan dan mahu mencelah di depan kereta saya.
Sekelip mata semuanya berlaku! Dan ketika mata saya bertembung dengan wajahnya yang tenang itu. Mata saya dan matanya bertentang kali pertama. Dia terkejut! Entah kenapa saya berdebar-debar dan.. dan.. dan.. kaki saya terus menekan minyak.

Berdentum!

Dia jatuh tergolek dan mujur tidak dilanggar motosikal lain. Panik! Saya berhentikan kereta di tepi jalan raya dan segera meluru ke arahnya yang sedang berbaring tanpa sesiapa yang sudi membantu. Hanya saya dan dia. Orang lain hanya memerhati dan malas mahu masuk campur.
“Maafkan saya ya. Tak perasanlah tadi.” Saya pantas memegang lengannya dan dia menolak jemari ini. Tubuhnya yang berbaring cuba dibangunkan sendiri. Sombongnya dia ni. Dia tolak lagi jemari saya yang kali kedua cuba untuk membantunya.

“Oh tak apa. Tak apa. Saya okey. Saya yang salah. Saya yang salah...” Ulasnya dan cuba untuk bangun. Matanya sikit pun tidak memandang saya. Saya ikat rambut yang menyusahkan saya merubah gerak kepala. Dalam detik mencemaskan inilah, rambut ini sebenarnya menjadi salah satu perkara yang menyusahkan pergerakan saya. Eeee, rimaslah, ibu!

Sekarang, siapa yang bersalah. Saya atau dia?

Dia gagahkan diri untuk tegak berdiri dan terus membuka helmetnya.Entah mengapa dan kenapa untuk kali pertama dalam hidup saya – Jantun berdegup kencang dan hebat sungguh degupannya. Kenapa dengan anak ibu ini ya? Matanya sepet-sepet tapi bila dia menahan sakit dan reaksinya itu buat saya rasa sesuatu. Entahlah hati ini.

Dia tersenyum sambil menunjukkan tapak tangannya yang sedikit berdarah. Kemudian mata dia memandang motosikalnya yang terbaring dan pantas dia membetulkan motosikalnya. Menolaknya betul-betul di tepi jalan raya dan memarkir di sebelah kereta mewah saya. Saya keluarkan tisu di dalam beg dan hulurkan kepadanya. Dia ambil perlahan dan tersenyum lagi. Kenapa hati saya tenang melihat wajahnya ini? Saya sambut senyumannya dan gariskan senyuman manis.
“Saya minta maaf ya.” Tambah dia dan saya tersenyum dengan kegelabahannya ketika memandang saya. Bila dia cuba memandang saya untuk kali kedua, cepat-cepat dia alihkan anak matanya.

Bukankah sudah saya katakan dengan semua yang saya ini memang seksi? Dan saya ini cantik jelita orangnya. Ini masa yang tepat untuk saya menggoda dia. Masa paling dekat dengan lelaki sebegini selalunya saya gunakan dengan sebaik-baiknya.

“Oh, tak apa. Saya yang salah.” Saya pula tiba-tiba berdiplomasi. Kerana sebelum ini, sudah enam kali kemalangan kecil seperti ini dengan motosikal. Sayalah orangnya yang paling melenting! Bergaduh, terpekik terlolong sampai kemenangan akhirnya berpihak di tangan saya. Eh, kenapa hari ini Majdina boleh tertewas ya? Tetapi entah kenapa tika detik ini jiwa terus jadi cair dan darah menyerbu ke dada apabila terpandangkan wajahnya ini. Siapa dia?

Dia pandang cermin kereta saya yang pecah dan ketika mengesat darah yang mengalir di tapak tangannya, dia buka dompet. Sekelip mata not lima puluh ringgit di halakan kepada saya. “Saya ada lima puluh ringgit sahaja. Kalau tak cukup nanti saya bank-inkan lagi. Awak bagi nombor akaun ya. Saya yang salah. Saya yang tak perasan masa membelok tadi. Habis pecah cermin kereta awak. Ambillah.”

Automatiknya, saya mengambil not lima puluh ringgit berkenaan. Jantung saya terus berdebar-debar. Saya pulas memerhatikan dia menghidupkan kembali motosikalnya. Enjinnya diam dan saya nampak mulutnya terkumat-kamit.

“Saya kena berzikir banyak-banyak nampaknya ni! Ya Allah! Apalah dosa kecil saya hari ini?” Bibirnya menguntum senyum yang mendebarkan jiwa saya. Sedikitpun dia tak mengeluh. Kalau Majdina, harus diterajang sahaja motosikal yang tak bernyawa itu. Ish!

“Saya hantarkan awak ke pejabat.Letak sahaja motosikal tu kat tepi. Nanti awak ambillah bila-bila masa ya. ” Saya memandang lagi matanya yang kejap-kejap tunduk memandang jalan raya.
Tisu dikesat lagi. Dia gelengkan kepala. “Eh, segan saya. Tak apa lah. Saya boleh suruh kawan jemput saya.”

“Eh tak apa. Dina hantarkan. Ala, sekejap aje pun.Kita berdua tengah buat jalan sesak sangat ni. Untuk sekali ni je. Jom.” Mata meliar memerhati jalan raya yang semakin sibuk. Waktu puncak begini, kami menjadi tontonan umum pula.

Beberapa minit saya memujuk dan dia mencuba lagi menghidupkan enjin motosikalnya. Kawannya dihubungi tapi tidak berjawab panggilannya. Dia nampak putus asa sekali. Kasihan sungguh apabila saya melihat kemeja lusuhnya yang terkoyak.

Akhirnya selepas kali kelima saya memujuknya, dia angguk bersetuju dengan lesung pipitnya terserlah diam-diam di pipi kanannya. Itulah yang membuatkan jantung saya terus berdegup kencang. Saya terkebil-kebil merenung akan dirinya. Dia pula macam nak melarikan diri pun ya. Majdina ni memang, suka menggoda kan?

Hening sahaja suasana di dalam kereta. Kesan cermin kereta yang sedikit pecah, sikitpun tak mengganggu keadaan saya ketika ini. Dia di sebelah saya ini, diam sahaja. Sepuluh patah saya bertanya dan cuba mengajaknya berbual-bual, sepatah sahaja dia menjawab. Dia hanya tunduk dan angguk. Kadang-kadang gelengkan kepala. Semudah itu sahaja jawapannya.

Yang saya tahu mengenainya hanyalah dua perkara:

Satu – “Errr..saya kerja kat pejabat pos tu. Turunkan saya kat situ pun takpe.” Jarinya sopan menunjukkan sebatang pohon rendang menjadi teduhan beberapa buah motosikal.

“Nama awak apa? Saya Majdina. Panggil Dina.” Rasa semarak cinta di jiwa.

Dua – Jawapannya bernada santun. Lembut mengawal suara. Perkenalan akhirnya tercipta. Antara saya dan Dia.“Nama saya Zain. Zain.”
Keadaan di dalam kereta terasa indahnya membawa pergerakan darah yang mengepam-ngepam lancar. Bila dia menyebut nama ringkasnya itu, saya menyebut berkali-kali di hati. Meniti di bibir dan jiwa. Inilah detik pertemuan pertama antara saya dan dia. Antara Majdina dan Zain yang menjadi mimpi indah saya. Zain. Zain. Zain.

Yang saya tahu, debaran ini pertama kali berlaku dalam sejarah hidup saya. Bukan ketika saya berdiri di hadapan Fendi, Tengku Khalid, Aidil atau Shamsul.Tetapi kerana namanya Zain dan kerana lekuk lesung pipit dan mata sepetnya itu.

Saya juga akan mengingati saat dia membalas senyuman saya ini. Dia ucapkan terima kasih dan memohon sekali lagi akaun bank saya. “Kalau ada akaun bank mudah untuk saya bank-in kan duit lagi. Mesti mahal harga cermin ni ya?”

Saya gelengkan kepala. Rasa mahu bertemu lagi dengan dia dan bukan menerima duit dari Zain melalui sistem internet banking itu. Dari mana datangnya pemuda ini? Mengapa matanya tidak langsung melihat peha gebu yang terserlah ketika saya sedang memandu tadi?

Zain. Wajahnya kerap kali juga muncul dalam mimpi saya. Dan saya ternampak-nampak wajah manisnya dengan senyuman mahal itu. Majdina, apa yang terjadi dengan hati ini, ya?

14 Mac 2013

Puisi Yang Bercerita




Memuji AsmaMu,
Meninggalkan rasa gelisah dengan Tawakal
KepadaMu

Dan bertasbih.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Mencari diri dan kekurangan,
Merenung nikmat yang telah diKau beri
Dengan rasa Hamba.

Mujahadah yang terlewat,
Rasa kehilangan,
Rasa keseorangan,
Rasa kekhilafan.

Diganti dengan Istiqamah.
Perjalanan mengemudi diri bermula.
Kembara.
Mujahadah melawan nafsu.
Mujahadah meniti titian perjalanan dunia.

Dan ingatlah bahawa dunia ini memang penuh dengan cerita.
Ceritanya yang akal kekal di akhirat sana