Benar, kepuasan cukup terasa apabila menulis itu datang dari hati. Juga kepuasan akan lebih dikecapi jika menulis itu dengan rela hati dan tanpa ada sisa perasaan melainkan dengan tujuan pengabdian kepada Ilahi.
Namun, saya tidak pasti adakah kalian, pembaca juga turut sama berpuas hati dengan apa yang saya gambarkan sendiri. Kerna, saya penulisnya dan saya menyerahkan hati saya untuk setiap kata yang kalian sedang baca. Saya tidak boleh memaksa sesiapa untuk membaca setiap karya saya juga. Kerana setiap pembaca ada minatnya tersendiri. Mentelah lagi, ada berbagai pembaca yang berainan citarasa. Lambakan novel dan penulis ‘yang bagaikan cendawan tumbuh’ di pasaran sememangnya satu cabaran kepada setiap penulis untuk meletakkan diri bersaing sesama mereka. Sebab itu juga saya percaya pembaca ada banyak citarasa dan banyak kemahuannya. Maka, saya sederhana sahaja meletakkan diri saya yang tidak seberapa ini.
Penulis sebenarnya perlu bertatih dari bawah. Jangan sesekali mendamba setiap penulisan akan dipuji dan dilambung tinggi kerana nilai sudut dan pandang sasteranya, bahasanya berbeza dari sudut pandang yang berbagai buah bicara. Tulislah dengan sepenuh rasa dan patuh kepada Ilahi, mengajar manusia perkara kebaikan dan sentiasa memberikan sisi bahagia kepada pembacanya. Kebaikan itu jangan lupa diselitkan agar pembaca sentiasa cuba mengamalkannya.
Penulis sebenarnya perlu bertatih untuk membawa arus masyarakat hari ini dan perlu memperbaharui manhaj penulisannya. Tarbiyah, dakwah, pengajaran dan banyak isi perlu diterokai agar kalian sentiasa membawa mesej kebenaran dan ajaran Islam yang harus. Penulis jangan sangka kalian hebat sekali apabila berhadapan dengan editor kerana editor itu juga sahabat, kawan, teman dan penentu arah kejayaan kamu. Mereka manusia yang ada hati dan perasaan. Maka berhubunglah dengan penuh hikmah dan penuh kesabaran. Kalian pasti akan dibalas kelak dengan kebaikan.
Lantas, setiap minit dan saat yang berlalu jika tidak dipenuhi dengan penulisan, terasa kerugian yang melata-lata. Terasa sedih menimpa-nimpa. Benar, ia sudah menjadi kegilaan diri. Menulis itu sungguh-sungguh menjadi satu terapi diri.
Dan saat azan dilaungkan sekarang ini, terasa benar saya belum mampu mengangkat diri untuk menjadi penulis yang disayang kalian. Sama juga untuk menjadi penulis yang disayang Tuhan seperti yang diceritakan di dalam novel Baharuddin Bekri itu. Hasil tulisan saya pastinya juga belum mampu memberi dakwah berkesan kepada semua teman-teman. Cuma sedikit saya pinta agar ia dijadikan satu hadiah untuk saya di akhirat sana. Agar dakwah, pelajaran, kebaikan itu dapat memberi sesuatu kepada kalian. Itu pinta saya. Meski ia sedikit, saya pasti setiap kebaikan yang dituliskan, Insya-Allah memberi harapan. Walau syurga dan neraka itu tidak saya pastikan mana letaknya untuk saya. Namun besar harapan kita sebagai umat Muhammad S.A.W mendambakan syurga Ilahi yang indah nian itu.
Lantas, saya kalungkan terima kasih untuk kalian yang sudi mahu membacanya dan menjiwai karya-karya sederhana saya. Juga pada setiap insan yang sudi menterjemahkan karya saya dengan penuh keikhlasan dan membawa ia ke pelusuk jiwa dan hati kalian. Para editor yang bertungkus lumus, penerbit yang memberi kepercayaan, jemari ajaib hadiah dari Ilahi dan hati, jiwa, perasaan yang mengemudi novel ketiga ini. Suami juga yang memberi masa dan ruang saya menzahirkan rasa hati ini. Keluarga tercinta juga teman yang banyak memberi ‘rasa’.
Terima kasih kalian.
Alhamdulillah...hari ni nk g MPH..mesti dapatkan ni..
BalasPadam