Pages

18 Ogos 2009

Lukisan Jiwa - Debaran Kian Bermakna......

Alhamdulilah.

Novel pertama Mardihah Adam akan bersama kalian ketika Ramadhan nanti.
Ia novel pertama saya yang akan menguji diri. Debaran Penuh Bermakna terungkai. Saya benar berharap ia menjadi jambatan untuk menghubungkan diri dengan dunia penulisan. Editor menghantar emel. Wajah kesayangan untuk kulit Lukisan Jiwa termaktub sudah.

Gembira. Saya tersenyum puas. Apatah lagi, segan bercampur malu asyik bertanya editor tentang wajah kulit. Saya mahu terbang tinggi selalu.

Hujan menandakan rezeki kita tetap berada di mana-mana. Saya akan terus bersemangat menulis dan mencari bahan untuk menterjemahkan diri di dalam sebuah karya. Karya saya biasa-biasa sahaja, namun ia mendalam dalam sanubari saya. Ada berkisar tentang persahabatan, cinta, manusia, keluarga, setia dan segala macam benda. Saya akan menterjemah bagaimana kisah Lukisan Jiwa ke khalayak kelak. Saya memerlukan ilham untuk berkongsi dengan kalian semua.

Terima kasih team PTS. Memberi semangat muda kepada saya. Saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus penulisan termahal, mengikuti kelas sastera, meminati bahan atau rencana Bahasa Melayu paling tinggi atau juga menjadi kesayangan mana-mana syarikat penerbitan. Saya berusaha sendiri. Bersabar dan mewarnakan jemari saya dengan ilham berpanjangan. Banyak tugasan saya sedang menanti. Saya percaya kepada kebolehan dan keazaman diri sendiri. Namun penghujung tahun ini, memberi debar kepada saya. Memberi semangat luar biasa.

Terima kasih kepada editor Noor Hafizah Mohd Samsudin yang melayani manuskrip saya.
Saya harus berterima kasih juga kepada yang menerima manuskrip ini dan bersetuju ia diterbitkan. Siapakan gerangannya....? Juga Saudara Bahruddin Bekri yang membantu menambah sinopsis agar lebih menarik. Saya menjanjikan buah tangan kedua, novel saya yang lebih manis dan berharga untuk PTS . Ia gerimis selepas jiwa dilukiskan. Ia seindah cinta untuk insan bernama manusia.

Untuk melihat boleh kalian merujuk di sini

Lukisan Jiwa untuk keluarga saya yang teramat saya sayangi.

11 Ogos 2009

Tangisan Berpanjangan


Saya benar berharap, menjadi insan yang Allah paling kasihi.
Namun, siapa saya yang adakala dan selalu sahaja lupa.Ada titis air mata penuh pengharapan. Entah Allah menghapuskan segala dosa dan noda saya. Adakah kebaikan yang saya lalui memberi manfaat dan syafaat untuk diri? Saya sering tertanya-tanya pada diri. Melankolik kehidupan dan senarai-senarai hitam yang pernah dilalui benar-benar menginsafkan diri. Adakah Allah masih memberikan ruang yang cukup kepada diri untuk menjadi insan disayangi? Bukankah Allah sering sekali memberi ujian tanda kasih sayangnya kepada diri? Atau saya sendiri terlupa pada janji kepada diri.

Kelam.

Saya penuh berharap pada Tuhan Yang Maha Satu.
Tuhan Yang Menentukan segalanya. Saya benar mahu menjadi anak yang baik kepada mak dan ayah. Menjadi kakak yang baik kepada adik-adik. Menjadi adik yang baik kepada abang dan kakak ipar. Menjadi insan yang benar disayangi oleh semua manusia. Adakah saya masih belum sempurna menjadi rakan, sahabat atau teman yang baik kepada rakan-rakan? Atau ada sesekali saya mengecilkan hati kesemua mereka? Atau saya sentiasa silap menghitung perjalanan kehidupan saya bersama rakan-rakan?

"Jasa ayah tidak akan berbalas..walau ayah didukung ke Mekah untuk menunaikan Haji sekalipun.." itu kata-kata ayah yang paling terkesan dalam diri dan jiwa saya.

Saya masih ingat, dalam remang-remang hujan yang gerimis.
Ketika itu saya masih kecil. Bersama adik saya, Mohd Fared.Ayah membawa motorsikal bagi merealisasikan impian saya ketika itu untuk menonton konsert Ratu Rock Ella. Saya bersungguh mahu ke sana walhal ia tidak menerbitkan rasa bahagia sebenarnya, kerana saya masih tidak mengerti erti kepayahan ayah ketika itu. Hujan membawa kami ke destinasi. Walau mata ayah ditusuk air hujan yang tajam, ayah tetap membawa motorsikalnya. Perjalanan yang perlahan, namun bagi saya ia begitu menyeronokkan.

Ayah akan membawa lorinya.
Ia amat membahagikan, kerana saya akan ke sekolah menaiki sebuah lori.

" Ayah kamu bekerja sebagai apa?"

" Ayah saya membawa lori..." jawab saya dengan penuh bangga.
Ya...kerana lori itu, ia membawa bahagia dan rezeki kepada kami sekeluarga. Ia kesusahan yang mengajar keistimewaan dalam mata saya sebagai seorang anak.

Ia tiada noktah.
Seperti perjalanan seorang ibu dan ayah yang tidak ternilai pengorbanannya. Saya panjatkan kesyukuran. Mak dan ayah mengajar banyak erti kehidupan. Wajah sayup mereka jelas dalam pandangan mata. Hanya Allah dapat membalas jasa kalian. Doa itu saya titipkan usai solat dan zikir yang menanti. Namun, saya khuatir dan selalu memperingatkan diri, "Jangan Kau luputkan ingatanku kepada dirimu Ya Allah...agar dapat aku berikan doa dan kebaikan ini, kepada mereka, kedua ibu dan ayahku....." Jangan sesekali dikau luputkan ingatanku tentang Kau Yang Maha Agung, walau sesekali aku lupa. Ya, lalai dan leka...dengan nafsu yang beraja.

"Ampunkan dosa-dosa kami. Dosa mata, telinga, mulut, hati, kaki dan tangan ini ya Allah........"

Saya ralit memerhati cermin.
Cermin yang memantulkan seorang insan bernama anak, adik, kakak, juga bakal isteri dan ibu pada suatu hari nanti. Ada derai air mata yang tidak tertahan dari kelopak mata. Ya, saya maha lupa pada erti kesyukuran diri.
Saya sungguh tidak tertahan lagi, lantas terus terduduk dengan tangisan yang berpanjangan.

Adakah cerah menanti saya di syurga?

06 Ogos 2009

Ikan Ohhhh Ikan...

Proses membersihkan akuarium ikan..


Baharu bersinar dan bercahaya......


Ikan kembali bernyawa semula...jeng-jeng

Proses mengeluarkan air yang kotor dari akuarium kami.


Amacam? Air ini mengeluarkan bauan yang sungguh luar biasa...

Kami letakkan ikan di dalam besen supaya pembersihan mudah dilakukan.

4 hari bercuti...pokok di rumah sewa daunnya,
berwarna kekuningan....merajuk agaknya kerana tuannya tidak menjaga dengan baik.
Saya ambil inisiatif, memasukkan air dengan cukup dan menyegarkannya berhampiran tingkap. Cahaya matahari yang menembusi bilik
mudah-mudahan memberi sesuatu menghijau kepada dedaunnya. Saya mengemas bilik selekasnya untuk ke pejabat.

Semasa bercuti di kampung, kami ; (Hazimah dan Dihah) bertungkus lumus membersihkan akuarium ikan. Ya Rabbi...kalau ikan ini boleh bercakap
mahu dia marahkan si Zimah sebab airnya hitam berkeladak......Gara-gara demam...seminggu air ikan tak berbasuh..seminggu akuarium tidak berseri dan bercahaya.

Ikan emas sudah membesar. Abang Chik bilang...

" Nanti bila ikan tak ada, ambil ikan yang besar ini, suruh mak buat asam pedas..."

" Eeeeeeeeeeeeeeeee............" saranannya buat saya kembang tekak. Bulu roma meremang-remang, Tak hingin makan ikan dalam
akuarium! Sumpah...tak rela!!!!!

Kami ketawa gelihati bila mengangkat ikan paling besar tetapi kerana kegelian melihat ia terlompat-lompat, maka Dihah jatuhkan pengangkat ke dalam akuarium. Akhirnya mak yang membantu...Rileks sahaja mak mengangkat ikan emas paling besar dengan jaring!! Saya terkekek ketawa
kerana mak memperli ketakutan saya hanya pada ikan! "Anak mak ini...!"

Hasilnya selama 1 jam.......ikan kembali bernafas lega. Alhamdulilah.