Pages

31 Mac 2011

Ikan Siakap Kukus Chenta

Jam 5.30 petang, saya bergegas mahu pulang ke rumah. Tak mahu berlama-lama di pejabat. Mari kita semua menyahut slogan ini, ‘Work Life Balance’! Usahlah kerja lewat-lewat malam atau balik ketika suami sedang tidur atau anak-anak makin lama tak kenal emaknya. Naya! Bibik itu juga nanti menjadi pengarang jantung anak-anak. Jangan-jangan wei!






Bagi seorang isteri semestinya kepala ligat berfikir, menu apakah untuk malam ini? Bukan isteri mithali jawabnya jika hari-hari makan kedai! *ini hanya pendapat Mardihah sahaja ya! Miss Orange dengan lancarnya dipandu secara sopan di jalan raya. Apa lagi, saya akhirnya terbayang ikan kerapu dikukus dengan kukus yang emak hadiahkan bakal menjadi santapan kami malam ini. Ditaburi sayur-sayuran dan ternampak wap-wap bersama bau yang melazatkan. Wah! Lazatnya…

Memandangkan encik abang tak berapa sihat gara-gara baru turun dari tempat yang sejuk. Asma dan sakit dada menyerang, maka saya putuskan memasak yang berkhasiat untuknya dan perut saya sekali! Wajib-wajib!







Bahan-bahan yang dibeli ialah : Ikan siakap, (punyalah ada tanda nama besar di Pasaraya Pak Aji, Bandar Tun Razak) iyalah, sebab saya sebenarnya mahu membeli ikan kerapu. Alih-alih terbeli ikan siakap. Ahh, bedal sahajalah! Sedikit halia, lobak, anak jagung (entah apa nama sebenarnya, lupa!), daun sup, limau sambal 6 biji. Kalau dah namanya perempuan, maka tak lari dari terbeli barang dapur yang bukan di dalam senarai. Papadom yang encik abang suka makan dan susu pekat untuk membuat teh tarik juga saya sambar!

Okey, selepas solat maghrib, maka proses memasak pun bermula. Ikan basuh bersih-bersih ya. Basuh dengan asam limau 2 biji dan asam jawa. Nanti berbau! Masak jadi tak sedap. Kawan-kawan jangan main masak sahaja ya! Kawab-kawan, pastikan pengukus sudah diletakkan di atas dapur ya! Tutup dan pastikan mendidih sebelum mengukus ikan.

Ini bahan-bahan mudahnya:

Bahan A : 4 biji cili padi, sedikit halia, bawang putih dan bawang merah. Lobak merah, anak jagung dan daun sup. (dihiris)

Bahan B: Halia, bawang putih dan bawang merah. (dimesin)


Hiris bahan A.


Masukkan bahan B ke dalam acuan kukus bersama ikan siakap. Ratakan bahan B tadi dengan ikan. Tabur sedikit garam dan serbuk perasa jika mahu. Sedikit air dimasukkan untuk mendapatkan kuah.


Langkah seterusnya, masukkan kesemua bahan C. Taburkan di atas ikan.


Kukuskan ikan. Perah asam limau dan ikan dikukus sehingga masak.


Sedia untuk dihidang dan mari kita makan! Yummy!






Boleh sahaja kawan-kawan menambah sayur-sayuran dan serbuk perasa yang lain jika mahu.


*Tapi resipi ikan kali ini, rasanya memang umph! Mengancam dengan rasa halianya, rasa pedas-pedas dan bawang putih yang cukup sejat bersama ikan. Ianya juga cukup berkhasiat dengan sayuran yang disatukan ke atasnya. Bagi yang sedang berdiet, memang bagus menikmati ikan kukus sebegini. *sila buat intonasi suara seperti rancangan Jalan-jalan Cari Makan.


Ikan dah masak, habis sudah kami makan dan chef Mardihah mahu mengundurkan diri. Ingat pesanan ini, memasaklah untuk orang yang tersayang! Yeay!

30 Mac 2011

Cuti sakan

Bercuti! Memang seronok! Bukan ke London ya! Bukan juga ke Korea atau terbang ke Libya! Saat-saat masih berdua dengan suami, maka saya rasa lebih elok berjalan-jalan lagi. Hilangkan tekanan dan kesibukan kerja juga melihat-lihat gelagat orang di sekeliling. Okey, marilah kita melihat gambar-gambar yang sempat dirakam.




Bateri kamera memang tidak dicas gara-gara *pengecasnya tertinggal di rumah emak Melaka. *betulkah perkataan pengecas itu? Haa..hantam! Memang seronok tambah gumbira! Yang paling bertambah adalah semangat untuk kembali menulis lagi. Itu yang saya mahu! Sebab nanti dapat duit banyak, bolehlah melancong lagi! Bolehlah abang ya! Dalam Malaysia pun jadilah. he he he..



Tadaaa...Go to London! Biar mimpi menjadi nyata maka saya bergaya ala-ala betul di hadapan bas bercop nama 'London'. Sumpah perasan!





Sejuk o! Jadinya sesiapa yang rasa tekanan tahap gaban dan ultraman itu, bolehlah berjalan-jalan ke sini. Jeritlah sepuas hati dan berjalan sampai sakit kaki! Sumpah menyesal pakai kasut hitam tinggi dua inci. Nasib baik ada kasut sukan murah cap Power. Kalaulah mardihah tahu, awal-awal pagi pakai kasut sukan itu. Bolehlah berlari-lari lagi! Menyesal betul!



Encik abang tersayang membelek telefonnya bersama hembusan kabus yang menyejukkan! Seronok menyaksikan pemandangan indah ini. Aiceh! Terima kasih bawa adinda berjalan-jalan. Nanti kita pusing-pusing 1 Malaysia lagi ya!


05 Mac 2011

Karya dibawa sehingga ke mimpinya!


Ops, hari ini hari Sabtu ya! Dan ketika sedang bekerja namun sempat saya mencuri masa menjengah internet, dan jemari ini terus sahaja menaip Andai Gerimis Berhenti di pakcik tersayang, iaitu Mr Google. Terjumpa blog yang memberi komentar terhadap anak kedua saya. Senyum lebar saya sebenarnya. Riang ria terus walau kerja banyak!

Terima kasih Dhila. Dhila di dalam blognya bercerita yang manis-manis! Empunya nama penuh Nur Fadhilah Zulkipli berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan turut sama memuatkan Lukisan Jiwa sebagai buku kegemarannya di dalam ‘profile blognya’.


Alhamdulillah, terima kasih membeli dan membacanya. Nanti akak Dihah belanja makan aiskrim ya. Hehehe...


Mari kita membaca catatan Dhila Huda mengenai Andai Gerimis Berhenti.

"Lega rasanya bila da selesai baca novel ini. Penuh konflik dan debaran. Tulisan Mardihah Adam.

Cerita ini mengisahkan hidup seorang wanita yang dikenali Aisya,yang merupakan usahanita yang membuka kolam ternakan ikan di kampungnya(bukan calang-calang orang nak buat semua ni..perempuan ya) dan menjadi idaman teman baiknya sendiri. Najmi dan Hisyam..tapi hatinya setia kepada Ustaz Zul.

Jadi, memang suatu cabaran bagi Aisya mahu pilih yang mana satu. Tambah-tambah lagi kalau melibatkan persahabatan..isk..isk…memang payah!

Tapi yang paling best, bagaimana dia nak lalui semua, dengan orang yang menyabotaj dia lagi. Betul-betul mengajar kita sifat tawakal kepada Allah.

Novel Andai Gerimis Berhenti ini merupakan tulisan kedua Mardihah Adam selepas Lukisan Jiwa..alaaaa..yang menjadi inspirasi kepada penulis blog ini. Dua-dua pun best!

Ini pun sebenarnya secara kebetulan sahaja tangan ini mengambil novel dari rak buku di popular. In a hurry kan! Tak sangka bagi impak yang besar, especially bila sampai chapter 40, bukan saja Aisya yang tahan menangis. Dila pun sama, terlampau menjiwai kan..apa boleh buat kan..apa yang kita nak tu tak selalunya dapat.

membaca novel ini sampai terbawa-bawa dalam mimpi! Bagus kalau betul-betul jadi macam dalam mimpi tu!"


04 Mac 2011

Namaku Bukan Maria- Cab 50


Namaku Bukan Maria, karya Ibnu Ahmad Al-Kurauwi mengangkat kembali kisah sejarah Natrah, wanita Belanda yang dibela oleh seorang wanita melayu Islam iaitu Che Aminah.

Kisah yang berlatarbelakangkan kemulusan bahasa penulisnya, kegemilangan Islam dahulu dan bagaimana Natrah dibesarkan dengan keimanan ini sejujurnya menjentik naluri saya untuk menghabiskan masa membacanya. Nama sebenar Natrah adalah Maria Heberania Hertogh atau lebih dikenali dengan nama Natrah di Malaya. Melalui hasil carian saya di internet Natrah meninggal dunia ketika berusia 72 tahun di Huijbergen, Belanda kerana leukimia.

Sejarah Natrah di dalam novel ini memang tidak diperincikan sehingga habis perjalanannya, namun lebih menceritakan mengenai Islamnya Natrah, perjuangan Che Aminah bersama kasih sayang seorang anak walaupun Natrah adalah anak angkatnya. Juga bagaimana bermulanya seorang lelaki Belanda datang melihat Natrah dan mahu Che Aminah mengembalikan Natrah kepada negara asalnya.

Seperti kata pengarang novel sejarah PTS, – Abdul Latip Talib. 'Namaku Bukan Maria tidak lagi mengungkap kisah tragedi dan air mata. Sebaliknya menyuntik intuisi terhadap nilai iman kemudian disenyawakan dalam diri Natrah. Di tangan Ibnu Ahmad al-Kurauwi, sejarah dimuhasabahkan agar tidak hanya hidup membetuli ketentuan pada tradisi angka dan rakaman peristiwa semata.'

Natrah bersama teman-temannya yang penuh warna-warni di dalam novel ini membawa kepada erti persahabatan dan sedikit rencah cinta membawa kita menyelami jiwa anak muda seorang lelaki dan wanita yang penuh adab sopan. Penuh tertib dan penuh rasa.
Benar, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi membawa lembaran penulisannya yang mulus untuk saya terus mengikuti dirinya sebagai seorang penulis lelaki pilihan selepas Faisal Tehrani.

Ketika Che Aminah berada di Indonesia, kebencian terhadap Belanda amat memuncak sekali. Che Aminah akhirnya menerima tanggungjawab dari ibu Natrah, Adeline dan nenek Natrah, Nor Louisyen. Che Aminah menerima Natrah dan menerima Natrah sebagai anak kandung malah menjaga, membawa amanah itu dengan sungguh mulia bersama didikan budaya melayu, mengenali Islam dan cintanya kepada Islam melebihi segala-galanya.

Novel ini tidak menceritakan pergelutan sebenar antara Natrah, Belanda, Tanah Melayu dan Islam sendiri. Namun, kredit kepada Ibnu Ahmad Al-Kurauwi kerana jiwa, hati, iman, diri dan segala-gala di dalam diri Natrah adalah untuk berada di Tanah Melayu, mahu berada di Kemaman, juga mahu bersama teman-temannya yang berpaksikan Islam, Iman dan tawakal, Natrah seorang wanita yang diangkat dengan penuh berani, cekal, tekal dan hatinya penuh keindahan.

Jika ada bintang, maka saya letakkan novel ini untuk 7 bintang!

Ustaz Ibnu Ahmad Al-Kurauwi benar-benar membuatkan saya cemburu. Kerana mahu menulis sepertinya pasti memakan masa bertahun-tahun lamanya bersama latihan, bahan bacaan dan segalanya perlu saya gigihkan selepas ini.