Pages

12 Julai 2011

28

DSC03454



Kek yummy! Tak kira, saya tetap mahu kek! Kesan lilin yang saya cabut. Siap ada lilin sekali! Haaaaa...terharu saya!



Terima kasih untuk ucapan hari jadi yang memenuhi wall facebook saya. Memang facebook merupakan jambatan ukhwah antara kita semua. Terima kasih sekali lagi untuk teman-teman, rakan-rakan walau saya tahu tak adalah sepopular Lisa Surihani. Eceh!

4 Julai lepas tak sempat saya karangkan apa-apa untuk blog tersayang ini. Kekangan masa mungkin juga. Malas menaip pun ia. Meraikan sederhana dengan encik abang cukup membuatkan saya rasa bertuah. Benarlah seperti maksud dari Surah An-Nahl,
"Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: Anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?"

Maka, nikmat mana lagi yang perlu kita dustakan ?

Tiada yang boleh saya karangkan melainkan cukup benar saya ‘tidak mampu berkata-kata’. Sebiji kek, juga sebelum tarikh 4 Julai saya sudah perolehi sebuah pemutar telur yang lengkap sebiji depan mata. Haaa…*walau bukan jenama pujaan hatiku iaitu Kenwood. *haaaa…syukur-syukur, Mardihah!

Hati sebenarnya ketika itu dah macam sebak sahaja. Tapi tahanlah kan! Terima kasih suami. Walau saya terasa sehingga kini banyak kekurangan diri, banyak benar kekhilafan diri dan banyak perkara yang telah kita berdua pelajari saat-saat bersama.

Rumahtangga pasti ada pasang dan surutnya. Dugaan dan cabaran yang sedang kami tempuhi sekarang pastinya ada hikmah dari Dia. Sungguh, mendepani segala kemungkinan yang bakal berlaku, saya redha. Namun, saya tetap terus berdoa dan berusaha kerana pelengkap rumahtangga kerana kami belum ada penyeri, teman dan tanda cinta kami. Tuhan, sesungguhnya sudah banyak sendu yang berlagu..lalalala *sudah-sudah, jangan emosi, Mardihah !

Seperti selalu, setiap tahun secara berperingkat, novel saya diterbitkan. Sama seperti tahun ini seolah-olah ia pelengkap dalam sejarah hidup. Dan Gerimis Berbisik hadiah hari lahir paling bermakna untuk saya pada tahun ini. Paling penting, saya puas sebenarnya melihat manuskrip ini dilahirkan secara realiti di hadapan mata. Sebenarnya seperti biasa, tak sabar mahu peluk novel ketiga ini! Haru o…haru!

Kepuasan diri akan berlaku : bila melihat buku sendiri terhasil. Mana tidaknya, sudahlah bersengkang mata menulis, mencari bahan, pruf bagai mahu gila! Bila sudah menjadi novel dengan kaver cun melecun dari PTS Litera, tak rasa gila lagi rasa! Pengsan pun ada o !

Bila sudah novel ketiga ini, memang orang akan kata, macam biasa sudah. Tapi tidak bagi saya. Sebenarnya kalau boleh saya mahu mengadap abang printer, atau mengadap editor hari-hari apabila mereka sedang membuat editing. Mahu sahaja saya suruh abang printer ke, kilang printer ke, print laju-laju dan serahkan pada saya. Nanti adakah saya dicop sebagai gila ? Ohhh…tidak…tidak… ! Tapi saya tetap sabar…sabar bukankah separuh dari iman, Mardihah !

Pesan saya kepada semua : Sila sayang editor anda ya! Jangan bikin editor kelam kabut dan jadilah penulis yang disayangi editornya. Apa pertukaran yang diminta ubah, sila ubah dan jangan membantah. Jangan pandai-pandai membuat teori sendiri dan setiap penerbit ada cara terbitannya sendiri. Paling penting, sabar dan tenang. Juga senyum-senyum selalu. Paling penting, percaya pada bakat yang ada dan perbaiki setiap kelemahan dalam manuskrip kalian. Okey?

Oh, resipi Apam Yogurt Kukus nanti saya kongsikan ya! Minggu ini mahu membikin lagi sebab yogurt dalam peti ais masih menanti. Boleh bawa ke pejabat nanti.

Okey teman-teman. Minggu ini novel saya siap dicetak dan akan bertemu semua di kedai buku. Tempahan kawan-kawan di dalam facebook, Insya-Allah akan saya poskan segera.

Tunggu ngomelan saya lagi ya!

Terima kasih sudi menjeling-jeling blog ini

2 ulasan:

  1. Blog ni dah tak macam dulu lagi. Dulu kalau ke blog ini, aku takkan fikirkan soal makan. Tapi sekarang kalau aku ke sini, mesti aku laparrrr...

    BalasPadam
  2. maaflah, memang saya akui tak macam dulu blog. banyak merapu-rapu sahaja. memang saya mahu suruh pembaca makan. ditambah saya yang suka masak dan makan.

    BalasPadam