Pages

26 Ogos 2007

Saya Anak Malaysia


Merdeka,
Pada asas yang penuh hiba..
Biar merdeka hanya pada nama..
Namun sia-sia bagi mereka..

Merdeka
Pada asas perjuangan agama..
Lantaran merdeka sudah sebati dalam jiwa
Namun mereka banyak lupa..

Merdeka
Pada anak muda belia
Pada pendaki malam
Pada jeritan kelip-kelip malam
Separuh mereka tidak sedar
Akan bermakam durja

Merdeka
Yang hanya tinggal pada nama
Saya bangga menjadi Rakyat Malaysia
Namun ramai termenung penuh sia-sia

Hanya jasad, katakan cinta negara
Namun islam tergadai nyawa
Tinggal kenangan
Mereka...yang di sana....

Menjeritlah..jeritlah....!
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Di sini,
Tiada lara...
Tiada jiwa...
Lantaran ramai yang terlupa...
Kerana merdeka...
Lalai seketika...

21 Ogos 2007

Yang Mana Satu??

Kalian diberi PILIHAN :

Kuih Donut yang gebu....menyelerakan (perut sedang lapar ni ) Diamnya sebegini:

1) Di dalam bekas yang terdedah. Gulanya masih ada, tapi macam tak ada. 'Makcik memang sengaja buka penutup bekasnya, beri pelanggan nampak'.

2) Di dalam bekas yang tertutup cantik. Gulanya masih elok melekat. 'Makcik memang tutup yang ni..pelanggan banyak pilihan...ha...pilih-pilih...pilih...laungnya.....'

16 Ogos 2007

Bagai Pinang Dibelah Dua

Sabtu – 18 Ogos 2007. saya dan sahabat sepejabat ke Bangi mengunjungi teman sekerja yang selamat menjadi raja sahari. Alhamdulillah. Seronok tidak dapat saya gambarkan. Ucapan Khas Selamat Pengantin Baru – Wan Nur Saaraa Wan Manshol & Mohd Zulhisham Ismail : Semoga bahagia ke akhir hayat dan sentiasa dirahmati. Bahagia ke anak cucu dan rezeki dilimpahkan. Amin. Kesyukuran dipanjatkan dan semoga sentiasa mengurusi diri ke arah keluarga islami dan bersemi menjadi cinta sejati. Bulan merdeka dan cuti sekolah, ramai sahabat-sahabat akan menamatkan zaman bujang. Ada juga suara-suara mengusik… “ Ha…bila lagi…?”
“Lepas ni siapa pula..?” Saya senyum sokmo sahaja. InsyaAllah. Hari bahagia akan mendatang. 1, 2, 3 atau 4 tahun menjelang. Doakan kita semua semoga beroleh kejayaan, kebahagiaan dunia dan akhirat.



Ehem-ehem.........



Terdapat satu kisah bersemi mengenai “Cinta Sejati” . Cinta yang membawa kepada Ilahi. Cinta yang pasti membawa kepada bahagia.

Seorang hamba sahaya bernama Tsauban amat menyayangi dan merindui Nabi Muhammad saw. Sehari tidak berjumpa Nabi, dia rasakan seperti setahun. Kalau boleh dia hendak bersama Nabi setiap masa. Jika tidak bertemu Rasulullah, dia amat berasa sedih, murung dan seringkali menangis. Rasulullah juga demikian terhadap Tsauban. Baginda mengetahui betapa hebatnya kasih sayang Tsauban terhadap dirinya.

Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah saw. Katanya "Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan bergembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati saya bertambah cemas, takut-takut tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi, manakala saya belum tentu kemungkinan di syurga paling bawah atau paling membimbangkan tidak dimasukkan ke dalam syurga langsung. Ketika itu saya tentu tidak bersua muka denganmu lagi."

Mendengar kata Tsauban, baginda amat terharu. Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah. Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah saw, bermaksud "Barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka itu nanti akan bersama mereka yang diberi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan mereka yang sebaik-baik teman."
Mendengarkan jaminan Allah ini,Tsauban menjadi gembira semula. Gambaran ini jelas memperdengarkan kita tentang perhubungan, persahabatan, ukhhwah dan jalinan sesama insan.



Tak sempat bergambar dengan pengantin, tapi sempat juga merakam kenangan di belakang pelamin dan hantaran. Istimewa hantaran Kak Saraa, kerana dibuat sendiri. Cantik dan tak jemu mata memandang.
Saya kongsikan gambar-gambar kenangan di sana.
“ SELAMAT PENGANTIN BARU KAK SARAA DAN ABANG SHAM”

12 Ogos 2007

Senaskah Ilham

Advencer Si Peniup Ney, penuh pengembaraan. Novel ini pernah memenangi Hadiah Pertama Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera 2004 Kumpulan Utusan.

Ia penuh murni. Dibahasakan dengan penuh keremajaan. Memang agak lewat saya mendapatkan buku ini. Namun penuh makna. Kisah ini di angkat dan berlatarkan dunia jin dan manusia. Menyelitkan kehidupan dunia jin berdasarkan konsep Akademi Fantasia. Faisal Tehrani suka menulis berdasarkan kenyataan. Apa yang nyata dan diselidiki, ada kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha, namun tidak direalisasikan supaya Ustaz Sulaiman dan Puteri Simone berkahwin nyata. Alih-alih si Jin Justine berkahwin dengan Puteri Simone cantik jelita. Bezanya – resam dunia manusia dan dunia jin.

Karya ini merunut kehebatan kesenian Islam yang telah melahirkan tokoh-tokoh sufi dan falsafah selain menyerlahkan nama-nama seperti Ibnu Misjah, Ibnu Suraj, Ata Abi Rabah, Yunus Kateb, Ibnu Farabi, Ibnu Sina dan Yunus Emre.

Pengembaraan ini penuh fantasi. Saya cukup tertarik. Saya ambil masa 4 jam untuk habiskan novel ini. Anda percaya?

Sifu saya, pernah mengatakan supaya membikin novel atau cerpen yang ‘JAUH’ . Untuk remaja. Bagi menyedarkan remaja tentang realiti kehancuran mereka. Realiti kehancuran dunia remaja yang tidak lagi berpaksi kepada Al-Quran dan Sunah. Biarpun saya cuma belajar untuk menulis serba sedikit darinya, tapi saya menganggapnya sifu – saya yakin selepas ini ramai yang akan menyampah dan meluat dengan kehadiran nama FT di sini, sebab ramai yang anti padanya. Saya tidak kisah, kerana ilmu itu terbentang luas. Di mana sahaja,carilah.

“ Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad..”

Jika kisah ini disambung, pasti lebih menarik dan menambah magis juga fantasi..saya sokong sepenuhnya. Tetapi mahukah remaja membelinya? Jika ada 2 pembaca sudah cukup bagus…jika bertambah 3, lagi berjaya.

Beberapa naskah ilham saya makin tersusun . Saya memenuhi masa dengan lapangan blogging juga membaca. Senarai ini belum habis saya baca !

20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam- Dr Zakir Abdul Karim
Hijaab Waali The Veiled Girl – Dr Syed Ikram Hussain Abidi
You Can Be The Happiest Woman In The World – Dr Ai’d Al-Qarni
Ikan fugu, Lukisan & Jimson – Faisal Tehrani
1515 – Faisal Tehrani
Impian Palestin – Randa Ghazy
Bagi Golongan Yang Berpemikiran – Harun Yahya
Keindahan di langit – Harun Yahya
Mari Belajar Tentang Islam – Harun Yahya.
Imam – Abdullah Hussain

Saya mendapat hadiah – lama saya mahu update, tetapi ini masa yang sesuai – Novel Tautan Hati – Fatimah Syarha Mohd Noordin. Terima kasih buat yang sudi memberikan nya. Sungguh saya suka. Penuh murni. Baru setengah saya habiskan. Mengambil masa juga, kerana novel ini tebal dan menuntut saya menghabiskannya perlahan-lahan.

Saya membeli semula, Apa Ertinya Saya Menganut Islam – Fathi Yakan. Buku ini saya baca semasa zaman perubahan saya (long story, kena buka laman usrah….)

Kemudian saya berikan kepada kakak ipar yang “convert” to islam. Saya membeli semula, kerana buku ini wajib bagi saya ulang setiap masa. Saya cadangkan anda memiliki senaskah. Untuk pejuang islam, sahabat juga sahabiah anda harus memiliki buku ini.

Semua senarai ini menuntut saya mendiamkan diri di dalam bilik. Membaca dan mencari idea baru. Lap-top kekadang terhenti dari menulis dan hanya 1 bab sahaja untuk saya habiskan. Payah juga. Edit dan perah idea di saat akhir.

Saya termenung. Hajat ke Kinokuniya saya batalkan, kerana akan keseorangan. Hujan juga makin menggila lebat. Kawan-kawan di rumah, banyak aktiviti. Selalunya, saya tanpa teman dan tanpa sesiapa. Saya lebih senang mencari ilham dan berjalan-jalan sendiri. Melihat LRT bergerak dan telatah remaja di dalamnya. Sahabiah seperjuangan, semua jauh-jauh. Bergerak atas landasan islam, dan kami makin erat meski berjauhan sebegini. Memperingati antara satu sama lain. Itu penting . Kerinduan terhadap mak dan ayah juga adik-adik, menggamit diri. Sayu pula saya. Kerana saya seorang di sini. Mengadap lap-top kemudian rintik-rintik hujan menemani saya. Saat azan zohor, mencubit naluri saya. Betapa rindu saya semakin mencengkam naluri. Semoga Hidayah itu bersemi di dalam hati mereka semua. Amin.

09 Ogos 2007

Salam Kerinduan Sahabiah Tersayang


Menyusuri hari-hari ini, bagaikan air yang mengalir. Puas saya menyatakan pada diri, agar tenang dan sentiasa mengingati tujuan hidup di muka bumi. Bulan kemerdekaan, semoga terus memerdekakan diri kita semua. InsyaAllah.
Selamat hari lahir untuk Sahabiah…Suriani Bte Abdullah sudah 24 tahun, menjelmakan banyak kenangan dalam diri kita. Sesungguhnya walau “mengambil terlalu lama untuk mengenali hati budi, namun persahabatan sudah menjadi satu keindahan”. Terima kasih untuk setiap sokongan sahabiah-sahabiah. ~Sue, ana letak nama anti penuh di sini...tak apa ya...tumpang glamour di sini~



Juga semoga perkahwinan Hj Mohd Lutfi Ameer Abdullah dan pasangan, anak usrah yang macam tak percaya, mendahului kakaknya…Shamsila. Semoga kedua pasangan ini bahagia ke anak cucu. Amin.
Kak Asiah juga dengan pasangannya. Rakan-rakan On-Boarding Programme yang semakin lama dari hidup seorang ke ‘berdua’. Semua kerja tuhan, bukan.???
Bob dan pasangan, (lama nak beri ucapan..so ni baru sempat) Dengar-dengar dah nak dapat baby. Alhamdulillah, Nuraidah Mohd Ariff & Jusrianur Jamaluddin dan yang terbaru Encik Mui’zz & Lydia. Semoga semua berbahagia ke anak cucu dan beroleh ketenangan kehidupan.




Untuk catatan hari ini, sedikit sebanyak saya simpulkan, kehidupan adalah seperti roda. Sekejap di atas dan kemudian di bawah. Mengasihi dan sentiasa menjadi insan paling baik dan terbaik. Itu impian setiap kita. Sentiasa merapatkan, menghulurkan ukhwah dengan setiap sahabat dan sahabiah. Memperingati antara satu sama lain dan sentiasa berlapang dada. Jalan Islam penuh hikmah. Minda saya lantas teringatkan Rumah Sewa zaman perjuangan dahulu. Sekarang juga berjuang, bukan. Biar bukan di landasan sama, namun hati kita masih serupa. Yakinlah, jalan yang kalian pilih adalah terbaik dan sentiasa ingat, untuk membantu Islam walau dengan apa dan cara bentuknya.


Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah “ialah orang yang takbur.”

Riwayat at-Tarmizi

Pstt~~ gambar pengantin tu, gambar Shahrizal & isteri (Bob)....terima kasih sudi berikan keizinan...

06 Ogos 2007

10 Pra Ramadhan

  • Bersedia dari segi mental dan rohani. Bisikkan pada diri, Ramadhan di ambang, dan kita menerima kedatangannya
  • Latih diri secara fizikal dengan membanyakan puasa sunat Rejab dan Syaaban
  • Oh ye, kalian jangan lupa, gantikan puasa Ramadhan yang lalu. Jangan abaikan tanggungjawab ini. Wanita memang banyak keistimewaanya kerana ada cuti solat dan cuti puasa. Masa masih ada, so….kalian jangan lupa ganti. Bagi terbuka…terlupa…jangan buat-buat lupa ya!
  • Mulakan tadarus sekarang. (membaca al-quran). Bagi wanita, bolehlah bermula sekarang, mencari sahabiah-sahabiah untuk memulakan tadarus
  • Biasakan diri dengan amalan sunat seperti bersedekah. Amalan sedekah sinonim dengan Ramadhan yang berkat. Jadi, belajar-belajarlah untuk menghulurkan pada mereka yang kurang berkemampuan mulai sekarang.
  • Bermuhasabah diri dan renung kembali amalan yang sepatutnya dilakukan sebelum,semasa dan selepas Ramadhan.
  • Mengulangkaji ibadah puasa. Rukun puasa, syarat, sunat, makruh, adab-adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmah yang terkandung di dalam Ramadhan. InsyaAllah.
  • Jangan ‘gelojoh’ mempersiapkan persiapan hari raya. Biarlah ala kadar dan bersederhana. InsyaAllah, masa akan tiba.
  • Pertingkatkan kualiti kerja di pejabat dan di mana sahaja.
  • Berdoalah mudah-mudahan dapat dipertemukan pada Ramadhan yang bakal tiba dan menanam azam bahawa Ramadhan ini akan menjadi yang terbaik dalam hidup
~Nur, Ogos 2007~

03 Ogos 2007

Ku kirim berita


Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai saya antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan…

01 Ogos 2007

~Friendly Reminder~


Ogos menjelang tiba, dan tatkala menjelang Syaaban dan Ramadhan..rasa rindu. Bahkan dalam Rejab kami dan saya (sahabat serumah) sudah bertatih untuk berpuasa sunat. Mujur Qada’ Ramadhan lepas sudah dibayar, dan Rejab ini memungkinkan saya untuk mendapatkan sesuatu. Genap 17 Rejab, ketika artikel ini ditulis hati saya berbaur-baur kerana kita semua memperoleh nikmat islam, iman juga ihsan. Alhamdulillah. Dan kita semua masih menikmati banyak nikmat yang di berikan.

Berdoalah di sujud terakhir “ Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar….”

Saya terperasan kan diri saya, kerana sepanjang bulan Julai, hasil penulisan blogging saya tidak serancak yang seawalnya. Malah, jika dinilai 1 hingga 10, blogging saya boleh dikatakan agak 2 atau 3. Teruknya….Entah kenapa agaknya. Mungkin agak risau menghabiskan karya dan janji saya kepada penerbit.

Menghadirkan diri ke “International Islamic Fair 2007 di PWTC” ~28/07/2007~ menjadi satu keriangan. Cuci mata dan bershopping sakan. Sekurangnya masa saya , walau keseorangan (saya risau juga takut kena culik) tetap di isi dengan perkara bermanfaat. Saya sempat menyambar novel IMAM..(Saudara Faisal Tehrani- pernah bercakap tentang novel tersebut semasa bengkel. Jadi, saya telah memilikinya. Juga beberapa buku karya Harun Yahya. Banyak juga dalam minda saya tentang beberapa buku, namun saya tidak terjumpa. Ohh..bagi yang sudah cukup khaul (1 tahun bekerja) jangan lupa melunaskan zakat. Sempat menjenguk ke booth Zakat Selangor, mendaftar (alahai….saya ni nombor telefon sendiri pun lupa)…no telefon pejabat juga lupa. Malu pula pada saudara tersebut. Tapi, saya buat-buat tahu. Jika ada rakan di sebelah, saya akan bertanya sebegini :

“ Ehh..maaflah bertanya..nombor telefon saya berapa ya?”

“ 224 ke 244?” saya bertanya lagi.

Mereka tertawa. (selalunya A’norm akan jadi mangsa saya)

Di MPH saya menyambar 1515, Advencer si Peniup Ney dan beberapa lagi koleksi. Akan saya panjangkan kerana terlupa pula. Banyak juga membeli. Jangan tidak di baca wahai diri! Buku- buku yang ada tersusun …saya gamit penuh murni dan mesra. Buku-buku banyak beri kenangan dan keriangan. Majalah-majalah koleksi menghantui diri…mana satu saya harus habiskan….?

Kata sifu (menurut A. Samad Said)…..Satu ~ membaca! Dua ~ membaca! Tiga- membaca! Empat ~ membaca! Dan Lima ~ Menulis!. Jika yang ke Lima tidak menulis…??
Jadi…membacalah sahaja.