Pages

08 Oktober 2013

Maleq Rafie 40 Part I

Hati kembali menjadi kecil. Air mata kembali menjadi teman. Dia rasa terbuang dan rasa dipinggirkan semenjak hadirnya Marsha di rumah ini. “Abang ngah!” Pintu diketuk bertalu-talu. Suara itu lagi. Menganggu lagi dan lagi!

Gebar terasa ditolak. Katil sebelah terasa ditinggalkan Maleq. Suara Marsha memanggil lagi. “Marsha buatkan kopi. Mehlah join. Best tau kopi yang Marsha buat ni. Bukan selalu dapat minum kopi yang Marsha buat.”




“Haaa…surat dari Tan Jie Kang ni genap dua tahun perkahwinan kau baru aku akan bagi.” Bib memasukkan surat berkenaan di dalam sebuah buku. Tulisan cina di atas sampul surat dibelek-belek. Sudah lama dia simpan. Sudah lama juga surat ini menjadi teman laci dan bukunya ini. “Lama lagi kan dua tahun tu. Kira aku simpan ya.”

Sebelah jemari menggosok-gosok mata. Bib ini kenapa? Bib ini buang tebiat apa?

Nadratul Nisa’…dengar sini ya! Bib itu baru memecahkan rahsia. Bib itu baru bercerita. Cuba dengar betul-betul ayatnya. Nadratul Nisa’ tidak menjawab. Sebaliknya diam mendengar suara Bib. Kenapa kau cerita mengenai Tan Jie Kang ya?

“Ni amanah dari orang Nad. Apa-apa kau pandai-pandai jawab dengan suami sendiri. Kau kena cerita dengan dia. Tau!.”

Diam. Pegun. Nama itu lagi bermukim di hati. Bib ini kenapa? Arahan apa yang sedang Bib berikan ini ya?

“Yang penting aku tak tahu mana Tan pergi. Mana duduknya dan keadaan dia sekarang. Satu perkembangan positif untuk kau agar terus tak jumpa dengan dia.” Bib sesekali memerli. Tersengih-sengih dia seorang diri. “Nad oi! Aku bukan nak keruhkan hubungan kau dengan Maleq. No. …sebaliknya aku tahu yang kau dan Maleq dah okey. Kan?”

Angguk. Mata merenung ladang bunga mawar yang terhidang. Indah. Kata-kata Bib sudah lali di gegendang telinga. Perli dan sesekali pedas berapi dia sudah boleh terima. Katalah apa sahaja Bib.

“Tan dah pergi Nad. Aku tak tahu dia pergi mana. Kita doalah dia baik-baik. Sebenarnya aku rasa perlu untuk kau tahu mengenai amanah ni. Paling penting kau nak terima atau tak surat ini. Lebih baik aku beritahu awal-awal dan lebih baik kau berikan keputusan untuk aku ni sebagai pemegang amanah jalankan tanggung dan jawab.”

“Kau cakap apa ni Bib?” Dahi berkerut-kerut. Tanda soal mula terbang melayang-layang.

“Kau nak atau tak nak? Kalau tak nak, aku buang.”

“Kau kata genap dua tahun perkahwinan aku kan? Mestilah aku nak!”

Bib ketawa. “Ada hati juga kau ya. Hahaha.” Mata Bib melirik lukisan di dinding. “Kau okey kan kat sana, Nad?” Dia tidak boleh menutup soalan-soalan di dalam benak. Nadratul Nisa’ sahabat dunia dan akhiratnya. Soal rumahtangga kawannya ini, biarlah diselesaikan sendiri oleh Nadratul Nisa’. Dia yakin yang Maleq itu lelaki baik. Dia juga yakin jodoh Nadratul Nisa’ telah tertulis dan terukir dengan nama Maleq Rafie. Ala, lambat laun Nad mesti boleh melupakan dan melenyapkan nama pemuda cina berkenaan.

Tapi keyakinannya kadang-kala sedikit menipis bila terpandangkan surat di dalam bukunya ini. Apa isinya ya? Apa pesan Tan Jie Kang untuk Nadratul Nisa’ ya? Nadratul Nisa’ di sana bahagiakah dengan Maleq Rafie si encik ganteng itu?

“Alhamdulilah. Aku semakin okey. Ladang mawar pun bertambah baik. Bila kau nak datang sini Bib? Bolehlah membantu aku tanam pokok.” Mata menyeluruhi ladang yang semakin membiak segar. Para pekerja sedang tekun membuat kerja. Dia beruntung. Untung sungguh kerana jejakkan kaki ke kawasan ladang yang sudah bertunas. Tidak perlu bersusah payah keluarkan modal dan berjerit perih mencari sumber seperti peladang yang lain.

“Maleq okey juga kan?” Bib mengasak.

“Pun okey. Dia baik. Macam aku kata, kalau tetiba aku rapuh selalu. Termenung selalu dia akan sergah suruh baca Al-Quran.” Mengaku dalam tawa. Jujur sungguh kau Nadratul Nisa’. Senyum Maleq kini menghiasi tubir mata.

“Rapuh?” Mata membulat bagaikan guli. Sudah dia jangka. Mahu saja dia letak telefon kala ini. Alahai Nadratul Nisa’, cincang empat belas hati tu boleh tak? Mari aku lumat-lumatkan nama Tan Jie Kang itu.

“Bib…” Kaki Nadratul Nisa’ berayun perlahan-lahan. Dia sedut udara. Bayang senyum suami sekali lagi di hujung mata. “Rapuh tu kadang-kadang ujian kan?” Sudah lama dia memendam. Entah kenapa dia terasa berdosa. Hiba, sedih yang selalu di hati selalu dia tahan seorang diri. Kalau ketawapun…sebenarnya hati menangis siapa yang tahu? Hati sedang bergerimis pun siapa mahu tanya?

“Aku sedang dengar Nadratul Nisa’.” Dia setia menadah telinga. Nadratul Nisa’ ini kan lurus bendul orangnya?

Air mata entah kenapa perlahan-lahan menjadi teman pipi. Nadratul Nisa’ kesat dengan hujung jemari. “Hati aku kadang-kadang tak sekuat mana Bib. Mana mungkin aku boleh lupakan dia, Bib.” Dia sudah teresak-esak. Sakit Bib! Sakit!

“Maleq tu baik sangat-sangat sampai aku terkadang rasa dia entah malaikat yang datang untuk aku. Tapi Bib..” Kaki langit yang biru menjadi teman mata. “Kalau aku nampak kolam kat hujung sana tu Bib…aku sentiasa nampak yang aku sedang memancing dengan dia. Berbual-bual dengan dia. Bergelak ketawa dan sama-sama jatuh ke dalam kolam.”

Kolam tenang di hujung ladang selalu menjadi tempat dia duduk seorang diri. Kalau terasa beban dengan masalah ladang, dia akan berjalan seorang diri ke kawasan kolam.  Hakikat yang tidak boleh dia benamkan ke mana-mana. Kalau semasa perjalanan di dalam kereta, terpandangkan kolam kecil itu pun dia akan nampak sebuah sampan. Duduknya dia dan Tan Jie Kang. Sedih Bib..Pilunya hati aku ini tidak pernah sekali berganti dengan mana-mana kenangan.

Ironinya jiwanya kosong. Meski hakikatnya sang suami itu sedang dicintai. “Aku masih ingatkan Tan Jie Kang, Bib. Aku masih ingat dia. Masih aku terkenangkan dia. Mana dia pergi selama ni.. Bahagikah dia dan segalanya tentang dia. Berdosanya aku Bib. Jahatnya aku kan?”

“Kau cintakan Maleq kan? Hati kau rapuh apapun aku tahu kau sekarang sayangkan dia kan?” Bib kini mendekatkan dua hati. Dia senyum.

Angguk. Apa lagi yang meski dia nyatakan. Kalau kata dia terpaksa mencintai Maleq itu penipu juga. Pembohong namanya kalau dia tidak cintakan Maleq. Pendusta namanya kalau dia tidak kasihkan Maleq.

“Jangan tamak Nad. Jangan. Allah swt sebenarnya sedang menguji sejauh mana setia kau dengan suami. Syurga kau, kasih sayang kau, hati kau dan perasaan kau. Itu semua syaitan yang sedang bolak balikkan hati kau, Nad.”

“Kalaulah aku boleh belah tubuh aku ni kan? Bahagikan dua. Kan bagus?” Perbualannya dengan tawa yang dibuat-buat. Nadratul Nisa’ segera beristighfar. “Allahuakbar. Isteri apa aku ini, Bib? Jahatnya aku.”

Dia memaku kaki. Memejam mata. Pergilah kenangan. Pergilah. Kenapa hari ini, dia boleh teringatkan semua itu? Kenapa?

“Nadratul Nisa’, Allah sedang hantar ujian. Allah sayangkan kau. Sebenarnya ujian ini diletak ke bahu kau sebab kau mampu galas. Dengan cinta kau untuk suami, aku rasa kau sedang layak duduk di syurga. Tapi Dia sedang menguji setia kau Nad. Pilihan di tangan kau kini Nad.”

Angin berhembus perlahan-lahan. “Tidak ada cinta yang sempurna. Masakan dengan mana-mana lelaki yang telah Allah takdirkan untuk kita. Tapi yang sempurnakan cinta itu..” Bib kini menggalas status teman berjiwa syurga. Dia mahu membantu sahabatnya ini. “…ialah antara kau dan dia yang bergelar suami.”

Angin memeluk tubuh. Zaqwan di hujung sana sedang memberikan arahan kepada para pekerja. Maleq bukankah sudah berpesan. Pesannya ringkas memalu jiwa “Abang perlukan Nad untuk ke syurga. Nad juga sama perlukan abang. Rumahtangga itu atas dasar kasih sayang dan ikutan sunnah untuk kita ke syurga.”

Suara Maleq tembus lagi ke dalam jiwa. “Abang ada kekurangan. Abang bukan yang sempurna juga.”

Air mata dia kini merembes-rembes ke pipi. Nad juga abang. Nad juga kini bukan sempurna sesiapa. Nad juga perlukan abang untuk ke syurga. Bantulah Nad. Bimbinglah Nad.

“Terima kasih Bib. Aku hanya titipkan doa untuk dia. Agar dia bahagia dengan apa yang sedang dia jalani. Esok dan sampai bila-bila, aku cuba…”

“Cuba lupakan dia ya?” Bib senyum. Susah sungguh mengasak si Nadratul Nisa’ ini. “Errr..” Bib garu kepala. “…dan surat ni Nad?” Bib gigih lagi memaksa hati sebenar si kawan. Haihlah bodoh kau Bib. Buatnya Nadratul Nisa’  ‘rapuh’ dengan tiba-tiba, kau nak jawab apa ya?

“Kau buanglah.” Dia sudah buat kata putus.

Jemari membuka kembali buku. Diteliti tulisan tangan Tan Jie Kang. Cantik. Sampulnya berwarna merah. Diselitkan kembali dan dia tutup perlahan-lahan. “Baiklah. Aku akan tamatkan riwayat surat ni sekejap lagi.”

“Mungkin sudah memadai untuk aku ada kenangan dengan dia. Sampai kau marah-marahkan aku macam mak tiri kan?” Tawa bersisa. Kenangan bertamu lagi.

“Ek eleh…alih-alih, kau juga cari aku Nad untuk bagi nasihat percuma. Berbuih dah mulut aku ni tau. Setengah jam kena bayar Ringgit Malaysia dua ratus tau!”

Bibir herot ke kiri. “Ishh..mahalnya.”

“….dan Nad!” Bib ketap bibir.

“Iya Bib. Dan apa?” Mata Nadratul Nisa’ terkebil-kebil. Tubuh seorang gadis menjelma di hujung pejabat kecilnya. Siapa itu? Siap melambai-lambai penuh mesra.

“Memadai doakan Tan Jie Kang beriman. Peluk Islam. Dia bahagia dan kau bersama Maleq juga bahagia. Aku doakan kau bahagia sampai syurga ya kawan!” Bib senyum. Laci almari soleknya dia tutup. Biarlah dia sahaja yang tahu mana simpan dan letaknya surat ini. Kalau Nadratul Nisa’ sudah membenarkan untuk dia tamatkan, maka dia akan lakukan. Tapi aku ini Nad, hati kecil sungguh mahu tahu akan isinya ini. Buang Bib! Buang! Berdosa tidak minta kebenaran pemunya surat ini.

“Terima kasih Bib. Eh..”

“Haa..apa eh-eh?”

“Aku ada tetamu ni Bib. Kita borak lain kali ya?”

“InsyaAllah. Whatsapp pun boleh kalau kau free. Assalammualaikum Nad.”

Nadratul Nisa’ ketawa. Tubuh tinggi lampai si gadis makin mendekati dia. “Aku tak free. Layan laki dua puluh empat jam.”

“Auwwww. Hahaha. Gatal kau Nad!” Bib sudah menjerit. Ketawa memecah kesunyian. Iphone segera Nadratul Nisa’ masukkan ke dalam kocek baju kemeja besarnya. Jemari cepat-cepat dia kesat ke kemeja.

Tubuhnya kini tiba-tiba dipeluk seseorang. Dia terkedu. Pegun rasa kaki memijak bumi. “Hai kak ngah. Assalammualaikum kak ipar Marsha.” Pipi sudah dicium. Automatik jemari membalas huluran salam Marsha.

“Waalaikumsalam. Ni Marsha kan?”

“Hmm..iyalah. Marsha. Adik yang tak dapat hadir ke majlis kahwin abang ngah dan kak ngah. Dah berbulan-bulan. Mesti pelik kan?” Marsha dengan cermin mata hitam menggosok-gosok hidung. Mata menyeluruhi gadis pilihan ibu untuk abang kesayangannya. Kak ngah ini pun kata ibu, sudah pilihan abang Maleq. Hari ini barulah dapat dia bertentang mata.

“Kenapa tak balik?” Cuba memesrai. Kaki sudah berayun sama rentak ke pejabat.

“Marsha ada kerja sikit. Masa kenduri, presentation projek dan jadual final pun sangkut masa majlis abang ngah. Abang ngah kata tak payah balik. So, Marsha pun malaslah. Tengok gambar pun dah okey.” Penipu sungguh Marsha. Walhal tiket bas sudah abang ngah poskan. Bila saja tahu yang abang kesayangan akan berkahwin, dia mogok duduk di rumah kawan. Peperiksaan bukan masa hari majlis pun. Kalau mahukan tiket kapal terbang pun, abang ngahnya boleh uruskan.

Sepatutnya dia awal memunculkan diri, tapi lebih baik dia ke Langkawi mengkut Sheila, Timmy dan Rose. Hati bengkak bernanah sebenarnya dia tahankan sahaja. Sampai hati abang ngah ambil keputusan mengahwini seorang wanita yang dia tidak kenal.

Lenggok kakak ipar dia perhati. Mampukah kak ngahnya ini mengemas baju, melipat baju dan menggosok baju seperti yang selalu dia buatkan?

Selektif. Dia sendiri yang sudah berjanji dengan abang ngah untuk memilih calon kakak ipar sendiri. Biar sama citarasa macam dia. Biar sama jenis kemasnya seperti Marsha. Abang ngah yang setuju. Abang ngah kan pembersih serba serbi seperti dia. Kak Nadratul Nisa’ ni boleh ke?

“Marsha…Marsha.” Panggilnya sudah masuk tiga kali.

“Haa…ya. Ya!” Sengih. Cermin mata hitam sudah di atas tudung yang melilit leher.

Nadratul Nisa’ mengemas fail-fail yang berselerak di atas mejanya. Dia pandang jam di dinding. Maisarah sudah menghilang ke ladang membantu Zaqwan dan rakan-rakan. “Kita naik ataslah. Marsha pun baru sampai. Mesti penat. Bolehlah rehat-rehat. Tetamu datang ni kita kena raikan.”

Angguk. Dia memerhati lagi. Jemari Nadratul Nisa’ terus menyeluk poket kemeja. Iphone dia keluarkan.

“Eh kak ngah. Kak ngah nak call abang ngah ya?” Marsha memeluk tubuh. Mata cepat sungguh memerhati tingkah kakak iparnya. Kalau dulu hanya berbual dua kali sahaja di dalam telefon. Kali ini, mereka sudah bertentang mata.

“Ya. Nak cakapkan yang Marsha dah sampai. Mesti abang ngah suka. Kata abang ngah Marsha sampai esok. Itu yang baru akak nak call ni.” Jemari runcing Nadratul Nisa’ memasukkan password. Pantas.

Marsha mendekati almari. Melihat susunan gambar kenangan antara Maleq dan kakak iparnya yang dibingkaikan. Marsha herot bibir ke kiri. Ala, setakat The Dusun. Dia pun pernah pergi. Pergi dengan abang ngah dan ibu. Lagi syok. “Tak payahlah kak ngah call abang ngah. Marsha dah call tadi. Dari dalam bas dah berborak panjang. Abang ngah on the way tu. Jomlah naik. Tak sabar Marsha nak tengok rumah abang ngah. Rindu!”

Mata merenung wajah selamba Marsha. Nadratul Nisa’ rasa lain macam hatinya. Entah kenapa degup jantungnya lain dari biasa. Iphone perlahan-lahan dia masuk ke dalam kocek kemeja. “Okey. Kita naik dulu. Marsha tunggu kat luar ya. Kak ngah nak sampaikan pesan kat Maisarah dan Zaqwan.”

“Ermmm..” Marsha peluk tubuh. “Okey.” Senyum meleret sampai ke telinga. Boleh tahan cantik kakak iparnya ini. Patutlah abang ngah suka. Takpe, kita tengok siapa sebenarnya yang abang ngah sayang.

Nadratul Nisa’ terburu-buru keluar. Retina mata terus mencari Maisarah dan Zaqwan. Marsha meletakkan kembali cermin mata ke atas hidung mancungnya. Kaki mengikut langkah kakak iparnya.

“Huh…”  Bibir bawah sudah menggelebeh ke bawah. Susuk tubuh kakak ipar di hadapan yang sudah beberapa meter direnung dalam-dalam. “Kita tengok siapa. Marsha atau Nadratul Nisa’? Yang penting Marsha sudah ada tiket. Tiket di mata abang Maleq.” Sinis. Dia senyum sambil gigit bibir.

:::Sedihnya saya dan tamatkan cerita ini. Satu bab lagi esok sebelum saya tamatkan kisah ini bi blog. Marsha in the house. Hehe. Apepun, plot Marsha perbualan telefon antara Nad dan Marsha sebelum ini akan saya ubahsuai sikit. Terima kasih semua setia menunggu si encik ganteng dan cik seksi:::

12 ulasan:

  1. masukn sikit mr tan....pls dihah

    BalasPadam
    Balasan
    1. insyaAllah. nnti saya hadiahkan dua bab bonus tan jie kang ya. ceh

      Padam
  2. radziahmohdhashim8/10/13 10:21

    Mngacau saje marsha ni laaaaa....tega ka maleq mmilih marsha bbanding nad.....hanya cik Mardihah yg tau...hehe

    BalasPadam
  3. ainulrida8/10/13 11:32

    oh no! konflik dalaman terkenang mr tan tak selesai lagi, dah dtg 3rd wheel baru. Marsha ni adik ke .... atau dia pun ada hati kat en ganteng?

    BalasPadam
  4. Tanpa Nama8/10/13 11:54

    Marsha.nie.jahat.ke.
    Aduh.ada.jugak.orang.mcm.nie.

    BalasPadam
  5. Loo....marsha ni dengki ngan kakak ipar sendiri ya?

    BalasPadam
  6. Tanpa Nama8/10/13 14:32

    Marsha nie adik kandung ke adik angkat. Cemburu semacam aje.

    BalasPadam
    Balasan
    1. tu le..cemburu semcm je.....
      bc plot kt atas.....n bab kt atas....mmg niat x baik dr awal...ke skdr nk uji

      Padam
  7. marsha ada hati dgn maleq ke?......

    BalasPadam
  8. takkn marsha ni org ketiga pula.....
    maleq ni sbnrnya nad ke marsha di hati...
    bahaya sikap marsha blh timbulkn mcm2 prasangka. ..lagi2 klu maleq x sensitif perasaan wife sendiri....
    better dr awal satukn nad n tan je....
    hope cite ni ada kelainan......klu kata sedara susuan x pe......n jgn ada kes khalwat pula...kot le bkn sedara susuan.....berdua2an maleq n marsha.......

    BalasPadam
    Balasan
    1. ish. i rasa saudara susuan. diehah kan mention nama kakak ipar dlm bab ni kan. kita pun tahu marsha tu adik maleq. mybe marsha sukakn abg dia ke? eee....ni yg rasa nk suh cpt siapkan ni. sambung2 cpt.

      Padam
  9. Lain mcm je Marsha ni.....????

    BalasPadam