Oh, Mr Pai Epal kini menjejaki bab 30. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Semoga semua peminat MPE tersenyum suka dan rupa-rupanya plot semakin panjang dan dipanjangkan ke beberapa bab. Hehehe. Surprise! Yang sentiasa merindui MPE, Cik Yaya sayang dan Izz Amir semoga terhibur ya. Hari ni, saya letak gambar Munirlah. Angkat kening sikit supaya Izz Amir cemburu! Hehe.
Dari semasa ke semasa, saya akan
perbetulkan bab 30 ini. Almaklumlah, saya berdezup tepek bab ini di dalam blog
sebelum proses audit. Eceh!
Lebiuuuuuu semua banyak-banyak!
Subuh hening. Sejuk mencucuk tulang kerana semenjak jam 4 pagi tadi, hujan turun tidak berhenti-henti. Sekarang, bumi Tuhan sedang basah. Hujan turun berlawanan dengan angin kencang. Jam 5 pagi tadi, aku bangun. Rasa mahu menenangkan diri dan kaki ini pantas menjenguk ibu di dalam kamarnya dan sempat aku bersama-sama ibu, menunaikan solat sunat.
Fatin akan menyerti kami solat jemaah solat Subuh nanti. Entah apa yang dia buat di dalam bilik. Duduk di dalam bilik air 40 minit ! Huh ! Mengalahkan sedang berspa dan bersauna pula si Fatin ni !
Selesai solat sunat bersama ibu, aku tolak langsir berona biru lembut. Aku pandang awan yang masih gelap. Pagi dingin yang mengasyikkan sekali ! Azan Subuh akan berkumandang beberapa minit lagi. Sesekali tubuh ini dipeluk oleh angin ! Aku pandang wajah ibu yang diam berteleku di atas sejadah. Tasbih bergerak-gerak perlahan. Bibir ibu bergerak senada dan membuatkan hati ini dipukul kepiluan. Dihentak dengan seribu kesedihan. Ah, mahu sahaja aku berlari dan memeluk tubuh ibu. Mahu sahaja aku menghamburkan rasa sedih ini di bahu ibu.
Ahad yang mendebarkan menjelma juga hari ini! Majlis pertunangan Izz Amir dengan sahnya akan berlangsung beberapa jam lagi. Aku pasang tekad - Senyuman ini akan terus mati untuk lelaki itu. Aku tidak boleh lagi mengharapkan janji manisnya. Tidak lagi yakin dengan segala kata-kata yang keluar dari bibir merahnya itu ! Betul kata Fatin, aku perlu kuat. Buat apa berangan berkawan dan bersahabat dengan lelaki seperti itu. Jangan ikutkan sangat rasa cinta dan kasih sayang itu, kak long !
“Kak long dengan Izz Amir dah tak ada apa-apa hubungan lagi! Wajib!” Fatin menggertak dan aku terkebil-kebil! Fatin lebih marah dan lebih pilu berbanding aku . Aku iyakan segala kata Fatin. Aku mengangguk sambil mendengar bebelan yang keluar dari bibir Fatin. Dan aku mengerti. Semakin mengerti bahawa - tiada lagi gurauan manis Izz Amir untuk aku. Bunga sakura yang sentiasa aku bayangkan apabila berjalan berdua dengannya juga akan lenyap sama sekali ! Aku sendiri dengan lidah ini telah berterus terang dengan Izz Amir, “Jangan panggil saya cik Yaya sayang lagi!”
Dan kaki aku melangkah pergi meninggalkan Izz Amir di puncak sejuk itu. Aku berlari sekuat hati menahan sebuah teksi dan akhirnya mencari sekeping tiket bas. Aku deras mahu pulang dan selepas ini, aku tidak mahu ada kenangan lagi dengan lelaki ini. Cukup-cukuplah dia membuat aku rasa berharap dengan perhubungan ini. Juga cukup membuatkan aku terseksa dengan sikapnya itu.
Pekerja Pai Epal Cafe yang menyaksikan tragedi bawang dan cili tumpah di atas kepala Jasmin, akan membisu bila aku masuk ke dalam dapur atau kawasan kerja mereka. Ya, mereka semua tahu aku kesayangan Izz Amir. Ya, mereka yang pernah masuk ke dalam bilik Izz Amir akan memerhati kemasan gambar antara aku dan Izz Amir di dinding biliknya itu. Kenangan indah antara aku dan dia yang sedang menikmati pizza itu menjadi buah mulut pekerja di cafe ini. Gambar itu juga sudah sah menjadi bahan bukti hubungan hati yang terjalin antara aku dan Izz Amir.
Tetapi aku bukan Tuhan yang boleh menentukan nasib sendiri berjodoh dengan lelaki sekacak Izz Amir. Aku juga tidak mampu menolak qada dan qadar yang Allah swt sedang aturkan untuk aku ini.
Ya, azan subuh hari ini adalah azan subuh paling menyanyat hati. Paling mencucuk sanubari. Aku kesat air mata dan tidak mahu ibu turut sama tahu aku sedang kesedihan. Masa terus berdetik dan saat melagukan solat subuh secara berjemaah bersama ibu dan Fatin, air mata mengalir lesu dan lesu.
Dan selepas Fatin usai menjadi imam solat secara berjemaah, aku segera mendapatkan ibu. Menyalam ibu dan memeluk ibu seperti selalu. Ibu terus memeluk aku dengan erat tanpa mahu melepaskan tubuh ini.
Suara ibu membuat sebak datang lagi. “Kenapa Yaya makin kurus?” dan ibu memegang lengan ini. Fatin memandang aku tanpa berkata. Ya, Fatin sudah mendengar kisah yang terjadi antara aku, umi Izz Amir dan Jasmin. Izz Amir sendiri yang bercerita dari A ke Z. Bukan dari diri aku ! Dan malam tadi, aku menyambung cerita Izz Amir kepada Fatin. Fatin membebel-bebel bercakap itu dan ini. Ajaibnya - bukan aku yang menangis, tetapi Fatin ! Sambil membebel dia teresak-esak pula !Jiwang karat betul si Fatin ni !
Aku renggangkan diri dari pelukan ibu dan duduk bersimpuh di hadapan ibu. Memandang ibu dan entah kenapa, perasaan berkecamuk hadir tiba-tiba. Sejadah yang letaknya di punggung aku ketepikan. Aku mahu redakan rasa hiba ini. Ah – bodohnya aku menangis kerana seorang lelaki, kan?
Lengan aku ditarik perlahan oleh ibu dan sekali lagi ibu memeluk aku. Tuhan, sebaknya rasa! Pilunya hati ini hanya Allah SWT yang tahu.
Suara ibu sekali lagi membuatkan air mata aku mengalir tanpa dipinta. “Yaya dah kurus sangat-sangat. Ibu pun tahu Yaya dah kurus. Lengan pun sekeping macam papan. Anak sulung ibu ni, kenapa ya? ”
“Eh, mana ada Yaya kurus. Yaya makanlah ibu! Lauk yang kak Hamidah selalu masak pun, Yaya yang makan. Siap Yaya bawa ke café. Adnan dan Salmi tukang habiskan lauk!” Ah – aku berbohong lagi!
Ibu mengusap lagi belakang badan ini. Inilah cara ibu mententeramkan hati anak-anaknya. Ibu akan mengusap-usap belakang badan kami dengan penuh kasih sayang. Bertanya dan bertanya sehingga aku dan Fatin akan bercerita perkara sebenarnya kepada ibu.
“Ya, Yaya dah kurus. Ibu tahu bezakan bentuk tubuh anak ibu yang dahulu dengan sekarang. Yaya dah kurus sangat-sangat ni.” ibu menekan lagi ayatnya.
Ibu memeluk lagi dengan erat. “Ibu tahu, Yaya dah kurus.”Dan akhirnya air mata yang aku tahan agar tidak tumpah, turun perlahan-lahan. Membasahi bahu ibu dan kepalaku diusap-usap dengan penuh ketenangan. Aku tutup mulut dengan kedua jemari kiri dan kanan agar ibu tidak mendengar tangisan. Tetapi, wanita yang sedang memeluk aku ini adalah ibu yang melahirkan aku dan menjaga aku sejak kecil lagi. Ibu tahu aku sedang bersedih kerana seorang lelaki.
“Jangan menangis Yaya…”
Fatin ketap bibir. Air matanya pula mengalir-ngalir. Membasahi telekung yang masih belum ditanggalkannya. Buku Al-Mathurat yang telah selesai dibaca disusun elok-elok oleh Fatin di atas rak buku ibu. Sejadah digantung kemas-kemas. Fatin berdiri membelakangkan kami sambil dia tersedu-sedu menangis.
“Yaya makanlah bu. Yaya makan banyak sangat!” aku berbohong lagi.
“Kalau makan tak kan jadi kurus macam ni. Sampaikan Fatin mengadu dengan ibu, jamah nasi pun tak. Yaya kan anak ibu yang kuat. Dugaan sekecil yang Allah beri dekat Yaya sekarang tak sehebat dugaan orang-orang lain ! Ala, lelaki ni susah kita nak ramal hati budi dia, Yaya ! Izz Amir tu kalau betul dia jodoh Yaya, akan tetap kuat menjadi jodoh Yaya ! ”
Aku tarik hingus. Lantas merenggangkan pelukan kami berdua. Ibu membawa jemarinya mencari pipi aku. Dikesat-kesat air mata aku yang sedang mengalir.
“Cinta tu kan ibu kata boleh. Tapi lama-lama cinta akan buat manusia lalai dan sesekali memenjarakan hati. Cuba Yaya tengok apa yang dah berubah dengan Yaya sekarang?”
Aku pandang wajah ibu. Perlahan-lahan aku tarik nafas dan pantas aku menyebamkan kepala ke dada ibu. “Yaya dah kurus, Yaya tak lalu makan dan Yaya tak senyum seperti selalu!”
Dan Tuhan - sambil bibir ini berterus terang kepada ibu, air mata aku mengalir deras! Ibu kembali mengusap-ngusap kepala ini dan sekali lagi jemari ibu menenangkan diri ini.
“Hari ni Izz Amir bertunang dengan Jasmin, bu!”
Ibu angguk. “Kita doakan dia bahagia ya nak!” ibu memujuk aku.
Fatin pandang jendela. Subuh menginjak cepat dan siang mahu menjelma segera. Burung-burung berkicauan dengan gembira. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Aku bertasbih, bertahmid dan bertakbir beberapa kali. Aku tarik nafas dan mengawal rasa hati.
“Bukan jodoh Yaya dengan Izz Amir. Tapi ibu sentiasa doakan Yaya anak ibu yang bertuah ni cepat jodohnya dan berkahwin dengan lelaki soleh pilihan hati sendiri. Ibu yakin!”
“Sekacak Izz Amir boleh tak, ibu?” soal aku tiba-tiba. Aku panggung kepala dan memandang wajah ibu. Ibu ketawa. Dalam hiba sebegini, aku boleh bergurau dengan ibu. Bahu aku ditampar perlahan ibu. Dan ketawa Fatin pantas kedengaran. Aku kesat air mata dan turut sama ketawa.
“Kak long gila! Angau lagilah tu! Dah-dah! Kita yang sedih-sedih, risau tengok badan dia kurus cengkung. Muka pun dah monyok empat belas. Boleh nak buat lawak antarabangsa pulak!”
“Tak adalah. Kak long saja test market. Manalah tahu boleh dapat kekasih baru lapan belas juta lebih kacak dari Izz Amir. Kan?”
“Gatal!” ibu cepat-cepat menarik telinga aku. Fatin bersama ibu terus mengekek ketawa. Jemari ibu sekali lagi mengesar-ngesat air mata yang masih mengalir. Ah – dalam ketawa ada sendu! Memang aku ini gadis cengeng! Tak tahu malu, menangis kerana seorang lelaki! Buruk betul! Sekali lagi, ibu membersihkan pipi ini dari dibasahi kesedihan. Memujuk dan pesan memesan ibu terus melekat di dalam kepala.
Dalam beberapa minit berbual-bual bersama ibu dan Fatin, akhirnya kepala aku terlentuk di atas riba ibu.
Le Cordon Bleu terasa memanggil-manggil. Dan rupa-rupanya ibu bersama Fatin sedang memandang borang pemergian aku ke sana dengan linangan air mata.
+Nanti, siapa nak buatkan air milo untuk ibu?
-Ala, Fatin kan ada?
+Tetapi air milo buatan Yaya lain benar rasanya. Nanti ibu rindu.
Air mata ibu jatuh di pipi ini. Air mata ibu pula mengalir-ngalir perlahan mengasak sendu di hati.
+Kak long, siapa yang akan berbual-bual dengan Fatin nanti?
-Ibu kan ada. Berbuallah dengan ibu.
+Iya. Fatin tahu ibu ada. Berbual dengan ibu itu antara seorang emak dan anaknya. Tetapi berbual dengan kak long seperti seorang kawan dan kakak. Nanti Fatin akan keseorangan di rumah ni. Fatin sunyi nanti. Siapa nak ikatkan rambut Fatin nanti?
+Ibu…
-Kak long, Paris tu jauh sangat-sangat! Nanti Fatin dan ibu akan menangis kerana rindukan senyuman kak long.
Dan air mata Fatin mengalir juga. Di hadapan jendela bersaksi awan yang semakin cerah. Di hadapan jendela bersama langsir yang sedang beralun lembut. Desiran bayu terus menghangatkan pagi ini. Pantas, tubuh aku ditarik lembut oleh ibu. Pipi ini dikucup perlahan-lahan. Dan aku sedar, air mata ibu menjadi teman kepada hati. Air mata Fatin lantas menjadi saksi bahawa cinta yang abadi sebenarnya bersama darah daging sendiri.
Ya. Hari ini hari sedih dan hari penuh gembira. Meski aku sedang cuba melawan hati dan bibir dari terus menyebut nama Izz Amir. Aku akan cuba selagi terdaya.
***
Selalunya aku senang dengan seluar dan blouse untuk ke kelas. Tetapi hari ini, aku lebih selesa mengenakan baju kurung. Berbaju kurung berwarna merah jambu. Bunganya kecil-kecil sahaja berwarna kuning. Tudung yang tersarung ini senada dengan warna baju. Kata Fatin, sudah cukup menarik! Dan pagi Ahad ini, aku segera memecut Hei MJ Ungu ke Yayasan Marjan. Aku harus segera ke kelas. Jadual seperti biasa bermula dari jam 8.00 pagi sehingga ke petang.
Hei MJ Ungu, aku parkirkan betul-betul di sebelah sebuah motorsikal besar. Berwarna hitam dan motorsikal jenama Ducati Streetfighter 848, ini memang menggoda Hei MJ Unguku. Cet! Berangan saja aku di pagi-pagi murni ini. Sudahlah skuter aku ini murah saja harganya. Nak dibandingkan dengan motorsikal berkuasa besar ini, sudah-sudahlah Yaya!
Kaki terus melangkah!
Hari Ahad terus berlalu dengan tenang! Aku bawa diri berjalan menjelajah Yayasan Marjan. Menyendirikan diri memandang setiap pensyarah yang keluar masuk di dalam dewan kuliah. Menyalin semua nota dan belajar dengan tekun. Menjadi pelajar yang setia mencari ilmu. Mengangkat tangan bertanya jika ada masalah dalam setiap kelas. Haryani menjadi teman. Kadang-kadang, Salbiah menyelit juga menjadi kawan. Ah – aku berkawan dengan siapa sahaja. Menyembunyikan senyuman yang telah mati dan sebak terus menghuni hati.
Mampukah aku melawan rasa rindu dan cinta kepada lelaki itu? Dan mampukah aku melupakan wajahnya?
Pembelajaran dengan pantas mengisi masa. Kuliah mengenai Restaurant Operation & Food Study oleh Encik Sahari aku tekuni.
Kuliah kelas Ekonomi oleh Puan Hasnita sesekali mencuti hati! Dia membaling sebatang pen terus kepada Zahari yang tidur kerana dengkurannya mengganggu pembelajaran.
Kelas bahasa Mandarin oleh Sir Alex. Ah – susahnya belajar bahasa Mandarin. Semalam sudahlah belajar bahasa Perancis sampai tergeliat lidah. Tersasul-sasul menyebutnya!
Paling seronok masuk ke dalam kelas Tuan Wanzu untuk subjek Management.
Ya, jam terus bergerak dengan laju. Sehingga Adnan memberi SMS merobekkan hati! Sah. Jasmin dan Izz Amir selamat bertunang. Izz Amir ada di rumah Jasmin. Umi berpapah sebab tak berapa sihat lagi. Dia cari kau, Yaya!
Sepantas kilat aku menutup telefon. Telefon cap ayam kepunyaan aku ini dengan segera aku offkan. Baterinya aku cabut dan aku sumbat-sumbatkan di dalam beg gelas. Aku tersengih memandang Haryani. Dia terkebil-kebil memandang aku dengan mata penuh tanda tanya. Bulat macam guli!
“Kau gila ya?”
Aku tersengih memendam sedih! Gelengkan kepala dan rasa mahu sahaja aku memutar masa supaya bergerak lebih pantas! “Telefon ni tiba-tiba keluar anak jin! Terkejut beruk aku dibuatnya.”
Haryani tayang gigi putihnya. Aku segera memandang ke depan. Minggu depan peperiksaan! Sekejapan masa berlalu dan Sheikh Anuar melayangkan jadual peperiksaan untuk minggu hadapan. Aku telan air liur. Minggu memeritkan. Mampukah aku berhadapan dengan kenyataan duduk di Pai Epal Café bersama-sama Izz Amir dan peperiksaan yang mendatang ini?
Masa rehat aku habiskan diri terpelosok di dalam perpustakaan. Membaca buku yang tidak masuk ke dalam kepala dan ilmunya entah terbang ke negara mana.
Dan jam 5.30 petang, selepas berakhirnya kelas untuk hari ini, aku terus berjalan lesu mencari Hei MJ Unguku. Haryani puas memujuk, mengajak aku menyertainya makan-makan di sebuah restoren.
“Aku anti sosial bermula hari ni!” aku sengih sambil mengeluarkan kunci dari beg galas.
“Iyalah, aku tahu kau akan berkawan dengan senarai student yang akan ke LCB sahaja. Budak macam aku ni, kau tak nak layan, Yaya!” Haryani menjeling.
Aku geleng kepala. Haryani memang maklum bahawa aku adalah antara sepuluh pelajar yang memohon untuk ke Le Cordon Bleu. “Sepatutnya kau doakan aku berjaya dan lulus periksa. Dengkilah tu!”
Haryani ketawa dan mengangkat tangannya. “Aku balik dululah. Yaya, aku doakan kau berjaya. Dengki-dengki ni, melayu tak ada akal! Haryani berlapang dada walau sedih sebenarnya!” Haryani membuat gaya sedihnya. Aku ketawa.
Aku turut sama geli hati melihat Haryani.
Dia keluarkan kunci keretanya dari beg. Haryani juga seorang pelajar jurusan kulinari. Separuh masa belajar di Yayasan Marjan dan bercita-cita mahu menjadi seorang chef pastry. “Okeylah, budak-budak ni dah tunggu aku! Nanti kalau mimpi soalan bocor, SMS aku! Jangan kedekut tau!” Haryani melambai-lambai.
Sekelip mata dia menghilang dan menyusup masuk ke dalam kereta Myvinya. Dan aku segera menoleh memandang skuterku. Seorang lelaki berpeluk tubuh di sebelah skuterku. Berhelmet dan siap menyarung jaket serba mewah. Dia memerhati aku dari atas ke bawah.
+Siapa pula ni?
-Lelaki Yaya! Lelaki. Kau tak kenal ke?
+Apa pasal dia pandang-pandang Yaya semacam saja ni? Ada hutang?
Aku jeling dia. Dia pandang aku. Manalah aku nak kenal siapa dia. Sebab dia berhelmet kan? Izz Amir ya? Dengan sepantas kilat aku memandangnya. Lelaki berkenaan masih kekal berdiri dan memandang aku. Dia mengalihkan sedikit motorsikalnya bila aku mendekati Hei MJ Unguku. Ducati Streetfighter 848 ini, dia yang punyakah? Gila mahal motorsikal ini!
Ya Rabbi! Aku tepuk dahi bila dia membuka helmetnya. Munir tersenyum. Bukan Izz Amir seperti yang aku harapkan. Aku tarik nafas. “Hari ni, Yaya betul anti sosial?”
Aku ketawa. Hairan dengan kewujudan dia di sini. Aku betulkan beg galasku. Menyarung baju sejuk dan mula memasukkan kunci. Bila aku perasan lelaki di sebelah aku ini adalah Munir, rasa segan mula bertimpa-timpa. Aku tidak jadi menghidupkan enjin skuter. Terus aku diam berdiri. Macam patung!
Aku gelengkan kepala. “Taklah. Saya bukan anti sosial. Penat sikit!” Oh, jadinya dia dengarlah perbualan antara aku dan Haryani tadi? Canggihnya telinga dia.
“Yaya dah kurus!”
Mata kami berlaga dan dia tersenyum. Aku gelengkan kepala. Mana mungkin dia tahu segala yang terjadi antara aku dan Izz Amir. “Saya diet!”
“Ni diet ke atau ada masalah?” helmet diletak di atas motorsikalnya.
“Eh, awak bukan akan ke Paris? LCB?” aku ubah topik perbualan. Nampak lebih afdal juga sekiranya aku melarikan diri dari topik sedih sendiri dibicarakan.
“Lagi 3 hari saya bertolak. Jadual penerbangan saya diubah saat akhir. Tadi saya duduk di perpustakaan. Perhatikan awak selama satu jam!” dia sengih luar biasa. Aku gigit bibir bawah. Erk!
“Berdosa!”
Dan Munir ketawa kuat. Dia menggelengkan kepalanya. Entah apa yang lucu pun aku tidak tahu. Habis ketawanya, dia mempelawa. “Kita pergi Uganda?”
Dan aku pula tertawa kecil. “Nanti saya akan pergi. Satu hari nanti sebab saya rasa istimewa negara Uganda tu!”
“Saya akan bawa awak!” Munir senyum.
Ah- lelaki semua sama. Tiba-tiba hadir dan mula menabur janji-janji palsunya. Aku gelengkan kepala. Munir masih tidak mahu berganjak. Masalahnya tongkat motorsikalnya betul-betul menghadang tongkat skuterku. Motornya sudahlah berat! Bagaimana harus aku alihkan motorsikal berkuasa tingginya ini?
“Jom saya belanja awak makan. Sebagai seorang kawan dan untuk hari terakhir saya di Malaysia. Boleh?”
Aku gelengkan kepala. Wajahnya penuh mengharap. Tetapi aku tidak teruja dengan ajakannya. Munir terus mengasak dan memujuk. “Kita makan ABC?”
Aku gelengkan lagi kepala. Wajahnya aku renung. Adakah dia ini lelaki yang boleh dipercayai? Buatnya aku diculik dan dibawa ke Paris, naya-naya! Entah-entah dia ini perogol!
Aku melangkah setapak ke belakang. Membawa beg galasku ke hadapan. Jangan-jangan dia ni pencuri? Tak kan baru berkenalan, dia boleh menawarkan diri. Belanja itu dan ini.
Munir tersenyum lagi!
“Yaya. Saya tak buat apa-apa lah! Saya pelajar Yayasan Marjan. Kita dah kenal pun. Percaya saya. Jom! Jangan buat muka sepuluh kerat macam tu! Jom, saya belanja!”Munir gelengkan kepalanya. Masih menawarkan sesi belanja makan untuk aku. Aku terkebil-kebil.
“Okey, kalau awak tak setuju. Kita pergi makan. Tutti frutti?”
Aku terdiam. Pantas aku menggelengkan kepala. Di situlah kenangan terindah antara aku dan Izz Amir. “Mahal!”
“Bihun sup utara?”
“Tak sedap!” jawabku lagi.
“Nasi ayam?” dia bertanya penuh mesra.
“Betul ke awak akan pergi lagi 3 hari?” aku bertanya dia tanpa menjawab pelawaannya.
Munir angguk. “Nanti awak hantar saya di airport. Boleh lambai-lambai saya!”
Cet! Sempat dia mengurat. Amboi, Munir! “Saya tak hairan pun nak lambai-lambai awak, Munir! Eh, nasi ayam dekat mana yang sedap?” aku pandang Munir. Dia sudah tersenyum puas. Hati ini rasa senang dengan sikapnya. Meski dia muncul dengan tiba-tiba dan menawarkan ‘belanja makan’ untuk aku. Entah bagaimana aku boleh suka dengan pujukannya.
“Saya tahu di mana kedai yang sedap. Jom ikut saya.”
“3 pinggan boleh?” aku naikkan jari telunjuk, jari tengah dan jari manis kepadanya. Munir angguk sambil tersenyum. Dia pantas menolak motorsikalnya.
“Awak nak makan lima pinggan pun boleh, Yaya!”
Aku tersenyum lagi. Pantas mengambil helmet. Membetulkan beg galas dan menghidupkan enjin skuterku. Munir turut sama menghidupkan enjin motorsikalnya. Aku sarung helmet dan menanti Munir yang sedang menyarung helmetnya.
“Lima pinggan boleh?”
Munir angguk. “Sepuluh pun saya akan bayar!”
Motorsikalnya mengaum kuat. Aku jeling motorsikalnya. Munir angkat kening! Aku menjerit kuat. “Hei Ducati Seksi!”
“Apa?” Munir bertanya. Wajahnya berkerut-kerut tanda tidak jelas dengan sebutan dari bibir aku.
“Nama motorsikal baru awak ni, Hei Ducati Seksi!”
Munir gelengkan kepala. Wajahnya merah kerana malu. Dia ketawa! “Yaya ikut saya dari belakang ya! Saya bawa slow-slow!”
Aku mengangguk!
Munir segera menjerit kecil. “Nasi ayam lima pinggan!”
Kamu semua tahu bukan, saat angin perlahan memeluk tubuh ini, aku rasa gembira sekali! Saat deruan enjin skuter kesayangan ini menderu di jalan raya, rasa kecewa itu aku pinggirkan ke tepi. Angin memeluk tubuh. Rasa nyaman dan hari ini aku mahu makan sepuas-puasnya. Hei MJ Ungu setia mengikut Hei Ducati Seksi yang perlahan menyusuri jalan raya.
Munir belanja aku makan betul-betul. Bukan tipu-tipu seperti sangkaan aku! Nasi ayam memang tersedia. Tetapi ada tambahan makanan lain seperti satay, bihun tomyam, air batu campur dan cendol power! Ini mencekik namanya, encik Munir!
“Saya dah isi borang!”
“Serius? Okey, Yaya pilih outlet mana?” Munir nampak teruja ingin tahu.Bola matanya bersinar-sinar.
“Rahsia!” bihun tomyam masuk ke dalam perut. Munir mencebik. Mengetuk jari aku dengan sudu.
“Sakitlah!”
Dia tayang gigi! “Cakaplah. Yaya pilih outlet mana? Nanti kalau ada kawan-kawan yang kenal dengan Munir, bolehlah maklumkan dengan mereka. Mana tahu, ada hal emergency ke!”
“Biarlah rahsia!” aku sengih.
“Cet!” Munir menjeling marah! Dia gigit bibir bawah dan sekali lagi mengetuk jari aku dengan sudu.
ok wlpun saya x suka taecyon, tpi disebabkn wtak dia sbgai munir yg nk buat izz amir jelez tu, saya pun jdi suka dgn si munir ni.... hahahah. tq akk, i luv u
BalasPadamlebiuuuu jugak dgn Mardihah 18kuta kali....
BalasPadamHei MJ Ungu & Hei Ducati Seksi...hehehe #^_^
BalasPadamsedih sangat huhuhu, apa jadi ye dengan izz...munir jadi saingan
BalasPadambangga ada keluarga seperti ibu & fatin ni
terbaek...terima kasih ye
Memula ahkak nanges macam hujan ribut. Sedey giler part lepas solat Subuh tu. Sambil komen ni pun boleh bergenang ayaq mata!
BalasPadamTapiii.. lepas tu... Yeeeaaaaaa... ahkak suka bangat! Walaupun citer ni sekadar hiburan, tapi memang realiti hidup pun cam dalam citer MPE ni jugak. Bila seseorang hamba Allah tu bersedih, Allah akan beri kegembiraan buat dia dengan cara lain pulak. Walaupun Munir tak kacak 14 juta cam MPE, yg penting dia berjaya buat Yaya lupa dengan kesedihan di hati. Mwuaahhh... cayang dengan Dihah!!
haaaa.. taecyeon! kak dihah, saya suka taecyeon. huwaaa.. saya dalam dilema. izz amir ke munir? adehhh
BalasPadamMardihah, saya nak merajuk dgn Izz Amir boleh tak? Biar je Munir mengubat luka di hati Yaya (ceh, ceh, ceh...)
BalasPadamSekiranya Munir boleh mengubat hati Yaya yg tlh dilukai oleh Izz ape
BalasPadamsalahnyakan? nak lagi cptlh sambung
MPE ni dh tak sabar dh. Ape pula yg
akan terjadi pd Izz selepas bertunang
dgn Jasmin. Adakah Izz akan megotakan
janjinya dgn Yaya ataupun itu cuma
hanya tinggal janji saje, knp Umi
pula nk jumpa dgn Yaya ye sedamgkan
dia sendiri yg tlh menolak Yaya.
baca sekali lagi coz rindu sgt dgn Yaya dan Izz ni..lg2 dah ada Munir yg cute nie..hahahahhaa
BalasPadamsedih menusuk ke jiwa dgn sikap izz ni tp senyum jea sbb Munir ada disamping Yaya...woowwwwww
lebiuuuuuuu kat kat Mardihah 18juta kaliiiiii
Aisey...Dihah sayang...kalau akak jadi Yaya...akak on je dengan si Munir...kan orang selalu kata...Biar orang sayang kita...jangan kita yang terhegeh-hegeh sayang kat orang...tambah pulak sidia dah terikat dengan orang lain...
BalasPadammemang munir ke yg akan jadi "mr pai epal" yaya after nih? seriously? hayyo maah. pape pon cecepat smbg ek.makasih
BalasPadamkak ku tersayang.. Hehehe sweet la cite nie, da khatam kn da, tak saba nak tunggu camne la majlis izz ngan jazmin.. Haru hara tak.. Hehehe
BalasPadam