Pages

29 Oktober 2007

Sayembara


Motor yang membawa hujan.........membawa kenangan terindah...




Kongsi-kongsi makan Hari Raya Jabatan Kewangan...tinggal ni sahaja untuk tatapan.... :)



Saya memaksakan diri bermain-main dengan jemari untuk meneruskan ingatan terhadap blogging. Kadang-kadang paksaan memberikan satu penulisan yang baik juga ya....
Tiada yang terindah masa dan kenangan saya, melainkan kenangan berhari raya. Perlu ada satu masa untuk memperbaharui minda saya yang semakin kelam timbul dan semakin hilang idea. Kalian..ada idea? sumbang-sumbanglah......

Hajat di hati, berhari raya di rumah makcik di Cheras Perdana, terbantut. Konon kami, (adik & saya) buat surprise, tapi tiada sesiapa di sana. Sudahlah berhujan dan lencun, akhirnya berpatah balik ke Taman Melawati mengunjungi Makcik di sana. Alahai....itulah natijahnya sebab tidak mahu temujanji di awalkan. Lapar satu, penat juga terasa...tapi penuh kenangan bersama adik saya menyusuri jalan raya dalam keadaan basah dan lencun... Tidak sedikit menyesal tetapi kasihan pada adik saya yang kelihatan penat. Inilah adat, kunjung-mengunjung di hari raya ( saya masih mood hari raya, so post pasal raya lagi lah ye)...yang muda merapatkan dan yang tua mempertemukan sesama saudara. Carilah saudara dan sentiasa hormat menghormati. ...

Saya teringatkan sahabiah saya ; L ..kami pernah basah di atas motor...Berhujan dan menolak motor kerana tayar pecah. Sampai lewat...markah Praktikal dapat ciput ajerk...kesian....kenangan kan L?..latihan praktikal kami penuh warna & warni....Menyusuri usrah, kelas, sehingga kepada sebuah perpisahan yang saya kira menyayat hati...Tangisan kami pernah bersama. Air mata saya pernah tumpah kerana persahabatan ini......terasa jauh kini, namun saya yakin, masih ada Hidayah dalam perjalanan hidup. Saya percaya, kenangan kami masih utuh dalam setiap naluri. Saya masih ingat, kami pernah melewati satu zaman perjuangan dan perubahan yang membawa kepada eratnya hubungan persahabatan. Jika merasakan semakin lemah, saya juga makin lemah, tetapi sahabiah, setiap tarbiyah itu dan kenangan cukup menjadikan saya kuat, biar sendiri, biar melayari kepayahan dunia dengan menyusuri perjalanan di sini. Kalian, sahabiah dan sahabat-sahabat, tidakkah lupa pada Bai'ah itu....pada perjalanan itu......Jika saya boleh....kalian juga boleh...kuatkan keyakinan diri dan penyerahan kepada Allah..InsyaAllah...benar, saya cukup rindu pada kalian semua...

Ibnu Qayyim pernah menegaskan bahawa dalam hati itu terdapat kekalutan yang tidak boleh diperbetulkan kecuali dengan mengadap kepada Allah

1. Dalam hati itu terdapat sifat liar yang tidak mungkin dihilangkan kecuali dengan berjinak-jinak dengan Allah

2. Dalam hati itu terdapat rasa dukacita yang tidak mungkin dihapuskan kecuali dengan merasa gembira dengan ma'rifat terhadapNya dan juga benar dalam bermuamalah dengannya

3. Dalam hati itu terdapat perasaan keluh kesah yang tidak mungkin ditenangkan kecuali dengan berkumpul dan menumpukan diri kepadanya

4. Dalam hati itu terdapat kegolojohan dan penyesalan yang tidak mungkin dipadamkan kecuali dengan redha dengan perintah, larangan dan qada' Allah dan menahan sabar menghadapi perkara tersebut sehinggalah ke masa pertemuan denganNya

5. Dalam hati itu terdapat rasa kepapaan yang tidak mungkin disekat kecuali dengan perasaan kasih dan penyerahan diri kepadaNya,berterusan berzikir dan kebenaran keikhlasan kepadaNya. Jika dikurniakan dunia dan segala kandungannya kepada hati yang dihidapi perasaan papa maka ia tidak dapat menghilangkan perasaan tersebut.

19 Oktober 2007

~Ceritera~



Masih sempat saya mengisi masa untuk menulis di sini. Idea saya semakin kering dan semakin menghilang semenjak Ramadhan dan Syawal. Atau jemu menjamah rendang juga masakan berempah yang dijamu. Idea saya perlu bangkit untuk ~Cinta Aisya~. Selamat kembalikan diri ke alam nyata. Selamat kembalikan diri wahai diri!

Ucapan khas : “Selamat Hari Raya Aidilfitri” , MAAF ZAHIR & BATIN untuk semua sahabat blogger ;

Terima kasih istimewa : Kieron (adik comel), faridmw, tintahati, ukhti27, achik_sufi, sofwah, untuk sunan_jati , 13May….dan semua lah……Maaf kiranya tidak dapat melayari blog kalian.

Oh ya, terima kasih kiriman kad hari raya untuk saya….erm, saya suka pada kad berwarna coklat, siap dihiasi sebuah rumah lama Melaka. Rumah tiang seribu…..Terima kasih pemberinya. Juga semua kad-kad yang datang dari rakan blogger.

Saya sampai di rumah, menjejakkan kaki pada malam hari raya. Pelita sudah siap dihiasi. Bersalaman dengan mak dan adik-adik mengungkai rasa sayu dan gembira. Ayah, abang-abang sudah lama keluar, bertakbir dari rumah ke rumah. Malam, pastinya menantikan kunjungan kelompok untuk bertakbir di samping kami menjamu. Biar letih dalam perjalanan (meski 2 jam) tapi cukup seronok.. Anak-anak buah berlari sana- sini. Menjerit-jerit. Gembira dan sesungguhnya inilah ciptaan kasih sayang yang bersemi.

2 rombongan bertakbir berkunjung. Hidangan sambal bali, lemang, ketupat, rendang dan istimewa ada periuk kera…(nak rasa….datanglah rumah ya).

Saat bersalaman dengan mak dan ayah = air mata dah berlinang. Ayah dan mak menanti sudah. Ayah handsome dengan baju melayu hadiah pemberian anak daranya..he he he. Mak sama juga, sedondon dengan ayah. Sengaja saya pilih warna peach…macam baru menikah…Along dan Kak Long juga anak-anak comelnya ; Afrina, Aiman dan Irfan. Tahun ni, Angah dan Kak Ngah berhari raya di Muar, (rindu pula saya keletah si Amar dan Athirah) turn saya ; Kak Lang (tahun ni single lagi), Abang Chik, Kembar, Kak Uda dan terakhir si Busu.

Saya memeluk mak….itu buat air mata saya jadi bertambah banyak dan bertakung-takung. Ni yang saya lemah…..akhirnya berderai. Adik-adik lagilah menangis….Duit raya bertukar tangan. Bila sudah bekerja, inilah nikmat pemberian Ilahi…sedekah pada anak-anak buah dan kanak-kanak.

Pastinya Syawal ini kita bersederhana. Kunjungan saudara mara, cukup lumayankan diri di dapur. Masak dan menjamu.

Kenangan saya = cukup banyak, untuk berkongsi kenikmatan, semestinya berlainan cara dan gaya. Cukup saya terasa, sekejap sangat masa berlalu, hujan juga anugerah di aidilfitri. Selamat merayakan Aidilfitri selama 1 bulan. Puasa 6 dan jangan lupa kawal kolesterol anda.


~ Salam Perpaduan~

09 Oktober 2007

~Sayang Selalu~

Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir & Batin....

Atas segala kesilapan dan kesalahan...

Sayang-sayang selalu...

02 Oktober 2007

Siapakah Engkau Laila?

Peti E-mail saya mengundang rasa sayu, lantaran bait-bait indah ini. Pemberinya membuatkan saya termenung panjang lantaran harus kita bermuhasabah diri tentang kelekaan diri….Ramadhan, adakah berpeluang berjumpa lagi….?

Siapakah engkau Laila?
Apakah engkau Laila yang masyhur di dalam kisah cinta Laila dan Majnun.
Adakah engkau Laila yang membuatkan seorang lelaki menjadi gila kerana setia pada cintanya.

Siapakah engkau Laila?
Apakah engkau seorang gadis yang cantik memikat hati semua jejaka.
Atau engkau umpama sekuntum bunga yang harum di taman memikat kesemua kumbang yang senang berterbangan.

Siapakah engkau Laila?
Hinggakan manusia menyebut-nyebut namamu.
Manusia berebut-rebut mendapatkan mu.
Siapakah engkau Laila hinggakan manusia sanggup bersengkang malam menanti kehadiranmu.
Hingga manusia menitiskan air mata mengharapkan perjumpaan dengan mu.
Siapakah engkau Laila sehingga menjadi kerinduan semua manusia.

Siapakah engkau Laila?
Aku mencari-cari siapakh engkau wahai Laila. Akhirnya aku temui namamu di dalam kitab Tuhan.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam al-Qadr.
Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu?
Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.

Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan ar-Ruh (malaikat Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.

Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.

(Surah al-Qadr 97:1-5)

Baru ku tahu rupanya engkaulah yang penuh barkah. Engkaulah yang lebih baik daripada 1000 bulan.
Apakah nilai mu wahai si Laila sehingga manusia berebut-rebut mendapatkanmu?

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

“ Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharap, nescaya diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (al-Bukhari dan Muslim)

Bilakah dapat aku bertemu dengan mu Laila.
Bilakah dapat ku hidu keharuman mu ya Laila.
Bilakah dapat ku lepaskan rinduku ini pada mu Laila.
Bilakah kita dapat menghabiskan masa bersama ya Laila.
Bilakah cinta yang bersemi ini akan menjadi realiti ya Laila.

Ibn Umar RA berkata: “Beberapa orang daripada sahabat Nabi saw telah melihat malam al-Qadr di dalam tidur pada tujuh (malam) yang terakhir. Maka berkata Rasulullah SAW: “Aku melihat mimpi kamu bertepatan dengan tujuh (malam) yang terakhir. Sesiapa yang benar-benar mencarinya (malam al-Qadr), maka carilah ia di tujuh (malam) yang terakhir. (al-Bukhari dan Muslim).

Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW mengasingkan diri (di dalam masjid; beri’tikaf) pada sepuluh (malam) terakhir di dalam Ramadhan. Dan Rasulullah SAW berkata:

“Carilah malam al-Qadr pada sepuluh malam terakhir dari Ramadhan.” (al-Bukhari dan Muslim).

Aisyah RA berkata lagi, bahawa Rasulullah SAW berkata:

“Carilah malam al-Qadr pada (malam-malam) yang ganjil daripada sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadhan.” (al-Bukhari)

Bagaimanakah boleh ku mendapatkan cinta mu Laila?
Apakah harga dirimu yang perlu ku bayar wahai Laila?
Apakah yang perlu ku korbankan untuk menggapaimu Laila?

Dari Aisyah lagi, beliau berkata:

“Adalah Rasulullah SAW apabila telah memasuki sepuluh (malam) yang terakhir daripada Ramadhan, (baginda) akan menghidupkan malam tersebut, mengejutkan ahli keluarganya dan mengetatkan ikatan kainnya.” (al-Bukhari dan Muslim).

Aisyah berkata lagi: “Adalah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada bulan Ramadhan melebihi bersungguh-sungguh baginda pada bulan yang lain, dan lebih bersungguh-sungguh (untuk beribadah) pada sepuluh (malam) terakhir (Ramadhan) melebihi daripada malam-malam yang lain. (Muslim)

Wahai Laila, kata apakah yang patut ku ucapkan apabila bertemu denganmu?

Aisyah RA berkata lagi: “Aku pernah berkata”: “Ya Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku mengetahui malam yang mana ia ialah malam al-Qadr, apakah yang patut aku sebutkan padanya? Jawab Baginda SAW:

“Sebutlah!
(Allahumma innaka `afuwwun, tuhibbul-`afwa, fa`fu `anni).
Ya Allah! Sesungguhnya Engkau maha Pengampun, Engkau suka mengampuni, maka ampunilah aku.

(at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Abu Usamah