Terima kasih untuk semua.
Ilham ternakan ikan air tawar yang saya garap di dalam novel Andai Gerimis Berhenti ini, bermula dan bermain di minda saya selepas ayah yang tersayang membuka kolam ternakan ikan keli secara kecil-kecilan di Kampung Sri Tanjung, Masjid Tanah Melaka. Bahkan saya kagum walaupun selepas berpencen dari membawa lori, ayah masih mampu mencari rezeki untuk kami adik beradik. Naskah ini juga khas dan teristimewa untuk emak yang paling saya kasihi. Saya membawa kekaguman kepada emak yang sehingga sekarang masih membuat kuih muih untuk jualan setiap pagi di gerai yang banyak memberi kenangan kepada diri. Ya, kerana kenangan dan bersandarkan pengalaman sendiri maka saya titipkan di dalam Andai Gerimis Berhenti. Kisah di dalam karya ini adalah tanda kasih sayang untuk ayahanda dan bonda untuk segala pengorbanan yang tidak ternilai dan tidak mampu saya balas.
Permulaan dan penerimaan editor PTS terhadap novel pertama saya, Lukisan Jiwa memberikan sesuatu yang istimewa dalam perjalanan karier saya sebagai penulis separuh masa. Saya belajar memperharui kesilapan dan sentiasa membaca bagi mencari panduan menulis yang baik untuk menghasilkan manuskrip ini.
Semoga kalian tenang menatap novel ini. Cita-cita ini tidak akan termakbul tanpa izin dari Allah SWT yang memberikan ilham berpanjangan. Doakan untuk saya agar ilham berterusan dan dipanjangkan untuk kebaikan diri saya dan kalian. Saya juga amat percaya untuk berjaya saya dan kita semua perlu banyak belajar dan menerima kesalahan diri serta memperbaikinya.
Terima kasih kepada PTS, editor yang banyak memberikan masa dan tunjuk ajar, bonda, ayahanda & keluarga. Juga teman yang banyak memberikan sokongan. Suami, Mohd Rustham Bin Abdul Rahman yang sentiasa memahami tentang diri. Terima kasih kerana mencintai diri yang sederhana ini.
Selamat membaca dan menyelami Andai Gerimis Berhenti. Nantikan juga sambungan kisah ini kelak. Teruja? Nantikan ya!
Mardihah Adam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan