Pages

27 Jun 2012

Mr Pai Epal Bonus 2


Mr Pai Epal Bonus 2.

Doakan saya laju lagi menulis kerana manuskrip ini hampir siap. Plot sudah tersusun dan bonus ini untuk semua yang sentiasa ternanti-nanti
perkembangan kisah ini. Terima kasih semua untuk komen dan like like like.

Saya yang tak popular, (hahaha)
Mardihah. 
 
 lmh16

Dia sudah berkumis. Rambutnya panjang dan diikat satu. Kurus sahaja tubuh dan tidak terurus melihat bajunya. Sepanjang 1 tahun setengah yang berlalu ini, apa yang berlaku dengan kehidupannya?

Kenapa dia merenung aku sebegini? Mengapa ada air mata menitis di pipinya?

Mengapa dia mengangkat karung sampah dan keluar dari pintu belakang restoren mewah ini ?

Benarkah apa yang Zana katakan kepada aku tempoh hari? “Dia jadi pembantu dapur di restoren hujung sana tu, Yaya.”

Air matanya mencurah lagi.

“Dia sakit selama enam bulan selepas kau terbang ke Paris. Dia dihukum dengan kebencian umi yang meluap-luap kepadanya. Kerana Izz Amir masih setia menantikan kau, Yaya.” Suara Zana terapung-apung kala ini.

Bibirnya bergerak-gerak seperti mahu berbicara. Karung sampah yang sedang diangkatnya terjatuh. Dia terkedu. Aku tarik nafas. Merenungnya. Aku perhati susuk tubuhnya yang kurus ini. Wajah mendungnya penuh rahsia. Matanya berkaca-kaca. 

Ya, selepas tiga bulan dia berdiri menantikan aku di kota cinta ini. Setia merenung aku di depan apartment. Izz Amir kemudian menghilangkan diri sehingga aku sedar yang aku merinduinya. Dia sudah putus asa memujukku. Tetapi aku tahu, dia masih setia menyembunyikan diri di belakang bangunan itu. Lewat beberapa hari, bila aku menoleh, tubuhnya di belakang bangunan itu tiada. Sudah sebulan Izz Amir pergi. Selama sebulan itu juga aku kembali mencari dan menjejakinya. Adnan mahupun Munir, tetap mengatakan yang Izz Amir masih berada di sini. Dia menghilang tanpa khabar berita dan rupa-rupanya dia duduk di lorong ini. Oh tuhan…duduknya di lorong ini?

Kenapa dia tidak lagi berdiri di depan bangunan itu dan merenung aku. Kenapa Izz Amir tidak cekal menunggu aku yang sentiasa menyebut namanya di hati ini? Meski aku menolak dan rasa marah itu ada, aku tetap mencintainya.

Ya, dia Izz Amir. Namanya bernafas di jiwa ini. Semenjak pertama kali aku ditemukan dengan dia.

Kakinya melangkah setapak ke belakang. Dia nampak terkejut dengan kehadiran aku. Dia kesat-kesat air matanya.

“Umi buang dia dari keluarga, Yaya.” Suara Munir pula mengasak emosi. Penjelasan teman-teman seminggu yang lalu membuatkan aku diserang kepiluan.

Kaki aku melangkah. Perlahan-lahan berdiri di depannya. Aku masukkan jemari ke dalam baju sejuk. Bila aku renungnya, air mata aku untuk kesekian kali menemani. Hiba mengetuk pintu hati. “Kenapa awak tak makan ?

Dia diam. Matanya menunjukkan reaksi terkejut dengan sapaan pertamaku. Hampir dua tahun lamanya. Ini adalah pertemuan pertama meski sudah berkali-kali dia datang memohon maaf kepadaku. Ini juga kali pertama aku menyapanya.

Dia terkejut. Bibirnya bergerak lagi. Tetapi dia ternyata tidak mampu membuka mulut. Bibirnya seakan terkunci. Mati.

Angin berhembus lembut. Menemani pertemuan ini. Entah kenapa kaki ini kuat untuk berdepan dengannya. Air matanya laju lagi.

“Kenapa awak biarkan perut awak kosong dan sentiasa masuk hospital?” aku pandang dia.

“Kenapa awak tak makan sampai awak kurus macam ni? Makanlah sikit. Nanti kalau awak sakit, saya susah hati.” Ah – air mata aku laju dan terus deras . Dia sudah kurus. Nampak cengkung dan betul seperti orang sakit. Bola matanya tidak lagi bersinar seperti dahulu.

“Rambut awak pun dah panjang. Kenapa awak selekeh macam ni? Kenapa awak tak terus tunggu saya di depan apartment seperti selalu ? ”

Izz Amir kesat-kesat air matanya. Dia menangis dan setia merenung aku. Soalan-soalan aku membuatkan emosinya bergerak bersama air mata.

Aku gumam bibir yang bergetar. Senada dengan kesedihan yang membalut ruang hati. Melihatnya sebegini membuatkan aku jadi nanar. Simpati datang lagi.

“Kenapa awak masih sayang saya ? Kenapa?” 

Dia betul-betulkan topi yang menutup rambut. Tunduk menyembunyikan wajahnya.

“Dah malam Yaya, baliklah. Nanti awak sakit.” Akhirnya dia bersuara. Semudah itu dia menyuruh aku balik ke rumah. Aku gelengkan kepala.

Aku renung dia. “Kalau saya sakit sekalipun, saya tak kisah. Asalkan awak makan dan kembali sihat. Makan ya. Saya bawa nasi dan ayam sambal ni.” Cepat-cepat aku alihkan beg galas ke hadapan. Aku keluarkan bekal yang aku masak di rumah tadi. Bersungguh-sungguh aku menyelongkar beg galas ini. Aku mahu Izz Amir makan makanan yang aku bawa ini. Dari rumah tadi, aku sudah masak dan aku bertekad menemuinya di sini selepas dua hari aku menjejaki dia. Aku temui dia. Tuhan memakbulkan doa aku. Pertemuan telah kembali tercipta. Gigih aku menyusup masuk ke dalam restoren ini dan melihatnya bekerja di dapur restoren. Aku menunggu dia sehingga habis waktu kerjanya. Betul telahan aku yang dia keluar melalui jalan belakang. Ironinya, pertemuan antara aku dan dia mencipta berbagai rasa.

Di sini. Di lorong ini. Mata kami bersatu lagi.

Izz Amir senyum. Ada air mata di pipinya dan jantung ini terus berdebar hebat.

“Makan ya.” Aku hulurkan bekas berkenaan.

Entah kenapa air mata ini laju lagi. “Kalau awak tak makan, nanti awak sakit. Makan ya.” ‘perkataan’ makan menjadi topik utama pertemuan ini. Barangkali aku risaukan kesihatan Izz Amir sehingga aku asyik mengulang-ulang meminta dia supaya makan.

Izz Amir mengambil bekas dari pegangan ini. “Kalau awak yang masak, saya makan. Saya akan makan. Untuk teruskan hidup ini.”

Dia bersungguh-sungguh.

Akhirnya kami duduk bersila. Dia menikmati nasi dan sambal ayam dengan penuh jiwa. Aku perhati sahaja Izz Amir mengunyah. Cara dia makan seperti sudah lama tidak menyentuh nasi. Dia betul-betul kelaparan. Entah kenapa, bila kali kelima dia menyuap nasi, air mata Izz Amir mengalir lagi. “Sedap.” Dia senyum sambil tersedu hiba.

Sedetik itu juga, aku memeluk kaki ini. Aku menangis sungguh-sungguh di hadapannya.

22 Jun 2012

Gemulah Papa


'Gemulah Papa'

Sebuah cerpen cabaran Geng Urban untuk bulan Jun dengan bertemakan 'Papa'. 
Papa bersama Palestin dan semoga hati-hati kita dekat dengan Palestin.
Al-Fatihah kepada semua pejuang Palestin dan terbaru dua remaja ini terbunuh :
Mohamed Bassam, 16 dan Yousuf Al-Telbani, 16 dari kawasan yang dibom di timur Deir Al-Balah.
Sumber : amanpalestin.net

2012-06-19_PIC_01_Six Palestinians killed in Israeli air raids on Gaza in 24 hours

I.

Ketika itu hujan turun renyai-renyai. Bau hujan lantas meresap masuk ke dalam hidung. Wangi baunya. Sedap juga bila sesekali bau hujan bersatu dengan angin. Karipap yang mama hidangkan di atas meja ini masih panas lagi. Piringnya cantik dicetakkan dengan bunga ros merah. Petang yang dingin. Papa duduk memerhati kebun orkid mama. Sejuk sahaja dan sesekali halaman rumah disimbahi zikir-zikir dari bibir papa.

Tetapi kedinginan itu disentap dengan pengakuan papa. Papa memandang Abu Bakar. Papa tarik nafas. Merenung hujan yang masih menitik-nitik. “Abu Bakar, minggu depan papa akan ke Palestin. Sekali lagi akan ke sana. Nanti jagalah mama kamu seperti mana papa menjaga hatinya. Hormati mama kamu.”

Abu Bakar tunduk memandang secangkir kopi yang masih berasap. Dia gigit bibir bawah. Dia renung wajah papa yang berjambang itu. Itu permintaan papa. Cita-cita papa semenjak dahulu lagi. Jika mama bersetuju, maka dia sebagai anak harus melepaskan pemergian papa tersayangnya. Hatinya sayu, pergilah papa. Demi bumi Palestin. Demi menghapuskan zionis Yahudi Laknatullah itu.

“Ingat segala pesan papa. Bersolat, membaca Al-Quran, bersedekah, menjaga nama baik keluarga dan sentiasa menjaga amal ibadat kamu dengan Allah.” Papa merenung pula mama. Mahu mama mengerti bahawa kepergiannya ini untuk cita-cita yang lama tersimpan.  Wajah mama tenang. Wajah mama bercahaya dengan senyuman cantiknya. Meski hati mama kali ini risaukan papa. Selepas papa sekali lagi mahu ke tanah suci itu, mimpinya menakutkan. Mimpinya setiap hari membenamkan bisik syaitan durjana. Seboleh-bolehnya dia mahu menghalang kepergian papa. Tetapi dia isteri yang seharusnya menyokong hasrat mulia suami.

Mama yang masih duduk pantas mencambahkan kekuatan nurani anaknya. Sebagai mama dia mahu anak lelakinya ini mengerti mengenai tugas papa sebagai doktor. Jika mama kuat berhadapan dengan kenyataan ini, anak mama juga harus sama-sama mengharungi kenyataan ini. Mama mahu buang segala mimpi dan mainan syaitan itu. Papa sukarelawan yang sentiasa Palestin nantikan. Nama papa sentiasa disebut-sebut dan diperlukan. Papa mahu merawat kaki anak-anak Palestin yang telah hilang. Papa mahu merawat tangan anak-anak Palestin yang kudung. Papa katanya lagi mahu memberi kasih sayang kepada anak-anak Palestin yang hilang emak dan ayah. Al-Quds itu adalah ibu Negara umat Arab dan Islam untuk selama-lamanya. Tafsir ayat dari surah Al-Isra bergema. Bibir mama pantas berbicara. “Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya yakni Muhammad pada malam hari dari Masjid Al-Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Bisikan mama membuatkan Abu Bakar tersedar dari lamunan. Dia dihenyak kepiluan selepas menonton kisah anak-anak Palestin yang papa tayangkan di ruang tamu. Abu Bakar terus berdiri, menolak kerusi dan memeluk papa. “Abu Bakar mahu jejaki Palestin. Abu Bakar mahu ikut papa. Abu Bakar mahu bantu papa menjadi doktor. Abu Bakar mahu membantu papa membalut tangan anak-anak yang kudung itu. Abu Bakar mahu memeluk anak-anak lelaki Palestin dan berikan mereka kekuatan. Abu Bakar mahu syahid juga, papa!”

“Izinkan Abu Bakar juga. Izinkan Abu Bakar ke sana. Izinkan.”

II

Papa aku seorang pejuang Palestin. Ketika kisah ini dikarang, mayat papa masih belum ditemui dan khabarnya ditembak oleh tentera Yahudi. Mama tenang mendengar berita dari Kedutaan Malaysia. Mama merenung kaca berkenaan dengan tasbih, tahmid dan takbir. Suara mama perlahan mendayu-dayu. Televisyen menayangkan bagaimana papa ditembak. Bagaimana tubuh papa diseret oleh tentera Yahudi. Bumi Palestin bergolak. Bumi Palestin sedang menumpahkan darah para syuhada.

Video ditayang. Sekali lagi menjadi bukti. Papa mengangkat tubuh kecil seorang anak Palestin yang telah ditembak di dadanya. Darah membuak-buak merah. Bunyi tembakan mengejutkan. Bom menggegarkan tayangan berkenaan. Hiruk pikuk. Tegang! Melalui video yang menjadi bukti itu, aku dapat melihat papa berlari menyelamatkan Iman. Papa mendukung Iman dan papa mengasak pertempuran. Aku kenal. Aku pasti dan aku semestinya yakin yang tubuh itu adalah tubuh papa. Suasana kem pelarian terus gegak gempita.

Papa melarikan Iman. Papa berlari dengan laju dan seorang tentera Yahudi lantas berdiri tegak. Mengacukan senapang dan tidak sampai seminit bunyi dentuman menyesakkan dada. Darah memercik. Kamera dirampas oleh tentera Yahudi dan siaran tamat dengan ulasan seorang menteri.

Aku terkedu. Mama membisu. Bibir bergetar dan telinga mendengar mama menyebut, ‘Allahuakbar. Allahuakbar.’

Papa! Papa! Itu papa! Aku menjerit tetapi suaraku tidak kedengaran. Kerongkong terasa pecah. Tersekat-sekat dan mulut ini ternganga. Air mata mengalir laju.

Abu Bakar : papa mengenali seorang anak kecil bernama Iman. Iman duduk di kem pelarian Al-Shirta. Berumur 12 tahun dan bila papa merenung Iman, papa akan terkenangkan Abu Bakar di sana. Bila Iman tersenyum, papa akan nampak senyuman Abu Bakar. Iman yang bersemangat kental dan Iman di sini hanya tahu bermain dengan Al-Quran. Hari-harinya membaca, menghafaz ayat Al-Quran dan hadis. Anak-anak kecil di sini hiburannya ialah dengan mengulit Al-Quran, Abu Bakar. Anak-anak kecil di sini tidak ada permainan playstation. Tidak ada facebook dan tidak ada televisyen yang menayangkan kartun. Iman itu berani seperti Umar Al-khattab.

Dia cekal dan sentiasa mahu mempertahankan Negara Palestinnya. Iman, seorang anak yang kehilangan ayah. Ibunya hilang kaki kanan akibat terkena bom fosforus. Ia sejenis bom yang tidak meletup. Api dan kepanasan bom ini tidak boleh dipadamkan dengan air atau pasir. Jalan selamat yang papa lakukan adalah dengan memotong kaki ibu Iman.

Iman ketika di kem pelarian dan saat dia menyaksikan kaki ibunya dipotong telah berdoa dengan penuh sungguh-sungguh. Memilukan dan papa sungguh tidak sanggup membedah dan memotong kaki ibunya. Doanya sayu dan ia menitiskan air mata papa dan kami semua di sini. “Ya Allah, kaki kanan ibuku sudah syahid. Kaki ibuku telah kau ambil ke syurgamu. Mengapa tidak kau ambil sahaja nyawa ibuku agar ibu boleh bertemu dengan ayahku di syurgamu itu. Ya Allah, bunuhlah tentera Yahudi di bumi kami ini Ya Allah. Ya Allah, kasihani kami anak-anak kecil yang rindukan ayah dan ibu kami Ya Allah. Iman mahu bahagia dan Iman mahu menjadi seperti kanak-kanak lain. Iman mahu membesar dengan redhamu. Tetapi Ya Allah, sekiranya ini jalanmu, Iman yakin dan Iman berani bersumpah untuk terus mempertahankan Negara kami ini. Iman mahu syahid jika itu sudah pilihanMu.”

Saat menulis kisah ini, papa menangis dan terus memeluk Iman. Katanya, “Kenapa doktor menangis? Ketawalah. Kami semua di sini sentiasa ketawa. Janganlah bersedih. Kerana jika doktor bersedih, siapa yang akan merawat kami semua di sini?”

Abu Bakar : Meski mereka sengsara dan derita tetapi hari-hari mereka di sini dipenuhi dengan gelak ketawa. Bergurau mesra dan hidup mereka penuh dengan warna. Mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan cekal dan bertawakal kepada Allah SWT. Masakan anak papa boleh lupa bahawa papa sentiasa mahu Abu Bakar mengambil iktibar kisah mereka ini.

Iman. Papa tersenyum dengan keletahnya. Rindu papa pada kamu terubat dengan hadirnya Iman di sisi. Ingat Abu Bakar bahawa papa kamu adalah seorang doktor di Palestin. Sukarelawan yang menabur janji untuk memerdekakan sebuah Negara yang semakin kerdil di dalam peta dunia.

 Itulah papa, bukan?

III

“Di sini doktor. Kakinya perlu dipotong.”seorang petugas memanggil papa.

Papa angguk. Berlari-lari mendapatkan pesakit dan kemudian para petugas berlumba-lumba menyelamatkan pesakit berkenaan. Seorang wanita terburai isi kakinya kerana terkena bom. Bibirnya mengucapkan, “Allahuakbar. Alhamdulilah. Syahid. Syahid. Syahid ya Allah.”

Papa merenungnya. Darah membuak-buak keluar. Kakinya hancur. Wanita ini masih tekal menyebut syahid. Masih mahu syahid meski sekarang diizinkan oleh Allah swt untuk hidup. Papa telan air liur. Meneruskan tugasnya dengan cekal. Keringatnya tidak dilap sesiapa. Keringatnya untuk Palestin. Jika boleh dan dizinkan Ilahi juga dia mahu syahid di bumi bergolak ini.

Proses memotong, menjahit dan tugasnya sebagai doktor dipermudahkan Allah swt. Dia terasa damai apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran yang dibaca oleh para penduduk Palestin di kem ini. Kanak-kanak, wanita dan lelaki. Semuanya sama. Mereka menghafaz Al-Quran dan hadis. Mereka kuat dan berkeyakinan. Allah SWT mencampakkan kasih sayang di hati mereka. Allah SWT menzahirkan rasa berani itu dengan wajah yang bersinar-sinar. Hati papa entah kenapa menjadi bulat dan satu dengan mimpinya malam tadi. Papa telah menyebut perkatan syahid. Syahid dan syahid. Setiap masa. Sama seperti wanita yang berjaya dipotong kakinya itu. Wanita yang berjaya dibedahnya tadi dipandang penuh teliti. Tersenyum memandang papa dan menggamit papa.

“Aku ingin syahid. Mengapa kamu menyelamatkan aku? Biarkan sahaja. Biarkan sahaja.” Getarnya penuh amarah. Papa senyum meleret. Wanita itu tarik nafas dan kembali tersenyum. Papa tahu, wanita ini sengaja memarahinya. Seorang doktor harus tahu ragam pesakitnya. Malah, pesakit di kem pelarian ini berlainan dari hospital yang pernah dirinya berkhidmat.  Bibir sahaja membebel tetapi hatinya baik.

“Kaki kamu sudah syahid dan kini terbang ke syurga. Itu lebih baik dari aku yang tidak tentu pintu syurganya. Mana pilihanmu?” papa tersengih. Masakan dia tidak kenal dengan wanita berani ini. Dia pernah membaling batu ke arah tentera Yahudi. Wanita ini pernah bersama dengan anaknya, Iman membuat serang hendap. Nyaris-nyaris mereka berdua terbunuh kerana tembakan tentera Yahudi. Papa yang berada berhampiran dengan tempat kejadian, memohon maaf dan melutut-lutut agar kedua mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan. Terselamat.

“Syahid. Syahid!” wanita itu tegar lagi. Mengucapkan kalimah berkenaan dan suara Iman membaca Al-Quran bergema bersama tafsir Al-Quran yang menggetarkan. Iman berdoa dan terus mengangkat tangannya.

Air mata papa luruh lagi dan jiwa bergetar mengakui kebesaran Ilahi.

***

20 Jun 2012. Selasa.

Dier Al-Balah bergolak. Berdentum. Serangan udara semakin dahsyat. Semakin menyeramkan. Bom pertama kedengaran. Papa berdiri menanti seorang temannya. Dia perlu segera mencari Iman. Puas mereka mencari Iman dan kawannya. Ibunya sudah menangis-nangis di kem pelarian. Iman hilang entah ke mana. Semua kawan-kawan Iman mendesak papa mencari Iman. Semua kawan-kawan Iman di kem pelarian Al-Shirta memaksanya mencari Iman di sini. Kereta pacuan empat roda milik kawannya membelah Gaza. Terus ke Dier Al-Balah.

Jika Iman mati pun, di mana mayatnya? Jantung papa berdegup kencang. Peluh mengalir laju. Mimpinya terasa semakin benar dan malaikat maut seperti sedang menemani perjalannya ini. Dingin. Subuh yang hening mencucuk nurani kecilnya. Subuh paling damai dan papa merasai sesuatu yang bahagia. Kedinginan subuh hari ini lantas terus membalut jiwa dan tubuh papa.

Iman? Kemanakah kamu wahai anakku?

Iman itu sudah biasa mendengar bunyi bom. Iman itu sudah biasa berbicara mengenai jihad. Susuk tubuh Iman sudah membesar gagah dan dia pernah berkata kepada papa bahawa dia ingin menjadi perisai negaranya ini.

Iman itu tidak bersekolah.

“Sekolahku hanya Al-Quran ini sahaja. Berpaksikan hadis dan kekuatanku adalah Palestin.”

Iman itu selalu menyaksikan tentera Yahudi menembak rakan-rakan baiknya. Iman akan mengecimpung tubuh rakannya dan akan membawa tubuh tidak bernyawa ke kem pelarian. Iman akan mengangkat tangan dan terus berdoa. Iman sedikitpun tidak mengalirkan air mata. Iman itu tentera dan kekuatan kem pelarian ini. Doanya sampai menitiskan air mata sesiapa. Iman anak yang cekal sekali. Keras hatinya bagaikan batu. Jiwanya seperti besi. Kasih sayangnya bersemi kepada semua di sini. Iman itu selalu tersenyum member kekuatan kepada sesiapa sahaja di kem pelarian ini.

“Kawan-kawanku semuanya mati di hadapan mata ini. Darah itu sudah menjadi permainan paling bahagia. Kematian yang menjemput kami seperti di hujung kepala. Bila-bila sahaja Yahudi itu boleh mengebom kem ini. Aku bersedia wahai papa.”

Papa terkebil-kebil penuh resah. Iman? Di manakah kamu, anakku Iman?

“Masaku, ruang waktu hidupku hanya untuk Allah swt. Jihad itu teman paling akrabku. Kalau nanti aku mati, kamu akan menjaga ibu aku, papa. Papa harus menjaga kawan-kawan baikku itu. Terima kasih papa. Terima kasih untuk kasih sayangmu kepada aku, papa.”

Suara Iman membaca Al-Quran melekat masuk ke dalam cepu mindanya. Beralun penuh getar dan membisikkan kesyahduan. Papa memandang bumi yang sedang bergolak. Jet pejuang tentera Yahudi membelah awan. Subuh terus diasak dengan kepiluan. Bumi Palestin bakal bermandi darah.

Bom terus digugurkan.

“Allahuakbar.” Jeritan Iman bergema.

Papa kaget menyaksikan Iman berlari di balik kepulan asap. Iman berlari sekuat-kuat hati. Iman muncul dan doa papa untuk menemui Iman akhirnya dimakbulkan Ilahi. Iman menuju ke arah tubuh papa yang mampir menghulurkan tangan. Seorang teman Iman turut sama berlari menyelamatkan diri. “Lari Iman. Lari. Selamatkan diri!

Bom ketiga dijatuhkan. Berdentum! Tubuh kawan Iman pantas melayang di udara. Terbang dan terhempas menyebam bumi. Sekelip mata berlaku. Darah berhamburan. Iman menoleh dan mahu memberhentikan lariannya. Air matanya bergenang. Iman tiba-tiba menjadi tidak kuat seperti selalu.

“Iman. Lari Iman. Lari.” Papa menjerit. Papa menghulur jemarinya. Kunci kereta pacuan empat roda diseluk dari poket. Tetapi kuncik lantas terjatuh di bawah. Subuh gelap. Hanya kaki akan menyelamatkan mereka sekarang ini.

“Papa, lari papa. Lari!” Iman menjerit.

Papa berlari laju. Serentak itu beberapa tentera Yahudi keluar dari kepulan asap. Papa segera membesarkan langkah kakinya. Papa mengejar Iman dan tanpa teragak-agak papa terus menarik jemari Iman. Jemari mereka pantas bersatu.

Iman masih sempat menoleh. Memandang sekujur tubuh kawannya yang tenang pergi. Kaki tetap berlari dan terus melangkah bersama papa. “Papa, lari lagi papa. Ya Allah.” Iman masih berdoa. Mengingati Allah.

Tentera Israel mendakwa dua orang kanak-kanak tersebut cuba menanam peranti letupan berhampiran pagar sempadan di sekitar Gaza.

Laju. Asap terus berkepul-kepul. Tentera sedang bersedia. Tembakan tentera Yahudi akhirnya mengena tepat ke dada Iman.

Zup!

Sekelip mata. Pantas bagaikan kilat. Iman tersembam ke bawah kaki papa. Wajahnya menyembah bumi. Papa terus mengangkat Iman. Iman cuba untuk membuka matanya. Dia merenung papa yang sungguh-sungguh mahu menyelamatkannya. Iman menghadiahkan senyuman kacaknya kepada papa. Darah membuak-buak. “Papa. Aku akan syahid papa. Aku akan bertemu ayahku di syurga. Aku akan bertemu kaki kanan ibuku juga. Cita-citaku tercapai papa. Syurga indah sedang menanti. Abadi.”

Air mata papa mengalir laju. Jantung berdegup kencang. “Iman. Bangun Iman. Iman anak papa yang kuat. Bangun Iman.” Papa berlari laju. Sesekali jatuh dan tubuh Iman bergolek-golek. Papa bangkit lagi dan mengangkat Iman. Tentera Yahudi menyaksikan papa dan Iman dengan senyuman sinis.

Askar Israel Mal’oun!

Masa semakin mendekati. Bom digugurkan. Berdentum dan subuh hening itu berlangsung dengan ketakutan mendadak. Papa kini bersedia untuk berhadapan dengan tentera Yahudi. Iman semakin parah. Air mata Iman mengalir dari matanya. Basah. Baju papa dipenuhi darah syahid Iman. Berbau harum. Seperti baunya syurga di atas sana. Dari arah hadapan, seorang tentera Yahudi berdiri. Senapangnya bersedia menembak sasaran. Papa terus mengecimpung tubuh Iman. Mencium-cium pipi Iman. Papa memerhati kawasan sekitarnya yang telah dikepung tentera Yahudi

Kali kedua tembakan dilepaskan. Tepat. Peluru lantas tembus ke dada papa.  Zup!

Tubuh Iman melayang ke hadapan. Tubuhnya sekali lagi jatuh menyembah bumi. Bumi terhampar indah. Bumi menerima darah para syuhada.

Papa jatuh. Darah tersembur keluar. Saat itu juga malaikat maut menjemput. Allah. Allah. Allah. Tubuh Iman di hadapan papa dipandang penuh pilu. Tubuh Iman sekarang sedang dibalut para malaikat. Tubuh papa juga sedang diuruskan malaikat. Penuh tertib dan ayat-ayat Al-Quran terus mengisi ruang udara.  Asap-asap berkepul. Ruang udara kembali aman.

Darah mengalir lesu dari bibir papa. Mata papa terus terkatup. Dahi papa disimbahi keringat.

“Cita-cita Iman apa ya?”

Iman menampakkan gigi. Tersengih suka. “Syahid.”

Papa turut tersenyum. Angguk. “Papa juga sama. Sama seperti Iman. Syahid!”

* Mal’oun (yang dilaknat)

19 Jun 2012

Mr Pai Epal Bonus 1

Mr Pai Epal Bonus 1. Saya hanya menepek sebahagian entry sahaja ya. Semoga suka dan bagi yang migrain...hahaha. stress sebab Mr Pai Epal tak ada entry..hari ni saya hadiahkan entry ni, okey? Suka tak? Suka tak? Saya ni baik hati tau. Cewah. Sebab saya dah janji, akan tetap ada lima bab bonus di dalam blog.
;)

Senyum empat belas juta hokeyyy?

Lac_supérieur_bois_de_boulogne

“Jom kita keluar?” Munir sengih sambil mengunyah chewing gum. Dia masuk jemarinya ke dalam kocek. Beg berwarna coklat yang dihadiahkan oleh Munir sempena hari jadi aku bulan lepas terus aku galas. Kaki kami melangkah keluar dari kawasan Le Cordon Bleu. Bangunan berwarna biru dan putih tegak berdiri. Kawasan rehat di luar bangunan ini dipenuhi para pelajar. Ada yang duduk membuka komputer riba. Ada juga yang sedang menikmati makanan ringan dan paling penting ramai yang membaca buku. Berbual-bual dan bergelak ketawa, menghilangkan diri dari tekanan selepas penat mengharungi kelas kulinari.

Musim bunga yang dingin. Bersama langit yang sungguh cantik. Aku ukir senyuman. Menghadiahkannya untuk Munir yang setia menanti jawapan dari diri ini. Mata bulat aku memerhati lagi para pelajar yang sedang tekun dengan aktiviti masing-masing.

Beberapa orang pelajar yang perasankan kami, melambai-lambai mesra.

“Jomlah Yaya. Saya belanja. Nak tak? Nak tak? Saya laparlah.”

“Awak tak ada kelas lagi ke lepas ni?” Aku pandang Munir yang mengosok-gogok hidungnya.

Munir gelengkan kepala. “Tak. Kelas dengan awak pulak. Sesi luahan perasaan cinta.”dia jeling aku.

Aku ketawa. “Amboi!”

“Nak tak?” Munir masih menawarkan aku untuk keluar dengannya. Hari-hari bertemu dengan aku di sini, tidak rasa jemu ke? Kalau kelas aku habis dahulu, Munir akan setia menanti di luar. Jika Zana berdating dengan Zaki, Munir dengan pantas menawarkan dirinya menjadi ‘teman’. Jika Zana ada, jangan haraplah Munir mahu berjalan dengan kami. Entah apa yang dia malu dengan Zana, aku pun tidak tahu.

“Zana tu suka sakat saya. Dia kata saya penakut.” Ulas Munir satu waktu dahulu.

Aku ketawa geli hati. “Penakut?”

Munir angguk. “Ada ke dia kata saya penakut nak luahkan isi hati saya kat awak. Pleaselah. Rasanya dah sepuluh kali saya propose awak, Yaya. Saya tak penakut okey.”

Aku pandang Munir. Kata-katanya masuk lagi ke dalam kepala. Memang hampir sepuluh kali juga Munir ‘melamar’ aku. Dia mahu aku menjadi istimewa dalam hidupnya. Tetapi jawapan dariku disambut dengan senyuman. Munir akan memerhati dengan keluhan panjang. Jawapan aku tetap sama. Bibir tetap mengeluarkan kata-kata yang boleh dihafal oleh sesiapa. “Saya nak berkawan saja dengan awak, Munir. Kita jadi sahabat baik ya?”

Jika bayang tubuh Munir tidak kelihatan, cepat-cepat aku meninggalkan dia. Sekeping nota akan aku tinggalkan di depan pintu kelasnya. Kelasnya itu adalah dapur terbesar di Le Cordon Bleu. Eleh, nanti bulan depan pun aku akan masuk ke dalam dapurnya itu. Awak, lambatnya habis kelas awak. Saya berdiri dah setengah jam. Kaki pun dah lenguh. Tanduk pun dah tumbuh ni. Saya balik sendirilah ya. Lain kali, suruhlah Chef Jessie habiskan kelasnya awal. Lambat tul! 

Ah – malasnya aku mahu menunggu dia. Kalau Munir terpacak depan mata pun, dia akan bebel-bebel mengenai kelas kulinarinya. Hei Munir ni, ceritalah fasal ekonomi global ke, fasal pokok terbang ke, fasal planet yang baru dijumpai saintis ke. Ni cerita fasal buat kek, fasal buat puding, fasal buat makaroni. Dalam kelas cerita mengenai masak, keluar jalan-jalan pun cerita 'dunia' masak. Haih, bosan!

Sepanjang perjalanan ke apartment, aku akan menaiki bas. Sengaja duduk di bahagian tepi tingkap bas dan memerhati pemandangan indah di sini. Sebenarnya boleh sahaja aku berjalan kaki dan sampai ke apartment. Tetapi aku sengaja mahu mengisi masa lapang. Mata ini minta disajikan dengan gelagat penduduk di sekitar kota Paris. Berpusing dua kali, sudah memadai.

Aku akan turun dengan rasa puas. Melambai-lambai pemandu bas yang setia tersenyum dan sudahpun mengenali aku. Bas pergi, menderu sederhana. Angin dingin akan menjadi teman. Telefon bimbit akan bernyanyi riang. Aku akan biarkan begitu sahaja. Semestinya Munir.

Berbunyi sekali lagi. Lima kali nadanya. Berhenti. Munir. Pasti Munir.

Berbunyi lagi. Tiga kali nadanya. Berhenti. Munir. Semestinya Munir. Kaki aku melangkah laju. Aku biarkan sahaja telefon di dalam kocek seluarku.

Berbunyi lagi. Sekali sahaja nadanya. Berhenti dan aku tersenyum kerana itu cara Munir menelefon aku.

Malamnya, Munir akan SMS dengan nada marah. You memang kan. Kenapa tak angkat call? Kenapa malas balas SMS saya? Merajuk la macam ni.

Aku akan membalas ringkas. Jemari membalas dengan cepat. I tak kisah pun you merajuk. Uwekkk.

“Yaya!” panggil Munir sekali lagi.

Aku panggung kepala. Sedar-sedar kami sudah berada di deretan kedai cenderamata. Aku sengih macam kerang busuk. Jauh sudah kami melangkah. Bangunan Le Cordon Bleu pun sudah lenyap dari pandangan mata.

Munir gelengkan kepala. Aku sengih. “Awak ni memang kuat berangan. Betul kata Zana, berangan dua puluh empat jam.”

Munir tarik nafas. Dia gigit bibir dan mata bulat tanda marah. “Nak ikut tak?”  Munir bertanya sekali lagi. Masih mempelawa aku keluar makan-makan dengannya.

Aku gelengkan kepala. Malas melanda. “Tak naklah.”

“Ala Yaya. Sekejap saja. Jomlah.” Munir yang lebih tinggi dari aku dengan mudah menolak beg galas ini. Aku terdorong ke depan dan kaki kami melangkah senada. Munir ketawa mengejek. Dia memaksa aku tanpa rela.

Munir kenyitkan mata. “Hari ni kena ikut saya makan. Makan burger pun burgerlah. Tak kira, awak suka atau tak. Kena juga teman saya. Lapar dah ni.” Dia gosok perut.

Aku ketawa. Angguk dan sungguh tidak sampai hati melihat Munir kala ini.
***

Langit terbentang luas. Cantiknya tempat pilihan Munir. Bas terus meninggalkan kami, menderu sederhana. Beg galas lantas aku betulkan. Terkelip-kelip aku memerhati tasik yang membiru. Bunga-bunga tumbuh melata dan angin berhembus lembut. Bois De Boulogne yang cantik. Taman yang dipenuhi dengan bunga ros dan pohon-pohon menghijau. Musim bunga yang menawan. Bunga-bunga berkembang mekar dan sesekali redup sahaja mentari ini. Tidak garang seperti selalu.

Ajaib betul si Munir ni. Aku pandang dia. Atas bawah, atas bawah. Dia sengih bersahaja. Kaki melangkah mengikut rentaknya.

Ada tikar terhampar di atas rumput yang menghijau. Sebuah bakul terisi lengkap sebotol jus buah oren. Dua buah pinggan dan dua cawan plastik tersedia. Sebuah Tupperware dipenuhi sandwic. Tiga bungkus burger berbalut dengan pembalut berwarna merah jambu. Auwww, cantiknya! Aku renung Munir yang tersengih gembira.

“Macam biasa, awak satu bungkus burger. Saya kena makan dua sebab lapar. Awak sayang saya tak sebab hamparkan tikar dan bikin surprise berkelah di taman cantik ni?” Lutut Munir sudah mendarat di atas tikar. Dia hulurkan sebungkus burger.  Pandangan kami bersatu lagi.

“Saya tahulah saya handsome tak ingat. Janganlah pandang saya macam tu, Yaya.” Munir jelirkan lidah.

Aku ketawa. Gelengkan kepala dengan telatah nakalnya. Tetapi perlakuannya sekarang ini mengingatkan aku kepada seseorang. Lelaki itu. Ya, ketika kami sama-sama menikmati pizza hut di atas bukit indah itu. Sama suasananya seperti sekarang ini.

Dia terus bersila. “Cepatlah, saya lapar ni. Berangan lagi lah tu?” Munir menggamit lagi.