Pages

15 Mac 2012

Dia, Cinta Hati Saya 3

tumblr_l4wrvawcnl1qczg4eo1_500


Saya pusing ke kanan dan pusing ke kiri. Saya pantas menarik gebar menutup separuh badan dan memandang ke atas. Sudah seminggu saya menjadi begini! Mata sukar dipejamkan dan tidur dengan gangguan bersama mimpi yang menakutkan. Kenapa susah sangat mahu saya melelapkan mata? Kenapa dengan Majdina ini ya?

Akhirnya, saya melemparkan gebar ke bawah katil. Pantas saya bangun dan meneguk segelas air yang bibik J sediakan di meja kecil bersebelahan katil ini. Walaupun bilik ini sejuk dan mendinginkan, tetapi ia masih belum membuatkan jiwa ini hilang dari gelora asmara! Ah – kenapalah dengan saya ini?

Wajah Zain sudah seminggu menerpa! Sudah seminggu juga entah kenapa senyumannya menghiasi tubir mata ini. Sehingga ibu perasan akan wajah mendung saya ini.

“Muka monyok lapan belas ni kenapa? Bergaduh dengan Fendi?” Ibu bercekak pinggang dan memandang saya. Saya peluk kaki dan menghayunkan diri bersama buaian buatan papa di bawah pohon rendang di laman besar ini. Meja di hadapan kami petang itu terhidang karipap panas buatan bibik J. Bibik J seperti lazimnya tersengih-sengih sambil memuncungkan bibir. Oh, 'bibik J' nama glamour kepada pembantu rumah ibu. Ibulah kan, mana mahu dipanggilnya pembantu rumah kami itu dengan nama bibik Jamilah. Alih-alih ibu tukarkan namanya ke bibik J. Nampaklah cantik sebutannya itu. Kan? Popular dan sedap juga nama gelaran barunya. Bibik J pun suka kami memanggilnya dengan nama itu. Katanya, “Waduh, sedap sekali panggilan itu. Kalah artis saya!”

“Bergaduh dengan Fendi ke Dina?” ibu memandang saya. Tangan ibu ligat mencapai karipap yang tersedia. Panas-panas sebegini, pastinya laris.

Sebab Zain! Pintas hati saya. Tetapi tak terluah pula dengan bibir ini. Hanya hati sahaja yang tahu, ibu! Kalaulah ibu tahu anaknya angau disebabkan Zain, pasti ibu menangis tak berlagu! Pasti juga ibu pengsan kerana selalunya lelaki pilihan anak kesayangan ibu yang memiliki kereta sport, berBMW, berbanglo besar dan selalu bawa anaknya berjalan keliling dunia. Tapi Zain yang saya tahu hanya ada sebuah motorsikal EX5 Honda dan memiliki lesung pipit di pipi kanannya. Juga bekerja di pejabat pos ! Mata saya terkelip-kelip lagi memandang ibu yang rambutnya sudah bertukar warna menjadi merah-merah gitu. Amboi, ibu!

“Tak adalah ibu! Mana pulak bergaduh dengan Fendi. Dina okey-okey saja dengan Fendi.”

“Malam ni Dina tak keluar?” ibu bertanya lagi sambil mata ibu memandang kukunya yang sudah bertukar warna. Merah jambu pula. Kelmarin kuku ibu berwarna hijau. Hari ini merah jambu. Esok pastinya hitam pula! Papa sampai bising dan terjerit-jerit memarahi ibu. Abang Sulaiman pun selalu membentak melihat ibu berperangai begini. Okey, ibu saya mak datin. Datin sangatlah kan sebab papa yang dianugerahkan pangkat Datuk dalam satu upacara besar-besaran di Istana setahun yang lepas. Ibu siap kata, “Ibu ni isteri datuk, mestilah kena cantik-cantik!”

Tapi kalau lihat ibu, samalah gaya penampilannya macam saya. Ibu borek anak rintik!

Saya gelengkan kepala. Sebenarnya bosan keluar dengan Fendi. Lelaki metroseksual! Penuh citarasa tinggi dan asyik mahu ke pub sana dan sini. Saya rimaslah berkepit dengan Fendi. Eh – semenjak bila saya boleh jadi rimas-rimas dengan Fendi ni? Adakah semenjak terpautkan wajah Zain ?

Saya gigit bibir bawah. Pantas saya bangun dan kenangan dengan ibu petang tadi lenyap apabila saya membuka lampu tidur. Bilik saya sedikit terang kini. Mata masih bulat segar dan seakan ia tidak mahu lena. Fikiran masih memikirkan Zain ! Masih terpandangkan senyuman Zain.

Segala-galanya Zain. Ah- sakit dada pula kerana memikirkan Zain ini.

Saya pantas berdiri mencari almari solek. Laci dibuka dan sampul surat berisi bil-bil rumah ada di tangan. Bil elektrik, bil air dan bil astro. Bibik J petang tadi memandang saya dengan sungguh pelik. Saya tersengih lagi! Mata memandang cermin penuh pengharapan. Esok, harapnya Zain ada. Kerana seminggu ini puas saya memerhati ribuan motorsikal yang lalu lalang di jalan raya. Tetapi tiada Zain dan bayang motorsikalnya langsung tidak nampak.

Mendukacitakan, bukan?

Meletihkan kerana saya mengharapkan Zain lalu sekali lagi bersebelahan kereta mewah saya. Saya juga mengharapkan Zain berhenti di tepi tingkap ini. Mengetuk cermin tingkap dan memberikan senyuman mahalnya itu. Susah sangatkah untuk saya bertemu dengannya? Kenapa susah juga mahu mencari dia?

Dan barulah saya ingat bahawa Zain bekerja di pejabat pos besar itu. Bodoh sungguh kau, Majdina! Sah-sahlah dia bekerja di pejabat pos itu. Bukankah minggu lepas saya sendiri memberhentikannya betul-betul di hadapan pejabat pos? Lupa…lupa lagi sebab Zain!

“Kamu mahu buat apa sih dengan semua bil ni? Papa kamu pasti mencarinya !” Bibik J ternganga bila saya merampas semua bil berkenaan. Saya tersenyum.

“Bagi Dina bayarkan semua bil-bil. Bermula bulan ni! Nanti bibik J beritahu papa ya.” Mata saya melirik manja ke arah Bibik J.

Bibik J terlopong. Pasti dia tidak menyangka sama sekali yang saya bermurah hati membayar bil rumah bermula bulan ini.

“Gila apa kamu ni? Mimpi di siang hari!” Bibik J membuatkan saya ketawa. Pelat Indonesianya merayap ke minda.

Iya bibik. Dina bermimpi. Mimpikan putera raja!”

“Gatal! Kamu itu lelaki keliling pinggang. Putera raja mana?” Bibik J ketawa dan segera berjalan dengan gaya gediknya.

Saya perhatikan bil-bil berkenaan dan gigit bibir bawah. Esok pagi-pagi saya akan ke pejabat pos. Saya nekad mahu bertemu dengan Zain. Dialah putera raja yang bermukim lewat di hati Majdina, bibik J! Putera Zain! Kalau Bibik J terkejut saya merampas bil-bil ini dari tangannya, saya pasti papa juga terkejut yang bil-bil ini akan mula dibayar sendiri oleh Majdina. Saya yang langsung tidak pernah ke pejabat pos dan adakah esok saya akan bertemu Zain di situ? Pandaikah saya berurusa niaga dengan bil-bil ini di pejabat pos?

Tetapi mengapa perlu saya mencarinya sedangkan lelaki itu sedikitpun tidak membayar baki wang cermin kereta yang pecah minggu lepas. Malah, setiap hari akaun di dalam bank tidak nampak langsung penambahannya. Bukankah Zain yang telah berjanji untuk membayar lagi sejumlah wang membetulkan cermin yang pecah itu?

Zain terlupakah?

Zain itu ada duitkah?

Dan malam ini, saya bertemankan bil-bil di atas katil. Bil astro, bil elektrik dan bil air. Dengan harapan yang satu. Esok, saya mahu mencari Zain di pejabat pos dan bertemu dengannya.

Mungkin soalan pertama saya kepadanya, “Zain, awak sihat?” atau, “Zain, awak tak rindukan saya?”
Saya memang gatal!

Dan tidur saya juga dengan senyuman berbunga indah.

***

Seluar jeans ketat. Dan blouse yang cantik berwarna ungu muda. Kasut tinggi yang Fendi belikan juga turut tersarung di kaki saya. Rambut panjang saya biarkan begitu sahaja dan sepit bercorak rama-rama menjadi hiasan di sebelah depan rambut. Saya calitkan lipstik berwarna merah jambu dan membawa sekali tas tangan yang papa hadiahkan. Semburan minyak wangi tidak terkecuali. Saya harus sentiasa wangi di hadapan Zain.

Saya perhati mata bundar sendiri di cermin pandang belakang kereta. Mahu memastikan mata ini segar bugar selepas bermimpi yang indah malam tadi. Selepas memarkir kereta, saya semestinya akan berdandan terlebih dahulu. Takut ada cacat cela di mata Zain! Takut Zain terlihat yang tidak cantik di wajah ini.

Perfect! Dan kemudian, saya mengambil tas tangan yang terhimpun di dalamnya bil-bil yang perlu dibayar bersama wang yang mencukupi. Itupun, bibik J yang bantu mengiranya pagi tadi.
Saya berjalan perlahan dan memandang pejabat pos.

Gemuruh betul saya! Angin yang membalut tubuh ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan gementar di dada. Kenapa dengan Majdina, ya? Bila sebut nama Zain, Dina rasa indah sangat-sangat. Dina entah kenapa, terasa ingin berjumpa dengannya. Kenapa dengan hati, Dina ya?

Saya kawan nafas dan kini menaiki tangga masuk ke pajabat pos. Tujuan saya satu sahaja. Saya mahu bertemu Zain dan membayar bil ini.

Oh, saya harus mengambil nombor. Pejabat pos sudah ada sistem mengambil nombor seperti di bank rupa-rupanya. Ketinggalan zaman sungguh saya ni! Saya genggam nombor ini. Harap-harap ia nombor bertuah.

Mata saya memerhati dari satu kaunter ke kaunter. Mana Zain? Di mana Zain berada? Beberapa lelaki dan pakcik-pakcik yang ada di dalam pejabat pos memandang saya. Adakah mereka perasan akan wajah muram ini? Cita-cita yang menggunung tinggi untuk berjumpa Zain punah akhirnya. Zain tiada. Senyumannya pun tiada.

Bukankah ini pejabat pos tempat kerjanya? Memang saya berhentikan dia betul-betul di hadapan pejabat pos ini. Sah! Inilah pejabat pos itu. Saya tak akan lupa sampai bila-bila. Saya berpusing dan mata memandang ke luar. Adakah harapan akan berakhir pada hari ini? Zain menipukah?

“1023!” nombor saya dipanggil. Saya berjalan perlahan. Semangat hilang tiba-tiba.

Bukan Zain tetapi Zainab! Cis!

Saya hulurkan bil dan wang secukupnya tetapi bibir masih ramah bertanya. Saya harus mencuba bertanya. Papa pun selalu berkata, “Jika malu bertanya, sesatlah jalannya!”

“Errr..minta maaf kak. Boleh saya bertanya?” saya memaniskan muka. Wajah saya dipandang penuh rasa. Zainab tersenyum dan mengangguk.

“Tanyalah.” Dan jemarinya aktif bekerja. Laju sungguh menekan keyboard komputer.

“Ada pekerja nama Zain di sini?”

Zainab mengangkat wajahnya. Tepat dan seluruh wajah saya sekali lagi dijamah penuh curiga. Saya memberikan senyuman. Zainab tersengih.

“Awak siapa?” tanyanya mesra. Saya tersenyum. Seperti ada harapan dan rasanya tidak sia-sia soalan saya mengenai Zain. Wah – seperti jejak kasih pula!

“Kawan!” jawab saya spontan dengan mata bercahaya.

“Zain?” soalnya tiba-tiba. Eh eh! Kenapa pula dia seperti tidak percaya! Saya angguk mengiayakan sambil semua bil-bil diserahkan kembali. Selepas dia mengira jumlah wang yang saya berikan, dia angguk lagi.

“Ya. Zain!” saya bertegas sekali lagi. Zainab menghantar seribu pandangan kepada saya. Penuh soalan misteri betul wajahnya.

Zainab menggeleng-geleng, “Macam tak percaya!”

Pulak! Kenapa dia jawab macam tak percaya. “Kenapa?” saya cepat-cepat mahu tahu. Rasa menyirap pula melihat gaya si Zainab ini. Saya bertanya dengan baik tetapi kenapa memek wajahnya penuh curiga.

“Zain jarang ada kawan-kawan perempuan ni. Dengan saya pun susah nak bercakap!”

Saya tersenyum! Indah! Biarlah dia jarang ada kawan perempuan. Itu lebih penting kerana saya betul-betul mahu berjumpa dengannya. Itu juga tiket mudah untuk saya menggodanya! Saya nekad. Apa yang terjadi, jadilah! Saya tidak mahu minggu ini saya bermimpi akannya lagi.

Entah – adakah saya jatuh cinta pandang pertama dengannya? Ironinya, inilah yang sedang melanda hati dan jiwa ini. Saya mahu bersemuka dengannya dan menyatakan dengan tulus ikhlas yang saya mahu mengenalinya. Itu sahaja.

Pantas saya bertanya, “Mana dia?” dan mata saya mencari-cari kelibat Zain. Semua wajah petugas kaunter saya teliti satu persatu.

Zainab tersenyum. “Dia MC. Dua minggu! Tapi…” Belumpun sempat Zainab meneruskan kata-katanya, saya terus berpusing untuk pulang. Dan wajah saya kembali suram tanpa bertanya apa-apa kepada Zainab. Kecewanya hati saya. Remuk betul-betul terasa! Bermakna saya perlukan seminggu lagi untuk bertemu dengannya di sini. Saya perlu mencari bil-bil pejabat papa pula untuk dipergunakan di pejabat pos ini.

Tetapi kenapa dengan Zain? Sakitkah lelaki pujaan hati saya itu? Eh – semenjak bila pula dia menjadi lelaki pujaan hati saya? Kenapa dengan saya ini?

Kaki melangkah longlai! Bagaikan tidak berpijak di bumi. Bagaikan berjalan di atas angin sahaja! Saya perlu tabah meniti perjalanan untuk seminggu ini. Rasa hiba, sedih dan kecewa bertandang mengetuk pintu hati.

Zain. Nama itu meniti lagi di bibir ini. Saya pegang tas tangan dan mengeluh sendirian. Saya melangkah lagi dan terus melangkah. Sehingga sampai ke pintu utama dan saya terpandangkan Zain sedang memarkir motosikalnya betul-betul di hadapan pintu pejabat pos ini.

Ada angin dingin membalut tubuh ini. Terasa darah mengalir laju tanpa sekatan dan nafas bersatu dengan hangat! Adakah itu Zain? Saya berlari anak menuruni tangga.

Betul, itu Zain!

Saya tersenyum dan mengawal nafas apabila berdiri betul-betul di hadapan lelaki kacak ini. Zain bukan MC dua minggu. Atau mungkin Zain menyinggah di sini mengambil barangnya yang tertinggal. Inikan tempat kerjanya. Pejabat Pos!

“Zain!” saya panggilnya dengan satu nafas. Beralun rentak tubuh ini memandang wajah jernihnya. Dia terpana dan matanya tepat memandang saya. Seketika bibirnya terlafaz satu kalimah, “Astaghfirullah!”

Saya tersenyum dan wajahnya serius memandang bumi!

Hilang sudah rindu saya mahu melihat wajahnya. Hilang sudah gelora asmara mahu melihat lekuk lesung pipitnya. Hilang sudah kasih saya terhadap lelaki ini kerana mahu melihat hidung mancungnya.

Errrr….awak nak apa?” tanyanya terkulat-kulat buat saya terkedu seribu bahasa.

Sumpah, saya terpesona dengan alis matanya!

5 ulasan:

  1. Tanpa Nama15/3/12 20:58

    mardihah adam yang dikasihi ...

    saya suka cerita ini ...

    sila letak n3 lagi ... pleeeeeeeeesssssss


    hotmum

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama15/3/12 21:48

    Salam..hehe..lawak betulla..seorg gadis moden ngan seorg lelaki ahli syurga..menarik betul jln citer ni..lately jarang ada citer yg mengambarkan seorg perempuan moden ngan lelaki yg alim..

    bagus Mar..akaksuka..teruskan berkarya dan beri ilmu yg berguna kepada kami ye.. :)

    Wassalam
    MyHoney

    BalasPadam
  3. Suke dengan karya sis yg ala manje2 gitu...
    Terbuai kejap perasaan nie...hehehe

    BalasPadam
  4. Alaaaa...akak dah jatuh cinta pada Zain pulak....Miahhahaha....bukan senang nak senang tau ngorat lelaki Alim?...apatah lagi lelaki yang pendiam...tapi muka handsome Ya Rabbi....indahnya ciptaan Allah...suka..suka..sukaaaa sangat-sangat cerita ni..ee..ehh!!!macam akak Amy pulak dalam cerita ni.....prasan sungguh!!!hahaha!!..

    BalasPadam
  5. akak.. saya dah jatuh cinta dekat Zain tapi saya takut Dina marah saya nanti. hehehehe!

    BalasPadam