Pages

20 Mac 2013

Dia, Cinta Hati Saya ! 2






Pertemuan pertama saya dengan dia. Saya akan mengingati saat itu sampai bila-bila. Pagi itu. Ya. Saya mengenakan skirt paras lutut dan blouse kesayangan yang ibu belikan di Paris.Semangat membara-bara juga pagi-pagi begini ke tempat kerja.Berharum-haruman dan calitkan lipstik berwarna merah jambu. Bibir semestinya akan saya pastikan berkilat dan berwarna.

“Dina balik lewat sikit ya ibu. Dina keluar makan dengan Fendi.” Saya senyum lebar-lebar. Ibu angguk kerana maklum hubungan istimewa kami. Dan dengan pantas saya menyalam ibu. Menciumi pipi ibu dan melambai ibu. Hari ini kerja separuh gilalah nampaknya di pejabat dan kemudian bercanda ria bersama Fendi. Seronoknya hidup begini kan? Pergi kerja kemudian petang bersama teman-teman. Tak balik ke rumah dan terus membawa ke malam ditemani Fendi.
Saya, Majdina Binti Mahadi yang sentiasa mahu mencintai dan dicintai. Jika Fendi berubah hati dan tidak mahu berkomitmen, saya akan cari lelaki lain. Bak kata Juwita, saya ini satu yang pergi, sepuluh lelaki akan datang dan menyerah diri kepada saya.

Kata ibu lagi, saya akan nampak lebih cantik dengan melepaskan rambut separas pinggang ini. Tetapi hari ini, getah di pergelangan tangan melekat ketika saya memandu. Ah – sesekali nak jugak saya melepaskan rambut ini begitu saja. Rimas juga dengan rambut saya ini. Ibulah! Sebab ibu mahu saya bela bagi ia panjang lagi. Eee, Dina rimas okey! Dina rimas!

Puas juga ibu memujuk saya dan kerana sayangkan ibu jugalah saya membela rambut ini sampai panjang ke paras pinggang. Kereta berdentum-dentum dengan lagu rancak. Pagi-pagi begini jalan di tengah kotaraya memang sibuk betul. Sesak sana dan sini.

Tetapi kerana ditemani dengan lagu-lagu rancak ini, apa pun saya tidak hairan. Sesaklah bagaimanapun. Cadbury Blackforest pantas menjadi teman. Mulut mengunyah lagi !

Kereta berhenti. Sesak lagi. Saya toleh ke kiri. Sebuah motosikal EX5 di bawa oleh seorang lelaki. Sikit pun saya tak hairan. EX5, Honda sahaja, okey ! Kepalanya ditutup dengan helmet berwarna putih. Motosikalnya pantas bergerak ke kanan dan mahu mencelah di depan kereta saya.
Sekelip mata semuanya berlaku! Dan ketika mata saya bertembung dengan wajahnya yang tenang itu. Mata saya dan matanya bertentang kali pertama. Dia terkejut! Entah kenapa saya berdebar-debar dan.. dan.. dan.. kaki saya terus menekan minyak.

Berdentum!

Dia jatuh tergolek dan mujur tidak dilanggar motosikal lain. Panik! Saya berhentikan kereta di tepi jalan raya dan segera meluru ke arahnya yang sedang berbaring tanpa sesiapa yang sudi membantu. Hanya saya dan dia. Orang lain hanya memerhati dan malas mahu masuk campur.
“Maafkan saya ya. Tak perasanlah tadi.” Saya pantas memegang lengannya dan dia menolak jemari ini. Tubuhnya yang berbaring cuba dibangunkan sendiri. Sombongnya dia ni. Dia tolak lagi jemari saya yang kali kedua cuba untuk membantunya.

“Oh tak apa. Tak apa. Saya okey. Saya yang salah. Saya yang salah...” Ulasnya dan cuba untuk bangun. Matanya sikit pun tidak memandang saya. Saya ikat rambut yang menyusahkan saya merubah gerak kepala. Dalam detik mencemaskan inilah, rambut ini sebenarnya menjadi salah satu perkara yang menyusahkan pergerakan saya. Eeee, rimaslah, ibu!

Sekarang, siapa yang bersalah. Saya atau dia?

Dia gagahkan diri untuk tegak berdiri dan terus membuka helmetnya.Entah mengapa dan kenapa untuk kali pertama dalam hidup saya – Jantun berdegup kencang dan hebat sungguh degupannya. Kenapa dengan anak ibu ini ya? Matanya sepet-sepet tapi bila dia menahan sakit dan reaksinya itu buat saya rasa sesuatu. Entahlah hati ini.

Dia tersenyum sambil menunjukkan tapak tangannya yang sedikit berdarah. Kemudian mata dia memandang motosikalnya yang terbaring dan pantas dia membetulkan motosikalnya. Menolaknya betul-betul di tepi jalan raya dan memarkir di sebelah kereta mewah saya. Saya keluarkan tisu di dalam beg dan hulurkan kepadanya. Dia ambil perlahan dan tersenyum lagi. Kenapa hati saya tenang melihat wajahnya ini? Saya sambut senyumannya dan gariskan senyuman manis.
“Saya minta maaf ya.” Tambah dia dan saya tersenyum dengan kegelabahannya ketika memandang saya. Bila dia cuba memandang saya untuk kali kedua, cepat-cepat dia alihkan anak matanya.

Bukankah sudah saya katakan dengan semua yang saya ini memang seksi? Dan saya ini cantik jelita orangnya. Ini masa yang tepat untuk saya menggoda dia. Masa paling dekat dengan lelaki sebegini selalunya saya gunakan dengan sebaik-baiknya.

“Oh, tak apa. Saya yang salah.” Saya pula tiba-tiba berdiplomasi. Kerana sebelum ini, sudah enam kali kemalangan kecil seperti ini dengan motosikal. Sayalah orangnya yang paling melenting! Bergaduh, terpekik terlolong sampai kemenangan akhirnya berpihak di tangan saya. Eh, kenapa hari ini Majdina boleh tertewas ya? Tetapi entah kenapa tika detik ini jiwa terus jadi cair dan darah menyerbu ke dada apabila terpandangkan wajahnya ini. Siapa dia?

Dia pandang cermin kereta saya yang pecah dan ketika mengesat darah yang mengalir di tapak tangannya, dia buka dompet. Sekelip mata not lima puluh ringgit di halakan kepada saya. “Saya ada lima puluh ringgit sahaja. Kalau tak cukup nanti saya bank-inkan lagi. Awak bagi nombor akaun ya. Saya yang salah. Saya yang tak perasan masa membelok tadi. Habis pecah cermin kereta awak. Ambillah.”

Automatiknya, saya mengambil not lima puluh ringgit berkenaan. Jantung saya terus berdebar-debar. Saya pulas memerhatikan dia menghidupkan kembali motosikalnya. Enjinnya diam dan saya nampak mulutnya terkumat-kamit.

“Saya kena berzikir banyak-banyak nampaknya ni! Ya Allah! Apalah dosa kecil saya hari ini?” Bibirnya menguntum senyum yang mendebarkan jiwa saya. Sedikitpun dia tak mengeluh. Kalau Majdina, harus diterajang sahaja motosikal yang tak bernyawa itu. Ish!

“Saya hantarkan awak ke pejabat.Letak sahaja motosikal tu kat tepi. Nanti awak ambillah bila-bila masa ya. ” Saya memandang lagi matanya yang kejap-kejap tunduk memandang jalan raya.
Tisu dikesat lagi. Dia gelengkan kepala. “Eh, segan saya. Tak apa lah. Saya boleh suruh kawan jemput saya.”

“Eh tak apa. Dina hantarkan. Ala, sekejap aje pun.Kita berdua tengah buat jalan sesak sangat ni. Untuk sekali ni je. Jom.” Mata meliar memerhati jalan raya yang semakin sibuk. Waktu puncak begini, kami menjadi tontonan umum pula.

Beberapa minit saya memujuk dan dia mencuba lagi menghidupkan enjin motosikalnya. Kawannya dihubungi tapi tidak berjawab panggilannya. Dia nampak putus asa sekali. Kasihan sungguh apabila saya melihat kemeja lusuhnya yang terkoyak.

Akhirnya selepas kali kelima saya memujuknya, dia angguk bersetuju dengan lesung pipitnya terserlah diam-diam di pipi kanannya. Itulah yang membuatkan jantung saya terus berdegup kencang. Saya terkebil-kebil merenung akan dirinya. Dia pula macam nak melarikan diri pun ya. Majdina ni memang, suka menggoda kan?

Hening sahaja suasana di dalam kereta. Kesan cermin kereta yang sedikit pecah, sikitpun tak mengganggu keadaan saya ketika ini. Dia di sebelah saya ini, diam sahaja. Sepuluh patah saya bertanya dan cuba mengajaknya berbual-bual, sepatah sahaja dia menjawab. Dia hanya tunduk dan angguk. Kadang-kadang gelengkan kepala. Semudah itu sahaja jawapannya.

Yang saya tahu mengenainya hanyalah dua perkara:

Satu – “Errr..saya kerja kat pejabat pos tu. Turunkan saya kat situ pun takpe.” Jarinya sopan menunjukkan sebatang pohon rendang menjadi teduhan beberapa buah motosikal.

“Nama awak apa? Saya Majdina. Panggil Dina.” Rasa semarak cinta di jiwa.

Dua – Jawapannya bernada santun. Lembut mengawal suara. Perkenalan akhirnya tercipta. Antara saya dan Dia.“Nama saya Zain. Zain.”
Keadaan di dalam kereta terasa indahnya membawa pergerakan darah yang mengepam-ngepam lancar. Bila dia menyebut nama ringkasnya itu, saya menyebut berkali-kali di hati. Meniti di bibir dan jiwa. Inilah detik pertemuan pertama antara saya dan dia. Antara Majdina dan Zain yang menjadi mimpi indah saya. Zain. Zain. Zain.

Yang saya tahu, debaran ini pertama kali berlaku dalam sejarah hidup saya. Bukan ketika saya berdiri di hadapan Fendi, Tengku Khalid, Aidil atau Shamsul.Tetapi kerana namanya Zain dan kerana lekuk lesung pipit dan mata sepetnya itu.

Saya juga akan mengingati saat dia membalas senyuman saya ini. Dia ucapkan terima kasih dan memohon sekali lagi akaun bank saya. “Kalau ada akaun bank mudah untuk saya bank-in kan duit lagi. Mesti mahal harga cermin ni ya?”

Saya gelengkan kepala. Rasa mahu bertemu lagi dengan dia dan bukan menerima duit dari Zain melalui sistem internet banking itu. Dari mana datangnya pemuda ini? Mengapa matanya tidak langsung melihat peha gebu yang terserlah ketika saya sedang memandu tadi?

Zain. Wajahnya kerap kali juga muncul dalam mimpi saya. Dan saya ternampak-nampak wajah manisnya dengan senyuman mahal itu. Majdina, apa yang terjadi dengan hati ini, ya?

13 ulasan:

  1. Ohhh..ini manuskrip baru...hmmm bagus juga....fefeling baru nak menjadi....kalau sudah jatuh cinta...hati jadi berbunga-bunga....tak gitu!!!!hik...hik..hik

    BalasPadam
  2. hamboiii kak Amy Sayang!

    Sebab selepas ini saya akan fokuskan MPE untuk dinilai dan hanya sampai bab ke 25 sahaja di blog. ececece..jadinya perlu ada manuskrip baru. :) Mahu Memeluk Bulan & Dia, Cinta Hati Saya.

    MPE dan YT akan dinilai dan saya akan pengsan sebab nak kena siapkannya cepat..harap2 diterima. :)

    BalasPadam
  3. Tanpa Nama8/3/12 17:00

    Waaaa..yang ni pun bestlah! like like..

    gaya penulisan puan amat saya suka. juta2 suka macam MPE. hehehe...

    BalasPadam
  4. kak, berlainan la kali nih ... 'saya'... wah! sngt berbeza dan suweett... nak kenal watak zain lebih...

    BalasPadam
  5. Tanpa Nama8/3/12 21:43

    saya suka cerita ini .... tlg la ... tlg la .. kasi n3 byk2 ... heheheh

    BalasPadam
  6. wahhh! best sesangat kak hana! ^^ sambung lagi! besssstt!

    BalasPadam
  7. @RinsyaRyc nanti akan up next entry okey Rin? hehehe

    BalasPadam
  8. @Tanpa Nama Terima kasih. Nanti saya bagi lebih-lebih.. :) Terima kasih sudi datang ke blog saya! hamboiii

    BalasPadam
  9. @kleoKleo, terima kasih ya! Fightingggg!

    BalasPadam
  10. Ahkak RSL13/3/12 14:21

    TAK NAK BACA! Tunjuk perasaan! Nak MPE & YT! Nak! NAK! huwaaaaa

    BalasPadam
  11. Tanpa Nama15/3/12 21:34

    Salam..suka cara penulisan kamu yg ala2 jiwang melayang ni..akak suke! hehe..kalu tak sengih bc citer kamu, memang something wrong somewhere at the corner la tu..

    Zain,hehe..tetiba teingat buku akak yg accident..haha..hany kerana kamu Zain, akak tak jd nak pulangkan blk buku tu.. nyesal lak..klu tak leh jumpa ngan Zain kat pejabat pos.. hehe :)

    Insya Allah akak akan follow.. :)

    Wassalam
    MyHoney

    BalasPadam
  12. Baru jumpa Zain, hati saya pun dah melayang-layang macam Majdina <3

    BalasPadam
  13. following this story until now...waaa..bila keluar?uhhu

    BalasPadam