Pages

25 Oktober 2012

Nama Dia Joe 10


 Joe, bawa daku pergi dari sini. Bersamamu. 

tnk06


Joe dah hilang rasa hormatnya pada Eriana. Kakinya laju mendaki tangga. Kelas Tn Hj Mahdi Ramli akan bermula sepuluh minit lagi. Dia cukup pantang kalau ada perempuan menagih cinta dan terhegeh-hegeh. Pulak tu dikejarnya aku dari tempat parkir motor lagi. Hatinya memberontak.

I nak you jelaskan kat I Joe.” Eriana menarik-narik lengan Joe. Memaksa lelaki berkenaan agar berhenti.

Ehh, jelaskan apa lagi ni Eriana? Kau nak rasa penampar aku lagi ke?” Joe bahasakan diri kau aku sahaja. Ah, tergeliat lidah dia nak menyebut I dan you. Rasa geli bulu ketiak berI dan beryou.

“Antara you dan Mawar.” Eriana terus menarik beg Joe. Joe terus terhenti, Pegang besi untuk stabilkan badan dari kakinya laju mendaki anak tangga. Joe cuba menarik begnya. Sandang ke bahu. Eriana mendesak lagi, tetap memegang beg Joe.  “You jangan cabar I, Joe. I nak tahu hubungan you dengan Mawar. Sekarang jugak!”

“Lepaskan beg aku Eriana. Hei, lepaslah!” Begnya sekali lagi ditarik. Kaki Eriana pegun. Terhenti kakinya dari terus mendaki anak tangga.

Joe berdiri. Dia harus berterus terang. Apa akan jadi, jadilah. Dia tak mahu Mawar mengikut telunjuk Eriana. Kalaupun betul Eriana akan memberhentikan semua perbelanjaan untuk Mawar, dia boleh membantu. Sedaya mana dia akan cuba membantu Mawar. Joe pejam mata.  ‘Kenangan tidak boleh dilupakan. Waktu itu saya berumur 6 tahun. Saya telah dikejar oleh seekor anjing gila. Anjing itu berwarna hitam. Saya selamatkan diri dari dikejar anjing berkenaan. Lari dan terus berlari. Selamatkan diri dari digigit dan akhirnya saya telah memanjat sebatang pokok. Akhirnya saya selamat dari digigit anjing berkenaan.’

Massive goosebumps!

Sama rasanya kala ini dengan kejadian dikejar anjing. Itu ada pokok okey. Panjat pokok dan selamatkan diri. Sekarang ini, Eriana depan mata. Mana pokok nak selamatkan diri? Mana? Yang ada hanya bangunan sahaja. Huh! Rasa cemasnya sama kala ini ketika saat umur 6 tahun waktu itu. Karangan bahasa Melayu yang menerjah dalam kepalanya tadi karangan masa sekolah rendah yang dibetulkan oleh cikgu Maisarah. Oh, sampai sekarang dia ingat setiap baris ayat karangan kisah kenangan dengan anjing gila itu.

“Okey, kau nak tahu sangat kan?” Joe mula berang. Hakikatnya rasa nak tampar laju-laju pipi Eriana.

Eriana panggung kepala. Luluh rasa jiwanya kerana Joe lelaki yang belum betul-betul dapat dia gunakan untuk misi mendapatkan gaun mahal di sebuah butik. Dia mahu mencuba, mahu menilik Joe bagaimana perilakunya. Betul telahan hatinya yang Joe bukan seperti lelaki-lelaki lain yang cuba dia dan Mawar jejaki. Joe lain. Joe pendek kata lelaki yang bukan gunakan kekacakan untuk memikat wanita sepertinya. Joe juga bukan seperti lelaki lain yang akan memikat dan bernafsu buas sentiasa. Joe lelaki penuh adat. Joe jaga semua batas perhubungan. Joe tak pegang tangannya sikit pun. Sentuh pinggang rampingnya pun tidak.

Tapi hatinya bernanah kerana Joe dah peluk Mawar. Depan matanya pulak tu. Lagi pulak perempuan itu adalah Mawar. Uh!  Dia akhirnya pasang strategi mengikut Joe dan Mawar. Dia upah Halim Osimin untuk mengikut Mawar dan Joe. Maka benar Mawar bukan mengikut arahan yang telah dia suruh.

Biodata Joe semua palsu. Kertas tulisan Joe hanya sekadar hiasan dan semuanya pembohongan yang Joe dan Mawar permainkan. Sakit! Hati dia sakit sebab dia tidak diterima Joe. Hatinya bertambah perit kerana Mawar pula tiba-tiba mendekati Joe. Antara dia dan Mawar. Dia rasa dia lebih cantik dari Mawar. Dia ada segala-galanya melebihi Mawar.

Iya. I nak tahu sendiri dari mulut you. Kalaupun you sekadar kawan yang baru nak rapat dengan I. Tapi I tak boleh terima cara Mawar dan you menipu I. Biodata you ni semua tipu. Yang I tak boleh terima, bila Mawar dah rapat dengan you. Never! Kalau I tak dapat you, Mawar lagi jangan harap akan dapat you. Hukum karma I akan tentukan, Joe!” Dua helai kertas yang penuh tulisan Joe dibaling tepat ke muka Joe.

You memang teruk bila you burukkan I dengan semua kawan-kawan you. Joe, I tahu apa yang you cakap dengan semua kawan-kawan you.” Air mata Eriana bergenang. Dia malu mahu berhadapan dengan semua budak kolej. Dia malu bila Joe terus terang dengan semua budak lelaki yang Eriana, pengikis duit lelaki dan jangan dekati dia lagi. Semua mangsa Eriana di dalam kolej memuji keberanian Joe. Angkat tangan, tabik spring terus pada Joe.

Joe senyum. Sinis. Kutip kertas yang bertaburan. “Hmmm…dah memang betul tu you kan? Cuma aku bernasib baik sebab tak menjadi mangsa kau. Sekurang-kurangnya aku tak seteruk kau yang buat Mawar macam sampah.” Joe turun setapak kakinya. Mata mencerlung memandang Eriana yang sedang menangis. Menangis konon! Tarik nafas. “Hukum karma you tak akan sama dengan hukum Tuhan, Eriana.”

Eriana gigit bibir bawah. Joe angkat bahu. Betulkan beg galasnya. “Kalau dah Allah sebut dan kata Mawar jodoh kepada seorang lelaki yang bernama Joe, kau boleh halang? Kalau hukum karma Dia tetapkan, kau boleh tepis? Kalau tiba-tiba Allah turunkan rasa sayang aku jatuh pada Mawar, adakah kau juga boleh tapis hati aku ni, Eriana?”

Pegun. Angin memeluk dirinya. Eriana membutangkan biji matanya. Joe senyum lagi. Dia rendahkan suara. “Dah berapa kali kau aniaya si Mawar tu Eriana. Satu pun dia tak lawan dan dia mengikut saja. Kali ni, aku tak akan benarkan kau sentuh dia. Sikit pun tak. Jangan berani kau buat sesuatu sama macam dulu. Kau faham kan?”

Eriana telan air liur. Dia melihat Joe mendaki tangga dengan perlahan. Segak tubuhnya. Berbalut jaket dan menggalas beg sandangnya. Sebelum mendaki anak tangga lebih tinggi, Joe terus pusing. Pandang lagi Eriana. Penuh rasa. “Ingat pesan aku Eriana. Jangan berani sentuh sikit pun Mawar. Ingat!”

Puas hatinya. Senyum melirik sebab dari atas tangga dia nampak Mawar sedang berlari-lari anak mengejar masa. Betul-betulkan beg galasnya yang uzur itu dari jatuh. Eriana memegang pemegang tangga. Terus jatuh terduduk. Jantung berdegup laju dan nafasnya rasa sesak. Dendamnya pada Mawar kian sebati. Bencinya semakin meluap-luap.

Joe terus mendaki anak tangga. Kertas A4 biodata yang dicampak Eriana, digumpal-gumpal. Masuk dalam kocek jaket. Jangan Mawar tahu apa yang telah terjadi pada Eriana, sudah! Ah, naya saja rasanya. Malam tadi bukankah dia telah berjanji. Janji dengan Mawar untuk settlekan apa yang settle. Nampaknya masalah tak settle-settle. Masalah makin banyak, iyalah.

***
Nasi dikuis-kuis dan masukkan sikit saja ke dalam mulut. Terpelanting dua tiga butir keluar. Mawar ternganga. Lagi ternganga bila Joe perlahan-lahan kesat hujung bibirnya dengan tisu. Dingin. Air mata sahaja peneman jiwa. Kalau nak menangis depan Joe sepuluh hari pun dia sanggup sebab Joe hanya dengar dan telinganya statik saja mendengar caci maki dari mulutnya. Caci maki tu pun semua untuk Joe. Semua salah Joe. Semua Joe punya kerja. Semua Joe punya idea gila. Semua Joelah pendek kata. Joe tadah aje telinga. Sengih saja dia terkebil-kebil sambil tumpang sayu dengan Mawar.

Hati kering betul Joe ni!

Kalau tiba-tiba Allah turunkan rasa sayang aku jatuh pada Mawar, adakah kau juga boleh tapis hati aku ni, Eriana? Joe telan air liur bila kata-kata sendiri membunuh jiwa dan hormon adrenalin rasa makin tinggi naik atas kepala. Arghhh…Joe melihat lagi air mata Mawar yang menitis-nitis.

Pertama. “Saya kena berhenti kolej awak. Ni surat pemberhentian. Baru saja saya dapat tadi. Lepas habis kelas Puan Athiqah saya terus dipanggil.”  Mawar kesat air mata. Letak sudu dan garfu. Ambil tisu. Kesat hingus. Ah, buruknya.

“Atas sebab apa?” Jantung Joe kini bernada balada. Slow.

“Laporan mengatakan saya mencuri lap top Eriana, meniru nota orang lain dan meniru assignment untuk kelas Farmakologi 3. Semua saya.”

Joe tarik nafas. Sakit dada. “Awak ada lagi 3 semester saja lagi.”

Geleng kepala. “Tamat. Tidak ada rayuan dan serta merta.” Cita-cita jadi pharmacist rasa terkubur begitu sahaja. Jangan menangis Mawar. Jangan menangis.

Masa dalam bilik berhawa dingin dan ketika wajahnya dijamah mata oleh Puan Hasnita, dia turut sama terima panggilan telefon.

Kedua. “Saya kena balik segera. Pergi hospital dan keluarkan emak. Rasanya saya akan transfer emak ke hospital kerajaan. InsyaAllah. Semua akan selamat.” Air mata berjurai-jurai turun. Mawar ambil jemarinya dan letak di dada. Dia sebut Subhanallah berkali-kali. Tadi, papa Eriana telefon. Berkali-kali telefonnya bernyanyi kring kring kring. Tapi dia malas mahu mengangkat. Malas lagi mahu memegang budi papa Eriana. Cukuplah. Noktah dan titik.

“Saya tak tahu nasib adik-adik saya kelak. Saya cuma risaukan rumah sewa yang sedang kami duduk. Eh, awak tahu mana-mana rumah sewa yang boleh saya duduk?” Mawar stabilkan diri. Buat-buat senyum. Hakikatnya jiwa pedih dan rasa batu hempap ke kepala.

Joe diam. Sampai begini sekali tindakan Eriana. Kerana dia semuanya habis binasa. Kasihan betul Mawar.

Mawar sambung cerita. Cerita sedih Cinderella zaman moden. “Saya rasa Eriana akan sewakan rumah tu dengan orang lain. Saya yakin sebab Akmal tadi dah cerita kat saya. Dia suruh saya standby. Bila-bila masa Eriana akan hantar pekerja papanya. Saya mesti kena halau adik beradik. Tak hari ni, esok. Takpun lusa. Atau tulat.” Air mata menitis lagi. Laju dan laju. Tersedu-sedu Mawar di situ. Di depan Joe.

Joe tiba-tiba diam membisu. Otak tidak boleh berfungsi ligat. Dia rasa bersalah. Rasa terpukul dengan kejadian yang menimpa Mawar. Dia mahu humban diri sendiri ke dalam gaung.

“Awak tahu tak?” Tanya Mawar. Tolak kaki Joe di bawah meja. Kesat hidung dengan tisu.

“Haaa..apa? Apa?” Joe terkejut. Kerusi nasib baik tak tergelincir ke belakang.

“Rumah sewa lain. Saya harus cari rumah sewa untuk adik-adik saya duduk. Sementara saya cari kerja. Jual donut pun donutlah.” Mawar cuba ukir senyuman. Tapi Joe tahu senyuman itu untuk sejukkan jiwa Mawar yang sedang bercelaru. Dia tahu dalam masa sekarang, fikiran Mawar tidak menentu. Dia harus fikir banyak perkara. Mawar kakak sulung yang mesti bertanggungjawab dengan masa depan adik-adiknya.

Paling penting emak Mawar kini di hospital.

Joe sengih. Telan air liur. Kalau tiba-tiba Allah turunkan rasa sayang aku jatuh pada Mawar, adakah kau juga boleh tapis hati aku ni, Eriana?
Joe tarik nafas. Dia dapat idea. Senang sekali. Joe kaya. Bukankah dia kata yang Lamborghini pun boleh dibelinya. Bibirnya senang berbicara. Petik jari saja Joe. “Ada. Awak duduk dengan saya. Bawak adik-adik awak duduk dengan saya. Nanti saya bincang dengan Suri suruh tolong kekalkan emak awak kat hospital sana. Bil-bil saya bayarkan. Senang je Mawar. Awak jangan susah hati ya.”

Mawar terus tolak kerusi. Angkat punggung. “Gila. Awak gila ya nak suruh saya duduk dengan awak. Kita bukan muhrimlah Joe.” Mawar hentak-hentak kaki. Joe kelam kabut capai jaket, beg dan helmet. Kejar Mawar.

“Tak apa. Kita muhrimkanlah.” Joe dah tak fikir susah senang yang bakal dilalui.

“Gila!” Mawar terus hayun kaki. Laju. Makin laju kakinya, makin terus juga Joe kejar Mawar.

“Hei!” Joe jerit.

“Apa? Awak boleh tak jangan kusutkan keadaan saya yang memang dah kusut ni. Kahwin bukan penyelesaian tau tak? Saya boleh carik rumah sewa sendiri. Awak tak payah susah-susah. Kahwin? Pooodaaahhh!” Mawar semakin laju. Malas nak campur fikiran gila Joe ni.

“Saya seriuslah!” Joe jerit lagi. Dengan sekuat hati, dia tarik lengan Mawar. Serentak itu juga tubuh Mawar dekat dengannya. Bola mata Mawar menggigit naluri jantannya. Joe telan air liur.

“Saya serius. Sumpah saya serius!” Joe mahu tebus kesalahannya. Senang sahaja bibirnya cakap fasal kahwin. Kalau baba dan mama tahu, habis dia kena pancung.

Mawar tarik nafas. Perlahan-lahan dia tarik jemari Joe yang sedang memegang lengannya. Degup jantungnya sama rentak berlagu dengan Joe. Itu bukan jawapan terbaik untuk menyelesaikan masalah emak, dia dan juga masalah adik-adiknya. Dia boleh dan mampu. Joe entah kenapa dah macam orang gila, senang-senang sahaja suruh aku berkahwin dengannya. Mawar gelengkan kepala.

“Saya tak cintakan awak dan awak tak cintakan saya Joe. Saya tak akan kahwin dengan awak yang dah ada Suri di hati. Terima kasih.” Mawar rasa luluh jiwanya. Sudahlah masalah emak, pengajian dan adik-adik masuk dalam kepala. Ini Joe pula jiwang-jiwang ala Romeo mengisi di minda. Kahwin dengan Joe bukan selesaikan masalah. Mendatangkan puluhan masalah adalah!

Tapi entah kenapa sambil berjalan menjauhi Joe, air matanya menitis-nitis. Luruh dan gugur membasahi pipi gebunya.

“Kita boleh pupuk cinta masuk ke dalam jiwa dan hati, Mawar.” Suara Joe terus nyaring masuk ke dalam gegendang telinga.

Mawar terus hayun kaki. Hey hey..tinggalkan Joe yang berdiri dengan rasa bersalah. Bersalah menimpa-nimpa jiwanya kini. Dia penyebab utama menjadikan hidup keluarga Mawar sebegini.

Mawar sambung dengan menjerit kuat. Dia ukir senyum walau hatinya gundah gulana. “Habis awak nak simpan Suri kat mana? Dalam kocek seluar jeans awak ke?”

Joe ketawa. Mawar ni kelakarlah! Joe terus angkat kaki. Hayun langkah senada dengan Mawar. Hey hey hey Mawar! Ketawalah. Joe akan ada di sisimu. Membantumu. Dia tolak bahu Mawar dengan bahunya. “Sudahlah. Jangan menangis lagi. Saya fikirkan jalan lain untuk awak. Kalau awak tak nak kahwin dengan saya tak apa. Kita kahwin lain tahun. Dah-dah. Jom!” Joe pujuk Mawar. Sedaya upaya dia mahu melihat Mawar tersenyum lagi.

Fikiran Joe ligat berputar. Malam ini dia harus bukak strategi membantu Mawar. Bukak meja kkopi bersama baba dan mama untuk membantu Mawar. Baba mesti akan setuju. Mama pun sama akan restui strategi serampang dua matanya itu. Mawar di sebelah Joe terus menyepikan diri. Air mata dah rasa kering tapi hati masih ada gerimis. Hibanya. Sakitnya.

“Eh Mawar!” Joe jeling Mawar. Rasa sepi jiwanya melihat Mawar mendiamkan diri. Rasa tak syok Mawar tak bukak mulut dan membebel.

“Apa lagi?” Mawar jawab malas. Eeee, jangan dia ajak kahwin lagi sudah!

“Saya betul tau akan simpan Suri dalam kocek seluar jeans saya!”

Hahahaha. Mawar ketawa. Joe terus tarik jemari Mawar. Bawa Mawar berlari-lari mengelilingi padang yang terbentang luas. Saat berlari, jantung terus berdegup kencang. Mawar berlari dan terus buang segala masalahnya.

Beg uzurnya dicampak ke tepi. Berlari lagi. Joe turut sama. Campak jaket dan helmet. Dia mahu berlari dan membawa Mawar mengeliling padang yang luas terbentang ini.

Hijau. Langit sudah terbentang luas. Penuh dengan awan gemawan putih dan membiru. Matahari makin malu. Petang dingin membalut jiwa dan tubuh mereka. Air mata Mawar menitis-nitis tanpa dipaksa. Mawar menangis dan menangis tanpa dipinta. Joe tahu, Joe sedar. Kaki dan jemari Joe terus membawa Mawar berlari. Dalam Mawar ketawa riang tika berlari ini, air mata Mawar juga sedang gugur membasahi lengannya.

Mawar…buangkan segala resahmu.

Joe…bawa daku pergi.


19 Oktober 2012

Nama Dia Joe 9


Satu hari nanti Joe akan memancing Mawar. Dia akan kata. Akan okey. "Betul, saya betul-betul nak awak kahwin dengan saya."
Mawar mungkin akan jawab sebegini, " Gila. Awak dari dulu memang gila ya?"

***
Angin malam berhembus dingin. Cengkerik makin garang mengeluarkan bunyi. Kaki Joe laju mengikut punggung Mawar. Beg galas Mawar dipegang erat. Ah, dia dah ibarat jadi bodyguard Mawar pula beberapa hari ini. Dia dan Mawar ibarat watak penting dalam sebuah novel. Mawar berdesup laju macam kilat menolak tubuhnya. Jatuh terlentang dia, kaki naik ke atas. Mawar lintang pukang bangun dan segera keluar menjauhi Eriana. Keluar dari rumah Eriana tanpa memandang Eriana yang sebu perut dan jiwanya melihat Joe memeluk Mawar.

Beg galas Mawar segera diambil Joe. Sempat dia melirik matanya memandang Eriana, “Eh awak.. sorry. Nanti kita dating lagi okey?” Joe sempat menyakitkan hati Eriana yang memang dah sah-sah bengang dengan dirinya. Bunyi pintu dihempas masuk ke dalam gegendang telinganya. Haha…Eriana mesti hempas pintu kuat-kuat. Anggap itu Mawar agaknya. Joe, gelengkan kepala. Apa punya perempuan. Dasar tak tahu malu buat kawan baiknya sebegitu rupa.

Pantas, kakinya mengejar Mawar. Betulkan selipar jenama mahalnya yang tak masuk dengan betul dan menerobos tubuh bersama kepekatan malam. Joe gigit bibir. Lajunya Mawar berlari.

Sambil Mawar berlari, sambil itu juga mulutnya tak henti-henti memarahi Joe, “Awak tahu tak. Dosa peluk saya. Dosa peluk perempuan bukan muhrim. Eeee..” Mawar langkah seribu. “Saya tak suka awak buat macam tu lagi. Saya bukan Eriana okey? Awak jangan berani nak sentuh saya macam tu lagi. Eee, marah ni. marah!”

Joe terus hayun kaki. Larikan diri mengejar Mawar. Dia tahan ketawanya. Suara Mawar memarahinya macam kelakar pun ya. Eee, marah ni. Marah! Sambil ikut Mawar, masuk dalam lif dan menanti lif turun mulutnya dahpun berbau longkang. “Eleh, macamlah awak alim sangat. Dah saya terpeluk. Ala, sikit je. Itupun nasib baik saya ada. Jadi hero awak dan malaikat yang selamatkan awak. Habis awak nak suruh saya tengok sahaja aksi WWF si Eriana tu. Tengok awak kena dera macam tu. Eh, hairanlah saya dengan awak ni Mawar. Tak ada pendirian betul awak. Kesian!” Joe jelirkan lidah. Mengejek Mawar.

Mawar masih tak puas hati. Rasa mahu saja dia hempuk Joe dengan beg yang sedang Joe pegang itu. Dia pusing. Jegilkan mata. “Tak ada pendirian? Okey? Apa masalah awak dengan semua pendirian saya? Saya punya sukalah dengan diri saya sendiri. Sebab ni hidup saya. Allah dah tetapkan jalan hidup saya macam ni. So, what? Mulai hari ni, awak jangan masuk campur lagi. Jangan sibuk urusan antara saya dan Eriana.” Mawar rasa nak tepuk mulut sendiri. Tapi terlajak kata mana boleh diundur.

Joe terkebil-kebil. Gelengkan kepala macam tak puas hati. “Masalahnya awak yang libatkan saya dengan Eriana. Awak yang pujuk saya paksa saya dating dengan Eriana. Segala biodata saya awak dah ambil. Interview bagai saya itu dan ini. Saya tak suka tapi saya paksa diri saya untuk ikut kehendak awak. Salahke kalau saya tolong awak tadi. Kalau saya biarkan awak, entah-entah kulit muka awak pun Eriana akan koyakkan. Awak nak begitu? Tak terima kasih langsung.” Joe jeling Mawar. Hei, geram pulak dia dengan Mawar kala ini.

Joe terus beri ceramah. Marah betul dia dengan Mawar. “Eh, meh sini I nak beritahu dekat you, Mawar. Kita kena ubah hidup kita. Memang Allah tetapkan hidup awak sebegini rupa. Habis, kalau awak miskin gaji sebulan rm40. Awak terima sahajalah meski awak ada kudrat untuk ubah nasib awak sendiri. Cari kerja lain. Misalnya ubah nasib dengan belajar dan berniaga jual goreng pisang ke, jual karpet ke. Allah akan ubah nasib sesebuah kaum tu kalau kaum tersebut atau diri sendiri yang nak ubah nasib. Tak macam awak yang asyik ikut telunjuk si Eriana tu. Hei..kalau awak marah..saya pun marah ni. Marah!” Joe mendengus. Tarik nafas dan pandang wajah Mawar yang kaget dengan tazkirah pendek Joe.

Mawar tarik nafas. Makin dilayan Joe, makin haru biru hidupnya. “Awak kena minta maaf dengan Eriana sebab awak lempang dia dan awak kena tolong saya.”

“Amboi-amboi. Tadi awak kata jangan masuk campur urusan awak dan Eriana kan?  Awak dengan hidup awak dan saya hari ni akan hidup dengan dunia saya. No Eriana dan kita tak akan berjumpa. Sekalipun saya tak akan bantu awak. Tolong diri sendiri dan tingkatkan pendirian serta prestasi. Huh!” Joe masih mengikut jejak langkah Mawar walau mulutnya membebelkan Mawar. Dia mahu temankan Mawar sampai selamat ke flat. Kalau naik bas pun, dia cuba untuk temankan Mawar. Tapi mana ada bas tengah-tengah malam ni. Teksi mungkin ada. Joe tengok jam. Dah hampir dua belas tengah malam. Memang Cinderella. Cinderella zaman batu betul si Mawar ni!

Mawar terkujat. Sampai hati Joe kata begitu dengan dia. Dia berdiri sambil renung kaki langit yang berwarna hitam. Dalam bersahabat dan membantu dia menguruskan Eriana mangkuk hayun tu, Joe malam ini tiba-tiba berubah seratus peratus.

Pergaduhan kecil itu membawa mereka berdua terus ke kancah ‘bisu’. Mawar tak bersuara. Joe juga. Kaki mereka sahaja berhayun serentak dan Mawar mahu balik segera. Berbagai kemungkinan akan berlaku esok. Dia pasrah dan redha.

Dengan air mata yang gugur menyimbah pipi, dia melantunkan sedih dan hibanya. Episod membisu terus dia tamatkan. “Esok saya pasti emak akan dikeluarkan dari hospital. Saya akan bawa emak ke hospital kerajaan. Nasib adik-adik saya dan pengajian saya juga bakal berkubur. Jual kuih donut jawabnyalah untuk bantu adik-adik saya.”

“Baguslah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya awak berdikari untuk emak dan nasib adik-adik awak. Jangan harapkan sangat duit papa Eriana tu.  Jual donut pun boleh jadi kaya tau. Saya akan sentiasa sokong. Dahlah Mawar. Jangan lagi awak bergantung dengan papa Eriana tu dan ikut telunjuk Eriana tu. Awak kena ada pendirian. Jangan ikut sangat apa yang Eriana suruh tu. Kena ajar dia sikit.” Joe sengih sambil jeling Mawar yang mengesat-ngesat pipinya. Air mata Mawar bertakung lagi. Dia sengaja menyakitkan hati Mawar. Suka sangat dia tengok Mawar bersedih-sedih begitu.

“Sebab awak lempang Eriana. Semua ni sebab awak tau tak? Kalau tak, saya yakin esok hidup saya pasti akan jadi macam biasa dan saya tak perlu nak fikir susah-susah untuk selesaikan masalah saya dan Eriana.”

Mawar garu kepala yang tidak gatal. “Eh, saya malaslah nak fikir. Kusut tau tak. Kusut!” Mawar dah macam orang gila dibuatnya. Semua ni Joe punya fasal. Kalau Joe tak lempang Eriana, mindanya tidaklah berputar seperti sekarang ini.

“Dah tiba masanya awak kena jadi diri sendiri, Mawar. Ramai lagi orang yang susah dari awak. Dunia ni bulat, Mawar.” Joe dah berfalsafah.

“Ewah-ewah. Saya tak kira. Awak kena minta maaf jugak dengan Eriana. Teruskan perjuangan kita dengan plan kedua. Awak kena shopping dengan Eriana. Awak tetap kena habiskan masa dengan Eriana dan wajib minta maaf semula kat Eriana. Katakan yang awak terpeluk saya sebab kesian. Awak bukan sengaja dan awak tak nak Eriana terus buat yang tak elok kepada saya.”

Joe tarik nafas. Mendengus dan masukkan jemari ke dalam kocek. Dia melihat sahaja kelakuan Mawar. Mereka berdiri dah serupa macam pasangan kekasih bergaduh. Cuma tampar menampar sahaja belum tersenarai dalam plot malam ini. “Balik. Awak baliklah. Kusut dah saya tengok awak ni.”

“Iyalah. Tahankan saya teksi. Bagi saya duit. Saya tak nak awak teman saya sampai flat!” Mawar terus bagi jawapan macam kanak-kanak. Joe gelengkan kepala. Tersengih dia dengan kelakuan Mawar yang tanpa dijangka ini.

Joe terus menahan sebuah teksi. Malas dia mahu mendengar bebelan Mawar dan modus operandi Mawar yang memakan dirinya sendiri. “Sudahlah-sudahlah Mawar. Saya penat dan malas nak dengar khayalan awak dan perancangan awak untuk Eriana tu.”

Teksi berhenti. Dia buka pintu untuk Mawar masuk ke dalam perut teksi. Mawar terkebil-kebil syahdu-syahdan memandang Joe. Sampai hati Joe buat dia begini. Joe terus tolak tubuh Mawar masuk ke dalam perut teksi. Beg galas Mawar dicampak ke atas riba Mawar. “Awak balik cepat, rehatkan kepala dan jangan fikir lagi okey. Nanti saya fikirkan bagaimana untuk tolong awak. Selamat malam.”

Joe bagi arahan cepat dan tepat. Dia keluarkan wang kertas lima puluh ringgit. Hulurkan duit terus ke Mawar dan arahkan pemandu teksi berjalan. Semuanya berlaku dengan pantas. Pergaduhan kecil mereka berlangsung dengan cepat dan dia terus mengikut arahan Mawar menahan sebuah teksi. Joe terus menolak tubuh Mawar dan sumbat Mawar masuk dalam teksi.

Mawar pula cepat-cepat turunkan cermin teksi. Dia pandang Joe. “Awak kena minta maaf dengan Allah sebab terehem-ehem saya. Wajib. Huh!” Mawar cepat-cepat naikkan cermin teksi semula. Pandang pemandu teksi, arahkan pakcik teksi terus memandu membawanya balik ke flat. Bila teringat balik adegan itu, dia terus jadi malu nak pandang wajah Joe.  Ah, malunya!

Teksi terus meluncur perlahan. Mata Joe memerhati sambil menarik nafas. Terehem-ehem? Haha. Joe senyum tak mampu berkata-kata. Gelengkan kepala dengan kelakuan ganjil Mawar. Dalam sedih pun, dia mampu buat lawak. Masih ingat lagi insiden ehem-ehem yang mendebarkan jiwa jantannya. Alahai Mawar.
Air mata Mawar terus menemani pakcik teksi. Esok. Apa yang akan berlaku dengan nasib mereka sekeluarga. Apa yang akan Eriana buat kepada emak dan adik-adiknya itu? Juga apa akan berlaku dengan pengajiannya?

Dia renung kaki langit yang berwarna hitam. Gelap. Bulan sedang mengembang penuh ghairah. Wajah Joe sedang tersengih memantul-mantul pula dalam kepalanya. Ah – mengacau lagi Joe ni. Mawar terus ketuk kepala dengan jarinya. Jangan lagi wajah Joe ni tersembul keluar. Malu tau tak? Malu!

***
Mawar dah pusing kiri dan kanan. Masuk ni, dah lima belas kali dia cuba lelapkan mata. Tapi masih belum mampu tertidur. Mawar bawa jemarinya ke dada. Ah – degupnya masih membara dan bagaikan kuda sedang berlari kala ini. Apa pulak kena dengan jantung aku ini? Arghh! 

Gigit bibir bawah. Peluk bantal. Melati dan Kenanga dah sampai ke Hong Kong agaknya. Punyalah lena mereka tidur. Kalau bom meletup pun, gerenti mereka tak akan bangun. Tuah hari ini menemani emak di hospital. Dari semalam lagi Tuah dah memujuk rayu untuk dia temankan emak di hospital. Jururawat di sana, tak akan izinkan selain orang perempuan sahaja Tuah! Berkali-kali Mawar larang, tetapi Tuah tetap mahu temankan emak.

“Tuah duduk kat luar pun boleh. Asalkan esok pagi-pagi Tuah lapkan badan emak dan cuci tiub makanan emak.” Suara sayu Tuah menangkap mindanya.

Baru saja Mawar sebut, “Eh..Tuah!” Klik. Tuah dah letakkan ganggang. Mawar pasrah. Degup jantung sedang berirama lagi hey hey hey hey. Iramanya sama pula ketika kejadian Joe terpeluk dirinya. Ah - Dia masa tu rasa nak lari jauh-jauh dari Joe sebab malu. Mawar terus ambil bantal. Tekupkan ke muka. Malunya..malunya. Wajah Joe semakin berputar lagi dalam mindanya. Kenapa dengan Mawar ni ya?

Telefon cap ayamnya kini berirama pula. Mawar segera bangun. Lampu samar-samar dari luar membantunya melihat skrin telefon. Joe? Apa joe nak pagi-pagi buta ni? Aku bermimpikah? Mawar segera betulkan rambut. Ikat rambut panjangnya dan terus menyahut irama lagu kring kringnya itu.

Tanpa salam dan say good morning, Joe menghantar rasa sesuatu ke dalam jiwa. “Cuba awak kira dah berapa hari kita kenal?” Suara Joe memang lemak merdu. Mawar terkebil-kebil rasa macam tak percaya. Otak ligat mengira perkenalan antara mereka berdua.

“Errr…dua minggu.” Suara Mawar akhirnya membuatkan Joe senyum senang. Hatinya terhibur sikit sebab Mawar sudi angkat telefon dan jawab soalan matematiknya itu.

“Dan selama dua minggu tu kita dah kenal dan rapat. Awak pun dah percaya saya kan?” Joe tanya lagi soalan. Kali ini entah subjek apa. Sejarah mungkin. Joe garu kepala. Kaki dilunjurkan. Entah hatinya rasa rindu dengan Mawar. Dia tahu Mawar sedang bersedih hati. Dia tahu Mawar sedang memikirkan nasib sendiri bila bertemu Eriana di kolej esok hari.

Mawar terus angguk macam buruk belatuk. “Ya. Saya percaya.”

“Baiklah. Saya telefon ni sebab nak mengaku dan minta maaf.”

“Haaa…” Mawar terkebil-kebil. Telan air liur.

“Saya minta maaf terpeluk awak. Saya tak sengaja dan ianya bukan disengajakan. Iyalah. Saya sedih tengok awak menangis. Dah macam adik saya si Wawa tu.” Joe terus terang. Tapi rasa nak tampar mulut sendiri sebab berani mengaku ye ye saja dengan Mawar. Tapi kalau terpeluk sekali lagi, boleh tak? Dush dush…Joe sengih sendiri.

“Awak kena solat sunat taubat.” Gesa Mawar.

“Iyalah. Iyalah. Saya minta ampun dengan awak dan Allah.”

“Janji?”

“Ya saya janji.” Joe jawab dengan cepat.

“Janji apa?” Mawar kembali mengasak.

“Solat taubat. Taubat nasuha saya buat. Empat puluh rakaat okey.” Joe ketawa.

Ketawanya bersisa buat Mawar senang hati. Belum sempat Mawar buka mulut, Joe sekali lagi keluarkan arahan. “Tapi awak pun kena janji dengan saya.”

Mata Mawar bulat. Terkedu dengan Joe. “Janji apa pulaknya?”

“Jadi sahabat saya yang berpendirian. Saya akan tolong awak settlekan apa yang tak settle.” Joe mula menyusun kata. Itu janjinya. Dia mahu Mawar jadi gadis yang berani dan lantang menangkis serangan jahat Eriana. Ceh, Mawar dah macam gaya Sailormoon terajang Eriana di pelupuk matanya.

“Apa yang tak settle?” Mawar ligat lagi bertanya.

“Antara awak dan Eriana. Emak awak, yuran pengajian awak dan adik-adik awak.”

Mawar cebik. “Ish…gila awak ni. Saya nak bayar hutang dengan awak pulak. Mana saya nak cekau duit?”

Joe masih ketawa. Gelengkan kepala. “Saya kaya. Lamborghini pun saya boleh beli.”

Eeeee..riak!”

“Ala..nanti-nanti awak gantilah. Tak pun awak kahwin saja dengan saya. Habis masalah. Senang cerita.” Joe semakin galak mengusik Mawar.

“Amboi-amboi.” Mawar cekak pinggang. Tarik nafas. Joe masih ketawa. Mawar kembali sambung bebelnya. “Mana awak nak campak si Suri tu?”

“Seperti biasa, dalam kocek seluar jeans saya. Hehe.”

Mawar gelengkan kepala. Dah menguap sebab mengantuk. Dia biarkan Joe yang memang selalunya mengusiknya dan mahu berkahwin dengannya. Baru kenal dua minggu, mana boleh percaya dengan Joe si kaki perempuan ni. Cet!

“Okeylah, time to sleep. Dapat dengar suara awak senang hati macam ni baru saya rasa lega sikit.

“Okey.” Mawar sekali lagi menguap.

Joe tukar telefon bimbit ke kiri telinga. “Eh-eh. Tapi saya seriuslah.”

“Saya dah ngantuklah Joe. Serius apanya awak?”

“Kalau awak setuju. Kahwin saja dengan saya ya?”

Mawar ketawa lagi. Jungkit bahu dan terus menjawab, “Gila. Okeylah, bye!”

Klik.

Jantung Mawar berdegup lagi. Kencang. Joe mengekek-ngekek ketawa. Suka sangat dia mendengar suara Mawar sebegitu.

Hey..hey..kenapa dengan diriku ini?
Hey hey..kenapa dengan degup jantungku ini?
Hey hey..mengapa wajahnya bermain dan tumpah di tubir mataku kala ini.
Hey hey…makin galak ketawanya mengisi jiwaku.

Hey Hey Mawar!