Pages

28 Januari 2014

Udin & Jen 1




Salam semua. Hai! Kata pengurus saya, jangan tinggalkan blog berhabuk tanpa apa-apa entry. Makanya, saya kembali mengisi jadual kalian seminggu sekali untuk sama-sama membaca kisah manis, sempoi dan pap!…entahpape aje fasal Udin & Jen ini. Hahaha. Sila-sila. Jangan terpengaruh dengan cerita ini, kerana dikhuatiri jika saya tidak menyambungnya, kalian akan lemau tahap biskut lemak cicah air teh. Larikkkk.





Saari terburu-buru menjejak  Udin. Kerja dia dan Udin sebagai juruteknik memudahkan mereka ulang alik sahaja bertemu. Udin di line 17. Dia di line 18. Senang lambai-lambai tangan kat Udin yang sedang memeriksa televisyen. Kilang Sony di Bangi ini sudah jadi macam rumah kedua untuk mereka. Perut aku dah lapar sungguh ni Udin. Jomlah teman aku makan oi!

“Udin!” Dia jerit. Muka pandang televisyen 40 inci. Kaki terhenti bila tubuh tinggi Irsyad tiba-tiba terpacul. Alamak Isryad ni. Pantang sungguh dia nak borak panjang dengan Udin. Ada sahaja kacau daunnya.

“Hei Saari. Kau mesti nak ajak si Shahbudin aka Udin tu minum kat kantin kan?” Irsyad menjegilkan anak mata. Tahu sangat dia perangai dua budak setan ni.

Saari telan air liur. “Ala, rilekslah Ir. Aku bukan ajak Udin lari balik rumah tinggalkan semua kerja ni kau buat sorang-sorang.”

“Eleh. Kalau tak sejam kat kantin bukan kau dua oranglah. Dah-dah. buat kerja cepat!” Irsyad terkebil-kebil.

“Sibuklah kau Ir! Asal kerja aku dan Udin siap. Kau jangan sibuk-sibuk.” Saari gosok hidungnya. Mata menjeling Udin yang sedang bersandar di dinding. Dua tiga operator sedang berbual-bual manja denga Udin. Adeh Udin ni…boleh pulak mengayat masa kerja macam ini. Kaki Saari laju melangkah mencari Udin. Berdiri saja depan Udin, dia terus menarik Udin.

“Kantin!”

“Iyalah. Aku tahu kau lapar.”

“Tapi aku ada satu cerita nak cakap kat kau.” Kaki berayun laju. Sambil berjalan menuju ke kantin, mulut membebel-bebel bercerita.

“Cerita apa?”

“Aku dah dapat sorang awek baru.” Saari jungkitkan kening. Seronoknya kan? Iyalah, sebabnya Udin masih belum dapat seorang awek pun. “Kau sendiri yang kata, seorang pergi, sepuluh mari. Sabrina pergi tinggalkan kau dah tiga bulan. Tak kesepian ke? Siapa yang ganti? Ekekeke.” Ketawanya sinis.

Cis Saari. “Mulut kau, bau longkang sungguh.” Udin laju-laju ayunkan kaki.

“Siapa nama awek kau tu?” Udin sambung sesi perbualan.

“Sabrina!” Serius sungguh Saari.

Kaki Udin automatiknya berhenti. Paling muka, hadap muka Saari. “Kau janganlah bagi aku berangin satu badan, Saari. Iyalah…aku tahu. Aku ni taklah sekaya mak bapak kau. Tapi kalau Sabrina tiba-tiba beralih angin kat kau, ni yang buat aku terus bertsunami ni.”

Saari terus membahan si kawan.“Tsunami?” Jemari Saari sudah mendarat atas bahu Udin. Kaki dia terus kanan, kiri dan kanan kembali membawa si kawan ayunkan kaki ke kantin. “Apa kejadah tsunami. Ni Sabrina lain. Bukan Sabrina sisa-sisa kau. Hahaha.”

“Choi! Sisa-sisa sangat. Apa, kau ingat aku ni tak tahu halal haram ke?” Ceh Udin. Bajet-bajet konon hero paling maksum dalam dunia. Sangatlah drama okey! “Kau jangan Saari. Jangan bagi aku naik darah. Kalau betul tu Sabrina aku, kau memang nak kena.”

Saari melangkah membawa kaki. Berayun kiri dan kanan mengikut jejak Udin. Sesekali mereka menyapa kawan-kawan kilang yang turut sama baru pulang dari kantin.  “Takde lah. Aku bukan kawan jenis yang makan kawan punya. Rileks ar. Tarik nafas. Nanti kau mesti kenal punya.”

“Kenal sangatlah!” Udin mencebik. Retina mata gagah mencari kehijauan. Dia mahu matanya hari ini melihat pokok-pokok yang hijau. Cucikan mata, katanya!

Saari mengekek-ngekek ketawa. Sambung sesi menghangitkan Udin, “Kau tu ramai peminat kat kilang, kau tak nak. Jual mahal.”

“Bukan tak nak. Bukan aku jual mahal. Tapi bila diorang tahu aku ni miskin setakat ada motor buruk tu, semua larikan diri. Mata duitan betul budak-budak perempuan ni.. macam sial!” Udin mula memaki hamun. Ah – dia panas hati sungguh. Habis kopaklah kalau setiap kali keluar makan, dia kena belanja. Makan, bayar sendiri-sendirilah! Kemain sungguh semua nak menghabiskan duit gaji aku.

Sampai sahaja ke kantin, Saari angkat tangan. Jeritannya membelah tiupan angin. “Kak Bibah, macam biasa. Teh tarik dua. Mee goreng basah pedas dua.”

“Okey. Tunggu lima minit!” Kak Bibah dari dalam kantin membalas jerit pekik Saari.

“Ala…kau juallah motor tu.” Saari gumam bibir. “Takpun jual tanah mak ayah kat kampung.” Saari membahan lagi.

“Kau gila apa? Aku nak pergi kerja naik apa? Naik gajah? Kau ingat aku ni desperate sangat nak ada awek, sampai sanggup gadaikan tanah bagai. Jangan buat plot drama kat sini ya.” Udin sudah bengang.

“Hahaha.” Tawa si Saari meletus.

“Tapi aku ada termimpi sesuatu. Orang kata mimpi macam ni, akan jadi kenyataan.” Udin mula serius. Sisa ketawa Saari mula terbantut.

“Haa..mimpi apa?” soal menyoal macam biasa bermula.

“Jumpa seorang awek ni. Dia larikan diri dari aku.” Udin gumam bibir, minda berproses ligat.

“Nama dia?”

“Errr…” Udin gulungkan lidah. Toleh kepala dan kini mata pandang hidung kemek si Saari. “Jen. Nama dia Jen.”

“Jen sangatlah! Hahaha.” Saari kembali menyambung hobinya, ketawa.





 “Mimpi kau tu Udin, selalunya tak menjadi. Dah serupa nama artis aje. Jen sangatlah! Hahaha.” Saari mengutuk lagi si kawan.

Udin hembus nafas. “Ni yang aku malas nak cerita kat kau ni. Asal aku cerita aje, kau akan kata semua tak menjadi.” Udin angkatkan kening. Pelayan kantin sudah meletakkan air yang dipesan. Buih-buih nampak menyelerakan anak tekak.

“Iyalah-iyalah. Kali ni aku akan iyakan. Udin dan Jen. Haaa..amacam. Serasi tak? Serasi tak?” Saari membunuh lagi semangat si kawan.

Udin terkebil-kebil. Semangat mahu mencicip teh tarik bertambah-tambah. Bibir sendiri mengalunkan nama berkenaan. “Udin dan Jen. Errr…serasi-serasi!” Hahaha. Kemudian dia ketawa terbahak-bahak bersama Saari.

“Balik nanti aku nak singgah pet shop. Nak ikut?” Udin menarik gelas berisi air kegemaran. Sisa ketawa akhirnya terhenti bila teh tarik mula mahu dinikmati.

“Cari apa?” Bodoh betul kau Saari. Takkan nak cari basikal pulak dalam pet shop!

“Kak long aku. Suruh belikan makanan kucing dia pulak.” Udin terkebil-kebil teringatkan kak longnya si suka bebel itu. Ish..bukan pernah dia membelikan makanan untuk si Didi tu.

“Malaslah. Kau pergi sendiri aje. Aku nak balik cepat. Malam nanti nak pergi tengok bola. Hehe.” Saari menyengih lagi. Kak Bibah sudah letakkan mee goreng basah kesukaan mereka berdua.

“Aku nak letak racun kat makanan kucing kak long aku. Hahaha.” Udin geleng-gelengkan kepala.

“Letaklah. Jangan kau kena halau keluar sudah. Haha.” Saari sambung ketawa. Udin ni memang menyampah tahap petala tujuh dengan kucing kak longnya itu.

***
Sofea Jameela Pet. Udin parkir motor betul-betul depan kedai yang tidak pernah dia jejak. Mata menengadah melihat signboard kedai yang kreatif. Gambar kucing pulak tu. Adeiii. Selalunya kak longnyalah yang akan pergi membeli makanan si Didi. Helmet di jemari nan kasar, dia pegang erat.

“Err…awak nak ikan ?” Entah suara merdu mana mengacau halusinasi. Oh, Udin sudah ada di dalam kedai Sofea Jameela Pet. Mata meneliti nama yang melekat di baju pekerja kedai. Pekerja kedai ya? Oh. Namanya Jen. Jen? Jen? Biar betul. Bukan Jen tu nama yang errr errrrrr. Mimpi? Mimpi aku tu betul ke?

“Hellooo…you nak ikan ke atau you tengok I ni?” Jen menayang-nayang lima jemari.

Awaklah ikannya Jen. Amboi, mengada. Manja!  “Saya ni kucing, awaklah ikannya!” Udin sengih. Mula dah dia mengayat.

Jen memandang dua ekor ikan yang baru mereka beli dari pelanggan. Ikan-ikan sedang berenang dengan rancaknya. “I seriuslah. Ni Didi dan Nini. Semalam ada sorang mamat handsome datang sini. Baru I nak tackle, rupanya dah kahwin. Belikan ikan baru untuk bini dia.” Jen senyum. Mula melayan si pelanggan. Ikan di depan mata ini, dahulunya milik Encik Mukhriz. Kini, sudah menjadi hak milik Sofea Jameela Pet.

“Oh ye ke?” Jemari meliar pegang pinggang ramping Jen. Oh, beraninya dia. Hah!

“I pilih ikan cantik untuk dia.” Jen sengih. Mata menjeling jemari si lelaki yang tidak bernama. Amboi. Kemain sempat letakkan jemari kasar di pinggang rampingnya. “Nama baru ikan tu tak komersial langsung. Ada ke letak Ali dan Siti.” Dia sambung bercerita meski sedang menjeling tajam.

“Ali dan Siti?” Dia sengih. Udin gigit bibir. Nama memang tak komersial langsung.

“Boleh tak turunkan jemari you kat pinggang I ni? Kalau I ikan pun…I nak kucing yang jenama tengku, syed atau VIP. Baru I terima.” Dari membongkok memerhati Ali dan Siti, Jen terus berdiri tegak.

Gulp! Tengku? Syed? VIP? Amboi…ni stok gadis-gadis yang tak pandang dia yang sekadar bekerja sebagai juruteknik di kilang Sony erk? Dia dah agak, ini mesti jenis perempuan mengikis. Jenis yang kalau dia ajak keluar makan selama sepuluh hari, si lelaki aje yang membayarnya. Sudah sah-sah motorsikal cabuknya cap Honda Bon Siew itu tidak dipandang. Chaittt!

“So..you nak beli apa ni?” Jen memeluk tubuh. Macam-macam betul perangai pelanggan yang datang ke kedainya ini.

“Err…” Jemari sudah dia tarik dari pinggang Jen. Dia buat-buat menyelak rambut. “Sorry. I memang sengaja pun nak mengayat you. Ingatkan stok boleh layan-layan. Tapi sebab you stok nak yang berTengku, berSyed..errrr….i mengalah lah.”

Jen senyum. Jujur sungguh. Jemari halusnya turut sama membetulkan rambut yang jatuh ke dahi. Mata Udin terus memerhati. Oh, cantik. Sederhana juga di matanya.

“I nak makanan kucing. Ni..” dia keluarkan sekeping kertas dari poket seluar jeans. Tulisan kemas kak longnya sedang dibaca oleh Jen.

“Ohh…Royal Canin. Makanan paling terbaik untuk kucing. Jenama pun bagus. Sesuai untuk semua jenis kucing. Cuma kalau untuk stok kucing kampung memang cepat habislah ni.” Jen mula memesrai pelanggan. Kertas ditulis entah siapa diberikan kembali kepada Udin.

“Bulu kucing kak long I tu, jenis yang berbulu tebal. Entah jenis kucing apa agaknya. Saya ni datang sini, tukang beli aje.” Udin memerhati pergerakan Jen yang menuju ke sebuah rak kaca. Makanan Didi, dengan pantas di ambil untuk Udin.

Jen mengukir senyumnya. “Kucing Parsi tu. Mesti cantik. I pilihkan yang ni untuk kucing kak long you.”

Kaki si jejaka mengikut pula ke kaunter bayaran. Sambil memerhati Jen, dia mula lagi mengayat. “I nak mengaku ni….yang I bukan stok anak Tengku, Syed atau VIP. Kerja juruteknik aje. Kat kilang Sony sana tu.”

“Ohh..” Jen sengih. Jujur sungguh.

“Nama I Udin.” Zasss….dia memulakan misi memanah sekeping hati.

Jen tersentak. Udin? Eh – macam pernah dengar aje kan? Ceh…skrip drama lagi. No-no, sila ubah skrip berkenaan wahai Jen. “Ohh Udin ya. Nama stok kampung aje. Hahaha.” Jen ketawa.

Udin menjelirkan lidah. Amboi, kau mengutuk nama yang abah banggakan ini ya? Apedehal dengan nama sampai tergeliat nak sebut. “Elehh, tak mainlah nama Adam Mukhzani ke, nama Daniel Amar Mikhail ke, Rafiq Shadi ke, Tengku Shah Ibni Syaiful Ziyad ke.” Udin main belasah menyebut nama-nama entah sesiapa.

Jen ketawa. Adoi. Kelakar. Iya tak ya. “Habis, nama penuh you?”

“Haaaaa…nama penuh yang abah banggakan ialah Shahbudin. Nama pena Udin. Hehe.” Udin tersengih-sengih macam kerang busuk. Panahannya kini, terlajak sipi-sipi aje. Ceh Udin. Takpe, cuba lagi. Cuba lagi!

“Jen.” Dia tunjuk nama yang melekat di baju.

“I tau.” Udin sambung senyum. “So you tak suka ke nakberkenalan dengan I yang hanya stok kerja technician macam I ke?” Sekali lagi mencuba.

Jen mengambil not lima puluh ringgit yang diberikan Udin. Gelengkan kepala. “Tak. I tak berapa suka. Tapi tak tahulah esok lusa kot-kot berubah citarasa ke.” Jen gelengkan kepala.

Yes! Udin sengih. Mari Udin, kita ubah skrip drama. Ngeh ngeh. “I ni memanglah tak pernah jumpa dengan you. Dalam mimpi pun rasa macam sipi-sipi aje. Nama penuh Jen aje? Ke nama penuh Jennifer Lopez?”

Jen kembali ketawa. Sampai dia menutup bibir dengan jemari runcingnya. Ada Jennifer Lopez. Please!

“Sofea Jameela.” Jen tayangkan gigi putihnya.
“Perghhh..panjangnya!”

“Dipendekkan jadi Jen!”

Udin blur-blur. “Mana pulak datangnya jadi Jen?” dahi berkerut-kerut.

“Opah kat kampung suka panggil Jen. Teruslah melekat.” Eh-eh…dah melampau sesi taaruf kau berdua ya Jen.

“So I boleh mencubalah ni?” Udin masih belum mengalah.

“Mencuba?” Dia macam terpaku bila mata Udin merenung seluruh wajahnya.

“Udin dan Jen.” Udin senyum. “Iya..kita. Kita berdua.” Udin sah-sah gunakan teori memikat bersama gaya jemarinya. “Haaaa…mana duit bakinya yang oi?” Udin mengetuk pula meja kaunter bila menyedari yang Jen bagaikan patung merenung wajahnya.

Senyum. Dalam senyum, tiba-tiba jantungnya berdebar. “Oh…ni-ni. Ni duit bakinya.”

“Boleh ya?” Udin menyambar cepat baki berkenaan.

“Boleh?” Jen dah macam kena santau.

“Iyalah. Kita mencuba untuk jadi kawan. Dari kawan jadi sahabat. Dari sahabat jadi kekasih. Dari kekasih jadi errrr…”

Jen senyum sinis. Seorang pelanggan mula masuk ke dalam kedai. Serentak itu, perbualan bubar. Udin terus pusingkan tubuh dan sebelum menolak pintu kaca Sofea Jameela Pet, dia rakus merenung si Jen. “Jadi terus, isteri Shahbudin.”

:::Sambil laju-laju siapkan Nama Dia Joe. Hey hey hey!:::