Pages

24 Februari 2014

Udin & Jen 3



Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Dua tiga boleh Udin cari,
Mana nak sama dengan Puan Jen seorang.





Shahbudin (Udin)

“Haaaa…kak long nak yang ni lah. Bagus-bagus.” Shazlina tersengih-sengih sambil menyambar beg plastik dari jemari aku. Haaa…elok sangatlah tu. Terima kasih pun tak ada. Haihlah kak long. Mata meleret memerhatikan kak long yang memeluk si Didi. Alih-alih, tubuh berisi kak long sudah masuk ke dalam bilik sambil berborak dengan kucing kesayangannya.

Aku letakkan helmet di meja khas yang sudah kak long sediakan. Iyalah, aku ini pun menumpang. Peraturan yang kak long sudah senaraikan harus aku patuhi. Sebenarnya aku kesian dengan kak long aku ni. Duduknya hanya dengan Didi, kucing kesayangannya itu. Sudah dua tahun, kak long aku menjada. Itulah kau, Saari. Aku cadangkan kau kahwin dengan kakak aku, kau tak mahu. Kau memilih sangat.

“Kuasa. Tak nak aku tengok muka kau hari-hari kat rumah tu. Menyampah aku!” Saari jelirkan lidah. Aku bantai ketawa tak ingat semasa sesi berborak-borak mengenai masa depan kakak kesayangan aku ini dengan Saari.

Disebabkan kakak aku duduknya dengan Didilah, abah dan emak di kampung memaksa aku menjadi pak rela duduk di rumah ini. Mula-mula paksa dan akhirnya aku rela. Baru duduk di rumah sewa dengan Saari, aku gagahkan diri memindahkan sebuah beg ke rumah kak long.

Kaki kini berayun perlahan-lahan menuju ke bilik sendiri. Baru saja aku mahu memulas tombol pintu, suara kak long mengetuk gegendang telinga.

“Ha Udin, kak long ada masak. Kari ayam dengan sayur campur.”

Aku sengih. Amboi, sedapnya. Sejak bila pulak kak long ni rajin masak? Bukan selalu dia suruh aku keluar tapaukan apa-apa ke?

“Iyalah, Udin kan dah tolong belikan makanan untuk si Didi ni. Tadi tetiba kak long terajin pulak nak masak. Haa..jangan lupa lepas makan, basuh pinggan. Jangan tinggal pinggan kotor dalam sinki, tak elok!” suara kak long makin deras membebel. Begitulah seadanya. Kalau tak kak long diam duduk dalam biliknya, dia akan membebel sebegini rupa.

Aku terus mencampak beg ke dalam almari yang memang terdedah. Senang untuk tangan aku membuat aksi bermain basketball. Tepat sungguh beg aku menjunam masuk ke penjuru almari! Aksi seterusnya seperti biasa, membuka jaket dan kemudian aku gantungkan ke dalam almari. Jemari tangkas mengambil tuala. Buka baju dan baling sekali lagi ke dalam bakul. Tepat!

Rutin yang sama. Kadang-kala aku rasa hidup aku sungguh tak mencabar. Kata Saari, tak ada yang misteri dan plot yang bagus dalam hidup kau. Balik sahaja dan masuk ke dalam bilik, inilah rutinnya. Sekejap lagi, mandi selama lima belas minit. Bersiap sedia untuk solat Maghrib dan makan. Kalau kak long tu datang penyakit pemalasnya, memanglah aku akan jadi kuli dia menapau apa-apa makanan yang kak long teringin masuk ke dalam perutnya.

Teori dan praktikal hidup aku beginilah, yang selalu membuat aku rasa mahu berkahwin cepat. Kalau aku balik, sudah tentu cik isteri sambut aku dengan senyum manisnya. Aku ini bukannya macam Saari yang suka melepak dua puluh empat jam di mapley. Entah, aku pun rasa ini bukan lelaki yang hidungnya seteru sahaja dengan bau di mapley. Sesekali bolehlah melayan roti canai atau nasi beriyani di mapley. Sesekali. Boleh dibilang dengan jari ‘sesekali’ aku itu. Bila masa gaji sahajalah.

Haaa….mesti juga isteri sudah masak yang sedap-sedap. Balik berpenat dari kerja, makanlah bersama-sama ala Yusry dan Lisa Surihani. Huk aloh, Udin, berangan sungguh kau nak kahwin. Kahwin dengan siapa? Didi kucing kak long bolehlah. Hesy!

Sehingga tepat jam 930 malam. Perut sudah kenyang. Solat pun sudah, makan pun sudah. Aku kini terpacak depan televisyen 42 inci jenama Sony. Samsung Galaxy 2 di sebelah sunyi sepi. Beli Samsung ini pun sebab kilang bagi bonus dua bulan gaji. Bolehlah aku menggantikan telefon usang aku si Nokia yang baling ke dinding tak pecah-pecah tu.

Haihlah Udin…corak hidup kau bosan sungguh. Aku tersengih-sengih menonton televisyen. Dah kenapa siaran televisyen bertukar cerita Korea ni?

“Kak long nak tengok cerita ni.”

Tetiba kak long, anak kesayangan emak duduk di sebelah aku. Didi masih di dalam pelukan dia.
“Bak sini remote tu. Apahal kalau hari-hari makan cerita Korea ni kak long? Adeiii..” Aku mula mendidih. Entah bilalah dia ada kat sebelah aku ni? Boleh pulak dia merembat remote control atas bantal aku.

Remote control sudah dikuasai kak long. “Ala Udin, Udin pergilah keluar dengan Saari ke. Bagi kak long tengok cerita ni.”

“Saari takde. Pergi tengok bola.”

“Ala, jalan-jalan ke. Kak long nak tengok drama ni. Sekejap aje.”

Senang nya dia ni cakap. Ingat, minyak murah ke? Jalan-jalan pergi mana  malam-malam buta begini? Kalau bagi duit, bolehlah senang aku ayunkan kaki ni. Kemain kau. Shazlina. Syahdu sungguh kau memujuk aku ya. Sekejap kau kata? Ni belum sampai dia ulang tengok setiap drama korea yang aku rasa dah empat puluh kali diulang Astro HD 393 ni. Agak-agaklah kalau nak menipu pun. Aku ni ingat tau tak?

“Aku malas nak keluar. Tukar-tukar Astro Ria tadi.”

“Ah. Aku lagi malas.” Sarkastik sahaja jawapan kakak aku ini.

Kak long dah letak remote kesayangan dia di bawah perut gebu Didi. Ish, menyirap sungguh! Dari bergaduh dengan kak long, baik aku keluar. Dari dengar kak long menangis sebab tak dapat tengok hero kesayangan dia berlakon, baik aku angkat kaki melepak sekejap kat mapley. Ini baru ‘sesekali’ datang. Tapi masalahnya, aku belum bergaji. Duit pun cukup-cukup sahaja rasanya menampung belanja hidup si bujang trang tang tang.

Nekad. Akhirnya aku mencapai helmet dan kunci motosikal. Rasa macam nak beli televisyen baru letak dalam bilik sendiri. Kak long ni memang pedajal! Suka buat aku sakit hati. Apa benda sekalipun, aku akan mengalah dengan kak long. Dia nak mengalah, kirim salam. Sudah hidup  aku ini menumpang….buat-buatlah cara menumpang.

Angin malam tambah menyakitkan hati. Baru sahaja aku sampai ke simpang  tiga membelok ke mapley tempat melepak kawan-kawan, enjin motosikal terhenti. Itulah kau Udin. Hati kau tadi asyik menyumpah seranah kakak sendiri. Kan ke motosikal kesayangan sudah rosak.

Sepuluh malam. Aku terbongkok-bongkok cuba menjadi pomen. Akhirnya, perlahan-lahan aku tolak motosikal kembali ke pangkal jalan. Bukan dekat perjalanan malam aku kali ini. Lebih kurang 2 km. Korang boleh agaklah betapa lajunya aku membawa motosikal cabuk aku tadi. Geram punya fasal, haaa….tolaklah perlahan-lahan.

Tapi benda paling membahagiakan naluri aku sebagai lelaki ialah apabila misteri dan plot hidup aku berubah dari dua puluh peratus ke lapan puluh peratus. Tiba-tiba! Hanya disebabkan aku merajuk dengan kak long, start enjin motosikal dan bawa selaju mungkin. Kemudian enjin mati di persimpangan jalan. Semuanya bagaikan dirancang.

“Eh Udin!”

Aku panggung kepala. Suara manja entah siapa meragut jiwa sang lelaki. Ceh kau Udin!

“Jen!” Aku buat-buat terkejut walhal sebenarnya aku rasa mahu meloncat-loncat suka kerana ada seseorang yang sudi menegur aku di pinggir jalan ini. Kereta Toyota Vios milik Jen tersadai sudah di tepi jalan raya. Mata aku terus menuju ke tempat duduk bersebelahan pemandu. Ada seorang budak lelaki yang wajahnya masam mencuka.

“Kenapa ni?”

Aku terkebil-kebil. Amboi! Motosikal rosaklah cik adik! Boleh pulak tanya aku kenapa. “Err..makan angin.”

“Tolak motor ni sebab makan angin?” Jen membulatkan mata. Amboi, comelnya dia. Tapi dalam comel, lurus jugak dia ni.

Aku sengih. Jungkitkan kening. “Ha’a. I memang suka makan angin. Lagi-lagi waktu malam pukul sepuluh ni. Angin kus-kus memang sesuai untuk hormon I.”

Jen ketawa. Hahaha. Kau rasa apa, Udin? Ketawanya merangsangkan satu hubungan untuk jiwa. Entah aku tidak pasti. Tapi pertemuan ketiga ini sungguh luar biasa untuk aku sebagai seorang lelaki.

Dia mempelawa. “Ala….I tahu motosikal you rosak. Jomlah naik kereta I. Rumah I dalam ni je.” Jari runcingnya menunjuk-nunjuk kawasan perumahan di dalam.

Jual mahal. “Eh, buat apa I nak naik kereta you. Takpe-takpe.” Aku tersengih-sengih. Kami sudah berdiri. Rupanya, jaraknya dekat sahaja dengan aku. Haruman apa yang dia pakai ini pun, aku tidak pasti jenamanya. Tapi, serius! Aku suka!

Jen cebik. “Laa…tinggalkan EX5 you kat rumah I. I hantar you balik. Nanti bila you senang-senang, you ambiklah bawak mekanik datang rumah I. Ada kedai betul motosikal kat kawasan perumahan I. Bila senang, you datanglah.”

Plot cerita memang klise. Tapi aku sebagai seorang lelaki yang gagah perkasa, harus menolak dengan baik. “Err..tak apa. I menyusahkan saja. Lagipun, rumah kawan I pun dekat-dekat dengan rumah you jugak.”

Ceh!!

Aku yang menolak. Bodoh sombong punya Shahbudin! Sehingga budak lelaki di dalam kereta berkenaan membunyikan hon berkali-kali.

Pin!!! Pin!!!!

Jen kelam kabut. “Eh, I nak kena hantar anak I rumah nenek dia sekejap. You tunggu sini ya, Udin. I akan tolong you. You tunggu sini sampai I datang. Sekejap aje.”

Anak? Rumah nenek? Aku terkebil-kebil sambil memerhatikan susuk tubuh Jen dari belakang. Dia berlari-lari pula ke arah keretanya. Sekejapan sahaja pertemuan malam ini dengan Jen. Paling sadis, dia sudah anak dan entah-entah suaminya sedang menunggu di rumah.

Sedihnya. Serupa plot cerita Korea yang sedang kak long tonton sambil mengesat pipi dengan berhelai-helai tisu.

You tunggu sini sampai I datang. Oh Udin, kau boleh percaya ke yang Jen akan datang membantu kau? Sudahlah malam-malam bersama hembus bayu angin memilukan. Sudahlah Jen itu rupanya bini orang. Pangkah! Angan-angan indah yang kononnya bakal dia lalui bersama dengan Jen punah ranah.

Kereta Jen membelah kesunyian jalan raya. Gelak! Gelak! Gelak! Aku terkebil-kebil lagi menolak motosikal. Haram jadah punya motor! Fasal kau, aku kena jalan kaki. Aku seluk poket seluar jeans. Cari nama kak long.

“Motor Udin rosak!” Nafas rasa terhenti.

“Habis?”

“Weii…tolonglah sini. Ambik aku kat sini.”

“Ala…call lah Saari ke. Zahid Hambidi ke, Najib ke. Tak pun Muhyidin Yasin!”

“Puiiii! Kau ingat aku ahli majlis tertinggi ke?” Aku tongkatkan motosikal. Sudahnya aku berdiri serupa menunggu Pontianak.

Gelak ketawa kak long di hujung talian memanaskan seluruh anggota tubuh. Kalau dekat sebelah, ada yang makan sparring ni. “Kak long ni teruklah! Sinilah.”

“Kak long serius ni. Ni tengah part paling sweeetttttt sangat-sangat. Jangan kacau. Ok, bye!” Suara kak long kali ini memang minta penampar sulung. Bila dia sebut perkataan sweeettttttt sangat-sangat tu, aku rasa macam nak humban diri ke gaung saja. Belum lagi dia tengok drama Akasia atau entah apa-apa jenis drama di televisyen. Semuanya …’Ohhh sweettttt! Ohhh..syioknyaaaa….oh handsomenyaaaaa!

Iyakkkk! Rasa mahu saja aku tutup televisyen. Sambil melipat baju pun dia boleh feeling-feeling drama Korea begitu bagai. Aku pandang skrin Samsung. Gigit bibir dan kembali menolak motosikal.

Peluh sudah mencurah-curah turun. Satu kedai motosikal pun tak bukak. Semua tutup. Tengok jam, sudah pukul 10.45 malam. Sudah beberapa minit berlalu, dan kemarahan yang meledak ini akhirnya aku hamburkan dengan menikmati segelas air sirap limau di sebuah gerai. Harap-harap Saari adalah untuk membantu aku. Aku bukak beg lusuh yang kemas di dalam poket belakang seluar jeans aku.

Hanya ada tiga keping not merah. Agak-agaknya berapalah tokei kedai cina tu pow aku esok. Aku pandang motosikal yang tersadai. Bayang Jen habuk pun tarak! Tapi entah kenapa, bila sebut nama dia kali ini, lenggok dan senyumnya mewarnai hujung mata.

Dan….

“Sini rupanya you!” Jen terpacul. Tegak berdiri betul-betul di depan meja yang sedang aku duduk. Wajahnya bersinar-sinar bagaikan teruja melihatkan kewujudan aku.

Aku hembus nafas. Eh-eh. Magik!

Kau nak mampus Udin. Buatnya laki si Jen ni nampak….naya-naya. Terus aku masuk dalam longkang jawabnya.

“Hehehe. Tekak ni dahaga sangat-sangat. Tu yang lepak sini kejap. Eh you nak minum apa?” Aku pasrah. Kalau kena humban masuk longkang pun sekali aje. Apa salahnya kalau aku ada skandal dengan isteri orang. Sekarang pun macam-macam skandal berlaku. Suami orang dengan isteri orang. Tunang orang dengan datuk A. Semua ada.

“Samalah dengan air you. Sirap limau. Nampak sedap pulak.” Jen senyum lagi.

Parah! Akhirnya senyum dia membibitkan perbualan-perbualan kosong. Dari kejadian aku merajuk dengan kak long sampailah aku lepak ke gerai ini. Sehinggalah perbualan antara aku dan dia berlangsung nyaman di dalam Toyota Viosnya.

EX5 kesayangan, aku tinggalkan sahaja ke tepi bangunan berdekatan dengan gerai berkenaan. Esok lusa, bila aku dah berduit…baru boleh aku hantar workshop.

Mulut mesti ringan. Tanpa segan aku bertanya dia, “You dah anak anak ek?”

“Ha’a. Sufi.” Jen memandu dengan tenang. Kemudian dia panjang lebar bercerita, “I hantar dia pergi rumah nenek dia. Esok, bekas suami I punya giliran jaga Sufi. Selalunya begitulah. Kalau tak I hantar Sufi pergi rumah nenek dia, papa dia akan ambil dia di sekolah.”

Angguk. Aku rasa bahagia. Mana tidaknya…bila dia sebut, ‘bekas suami’, aku rasa makin laju pula rentak perbualan antara aku dan dia. “Ohh..bekas suami.” Aku mengiayakan sekali lagi.

“Eh Jen…” aku hentikan perbualan. Nampak sungguh tak manis kalau aku bertanyakan status dia. ‘You janda lah ya?’ Atau soalan begini, ‘maknanya you memang janda ada anak satu dan dah bercerai dengan suami you?’

Soalan-soalan itu akan mengundang nahas luar biasa. Lebih tepat nahas jalan raya ngeri untuk episod pertemuan ini.

“Haaa..apanya?” Jen gumam bibir. Matanya fokus memandang jalan raya. Kemudian sekejap-sekejap dia menjeling aku.

Gulp. Sekali Jen menjeling aku, sepuluh kali jantung aku laju berdegup-degup. Mak haih! Punyalah manis senyum dia, boleh pulak suami dia ceraikan dia. Berdosa sungguh kau lelaki kerana meninggalkan seorang wanita secantik ini.

Tapi secantik Erra Fazira pun…eh-eh…apa aku mengarut ni. Kita kan merancang. Bukankah Tuhan menentukan semuanya? Entah-entah si Engku Emran tu yang salah. Dasar lelaki sungguh. Eh-eh….dah kenapa aku tetiba jadi wartawan Melodi ni? Aku alihkan hujung mata ke jemari runcing Jen.

“Tak…I nak cakap terima kasih. Sebab sudi bayarkan duit sirap limau I.”

Jen senyum lagi. “Ohh…ingatkan apa tadi.”

Aku mulalah mencipta nada-nada romantik. “Iyalah, patutnya I yang bayar. Ni you hantar pulak I balik ke rumah. Lagilah segan.”

“Eh takpe. Hari ni hari you, esok lusa entah-entah hari I. Bolehlah you tolong I pulak.” Jen membelok ke kanan selepas aku tunjukkan jalan ke rumah kak long.

Dan Jen….rupa-rupanya dia tolong aku ni tak ikhlas mana pun. Jen hulurkan kadnya. Serupalah macam dalam drama melayu dan filem-filem kita. Drama korea pun ada, aku rasa. “Nanti call I. kalau you nak kerja part time kat kedai I pun boleh. Kebetulan, Amin nak berhenti minggu depan. I belum cari pengganti.”

Aku mengambil kad berkenaan. Sedih kan? Dia tolong hantar aku di depan rumah kak long ni pun sebab mahu menawarkan kerja part time dekat aku? Choiiiiii! Apa, aku ni tak cukup kacak ke diberi peluang untuk menjadi lelaki simpanan dia?  Apa, aku ni tak cukup aura ke untuk dijadikan kekasih gelap dia? Atau pun, bagilah aku peluang untuk menjadi pemandu peribadinya ke?

Heh. Jen hadiahkan senyum manisnya. “I serius ni. Nanti call I. Esok, kalau you tak ada kenderaan nak pergi kerja, you call I. Rumah kita pun dekat aje. Sementara motosikal kat workshop, I akan hantarkan you pergi kerja.”

Eh, tawaran apakah ini? Jen sekali lagi merenung aku. Terkebil-kebil aku menghantar debar ke hujung jiwa. Alahai Jen! Manisnya senyum dia. Tanpa sempat aku ucapkan terima kasih, Jen terus menderukan Toyota Viosnya.

11 Februari 2014

Udin & Jen 2




Saya susun kisah ini begini. Ada bab bercerita mengenai Jen. Ada bab mengisahkan Udin. Ada bab saya cantumkan cerita mereka berdua. Saya sedang bermain dengan semua POV dalam Udin & Jen. Harap suka. Terima kasih semua.








Sofea Jameela (Jen)


Ya. Itulah pertemuan pertama kami. Aku ingat sampai bila-bila. Sofea Jameela Pet yang menjadi saksi. Makanan kucing jenama Royal Canin itu juga yang menjadi penghubung. Bila dia keluar dari kedai milik diri sendiri, aku terkebil-kebil sambil menahan senyum. Aku ketap bibir kuat-kuat agar senyum tidak sampai ke telinga. Budak muda memang macam-macam ragamnya. Aku akan seadanya melayan sesiapa. Kalau lagaknya seperti cina, slangnya berubah juga. Lagaknya remaja, aku jadi remaja. Kalau budak-budak muda, ah – aku pun rasa mahu jadi muda. Sepuluh pelanggan yang datang ke sini, rencahnya ada sepuluh juga. Tidak terjangka.

Jujur. Dia itu pula jujur sahaja bicaranya sambil memperkenalkan nama penanya. Udin.

Kesibukan aku di kedai kesayangan ini, lantas melupakan aku dengan namanya. Tidak sedikit terdetik pun untuk aku memenuhkan nama mana-mana pelanggan di dalam kotak hati. Sudah statusnya aku ini janda. Janda yang punya seorang anak lelaki berumur 9 tahun. Mahu mengharapkan apa-apa lagi perhubungan dengan mana-mana lelaki, ia sebenarnya sudah basi. Ungku Mariah pun ada sebut dan selalu cakap, “Janganlah tutup hati kau tu dengan mana-mana lelaki lagi Jen. Umur kau pun muda lagi. 30 tahun. Kalau ada customer lelaki yang datang ke kedai kau ni, usha-ushalah! Mesti ada satu yang tersangkut.”

Jangan Jen! Jangan!  “Usha? Ish kau ni.”

Ungku Mariah provokasi, “Orang takkan tahu umur kau tu 30. Aku tengok pun, umur kau ni macam 24 tahun. Serius! Orang pun takkan tahu kau ada sorang anak lelaki. Aku tengok kau atas bawah, atas bawah bergetah lagilah. Fakhrul Sufi tu pun nak jugak ada ayah.”

“Sufi dah kata, dia okey duduk berdua dengan aku. Aku ni kan ayah dan umi dia, Ungku Mariah oi!” aku terbeliakkan biji mata. “Kau kan tahu, aku suka ulam. Orang makan ulam-ulam ni awet muda.”

“Heee dia ni. Perasan! Dahlah, aku nak balik kedai aku.”

Ungku Mariah senyum senget. Kedainya bersebelahan sahaja dengan kedai aku ini. Kalau mahu lepaskan tekanan, bolehlah berspa di kedainya. Jahit baju pun pandai. Pendek kata, benda-benda yang melibatkan kecantikan wanita, semuanya dia boleh buat. Ungku Mariah memang serba boleh. Kalau rasa dia bosan, sekejap lagi sampailah dia membawa pisang goreng. Petang-petang begini, sedapnya kan…makan pisang goreng? Cicah pula dengan sambal kicapnya. Lagilah nikmat!

Suara Ungku Mariah perlahan-lahan hilang di bawa angin. Kain di jemari makin tangkas mengelap habuk di papan kaca. Mata aku cekap memerhati ikan-ikan emas besar di dalam kolam buatan. Bunyi air berkocak-kocak, tambah menenangkan. Sofea Jameela Pet, kedai milik aku ini sudah semakin membesar. Ruang bawah menempatkan serba serbi lengkap makanan haiwan. Hanya makanan ikan dan aksesori di dalam akuarium ditempatkan di tingkat kedua. Kalau Humaira ada, dialah yang akan bertugas di kaunter ini. Disebabkan Humaira MC, maka aku mengambil alih menjaga ruang bawah ini. Amir di bahagian belakang sedang sibuk melayani pelanggan. Hanya dua orang pekerja sahaja yang akan mengetuk papan kekunci dan menerima pembayaran. Untuk sekarang, aku lebih melatih dan mempercayai Amir dan Humaira. Hanya mereka berdua yang boleh aku percayai.

Aku memasang telinga. Pekerja-pekerja di ruang atas entah sedang berbual-bual apa. Ruang atas kedai aku ini, lebih besar ruangnya. Lebih menjenamakan Sofea Jameela Pet. Kalau menjengah jam  8 malam, ruang atas akan dipenuhi dengan peminat kucing, arnab, kura-kura, hamster, ikan-ikan dan anjing. Mahu membeli joran pun, Sofea Jameela Pet sediakan. Aku sudah mengumpul sebanyak 8 pekerja untuk mengawasi keseluruhan kedai aku ini.

“Umi!” Fakhrul Sufi menolak pintu. Jemari yang sedang mengelap rak terhenti. Aku hadiahkan senyum manis. Seorang pelanggan mampir dan Amir kini menjalankan kembali rutinnya di kaunter. Tubuh aku terus dipeluk si kacak manis. Anak aku ini semakin membesar.

“Ya comel umi.” Aku sengih. Automatiknya, bibir menciumi pipi gebu Fakhrul Sufi. Dikesat-kesat sambil ketawa. “Amboi, kesat nampak?”

“Eeee…Sufi dah besarlah umi. Malulah dengan abang Amir.” Fakhrul Sufi mencebik.

“Mengada. Kecik hati umi tau. Sufi… dosa tau..dosa…” Aku kembali rancak bergurau senda. Pakaian sekolahnya masih melekap. Jemari aku tangkas sahaja menarik jemari anak lelaki aku ini. Sebelah jemariku gigih memegang beg sekolah Fakhrul Sufi. Inilah rumah kedua kami. Bilik belakang yang lengkap dengan ruang sederhana besar itulah, tempat selalu Fakhrul Sufi duduk menantikan kedai ini ditutup.

Salah aku. Iya. Disebabkan kedai ini juga, hubungan aku dan dia putus di tengah jalan. Dalam sibuk aku membangunkan Sofea Jameela Pet, suamiku sebenarnya sedang menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Lebih perit wahai Zainal Syah…kau duakan aku dengan Farina yang aku didik dia bekerja di Sofea Jameela Pet ini.

Salah aku juga. Hanya memikirkan kerja. Dunia aku lapan tahun yang lepas, asyik sahaja dengan haiwan-haiwan yang memenuhi kedai ini. Jadual padat dan kesibukan kerja ini akhirnya menoktahkan titik untuk perkahwinan yang kami bina atas dasar cinta. Genap Fakhrul Sufi enam tahun, sembilan bulan, cerai itu adalah pengakhiran untuk aku.  Aku ini, wanita yang tidak ingin suamiku berkongsikan kasih sayangnya. Aku ini, bukan wanita yang boleh membahagikan hati dan perasaan. Setahun juga, Zainal Syah melupakan aku. Tahun-tahun perit itu akhirnya bertukar ganti dengan aku menuntut fasakh. Mana mungkin luka di hati ini, boleh dia rawatkan lagi. 

Remuk dan sakitnya hati aku ini, masih menyala-nyala bila nama bekas suamiku itu meniti di bibir Fakhrul Sufi. Fakhrul Sufi, masih anak Zainal Syah. Aku tidak boleh menidakkan hubungan darah antara mereka berdua. Ada ruang dan masa yang aku izinkan untuk mereka berdua. Tetapi jangan izinkan umi, untuk nama itu dicantum-cantumkan lagi. Sudah-sudahlah Sufi.

Rutinnya sama. Sambil menunggu anak lelaki aku mandi, aku akan membuka televisyen. Jika pekerja memanggil hal-hal berkaitan kedai, aku akan keluar sekejap ke atas dan kembali ke bilik ini. Ini yang seronok jika jadi bos di kedai sendiri. Perjuangan selama sembilan tahun akhirnya membuahkan kejayaan. Tapi Jen, ada manis dan pahitnya kan?

Beberapa minit, aku akan duduk pula menikmati bekalan bersama Fakhrul Sufi yang mama hantarkan tengahari tadi. Susah-susah sangat, aku tapau sahaja dengan kedai Anida Tom Yam selang tiga kedai dari kedai aku ini.

Suara Amir bergema. “Ong, bungkuskan katak tiga ringgit.”

“Katak tu nak buat apa umi?” Fakhrul Sufi bersoal jawab.

“Umpan ikan.”

“Oooo.”

Aku pasangkan sebuah pembesar suara di bawah untuk para pekerja berhubung. Pelanggan yang setia, hanya akan berdiri di kaunter tanpa perlu naik ke tingkat atas. Ulat, katak dan berbagai-bagai jenis umpan akan di bawa turun ke bawah selepas Amir atau Humaira membuat pesanan. Lebih mudah kan?

“Kak Jen, keluar sekejap. Ada orang nak jumpa ni.” Suara Amir mengetuk pula gegendang telinga. Cis. Baru hendak bersenang-senang dengan Sufi.

Aku bingkas bangun, membasuh jemari di sinki dan membuka pintu bilik. Fakhrul Sufi sudah biasa dengan kesibukan uminya ini. Lepas makan nanti, dialah yang akan bergerak aktif membantu kedai. Suka sangat dia dengan hamster dan ikan-ikan di atas. Kalau ramai pelanggan, Sufi sudah boleh membantu. Sufi sudah cekap menangkap ikan di dalam akuarium dan dimasukkan ke dalam beg plastik.

Buka sahaja pintu, mata aku dan dia sekali lagi bertemu. Dia gariskan senyuman. Eh budak Udin ni lagi.

Jemarinya hulurkan sebuah beg plastik. “Kakak I tak nak pulak yang saiz ni. Kalau tukar yang plastik kecik sikit boleh tak?”

Aku terkebil-kebil merenung dia. Dah kenapa? Banyaknya songeh kakak dia ni. “Boleh, tukar sahaja. Asalkan you tunjukkan resit dengan Amir. Tukar dengan pekerja I tu. Dengan Amir. Tu dia.” Bibir aku muncungkan ke arah Amir.

Pertemuan kedua tercipta lagi antara aku dan dia. Anehnya, ada detak dan debar di hati. Tapi aku sedang gariskan pemisah antara kami. Udin ini sama sahaja seperti pelanggan tetap kami.

Dia gelengkan kepala. “Tak. I dah kata dengan Amir, I nak tukar makanan ni dengan you yang bernama Jen sahaja.” Senyum. Udin hadiahkan lagi senyumnya kepada aku.

Eh mengada! “Laaa….”

“Eh serius. Sebab I dah beli dengan you. So, kalau tukar pun biarlah dengan you.”

Budak Udin ni! Sudahlah dia berani mengayat. Sudahlah dia, beberapa jam tadi, kemain gatal memegang pinggan ramping Jen. Plastik yang sedang dihulurkan oleh Udin, diambil perlahan. “Iya-iya. Kejap ya.”

“Kak long tu nak jimat cermat. Kalau kecik sikit, bolehlah kurangkan harganya kan?” Sambil kaki dia mengikut ayunan aku, bibirnya membebel bercerita.

Aku senyum. Jimat sangatlah! “Iya-iya. Jimat lebih kurang lima ringgit.”

“Kak long I kata, ada tak yang beli satu dapat satu percuma?” Udin selamba badak menyoal  jawab.

Aku sengih lagi. “Dua bulan lagi. Baru ada promosi.”

“Laaa…dengan I tak boleh ke kira harga promosi? Hehe.” Udin sudah berdiri disebelah aku. Sogokan Udin beberapa jam tadi terus aku lupakan. Nak jadikan aku isterinya kunun…..seluar pun nak beli tunggu haji. Heh.

“Tak majulah I. Yang ni okey kot.” Sambil aku mengambil Royal Canin bersaiz kecil, mata menjeling Udin yang memerhatikan seluruh kedai ini.

“Haaa..” Udin nampak teruja. Matanya kembali menangkap wajah aku. Dia terangguk-angguk. “Yang ni okey.”

“Resit?” soal aku sambil meletakkan semula Royal Canin yang ditukarkan.

“Ni!” unjuk dia. Udin terkebil-kebil. Halkum dia bergerak-gerak. Air liur agaknya meleleh tengok leher aku yang sedang terdedah ini. Macamlah aku tak perasan matanya itu tala ke mana. Itulah Jen, Sufi yang sembilan tahun pun sudah bising hari-hari, “bila umi nak pakai tudung? Bila umi? Ustazah tu kan cantik aje Sufi tengok dengan tudungnya.”

“Tunggu kiamat.” celah mama dengan jawapan bisa ke telinga. Adoi!

Aku ayunkan kaki ke kaunter. Udin, matanya sedang menangkap kolam ikan.  Tangga buatan yang kreatif untuk ke tingkat atas turut menarik minatnya. “Eh, tadi I tak perasan ada kolam ikan ni. Tangga ni pun ada sekali ya?”

Aku sambil menguruskan pertukaran barang dengan sistem terangguk-angguk. Amir yang berdiri di sebelah tersenyum. “Iya, memang ada kolam ni. Tadi pun, saya ada kat kedai ni. Saya kat belakang sana.” Amir menjawab bagi pihak aku.

“Tangga ni?” tanya lagi. Kejap-kejap mata dia teleng ke kiri. Kepala menengadah menengok-nengok serupa nazir melawat sekolah.

“Pergi tingkat dua. Ada macam-macam lagi yang I jual.” Jawab aku cepat

Udin terlopong. Gumam bibir dan baki wangnya aku terus serahkan. “Jimat lima ringgit. Boleh beli tepung dua kilo.” Gurau aku.

Gurauan aku disambut mesra. Aku senang dengan caranya yang begini. “Buat cekodok. Nanti I hantar kat you. Boleh?”

Sekali lagi. Sekali lagi, dia mewarnakan emosi. Udin ni. “Udin oi. tak perlulah susah-susah. Jen tak makan cekodok. Jen makan Molten Chocolate Lava Cake aje.”

“Agak dah.” Dia masih mahu meneruskan bebel-bebelannya. Nasib baiklah, tidak ada pelanggan lain di belakangnya.

“Agak apa?”

“High maintenance sungguh. Cancel!” Udin ketawa. Royal Canin di dalam beg plastik dibetulkan kedudukannya.

Tawa Amir meletus bersama-sama kami. Hari ini, pertemuan kedua tercipta lagi. Selang hanya beberapa jam. Aku biasa sahaja rasanya. Kalau ditanya, apa yang bagus mengenai Udin ini, aku akan jawab satu. Udin, jujur budaknya. Melalui riak wajah, aku dapat meneka, yang dia ini dalam lingkungan dua puluh empat tahun.

Mata kami berlaga. Mata dia bersinar-sinar bahagia. Entah apa, mata dia hari ini seakan-akan menawarkan lagi pertemuan ketiga antara kami. Pertemuan ketiga antara aku dan dia akan terjalin beberapa hari lagi.

Mahu tahu? Nantilah aku akan kisahkan. Tunggu.