Pages

11 Februari 2014

Udin & Jen 2




Saya susun kisah ini begini. Ada bab bercerita mengenai Jen. Ada bab mengisahkan Udin. Ada bab saya cantumkan cerita mereka berdua. Saya sedang bermain dengan semua POV dalam Udin & Jen. Harap suka. Terima kasih semua.








Sofea Jameela (Jen)


Ya. Itulah pertemuan pertama kami. Aku ingat sampai bila-bila. Sofea Jameela Pet yang menjadi saksi. Makanan kucing jenama Royal Canin itu juga yang menjadi penghubung. Bila dia keluar dari kedai milik diri sendiri, aku terkebil-kebil sambil menahan senyum. Aku ketap bibir kuat-kuat agar senyum tidak sampai ke telinga. Budak muda memang macam-macam ragamnya. Aku akan seadanya melayan sesiapa. Kalau lagaknya seperti cina, slangnya berubah juga. Lagaknya remaja, aku jadi remaja. Kalau budak-budak muda, ah – aku pun rasa mahu jadi muda. Sepuluh pelanggan yang datang ke sini, rencahnya ada sepuluh juga. Tidak terjangka.

Jujur. Dia itu pula jujur sahaja bicaranya sambil memperkenalkan nama penanya. Udin.

Kesibukan aku di kedai kesayangan ini, lantas melupakan aku dengan namanya. Tidak sedikit terdetik pun untuk aku memenuhkan nama mana-mana pelanggan di dalam kotak hati. Sudah statusnya aku ini janda. Janda yang punya seorang anak lelaki berumur 9 tahun. Mahu mengharapkan apa-apa lagi perhubungan dengan mana-mana lelaki, ia sebenarnya sudah basi. Ungku Mariah pun ada sebut dan selalu cakap, “Janganlah tutup hati kau tu dengan mana-mana lelaki lagi Jen. Umur kau pun muda lagi. 30 tahun. Kalau ada customer lelaki yang datang ke kedai kau ni, usha-ushalah! Mesti ada satu yang tersangkut.”

Jangan Jen! Jangan!  “Usha? Ish kau ni.”

Ungku Mariah provokasi, “Orang takkan tahu umur kau tu 30. Aku tengok pun, umur kau ni macam 24 tahun. Serius! Orang pun takkan tahu kau ada sorang anak lelaki. Aku tengok kau atas bawah, atas bawah bergetah lagilah. Fakhrul Sufi tu pun nak jugak ada ayah.”

“Sufi dah kata, dia okey duduk berdua dengan aku. Aku ni kan ayah dan umi dia, Ungku Mariah oi!” aku terbeliakkan biji mata. “Kau kan tahu, aku suka ulam. Orang makan ulam-ulam ni awet muda.”

“Heee dia ni. Perasan! Dahlah, aku nak balik kedai aku.”

Ungku Mariah senyum senget. Kedainya bersebelahan sahaja dengan kedai aku ini. Kalau mahu lepaskan tekanan, bolehlah berspa di kedainya. Jahit baju pun pandai. Pendek kata, benda-benda yang melibatkan kecantikan wanita, semuanya dia boleh buat. Ungku Mariah memang serba boleh. Kalau rasa dia bosan, sekejap lagi sampailah dia membawa pisang goreng. Petang-petang begini, sedapnya kan…makan pisang goreng? Cicah pula dengan sambal kicapnya. Lagilah nikmat!

Suara Ungku Mariah perlahan-lahan hilang di bawa angin. Kain di jemari makin tangkas mengelap habuk di papan kaca. Mata aku cekap memerhati ikan-ikan emas besar di dalam kolam buatan. Bunyi air berkocak-kocak, tambah menenangkan. Sofea Jameela Pet, kedai milik aku ini sudah semakin membesar. Ruang bawah menempatkan serba serbi lengkap makanan haiwan. Hanya makanan ikan dan aksesori di dalam akuarium ditempatkan di tingkat kedua. Kalau Humaira ada, dialah yang akan bertugas di kaunter ini. Disebabkan Humaira MC, maka aku mengambil alih menjaga ruang bawah ini. Amir di bahagian belakang sedang sibuk melayani pelanggan. Hanya dua orang pekerja sahaja yang akan mengetuk papan kekunci dan menerima pembayaran. Untuk sekarang, aku lebih melatih dan mempercayai Amir dan Humaira. Hanya mereka berdua yang boleh aku percayai.

Aku memasang telinga. Pekerja-pekerja di ruang atas entah sedang berbual-bual apa. Ruang atas kedai aku ini, lebih besar ruangnya. Lebih menjenamakan Sofea Jameela Pet. Kalau menjengah jam  8 malam, ruang atas akan dipenuhi dengan peminat kucing, arnab, kura-kura, hamster, ikan-ikan dan anjing. Mahu membeli joran pun, Sofea Jameela Pet sediakan. Aku sudah mengumpul sebanyak 8 pekerja untuk mengawasi keseluruhan kedai aku ini.

“Umi!” Fakhrul Sufi menolak pintu. Jemari yang sedang mengelap rak terhenti. Aku hadiahkan senyum manis. Seorang pelanggan mampir dan Amir kini menjalankan kembali rutinnya di kaunter. Tubuh aku terus dipeluk si kacak manis. Anak aku ini semakin membesar.

“Ya comel umi.” Aku sengih. Automatiknya, bibir menciumi pipi gebu Fakhrul Sufi. Dikesat-kesat sambil ketawa. “Amboi, kesat nampak?”

“Eeee…Sufi dah besarlah umi. Malulah dengan abang Amir.” Fakhrul Sufi mencebik.

“Mengada. Kecik hati umi tau. Sufi… dosa tau..dosa…” Aku kembali rancak bergurau senda. Pakaian sekolahnya masih melekap. Jemari aku tangkas sahaja menarik jemari anak lelaki aku ini. Sebelah jemariku gigih memegang beg sekolah Fakhrul Sufi. Inilah rumah kedua kami. Bilik belakang yang lengkap dengan ruang sederhana besar itulah, tempat selalu Fakhrul Sufi duduk menantikan kedai ini ditutup.

Salah aku. Iya. Disebabkan kedai ini juga, hubungan aku dan dia putus di tengah jalan. Dalam sibuk aku membangunkan Sofea Jameela Pet, suamiku sebenarnya sedang menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Lebih perit wahai Zainal Syah…kau duakan aku dengan Farina yang aku didik dia bekerja di Sofea Jameela Pet ini.

Salah aku juga. Hanya memikirkan kerja. Dunia aku lapan tahun yang lepas, asyik sahaja dengan haiwan-haiwan yang memenuhi kedai ini. Jadual padat dan kesibukan kerja ini akhirnya menoktahkan titik untuk perkahwinan yang kami bina atas dasar cinta. Genap Fakhrul Sufi enam tahun, sembilan bulan, cerai itu adalah pengakhiran untuk aku.  Aku ini, wanita yang tidak ingin suamiku berkongsikan kasih sayangnya. Aku ini, bukan wanita yang boleh membahagikan hati dan perasaan. Setahun juga, Zainal Syah melupakan aku. Tahun-tahun perit itu akhirnya bertukar ganti dengan aku menuntut fasakh. Mana mungkin luka di hati ini, boleh dia rawatkan lagi. 

Remuk dan sakitnya hati aku ini, masih menyala-nyala bila nama bekas suamiku itu meniti di bibir Fakhrul Sufi. Fakhrul Sufi, masih anak Zainal Syah. Aku tidak boleh menidakkan hubungan darah antara mereka berdua. Ada ruang dan masa yang aku izinkan untuk mereka berdua. Tetapi jangan izinkan umi, untuk nama itu dicantum-cantumkan lagi. Sudah-sudahlah Sufi.

Rutinnya sama. Sambil menunggu anak lelaki aku mandi, aku akan membuka televisyen. Jika pekerja memanggil hal-hal berkaitan kedai, aku akan keluar sekejap ke atas dan kembali ke bilik ini. Ini yang seronok jika jadi bos di kedai sendiri. Perjuangan selama sembilan tahun akhirnya membuahkan kejayaan. Tapi Jen, ada manis dan pahitnya kan?

Beberapa minit, aku akan duduk pula menikmati bekalan bersama Fakhrul Sufi yang mama hantarkan tengahari tadi. Susah-susah sangat, aku tapau sahaja dengan kedai Anida Tom Yam selang tiga kedai dari kedai aku ini.

Suara Amir bergema. “Ong, bungkuskan katak tiga ringgit.”

“Katak tu nak buat apa umi?” Fakhrul Sufi bersoal jawab.

“Umpan ikan.”

“Oooo.”

Aku pasangkan sebuah pembesar suara di bawah untuk para pekerja berhubung. Pelanggan yang setia, hanya akan berdiri di kaunter tanpa perlu naik ke tingkat atas. Ulat, katak dan berbagai-bagai jenis umpan akan di bawa turun ke bawah selepas Amir atau Humaira membuat pesanan. Lebih mudah kan?

“Kak Jen, keluar sekejap. Ada orang nak jumpa ni.” Suara Amir mengetuk pula gegendang telinga. Cis. Baru hendak bersenang-senang dengan Sufi.

Aku bingkas bangun, membasuh jemari di sinki dan membuka pintu bilik. Fakhrul Sufi sudah biasa dengan kesibukan uminya ini. Lepas makan nanti, dialah yang akan bergerak aktif membantu kedai. Suka sangat dia dengan hamster dan ikan-ikan di atas. Kalau ramai pelanggan, Sufi sudah boleh membantu. Sufi sudah cekap menangkap ikan di dalam akuarium dan dimasukkan ke dalam beg plastik.

Buka sahaja pintu, mata aku dan dia sekali lagi bertemu. Dia gariskan senyuman. Eh budak Udin ni lagi.

Jemarinya hulurkan sebuah beg plastik. “Kakak I tak nak pulak yang saiz ni. Kalau tukar yang plastik kecik sikit boleh tak?”

Aku terkebil-kebil merenung dia. Dah kenapa? Banyaknya songeh kakak dia ni. “Boleh, tukar sahaja. Asalkan you tunjukkan resit dengan Amir. Tukar dengan pekerja I tu. Dengan Amir. Tu dia.” Bibir aku muncungkan ke arah Amir.

Pertemuan kedua tercipta lagi antara aku dan dia. Anehnya, ada detak dan debar di hati. Tapi aku sedang gariskan pemisah antara kami. Udin ini sama sahaja seperti pelanggan tetap kami.

Dia gelengkan kepala. “Tak. I dah kata dengan Amir, I nak tukar makanan ni dengan you yang bernama Jen sahaja.” Senyum. Udin hadiahkan lagi senyumnya kepada aku.

Eh mengada! “Laaa….”

“Eh serius. Sebab I dah beli dengan you. So, kalau tukar pun biarlah dengan you.”

Budak Udin ni! Sudahlah dia berani mengayat. Sudahlah dia, beberapa jam tadi, kemain gatal memegang pinggan ramping Jen. Plastik yang sedang dihulurkan oleh Udin, diambil perlahan. “Iya-iya. Kejap ya.”

“Kak long tu nak jimat cermat. Kalau kecik sikit, bolehlah kurangkan harganya kan?” Sambil kaki dia mengikut ayunan aku, bibirnya membebel bercerita.

Aku senyum. Jimat sangatlah! “Iya-iya. Jimat lebih kurang lima ringgit.”

“Kak long I kata, ada tak yang beli satu dapat satu percuma?” Udin selamba badak menyoal  jawab.

Aku sengih lagi. “Dua bulan lagi. Baru ada promosi.”

“Laaa…dengan I tak boleh ke kira harga promosi? Hehe.” Udin sudah berdiri disebelah aku. Sogokan Udin beberapa jam tadi terus aku lupakan. Nak jadikan aku isterinya kunun…..seluar pun nak beli tunggu haji. Heh.

“Tak majulah I. Yang ni okey kot.” Sambil aku mengambil Royal Canin bersaiz kecil, mata menjeling Udin yang memerhatikan seluruh kedai ini.

“Haaa..” Udin nampak teruja. Matanya kembali menangkap wajah aku. Dia terangguk-angguk. “Yang ni okey.”

“Resit?” soal aku sambil meletakkan semula Royal Canin yang ditukarkan.

“Ni!” unjuk dia. Udin terkebil-kebil. Halkum dia bergerak-gerak. Air liur agaknya meleleh tengok leher aku yang sedang terdedah ini. Macamlah aku tak perasan matanya itu tala ke mana. Itulah Jen, Sufi yang sembilan tahun pun sudah bising hari-hari, “bila umi nak pakai tudung? Bila umi? Ustazah tu kan cantik aje Sufi tengok dengan tudungnya.”

“Tunggu kiamat.” celah mama dengan jawapan bisa ke telinga. Adoi!

Aku ayunkan kaki ke kaunter. Udin, matanya sedang menangkap kolam ikan.  Tangga buatan yang kreatif untuk ke tingkat atas turut menarik minatnya. “Eh, tadi I tak perasan ada kolam ikan ni. Tangga ni pun ada sekali ya?”

Aku sambil menguruskan pertukaran barang dengan sistem terangguk-angguk. Amir yang berdiri di sebelah tersenyum. “Iya, memang ada kolam ni. Tadi pun, saya ada kat kedai ni. Saya kat belakang sana.” Amir menjawab bagi pihak aku.

“Tangga ni?” tanya lagi. Kejap-kejap mata dia teleng ke kiri. Kepala menengadah menengok-nengok serupa nazir melawat sekolah.

“Pergi tingkat dua. Ada macam-macam lagi yang I jual.” Jawab aku cepat

Udin terlopong. Gumam bibir dan baki wangnya aku terus serahkan. “Jimat lima ringgit. Boleh beli tepung dua kilo.” Gurau aku.

Gurauan aku disambut mesra. Aku senang dengan caranya yang begini. “Buat cekodok. Nanti I hantar kat you. Boleh?”

Sekali lagi. Sekali lagi, dia mewarnakan emosi. Udin ni. “Udin oi. tak perlulah susah-susah. Jen tak makan cekodok. Jen makan Molten Chocolate Lava Cake aje.”

“Agak dah.” Dia masih mahu meneruskan bebel-bebelannya. Nasib baiklah, tidak ada pelanggan lain di belakangnya.

“Agak apa?”

“High maintenance sungguh. Cancel!” Udin ketawa. Royal Canin di dalam beg plastik dibetulkan kedudukannya.

Tawa Amir meletus bersama-sama kami. Hari ini, pertemuan kedua tercipta lagi. Selang hanya beberapa jam. Aku biasa sahaja rasanya. Kalau ditanya, apa yang bagus mengenai Udin ini, aku akan jawab satu. Udin, jujur budaknya. Melalui riak wajah, aku dapat meneka, yang dia ini dalam lingkungan dua puluh empat tahun.

Mata kami berlaga. Mata dia bersinar-sinar bahagia. Entah apa, mata dia hari ini seakan-akan menawarkan lagi pertemuan ketiga antara kami. Pertemuan ketiga antara aku dan dia akan terjalin beberapa hari lagi.

Mahu tahu? Nantilah aku akan kisahkan. Tunggu.

1 ulasan:

  1. idarohaina11/2/14 13:08

    sebenarnya baru jengah balik blog cik mardihah ni. baca jen dan udin ni buat ai senyum aje

    BalasPadam