Pages

29 Jun 2011

Apam Gula Hangus Walawei!

Header blog akan sentiasa bertukar-tukar mengikut citarasa Puan Mardihah Adam ya! Melewati kembali kenangan ketika hari pernikahan temanya. He he he. Rasa merah jambu pula pipi saya melihat header blog ini. Haaa…perasan! Perasan lagi!




Oh ya, saya mahu mengucapkan terima kasih untuk semua yang memberi sokongan dan ucapan tahniah berganda-ganda di dalam Facebook untuk novel ketiga ini. Baby ketiga yang mengancam. Rasa macam betul-betul pula ada baby dalam perut ini! He he he! Juga untuk peminat setia yang membaca blog sederhana ini. *saya tahu peminat saya, sebab dia sudah mengaku! Eleh, Wana! Terima kasih ya dik atas banyak perkongsian hati antara kita, Insya-Allah, kita akan berjumpa lagi dengan mapin coklat chip untuk awak dan anak comel awak itu.

Okeylah, sebenarnya tak tahu mahu bercerita apa di dalam blog sendiri. Walhal sebenarnya banyak yang saya mahu tuliskan. Tetapi idea terkepung dan dijerat oleh diri sendiri. Masa sebenarnya yang mencemburui. Lebih-lebih lagi saya sedang mengejar diri untuk manuskrip keempat. Editor sudah bertanya! Jadinya penulis perlu bersiap sedia. Sudah beberapa bab manuskrip keempat ini berjaya disiapkan, tetapi terhalang kerana ‘medium’ bahan rujukan dan novel Islam Tauhid ini benar-benar mencabar saya! Insya-Allah saya akan cuba siapkan dengan jayanya.

Atau mungkin kerana jemari sakti saya malas menaip dan menekan-nekan papan kekunci ini. Alahai! Tapi masak tetap masak, dan resipi tetap saya mahu kongsi. Apam gula hangus ini sebenarnya sudah seminggu dibuat, tetapi memberi laluan dahulu kepada novel ketiga saya di’publish’kan dahulu. Kukus pemberian bonda menjadi saksi akhirnya. Cheh! Akhirnya apam gula hangus ini gebu, menjadi-jadi naik seperti pipi saya sekarang ini. Walawei! Encik abang siap puji-puji lagi, katanya sedap! Tak kembang sekejap! Nanti chep Dihah akan masak lagi. Senarai sudah ada, antaranya kuih kaswi, kuih lompang, kek butter dan cekodok pisang yang yummy! Cekodok pisang di blog Kak Izah Daut itu memang lain dari selalu yang saya buat, jadinya saya mesti cuba untuk suami makan! He he he…..

*ramai yang tegur, “Encik abang awak dah naik ya badan dia!”

Saya jawab , “ Senang hati, chep Dihah suka masak!”

Saya tersenyum-senyum lagi!



DSC03449



Betul bukan saya cakap, apam ini gebu macam pipi saya! hehe


BAHAN-BAHAN
sumber : Kak Izah Daut

* 1 cawan gula pasir
* 1 cawan air (*untuk gula hangus)
2 biji telur
1/2 cawan minyak masak
2 sudu besar marjerin
2 sudu susu pekat *Dihah guna 4 sudu
1 sudu teh soda bikarbonat.
1 1/2 cawan tepung gandum.


1. Gula dihanguskan sehingga berbuih kemudian dicampurkan dengan air. Sejukkan.
2. Didalam blender masukkan telur,susu,minyak dan marjerin kisarkan anggaran 3 minit
3. Masukkan gula yang telah disejukkan tadi bersama-sama soda bikarbonat dan dikisarkan lagi.
4. Akhir sekali masukkan tepung dan dikisar lagi sehingga sebati.
5. Kukus adunan tadi di dalam loyang yang telah disapu dengan minyak masak selama 45 minit.
6. Boleh juga menggunakan acuan mangkuk plastik.
*Sekiranya adunan nampak cair bolehlah ditambah sedikit tepung agar apam tadi tidak mendap dan basah dibahagian bawahnya

Hasilnya adalah yummy! yummy!

27 Jun 2011

Pensel - cerpen pendek adaptasi novel Andai Gerimis Berhenti

Cabaran cerpen ini adalah dari Cikpuan Azzah AR, Rahmah Mokhtar, Tuan Baharuddin Bekri dan ramai lagi di Facebook untuk tajuk ‘Pensel’. Maka, akhirnya saya menyahut cabaran ini dan akhirnya cerpen ini saya angkat dari kisah Andai Gerimis Berhenti.


***


“Jika sebatang pensel itu boleh mengeluarkan banyak warna seperti pelangi, maka akan saya gunakan sahaja ia untuk mencorakkan kebahagiaan kita!” suara Aisya gemersik menghantar hati lelakinya ke daerah yang sungguh mempesonakan.

“ Kebahagiaan kita ya? Rasa macam kita bercinta pula! Umur baru 17 tahun, sudah pandai ya! Nanti emak Aisya marah abang!” tegas Najmi lagi. Kemudian dia ketawa.

“ Eh, Aisya bukankah adik abang? Emak bukan marah, tetapi risau, anak gadisnya asyik sahaja dengan Abang Najmi dan Najihah ke sana dan ke sini!” wajahnya merona merah. Aisya tetap mahu mempertahankan hubungan persahabatan mereka walau emak berkali-kali marah dan menentang. Walau mereka berjiran. Suara emak pastinya setiap petang terjerit-jerit memanggil namanya.

Najmi menyambung ketawanya dan pantas berbicara, “Iya, tapi mana mahu letak si Najihah yang kuat cemburu itu?”

Mulut Najmi mengherot pada Najihah, adik kembarnya yang sedang membetulkan tali layang-layang di hujung padang.

“Najihah tetap adik kandung abang bukan? Dan Aisya?” tanya Aisya tiba-tiba.

Najmi memandang Aisya. Dia tersenyum lagi. Pensel yang sedang digunakan untuk melakar wajah sahabat baiknya kembali melayang-layang. Kemudian mereka sama-sama memandang lukisan yang sedang Najmi lakarkan.

“ Aisya tetap adik abang dunia akhirat. Nanti bila sudah besar, kita kahwin ya!” Lelaki itu tersenyum-senyum sambil memandang Aisya.

Hening.

Mata Aisya berkerut. Hati gadis remajanya tiba-tiba berdenyut kencang. Aduh! Ini cinta monyetkah? Bukankah emak sudah bilang dan nyatakan beberapa kali kepadanya, emak tidak suka anak emak ke sana ke mari dengan Najmi dan Najihah. Kamu sudah jadi anak dara! Nanti Nenek Hanisah dan ibu bapa Najmi akan marah lagi! Ingat pesan emak!

Mata Aisya terkebil-kebil dan kemudian mencerut.

“Kenapa mata Aisya berkerut?” Najmi memandang Aisya.

Aisya ketawa tiba-tiba. “Siapa mahu kahwin dengan abang ! Sudahlah kuat makan, kuat berangan. Aisya mahu kahwin dengan Zulkarnain!”

“Perasan!” Najmi menjelirkan lidahnya. Mereka sama-sama tertawa.

Aisya tersenyum. “Aisya tak mahu kahwin dengan abang!”

Najmi menjelirkan lidahnya sekali lagi dan tangannya pantas melakar wajah Aisya dengan penselnya. Dia lebih suka melakar potret seseorang dengan lakaran penselnya sahaja.Kata guru di sekolah, potretnya akan lebih cantik dengan mencorak mengggunakan pensel! Malah,Tuhan hadiahkan keajaiban untuk jemarinya melakarkan wajah sesiapa sahaja.

Aisya yang masih bertenggek di atas sebuah batu, di bawah pohon rendang terkelip-kelip lagi. Kawasan lapang menjadi tempat permainan kanak-kanak mereka menjadi saksi persahabatan ini. Kawasan menghijau yang turut meredupkan menjadi teman mereka.

Mata sudah hampir kuyu!

“Cepatlah! Aisya mahu balik! Nanti emak marah!” Aisya membetulkan duduknya.

Najmi berdeham. “Isk, duduk diam-diam. Sekejap lagi siap lukisan ini. Ala, emak marah sekejap sahaja. Lagipun Najihah ada bersama dengan kita. Jangan ubah kedudukan duduk ya!” dia separuh menjerit. Matanya bulat besar tanda marah dengan sikap Aisya.

Aisya mendengus lagi. Dia membetulkan duduknya dan memandang tepat Najmi yang tersengih macam kerang busuk!

“Kamu sudah berjanji! Nanti habis sahaja lukisan ini, abang hadiahkan coklat ya. Untuk Aisya dan Najihah sekali.” Najmi tersenyum lagi. Dia mahu menambat masa gadis pingitan tersebut. Lukisan ini akan siap beberapa minit lagi.

Aisya mengeluh. Mulutnya terkumat-kamit lagi!

Haaaa…mengumpat!” Najmi tersenyum lagi.

“ Mana ada mengumpat! Cepatlah. Aisya mahu balik, nanti emak marah!” balasnya segera.

Najmi melontar pandangannya ke arah Najihah yang sedang leka membaca buku di satu sudut hujung padang. Adiknya selesa bersimpuh di bawah pohon rambutan tersebut. Layang-layang sudah berteleku menemani adiknya yang seorang itu. Najihah yang menjadi teman ketika dia dan Aisya bermain. Najihah juga adiknya yang sentiasa cemburu akan keakraban antara dia dan Aisya.

Angin pantas menderu. Menemani mereka berdua di sebalik pohon rendang yang selalu menjadi saksi pertemuan. Ahh, persahabatan zaman kecil ini adakah akan tamat kelak ? Tuhan, jangan pisahkan kami. Jangan pisahkan hati dan jiwa yang telah bersatu sejak zaman kecil lagi. Mata Najmi menyorot lagi wajah keanak-anakan Aisya. Comot ! Tetapi baginya wajah Aisya menarik apabila sesekali dipandang. Ada keredupan. Resahnya akan hilang tatkala melihat senyuman Aisya.

Dia tersenyum sendiri memandang lukisannya. Matanya cepat menangkap susuk tubuh si gadis genit itu. Aisya sudah berlari-lari anak melambai-lambainya.

Pensel di jemarinya lantas terhenti.



***



“Aisya mahu pensel itu boleh?” tanya Aisya. Beg sekolahnya dibetul-betulkan. Najmi memandang pensel dan lukisan yang berada di dalam bakul basikal gadis berkenaan.
Mereka berjalan lagi. Menolak basikal masing-masing dengan perlahan. Cara ini, boleh sahaja membuatkan mereka berbual-bual lebih lama. Itu permintaan Najmi yang sentiasa membuatkan Najihah mencebik. Macam belangkas!

Beritahu mama, abang suka dengan Aisya!

Beritahulah. Abang tak takut pun!

“Hadiahkan untuk Aisya ya. Bersama dengan lukisan semalam. Itu lukisan semalam bukan? Hadiahkan lukisan wajah Aisya dengan pensel itu, boleh? Untuk kenang-kenangan.” Aisya masih mengomel-ngomel. Sedangkan Najmi masih diam dan menolak basikal tanpa ada semangat. Najihah seakan sama dengan abang kembarnya. Wajah masam mencuka. Mata tidak bersinar seperti selalu. Rambut berombaknya juga seperti tidak bermaya dan tidak terurus. Wajah mendung bagaikan hujan lebat mahu tiba.

Mereka masih setia menolak basikal.

Perlahan.

Soalan dari bibir munggil Aisya tiada jawapan.

Sepi.

Aisya menjadi hairan dengan sikap Najmi dan Najihah yang membisu tanpa kata. Mereka berdua yang diam seribu bahasa. Tiada gurauan dan perbualan seperti biasa. Abang Najmi marahkah dengan sikapnya semalam yang melarikan diri sebelum lukisan habis dipotretkan? Marahkah Abang Najmi? Aisya terkebil-kebil lagi. Menolak basikal tanpa ada perasaan dan semangatnya seolah melayang-layang terbang tinggi.

Dia mendongak melihat burung camar yang setia terbang menemani. Angin dingin dan panas terik tengahari menemani mereka. Wajahnya merah-merah tanda hangat panas mentari. Najmi menjeling nakal gadis pujaannnya. Namun dia sembunyikan matanya dengan lirikan terus ke arah lukisan dan pensen-pensel yang digulungkan dengan getah agar tidak bertaburan di dalam bakul milik basikal Aisya.

Sehingga ketiga-tiga mereka sampai di persimpangan yang memisahkan rumah mereka. Emak sudah berdiri di hadapan pintu. Tangga batu rumah Melayu Melaka tersergam di hadapan mata.
Nenek Hanisah yang berada di pangkin hadapan rumahnya turut sama menanti. Pohon redup menjadi pembahagi. Pasu-pasu bersama pokok bunga kertas yang berwarna-warni turut sama memberikan hangatnya suasana.

Najmi menarik nafas perlahan. Najihah memandang abangnya. Aisya mengambil lukisan dan pensel-pensel yang berikat getah. Lantas dihulurkan perlahan kepada Najmi. Basikal ditongkatkan agar tidak jatuh.

“Sudah sampai! Aisya naik ke rumah dahulu ya. Petang nanti jangan lupa kita akan ke halaman hijau ya!” Namun huluran lukisan dan pensel berkenaan masih tidak bertukar tangan. Najmi memandang Aisya tanpa kata. Perlahan-lahan lukisan dan pensel berkenaan diletakkan ke dalam bakul basikal miliknya. Dia pasti, Najmi mahu dia membawa lukisan itu petang ini untuk sesi menghabiskan memotret dan melakar wajahnya.

“Okey, petang nanti kita jumpa ya!” Najihah pula menjawab bagi pihak abangnya. Namun dia perasankan wajah mendung abangnya itu. Juga wajah sedih Aisya yang tidak dipedulikan abangnya. Terasa pula bersalah kerana sehingga sekarang mereka berdua ‘masih merahsiakan’ perkara berkenaan kepada Aisya.

Aisya pantas menolak basikalnya ke halaman rumah. Emak sudah tersenyum memandang mereka.

Beberapa langkah kakinya dihayunkan, suara Najmi lantas bergema perlahan.

“Abang Najmi akan ke Australia selepas keputusan SPM nanti.”

Angin dingin menyerbu wajah Aisya. Gemuruh jiwa dan seluruh perasaannya terasa di bawa pergi dengan banyak kenangan bersama seorang ‘abang’ paling akrab dalam hidupnya.

Dia kaku berdiri di situ.

Sebatang pensel jatuh dari ikatannya.

Aisya berpaling segera. Memandang Najmi dan Najihah yang berwajah mendung. Wajah yang sungguh merusuhkan jiwanya kala ini. Basikalnya lantas jatuh dan air mata hangat terasa mengalir-ngalir sepi.

Pensel akhirnya bergolek-golek ke hujung kasut sekolah Aisya.

“Sungguhkah?” suara Aisya lantas bersatu dengan angin. Najmi mengangguk perlahan-lahan. Dia berjalan menuju ke arah Aisya. Mengutip pensel yang menanti ‘tuannya’.

Nanti pensel ini akan jadi kenangan kita. Juga lukisan ini.” Tangan Najmi pantas mengambil lukisannya di dalam bakul basikal Aisya. Ditongkatkan kembali basikal milik Aisya. Dan tangannya menghulurkan lukisan bersama penselnya. Dibuka ikatan reben merah lukisannya dan dipaparkan wajah Aisya yang dipotretkan bersama pensel ajaib miliknya. Wajah Najmi tenang. Walau hatinya, jiwanya dan perasaannya telah dibawa pergi semenjak papa menghubunginya pagi tadi.

Semenjak beberapa jam yang lepas, dia membawa diri. Lelaki itu membawa hatinya jauh-jauh pergi ! Dan ketika waktu rehat di sekolah, dia mencuri-curi melihat wajah Aisya yang menjadi sahabat, teman, adik dan gadis pujaannya itu dengan tenang.

Najihah memandang abangnya.

“Aisya jangan rindukan abang ya!” Najmi masih cuba untuk tersenyum dan masih mahu bergurau dengan adik kesayangannya.

Saat itu juga, Aisya lantas berlari. Keluar dari kawasan rumahnya dan membawa kakinya bersama dengan kenang-kenangan.


23 Jun 2011

Dan Gerimis Berbisik


Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah SWT kerana novel ketiga ini bakal diterbitkan 12 Julai 2011. Novel dwilogi kedua Andai Gerimis Berhenti ini pastinya mengancam! *haish...memang saya rasa mahu melompat tinggi! Akhirnya baby ketiga ini diam tak diam, muncul akhirnya. Bila editor berym dengan saya, rasa mahu berlari-lari mengejar pelangi! Subhanallah, akhirnya lelah dan penat saya bersama buah hati pengarang jantung ini berbayar juga. Paling penting, terima kasih tidak terhingga kepada editor yang tabah, bertungkus lumus meladeni manuskrip ini. Hanya Allah SWT yang membalas jasa baik kalian melayani manuskrip dan karenah saya. Oh, rasanya seperti mimpi lagi!

Saya mahu mendaki pelangi dan menyusurinya dengan seronok! Mahu kata yippie!Yeah!

Semangat kembali akhirnya! Mahu meneruskan baki-baki manuskrip yang terbengkalai kerana sikap 'malas' saya. Doakan saya semua teman-teman.

Dan Gerimis Berbisik, novel cinta selepas perkahwinan, novel kasih sayang bersama alam, novel kasih dan sayang bersama anak-anak yatim yang mencipta banyak rasa! Gerimis hati terubat akhirnya. Syukur, Ya Allah.

Dan saat-saat ini, lantas saya terkenangkan, betapa Allah SWT mencipta bahagia kepada saya mungkin dengan begini. Ya, nikmat mana lagi yang harus kita dustakan.

Selamat membaca novel, selamat menjadikan novel ini sebagai cinta di dalam jiwa! Nantikan ia terbit 12 Julai ini. Hadiah hari jadi sekali lagi untuk saya. Amin. Amin. Amin. Alhamdulillah.



22 Jun 2011

Gerimis hati.

DSCN0528




Anak along Fais. Ismahani namanya. Macam anak Jepun!







Cerita terbaharu penulisan saya? Makin merundum rasanya. Makin malas dan makin menyepi. Memang ada proposal saya layangkan. Juga beberapa manuskrip yang sudah menjangkau ke berbelas-belas bab.

Terhenti akhirnya. Entah kenapa. Semangat itu entah kenapa melayang-layang pergi.

Tetapi InsyaAllah, jadual akan padat selepas novel ketiga saya diumumkan di blog ini nanti. Semangat akan kembali ke kemuncak selepas novel ini saya tatap sendiri. Betul atau tidak, berbalik kembali kepada mood saya sebenarnya. Entahlah mengapa malas. Malas dan malas menulis sekarang ini! Sebenarnya saya juga tak sabar menanti kaver novel ketiga dan mengetahui tarikh terbitnya. Mahu loncat-loncat dan peluk buku baharu saya! Yeay!Apa-apapun, saya masih menanti akan ketabahan editor yang bertungkus lumus menyiapkan manuskrip, menyelesaikan pilihan kaver dan apa-apa juga berkenaan soal penerbitan.


Perlu kita fahami, editor seperti kita juga. Perlu masa dan ruang untuk menyelesaikan perkara berkenaan penerbitan. Editor banyak manuskrip lain yang perlu mereka lunasi juga. Jangan risau jika ada kawan-kawan lain yang mahu menulis dan rasa terbantut kerana menanti proposal dari editor yang tak muncul-muncul lagi. Setujukah atau tidak setuju. Paling tidak, cubalah emel atau berym dengan baik. Insya-Allah, mereka akan melayani kalian dengan mesra. Fikir yang positif ya!

Oh ya, blog ini bertukar wajah lagi. Lebih ceria dan lebih meyakinkan saya. Memang saya cepat jemu orangnya dan akhirnya saya berjaya membuat header blog sendiri dengan bantuan Photoscape. Cantik bukan? Cheh, perasan sendiri!

Sekarang juga mood memasak saya cukup tinggi. Segala macam apam, kek cawan, mapin dan menjadi chep pula ya saya! Ya, mungkin kerana kadang-kadang bosan dengan jadual harian saya. Mungkin kerana menulis sudah tidak rajin lagi dan akhirnya saya panjangkan jemari saya pula untuk memasak. Memang menggembirakan diri. Lagi-lagi kerana terasa benar sunyi diri ini. Bukan sunyi tidak berteman, tetapi seperti biasa, bila sudah berkahwin mencecah ke angka 1 tahun 6 bulan, tanpa ada baby..cukup benar terasa sunyi ! Mentelah lagi kawan-kawan yang berkahwin semua sudah ada baby. Tak rasa ada air mata mengalir ni? Eceh! Bak kata Aiman, ..touching! touching ! Paling sedihlah, bila jiran-jiran, makcik-makcik saudara sibuk bertanya. Kata A lah, B lah…berapa bulan lah? Aik?

Ketika itu juga saya rasa sangat oren! Sangat merah! Sangat hitam !

Hidup perlu diteruskan, kaki harus terus melangkah dan langit akan terus berwarna kebiru-biruan untuk memayungkan hati dan jiwa saya. Dan angin akan terus menjadi kawan dan teman sejati saya. Burung camar akan terus terbang tinggi membelah awan! Tawakal tika dan saat ini memang mencengkam dan terasa sayu saat-saat memikirkan, mungkin ini tandanya, Allah SWT sayangkan kami. Maka ujian ini tanda Allah SWT ingatkan kami.

Sungguh, dalam ketawa sebenarnya banyak rasa hati dan jiwa saya sedang berkelana. Jauh dan jauh di sudut hati ini, banyak gerimis melanda!

Gerimis terus membisik.

20 Jun 2011

Muffin coklat cip yummy!

Muffin coklat chip yang yummy!

Alhamdulillah, akhirnya berjaya saya sudahkan membuat muffin gebu macam pipi saya.
Suka ya rabbi! Rasa mahu melompat-lompat peluk encik abang. Ops !

Mesti ramai yang tertanya-tanya, apa sudah jadi dengan saya ? Kenapa asyik membuat muffin? Kenapa mesti kuih apam? Kenapa? Kenapa? Adakah saya sudah beralih genre? Menjadi chef? Oh….tidak..tidak!

Semua ini berlaku secara tidak sengaja sebenarnya. Oven elektrik sudah dapat percuma dari adinda Fared, bakat yang ada terpendam baik jangan dipendam-pendam ! Iya tak ? Iya tak ? Eceh ! Juga saya mahu sesuatu perubahan dalam jadual waktu saya. Juga kerana tak mahu pemakanan suami dan saya sama sahaja menunya. Sebagai seorang isteri amnya, kita kena sentiasa perbaiki menu, merubah masakan agar suami suka dan sa…sa…sayang dengan kita. Sebab isteri mesti pandai masak ! Betul bukan tulisan saya ini ? Saya tak mahu encik abang jemu! Kadang-kadang saya macam bosan duduk terperap apabila tidak menulis.



Maka sebab itu fikiran ini sentiasa ligat berfikir! Sentiasa mahu ada sesuatu yang tidak membosankan dalam jadual waktu saya. Maka, lebih baik saya memasak dan sekurang-kurangnya berpeluh juga saya bila berada di dapur. Seronok o….siapa kata masak itu bosan! Macam emak saya, main campak-campak sahaja bila masak! Hasilnya jangan dikatalah! Mabeleessss!

Okey, ini hasilnya semalam. Muffin coklat yang saya buat pada hari Sabtu tak menjadi sangat. Kemudian, dengan tak berputus asa, saya membikin lagi muffin baharu semalam. Coklat cip yang membikin jiwa raga saya sungguh menggiurkan!

Ini dia muffinnya! Coklat yang cair di dalam mulut! Memang terbaiklah !


mapin coklat chip


Resipi :
Sumber : Kak Izah Daut

2 cawan tepung superfine
1/3 cawan gula perang
1/3 cawan gula
2 sudu kecil serbuk penaik
Sedikit garam
2/3 cawan susu segar
½ cawan mentega
2 biji telur
Sedikit esen vanilla
1 paket coklat chip
Coklat urai untuk hiasan

Cara-cara :

1. Tepung, serbuk penaik diayak.. Campurkan bahan dengan gula dan garam.
2. Susu, telur, mentega dan esen vanilla dimesin. *blender. Dihah tak gunapun pemukul atau whisk
3. Campurkan bahan dan gaul rata. Kemudian masukkan coklat cip.
4. Sedia dimasuk ke dalam acuan dan bakar dengan suhu 175 ‘c selama 20 minit.

Oh ya, ada lebih kurang 27 biji untuk mapin terbaik ini! Yeah!

15 Jun 2011

Muffin Pisang Kukus

255740_10150218025099516_829239515_7154371_6411713_n


Muffin Pisang Kukus

Muffin pisang buatan pertama saya yang tak berapa menjadi kerana esen pisangnya terlebih! Tapi tetap lembut walau amat pahit kerana rasa esennya. Nasib baik encik abang kata, dia mahu bawa ke kilangnya. Saya tersilap sikit membancuh kerana melebihkan telur 1 biji dan gula perang! Mungkin itu sebabnya resipi ini tak menjadi. Tak apa, saya akan cuba lagi. *memanglah frust sangat malam tadi sebab kuih ini tak sedap! Huwaaaa

Okey, untuk kawan-kawan yang mahu mencuba bolehlah ya!


Bahan-bahan :


Sumber : Kak CT & Mat Gebu



1 1/2 cawan tepung gandum

*1 camca teh baking powder

*1/3 camca teh garam halus

*3/4 camca teh soda bicarbionate * ( *disatukan dan diayak)

3 biji pisang emas, dilecek halus

1 camca besar mayonnaise

1 biji telur gred B

Beberapa titik esen pisang

1/3 cawan gula perang @ soft brown sugar (resipi asal guna 3/4 cawan gula halus)

1/3 cawan mentega cair (Dihah guna minyak jagung Daisy)


Cara-cara :
1. Panaskan kukus. Dalam satu bekas, satukan telur, gula perang dan mayonnaise, kacau rata dengan whisk hingga sebati. *Dihah guna senduk saja! Tapi gebu dan lembut! Masukkan pisang, minyak jagung daisy, esen pisang. Kacau rata.


2. Masukkan tepung yang telah diayan bersama bahan2 yang bertanda * tadi, gaul pantas hingga sebati, jangan gaul lama2.


3. Sudukan ke dalam bekas muffin yang telah disediakan terlebih dahulu sebanyak 3/4 penuh. Kukus 20 minit atau hingga masak. Sejukkan atas jaringan sebelum dihidangkan.

Okey, yummy! Boleh siap dimakan. Jangan lebihkan esen pisang ya! hehehe