Pages

11 Ogos 2009

Tangisan Berpanjangan


Saya benar berharap, menjadi insan yang Allah paling kasihi.
Namun, siapa saya yang adakala dan selalu sahaja lupa.Ada titis air mata penuh pengharapan. Entah Allah menghapuskan segala dosa dan noda saya. Adakah kebaikan yang saya lalui memberi manfaat dan syafaat untuk diri? Saya sering tertanya-tanya pada diri. Melankolik kehidupan dan senarai-senarai hitam yang pernah dilalui benar-benar menginsafkan diri. Adakah Allah masih memberikan ruang yang cukup kepada diri untuk menjadi insan disayangi? Bukankah Allah sering sekali memberi ujian tanda kasih sayangnya kepada diri? Atau saya sendiri terlupa pada janji kepada diri.

Kelam.

Saya penuh berharap pada Tuhan Yang Maha Satu.
Tuhan Yang Menentukan segalanya. Saya benar mahu menjadi anak yang baik kepada mak dan ayah. Menjadi kakak yang baik kepada adik-adik. Menjadi adik yang baik kepada abang dan kakak ipar. Menjadi insan yang benar disayangi oleh semua manusia. Adakah saya masih belum sempurna menjadi rakan, sahabat atau teman yang baik kepada rakan-rakan? Atau ada sesekali saya mengecilkan hati kesemua mereka? Atau saya sentiasa silap menghitung perjalanan kehidupan saya bersama rakan-rakan?

"Jasa ayah tidak akan berbalas..walau ayah didukung ke Mekah untuk menunaikan Haji sekalipun.." itu kata-kata ayah yang paling terkesan dalam diri dan jiwa saya.

Saya masih ingat, dalam remang-remang hujan yang gerimis.
Ketika itu saya masih kecil. Bersama adik saya, Mohd Fared.Ayah membawa motorsikal bagi merealisasikan impian saya ketika itu untuk menonton konsert Ratu Rock Ella. Saya bersungguh mahu ke sana walhal ia tidak menerbitkan rasa bahagia sebenarnya, kerana saya masih tidak mengerti erti kepayahan ayah ketika itu. Hujan membawa kami ke destinasi. Walau mata ayah ditusuk air hujan yang tajam, ayah tetap membawa motorsikalnya. Perjalanan yang perlahan, namun bagi saya ia begitu menyeronokkan.

Ayah akan membawa lorinya.
Ia amat membahagikan, kerana saya akan ke sekolah menaiki sebuah lori.

" Ayah kamu bekerja sebagai apa?"

" Ayah saya membawa lori..." jawab saya dengan penuh bangga.
Ya...kerana lori itu, ia membawa bahagia dan rezeki kepada kami sekeluarga. Ia kesusahan yang mengajar keistimewaan dalam mata saya sebagai seorang anak.

Ia tiada noktah.
Seperti perjalanan seorang ibu dan ayah yang tidak ternilai pengorbanannya. Saya panjatkan kesyukuran. Mak dan ayah mengajar banyak erti kehidupan. Wajah sayup mereka jelas dalam pandangan mata. Hanya Allah dapat membalas jasa kalian. Doa itu saya titipkan usai solat dan zikir yang menanti. Namun, saya khuatir dan selalu memperingatkan diri, "Jangan Kau luputkan ingatanku kepada dirimu Ya Allah...agar dapat aku berikan doa dan kebaikan ini, kepada mereka, kedua ibu dan ayahku....." Jangan sesekali dikau luputkan ingatanku tentang Kau Yang Maha Agung, walau sesekali aku lupa. Ya, lalai dan leka...dengan nafsu yang beraja.

"Ampunkan dosa-dosa kami. Dosa mata, telinga, mulut, hati, kaki dan tangan ini ya Allah........"

Saya ralit memerhati cermin.
Cermin yang memantulkan seorang insan bernama anak, adik, kakak, juga bakal isteri dan ibu pada suatu hari nanti. Ada derai air mata yang tidak tertahan dari kelopak mata. Ya, saya maha lupa pada erti kesyukuran diri.
Saya sungguh tidak tertahan lagi, lantas terus terduduk dengan tangisan yang berpanjangan.

Adakah cerah menanti saya di syurga?

3 ulasan:

  1. salam kak dihah.. semoga kak dihah menjadi anak yang solehah... dan syurga menanti kak diakhirat.. amin ya rob...

    BalasPadam
  2. satu peringatan utk kita semua....

    BalasPadam
  3. kenapa 'membawa' lori?
    :P
    kerja apa pun asal halal.. apa nak kira.. baik dari jadi menteri yang rasuah... :P

    BalasPadam