Pages

10 Oktober 2012

Nama Dia Joe 7



Nama Dia Joe 7. Sederhana sahaja tulisan saya. Kecil-kecilan sambil rendah diri. Tapi terima kasih untuk pembaca kisah ini. Semoga terus baik-baik dan senyum selalu ya! #Tetiba I tacing. Hihi

nama dia joe 1

“Dah lama ke mak awak sakit Mawar?” Joe silangkan kaki. Punggung sudah melekat di wakaf. Mawar sedang bersila di atas wakaf sambil Joe jadi bodyguard dan peluk tubuh. Sesekali Joe tarik nafas. Punggungnya melekat sipi-sipi sahaja dengan kayu beratap rumbia ini. Hospital dipenuhi pelawat. Macam-macam ragam. Doktor Suri tak muncul-muncul. Katanya tadi mahu lekas turun ke bawah. Sudah sepuluh minit berlalu.

Joe jeling Mawar. Mata Mawar merah. Kesan tangisannya ketika bertemu dengan emaknya tadi. Emak Mawar koma. Sudah dua tahun terlantar begitu sahaja di hospital ini. Mata bundar memerhati Mawar mencuci tiub makanan emaknya. Penuh kasih sayang. Penuh santun dan tika membedakkan wajah emaknya, air mata Mawar mengalir tanpa dipinta. Emak Mawar sudah wangi. Ditukarkan baju, dibersihkan lampin dan segala-galanya dibuat penuh jiwa. Joe terkesan. Bibir Joe terkunci mahu bertanya sebab apa dan kenapa emaknya koma sampai sebegini. Simpati menggunung dihatinya kini. Bila kekasih hatinya, doktor Suri datang menjengah ke katil dan berdiri berhampiran Mawar, Joe terpempan. Pandang Mawar dan mata beralih menjamah wajah Suri yang sedang mengukir senyuman mahalnya.

Manis dan jelita. Oh, Suri muncul juga akhirnya. Lengannya ditarik kuat dan kedua mereka terus bertemu empat mata. Suri senyum sampai ke telinga. Tapi sesekali dia menjeling melihat Mawar yang masih melayani emaknya. Apa pula hubungan Joe dan Mawar. Kenapa pula Joe menemani Mawar ke sini. Suri jeling-jeling lagi hingga lupa yang Joe sedang menantinya di depan mata.

Joe pusingkan badan. Tanggalkan selipar jepunnya dan segera panjat wakaf dan duduk bersila bersama Mawar.  Kenangan tadi bubar bila dia lihat Mawar senyum. “Ahh..jangan sedihlah. Kita sebagai anak kena teruskan hidup. Selagi ada daya, pengorbanan sampai ke titik akhir adalah yang paling baik kan? Mana tahu, Allah takdirkan emak Mawar boleh buka mata. Siapa tahu kuasa Allah kan?” Joe pujuk sambil gigit bibir. Sebab soalannya tak berjawab. Rasa tak ‘best’ sangat Mawar diamkan diri. Dunia rasa sepi pulak. Eh, tetiba saja Joe ni kan? Gatal!

“Kalau emak saya bukak mata. Apa awak akan buat?” Mawar segera renung Joe.

Joe jungkitkan bahu. Jemari masuk dalam kocek seluar. Betulkan silanya sambil jeling lagi Mawar. Akal merencana sesuatu. Sengih macam kambing tak mandi. “Saya kahwin dengan awak. Saya jaga emak awak dan teman awak jaga emak. Setuju?” Joe ketawa.

Mawar geleng. “Mana awak nak campak doktor Suri a.k.a ‘kakak angkat’ awak tu?”  Mawar jelirkan lidah. Siap ber ‘a.k.a’ lagi. Gasak!

Ala, Suri baik hati. Dia percaya dengan qada dan qadar. Saya masuklah dalam poket seluar saya ni. Hehe.”

Mawar tolak kaki Joe dengan kakinya. “Amboi. Saja-saja je awak ya. Ingat orang perempuan ni mainan? Baju? Bola?” Mawar mula aktif melayan karenah Joe. Ah, dia jadi biasa dan senang sekali dengan gurauan Joe. Hati yang sedih da bergalau dengan percikan gerimis terhenti.

Joe menyengit. Mata mengecil kerana ketawa. Terus dia straight to the point. Tanya lagi soalan yang sama. “Dah lama ke emak awak sakit Mawar?” Oh, dia mula korek rahsia. Mahu tahu dalam-dalam mengenai Mawar.

“Dua tahun dah emak terbaring kat hospital. Emak sakit jantung sekitar tahun 2008. Angin ahmar serang emak dan sebab tu emak koma sampai sekarang. Doktor dah buat tiga siri pembedahan. Satu kat kepala dan satu lagi di perut.”

Joe angguk. Faham sudah sakit emak Mawar. Ah – setiap manusia berbeza dugaan hidupnya kan? Mahu saja dia bukak mulut bagi tazkirah sebegitu. Tetapi rasa macam tak layak. Joe zipkan mulut sambil sengih. Tanya lagi soalan-soalan peribadi kepada Mawar. “Hari-harilah awak jenguk emak kat sini? Orang lain? Adik-adik ke? Abang-abang ke? Takde?”

Mawar ketawa. Jeling Joe. “Saya kakak yang sulung. Adik-adik ada kat rumah. Tiga lagi masih bersekolah. Lepas saja lawat emak nanti saya balik flat. Budak-budak tu semua bersekolah. Lagi pulak tiga-tiga nak ambil exam. UPSR si Melati. PMR si Kenanga. SPM si Tuah.”

Joe garu kepala. Melati? Kenanga? Tuah? Haihlahh..emak ayah Mawar ni memang peminat bunga sungguh.

“Eh, ape pasal nama adik awak Tuah?” Joe ketawa. Geleng kepala. Gelakkan nama adik-beradik Mawar yang unik. Sepesen saja nama mereka. “Kenapa tak nama Matahari ke, Tulip ke, Kaktus ke. Barulah nampak ganas sikit.”

Mawar tutup mulut. Ketawa. Semua kawan-kawannya memang akan pelik, kerut-kerut dahi mendengar nama adik-beradiknya. Unik. Nama bunga. Tuah sahaja yang berbeza. Mungkin kerana dia lelaki. Ironinya, arwah ayah mahu anak lelakinya itu bawa tuah dalam keluarga.

“Sebab dia lelaki. Letak nama bunga nanti jadi pondan kan. Arwah ayah letaklah nama Tuah. Simple. Just nice. Tuah pun baik budaknya. Bertuah sungguh!” Mawar sambung ketawa. Tepuk dahi sendiri dengan jawapan bijak.

“Bukan awak serumah dengan Eriana?” Joe tanya lagi soalan kepada Mawar. Sambil tunggu Suri yang tak tiba-tiba lagi, baik dia borak-borak kosong dengan Mawar. Ususnya kini bertahan dari ketawa. Joe buat-buat muka serius.

Mawar pandang Joe. Joe sudi bertanya kisah-kisahnya. Selama ini, mana pernah lelaki bertanyakan soalan sebegini. Semua kawan-kawan di kolej tahu dia pembantu Eriana. Dibenci dan selalu dikutuk itu ini. “Iya, serumah. Lepas lawat emak kat sini, saya akan terus balik apartmen. Saya sibukkan diri buat assignment Eriana dan saya sekali. Kalau ada kelas malam, saya terus sambung belajar. Study group atau apa sahaja sampai dua belas tengah malam. Salin semua nota untuk Eriana di rumahnya dan tidur di sana kalau masa saya padat. Seminggu…” Mawar gumam bibir. Mula mengira harinya tidur di rumah Eriana. Joe renung mata Mawar. Oh, sampai begitu sekali Cinderella ini. Sibuknya jadual dia.

Mawar gigit bibir bawah. “Ermm..seminggu adalah dalam tiga hari saya tidur di apartmennya.”

Ohhh. “Lepas tu?” Joe bertanya lagi. 
“Jalan kaki balik flat. Kalau nasib baik, saya naik bas. Nasib lagi baik, naik teksi sebab Eriana bagi duit tambang teksi. Balik rumah, tengok pulak buku-buku adik. Itu pun kalau sempat. Masak lagi untuk adik-adik. Simpan dalam peti sejuk. Kemas rumah dan semua. Macam maid!” Mata Mawar bersinar-sinar. Segala memorinya terlayar. Kepantasannya di dalam rumah kecil itu membatasi waktu. Penat. Kadang-kadang rasa tulangnya mahu tercabut. Menangis? Dia sudah lali. Bahagia dengan susun atur hidupnya sebegitu. Paling penting, adik-adik berjaya dalam peperiksaan. Emak senang hati bila dia sentiasa ceritakan mengenai adik-adik yang sempurna perjalanan dan lengkap bersama kasih sayang dari dia. Mawar mahu berbakti. Selagi hidup dan berdaya. Dia akan bahagiakan semua adik-adiknya dan emak.

Joe ternganga. Begitukah sekali hidup dan masa Mawar setiap hari? “Habis tu bila awak tidur?” 
Joe alih mata bulatnya ke arah mata Mawar. Bawah matanya hitam. Nampak sangat Mawar penat dan patutlah dia sampai tertidur-tidur dalam bas. Tidurnya pula sungguh-sungguh ya amat!

“Pukul 3 pagi. Takpun dua pagi. Kalau kelas mula awal, dapatlah saya rehat sekejap sebelum sambung ke kuliah dan kejar pula si Eriana dengan tugasan peliknya tu. Cari lagi lelaki untuk dia. Hmmm…” Mawar lunjurkan kaki. Dia ternantikan doktor Suri. Kata Joe, Suri mahu bertemu lagi. Sampai sekarang, batang hidung pun tak nampak.

Joe mengikut. Lunjurkan kaki. Kini silanya sudah dekat dengan Mawar. Sebak betul mendengar kisah Mawar. Begitu sekali hidupnya. Sah-sah Cinderella seperti yang dia copkan dalam hati sendiri.  “Jadinya betul Eriana bayarkan semua bil hospital emak awak?”

Mawar telan air liur. Tidak ada sesiapa tahu mengenai urusan bayaran bil emaknya. Eriana itupun ambil kesempatan dari kebaikan papanya. Tuan Haji Budiman hulurkan bantuan kerana arwah ayah dahulu pemandunya. Bila Eriana menyogok dari papanya akan membantu uruskan semua urusan kewangan kepada emak, Eriana menyelam sambil minum air. Paksa Mawar buat itu dan ini. Apa daya dia untuk menghalang Eriana. Dia anak majikan papanya. Terhutang budi dan kewangan. Duit papa Eriana, bermakna duit milik Eriana juga.  

Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Mawar tarik nafas. Angguk lagi. “Iya, betullah. Macam yang saya cerita sebelum awak keluar dating dengan dia tu. Tapi Baitulmal ada hulurkan sikit bantuan. Dapatlah saya belikan lampin pakai buang dan susu untuk emak setiap bulan.”

Joe sekali lagi bawa matanya menjamah hidung Mawar. Oh, mancung. Sederhana cantiknya. Sesekali dia angguk macam itik makan dedak. Terpatuk-patuk muncung bibirnya itu terus ke bibir merah Mawar. Kalau patuk bibir ini ke bibir Mawar, macam manalah rasanya kan?

Isk Joe! Joe terkebil-kebil. Rasa nak tampar pipi sendiri sebab bayangkan yang bukan-bukan dengan Cinderella di hadapannya ini. Berdosa tau tak? Joe cepat-cepat larikan pandangannya ke bangunan hospital. Sampai sekarang, batang tubuh Suri tidak kelihatan. Joe pandang jam. Mawar sudah gelisah. Dah banyak soalan dan dari hati ke hati kini dia mengenali keluarga Mawar. Apa lagi soalan cepu emas yang mahu dia tanyakan untuk Mawar ni.

Eh, nanti bolehlah awak bawa saya jumpa dengan bunga-bunga kat rumah flat family awak tu ya? Naklah jugak saya kenal dengan Tuah yang awak kata bertuah tu. Hehe.” Joe gelak lagi. Mawar turut sama ketawa.

Joe betulkan kaki. Bangun dan segera turun. Menunggu Mawar yang tiba-tiba mengikut rentak tubuhnya. “Kata nak tunggu Suri. Suri kan nak jumpa dengan awak tadi. Kita nak pergi mana ni?” Mawar pandang Joe sambil kakinya sarung sepatu hitam. Soalan-soalan Mawar buat hati Joe bengkak menanah-nanah.

Joe pandang kawasan hospital. Tarik nafas dan lepas perlahan-lahan. Buang masa tunggu Suri kat sini. Eh-eh…kalau buang masa, tak dapatlah dia tahu serba sikit salasilah keluarga Mawar. Nama adik beradiknya ‘berbunga’ pun dia sudah hafal. Melati, Kenanga dan Tuah. Haaa..pakej lengkap bersama dating di bawah wakaf atap rumbia dengan Mawar.

Joe terus tarik lengan Mawar. “Dahlah jom balik. Nanti awak lambat. Eriana mesti tunggu awak kat rumah. Awak pun kena study dan salin nota untuk Eriana kan? Nanti dalam bas, awak boleh rehat sambil tidur. Jom-jom!”
Emm…bolehlah sekali awak rebahkan kepala ke bahu saya ya? Joe sengih lagi. Gesa Mawar ikut langkah kakinya. Jari tangkas keluarkan telefon pintar. Hantar SMS ke Suri.

Buah hati kesayangan saya, masuk ni dah sepuluh kali saya tunggu awak. Lambat. I balik dulu dengan Mawar. I call you malam ni okey?

Joe masukkan telefon bimbit ke dalam poket jeans. Dia melangkah bersama-sama Mawar. Dia mahu rasa lagi indah dari biasa bila bersama Mawar. Dia mahu lagi mendengar degup jantung yang berirama bila duduk berdua bersama Mawar. Dia entah kenapa, mahu menjadi si putera raja kepada Cinderella.

Ah – Joe entah kenapa jadi nanar. Dengan Mawar. Dan bila bersama dengan Mawar rasa segar itu tidak pernah sekali datang kecuali dengan dia. Hanya bila detik, saat dan waktunya bersama dengan Mawar.

Kaki Joe bawa kaki kiri melangkah, hatinya sebut Mawar. Kaki Joe hayun kaki kanan seiringan dengan Mawar, hatinya berdetak lagi nama Mawar. Kiri Mawar. Kanan pun Mawar.  Bersama angin dan nama Mawar kini memeluk jiwanya.

Joe dan Mawar seiringan. Tanpa mereka sedar sepasang mata cantik jelita itu memerhati mereka penuh dalam. Matanya mencerlung. Tajam.

5 ulasan:

  1. Tanpa Nama11/10/12 06:34

    Cinderella. Mawar dah jadi cinderella. Biar mawar dan joe ya. Suka.

    BalasPadam
  2. RadziahMohd11/10/12 07:22

    Sapa la yg mencerlung mata melihat joe ngan mawar tu ye....dr Suri ke Eriana?.....biar la mawar ngan joe....sweet je...

    BalasPadam
  3. Jeng2, saper kah yang memerhatikan mereka berdua??? Jgn la eriana!!! Joe dah dah fall in love ngan mawar nyek???!!!! Bestnyer... sambung la lagi...

    BalasPadam
  4. eriana kot yg nmpk diorg...best...nk lg bleh?

    BalasPadam
  5. Eriana tu memang kejam!!! :(

    BalasPadam