Pages

21 Julai 2011

Menulis dengan hati



Benar, kepuasan cukup terasa apabila menulis itu datang dari hati. Juga kepuasan akan lebih dikecapi jika menulis itu dengan rela hati dan tanpa ada sisa perasaan melainkan dengan tujuan pengabdian kepada Ilahi.

Namun, saya tidak pasti adakah kalian, pembaca juga turut sama berpuas hati dengan apa yang saya gambarkan sendiri. Kerna, saya penulisnya dan saya menyerahkan hati saya untuk setiap kata yang kalian sedang baca. Saya tidak boleh memaksa sesiapa untuk membaca setiap karya saya juga. Kerana setiap pembaca ada minatnya tersendiri. Mentelah lagi, ada berbagai pembaca yang berainan citarasa. Lambakan novel dan penulis ‘yang bagaikan cendawan tumbuh’ di pasaran sememangnya satu cabaran kepada setiap penulis untuk meletakkan diri bersaing sesama mereka. Sebab itu juga saya percaya pembaca ada banyak citarasa dan banyak kemahuannya. Maka, saya sederhana sahaja meletakkan diri saya yang tidak seberapa ini.

Penulis sebenarnya perlu bertatih dari bawah. Jangan sesekali mendamba setiap penulisan akan dipuji dan dilambung tinggi kerana nilai sudut dan pandang sasteranya, bahasanya berbeza dari sudut pandang yang berbagai buah bicara. Tulislah dengan sepenuh rasa dan patuh kepada Ilahi, mengajar manusia perkara kebaikan dan sentiasa memberikan sisi bahagia kepada pembacanya. Kebaikan itu jangan lupa diselitkan agar pembaca sentiasa cuba mengamalkannya.

Penulis sebenarnya perlu bertatih untuk membawa arus masyarakat hari ini dan perlu memperbaharui manhaj penulisannya. Tarbiyah, dakwah, pengajaran dan banyak isi perlu diterokai agar kalian sentiasa membawa mesej kebenaran dan ajaran Islam yang harus. Penulis jangan sangka kalian hebat sekali apabila berhadapan dengan editor kerana editor itu juga sahabat, kawan, teman dan penentu arah kejayaan kamu. Mereka manusia yang ada hati dan perasaan. Maka berhubunglah dengan penuh hikmah dan penuh kesabaran. Kalian pasti akan dibalas kelak dengan kebaikan.

Lantas, setiap minit dan saat yang berlalu jika tidak dipenuhi dengan penulisan, terasa kerugian yang melata-lata. Terasa sedih menimpa-nimpa. Benar, ia sudah menjadi kegilaan diri. Menulis itu sungguh-sungguh menjadi satu terapi diri.

Dan saat azan dilaungkan sekarang ini, terasa benar saya belum mampu mengangkat diri untuk menjadi penulis yang disayang kalian. Sama juga untuk menjadi penulis yang disayang Tuhan seperti yang diceritakan di dalam novel Baharuddin Bekri itu. Hasil tulisan saya pastinya juga belum mampu memberi dakwah berkesan kepada semua teman-teman. Cuma sedikit saya pinta agar ia dijadikan satu hadiah untuk saya di akhirat sana. Agar dakwah, pelajaran, kebaikan itu dapat memberi sesuatu kepada kalian. Itu pinta saya. Meski ia sedikit, saya pasti setiap kebaikan yang dituliskan, Insya-Allah memberi harapan. Walau syurga dan neraka itu tidak saya pastikan mana letaknya untuk saya. Namun besar harapan kita sebagai umat Muhammad S.A.W mendambakan syurga Ilahi yang indah nian itu.

Lantas, saya kalungkan terima kasih untuk kalian yang sudi mahu membacanya dan menjiwai karya-karya sederhana saya. Juga pada setiap insan yang sudi menterjemahkan karya saya dengan penuh keikhlasan dan membawa ia ke pelusuk jiwa dan hati kalian. Para editor yang bertungkus lumus, penerbit yang memberi kepercayaan, jemari ajaib hadiah dari Ilahi dan hati, jiwa, perasaan yang mengemudi novel ketiga ini. Suami juga yang memberi masa dan ruang saya menzahirkan rasa hati ini. Keluarga tercinta juga teman yang banyak memberi ‘rasa’.

Terima kasih kalian.

12 Julai 2011

28

DSC03454



Kek yummy! Tak kira, saya tetap mahu kek! Kesan lilin yang saya cabut. Siap ada lilin sekali! Haaaaa...terharu saya!



Terima kasih untuk ucapan hari jadi yang memenuhi wall facebook saya. Memang facebook merupakan jambatan ukhwah antara kita semua. Terima kasih sekali lagi untuk teman-teman, rakan-rakan walau saya tahu tak adalah sepopular Lisa Surihani. Eceh!

4 Julai lepas tak sempat saya karangkan apa-apa untuk blog tersayang ini. Kekangan masa mungkin juga. Malas menaip pun ia. Meraikan sederhana dengan encik abang cukup membuatkan saya rasa bertuah. Benarlah seperti maksud dari Surah An-Nahl,
"Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: Anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?"

Maka, nikmat mana lagi yang perlu kita dustakan ?

Tiada yang boleh saya karangkan melainkan cukup benar saya ‘tidak mampu berkata-kata’. Sebiji kek, juga sebelum tarikh 4 Julai saya sudah perolehi sebuah pemutar telur yang lengkap sebiji depan mata. Haaa…*walau bukan jenama pujaan hatiku iaitu Kenwood. *haaaa…syukur-syukur, Mardihah!

Hati sebenarnya ketika itu dah macam sebak sahaja. Tapi tahanlah kan! Terima kasih suami. Walau saya terasa sehingga kini banyak kekurangan diri, banyak benar kekhilafan diri dan banyak perkara yang telah kita berdua pelajari saat-saat bersama.

Rumahtangga pasti ada pasang dan surutnya. Dugaan dan cabaran yang sedang kami tempuhi sekarang pastinya ada hikmah dari Dia. Sungguh, mendepani segala kemungkinan yang bakal berlaku, saya redha. Namun, saya tetap terus berdoa dan berusaha kerana pelengkap rumahtangga kerana kami belum ada penyeri, teman dan tanda cinta kami. Tuhan, sesungguhnya sudah banyak sendu yang berlagu..lalalala *sudah-sudah, jangan emosi, Mardihah !

Seperti selalu, setiap tahun secara berperingkat, novel saya diterbitkan. Sama seperti tahun ini seolah-olah ia pelengkap dalam sejarah hidup. Dan Gerimis Berbisik hadiah hari lahir paling bermakna untuk saya pada tahun ini. Paling penting, saya puas sebenarnya melihat manuskrip ini dilahirkan secara realiti di hadapan mata. Sebenarnya seperti biasa, tak sabar mahu peluk novel ketiga ini! Haru o…haru!

Kepuasan diri akan berlaku : bila melihat buku sendiri terhasil. Mana tidaknya, sudahlah bersengkang mata menulis, mencari bahan, pruf bagai mahu gila! Bila sudah menjadi novel dengan kaver cun melecun dari PTS Litera, tak rasa gila lagi rasa! Pengsan pun ada o !

Bila sudah novel ketiga ini, memang orang akan kata, macam biasa sudah. Tapi tidak bagi saya. Sebenarnya kalau boleh saya mahu mengadap abang printer, atau mengadap editor hari-hari apabila mereka sedang membuat editing. Mahu sahaja saya suruh abang printer ke, kilang printer ke, print laju-laju dan serahkan pada saya. Nanti adakah saya dicop sebagai gila ? Ohhh…tidak…tidak… ! Tapi saya tetap sabar…sabar bukankah separuh dari iman, Mardihah !

Pesan saya kepada semua : Sila sayang editor anda ya! Jangan bikin editor kelam kabut dan jadilah penulis yang disayangi editornya. Apa pertukaran yang diminta ubah, sila ubah dan jangan membantah. Jangan pandai-pandai membuat teori sendiri dan setiap penerbit ada cara terbitannya sendiri. Paling penting, sabar dan tenang. Juga senyum-senyum selalu. Paling penting, percaya pada bakat yang ada dan perbaiki setiap kelemahan dalam manuskrip kalian. Okey?

Oh, resipi Apam Yogurt Kukus nanti saya kongsikan ya! Minggu ini mahu membikin lagi sebab yogurt dalam peti ais masih menanti. Boleh bawa ke pejabat nanti.

Okey teman-teman. Minggu ini novel saya siap dicetak dan akan bertemu semua di kedai buku. Tempahan kawan-kawan di dalam facebook, Insya-Allah akan saya poskan segera.

Tunggu ngomelan saya lagi ya!

Terima kasih sudi menjeling-jeling blog ini

11 Julai 2011

Puding Roti Berkuah Kastard

Sabtu, ada BERSIH. Encik abang pula dikerah untuk bekerja oleh syarikatnya separuh hari. Pagi-pagi harmoni saya sudah bangun seperti biasa menyiapkan sarapan dan menggosok baju.

Kemudian selepas encik abang ke tempat kerja, saya mengemas, memBERSIHkan rumah. Haishhh…terasa pula bosan seorang diri kan? Kemudian apa lagi saya membikin apam yogurt kukus. Memang tahap rajin membuat apam memang menggebu-gebu. Rajin benar saya ya. Terima kasih tak terhingga kepada encik abang kerana pemukul telur yang saya idam-idamkan akhirnya ada di hadapan mata! Ini yang buat saya lagi gebu dan rajin membuat kek dan mapin. Gambar nanti saya kongsikan kelak ya. Resipi? Juga akan saya kongsi. Sebenarnya resipi apam yogurt kukus ini banyak sudah dipublish di blog-blog memasak yang popular. Paling penting, apam yang saya buat merekah dan memang tersenyum-senyum.

Okey, hari ini saya mahu masukkan resipi ini dahulu. Puding roti berkuah kastard. Yummy-yummy rasanya !

DSC03463


Ahad pagi, selepas bersarapan bersama encik abang, kami membawa diri ke IKEA dan berjalan-jalan di The Curve. Bau buku di MPH sahaja sudah buat saya menikmati hadaman paling terbaik. Memang terapi yang berkesan untuk diri.

Pulang ke rumah lewat jam 6.30 petang. Tak rasa kaki kebas lagikah Mardihah? Sudahlah merayau satu dunia di IKEA, kemudian The Curve dan Ikano. Wah, wah! Saya terpandangkan roti gardenia yang berbaki 10 keping. Siapa mahu habiskannya? Tarikh tamat riwayat bakal bertemu beberapa hari lagi. Bahan-bahan sudah tersedia saya beli. Dalam tempoh satu jam akhirnya puding roti saya siap! Membakar sebelum solat maghrib berjemaah dan puding siap sedia selepas isyak!

Ke mana tidak tumpahnya kuah jika tidak ke nasi bukan? Ececece! Maka, bakat memasak yang semua wanita ada gunakanlah sebaik-baiknya. Rajinkan diri ya Mardihah! Encik abang kata amat sedap! Maka cubaan pertama yang berjaya!

DSC03467
Bolehlah ditaburkan dengan coklat cip atau kismis sebagai hiasan ya!




Ini resipinya. Kawan-kawan boleh mencuba!
oleh: Mardihah Adam
sumber : anymz-mykitchen, hanamemories

Bahan-bahan

10 keping roti
500 ml susu segar
4 sudu besar gula halus
2 sudu butter - dicairkan
2 biji telur
1 sudu esen vanilla
coklat cip

Untuk Sos Kastard

1 tin susu cair
2 sudu besar tepung kastard
2 sudu besar gula

Cara-cara

1. Koyakkan roti dan susun dalam loyang yang telah digris dengan sedikit butter.
2. Gaul rata bahan-bahan bertanda * dengan whisk dan tuang ke atas roti tadi.
3. Biarkan sebentar dalam 20-30min agar roti terendam sepenuhnya.
4. Taburkan coklat cip lapisan pertama dan diatas adunan.
5. Bakar pada suhu 180 C selama 30 minit atau sehingga masak.

Amacam? sedap bukan? rasa dia meleleh air liur sebab ada coklat cip yang melekat-lekat dalam mulut. Mahu pengsan sebab tak sangka saya pandai masak. Ha ha ha!

Terima kasih sudi menjeling-jeling blog ini.

01 Julai 2011

Angin

Tiba-tiba saya rasa mahu berpuisi. Menghembuskan sesak dada ini. Apa pula lara kali ini ya?
Mardihah, Allah campakkan ujian kerana dia sayangkan kamu! Kerana Dia tahu apa yang sedang hati kamu sentiasa katakan. Setiap manusia itu bukankah berbeza dugaannya?



***

Angin,
Sungguh saat berduka,
Engkau memeluk daku.

Angin,
Sungguh saat gembira,
Engkau memandang aku.

Angin,
Sungguh saat bersama air mata,
Engkau menyapu sisa lara.

Angin,
Sungguh saat tersenyum,
Engkau masih sudi memandang daku.

Hampiri daku,
Peluklah daku bersama kedinginan hembusanmu.
Lindungi daku dengan senyummu itu.


***

Terima kasih sudi menjeling-jeling blog ini.