Pages

31 Mei 2012

Mr Pai Epal 33


 
Mr Pai Epal 33
Ini bab terakhir di blog.  

Ya, saya belajar banyak perkara ketika belajar menulis kisah ini. Maafkan saya kerana terpaksa memberhentikan Mr Pai Epal sehingga bab 33. Separuh dari siri ini akan diketahui jika Mr Pai Epal dinovelkan. Doakan saya ya. kelak saya akan rindu dengan komentar semua dan like like kalian di blog ini. Syukur Alhamdulillah, kerana ada yang menerima kisah ini. Syukur jika sekali lagi MPE diangkat ke dalam novel. Doakan saya.

Saya pohon maaf andai ada kekurangan di dalam Mr Pai Epal. Tetapi saya akan usahakan yang terbaik untuk semua. Saya sayang semua. Seperti sayangnya Izz Amir kepada cik Yaya sayang. Oh, sambungannya akan lebih mengujakan dan sila jangan marah saya dengan bab ini. Hehehe

Senyum empat belas juta dan saya sayang semua yang pernah memberi komen, memberi harapan, mengkritik dan segalanya. Perkembangan lanjut di dalam page Mr Pai Epal.

Salam sayang,
Mardihah

lee-min-ho-stern-edit


Jasmin beri arahan pertama. “Yaya, pastikan semua lantai cafe berkilat. Dapur bersih sebelum semua chef membuat kerja. Hari ni, semua chef akan sibuk uruskan kerja masing-masing. You akan berada di bawah pengawasan I.”

Okey, Jasmin tunjuk belang dan mengada-ngadanya. Badan terliuk lentuk macam pokok kelapa. Cantik sangatlah kan? Perasan! Mahu sahaja aku cucuk bijik matanya tu dengan garfu. Biar buta. Aku angkat kening. Bibir muncung ke depan tanda tak puas hati dengan kehadirannya secara mengejut dan memandai-mandai menukar jadual kerja aku. Siapa dia selain hanya tunang kepada Izz Amir?

“Faham tak?” Jasmin sengaja menguatkan suaranya.

“Ya, I faham bos!” jawab aku selamba.

Jasmin sengih mengejek. Okey, mungkin kejadian menyimbah lada beberapa hari lepas menjadi salah satu kenangan paling manis untuk Jasmin. Errr, dia ni nak aku simbah sekali lagi ke?

“Perasan bagus. Setakat kerja ceruk dapur macam you ni, jangan perasan Izz Amir terhegeh-hegeh dengan you. Ingat pesan I ni sampai mati, Yaya!” Sekali lagi dia mengulang perkataan yang sama.

Salmi melangkah setapak ke depan. Pantas aku tarik lengannya. Dia pula yang berangin satu badan dengan kata nista Jasmin.  Semua  chef bagaikan kehilangan kata. Chef Fikri gigit bibir bawah. Chef Ng terkebil-kebil juga kerana tugasnya ditukar dengan chef Rita. Wajah masing-masing cemberut! Dahi berkerut-kerut.

“Hari ni you tak payah masak. Sapu, mop seluruh Pai Epal Cafe, basuh pinggan dan kemas bahagian dapur.” Jasmin memeluk tubuhnya. Rasa ringan saja tangan aku ini untuk memberi tamparan maut di pipinya. Aku pulak yang disuruhnya mengemas semua ruang legar cafe ini dengan pelayan-pelayan. Tetapi, siapa aku melainkan seorang pelajar praktikal yang dihantar oleh Yayasan Marjan.  Setiap arahan pengurus café harus dipatuhi dan wajib dilaksanakan. Aku terkebil-kebil dan mengangguk lesu.

Jasmin membulatkan matanya. “Ingat Yaya. Selagi kerja tak siap. Jangan balik dan hari ni pastikan semua pinggan mangkuk di bahagian dapur dibasuh dengan bersih.”

Batu terus menghempap kepala. Bumi berputar tiga ratus enam puluh darjah. Ribut taufan melanda Malaysia. Wajah Adnan, Salmi dan Kartina berubah sama sekali.  Arahan keduanya kali ini membuatkan Adnan naik angin, “Kalau tak siap semua kerja yang I senaraikan dalam kertas ni, you akan I tukarkan ke Mama Mei Café. Bila? Bergantung dengan keputusan I. Siapa antara kamu semua yang berani membantu Yaya, I tak akan teragak-agak untuk berhentikan kamu semua. Ingat!” Jasmin menjeling semua pekerja yang sedang berdiri. Kertas dicampak ke bawah kakiku. Tepat dan perlahan-lahan aku mengutipnya. Oh, nampaknya dia mahu membalas dendam di atas tragedi hitam yang melanda kepalanya dahulu. Busuk hati betul tunang si Izz Amir ni. Apalah umi ni. Pilihlah menantu yang berbudi bahasa sikit kan? Harapkan muka saja cantik, tapi perangai macam hantu. Kasihan umi nanti.

Isk isk.

Aku gelengkan kepala sambil terkebil-kebil memandang tulisan tangannya. Kerjaku akan berubah seratus peratus. Ini adalah diskriminasi kepada pekerja. Ini tidak adil!  Aku pandang lagi kertas berkenaan. Telan air liur. Chef Ridzwan dengan jemarinya minta semua pekerja bertenang. Sosek-sosek sudah kedengaran. Mereka semua pastinya lebih tahu kenapa aku dibuli sebegini. Sebab aku kesayangan Izz Amir, kan? Cet! Saat begini, boleh pula aku mengelamun dan menyebut nama Izz Amir.

“Saya akan awasi Yaya. Semua pekerja boleh mulakan tugas masing-masing. Chef Fikri, you akan bertugas sebagai ketua chef untuk hari ni. Sehingga tunang saya sihat. Faham?” Jasmin memandang chef Fikri. Kemudian matanya memandang aku yang berdiri bagaikan patung. Sabar Yaya, sabar banyak-banyak. Allah swt akan membantu setiap hamba-hambanya yang bersabar.

+Banyaklah bersabar kau, Yaya. Kau ketuk sekali kepala si Jasmin dengan periuk besar kat dapur tu.
-Periuk besar ? Baik guna lesung batu saja. Lagi senang. Watamat terus kepala Jasmin ni.
+Hahaha.
-Gelak, gelak. Aku buat kerja dan kena buli dek Jasmin ni, kau jangan gelak-gelak.
+Okey, okey. I tarik nafas sekejap. Janganlah marah I Yaya.

Aku berdiri memandang seluruh Pai Epal Cafe. Tarik nafas perlahan-lahan dan selepas mendengar arahan berasap dari Jasmin, semua pekerja mengambil alih kerja masing-masing. Jasmin berdiri tegak sambil menunjukkan mop yang tersedia di dalam baldi dengan jari telunjuknya. Vacum dan segala tuala juga sudah bersiap sedia untuk menjadi teman aku pada hari ini. Oh, dunia !

Kerja baru aku bermula. Tanpa Izz Amir sebagai peneman dan tanpa senyumnya lagi di sini. Tubuh bergerak mengelap semua meja bersama pelayan yang lain. Mengemop dan kemudian mengeringkan lantai. Ah- semuanya aku lakukan tanpa bantahan. Hanya untuk Pai Epal Cafe dan agar aku tidak dikeluarkan dari cafe indah ini. Peliknya, aku tidak lagi merasa sedih dan hiba. Membuat kerja dengan gembira bersama pelayan-pelayan semua.

“Yaya, kenapa kau tak curah cili lagi kata atas kepala si Jasmin tu?” Bella mengelap meja di sebelah aku dan bibirnya tiba-tiba memberi satu cadangan gila. Kami menjeling. Diam-diam berbual dan berbisik sesama sendiri.

“Kau dah gila ke Bella? Dia nak pindahkan aku pergi café lain, tau tak. Eeee, sibuk betul datang sini nak jadi manager. Kau hempuk sekali kepala dia dengan baldi tu, Bella.”

Bella sengih-sengih. Dia pandang baldi yang menjadi pertaruhan kami. “Dia dendam dengan kaulah Yaya. Kalau aku jadi bos kan, aku tak akan tunang dengan Jasmin tu. Dahlah muka macam getah scrub je aku tengok. Sekali langgar terus lenyek dua puluh. Heiii, perasan bagus betul!”

Aku terkekek-kekek ketawa. Mata melilau memandang pintu kayu. Sesekali Adnan lalu sambil membawa bakul berisi cili padi. Kemudian chef Fikri menjenguk dan selepas itu Chef Ridzwan. Masing-masing menaikkan ibu jari agar aku bekerja dengan lebih semangat. Melambai-lambai dari dapur sambil menaikkan kening agar aku selesa di ruang tengah ini.

Sehingga Jasmin naik jemu. Aku siap menguruskan ruang tengah. Selesai melaksanakan semua misi yang telah ditulis oleh Jasmin. Masa pantas berlalu. Semuanya selesai di hujung jari aku. Adnan sekali lagi menampakkan batang hidungnya di pintu kayu. Jemarinya bergaya seperti sedang memegang telefon.

Lagu Christina Perri kedengaran. Semua pelayan sibuk mengatur meja. Bersedia menerima pelanggan pertama Pai Epal Cafe. Jasmin angkat telefon, dahi berkerut-kerut dan mendengus marah. Entah apa yang dia berbual, aku tidak tahu. Perbualannya ambil masa selama lima minit. Aku perhati jam di dinding. Tik tok tik tok .

Selesai perbualannya, Jasmin ambil beg di kaunter dan segera berdiri di hadapanku. “Jangan sesekali tukar kerja dan siapkan semua arahan yang I dah tulis. Tunggu sampai I balik. ”

Aku jawab ringkas sambil mata pandang ke atas. “Okey. I akan tunggu you.” Senyum.

Jasmin pula merengus tanda tidak puas hati kerana aku masih mampu berI dan beryou dengannya. Kaki Jasmin laju melangkah mencari pintu dan Adnan bersorak-sorak riang di sebalik pintu kayu. Apa rancangan Adnan yang aku tidak tahu? Sambil berjalan penuh yakin ke bahagian dapur, aku menoleh dan melihat Jasmin masih berdiri tegak di depan pintu. Dia bercekak pinggang. Aku lambai-lambai jemari kananku sambil tersengih suka. Jasmin gigit bibir bawah. Ala-ala mengada, dia terus buka pintu dan keluar. Jasmin masih tidak berpuas hati dengan rancangannya pada hari ini yang tergendala. Aku pasti, seseorang menelefonnya agar Jasmin segera meninggalkan Pai Epal Cafe.

Aku pandang Adnan yang setia menanti di kawasan dapur. Dia bercekak pinggang sambil menjeling kelibat Jasmin yang sudah hilang. Rasa hangat sedikit berkurangan kerana aku tahu ini semua kerja Adnan. Otak Adnan memang geliga!  Adnan memang awesome!
***
“Aku suruh Izz Amir telefon si Jasmin tu. Suruh halau dia balik dan aku boleh handle kerja-kerja dalam café ni kalau bos tak ada. Apa hal pulak dia hegeh-hegehkan diri nak jadi bos kat sini?” pipi Adnan sudah merah. Dia sambung lagi membebel. “Tengok, dalam sakit-sakit pun dia masih ambil berat kat kau, Yaya.

Aku sengih macam kerang busuk. Menghargai juga tindakan Adnan meskipun rasa seperti hari ini bukan hari untuk aku. Jika tiga hari Izz Amir MC, maka aku tahu selama tiga hari itulah aku akan terus dibuli oleh Jasmin. Setakat membasuh pinggan mangkuk masih boleh aku terima. Tapi kalau selama tiga hari aku tak pegang kuali dan belajar memasak dengan chef Ridzwan, harus aku hempuk di Jasmin tu dengan bontot kuali. Kalau dua minggu Izz Amir MC? Okey, aku harus pengsan!

Aku mula masuk ke gelanggang sebenar. Chef Ridzwan sudah menyengih tanda bahagia kerana dia boleh memulakan kerjanya tanpa gangguan. Chef Fikri juga. Pekerja-pekerja di dapur sedang bersedia menerima pelanggan pertama.

Oh, hari ini hari mendengar luahan hati Adnan. Dia meluahkan rasa hati bagi pihak Izz Amir. Adnan juga sibuk bercerita mengenai kesihatan Izz Amir. Sebenarnya ringan sahaja bibir ini mahu bertanyakan kesihatan Mr Pai Epal itu. Aku mahu Adnan cerita satu persatu mengenai sakit Izz Amir. Tapi bila aku teringatkan wajah umi Izz Amir dan wajah Jasmin, rasa ini terhenti untuk lelaki ini. Entah aku tidak tahu kenapa aku menjadi begini. Mahu sahaja aku putar jam dan waktu agar cepat berlalu. Aku mahu segera keluar dari Pai Epal Café. Aku mahu lari dari bayangan Izz Amir.

Bak kata Melati, “Sudah-sudahlah mengharap cinta si dia tu, Yaya. Lupakan saja.” Adnan pandang aku. Mata terkelip-kelip mengingati bebelan si Melati. Belum lagi mendengar bebelan dan caci maki Lily kepada lelaki yang sudah bergelar tunangan orang itu. Aku buat-buat sibuk menumis bahan yang chef Ridzwan arahkan. “Izz Amir discharge hari ni.” Adnan bercerita lagi.

Aku angguk. Sekadar menjawab ringkas, “Okey.”

Adnan mencebik. Dia toleh dan pandang aku. Keningnya terangkat. “Okey saja?”

Kartina mula menjadi petugas pertama menerima pesanan. Suaranya bergema seluruh dapur, “Pollo Arrosto dua set. Mini lamb Wellington 4 set.”

Suara chef Fikri deras. “Okey semua. Mulakan tugas dari sekarang.”

“Baik chef ! ” suara ramai kedengaran. Perang dapur bermula. Oh, seronoknya memerhati mereka bekerja. Lincah dan penuh gelak ketawa. Serius juga penuh bertenaga. Aku tambah bersemangat dan lebih yakin kerana kelak aku akan berhadapan dengan situasi ini. Kelak, aku akan berjaya menempuhi kerjaya penuh cabaran ini. Kulinari. Seperti pesan arwah abah untuk aku menggantikan tempatnya di Yayasan Marjan. Aku tarik nafas. Bersatu dengan segala angin yang memenuhi ruang dapur Pai Epal Cafe ini. Bahagia dengan jalan yang sedang aku pilih.

“Yaya ? ”Adnan memanggil aku. Aku lap jemari dengan tuala. Mata menjelingnya.

“Ya.” Aku lebih menumpukan kepada tugas yang diberikan oleh chef Ridzwan.

“Tu saja jawapan kau. Kau tak sedih?”  Adnan menyengih.

Amboi! Mahu sahaja aku menghempuk kepala Adnan yang botak ni dengan sudip. Tak pun dengan mangkuk di tangan ini. Siapa yang tak sedih Adnan oi ! Sudahlah semalam menangis di depan ‘Encik Munir’. Tak tahu malu betul aku. Kalaulah ada meja di tepi jalan raya tu, mahu sahaja aku masukkan kepala ke bawah meja. Isk isk, Yaya! Malunya aku.

“Buat apa aku nak bersedih. Biarlah.” Aku kesat peluh dengan tuala.

Adnan tenung aku. Seperti aku seorang pesalah pula. “Sampai hati kau, Yaya. Kesian dia.” Adnan tarik nafas. Menyambung lagi simpatinya terhadap lelaki itu. “Dia makan ubat tahan sakit. Berjalan pun slow-slow manja. Pembedahan dia dah selamat dan dia MC seminggu.” Adnan memperincikan keadaan Izz Amir. Aku tahu, Adnan sengaja bercerita mengenai Izz Amir kepada aku. Kalaupun di bibir aku menolak, tetapi hati ini tetap ingin tahu mengenai lelaki itu.

“Kesian dia, Yaya.” Adnan buat lagi muka simpatinya. Lantas aku meneruskan semua kerja yang perlu disiapkan. Bila aku diam tidak menjawab, Adnan mula menyepikan diri. Tangannya lincah mengeluarkan telefon dan menulis SMS. Dahinya berkerut-kerut membuat aduan ringkas kepada Izz Amir.  Mengadulah apa sahaja, Adnan. Tetapi aku sudah tawar hati dengan Izz Amir. Dia sudah jadi tunang Jasmin, Adnan. Kalau dia sayangkan aku dan betul mahu menjalinkan hubungan dengan aku, dia akan berkeras dengan umi dan boleh sahaja menolaknya. Mahu sahaja aku menjerit kepada semua agar mengerti. Aku sudah pasang azam untuk membina kerjaya dan cita-cita. Aku mahu ibu bahagia dan aku mahu menyara hidup kami semua. Selepas berjaya di Le Cordon Bleu, aku akan buktikan kepada umi Izz Amir bahawa aku sudah berjaya.

Ya. Aku sudah buang rasa hati ini jauh-jauh. Aku tekad dan pasang impian baru. Mahu mengejar cita-cita dan biarlah masa yang menentukan segalanya. Malam tadi semasa ‘Encik Munir’ dan aku menolak motorsikal masing-masing, dia sempat lagi membuatkan aku tersenyum malu. Rasa sedih aku sedikit berkurangan juga. Rasa berteman kembali hangat di dalam jiwa. Rasa bersahabat dengan sesiapa itu tetap aku jalinkan. Takkan kerana kehilangan Izz Amir aku harus memusuhi lelaki? Itu menolak rezeki namanya. Amboi! Meskipun juga aku  ditemani dengan ‘sepupu’ Izz Amir.  Maka, aku menerima. Huluran persahabatan dari ‘encik Munir’ atau lebih tepat pemilik ‘Hei Ducati Seksi’ itu.

Satu.

Munir jeling maut. Dia sengih macam kerang busuk. “ Manalah tahu nanti awak kahwin dengan saya.”

Aku geleng kepala. Rasa malu menerpa. Tetapi tidak ada bunga sakura berguguran. Rasa indah seperti selalu entah hilang ke mana. 

Eeee, tolonglah.” Aku jelirkan lidah. Gelengkan kepala dan Munir ketawa lagi.

“Tadi menangis. Sekarang tengok… Yaya comel dah ketawa. Lapang sikit hati ‘encik’ Munir Yaya.”

Sorry…” itu sahaja jawapanku. Mudah kerana aku telah menghamburkan rasa hiba dan sedih aku kepadanya. Menangis depan ibu dan Fatin versi balada. Menangis depan ‘encik Munir’ versi rock kapak pula. Ah – malunya aku.

Sorry saja?” Munir jeling aku. Aku senyum biasa.

Iyalah, saya tak tahu nak cakap apa. Say sorry sajalah.”

“Belanja saya makan nanti.” Dengan tak tahu malunya Munir membuat cadangan.

“Tunggu saya kaya.”

Munir ketawa. Wajahnya berseri-seri.

Dua.

Err, saya takut saya rindu dengan awak nanti. Apa kata esok kita keluar?” Munir berjiwang rakyat pula bersama malam yang berhembus lembut. Luahan hatinya secara tiba-tiba kali ini buat aku terus terdiam.

Aku geleng kepala. Menolak Hei MJ Unguku senada dengan motorsikal besarnya. Pantas aku memandangnya, “Hei MJ Ungu saya akan cemburu sebab dia dah lebih dulu minat dengan encik Munir. Saya tak naklah. Buatnya ‘dia’ ni rosak sebab merajuk, bikin naya je.” Aku muncungkan bibir ke arah skuter sendiri.

Munir angguk. Masih senyum. “Oh, skuter Yaya ada nama rupanya. Comel. Skuter siap bernama. Saya pun dah melekat-lekat panggil nama motor ni Hei Ducati Seksi. Emak menyengih suka saya sebut nama tu. Haiiii..Yaya, Yaya…” dia gelengkan kepala. Geli hati agaknya dengan nama ciptaan aku untuk motorsikalnya ini.

Sepi lantas menjadi teman. Beberapa minit kami menyusun langkah. Angin terus berbisik. Kereta menderu di jalan raya. Meski bingit dan sedikit bising tetapi aku mendengar mulut Munir meluahkan isi hatinya. “Betul, nanti saya akan rindu dengan awak, Yaya.”

Seketika langkah kami terhenti. Munir gigit bibir bawah dan aku pantas membuka jaket yang tersarung. Menghulurkan kepada dia dan jemarinya perlahan-lahan menerima huluran dari aku.  Aku diam. Sekadar memandang langit malam dan bintang yang terus bertaburan. Kata-kata Munir itu aku sumbat masuk ke dalam telinga. Biarlah  luahannya itu aku simpan jauh  ke dasar hati. Munir, bukankah dia tahu bahawa aku sedang merawat hati yang sedang terluka. Ya. Hiba kerana Izz Amir sebenarnya tidak pernah meleraikan kekusutan hubungan kami ini. Aku sedih kerana akhirnya aku dibuang pergi dalam hidup Izz Amir.

Munir senyum sampai ke telinga. Dia kembali menolak motorsikalnya dan menyembunyikan wajah manisnya. Iya, Munir semestinya tahu aku mendengar luahan spontannya Jadinya, lebih baik aku mendiamkan diri tanpa jawapan.

+Kalau rindu nanti, semua akan susah. Izz Amir mesti mengamuk.
-Biarlah dia cemburu sikit dengan Munir, Yaya. Bukan selalu pun.
+Iya tak ya kan?
-Haaaaa...senyum sikit saja dengan Munir. Kalau tak nak beri harapan setinggi gunung Kinabalu, berilah harapan setinggi gunung Datok.

Aku ukir senyum. Munir membalasnya meski Nampak dia agak segan dengan aku. Lantas, perjalanan mengukur jalan raya diteruskan.  Munir terus menemani aku. Seperti selalunya, malam itu berlangsung sungguh nyaman. Meluputkan nama Izz Amir perlahan-lahan meski ia adalah sesuatu yang paling sukar untuk aku lakukan. Meski aku tahu, aku tidak akan kuat untuk bertahan.

Kenangan terpadam dan akhirnya aku kembali ke sebelah Adnan. Aku selesai membuat nasi goreng kampung yang senang ibarat kacang. Tapi chef Ridzwan sempat berpesan, “Ada chef yang tak pandai buat nasi goreng. Hati-hati ya Yaya.” 

Aku angguk sambil menghulurkan sepinggan nasi goreng percuma. Lebihan nasi goreng di dalam kuali pastinya menjadi santapan semua pekerja di sini. Siapa cepat datang, dialah yang akan dapat merasa.

Chef Ridzwan berpuas hati dengan menu yang telah aku sediakan. Siap angkat tangan tanda bagus. “Calon LCB terbaik, Yaya!” Chef Ridzwan bulatkan mata tanda suka. Ah- hari ini banyak pula pesanan dan tazkirah chef Ridzwan untuk aku, “Memasak perlu dengan hati dan jiwa. Campak garam pun mesti kena dengan rasa. Jangan semberono.

Aku senyum. Menjawab seperti biasa. “Baik chef!”

Aku pandang Adnan. Menyengih lagi seperti kerang busuk. “Esok aku nak half day. Kau rasa chef Ridzwan approve tak?”

“Kau nak pergi mana?” Adnan ligat membasuh kuali.

“KLIA.” Aku turut membantunya membasuh kuali di sinki kedua.

“Buat apa?” dia jeling.

Spontan aku menjawab. Tanpa berselindung. “Hantar encik Munir.”

Dia terkedu. Tergamam. Terus menutup paip dan Adnan memandang aku. Wajahnya pelik. Ada tanda soal di atas dahi. “Encik Munir?”

Iyalah. Kenapa?” aku juga tutup kepala paip. Sabun sudah penuh di jemari.

“Aku beritahu chef Izz. Kau dah pandai nak pasang lelaki lain. Ya Yaya?” Adnan menggertak.

Terkekek-kekek aku ketawa. “Izz Amir dah bertunang, Adnan. So, si Yaya mesti tunggu encik pai epal tu sampai bila-bila? Sampai tua? Sampai mati ?”

“Encik Munir ya…” Adnan berhati-hati menyebutnya. Langsung dia tak menjawab soalan hangat dari aku. Haaa, ni Yaya okey. Cik Yaya sayang Izz Amir. Cewah! Adnan menyebut lagi nama Encik Munir berkali-kali. Perlahan-lahan. Macamlah aku tak nampak gerak geri bibirnya itu. Nampak sangat dia cuba mengingati nama pemilik Hei Ducati Seksi itu. Kalaulah Adnan beritahu dengan Izz Amir – ada aku kisah? Aku sengih. Memerhati Adnan yang mengigit bibir bawahnya. Dia garu kepala yang tak gatal.

Flight encik Munir rasanya petang. Ermm,… ” aku terkebil-kebil mengingat semula jadual penerbangan ‘encik Munir’. Bibir bergerak lagi. “Haaa..betullah jam 3.00 petang. Kau nak ikut?”

Adnan geleng kepala. “Tak nak.” Sambil jemarinya lincah membuka kembali kepala paip, dia bebel lagi bersama dua tiga soalan. “Kalau Jasmin datang ke sini lagi. Jadi bos besar, macam mana ? Jasmin mesti tak approvekan cuti kau untuk esok. Macam mana kau nak dating dengan encik Munir? ” 

Amboi! Adnan memang sengaja mahu menyakitkan hati aku. Aku menjelingnya. Bukan boleh dipercayai kawan baik Izz Amir ni.

“Aku lari.” Aku menjawab spontan. Pantas tersengih. Terus sahaja aku bertekad dengan keputusan yang terpaksa aku lalui. Mana mungkin Jasmin akan membenarkan aku bekerja di dalam café milik tunangnya ini.

“Kalau ditukarkan ke Mama Mei Café pun kau sanggup?” Adnan mengasak lagi. Chef Ridzwan berdiri di sebelah aku. Tergamam dengan soalan dari Adnan. Salmi juga tiba-tiba memunculkan diri. Bibir muncung sedepa. Masing-masing menghulurkan kuali untuk dibasuh.

Aku angguk. Bertekad lagi. “Ya. Aku sanggup. Yaya sanggup.”

Mereka terkedu.  Chef Ridzwan sengih luar biasa.

***

“Yaya.” Suara Munir melantun. Aku pegang telefon serapat yang boleh. Sambil jemari kiri mengeluarkan beg galasku dari loker.

“Ya.”

Munir tarik nafas. Aku memerhati Adnan yang sibuk menempel. Aku sibuk mahu balik, dia juga sibuk request dari Chef Ridzwan untuk mengikut aku balik. Dasar spy Izz Amir. Makan rasuah selalu. Hish !

Flight saya 11.35 malam. Bolehlah awak apply half day ya. Nanti taklah terkejar-kejar. Tapi kalau nak ikut saya jejakkan kaki ke Charles de Gaulle boleh juga. ”

Aku angguk. “Baik encik Munir. Oh, bukankah flightnya waktu petang. Tipulah ni.” Aku gigit bibir. Tersenyum menerima panggilan darinya.

“Saya ambil awak dulu tau. Bawak balik ke rumah saya. Ada sikit kenduri doa selamat. Wajib datang. Esok. Tepat jam 2.30 petang. Okey Yaya. Bye. ” Munir letak telefon. Nafas Munir sekali bersama perancangannya. Aku kembali menekan butang ‘call’ dan nyata Munir sudah offkan telefonnya. Otak lelaki ini rupa-rupanya lebih geliga dari Adnan. Aku terkebil-kebil memasukkan telefon ke dalam beg galas. Pandai betul Munir menyusun strategi supaya aku datang ke rumahnya. Tak sempat aku mahu memberikan jawapan, menyapa dan mempersoalkan strateginya, dia meletakkan telefon.

“Okey Yaya. Bye.” Adnan di sebelah mengejek. Badannya terliuk lentuk seperti Jasmin.

“Sibuk. Pergilah beritahu dengan Izz Amir sahabat baik kau tu. Yaya tak heranlah!”

“Izz Amir tak luluskan cuti. Dia dah SMS dengan chef Ridzwan.” Adnan sengih.

Aku tutup loker dengan kuat. Serta merta marah dengan Izz Amir yang langsung tak menelefon. Bengang dengan Adnan yang menjadi orang tengah untuk proses permohonan half day aku.

“Apa jadi, jadilah. Esok aku tetap akan balik dan jumpa dengan encik Munir.” Aku tarik kunci loker dan menyumbatnya ke dalam beg. Aku pegang helmet dan serta merta berhadapan dengan Adnan.

Dia menghalang kaki aku dari melangkah keluar. “Tak boleh Yaya. Nanti Izz Amir marah. Cuti kau tak...”

Belumpun sempat Adnan menghabiskan kata-katanya, aku terus membawa helmet ke perut Adnan. Adnan terus membongkok kerana sakit.

“Okey. Rasakan hadiah dari aku dan kalau dia juga mahu aku keluar dari cafe ni, aku terima. Berpindah ke Mama Mei Cafe pun aku rela.” Suara aku bergema dan Adnan sedang mengongoi menahan sakit perutnya. Aku geleng kepala melihat telatah Adnan. Kaki pantas bergerak. Aku sudah berjanji dengan Munir, maka aku perlu menunaikannya.

Jika Izz Amir tidak membenarkan, mana buktinya? Kenapa dia tidak bercakap dengan aku sendiri. Dan kenapa pesanannya perlu melalui Adnan pula?

***
 
lmh
12

Berkenalan dengan keluarga Munir. Munir ada dua orang adik. Seorang perempuan dan seorang lelaki.  Asmah baik hati melayani semua tetamu. Abu Bakar pula si pemalu tetapi tetap menghulurkan senyumannya. Ayah Munir, encik Munawir pula sentiasa murah dengan senyuman. Keluarga meriah dan ayahnya sama-sama meraikan tetamu. Emaknya juga baik hati. Wajah Munir aku kira mewarisi kecantikan emaknya ini. Kami berbalas senyuman.  “Ni lah peminat Bumblebee, emak. Yaya.” Munir memperkenalkan aku dengan emaknya. Lantas kami bersalaman. Aku menjeling Munir yang sengaja mengenakan aku. Sengaja memalukan aku di di hadapan semua keluarganya.

Puan Raudah tersenyum senang. “Kenduri kecil-kecil sahaja Yaya. Mari kita semua makan. Makan ya. Senang hati makcik sebab Munir kata ada seorang kawan yang akan ke Paris. Yaya akan ke Paris juga kan?”

Aku jeling Munir. Bila masanya aku bercerita kepada Munir yang aku akan ke Paris. Bukankah itu adalah rahsia? Aku terangguk-angguk sambil menjeling Munir. “Haaaa...iya. Iya makcik. Paris. Kalau lulus peperiksaan dan lulus ujian memasak.”  Aku angguk-angguk lagi. Kepala penat asyik mengangguk dengan soalan ramah tamah emak Munir.

“Apa tak lulusnya. Makcik akan doakan Yaya lulus dan cepat-cepat sambung belajar ke sana. InsyaAllah.”

Aku angguk lagi sambil melihat emaknya meletakkan dua ketul ayam goreng ke dalam pinggan ini. Aku telan air liur. Lauk masak lemak cili api udang bersama belimbing pun disendukkan. Ulam-ulaman juga sudah dimasukkan. Aku ibarat permaisuri pula. Kemudian sepiring kuih muih yang melazatkan sudah diletakkan di sebelah aku. Segelas air sirap sudah disediakan oleh Asmah. Ah – malunya aku kerana seperti pemalas pun ya. Riuh rendah jiran tetangga dan saudara mara mengunjungi rumah sederhana ini. Rasa segan pula kerana ada saudara maranya yang sibuk bertanya status ‘perhubungan’ antara aku dan Munir.

Pitam aku dibuatnya. Pengsan pun boleh mendengar soalan-soalan cepu emas semua makcik-makcik dan ibu-ibu di sini. Kepala angguk dan angguk sahaja. Entah tiba-tiba aku menjadi sangat takut akan kebenaran. Mana mungkin untuk aku menjalinkan hubungan dengan ‘sepupu’ Izz Amir. Oh, tidak! Tidak!

Air. Air. Aku mahu air. Terus sahaja aku meneguk air sirap yang letaknya di sebelah peha ini. Habis. Dan kemudian Munir datang menambah lagi air berkenaan. Aku teguk lagi sambil matanya memandang aku. Dia senyum kacak dan menggelengkan kepala melihat telatah aku. Soalan yang terkumpul di kepala terus lenyap.  Bagaimana emak Munir tahu mengenai outlet pilihan aku terus menjadi tanda Tanya. Kemudian Munir berlalu tanpa berkata. Aku pandang nasi yang selambak penuh di dalam pinggan. Kalau transformers semestinya nasi ini akan habis di makan. Kalau Yaya?

Asmah tiba-tiba terpacul. Emaknya sudah bangun melayan tetamu. “Kak Yaya. Abang Munir pesan. Habiskan nasi tu semua. Kalau akak tak habiskan, dia nak bawa akak lari ke Paris.”

Aku tersengih. Menampakkan gigi. Oh, aku mahu air. Air dan air.

Sesungguhnya derita itu terus berpanjangan bila kaki ini menapak ke Kuala Lumpur International Airport. Sudahlah aku half day tanpa persetujuan chef Ridzwan dan Izz Amir. Selepas dibuli habis-habisan oleh Jasmin, aku menyorokkan diri dan terus keluar dari Pai Epal Cafe tanpa memaklumkan sesiapa.

Aku tepuk dahi bila melihat Izz Amir yang mampu berjalan perlahan-lahan di hujung sana. Dia nampak tenang mengawal rasa hati. Emak Munir segera meluru ke arah umi Izz Amir. Umi memaniskan wajahnya. Walau sedang memeluk puan Raudah, mata umi tajam menikam wajah ini. Jasmin yang ada di sebelahnya turut sama terkejut. Matanya bulat merenung aku. Semestinya dia geramkan aku yang berani menghilangkan diri dari Pai Epal Cafe.

Mata aku memandang umi. Kemudian Jasmin. Beralih pula ke ayah Munir. Aku jeling Abu Bakar. Aku genggam jemari Asmah. Aku perhati wajah papa Izz Amir yang tidak pernah aku kenali. Dia tersenyum penuh ikhlas. Kaki aku seperti tidak berpijak di bumi ini. Terbang melayang seluruh rasa di jiwa ini bila Izz Amir merenung aku. Memandang aku dengan penuh rasa kasih sayangnya. Aku lantas tunduk menyembunyikan wajah. Aku pejam mata dan mengawal degupan jantung yang terus kencang.

“Oh, ni kawan Munir.” Jemari aku ditarik lembut emak Munir. Aku terkesima bila melihat Izz Amir memeluk batang tubuh Munir. Mereka bergelak ketawa dan aku perasankan hujung mata Izz Amir yang masih memandang aku. Suasana dingin di dalam ruang legar ini tidak membantu. Aku terus berpeluh-peluh.

Aku meluru dan menghulurkan salaman kepada umi. Seperti biasa, huluran ini tidak disambut. Emak Munir tersenyum biasa. Asmah memandang aku penuh curiga.

“Yaya ni kawan Munir yang akan menyambung pelajarannya di Paris nanti.” Puan Raudah lebih ramah mesra. Aku angguk dan Jasmin mengetap bibirnya. Memerhati aku dengan penuh curiga. Puan Raudah mula gigit bibir kerana sedar kewujudan aku yang tidak diterima oleh umi Izz Amir. Tetapi aku hormati sikap puan Raudah yang terus tersenyum.

“Ya. Paris.” Munir tersengih dan sudah berada di hadapan kami. Aku, umi, puan Raudah, Izz Amir, Jasmin dan Munir. Semua mata tertumpu kepada aku.  Aku telan air liur. Jantung terus berdegup laju.

“Eh, mana encik Munir tahu saya pilih Paris?” aku pandang Munir. Buat-buat tersenyum meski wajah ini sudah memanas. Aku mahu meneguk air untuk melegakan keresahan ini. Aku mahu berlari ke Uganda supaya dapat lari dari masalah ini.

“Saya dah baca borang awak, Yaya. Tak perlu lagilah nak berahsia dengan saya. Saya tunggu awak di Paris nanti tau.” Munir memegang bahu Izz Amir. Mereka berbalas senyum. Malam terasa panjang. Kaki menggeletar. Aku mengangguk sambil ukir senyum. Perit tekak ini. Cukup pedih.

Munir mengeluarkan sepasang teddy bear comel untuk aku. Asmah sibuk membantu abangnya mengeluarkan hadiah istimewa berkenaan. Di masukkan di dalam sebuah beg kertas. Bumblebee berwarna kuning turut sama dihadiahkan. Beg kertas bertukar milik. Munir memandang wajah aku dengan sungguh-sungguh.

“Ini hadiah untuk lebih bersemangat sebelum ke Paris. InsyaAllah. Suka tak?” Munir mengalahkan lelaki jiwang. Diserahkan semua hadiah berkenaan di hadapan semua. Puan Raudah tersenyum senang. Rasa terharu dengan penerimaan puan Raudah. Aku pandang Munir yang sudah bersiap untuk berlepas. Pasport dan boarding passnya sudah tersedia di jemari. Suasana yang sedikit tegang kini beransur lega kerana Munir bakal berlepas beberapa minit sahaja lagi. Semua ahli keluarga Munir menanti untuk pemergian Munir ke Paris.

“Terima kasih encik Munir. Saya hargai. Insyaallah, kita akan bertemu di Paris. Tunggu saya di sana.” Aku membalas senyumannya. Izz Amir yang tadi mendiamkan diri memandang aku penuh luar biasa. Wajahnya nampak marah. Cukup tegang dan seolah-olah menampung masalah besar.

“Nanti facebook dengan saya ya. Jangan lupa. Saya ada tinggalkan surat dalam tu. Sampai sahaja di Paris, saya telefon Yaya.” Munir menjeling. Aku angguk dan melepaskan Munir bersama keluarganya. Puan Raudah tersengih sahaja dengan telatah anak lelakinya. Mana mungkin aku menghalang setiap pesanan Munir di hadapan aku.  Aku berdiri seorang diri sambil memegang beg istimewa hadiah dari Munir. Aku memerhati pemergian ‘encik Munir’. Ahli keluarga Munir memeluk dan bersalaman dengannya. Begitu juga dengan Izz Amir dan papa Izz Amir yang sungguh pemalu sikapnya. Aku perhati Munir yang sempat mencari aku. Dia melambai. Aku ukir senyum.  Saya akan menyertai encik Munir nanti di Le Cordon Bleu. Tunggu saya! Munir masih tercegat memerhati kami semua. Dia masih memerhati aku dan memandang Izz Amir.

Umi tiba-tiba berdiri di sebelah aku. Entah bila umi hadir, aku tidak  pasti. Bola mata ini pantas menjeling Izz Amir dan Jasmin yang sekarang berdiri menghadap aku. Mereka kini menyertai aku sementara keluarga Munir masih berkumpul di satu sudut. Lengan ini ditarik perlahan-lahan oleh umi. Pantas umi berbisik bersama jelingan tajamnya, “Oh, tak sangka umi. Tak dapat yang sebenarnya, Yaya pilih sepupunya pula ya. Licik sungguh.” Umi senyum  panjang. Aku pandang Jasmin yang tersengih. Dia meluru ke arah Izz Amir dan memeluk lengan lelaki berkenaan. Izz Amir membiarkan sahaja dan dia memandang aku penuh curiga. Wajah Izz Amir masam mencuka. Dia masih kurang sihat akibat pembedahan kecilnya tempoh hari. Cuma jalannya yang perlahan dan sedikit menyukarkan.

Izz Amir memandang Jasmin. Membalas senyuman dan sedikit sebanyak membuatkan aku sedih. Pilu menyebak jiwa. Aku tahan air mata dari mengalir.  Aku telah mati untuk Izz Amir. Aku telah tiada untuk bercinta dengannya lagi. Aku tarik nafas sambil memerhati pemergian Munir. Seperti janjiku kepadanya, aku terus melambai dengan mesra. Dibalas oleh Munir dengan rasa bahagianya. Aku akan merindui Hei Ducati Seksinya nanti. Selama lima bulan dari sekarang, mampukah aku bertahan dari menanggung rindu untuk Izz Amir? Dengan siapa pula harus aku sandarkan rasa sedih ini jika bukan dengan Munir?

Umi berbisik lagi. Izz Amir merenung uminya yang masih terus-terusan mengasak emosi aku. “Jangan bermimpi untuk dapatkan Munir. Kalau dah dasar miskin tu, sampai bila-bila merempat dengan harta orang.”

Aku terkesima. Menahan getaran marah dan perasaan kesal mula tumbuh di hati dengan tuduhan umi Izz Amir. Aku tarik nafas. Mencari kekuatan untuk membalas tuduhan tidak berasas umi. “Sekurang-kurangnya nanti saya sempat nak kikis harta Munir dan keluarganya. Sebab tu yang saya mahu. Kenapa? Umi tak suka ke saya jadi menantu umi ? Kan senang caranya nanti saya rampas kasih sayang Munir dari semua.” aku senyum meleret. Memeluk tubuh dan menjeling Izz Amir yang ternyata berubah wajahnya.

Sungguh biadab, Yaya! Kalaulah ibu tahu, aku pasti bibir ini akan dicili dengan cili padi. Tetapi aku puas hati dan kini telah mengumpul keyakinan. Wajah umi terus berubah. Terus merah sehingga aku melangkah meninggalkan tempat berkenaan. Aku tidak berpusing meskipun Asmah berkali-kali memanggil aku.
Aku terus berjalan dan mencari bilik air. Hairan dengan sikapku hari ini. Juga aku menjadi pelik kerana aku berjaya mengawal rasa sedih ini. Mana air mata yang selalu mengalir itu?

Aku basuh mukaku. Aku cari ketenangan dengan mengawal lagi rasa pilu ini. Beberapa minit kemudian aku terus keluar. Aku mahu segera pulang. Tidak perlu menumpang kereta keluarga Munir. Aku boleh balik dengan sendirinya. Yang penting aku puas kerana mampu menjawab tuduhan dan kata nista umi Izz Amir kepada aku.

Bila sahaja kaki aku melangkah keluar dari bilik air, lengan aku terus direntap dengan kasar. Izz Amir mengasak aku dan dengan pantas dia membawa aku masuk ke dalam tandas lelaki. “Izz Amir, lepaslah!”

Kudrat lelakinya menewaskan aku. Tubuh aku melayang mengikut langkah Izz Amir. “Diam!” Izz Amir terus menarik sebuah pintu dan kini kami berdua betul-betul di dalam tandas lelaki. Dia mengunci pintu bilik air dan masih memegang lengan ini. Kuat rentapannya sehingga kesakitannya menjalar ke seluruh lengan,

“Jangan bising dan jangan menjerit. Ni tandas lelaki, Yaya.”

Aku merentap kasar pegangannya. Dia melepaskan. Hanya nafas Izz Amir yang kedengaran selain renungan marahnya. Ketika aku direntap dengan kasar ke sini, bilik air ini memang kosong. Sekarang, bunyi suara lelaki kedengaran. Bagaimana untuk aku melepaskan diri dari kurungan ini?

Beberapa minit kami berkurung di dalam bilik air ini. Dia merenung aku sehingga aku tunduk tanpa jawapan. Jantung berdegup kencang. Aku gigit bibir dan sesekali memandang wajahnya yang merah kerana marah. Renungannya tajam ke dasar hati sehingga hampir tercabut lutut ini. Sehingga bilik air ini kembali sunyi sepi. Sudah beberapa minit berlalu yang menyesakkan!


"Lepaslah. Sakit!" aku menjerit.

Lengan aku sekali lagi direntap oleh Izz Amir. “Bermakna ketika kau sandarkan harapan kepada aku, kau jalinkan juga hubungan dengan sepupu aku, bukan? Kau kenal dengan Munir dan dia juga ada rasa hati dengan kau, bukan?”

Aku terkesima. Air mata gugur satu persatu.

Izz Amir terus mengasak. “Kau goda Munir dan pasang perangkap untuk kami berdua. Mahu kikis harta kami dan sengaja jalinkan hubungan dengan kami berdua supaya kami berdua bergaduh. Begitu?”

Sampai hati Izz Amir menuduh aku sebegini. Aku gelengkan kepala. Bibir bergerak-gerak mahu memberikan jawapan. Tetapi aku mati akal. Seluruh anggota tersentap dengan tuduhan dari Izz Amir. Izz Amir terus menuduh. Matanya bulat dan tajam menjamah wajah ini. “Betul kata umi yang kau hanya permainkan perasaan lelaki dan sekarang kau jadikan Munir sebagai alat melepaskan marah kepada aku? Kau puas hatilah sekarang kan?” suara Izz Amir makin kuat. Dia hilang kawalan diri.

Kau? Aku? Aku gelengkan kepala. Aku terlongo sambil memandang Izz Amir yang memandang aku penuh benci. Semenjak bila Izz Amir berubah dan berbual dengan aku sebegini. Kau? Aku?

“Tak..tak... Sikit pun tak Izz. Sumpah Izz, Yaya bukan begitu Izz.” Air mata aku luruh lagi. Lengan aku masih direntap dengan kasar dan Izz Amir merenung aku dengan penuh marah. Aku menggigil kerana sikapnya ini. Dengan sekelip mata, Izz Amir berubah menjadi sebegini. Sekelip mata panas barannya ketara di depanku. 

“Dia cuma kawan Yaya saja. Lepaskan Yaya, Izz. Lepaskan Yaya.” Air mata aku gugur lagi. Entah kenapa aku mula takut dengan renungan marahnya. Aku cuba menarik lagi lenganku yang digenggam kuat olehnya.

“Sumpah atas nama Allah Yaya yang kau masih sayangkan aku. Sumpah Yaya.” Dan entah kenapa Izz Amir dirasuk bagai orang gila. Dia menarik aku dekat dengannya. Memeluk pinggang ini. Tangannya ganas memerangkap aku ke dalam pelukannya. Aku cuba melawan. Bukankah dia baru lepas dari pembedahan. Dari mana datangnya kekuatan dan perangai gila Izz Amir ini? Kenapa dengan Izz Amir ini?

Aku gelengkan kepala. Aku terus menolak Izz Amir. Aku tidak mahu ada lagi hubungan dengan lelaki ini selepas dia mula menuduh aku dan mengesyaki aku. Tidakkah dia tahu aku menanggung rasa cinta dan rindu kepadanya selepas dia bertunang. Siapakah yang bersalah dalam hal ini kalau bukan dia?

Izz Amir mula gila. Mula dirasuk syaitan jahat. Dia mencumbui seluruh wajah aku sehingga aku menendang kakinya. Aku mula menangis dan minta dia melepaskan aku. Tangan aku dengan pantas ditarik dan aku terus  jatuh terpelosok ke bawah lantai.

“Lepas!” aku menjerit lagi. Mulut aku segera ditutup dengan jemari kasarnya. Segalanya berlaku dengan pantas. Wajah aku sekali lagi menjadi mangsa marah Izz Amir. Bibirnya terus mencumbui wajah ini. Dia merentap kasar blouse yang aku pakai. Serta merta terkoyak! Untuk sekian kali dengan linangan air mata, aku cuba melawan kudrat lelakinya. Namun aku tidak berjaya bila sekali lagi, tangannya menangkap jemari ini. Wajah aku terus menjadi mangsa rakus bibir Izz Amir. Dia bagaikan orang gila. "Munir pun tak akan dapat tubuh kau, Yaya!"


"Gila! Lepasssss!!!" Aku menjerit lagi.

Entah dari mana datangnya kekuatan wanita ini aku tidak tahu. Aku terus menampar Izz Amir dengan kuat. Dia jatuh terduduk dan terus terjelepuk lesu di hujung dinding. Kemudian aku mengengsotkan badan ke belakang. Tudungku sudah hampir tercabut. Blouse yang terkoyak serta merta aku lindungi dari dipandang oleh Izz Amir. Aku hampir tidak mempercayai dengan apa yang telah lelaki ini lakukan. Air mata mengalir lesu. Aku bagaikan orang gila mengesat-ngesat wajah dan bibirku. 


"Kau gila Izz Amir. Sanggup kau buat aku macam ni. Aku Yaya, Izz. Yayaaaa!"

Kaku. Izz Amir bagaikan baru sedar dari segala tindak tanduk kurang warasnya.  

Dia terkedu. Merenung aku penuh rasa bersalah. Ruang bilik air yang kecil ini entah bagaimana boleh menjadi pergelutan kami berdua. Air mata aku menitis-nitis. Aku menggigil tidak bermaya. Aku lemah tidak berdaya. Aku renung wajahnya dengan penuh sesal.

Aku menangis dan perlahan-lahan Izz Amir mendekatkan dirinya dan menyentuh pipi ini. Aku cuba mengelak dari disentuh olehnya dan aku terus bertahan.  Aku kaku dan terkejut dengan perbuatannya yang hampir menghilangkan maruah yang selama ini aku pelihara.

Jeritan aku terus bergema. “Aku benci kau, Izz Amir. Benciiiiiiii!” dan aku menangis sambil memandangnya yang terkedu tidak bermaya. Dia kelihatan tergagap-gagap. Menggeleng-geleng kepalanya tanda sesal.

“Yaya....” Izz Amir memanggil aku dan cuba memegang pipi ini. Aku tolak tangannya dengan kasar.

“Aku benciiii kau. Benciiii!” aku meraung bagai dirasuk. Air mata kembali hangat mengalir di pipi. Suara beberapa orang lelaki mula kedengaran. Mengetuk-ngetuk pintu dan kami terus terdiam tanpa berkata apa-apa.

Aku menangis dan dengan pantas bangun perlahan-lahan.  Aku cuba berdiri meski masih rasa terhoyang-hayang. Kekuatan mula datang dan entah kenapa aku telah menjadi wanita paling bodoh di dalam dunia ini. Aku toleh dan aku pandang Izz Amir yang masih terkedu. “Maafkan Izz, Yaya. Maafkan Izz...” Izz Amir meraup wajahnya. Dia menawarkan kemaaafan selepas mencumbui aku tanpa rela. Dia juga menawarkan rasa bersalahnya dengan mudah selepas menuduh aku dan mencurigai persahabatan yang lama terjalin itu. Izz Amir memang lelaki yang kejam.

Aku tarik nafas. Membetulkan tudung dan blouse yang telah terkoyak. Mengesat-ngesat air mata dan menggenggam jemari ini. “Esok aku akan berhenti dari Pai Epal Cafe. Berhentikan aku dan pastikan aku belajar di Mama Mei Cafe. Kemudian pastikan juga aku menyambung pelajaran di Le Cordon Bleu Paris. Jika tak...” aku kesat air mata. Aku pandang Izz Amir yang lemah tidak berdaya.

Pandangan kami bersatu. Aku kembali mencari kekuatan. Bibir bergetar hebat. “Aku akan laporkan kepada polis yang kau telah mencabul kehormatan aku.” Air mata aku menitis laju. Aku kesal kerana Izz Amir bertindak sedemikian. Aku kesal kerana dia telah betul-betul menerbitkan rasa benci aku terhadapnya.

Dengan lemah longlai, aku membuka pintu. Beberapa orang lelaki terkedu melihat kami. Izz Amir meraup wajahnya dan beg kertas pemberian Munir yang terdampar di luar bilik air ini, segera aku campak ke dalam tong sampah. Aku terus berjalan lesu. Angin bukan lagi teman untuk aku hari ini. Kaki aku pantas melangkah longlai. Aku kesat air mata yang mengalir. Tubuh aku menggigil-gigil dan badan mula panas. Berbahang dan seluruh KLIA terasa berpusing-pusing. Manusia yang sedang lalu lalang seperti mentertawakan aku. Dunia seakan-akan terbalik.

“Yaya...” suara Izz Amir kedengaran. Dia memanggil-manggil aku. 

Kosong. Dan hari ini aku mengosongkan jiwa ini untuk lelaki bernama Izz Amir. Aku terus melangkah dan membiarkan lelaki itu memanggil-manggil aku. Begini rupanya pengakhiran rasa cinta aku kepadanya. Sampai hati Izz Amir. Rasa benci bergumpal di dalam darah. Rasa marah sebati di dalam jiwa. Umi yang berada di hadapanku terkedu. Tergamam. Dia memandang aku dan kemudian matanya mencari Izz Amir yang masih menjerit memanggil nama aku.

Aku terus berjalan tanpa mengendahkan Izz Amir yang setia menyebut dan memanggil-manggil nama aku. Air mata membasahi pipi. Rasa benci mula bersarang dan tumbuh bila wajahnya menerpa ke dalam minda.

Nama Izz Amir lantas terus mati. Tidak bernafas lagi di dalam jiwa ini.

Titik.

Noktah.

28 Mei 2012

Nama Dia Joe 1

‘Nama Dia Joe’. Bab 1 dan akan berproses selepas selesai manuskrip Mr Pai Epal. Hehe. Jangan marah semua. Sebab hari ni, pendrive tertinggal. Terus waktu lunch hour saya tepek entry ‘berhantu’ ni. Belum ada kaver. Ini cerita secara spontan sahaja. Karakter dibangunkan perlahan-lahan tanpa ada plot. Insya-Allah, siri ini akan disambung selepas Mr Pai Epal selesai bab 33 di blog ini.

Dia, Cinta Hati Saya akan saya segerakan ya! Ampun semua. Hehe. Zain sedang rehat-rehat sambil tersenyum malu. 
Okey pembaca kesayangan dan comel-comel. Mari panaskan badan dengan ‘Nama Dia Joe’.

Banyak projek tulis. Lepas tu pengsan! Kah kah.



[Bab 1]

“Cinta itu macam air cappuccino.

***

Phewww. Kacaknya dia. Rambut hitam pekat. Kening tebal. Hidung mancung terletak. Bibir merah bak delima. Dia parkir motor Ducati warna hitam seksinya tanpa cacat cela. Tubuh tegap ala-ala hero Iron Man. Ala, hero yang nampak tua tapi kacak mengalahkan David Beckham tuuu. Ooo, motornya itu! Kalau baca Mr Pai Epal, novel si Mardihah, motor itu menjadi salah satu watak utamanya. Kalau bonceng motor seseksi itu, mesti punggung naik ke atas. Yewww!

Eriana pandang lama lelaki kacak menarik hati. Dia teliti satu persatu. Okey, dia mesti anak orang kaya. Lepas tu selalunya lelaki-lelaki kacak seperti dia ada rumah sedabak besar. Kolam renang mesti ada. Duit berterabur pun ya. Entah-entah ada gitar elektrik. Petik getir depan mata, nyanyi lagu Sudirman tajuk Milik Siapakah Gadis Ini. Terus jiwa akan mencair. Lagu melayu sangatlah! Tapi hanya itu lagu yang terdetik di kepala Eriana ketika ini. Meleleh air liur memandang wajah penuh keinsafan lelaki itu. Oh, kacaknya. Hati dia terus berdegup-degup.

Eriana jeling Mawar. Mawar ketuk jemari runcing Eriana dengan sudu. “ Gatal! Mata kau tu asyik belek lelaki kacak saja. Bukan calang-calang perempuan boleh memikat si Joe tu tau!”

Mawar senyum mengejek. Eriana ini memang pantang nampak lelaki kacak.

Oh, nama dia Joe. “Nama penuh dia, apa Mawar?” Eriana belek kuku. Hati berdegup kencang sebab terbayang-bayangkan wajah Joe. Lelaki itu sudah menghilang di sebalik bangunan tinggi. Mereka masih melepak dan menyedut cappuccino. Mata Eriana mencari lagi kelibat tubuh ‘Joe’.

Mawar jungkit bahu. “Entah! Nama dia Joe.”

Dia rasa mahu menyekeh kepala Mawar. Jawapan sebegitu pun dia boleh jawab. Irfan anak buahnya pun boleh beri jawapan sebegitu. Eriana tarik beg. Masukkan buku-bukunya ke dalam beg galas. Bajunya dibetul-betulkan dan dia pandang kuku yang berwarna merah. Sudah cantik dan berkilat.

“Jom. Kelas nak start ni.” Eriana mula beri arahan.

Mawar hegeh-hegeh hirup cappuccinonya. Mata jeling Eriana yang sudah berdiri. Membetul-betulkan skirtnya yang pendek itu. Mereka berdua sudah berdiri. Memandang langit luas dan biru.

“Dia budak baru, kan?”

Mawar angguk. Faham sudah taktik Eriana.

“Dia ada falsafah kehidupan.”

Erk! Lelaki pun pakai falsafah? Eriana pandang Mawar. “Apa gila masih hidup dengan falsafah?”

Mereka berjalan. Laju dan mulut Mawar terus menerangkan falsafah Joe si budak baru. “Pertama. Ibu yang pertama. Ibu yang pertama dan ibu yang pertama.”

Eriana tarik nafas. “Kedua?”

“Perempuan tak akan jadi kekasih dia.” Mawar jeling Eriana yang mukanya sudah cemberut.

Kaki Eriana terhenti. Langkah mati. Kaku dan mereka berdiri. Para pelajar berpusu-pusu masuk ke dalam kelas. Mereka semakin hampir ke kelas.

“Serius?’ Eriana gelengkan kepala. “Tipu sangatlah tu. Kalau jumpa Eriana, falsafah keduanya akan hilang dan mati.”

Eriana sengih. Tayang gigi cantik. “Ketiga?” dia berminat untuk tahu. Langkah kembali diatur. Mawar geleng kepala. Dia tahu rancangan Eriana untuk para junior baru yang datang ke kolej ini.

“Kekasih sebenar Joe dan selepas dirisik-risik ramai kenalan kita, hanyalah isterinya nanti. No awek, no kekasih. Sampai menikah. Mesti tutup aurat. Baju kurung warna biru dan tudung tutup dada.”

Eriana gigit bibir. Langkah kembali berhenti. “Yewwwww..itu falsafah ke syarat cari calon isteri, Mawar? Ke kau sengaja mencipta falsafah sendiri?”

Mata Eriana bulat. Mahu sahaja dia telan Mawar hidup-hidup di sini.

Gulp. Mawar telan air liur. Kerana Joe.

“Aku tak kira, kau kena selidik tentang Joe. Macam biasa. Tempat tinggal. Harta banyak mana. Aset. Hobi. Minat. Makanan kegemaran. Tempat kesukaan. Warna kesukaan. Binatang kesukaan dan ciri-ciri perempuan. Lima ratus ringgit. Nak?”

Kaki mereka melangkah lagi. Mawar geleng kepala. “Itu rasuah namanya, Eriana!”

Bahunya dicepuk dengan beg galas Eriana. Dia gosok bahu yang sakit.

“Lusa. Semua mesti beres!”


23 Mei 2012

Mr Pai Epal 32

Alhamdulillah. Mr Pai Epal bab 32 berjaya saya siapkan. Suka tak? suka tak? Haa, seperti biasa senyum empat belas juta. Senyum-senyum! Selalu bikin suspen saja saya ni, ya? Hahaha. Oh, MPE akan menjangkau lebih jauh sikittttt saja lagi. Belum tebal lagi jika ianya diterbitkan. Selalunya novel lebih umphh dengan 50 bab. Hahaha.

Maka, pengsanlah saya menulisnya. Jangan risau. Saya akan umumkan bila bab akhirnya. Mungkin ini bab akhir. Mungkinkah? Jeng jeng jeng. Gimmick lebih ko, Mardihah!

 Doakan Mr Pai Epal siap cepat! Huarghhhhh. Fightingggg!



lmh 3

“Eh-eh. Awak kenapa ni?’ aku gelabah tak tentu arah. Izz Amir yang terjelepuk lesu di atas marmar berwarna putih segera memandang aku. Kaki aku pantas melangkah menuju ke arah Izz Amir.  Izz Amir terkejutkah kerana aku bertanya mengenai kesihatannya?

Matanya yang bergenang dengan air mata cepat-cepat diseka. Cepat-cepat dia alihkan pandangannya. Aku termangu tanpa kata. Bila aku dekat dengan dia, terasa berbahang badannya. Bila aku pandang wajahnya, rasa simpati semakin datang. Iya. Aku tahu dia dipaksa bertunang dengan Jasmin. Dia terpaksa mengotakan kemahuan uminya. Malahan, gertakan umi supaya aku menjauhkan diri dari Izz Amir semakin lama menjadi kenyataan. Hubungan yang dahulu rapat, kini kian berjauhan. Hari-hariku semakin sepi tanpa usik-usik dari Izz Amir. Hanya transformers pemberiannya aku susun di atas meja. Aku pandang transformers berwarna merah dan kuning di atas meja kecil. Bumblebee dan Optimus Primes aku renung dengan linangan air mata.

Kenapa aku semakin merindui Izz Amir? Kenapa rasa cinta ini tidak pernah kurang terhadapnya? Meski umi mendesak supaya aku meninggalkan Izz Amir. Meski umi juga menjadikan ibu dan Fatin sebagai gertakan. Kenapa dengan aku kala ini?

“Awak tak tutup pintu tadi.” aku pandang Izz Amir yang mencuba untuk bangun. Dia bangkit  perlahan-lahan meski aku nampak tubuhnya sedang terhoyong-hayang.

Izz Amir diam sambil gelengkan kepalanya. Wajahnya penuh rusuh. Bibirnya seperti mahu memperkatakan sesuatu. Tetapi seperti terkunci. Dan aku? Semestinyalah aku jadi terkedu. Terlongo seperti tikus masuk di dalam tong beras.  Apa yang perlu aku bual-bualkan dengan dia? Aku garu kepala. Tangan rasa mahu membantu dia duduk di atas sofa cantik itu. Tetapi, wajah ibu sambil mengetap bibir tiba-tiba terpacul. Fatin bercekak pinggang juga muncul di hadapan mata. Oh, tuhan.

Erk!

“Awak demam ya?” soalan cepu emas keluar dari bibirku.

Izz Amir gigit bibir bawah. Aku pula melangkah setapak ke hadapan. Rasa risau bertandang lagi. Rindu betul dengan bunga sakura dan tika ia gugur. Bukankah bunga-bunga sakura akan gugur bila kami berdua-duaan sebegini?

+Yaya! Dia demam Yaya! Cubalah tunjukkan kasih dan sayang kepadanya. Berangan bunga sakuralah. Ya Allah, Ya Rabbi kau berilah petunjuk kepada si Yaya sengal ni.
-Ala, demam sikit je. Ngada-ngada!
+Amboi, kalau betul-betul Izz Amir nak bunuh diri macam mana? Bukankah tadi, cik Yaya kesayangan Izz Amir ni memecut laju ke Pai Epal Café ? Mr Hei Ducati Seksi siap kata Izz Amir nak bunuh diri! Macam filem Hindi. Yewwww!

Aku pandang Izz Amir. Mata aku terbeliak lagi. Aku telan air liur dan mata memandang tingkap yang terbuka. Ya Allah, dia betul mahu bunuh dirilah. Dengan pantas, aku berjalan. Jemari tangkas menutup tingkapnya. “Awak nak bunuh diri ya?” aku menoleh memandang Izz Amir.

Izz Amir ketap bibir. Muka sudah merah entah menahan sakitnya. Sebenarnya aku gelabah bila hanya kami berdua sedang duduk di dalam biliknya ini.  Izz Amir pejam mata. Oh, kacaknya dia. Izz Amir berdehem. “Ambilkan saya segelas air tu Yaya! Saya sakit perut ni. Panadol sekali. Dalam laci tu. Cepat Yaya.”

Aku ketuk dahi! Saat Izz Amir sakit macam ni pun, fikiran melayang-layang entah ke mana. “Hei, berangan saja. Cepat sikit!”

Aku sudah mara ke meja Izz Amir. Aku buka penutup botol tupperwarenya. Bekasnya berwarna ungu muda dan penutupnya berwarna merah jambu. Iyak,pondannya dia!  Sepantas kilat aku menonggengkan air ke dalam gelas yang tersedia. Jemari tangkas membuka laci pertamanya. Ada! Memang ada. Ah-kelam kabut dibuatnya. Sesekali aku pandang Izz Amir yang memegang perutnya. Dia menahan sakit teramat sangat. Tubuh tinggi lampainya berjalan sikit-sikit ke arah sofa.

Dengan cepat aku mara ke arahnya. Izz Amir sudah duduk di sofa. Izz Amir tersenyum. Dia pandang aku. Ah – rasa simpati melihat sakitnya ini. Demamkah? Sakit perutkah? “Terima kasih, Yaya. Terima kasih.” Suaranya melekat ke dalam jiwa. Baru sahaja aku mahu menghulur gelas berisi air dan panadol, bunyi derap tapak kasut tinggi seseorang menerjah telinga. Aku menoleh. Terkedu.

Jasmin?

“Jangan sentuh Izz Amir!” Jasmin mara dengan wajah marahnya. Pantas dia menolak tubuh aku sehingga aku melangkah beberapa tapak ke belakang. Jasmin mengikut rentak kaki ini. Panadol di atas tapak tangan diambil kasar. Gelas turut dicapai bersama wajah marahnya. Izz Amir pejam mata. Dia tidak bercakap sepatah perkataan pun kerana kesakitan. Apa sakit Izz Amir agaknya?  Jasmin meletakkan panadol dan air di atas meja kecil bersebelahan dengan sofa. Dia pantas duduk bersebelahan dengan Izz Amir. Menarik lengan lelaki berkenaan dan ditolak kasar oleh Izz Amir.

Ah – aku kini menjadi saksi adegan tarik menarik mereka. Haihlah, bodohnya aku kerana masih mahu membantu lelaki yang sudah bergelar tunangan orang ini. Aku tarik nafas. Bantuan kecil sahaja untuk Izz Amir. Apa salahkan, bukan? Itupun sekadar memberikan segelas air dan dua biji panadol.

Wajah Izz Amir terus merah. Dia menekan perutnya yang sakit. Aku tak peduli! Apa akan jadi, maka jadilah. Jemari aku pantas mahu mencapai gelas dan panadol berkenaan. Sekali lagi, bahu aku ditolak. Jasmin segera berdiri. Bercekak pinggang dan memandang aku. “Hei, tepilah!

Muka macam biawak hidup. Perasan lebih si ‘Jasmin lada’ ni. Kali kedua, aku terus mengambil lagi panadol.  Panadol pula menjadi perebutan aku dan Jasmin.

“Hei, aku kata jangan. Janganlah!” tempik Jasmin.

Aku menjelirkan lidah. Izz Amir gelengkan kepala. “Okey, kita tengok. Kalau Izz Amir tak makan panadol dari tangan saya ni, saya mengaku kalah dan akan balik. Sebaliknya jika Izz Amir tak pilih panadol dari tapak tangan awak.” Aku pandang panadol yang masih terletak di atas tapak tanganku. Matanya merah menahan marah. Aku tahu, Jasmin masih tidak berpuas hati dengan aku gara-gara aku menyiram bawang dan lada mesin ke atas kepalanya. Bibir aku masih menjuih-juih mengejek gaya Jasmin.

Jasmin segera mencapai sebiji panadol dari tapak tanganku. Dia merengus lagi, “Izz Amir akan ambil panadol dari tapak tangan saya. You will see!”

Muka Izz Amir berkerut-kerut menahan sakit. Dia bangun dengan perlahan-lahan sambil memegang perutnya. Kami bertiga sedang berdiri. Berpandangan dan panadol menjadi topik paling hangat antara kami bertiga. Izz Amir mendekati aku.

Aku yang terkaku kerana Izz Amir perlahan-lahan berjalan mendekati aku. Jasmin masih berdiri tegak sambil mengetap bibir. Pastinya dia ternanti-nanti apakah jawapan dan pilihan dari tunangnya sendiri. Gelas dari tangan kiriku dicapai dan panadol dari tapak tanganku akhirnya menjadi pilihan Izz Amir. Dia masukkan ke dalam mulut. Menelan dan menekan lagi perutnya.

Lelaki berwajah empat belas juta ini tersenyum. Izz Amir menjeling Jasmin. Nah – terbukti.

“Terima kasih cik Yaya sayang.” Izz Amir masih mampu tersenyum menawan sehingga darah aku mengepam bagaikan berlari 10,000 km. Cas elektrik terasa mengalir dahsyat. Oh, bunga sakura turun lagi. Transformers melonjak-lonjak tanda kemenangan yang berpihak kepada aku. Aku tersengih penuh bahagia. Eeee, sukanya aku!

“Yaya, perut saya sakit!” muka Izz Amir merah. Seperti darah menyimbah wajahnya. Dahinya berkerut-kerut. Hidung Izz Amir kembang kempis menahan sakitnya. Dan tanpa disangka, Izz Amir terus rebah. Kami berdua terkedu.

Bunga sakura yang berguguran terus terhenti. Angin juga mendiamkan nafasnya dan transformers menjadi patung batu!

***
taecyeon-2pm

Aku sarung baju sejuk ke tubuh. Menarik zip dengan teliti dan memandang persekitaran hospital. Punggung sudah terletak kemas di atas bangku ini. Rasa sedih, kecewa dan terkilan aku kumpul di dalam hati. Anak ibu dan arwah abah mesti sentiasa tenang. Mesti sentiasa bersabar dengan ujian yang Allah turunkan. Dugaan ini kecil sahaja, Yaya! Aku pujuk diri sendiri. Aku tarik nafas dan pandang beberapa biji bintang yang kelihatan di kaki langit.   

Hospital.

Aku sedang menanti dengan penuh sabar. Berjayakah pembedahan appendiks Izz Amir? Kata Adnan, doktor akan membuat laporoscopy appendisectomy. Ditebuk 3 lubang di bahagian pusat. Berpusing-pusing penjelasan Adnan sampai aku pun tidak faham! Langsung jadi blur dan terus terduduk di sini.  Aku masukkan telefon ke dalam kocek baju sejukku.

Hanya boleh berbual dengan Adnan sahaja. Penyampai maklumat dan aku mendengar penjelasan Adnan dengan penuh sebak. “Dia sebut nama kaulah Yaya!” suara Adnan tersekat-sekat.

Air mata menitis. Entah kenapa rasa hiba.

Aku ukir senyum. Meski pahit. “Boleh pula ya?”

“Aku seriuslah! Sampai umi tarik telinga dia!” Adnan mengekek ketawa. Aku telan air liur dan kesat air mata yang mula membasahi pipi.

“Tapi umi tak sukakan aku, Adnan. Tadi pun bila aku sampai ke sana, umi tolak bahu aku. Sampai macam tu sekali umi tak sukakan aku. Aku sedihlah Adnan.” Aku telan air liur. Ya, aku ingat! Ketika aku baru sahaja berdiri di pintu bilik pembedahan, umi dan Jasmin datang menghampiri. Memandang aku penuh sinis dengan ingatannya. “Jangan dekat dengan anak saya. Balik sekarang!”

“Saya nak tunggu sampai Izz Amir sihat umi.” perlahan sahaja aku membalas.

“Sekali lagi saya pesan. Jangan dekat dengan anak saya, Nur Alya!” suara umi bergema lagi. Umi menjerit sehingga Jasmin menarik lengan aku. Ditarik-tarik kasar agar aku segera pergi. Ditolak aku seperti aku ini sampah.  Jasmin menarik beg galas dan baju sejukku. Dicampak juga segala barangan aku di atas lantai marmar mewah hospital ini.

“Hei Yaya, boleh tak jangan kacau rumah tangga orang. Pergi balik!” Jasmin merengus dan mengarahkan jururawat menarik tangan aku.

“Umi..saya nak jumpa Izz Amir, mi! Izinkan saya umi…” jeritan aku tidak siapa peduli!

“Umi, saya cuma nak tengok Izz Amir buka mata dia. Sekejap pun tak apalah umi.” Aku cuba meraih simpati umi. Wajah simpati aku langsung tidak diendahkan para jururawat. Aku dipujuk untuk keluar. Ya. Sampai begitu sekali aku diperlakukan. Kali kedua, kerana kedegilan aku yang meronta-ronta, Jasmin sendiri datang menarik tangan aku dan tubuh kurus aku terus ditarik sehingga ke pintu.

Kenangan terus terpadam bila aku memerhati sebuah kereta mewah meluncur laju. Adakah kerana kemiskinan dan hidup sederhana aku yang membuatkan umi membenci aku?  Kenapa mesti Jasmin? Mengapa bukan aku menjadi pilihan umi untuk Izz Amir? Aku seka air mata dan aku dongakkan kepala. Berfikir sepenuhnya. Ya, Jasmin kini tunang Izz Amir. Aku bukan sesiapa yang layak menemaninya di dalam hospital. Aku memang sewajibnya membawa diri jauh dari kehidupan Izz Amir.

Saat ambulan membawa Izz Amir pergi, aku memecut membawa Hei MJ Unguku. Aku memandang ambulan yang sedang membawa Izz Amir. Aku menangis, mengesat-ngesat air mata bersaksi skuter kesayanganku ini. Aku redah kesesakan jalan raya dan hampir dilanggar sebuah kereta. Mujur  juga aku sempat mengelak dan diherdik keras si pemandu. Skuter, Hei MJ Unguku terus memecut membelah senja.

Ya, ketika itu, aku takut aku akan kehilangan Izz Amir. Dahulu, dia yang selalu membuatkan aku tersenyum. Dia. Dia yang selalu menceriakan hari-hari aku. Aku rindukan kenakalan dia mengusik aku. Sampai berhari-hari aku merenung transformers pemberiannya. Aku berlapar kerana aku rindukannya. Aku sanggup menyanyi kuat-kuat di dalam bilik air kerana mahu menghilangkan bayang wajahnya. Tetapi setiap kali aku menjamah nasi, setiap kali itu juga aku terpandangkan wajah dia. Sebu. Perut aku terus tidak boleh menerima makanan.  Aku hilang pertimbangan akal kerana memikirkan Izz Amir setiap masa.

Ya. Aku rindu dengan panggilan ‘cik Yaya sayangnya’. Aku rindu dia berpeluk tubuh dan mengacah-acah aku di dapur Pai Epal Café. Kerap kali juga aku sentiasa ternampak-nampak dia berdiri di pintu dapur Pai Epal Café. Tapi itu hanya bayangan. Bayangan yang sememangnya tidak pernah wujud. Imiginasi aku sahaja.

Detik berlalu begitu pantas! Helmet aku campak di dalam bakul skuter. Kaki aku terus berlari-lari mengejar tubuh Izz Amir yang dibawa dengan cepat oleh petugas hospital. Tubuh aku ditolak sekuat hati oleh Jasmin bila kaki ini mahu mengikut Izz Amir. Ya, aku nampak dengan bola mata ini. Izz Amir mampu membuka sedikit matanya. Renungannya begitu sayu. Sehingga akhirnya aku terjelepuk menangis tersedu-sedan di hujung pintu.  Aku kumpul kekuatan. Menjejak bilik pembedahan Izz Amir dan episod umi dan Jasmin menghalau menerjah lagi. Beberapa kali ia muncul dalam kotak memori ini.

Aku menyandarkan tubuh ke bangku. Perlahan-lahan aku buka beg galasku. Transformers berwarna kuning aku keluarkan dari beg. Angin malam kembali memeluk tubuh ini.

“Kenapa awak hadiahkan saya transformers ni ya? Siap dua. Kuning dengan merah.”

Suara Izz Amir terngiang-ngiang di telinga ini.  “Sebab cik Yaya sayang suka.”

“Oh, nanti saya nak buat apa dengan transformers ni?”

“Satu bumblebee. Satu lagi Optimus Primes. Nanti kalau awak rindu dengan saya. Awak pandang lama-lama transformers tu. Mana tahu, boleh hilangkan rindu awak yang banyak-banyak dengan saya.”

“Oh…”

“Peluk sekali transformers tu. Jangan lupa.”

Terngiang-ngiang perbualan telefon antara aku dan dia. Bagaikan terpandang-pandang Izz Amir bersama senyuman dan tawanya. Aku tutup bibir aku dengan jemari. Untuk kesekian kalinya, kenangan itu menerjahi minda. Aku kembali menangis dan menangis keseorangan. Memandang transformers yang dihadiahkan oleh Izz Amir. Ya. Meski aku memasukkan ia ke dalam kotak dan kemudian perlahan-lahan aku buka kembali dan mengisinya ke dalam beg galasku. Membawanya ke mana-mana sahaja arah tujuku.

Cik Yaya sayang…
Cik Yaya sayang…
Kalau saya lihat bintang, saya nampak awak!

Aku tersenyum seorang diri. Memandang bintang yang mengingatkan aku dengannya. Aku kesat air mata yang berbaki. Aku pujuk diri sendiri dan berdoa supaya Izz Amir selamat dengan pembedahan berkenaan.

Nanti rindu dengan saya ya!
Rindu banyak-banyak!
Bumblebee aku masukkan ke dalam beg galasku. Aku tarik zip beg galasku. Akhirnya aku bangun. Lemah longlai membawa beg galasku. Aku kesat-kesat air mata dan memandang kaki langit yang sudah gelap. Aku letak nama Izz Amir jauh ke dalam hati. Simpan ke dasar hati. Aku berdoa panjang untuk kesihatan Izz Amir. Aku tarik nafas dan mengawal rasa hiba.

+Yaya.
-Ya…
+Kalau Yaya menangis, kami semua akan menangis. Janganlah sedih ya Yaya. Kami semua di sini menangis sebab Yaya bersedih macam ni.
-Macam mana ya untuk Yaya lupakan Izz Amir? Yaya dah cuba banyak kali, tapi Yaya tak bolehlah. Yaya tak kuat. Yaya tak kuat!
+(Kesat air mata) Yaya…kami semua dah menangis ni. Sudahlah Yaya. Kalau ada jodoh, tak akan ke mana. Ini manuskrip ni Puan Mardihah yang buat. Marah dia! Marah dia!
-Tak baik salahkan Puan Mardihah. Dialah yang temukan saya dengan Izz Amir.
+Erk! Yaya doa dengan Allah. Yaya doa agar kesihatan Izz Amir kembali sihat. InsyaAllah. Kami semua akan doakan untuk Yaya. Yaya janganlah menangis lagi, ya?

Aku tarik nafas. Kaki melangkah dan tubuh semakin jauh dari bangunan hospital. Angin terus menjadi teman. Malam terus bersahabat dengan bintang. Bintang hati aku telah diambil pergi oleh kepekatan malam ini. Aku tinggalkan skuterku begitu sahaja. Aku mahu cari ketenangan. Ya. Aku mahu hamburkan kesedihan ini. Aku mahu hilangkan namanya di dalam kepala ini.

Tetapi, mampukah aku?

“Yaya…” seru satu suara.

Aku menoleh. Mengesat lagi sisa air mata. Aku pandang tubuhnya yang tegap itu.  Dahinya berkerut. “Menangis ya?”

Aku gelengkan kepala. Kesat air mata dengan malu dan garu kepala. “Tak. Masuk habuk.” Menipulah lagi, Yaya. Munir sengih kacak. Angin berpuput lembut.

“Iyalah tu masuk habuk. Tipu sangat. Macamlah saya tak tahu. Eh, buat apa kat sini?”  soal Munir sambil memandang aku. Sekali lagi, aku panggung kepala dan memandang bangunan hospital. “Kawan. Kawan Yaya masuk hospital.”

Munir angguk. “Ohh. Kita macam ada jodoh, kan? Jumpa lagi kat sini.” Munir masukkan jemarinya ke dalam jaket.  Tersengih macam kerang busuk. Aku berjalan lagi. Kaki kami melangkah senada. Aku senyap. Semangat hilang entah ke mana. Dalam fikiran sekarang ialah mengenai Izz Amir. Tentang kesihatannya.

Sehingga aku sedar kami sudah jauh dari hospital. Meninggalkan hospital dan juga skuterku di sana. Sekarang, antara aku dan Munir. Bukan Izz Amir seperti selalunya.  Kini - sudah lima belas minit kaki kami melangkah. Aku tersedar dari lamunan bila bunyi hon kereta memecah gegendang telinga. Aku berpusing. Munir masih di belakang. Entah kenapa, Munir setia menemani. Kenapa dia mengikut jejak langkah aku?

“Saya tengok awak sedang bersedih. Saya rasa wajib saya temankan awak. Dah malam ni, Yaya. Awak tak nak balik?” Munir renung lagi. Suaranya lembut memujuk.

“Nanti awak demam.” Sekali lagi suaranya merayu. Ah- Kalaulah lelaki yang sedang berdiri ini Izz Amir. Alangkah seronoknya, kan?

Aku geleng. Aku panggung kepala melihat kegelapan malam. Munir berdiri merenung aku. Menanti apa reaksi seterusnya dari aku. Kereta menderu-deru di jalan raya. Aku tarik nafas. Dada sebak entah kenapa. Ada air mata bertakung. “Munir… saya sedih.” Aku gigit bibir.

Munir angkat kening. "Yaya yang comel ni, kalau sedih...isk isk...buruk tau!"


Aku renung Munir dan tersenyum. Yaya comel ya? Alahai! Manisnya bibir si lelaki ini.

Dia senyum lagi. Tenang sahaja wajahnya.  “Ya. Saya tahu awak tengah bersedih. Muka macam belacan terbakar je saya tengok. Kenapa Yaya comel saya ni? Kongsilah dengan saya. Tak banyak pun tak apa. Sikit pun saya sedia dengar.” Munir kenyit mata. Kami berdiri, berhadapan dan sesekali nafas tenangnya berhembus nyaman.

Munir angguk. Menanti bibir ini terbuka meluahkan rasa hiba. “Ya. Kenapa Yaya? Kenapa awak sedih? Awak tak nak kongsi dengan saya? Eleh, malu-malu sangat! Awak tahu tak, 'encik' Munir awak ni seorang pakar motivasi. Pakar menyelesaikan masalah tau...” suaranya lembut menikam hati. Sudah dua kali dia bertanya mengenai kesedihan aku. Siap berpakar-pakar motivasi pula. Amboi, encik Munir ni!

Air mata menitis-nitis di hadapannya. Angin menjadi teman dan nanti aku mahu Izz Amir tahu bahawa aku pernah menyayangi dirinya. “Kenapa saya mengenali dia, Munir? Dan kenapa sekarang saya disuruh untuk melupakan dia? Kenapa juga saya dihalang untuk melawat dia. Apa salah saya, Munir?”

Aku pandang bintang yang pernah menjadi saksi perhubungan indah kami. “Saya tak nak kehilangan dia. Saya betul bersumpah bahawa saya tak yakin untuk melupakan dia. Saya tak yakin yang saya boleh luputkan dia dari hati saya.”

Angin berhembus lembut. Kami berdiri lagi. Munir tergamam. Terkedu. Dahinya berkerut-kerut mendengar rintihan ini.

Akhirnya, aku menangis di situ. Mencangkung di bahu jalan raya. Menangis sepenuh hati melepaskan segala tekanan yang selama ini terbeban di bahu. “Mengapa saya bodoh kerana seorang lelaki seperti dia? Kenapa saya langsung tak boleh kawal rasa rindu saya dengan dia? Kenapa saya mesti jadi sakit dan kurus kerana dia? Kenapa perlu saya, Munir?”

“Kenapa mesti saya? Kenapa?” air mata melebat.

Munir membiarkan aku meluahkan segala kekecewaan yang selama ini terbuku. Munir berdiri tenang. Merenung aku dengan senyumnya. “Kenapa saya tak mampu menemani dia dalam bilik pembedahan?!”

Aku tarik hingus. Kesat air mata seperti anak kecil. “Dan kenapa nama dia ada dalam fikiran saya. Kenapa sampai ketika ini saya rindukan dia? Kenapa?” aku menjerit semahu-mahunya. Menangis dan menangis sambil direnung oleh Munir.

“Mengapa juga mesti saya jatuh cinta dengan dia?” aku pandang Munir. Kakinya melangkah setapak ke belakang. Dia kelihatan menarik nafas. Bertenang dan memandang aku dengan wajah simpatinya.

Ya, dan aku menjadi begitu lemah tidak berdaya. Terduduk dan terus bersila di bahu jalan bersama lampu neon yang menemani kami berdua. Munir berdiri tidak berganjak. Tergamam dan masih terkedu. Malam berlangsung amat perit. Sesekali menyesakkan. Cengkerik berbunyi. Sesekali melawan sunyi sepi yang mencengkam hati.

Aku tersedu-sedu lagi. Munir merenung aku. Dia membiarkan aku menangis dan melepaskan segala tekanan di hadapannya. Sesekali dia berpeluk tubuh dan membiarkan kereta yang lalu-lalang membunyikan hon.

Dia pandang aku. “Yaya kan anak yang baik. Kawan saya yang baik dan akan sentiasa redha dengan apa yang Allah uji. Yaya senyumlah..” Munir tersenyum. Dia tarik nafas dan memuncungkan bibirnya.  Tanpa rasa malu dan segan, aku membalas pandangannya. Air mata masih bersisa. Aku kesat-kesat air mata dengan jemariku. Memujuk hati dan diri sendiri. Munir gumam bibirnya. Perlahan-lahan dia membuka jaket hitamnya. Berjalan dan membelakangkan aku. Jaketnya diselebungkan ke belakang badanku. Serta merta aku terkaku dengan sikap 'keromantisan d' amor' nya.

"Yaya, kita balik ya. Encik Munir hantarkan Yaya comel ni balik, okey? Haaa...jangan lupa tau, lusa hantar saya pergi airport. Lambai-lambai saya dan nanti saya belikan awak teddy bear comel. Nak tak? Nak tak?" sedaya upaya dia memujuk aku.

Aku diam. Munir sudah berpusing kembali ke hadapanku. Dia sengih. Aku tarik hingus yang masih berbaki. Rasa lega dan betul-betul hilang seluruh tekananku.

Aku gelengkan kepala. "Saya tak nak teddy bear. Keperempuanan sangat!"

Munir ketawa. Tengok-tengok dia sudah bersila tertonggok di depanku. Gila betul kami berdua ni sebab bersila di tepi jalan raya,

"Habis, awak nak apa?"

Aku sengih. "Bumbleebee...encik Munir belikan bumblebee. Boleh?"

Munir ketawa tak ingat dunia.

Aku kesat lagi hingus yang meleleh-leleh. Tangisan berbaki bersama tawa dengannya. Bintang menemani tetapi angin malam terus berlalu sepi.