Malam yang memberi makna. Balqis dah pun kenyang
menikmati makan malam di rumah. Emak tidak putus-putus melayaninya. Ayah nampak
sedikit sihat dan Hakim seperti biasa menghabiskan masa dengan bukunya. Diana
sudah lena dengan neneknya.
Mulut Balqis pulak tak putus-putus memuji kebaikan
dan handsome Abang Najmi. Gila apa
dia?
Huh…!
“Janganlah kau berangan dengan Abang Najmi. Mana
dia pandang budak-budak kampung macam kita ni Qis!”
Balqis
jelirkan lidah. “Kau ni Aisya. Tak prihatin langsung, siapa kata lelaki bandar
dan moden tak perhatikan kita-kita ni? Lagipun, dia tu aku tengok suka sangat
perhatikan kau Aisya.”
“Dah-dah, amboi dia! Jangan sebut nama Abang
Najmi, datuk itu ke, datuk ini ke. Dah-dah, I tak rela!” Saya sudah
bercakap suara manja. Balqis ketawa sampai bersisa menerobos masuk ke dalam
gegendang telinga.
Iri hati juga mendengar kisah Balqis yang akan
menyambung pengajiannya dalam Ijazah Pendidikan dan akan bergelar guru.
Cita-citanya mahu menjadi pendidik. ”Aku nak jadi cikgulah Aisya.” Mata Balqis
bercahaya. Doa-doa saya titipkan dalam jiwa agar cita-cita sahabat baik saya
ini termakbul.
“Mudah-mudahan Qis, aku doakan kau. Jadi cikgu yang luar biasa.”
“Haaa...lepas aku sambung study, kau mesti
mencari pembantu lain jugak untuk
uruskan kolam ni.” Balqis sambung membebel. “Ala, lagipun dari aku belajar kat politeknik
dulu, minat aku dah memang nak jadi cikgu. Warisi bakat terpendam arwah datuk
aku dulu.”
Saya sengih. Mencerunkan mata menjamah hidung
mancung si Balqis. “InsyaAllah, ada rezeki untuk kau Qis. Permohonan kau tu
mesti diluluskan. Aku yakin, graduan
bijak pandai dan dapat anugerah Dekan macam kau ni semestinya jadi pilihan.”
Balqis tarik nafas. Senyum manja. “6 bulan kat
sini, aku nak cari pengalaman di kampung orang, cari kenalan dan menyambar mana
yang ada.” Dia terkekeh-kekah ketawa. Sempat pulak dia ni bergurau-gurau
memikirkan perkara lain.
“Pandai-pandai jaga diri di sini ya, Cik Balqis. Ewah-ewah, sambil menyelam sempat minum air
nampaknya ya?” Berbalas jiwa akhirnya dengan Balqis.
“Aisya... kita sekarang kena mencari calon suami
yang sesuai. Kena pilih yang terbaik. Setiap calon kita mesti tapis, macam kita
tapis air kopi. Semestinya kita mencari calon suami yang terbaik untuk diri
kita, kan?” Balqis mula menambah hujah.
“Ikan memang banyak kat sini. Kalau kau teringin
sangat...haaaa pilih aje mana satu. Tak perlu tapis-tapis, ikan kat dalam kolam
aku ni semua gemuk-gemuk. Pakai jala aje
untuk tangkap.” Haaa....usik-mengusik menjadi teman kini.
Kami ketawa. Mengimbau kenangan lama kami berdua
dan sambil menyiapkan beberapa kerja, hidangan mee goreng dari emak menjadi
jamuan kami berdua. Air kopi dalam termos masih panas untuk dinikmati.
Saya kemudian menunjukkan kertas kerja bantuan
kewangan Agro Bank kepada Balqis. “Hampir siap, dan lusa aku akan pergi Bank untuk tunjukkan kertas kerja ni
kat Hisham. Kita doakan semoga semua urusan dipermudahkan. Amin.” Saya senyum
dan duduk rapat dengan Balqis. Aroma mee goreng emak terus merancakkan
perbualan kami.
“Aku akan doakan untuk kau Aisya. Semoga
diluluskan. Ikan-ikan kat dalam kolam kau tu pun sedang berzikir tau, Aisya.””
Saya senyum senang dan perbualan kami berdua terus
bersambung sampai membawa ke tengah malam. Balqis yang saya kenal. Gadis yang cekal
jiwa dan hatinya. Kematian ayah dan ibunya ketika kami menduduki peperiksaan
akhir semester. Akibat kemalangan ngeri di Lebuhraya. Dia menghabiskan ayat
terakhirnya dan kemudian terus berlari keluar ketika menerima berita kematian
ibu dan ayahnya. Saya menemuinya di belakang perpustakaan. Dia senyum dan
kemudian tanpa saya pinta, Balqis memeluk saya dengan linangan air mata yang
paling hangat pernah dirasakan.
***
Burung-burung menyambut kedatangan kami. Angin
sepoi-sepoi. Pepohon saya lihat menghijau dengan tenangnya dan kemudian kolam
berbisik riang. Air kolam beralun tenang dengan angin membawa ketenangan. Ikan
semakin membesar dengan membawa seribu harapan kepada saya.
“ Cuba kau tengok. Alam pun pandai berzikir kepada
Tuhan.” Balqis memulakan bicara.
Saya senyum dan memahami setiap katanya. Wanita
ini harus saya teladani. Dia mempunyai semangat dan tawakal yang tinggi kepada
Ilahi. Setiap patah katanya kadang-kadang mempunyai gurau yang tidak disangka
namun kadangkala mempunyai makna mendalam sekali. Pergantungan hidup kepada
Ilahi menjadi salah satu aturan yang sentiasa Balqis terangkan kepada saya
ketika kami sama-sama menuntut di Politeknik dahulu.
“Ikan berzikir ni tanda mereka juga menyatakan
kebesaran Ilahi ke atas penciptaan mereka.” Balqis menambah semangat saya.
“Okey ustazah Balqis, jom kita ke pondok.”
Balqis senyum kemudian memandang saya. Berikan
idea bernasnya. “Pertama, aku
rasa kan kau kena dan wajib menukarkan pondok kau ni. Jadikan tempat untuk beristirehat yang lengkap.
Nampak tak sesuai untuk kau lah Aisya.”
“Memang tu dalam perancangan aku dan Hisham pun.
Tapi kenalah kita tunggu bantuan dari Agro Bank diluluskan, kemudian kita akan
dirikan. Oh ya, lagi 4 hari, kita boleh dapat hasil pertama untuk kolam yang
ini. Ikan pun dah boleh dijual. Nampaknya tugasan pertama sedang menanti kau
Balqis.” Angkat kening. Balqis senyum aje.
“Alhamdulilah. Aku memang tak sabar nak tangkap
ikan kau kat dalam kolam tu. Manalah tahu ada putera katak ke...hehehe.” Tambahnya dengan ketawa dan
kami memulakan tugas dan sebahagian kerja mengenai kolam ternakan saya
terangkan secara terperinci kepada Balqis. Selok belok kolam dan beberapa
tugasnya saya terangkan secara perlahan. Takut dia terkejut dengan suasana baru
di sini dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
Balqis memang sebati dengan suasana sebegini.
Jadi, itu memberikan kredit kepada saya memilihnya menjadi pembantu untuk
menguruskan kolam. Saya mahu orang kedua yang mahu bersama dengan saya. Orang
kedua yang boleh berdiplomasi dan memahami setiap kemahuan saya.
Tetapi dalam tempoh enam bulan, masa akan berlalu
dengan cepat sekali. Saya harus memikirkan juga siapa yang akan menggantikan
Balqis enam bulan dari sekarang.
Minggu ini penglibatan penuh Balqis dan saya
kepada kolam harus penuh komited. Saya mahu Balqis membantu saya mengendalikan
ikan yang akan dijual kepada pemborong. Urusan jual beli saya uruskan
kepadanya. Semua nama pemborong telah saya kenal pasti. Saya mahu mengalihkan
perhatian kepada pembinaan kolam kedua dan kertas kerja pembiayaan kewangan.
Balqis memberi ikan makanan. Kemudian dia menarik
pelepah kelapa yang memenuhi di kawasan kiri kolam. Saya sudah lama terpacak di
sebelah kolam, memandang tanah yang akan memuatkan kolam kedua saya. Tapak
sudah saya bersihkan sedikit. Saya percaya, permohonan akan diluluskan. Esok
saya akan ke Agro Bank. Saya
akan pergi tanpa Hisham. Itu nekad saya.
“Kau pergi ajelah sorang-sorang Aisya. Jangan harapkan sangat Hisham tu.
Eeee, sikit-sikit minta tolong dia. Sekarang, kau kena buat sendiri. Jangan
harapkan dia dan orang lain.” Balqis membebel sudah macam mak nenek. “Mana tahu untung-untung dapat jumpa abang
Najmi ke.”
Eeee...dia ni kan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan