Pages

29 Oktober 2010

Catatan Mardihah Adam

Hari ini, Andai Gerimis Berhenti sudah terbit. Namun saya lewat memberikan catatan ini kepada editor untuk dimuatkan di atas kepingan kertas di dalam novel berkenaan. Jadinya, saya mampirkan catatan ini di blog untuk semua yang sudi membaca.

Terima kasih untuk semua.


Ilham ternakan ikan air tawar yang saya garap di dalam novel Andai Gerimis Berhenti ini, bermula dan bermain di minda saya selepas ayah yang tersayang membuka kolam ternakan ikan keli secara kecil-kecilan di Kampung Sri Tanjung, Masjid Tanah Melaka. Bahkan saya kagum walaupun selepas berpencen dari membawa lori, ayah masih mampu mencari rezeki untuk kami adik beradik. Naskah ini juga khas dan teristimewa untuk emak yang paling saya kasihi. Saya membawa kekaguman kepada emak yang sehingga sekarang masih membuat kuih muih untuk jualan setiap pagi di gerai yang banyak memberi kenangan kepada diri. Ya, kerana kenangan dan bersandarkan pengalaman sendiri maka saya titipkan di dalam Andai Gerimis Berhenti. Kisah di dalam karya ini adalah tanda kasih sayang untuk ayahanda dan bonda untuk segala pengorbanan yang tidak ternilai dan tidak mampu saya balas.

Permulaan dan penerimaan editor PTS terhadap novel pertama saya, Lukisan Jiwa memberikan sesuatu yang istimewa dalam perjalanan karier saya sebagai penulis separuh masa. Saya belajar memperharui kesilapan dan sentiasa membaca bagi mencari panduan menulis yang baik untuk menghasilkan manuskrip ini.
Semoga kalian tenang menatap novel ini. Cita-cita ini tidak akan termakbul tanpa izin dari Allah SWT yang memberikan ilham berpanjangan. Doakan untuk saya agar ilham berterusan dan dipanjangkan untuk kebaikan diri saya dan kalian. Saya juga amat percaya untuk berjaya saya dan kita semua perlu banyak belajar dan menerima kesalahan diri serta memperbaikinya.

Terima kasih kepada PTS, editor yang banyak memberikan masa dan tunjuk ajar, bonda, ayahanda & keluarga. Juga teman yang banyak memberikan sokongan. Suami, Mohd Rustham Bin Abdul Rahman yang sentiasa memahami tentang diri. Terima kasih kerana mencintai diri yang sederhana ini.

Selamat membaca dan menyelami Andai Gerimis Berhenti. Nantikan juga sambungan kisah ini kelak. Teruja? Nantikan ya!

Mardihah Adam.

28 Oktober 2010

20102010 @ 20:10


Gambar kami ketika sama-sama menuntut di Jitra. Ini kami, DAHULU.


Ini kami sekarang. Dari kiri, Nawal, As, Kak Fid, Dihah dan Inda. Gambar ini tanpa Laily kesayangan diri.


5 tahun dahulu, kami pernah berjanji untuk berjumpa semula pada 20102010 tepat jam 20:10. Ya, kami berenam. Sahabat semasa di dalam kuliah, semasa duduk bersama di asrama, ketika pengajian di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra Kedah.

Dihah, Kak Fid, Inda, As, Nawal dan Laily.

Ya, saya senang berdampingan dan duduk rapat dengan mereka. Saya dekat di hati
mereka walau ketika di zaman kuliah dahulu boleh dikategorikan saya pimpinan asrama yang garang dan berbeza sedikit dari segi fesyennya.Ia sama sekali tidak menjurangkan persahabatan kami. Saya tidak memilih kawan. Malahan, apabila berkawan saya boleh sahaja menjadikan mereka yang paling intim dengan saya. Faktor pemakaian langsung tidak menjadikan tema 'aku dengan caraku'. Yakah? Kerana dalam berkawan, ketika itu kita boleh sama memperingatkan sesama antara kita. Kita boleh berdakwah dalam apa juga cara. Itu simboliknya.

Pertemuan kami tidak banyak yang berubah. Dari segi bentuk badan, As sudah kurus teramat sangat. Dihah pula, sudah ada gelaran istimewa iaitu : Puan. Cuma Tuhan belum katakan ya untuk Dihah menimang cahaya mata. Mungkin Allah itu Maha Mengetahui segala-galanya. Inda dan As, tidak lama lagi bergelar isteri. Kami masih menanti rentak Nawal, Kak Fid dan Laily. Dihah juga tak sabar mahu makan nasi minyak kawan-kawan.

Cuma sedikit kecewa kerana malam istimewa itu, Laily tidak turut serta kerana terlibat dengan acara rasmi Melaka Maju 2010. (Cis, hang menjadi kesayangan Ali Rustam rupanya, ya!)

Gembira, kerana faktor pertama suami membenarkan saya untuk bersama dengan mereka. Janji yang harus saya tepati, maka saya mengkhabarkan perkara gembira ini kepada semua teman.

Kami akhirnya bertemu. Terima kasih Inda kerana mengambil kami semua. Dari Bandar Tun Razak : Dihah, As dan Inda terus ke Bandar Tasek Selatan bertemu Nawal kemudian ke Shah Alam mengambil Kak Fid pula. Bau ayam goreng di dalam kereta dari haruman rumah Kak Fid membuatkan perut bertambahlah lapar. Ohh, terbayangkan ikan siakap tiga rasa pula.

Kami bertolak ke Pelabuhan Barat. Punyalah jauh sampai sesat entah ke mana-mana. Bertemu dengan beberapa orang bertanyakan di manakah Tanjung Harapan. Khabarnya, Tanjung Harapan itu tersangatlah jauh dengan hidangan mata kami bersama lori-lori dan kontena yang besar-besar gajahnya. Bak kata orang putih, so scary.

Pusing beberapa kali, akhirnya kami tidak ke Tanjung Harapan. Ia hanya tinggal harapan dan harapan sahaja. Akhirnya menapak kami di Restoren De' Selat. Makanan? Memang sedap dan menyelerakan. Tak rugilah kami meninggalkan impian ke Tanjung Harapan.

Ngee~~~

Okey, kita cerita sikit menu yang kami pilih. Ketam masak cili. Siakap 3 rasa, tom yam seafood, Telur dadar, Sotong goreng tepung, dan sayur kailan. Juga sejug fresh orange. Menghadap makanan yang sungguh sedap sekali sambil bercerita tentang kisah-kisah lama. Kawan-kawan juga sempat melihat album kahwin Dihah dan suami. Dihah malam itu, makan tidak ingat diet. Sotong goreng tepung memang
menyelerakan. Kami pula bercerita apa sahaja. Kemudian bergambar kenangan.


Lauk pauk yang sudah terhidang. Mari serang!

Sesi pertukaran hadiah berlaku secara rasmi kerana kami berjanji untuk saling bertukar hadiah. Nawal dan Laily..kami tuntut ya!

Gambar yang dipaparkan memberi makna kepada diri. Paling utama, kenangan dan erti persahabatan. Dihah akan ingat kenangan kita bersama. Entah kenapa Dihah rasa dihargai apabila menjadi sahabat kalian semua.



Habis daaaaaaa......sedapnya..

Nota kaki : Namun perlu kita ingat, kawan ketawa mudah kita cari. Kawan kesedihan dan duka mungkin tiada sesiapa. Paling utama,kawan ada berbagai jenis kawan. Mungkin akan bertukar menjadi lawan.

Gambar? InsyaAllah,nanti Dihah akan 'upload'kan .

27 Oktober 2010

Masuk gudang

Dicuplik dari universitipts.

Senarai Judul Dijangka Masuk Gudang PTS Minggu Ini

Berikut adalah judul buku yang dijadualkan masuk gudang PTS minggu ini:

JUDUL BARU
1. Dear Yayah: The Comics 2 (8000 unit)
2. Koleksi Nama Anak Terindah (8000)
3. Kamilah Kembar Diraja (5000)
4. Andai Gerimis Berhenti (3000)

JUDUL ULANG CETAK
1. Aisyah: Keanggunan Sejati (1500)
2. Abu Bakar: Sahabat Sejati (3000)
3. Hidup Kaya Tanpa Riba (2000)
4. Buat Duit Dengan MLM (2000)
5. Berubat Dengan Solat (3000)
6. Mengurus Acara Rasmi Sekolah (1000)
7. Kaedah Mengajar & Kemahiran Interpersonal Guru (1000)

NOTA: Senarai ini disediakan oleh Puan Miliza Mohd. Ghazali, eksekutif produksi di jabatan editorial PTS.

22 Oktober 2010

Blog Baharu

Salam semua.

Maaflah, sekarang memang saya sedang uruskan blog yang berwajah baharu ini. Mudah untuk saya muatkan senarai buku tulisan sendiri di sebelah kanan atau kiri blog ini.

Warna biru dan merah jambu!Waaa

Tak pernah sekali saya membayangkan blog bertukar kepada warna ini, tapi nampak ceria juga untuk memberikan semangat kepada saya menulis laju-laju di dalam blog sendiri. Itulah, nanti saya mahu pujuk suami untuk kami dapatkan wireless broadband untuk peribadi. Bukan tak mahu beli, tapi jika ada saya takut tidak menulis dan asyik sahaja dengan internet. Takpun asyik berfacebook sahaja agaknya.
Ngeee~~. Blog akan lebih santai. Memasuki era baru cerita-cerita peribadi, kisah-kisah penulisan lebih utama juga saya akan menulis apa sahaja yang saya suka.

Nota kaki : 5 tahun yang lepas, Dihah dan kawan-kawan pernah berjanji untuk berjumpa semula pada tarikh keramat 20102010 jam 2010. Haaaa..mahu tahu aktiviti kami? Nanti Dihah akan layarkan kepingan-kepingan gambar kami semua.

Dihah tak sabar tunggu 29 Oktober ini. Buku kedua akan terbit. Yeay!

05 Oktober 2010

Jalur Warna Andai Gerimis Berhenti



Terima kasih atas kata-kata indah untuk Andai Gerimis Berhenti.Komentar dari beberapa penulis mengenai novel ini.

"Seperti pelangi, karyanya ada warna-warninya! Disebalik warna lembut seorang
gadis Muslim dengan akhlak serlah, ada warna kental dan perjuangan
ekonomis. Saya lantas menyimpul Nur Aisya adalah Khadijah Khuwalid dunia
moden; seorang muslimah ideal!"
Ilham Hamdani - Penulis Bara Cinta Canberra.

“Senang sekali dapat membaca buah tangan terkini Mardihah Adam. Alir fikirnya terkawal, lantunan ideanya tenang dan garapan bahasanya lancar. Perincian kekuatan wanita dari kaca mata pengarang wanita mungkin sesuatu yang biasa, namun hakikatnya hanya wanita yang mengenali wanita. Kekuatan mental wanita yang bersendikan iman dan amal akan menjadikan karya yang berteraskan karakter Muslimah lebih menyerlah. Demikianlah Nur Aisya dalam Andai Gerimis Berhenti mengangkat citra Muslimahnya sebagai wanita yang tahan diuji kerana sandarannya semata-mata kerana Allah”
Salina Ibrahim – Penulis Novel Bukan Yang Pertama.

“Gerimis pasti berhenti. Namun pembacaan terhadap novel ini sukar untuk berhenti. Menanti gerimis berhenti barangkali satu penyiksaan, sebaliknya membaca novel ini adalah satu pengalaman mendamaikan. Andai Gerimis Berhenti tidak sesekali membiarkan sukma pembacanya sekadar terbuai dengan indahnya mahabbah, tetapi membangun sebagai insan yang lebih kental jiwanya mendepani hari-hari mendatang” Tuan Zaid Akhtar, Penulis Novel Bestseller, Salju Sakinah

"Dari jalur-jalur warna pelangi sebuah Lukisan Jiwa. Kini tumbuh pula benih magis cita-cita dan cinta yang sarat rimbun dengan buah emas perjuangan. Andai Gerimis Berhenti akan membawa anda ke sebuah daerah semangat yang tiada tara.”
Haris Hauzah, Penulis blog tegar http://harishauzah.blogspot.com

01 Oktober 2010

Andai Gerimis Berhenti, Lahir Sudah!



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdullilah.

Itu ungkapan pertama kali di bibir ini apabila akhirnya novel kedua saya akan terbit pada 26 Oktober 2010. Ya, inilah dia kaver novel Andai Gerimis Berhenti I. Ia novel pertama dwilogi kerana sambungannya sudah saya siapkan dan kini di tangan editor. Khas untuk semua yang membaca blog ini, menyinggah atau memang selalu membaca dan mengikuti perkembangan saya. Ini hadiah selepas Aidilfitri sebenarnya. Memang jangkaan saya ia terbit di bulan Oktober kerana memahami tugasan editor dan penyusunan banyak lagi manuskrip penulis lain. Namun, saya tetap mengharapkan ia terbit dengan baik, diedit dengan ketenangan dan hasilnya memuaskan. Biarpun novel ini terbit lewat dari jangkaan saya iaitu pada bulan Ogos 2010. Namun ia tetap akan terbit dengan penuh jiwa dan gembira.

Saya terasa semua udara nyaman menyelubungi dan semangat semakin membara. Terasa bayangan watak utama di dalam novel ini iaitu Nur Aisya Binti Mohd Jamil dan Najmi Bin Dato’ Ismail berlari-lari tenang sambil mengejar burung camar yang akhirnya terbang tinggi. Terpandangkan segala senyum watak-watak yang saya dalami di dalam novel ini.

Selepas ini, saya akan lebih berusaha dan mendalami malah menekuni bidang penulisan dengan lebih tekun. Mahu yakin dan berusaha menghasilkan manuskrip yang terbaik untuk menjadi bahan bacaan kepada semua. Pastinya saya mahukan novel yang kalian baca adalah novel yang memurnikan masyarakat dan fikiran.

Baiklah, berbalik semula kepada kaver ini? Puas hati. Semestinya saya suka! Cantik dan menarik sekali. Buat saya mahu pandang ia lama-lama dan bawa ia tidur sekali. Ya, kerana sang lelaki itu seperti Andrea Hirata, penulis yang menulis Laskar Pelangi dengan begitu baik. Ya, Andrea adalah seorang penulis yang berjaya mengangkat novelnya ke filem yang berjaya di Indonesia. Novelnya yang begitu saya sayangai dan antara koleksi novel kesayangan saya kini. Tidak sangka pula, saya teringatkan dirinya apabila terpandangkan kaver lelaki di dalam novel ini. Ha ha ha.

Selendang di lehernya, ada gaya-gaya Faisal Tehranikah? Atau itu hanya pandangan sisi saya sahaja. Mungkin kerana sifu FT adalah penulis kegemaran saya maka adakah patut saya menyamakan gambaran dan ilham pencipta itu sama dengan gambaran saya? Sekali lagi saya mahu ketawa. Ha ha ha. Semestinya lain, bukan? Dan pembaca ada penilaian masing-masing, bukan?

Tahniah saya ucapkan kepada pelukis grafik dan pereka kulit PTS. Saya bagi empat bintang untuk kaver menarik ini. Gambaran watak heroin saya, Nur Aisya juga dipamerkan dengan sungguh santun. Namun Aisya sebenarnya wanita cekal yang mengharungi perjalanan kolam ternakan ikan kelinya. Pendek kata, saya sukalah!
Juga terima kasih kepada editor perolehan dan pengurusan PTS yang bertungkus lumus. Saya menantikan ia berada di dalam tangan dan mahu membawa ia tidur sekali. Terasa jerit perih saya menulis, mencari bahan dan seterusnya membuat pruf sebelum menyerahkan kepada editor berbayar dengan begitu bernilai sekali. Kepuasan dan memang jelas dalam mata saya, kini. Sehingga saya tidak sabar menanti pula novel dwilogi sambungan AGB ini diterbitkan.

Akhir kalam dari saya, semoga kalian tenang menatap novel ini. Cita-cita ini tidak akan termakbul tanpa izin dari Allah SWT yang memberikan ilham berpanjangan. Doakan untuk saya agar ilham berterusan dan dipanjangkan untuk kebaikan diri saya dan kalian. Saya juga amat percaya untuk berjaya saya dan kita semua perlu banyak belajar dan menerima kesalahan diri serta memperbaikinya.

Nantikan catatan saya seterusnya bagaimana manuskrip ini terhasil. Selamat membaca dan menyelami Andai Gerimis Berhenti.