Pages

01 Oktober 2010

Andai Gerimis Berhenti, Lahir Sudah!



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdullilah.

Itu ungkapan pertama kali di bibir ini apabila akhirnya novel kedua saya akan terbit pada 26 Oktober 2010. Ya, inilah dia kaver novel Andai Gerimis Berhenti I. Ia novel pertama dwilogi kerana sambungannya sudah saya siapkan dan kini di tangan editor. Khas untuk semua yang membaca blog ini, menyinggah atau memang selalu membaca dan mengikuti perkembangan saya. Ini hadiah selepas Aidilfitri sebenarnya. Memang jangkaan saya ia terbit di bulan Oktober kerana memahami tugasan editor dan penyusunan banyak lagi manuskrip penulis lain. Namun, saya tetap mengharapkan ia terbit dengan baik, diedit dengan ketenangan dan hasilnya memuaskan. Biarpun novel ini terbit lewat dari jangkaan saya iaitu pada bulan Ogos 2010. Namun ia tetap akan terbit dengan penuh jiwa dan gembira.

Saya terasa semua udara nyaman menyelubungi dan semangat semakin membara. Terasa bayangan watak utama di dalam novel ini iaitu Nur Aisya Binti Mohd Jamil dan Najmi Bin Dato’ Ismail berlari-lari tenang sambil mengejar burung camar yang akhirnya terbang tinggi. Terpandangkan segala senyum watak-watak yang saya dalami di dalam novel ini.

Selepas ini, saya akan lebih berusaha dan mendalami malah menekuni bidang penulisan dengan lebih tekun. Mahu yakin dan berusaha menghasilkan manuskrip yang terbaik untuk menjadi bahan bacaan kepada semua. Pastinya saya mahukan novel yang kalian baca adalah novel yang memurnikan masyarakat dan fikiran.

Baiklah, berbalik semula kepada kaver ini? Puas hati. Semestinya saya suka! Cantik dan menarik sekali. Buat saya mahu pandang ia lama-lama dan bawa ia tidur sekali. Ya, kerana sang lelaki itu seperti Andrea Hirata, penulis yang menulis Laskar Pelangi dengan begitu baik. Ya, Andrea adalah seorang penulis yang berjaya mengangkat novelnya ke filem yang berjaya di Indonesia. Novelnya yang begitu saya sayangai dan antara koleksi novel kesayangan saya kini. Tidak sangka pula, saya teringatkan dirinya apabila terpandangkan kaver lelaki di dalam novel ini. Ha ha ha.

Selendang di lehernya, ada gaya-gaya Faisal Tehranikah? Atau itu hanya pandangan sisi saya sahaja. Mungkin kerana sifu FT adalah penulis kegemaran saya maka adakah patut saya menyamakan gambaran dan ilham pencipta itu sama dengan gambaran saya? Sekali lagi saya mahu ketawa. Ha ha ha. Semestinya lain, bukan? Dan pembaca ada penilaian masing-masing, bukan?

Tahniah saya ucapkan kepada pelukis grafik dan pereka kulit PTS. Saya bagi empat bintang untuk kaver menarik ini. Gambaran watak heroin saya, Nur Aisya juga dipamerkan dengan sungguh santun. Namun Aisya sebenarnya wanita cekal yang mengharungi perjalanan kolam ternakan ikan kelinya. Pendek kata, saya sukalah!
Juga terima kasih kepada editor perolehan dan pengurusan PTS yang bertungkus lumus. Saya menantikan ia berada di dalam tangan dan mahu membawa ia tidur sekali. Terasa jerit perih saya menulis, mencari bahan dan seterusnya membuat pruf sebelum menyerahkan kepada editor berbayar dengan begitu bernilai sekali. Kepuasan dan memang jelas dalam mata saya, kini. Sehingga saya tidak sabar menanti pula novel dwilogi sambungan AGB ini diterbitkan.

Akhir kalam dari saya, semoga kalian tenang menatap novel ini. Cita-cita ini tidak akan termakbul tanpa izin dari Allah SWT yang memberikan ilham berpanjangan. Doakan untuk saya agar ilham berterusan dan dipanjangkan untuk kebaikan diri saya dan kalian. Saya juga amat percaya untuk berjaya saya dan kita semua perlu banyak belajar dan menerima kesalahan diri serta memperbaikinya.

Nantikan catatan saya seterusnya bagaimana manuskrip ini terhasil. Selamat membaca dan menyelami Andai Gerimis Berhenti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan