Pages

05 Oktober 2011

Mr Pai Epal - Bab 2




Aku memandang kertas A4 berwarna merah jambu. Berbentuk empat segi yang telah aku gunting dengan cermat. Pen berwarna-warni, biru dan hitam tersedia di atas meja. Akhirnya aku mengambil keputusan membalut wang sebanyak Ringgit Malaysia Lima Puluh dengan kemas dan akan memberikan nota kecil untuk membayar harga pai epal dan pasu berbentul epal berkenaan kepada ‘Mr pai epal’! Ah – matanya yang tersembul kerana marah tempoh hari selalu sahaja menghantui diriku beberapa hari ini. Perut pula memulas-mulas sakit dan seakan-akan tahu yang aku telah menikmati pai epal secara haram tempoh hari. Haramkah? Walhal aku secara tak sengaja melarikan diri kerana ketakutan melihat pasu cantik yang tak mampu aku bayar itu pecah dan dah memang-memang aku terlupa. Sungguh! Dan pai epal itu pun aku tak habis menikmatinya. Cis! Sudahlah sedap, terlupa pula aku membayarnya! Minggu ini entah kenapa, perkataan ‘epal’ menghantui pula jadual hidupku. Pakcik Ibrahim, jiran sebelah rumah memberikan kami beberapa biji buah epal merah. Katanya berlebih-lebih di rumahnya tak ada sesiapa yang makan. Kemudian Fatin pula merengek-rengek mahukan sebuah komputer riba jenama Apple!

Aku terkebil-kebil memandang Fatin yang asyik menyengih dan merengek-rengek macam kerang busuk! Selepas makan malam sehari lepas pula, ibu mahu aku mengupas sebiji epal yang diberikan Pakcik Ibrahim untuk kami bertiga mengunyah dan menikmatinya di hadapan televisyen. Kadang-kadang tension pula rasa! Bau pai epal tiba-tiba pula menyeluruhi ruang rumah kami! Azlin, sedang membuat pai epalkah? Arghhh! Perut rasa ditendang-tendang sebab ibu memberi pesan, “Jangan lupa bayar semula pai epal yang kak long beli di café itu. Pasu yang pecah tu pula, kak long wajib bayar. ”

“Tapi kan ibu, rasa pai epal yang kak long makan tu sebiji macam rasa pai epal yang arwah abah ajarkan kepada kak long. Betul, ibu! Sedap sangat-sangat!”

Ibu terkaku di atas sofa!

Hening seketika.

Fatin yang sedang mengunyah epal memandang aku dan dia ternganga tiba-tiba. Jika lalat dua puluh lapan ekor masuk, boleh memuatkan lagi tiga puluh ekor lalat masuk ke dalam mulutnya. Ngap! Fatin mengherot bibirnya dan membuat memek muka supaya jangan membuka apa-apa cerita lagi mengenai arwah abah kepada ibu. Jangan sesekali, Alya! Bisik hatiku lagi.

Dan cerita mengenai epal di dalam rumah kami berakhir selepas makcik Saloma, isteri pakcik Ibrahim memberi salam dan mengetuk pintu rumah kami. Sepiring pai epal yang aromanya memang menusuk ke dalam hidungku menjelma di depan mata, “Azlin asyik mencuba sahaja resipi yang kak long berikan. Harap-harap menjadi. Tapi taklah sesedap pai epal yang kak long dan arwah Chef Wafiy selalu buat tu!”

Aku terkesima lagi! Betul juga sangkaan aku. Azlin akhirnya berjaya membuat pai epal yang selalu mahu dia buat sendiri! Aku akhirnya menjadi pengajar yang berjaya kepada Azlin. Fatin pula dengan sikapnya seperti biasa – dia melopong tak sudah-sudah! Argh!

***

Fatin, selepas aku menceritakan kisah aku berlari di dalam hujan seperti dalam filem hidustan terkekek-kekek ketawa. Katanya begini, “Rupa-rupanya, lelaki yang kak long kata pelanggan tu adalah tauke kedai rupanya. Big bos pai epal café tu memang lelakilah kak long.”

“Manalah kak long tahu! Memecut kak long lari sebab dia marah kerana pasu bentuk epalnya pecah! Kak long terkejut beruk sebab dia menjerit kuat! Habis dia terjatuh.” Aku teringat badannya yang tersembam kerana aku menolaknya dengan kuat dan selepas itu sempat pula dia menjerit, “Duit pai epal mana?”

“Mr Pai Epal!” Fatin mengumam gula-gula lolipopnya dan tersengih-sengih seolah-olah ada sesuatu yang difikirkannya. Aku pandang Fatin dengan tanda tanya.

“Kenapa?”

“Dia ada sebuah kereta BMW dan sebuah rumah banglo! Juga seorang anak kontraktor terkenal di sini.”

So?”

“Dia anak orang kaya dan tak gunakan kekayaan juga nama ayahnya untuk mengembangkan kedainya. Kedai itu dia sewa tau!” Fatin tersengih-sengih.

“Jadi?”aku bertanya Fatin lagi.

“Fatin cuma beri penjelasan sahaja pada kak long mengenai tauke café tu. Bestkan kalau kita berjaya macam dia atau menjadi boypren dia pun okey! Kahwin pak sanggup pun Fatin rela. Auw !” Dia menyengih lagi membayangkan berkahwin dengan pemuda berkenaan. Memek mukanya mengada-ngada. Aku gelengkan kepala dengan telatah Fatin.

“Kak long kena jelaskan duit pai epal yang dah masuk dalam perut ni! Dah masuk perut tau tak ? Best ke, tak best ke, Kak long dah tak sedap hati perut. Usus asyik menyanyi sahaja ni!” aku tak ambil pusing mengenai penjelasan daripada Fatin. Anak tauke emas kah, anak hartawan tanah kah, anak jutawan getah atau apa sekalipun, aku tetap dan mesti serahkan duit pai epal berkenaan. Selebihnya wang kertas ini, untuk harga pasu berkenaan. Mesti! Sebab ibu banyak kali berpesan, berhati-hati dengan sumber makanan yang kita makan. Ibu juga maklum mengenai kejadian ini dan sekadar menggelengkan kepala. Sudahnya aku melihat ibu dengan perasaan yang sayu kerana peristiwa itulah yang membuatkan aku terlupa untuk ditemuduga. Maka – aku akan terus bekerja sebagai kerani biasa di sebuah syarikat guaman sedangkan aku sudah memiliki segulung Diploma Pemasaran. Aku akan terus menyara ibu dan Fatin dengan berbagai-bagai kerja yang aku lakukan.

“Itu duit belanja kita sekeluarga bukan?” Fatin membuatkan aku terdiam tiba-tiba. Hasrat melakar nota kecil untuk diberikan kepada pemilik Pai Epal Café terbantut seketika. Pen lantas aku letakkan. Not lima puluh ringgit yang berada di atas meja belajarku aku masukkan ke dalam sampul yang sempat aku buat sebentar tadi.

“Gaji kak long rasanya mencukupi untuk bulan ni. Jangan risaulah Fatin. Duit ni bukan rezeki kita barangkali.”

“Nanti kak long akan kerja sampai lewat malam lagi!” Fatin menyebakkan perasaan pula ketika ini. Lolipop ditarik perlahan dan hanya batangnya sahaja ditunjukkan ke arah aku. Fatin lantas melontarkan batang lolipop ke dalam tong sampah. Aku gigit bibir. Aku yang membuat kesalahan dan aku sendiri yang harus menanggungnya.

“Kak long dah biasa begini. Fatin pergi masuk tidur ya. Sudah lewat malam. Esok kan ada kuliah. Nanti Allah SWT akan gandakan rezeki untuk kita, percayalah!” aku memberikan senyuman kepada Fatin. Fatin memandang aku dengan rasa hibanya. Aku maklum dan aku sedia tahu yang Fatin agak keberatan melihat aku yang bekerja di banyak syarikat dan tempat sehingga lewat malam tanpa rehat yang mencukupi.

“Kak long pun dah kurus! Kalaulah ibu nampak keadaan kak long begini…” ada air mata mengalir. Pipi Fatin basah dengan air mata. Aku tersenyum memandang Fatin yang tersedu-sedu. Lantas aku tarik Fatin dan memeluk adik kesayanganku itu seerat-eratnya. Puas aku pujuk dan akhirnya Fatin menyerah untuk membaringkan diri di dalam biliknya.

“Kalaulah arwah abah ada…”

Kata-kata terakhir dari Fatin yang juga menghantar sendu dalam jiwaku. Tanpa sedar malam itu juga aku menangis sekali lagi. Kesekian kali selepas beberapa tahun yang lepas arwah abah pergi meninggalkan kami. Rindu menguasai diriku lagi! Dan wajah Chef Daud semakin membelengu kini. Wang bayaran setiap bulan harus aku tunaikan selepas kami berjanji. Janji yang tiada siapa tahu sehingga kini. Meski ibu dan Fatin. Nama baik arwah abah tetap dalam genggaman aku. Juga aku percaya, arwah abah bukanlah seperti yang Chef Daud katakan. Aku juga mahu membuktikan dan membersihkan nama arwah abah. Hotel Marjan adalah milik keluarga kami. Kekayaan kami suatu masa dahulu yang diambil alih oleh Chef Daud akan aku ungkaikan satu persatu. Aku juga akan toreh-toreh mata engkau, Chef Daud, seorang penipu besar !

Kekayaan, kereta, rumah besar, hak milik Hotel Marjan akhirnya menjadi milik Chef Daud dengan sekelip mata. Maka, rumah teres dua tingkat inilah yang berbaki selepas nama ibu tertera jelas di dalam surat perjanjian pemegang rumah ini. Harta ini sahajalah yang kami ada. Juga kenang-kenangan bersama arwah abah di sini.

Benar, Allah SWT ada janjinya bahawa setiap kekayaan itu milikNya. Malah, kejatuhan kami selepas perginya arwah abah memberikan pelajaran kepada aku dan Fatin. Kami belajar kembali bersederhana, belajar berdikari dan belajar merawat ibu yang kesepian. Belajar juga melihat ibu walau ibu tak dapat melihat wajah kami lagi selepas kemalangan ngeri itu.

Kemalangan itu juga yang meragut pergi kasih sayang kami sekeluarga. Perginya abah yang tak akan kembali lagi ke sisi kami. Lantas hari-hari kami ditinggalkan sepi tak bernyawa. Arwah abah tiada lagi memanggil aku dengan panggilan, ‘kak long, kak long!’

Serentak dengan itu juga, ibu mengalami masalah penglihatan dan air mata kami yang sentiasa mengalir ini tak pernah lagi ibu saksikan. Aku dan Fatin akan sentiasa ketawa di hadapan ibu walaupun kadangkala air mata kami mengalir tanpa ibu sedari.

***

Aku memandang kertas merah jambu itu lagi. Sebak yang berganda-ganda menyerbu diri aku cuba usirkan dalam diri. Ingatan terhadap arwah abah memang sentiasa aku sematkan dalam diri. Aku tarik nafas. Mengawal perasaan dan mengawal rasa mengantuk yang berbakul-bakul menguapnya dari tadi. Not lima puluh ringgit yang tersedia di dalam sampul aku ketepikan. Tumpuan kini hanya satu : menulis nota membayar wang pai epal dan bakinya untuk harga pasu cantik yang berkilat-kilat untuk ‘Mr Pai Epal’. Ah – melekat sudah nama ciptaan Fatin sebentar tadi. Aku tersenyum geli hati. Tapi cukupkah harga pasu berkenaan dengan baki wang ini? Aku berfikir lagi. Kemudian aku layangkan jemari ini di atas kertas berwarna merah jambu yang tersedia.

“Hei encik berlagak bin encik sombong! Saya bayar duit pai epal tempoh hari dan baki untuk harga pasu epal awak ya! Rasanya mencukupi, kan?”

Aku berhenti menulis. Nampak tak sesuai pula. Lantas aku keronyokkan kertas berkenaan. Tong sampah menjadi sasaran. Tepat! Kemudian aku tulis lagi.

“Mr Pai Epal - ini bayaran pai epal dan bakinya untuk harga pasu epal berkilat tu. Jangan marah-marah!”

Ah – nampak macam jiwang karat pula ya! Bibirku terherot kiri dan kanan. Mataku terkebil-kebil. Sama seperti tadi, aku keronyokkan dan campak ke dalam tong sampah. Kali ini tak tepat pula! Kemudian aku sambung lagi menulis dengan kertas berwarna merah jambu yang baru.

“Mr Pai Epal - ni duit pai epal dan bakinya untuk harga pasu epal yang pecah tempoh hari. Memaafkan saya akan membuatkan hari-hari terindah menjelma untuk Mr Pai Epal!”

Aku tenung nota ringkas yang telah aku tulis. Ah, sudahlah tulisan macam cacing kerawit! Kemudian aku tersenyum tiba-tiba kerana teringatkan yang aku memanggilnya sebagai pelanggan di dalam café berkenaan. Aku juga rasa selesa dengan ayat ringkas ini. Kemudian aku lukiskan karikatur kepala perempuan yang menjelirkan lidah dan karikatur kepala lelaki yang seakan-akan pening-pening lalat di atas kertas berkenaan. Pen berwarna-warni menjadi teman pula.

Comel! Itu kata hati aku lagi. Aku lengkapkan kertas berwarna merah jambu ini dengan nama ringkasku, Alya. Surat berwarna merah jambu kemudian aku origamikan menjadi sebuah kapal terbang comel. Sampul surat kemudian aku cantumkan dengan origami berkenaan. Beg galas aku ambil dari katil dan memasukkannya dengan perlahan. Benang untuk menggantung origami surat ini aku cari di dalam laci. Kemudian aku mencari gunting. Lantas, benang dan gunting berkawan di dalam beg galas milikku.

Esok – misi menggantung origami kapal terbang dan memberikan not lima puluh ringgit ini mesti aku lunasi. Aku berlegar-legar di dalam bilik. Aku harus fikirkan bagaimana untuk menggantung origami ini dan aku mesti memastikan Mr pai epal ‘tersedar’ dengan kewujudan surat ini. Aku membaringkan diri di atas katil. Harap-harap misi untuk hari esok akan berjaya! Go Alya, go Alya! Urat-urat terasa sakit. Badan pula lenguh-lenguh kerana hari ini berkejaran dengan Melati selepas habis jadual kerja kami di kedai pam minyak.

Yok! Siapa paling laju berlari dia menang ! ” Melati tersengih-sengih.

“ Iyalah tu ! aku akan menang kali ni. Esok siapa kalah, belanja makan ya ! ”

Melati tanpa berlengah lagi terus memecut laju. Beg galas segera aku betulkan dan pantas kaki berlari seperti seekor kuda. Bintang-bintang terus menemani larian kami berdua malam ini. Jeritan kami tiada siapa dengari dan lorong-lorong berkenaan kami jelajahi lagi. Jalan raya lengang dan sungguh sunyi. Kami keriangan seperti kanak-kanak dan akan menyusuri lagi perjalanan hari ini untuk hari esok dan hari-hari mendatang.

Keletihan dan mataku lantas terus perlahan-lahan terkatup. Lampu bilik terus terang benderang. Nafas senada berdegup dengan jantung yang terus berproses tanpa hentinya.

Tuhan – andai Engkau berikan ruang dan masa sekali lagi kepadaku : aku mahu berikan bahagia kepada ibu dan adikku yang satu itu! Aku juga mahu ketemu dengan arwah abahku yang paling aku rindui itu.



Sungguh!

3 ulasan:

  1. terima kasih sebab like like dan like natasya..hehe

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama13/12/11 19:28

    Salam..menarik dan agak sedih sambungannya..still menarik sgt utk saya teruskan pembacaan.. really nice story..

    Wassalam.

    BalasPadam