Pages

27 Jun 2011

Pensel - cerpen pendek adaptasi novel Andai Gerimis Berhenti

Cabaran cerpen ini adalah dari Cikpuan Azzah AR, Rahmah Mokhtar, Tuan Baharuddin Bekri dan ramai lagi di Facebook untuk tajuk ‘Pensel’. Maka, akhirnya saya menyahut cabaran ini dan akhirnya cerpen ini saya angkat dari kisah Andai Gerimis Berhenti.


***


“Jika sebatang pensel itu boleh mengeluarkan banyak warna seperti pelangi, maka akan saya gunakan sahaja ia untuk mencorakkan kebahagiaan kita!” suara Aisya gemersik menghantar hati lelakinya ke daerah yang sungguh mempesonakan.

“ Kebahagiaan kita ya? Rasa macam kita bercinta pula! Umur baru 17 tahun, sudah pandai ya! Nanti emak Aisya marah abang!” tegas Najmi lagi. Kemudian dia ketawa.

“ Eh, Aisya bukankah adik abang? Emak bukan marah, tetapi risau, anak gadisnya asyik sahaja dengan Abang Najmi dan Najihah ke sana dan ke sini!” wajahnya merona merah. Aisya tetap mahu mempertahankan hubungan persahabatan mereka walau emak berkali-kali marah dan menentang. Walau mereka berjiran. Suara emak pastinya setiap petang terjerit-jerit memanggil namanya.

Najmi menyambung ketawanya dan pantas berbicara, “Iya, tapi mana mahu letak si Najihah yang kuat cemburu itu?”

Mulut Najmi mengherot pada Najihah, adik kembarnya yang sedang membetulkan tali layang-layang di hujung padang.

“Najihah tetap adik kandung abang bukan? Dan Aisya?” tanya Aisya tiba-tiba.

Najmi memandang Aisya. Dia tersenyum lagi. Pensel yang sedang digunakan untuk melakar wajah sahabat baiknya kembali melayang-layang. Kemudian mereka sama-sama memandang lukisan yang sedang Najmi lakarkan.

“ Aisya tetap adik abang dunia akhirat. Nanti bila sudah besar, kita kahwin ya!” Lelaki itu tersenyum-senyum sambil memandang Aisya.

Hening.

Mata Aisya berkerut. Hati gadis remajanya tiba-tiba berdenyut kencang. Aduh! Ini cinta monyetkah? Bukankah emak sudah bilang dan nyatakan beberapa kali kepadanya, emak tidak suka anak emak ke sana ke mari dengan Najmi dan Najihah. Kamu sudah jadi anak dara! Nanti Nenek Hanisah dan ibu bapa Najmi akan marah lagi! Ingat pesan emak!

Mata Aisya terkebil-kebil dan kemudian mencerut.

“Kenapa mata Aisya berkerut?” Najmi memandang Aisya.

Aisya ketawa tiba-tiba. “Siapa mahu kahwin dengan abang ! Sudahlah kuat makan, kuat berangan. Aisya mahu kahwin dengan Zulkarnain!”

“Perasan!” Najmi menjelirkan lidahnya. Mereka sama-sama tertawa.

Aisya tersenyum. “Aisya tak mahu kahwin dengan abang!”

Najmi menjelirkan lidahnya sekali lagi dan tangannya pantas melakar wajah Aisya dengan penselnya. Dia lebih suka melakar potret seseorang dengan lakaran penselnya sahaja.Kata guru di sekolah, potretnya akan lebih cantik dengan mencorak mengggunakan pensel! Malah,Tuhan hadiahkan keajaiban untuk jemarinya melakarkan wajah sesiapa sahaja.

Aisya yang masih bertenggek di atas sebuah batu, di bawah pohon rendang terkelip-kelip lagi. Kawasan lapang menjadi tempat permainan kanak-kanak mereka menjadi saksi persahabatan ini. Kawasan menghijau yang turut meredupkan menjadi teman mereka.

Mata sudah hampir kuyu!

“Cepatlah! Aisya mahu balik! Nanti emak marah!” Aisya membetulkan duduknya.

Najmi berdeham. “Isk, duduk diam-diam. Sekejap lagi siap lukisan ini. Ala, emak marah sekejap sahaja. Lagipun Najihah ada bersama dengan kita. Jangan ubah kedudukan duduk ya!” dia separuh menjerit. Matanya bulat besar tanda marah dengan sikap Aisya.

Aisya mendengus lagi. Dia membetulkan duduknya dan memandang tepat Najmi yang tersengih macam kerang busuk!

“Kamu sudah berjanji! Nanti habis sahaja lukisan ini, abang hadiahkan coklat ya. Untuk Aisya dan Najihah sekali.” Najmi tersenyum lagi. Dia mahu menambat masa gadis pingitan tersebut. Lukisan ini akan siap beberapa minit lagi.

Aisya mengeluh. Mulutnya terkumat-kamit lagi!

Haaaa…mengumpat!” Najmi tersenyum lagi.

“ Mana ada mengumpat! Cepatlah. Aisya mahu balik, nanti emak marah!” balasnya segera.

Najmi melontar pandangannya ke arah Najihah yang sedang leka membaca buku di satu sudut hujung padang. Adiknya selesa bersimpuh di bawah pohon rambutan tersebut. Layang-layang sudah berteleku menemani adiknya yang seorang itu. Najihah yang menjadi teman ketika dia dan Aisya bermain. Najihah juga adiknya yang sentiasa cemburu akan keakraban antara dia dan Aisya.

Angin pantas menderu. Menemani mereka berdua di sebalik pohon rendang yang selalu menjadi saksi pertemuan. Ahh, persahabatan zaman kecil ini adakah akan tamat kelak ? Tuhan, jangan pisahkan kami. Jangan pisahkan hati dan jiwa yang telah bersatu sejak zaman kecil lagi. Mata Najmi menyorot lagi wajah keanak-anakan Aisya. Comot ! Tetapi baginya wajah Aisya menarik apabila sesekali dipandang. Ada keredupan. Resahnya akan hilang tatkala melihat senyuman Aisya.

Dia tersenyum sendiri memandang lukisannya. Matanya cepat menangkap susuk tubuh si gadis genit itu. Aisya sudah berlari-lari anak melambai-lambainya.

Pensel di jemarinya lantas terhenti.



***



“Aisya mahu pensel itu boleh?” tanya Aisya. Beg sekolahnya dibetul-betulkan. Najmi memandang pensel dan lukisan yang berada di dalam bakul basikal gadis berkenaan.
Mereka berjalan lagi. Menolak basikal masing-masing dengan perlahan. Cara ini, boleh sahaja membuatkan mereka berbual-bual lebih lama. Itu permintaan Najmi yang sentiasa membuatkan Najihah mencebik. Macam belangkas!

Beritahu mama, abang suka dengan Aisya!

Beritahulah. Abang tak takut pun!

“Hadiahkan untuk Aisya ya. Bersama dengan lukisan semalam. Itu lukisan semalam bukan? Hadiahkan lukisan wajah Aisya dengan pensel itu, boleh? Untuk kenang-kenangan.” Aisya masih mengomel-ngomel. Sedangkan Najmi masih diam dan menolak basikal tanpa ada semangat. Najihah seakan sama dengan abang kembarnya. Wajah masam mencuka. Mata tidak bersinar seperti selalu. Rambut berombaknya juga seperti tidak bermaya dan tidak terurus. Wajah mendung bagaikan hujan lebat mahu tiba.

Mereka masih setia menolak basikal.

Perlahan.

Soalan dari bibir munggil Aisya tiada jawapan.

Sepi.

Aisya menjadi hairan dengan sikap Najmi dan Najihah yang membisu tanpa kata. Mereka berdua yang diam seribu bahasa. Tiada gurauan dan perbualan seperti biasa. Abang Najmi marahkah dengan sikapnya semalam yang melarikan diri sebelum lukisan habis dipotretkan? Marahkah Abang Najmi? Aisya terkebil-kebil lagi. Menolak basikal tanpa ada perasaan dan semangatnya seolah melayang-layang terbang tinggi.

Dia mendongak melihat burung camar yang setia terbang menemani. Angin dingin dan panas terik tengahari menemani mereka. Wajahnya merah-merah tanda hangat panas mentari. Najmi menjeling nakal gadis pujaannnya. Namun dia sembunyikan matanya dengan lirikan terus ke arah lukisan dan pensen-pensel yang digulungkan dengan getah agar tidak bertaburan di dalam bakul milik basikal Aisya.

Sehingga ketiga-tiga mereka sampai di persimpangan yang memisahkan rumah mereka. Emak sudah berdiri di hadapan pintu. Tangga batu rumah Melayu Melaka tersergam di hadapan mata.
Nenek Hanisah yang berada di pangkin hadapan rumahnya turut sama menanti. Pohon redup menjadi pembahagi. Pasu-pasu bersama pokok bunga kertas yang berwarna-warni turut sama memberikan hangatnya suasana.

Najmi menarik nafas perlahan. Najihah memandang abangnya. Aisya mengambil lukisan dan pensel-pensel yang berikat getah. Lantas dihulurkan perlahan kepada Najmi. Basikal ditongkatkan agar tidak jatuh.

“Sudah sampai! Aisya naik ke rumah dahulu ya. Petang nanti jangan lupa kita akan ke halaman hijau ya!” Namun huluran lukisan dan pensel berkenaan masih tidak bertukar tangan. Najmi memandang Aisya tanpa kata. Perlahan-lahan lukisan dan pensel berkenaan diletakkan ke dalam bakul basikal miliknya. Dia pasti, Najmi mahu dia membawa lukisan itu petang ini untuk sesi menghabiskan memotret dan melakar wajahnya.

“Okey, petang nanti kita jumpa ya!” Najihah pula menjawab bagi pihak abangnya. Namun dia perasankan wajah mendung abangnya itu. Juga wajah sedih Aisya yang tidak dipedulikan abangnya. Terasa pula bersalah kerana sehingga sekarang mereka berdua ‘masih merahsiakan’ perkara berkenaan kepada Aisya.

Aisya pantas menolak basikalnya ke halaman rumah. Emak sudah tersenyum memandang mereka.

Beberapa langkah kakinya dihayunkan, suara Najmi lantas bergema perlahan.

“Abang Najmi akan ke Australia selepas keputusan SPM nanti.”

Angin dingin menyerbu wajah Aisya. Gemuruh jiwa dan seluruh perasaannya terasa di bawa pergi dengan banyak kenangan bersama seorang ‘abang’ paling akrab dalam hidupnya.

Dia kaku berdiri di situ.

Sebatang pensel jatuh dari ikatannya.

Aisya berpaling segera. Memandang Najmi dan Najihah yang berwajah mendung. Wajah yang sungguh merusuhkan jiwanya kala ini. Basikalnya lantas jatuh dan air mata hangat terasa mengalir-ngalir sepi.

Pensel akhirnya bergolek-golek ke hujung kasut sekolah Aisya.

“Sungguhkah?” suara Aisya lantas bersatu dengan angin. Najmi mengangguk perlahan-lahan. Dia berjalan menuju ke arah Aisya. Mengutip pensel yang menanti ‘tuannya’.

Nanti pensel ini akan jadi kenangan kita. Juga lukisan ini.” Tangan Najmi pantas mengambil lukisannya di dalam bakul basikal Aisya. Ditongkatkan kembali basikal milik Aisya. Dan tangannya menghulurkan lukisan bersama penselnya. Dibuka ikatan reben merah lukisannya dan dipaparkan wajah Aisya yang dipotretkan bersama pensel ajaib miliknya. Wajah Najmi tenang. Walau hatinya, jiwanya dan perasaannya telah dibawa pergi semenjak papa menghubunginya pagi tadi.

Semenjak beberapa jam yang lepas, dia membawa diri. Lelaki itu membawa hatinya jauh-jauh pergi ! Dan ketika waktu rehat di sekolah, dia mencuri-curi melihat wajah Aisya yang menjadi sahabat, teman, adik dan gadis pujaannya itu dengan tenang.

Najihah memandang abangnya.

“Aisya jangan rindukan abang ya!” Najmi masih cuba untuk tersenyum dan masih mahu bergurau dengan adik kesayangannya.

Saat itu juga, Aisya lantas berlari. Keluar dari kawasan rumahnya dan membawa kakinya bersama dengan kenang-kenangan.


4 ulasan:

  1. Tanpa Nama14/5/12 20:41

    laaaa.. Da hbis ke kak...? Tergantung plak cite nie..? Adeeeih tak puas bc ending tergantung.. Smbg next n3 yea kak..? klu ad smbngan Cerita nie bole di sebut dgn cerpan not cerpen hehehehe.. Toing3 kak diha.. <3 u ( rahmah doank )

    BalasPadam
  2. @Tanpa Nama Iyalah dik Rahmah, sudah habis. hehe. cerpen ni pendek sahaja. ditulis tahun 2011. Sekadar menyahut cabaran teman-teman di fb hasilkan sebuah cerpen. Cerpan itu cerita panjang? hehehe. jadinya cerpankah? kahkahkah..

    Terima kasih sudi melayangkan komen ya. Terima kasih banyak-banyak ya!

    BalasPadam
  3. Tanpa Nama15/5/12 07:34

    hehehe.. Klu da hbis mmg cerpen la ( cerita pendek ) klu akak smbg jd cerpan la ( cerita panjang ) hehehe serius tak puas bc lg. Tetiba da hbs

    BalasPadam
  4. Waa baru saya tahu kewujutan cerpen ini.... sangat2 bagus sekali daling maling.... teruskan usaha buat banyak2 lagi cerpen yg bersangkut paut dengan novel Diha sekarang ..... contohnya kisah kawan baik Aisya Solehah N Hisyam (ehh betul tak nama laki tu).... TQ TQ TQVM Diha

    BalasPadam