Pages

20 Disember 2010

Hatinya yang sukar dicari ganti lagi.

Kawan.

Hari ini, saya belajar satu perkara penuh dengan jiwa.

Kawan. Iaitu boleh sahaja ertinya menjadi teman, dan sahabat. Perjalanan yang semakin saya lalui, semakin membawa kepada kematangan diri. Saya akan berkawan dengan sesiapa sahaja. Namun kawan-kawan tidak ada yang rapat atau lebih tepat berkawan dengan saya 'seerat-eratnya'.

Tiada perkongsian yang sedalamnya antara saya dan seorang kawan. Dahulu saya diisitilahkan 'kakak usrah yang garang'. Maka mungkin itu antara faktor saya seorang yang sukar didekati. Namun, Hanes seorang yang memahami dan kini istilah itu tiada lagi dalam kamus hidup saya. Perlahan-lahan saya menukar definisi itu kepada seorang kakak usrah yang memahami. Mengambil masa yang lama untuk merubah diri kepada corak ketegasan dalam kepimpinan dan membawa corak berlainan pula!

Namun, kegarangan saya melekat dengan ramai kawan-kawan yang mungkin tidak berani dekati lagi. Beransur-ansur masa membawa saya kepada kenangan yang lalu. Mungkin faktor masa, jarak, hubungan, alam sekitar, hati dan segala-galanya menjadi jurang perbezaan antara saya dan kawan-kawan.

Adakala saya juga anti sosial. Jarang bergosip-gosip dan senang dengan dunia saya. Dunia yang kini sebati dengan saya. Kawan terbaharu saya pastinya komputer riba dan buku-buku yang menjadi teman. Bahagia. Saya akan menulis sehingga rasa kepuasan yang tidak terhingga. Adakala melewati malam dan membawa kepada pagi.

Namun sesekali melihat gelak ketawa dan keakraban teman-teman bersama memunculkan satu rasa iri hati dalam diri. Boleh bersama keluarganya, boleh mendekati dan akhirnya saya melihat dari jauh betapa saya kekurangan sahabat yang sebegitu. Kekurangankah saya? Saat itu, terasa saya mahu lari dari berhadapan dengan kenyataan kehidupan. Mahu saja saya menjadi seperti si kumbang yang boleh sahaja menghisap madu-madu manis dari setiap kelopak bunga kesukaannya.

Pantas saya mendongak melihat langit yang terbentang luas. Hadiah dari langit lantas turun dan gerimis menjadi teman lagi! Aduh, indah sungguh suasana dan pelangi petang lantas memunculkan dirinya. Masih sudi menjadi teman dan kawan.

Masa menginjak mendewasakan diri. Hari ini saya sebenarnya sudah mempunyai kawan istimewa. Paling tidak, menjadi tempat menyandarkan segala kesedihan, gembira dan segala-galanya.

Oh, sungguh saya tidak menduga sekali. Saya sudah punya seorang kawan. Iaitu hatinya yang sukar dicari ganti lagi.

Dia teman, rakan, kawan dan sahabat kini. Sehingga penat dan bibir ini bercerita apa sahaja. Dia akan tetap tersenyum dan mendengar dengan setia. Meski saya akan melontarkan marah, sedih, gembira dan suka! Dia masih seperti yang saya khabarkan, akan tetap tersenyum dan mendengar sehingga membawa tidur yang lena.

Tuhan - dengarkan suara hati ini, untuk setiap kebaikan dan kejayaan kepada dirinya. Membawa senyumannya untuk seluruh kehidupan saya. Seluruh jiwa dan seluruh rasa untuk lekat dalam episod setiap karya-karya yang akan bercerita.

Suami - kini dia kawan!

3 ulasan:

  1. Adakalanya kawan jadi sahabat dan ada kalanya kawan jadi lawan.

    BalasPadam
  2. salam tuan nassury, terima kasih kerana menjelajah blog sederhana ini. terima kasih dan benar kerana kawan itu adakala menjadi lawan.

    BalasPadam
  3. moga bahagia hinggah hujung nyawa...insyaallah

    BalasPadam